SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Friday, November 16, 2012

SURAH AL BAQARAH AYAT 155 -- KETAKUTAN DAN KELAPARAN PASTI DIDATANGKAN OLEH TUHAN


ولنبلونكم بشىء من الخوف والجوع
ونقص من الامول وانفس والثمرت
وبشرالصبرين

Dan benar-benar pasti, Kami menguji akan kamu, dengan sesuatu daripada ketakutan dan kelaparan dan kekurangan daripada harta-harta dan diri-diri dan buah-buahan. Dan khabar gembirakanlah olehmu golongan yang bersabar.

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu Dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang sabar:

i.     Bencana Besar-besaran Seluruh 
       Dunia Yang Semakin 
       Menjadi-jadi

Tuhan telah jadikan sistem hidupan di mukabumi atas peraturan tertentu, sehingga sebahagian hidupan mengambil manfaat daripada hidupan yang lain. Bermula daripada peringkat primer seperti alga biru hijau, yang peranannya adalah menukarkan karbon dioksida kepada oksigen serta menyerap nutrien-nutrien tertentu daripada air laut. Kehadiran alga biru hijau yang terlalu banyak, tentunya akan menghabiskan bekalan nitrat dan keseimbangan karbon dioksida, yang juga diperlukan oleh tumbuh-tumbuhan lain. Kepesatan pertumbuhan alga dapat dikawal dengan kewujudan plankton dan krustasia yang mengambil khasiat daripada alga biru hijau. Plankton dan krustasia selaku haiwan seni, menjadi makanan kepada ikan-ikan kecil dan sesiput laut. Seterusnya ikan-ikan kecil menjadi makanan kepada ikan-ikan yang lebih besar dan begitulah seterusnya kepada burung-burung dan juga manusia. Hidupan peringkat yang lebih tinggi akan meninggalkan nitrat yang akan kembali dikitar semula oleh alga biru hijau serta tumbuh-tumbuhan yang terdapat di bumi ini. Tanpa sistem sedemikian, keseimbangan hidupan di permukaan bumi serta hidupan akuatik akan terganggu.

Manusia telah melakukan pencemaran besar dengan melepaskan sebatian nitrat ke dalam tanah dan seterusnya ke saliran-saliran yang dapat membawa bahan cemar ini ke laut. Kerosakan berlaku kepada permukaan bumi, sehingga mengakibatkan banyak kejadian keruntuhan tanah telah terjadi. Gas karbon dioksida dilepaskan ke udarakasa bersama dengan perlepasan lebihan haba, sehingga kuantiti ais di kedua-dua belahan kutub semakin berkurangan. Akibatnya, udarakasa bumi semakin lembap dan kuantiti air hujan semakin meningkat. Bencana keruntuhan sering terjadi dan begitu juga sejuk dan panas yang bersangatan.

ii.    Aktiviti Manusia Yang Sangat 
       Mencemari

Teknologi yang manusia perolehi bagi penghasilan baja sintetik, telah diguna pakai di sebahagian besar negara-negara. Penghasilan baja sintetik secara besar-besaran dan digunakan secara meluas, sebenarnya jauh melebihi keperluan dan akibatnya sistem hidupan menjadi semakin rosak. Wap baja yang berlebihan telah dilepaskan ke udarakasa sehingga membentuk selimut haba, sehingga memerangkap kuantiti haba yang sangat banyak. Udarakasa menjadi semakin panas dan keseimbangan hidupan equatik telah terganggu.

Untuk tujuan keseimbangan hidupan di bumi ini, alam akan mula bertindak balas. Kepanasan udarakasa juga sebenarnya memanaskan air laut. Lebihan gas karbon dioksida yang larut ke dalam air laut akan menyebabkan air laut menjadi semakin berasid. Dalam situasi berasid, sebahagian besar alga akan dapat terus bertahan dan menjadi semakin banyak. Pertambahan alga seperti alga biru hijau dan juga alga oren merah jambu, dapat menyerap lebih banyak pencemaran nitrat dan juga gas karbon dioksida dan menukarkannya secara terus kepada nitrogen dan  juga oksigen. Alga dapat bertindak sebagai pengimbal terhadap dua jenis sebatian cemar ini dan harus terus dapat bertahan. Terdapat juga sebahagian alga seperti Pseudo-nitzschia yang mengeluarkan racun neurotoxin yang dapat mengakibatkan kerosakan saraf seperti hilang ingatan sehingga membawa maut kepada pemangsanya. Kewujudan alga seperti ini dengan banyaknya, dapat menjadi penyebab kepada kurangnya bilangan ikan di lautan, namun lautan akan dapat mengeluarkan bahan tidak mencemar seperti nitrogen dan oksigen. Sekiranya paras kandungan karbon dioksida jatuh, didapati alga seperti ini masih terus dapat membebaskan gas nitrogen dengan kadar yang banyak. Sekiranya manusia perlu memilih untuk mencemari alam ini, perkara seterusnya akan berlaku.

iii.    Tindakbalas Lautan Terhadap 
        Pencemaran

Dalam keadaan berasid yang ekstrem, haiwan-haiwan bercengkerang akan menambah ketebalan dan saiz cengkerangnya. Haiwan-haiwan bercengkerang ini dapat selamat dalam situasi ekstrem kerana memilih hidup di dasar laut atau lautan. 


Apabila pencemaran laut semakin meningkat, haiwan 
bercengkerang akan menambah saiz cengkerangnya

Jenis-jenis mikrob kecil seperti cyanobacteria yang dipanggil Trichodesmium, juga akan lebih banyak terhasil kerana peranannya dapat menukar sebatian nitrat kepada gas nitrogen secara segera. Sebarang jua hidupan yang menyingkirkan nitrat seperti ikan-ikan kecil akan mengalami masalah untuk terus bertahan. Dalam kajian makmal yang dilakukan terhadap ikan kecil seperti pelawak kenit (juvenile clownfish) yang diletakkan dalam air laut dengan konsentrasi karbon dioksida yang tinggi, didapati ikan ini akan kehilangan keupayaan mengesan pemangsa yang lebih besar. Ujikaji ini menunjukkan akan terdapat lebih banyak ikan kecil, akan menjadi mangsa ikan lebih besar. Untuk sementara waktu, ikan-ikan besar memperolehi nutrien dengan memakan ikan-ikan kecil. Setelah bekalan ikan-ikan kecil berkurangan, lebih banyak ikan-ikan yang besar akan mati. Pereputan ikan-ikan yang banyak, akan menyingkirkan wap ammonia ke udarakasa. Kehadiran ammonia yang banyak menjadi penyebab kepada kejadian-kejadian yang ekstrem seperti kilat-kilat besar dan taufan. Banjir besar yang berlaku di atas permukaan bumi akan menyebabkan lebih banyak projek tanaman akan binasa dan lebih banyak nitrat akan tersingkir ke laut untuk dibersihkan oleh pelbagai jenis alga dan bakteria laut. 
 
iv.     Kekurangan Hasil Tanaman

Kejadian taufan serta hujan lebat yang membawa banjir yang membinasakan, semakin kerap berlaku sekarang ini. Kejadian ini bukan sahaja mengakibatkan manusia merasa takut, bahkan mengakibatkan manusia kekurangan bekalan makanan (67:18) dan banyak daripada harta manusia musnah. Banyak kematian akan berlaku dalam kalangan manusia. Sesungguhnya Tuhan, tidaklah menzalimi manusia namun manusia itu sendiri memilih menzalimi diri-diri mereka sendiri dengan melakukan aktiviti yang mencemari alam tanpa henti.

Dengan berkurangnya bilangan manusia dan juga haiwan, segala aktiviti pencemaran baja dan haba daripada aktiviti pertanian, penternakan dan perkilangan, akan berkurangan. Dengan demikian, bumi ini akan berada dalam kitar pemulihan. Sebenarnya segala bentuk bencana dapat dihindari, sekiranya manusia sanggup mengambil jalan bersabar. Mereka harus menahan diri daripada projek-projek pembangunan yang membinasakan. Mereka juga harus bersabar dengan penggunaan baja sedia ada dan mengelak penggunaan baja sintetik secara gelojoh. Mereka harus menanam lebih banyak pokok-pokok besar bagi menggantikan pokok-pokok hutan yang telah ditumbangkan. Mereka harus mengurangi aktiviti penyingkiran haba ke atmosfera. 





 

No comments:

Post a Comment

Popular