SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Wednesday, November 28, 2012

SURAH AL BAQARAH AYAT 158 -- CONTOH PENYERAHAN DIRI KEPADA TUHAN


ان الصفا و المروة من شعائر الله
فمن حج البيت او اعتمر
فلا جناح عليه ان يطوف بهما
و من تطوع خيرا فان الله شاكر عليم

Sesungguhnya Safa dan Marwah daripada syi'ar-syi'ar Allah. Maka barangsiapa telah berhaji ia akan rumah itu atau telah berumrah ia maka tidak mengapa atasnya bahawa ia melakukan pusingan terhadap keduanya. Dan barangsiapa bersukarela ia akan kebajikan maka sesungguhnya Allah Maha Penerima Syukur lagi Maha Mengetahui.

Sesungguhnya "Safa" dan "Marwah" itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) ugama Allah; maka sesiapa Yang menunaikan Ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan Dengan berulang-alik) di antara keduanya. dan sesiapa Yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka Sesungguh-nya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha mengetahui.

Kemuncak bagi peribadatan adalah melaksanakan ibadah haji. Matlamat peribadatan adalah pengorbanan. Sekiranya ibadah solah memerlukan pengorbanan masa seseorang muslim dan mereka yang bersolah harus menyediakan peruntukan-peruntukan tertentu terhadap golongan yang meminta dan golongan yang tidak meminta-minta, ibadah haji pula menuntut seseorang muslim melakukan pengorbanan habis-habisan daripada apajua yang dimiliki daripada segenap tenaga, diri dan harta. Inilah konsep ibadah haji yang sebenar iaitu mengorbankan segala yang ada yang termampu dilakukan dan dilakukan secara bersungguh-sungguh atas keyakinan mengharapkan rahmat Tuhan semata-mata.

i.    Konsep Melakukan Pengorbanan Yang Telah
      Ditinggalkan Umat

Umat Islam terdahulu, mereka menghayati konsep peribadatan secara bersungguh-sungguh. Pengorbanan mereka memberi pulangan kepada kehidupan mereka di dunia ini lagi. Wilayah pembukaan mereka semakin meluas, kedudukan mereka mulia, maruah mereka terpelihara dan sebahagian besar mereka dapat merasai kemewahan dalam hidup dan mereka menempuh hubungan yang baik sesama mereka. Berbeza sungguh dengan umat Islam pada zaman ini yang kebanyakan negara mereka mengekalkan nilai-nilai penjajah dengan golongan majoriti dilayan seolah-olah mereka adalah golongan minoriti di negara sendiri. Sebahagian besar mereka hidup melarat dalam kemewahan, maruah mereka semakin tergadai, bilangan yang murtad semakin ramai dan mereka menempuh kehinaan di mana jua mereka berada. Bukan itu sahaja, mereka mendiami negara yang hutang perkapita setiap rakyat sentiasa meningkat, mereka berhadapan inflasi yang tinggi sehingga menyebabkan mereka terpaksa bersungguh-sungguh setiap hari demi menjelaskan hutang riba. Dengan hubungan kemanusiaan yang semakin terjejas, mereka terpaksa berhadapan dengan kejadian jenayah yang sentiasa meningkat dan kini mereka menjalani kehidupan bagai abdi tanpa tuan dan seperti banduan yang mendiami penjara tanpa sempadan.

ii.    Peribadatan Yang Tidak Menjurus Kepada Suatu
       Kehidupan

Bermula perbincangan himpunan ayat bahagian ini adalah tentang suatu kehidupan (2:154). Tidak dapat tidak skop perbincangan ayat ini haruslah untuk mendapatkan suatu usaha atau takrifan 'baru' supaya perkara agama haruslah merupakan suatu yang menjuruskan kepada sebuah kehidupan. Kehidupan juga dapat berlangsung daripada aktiviti manusia melalui hubungan sesama mereka. Namun oleh kerana negara-negara umat Islam telah melalui tempoh penjajahan yang sangat lama, sistem ekonomi kapitalis telah mengambil alih sistem ekonomi Islam. Perubahan ini telah mengakibatkan keperluan mendapatkan sebuah kehidupan adalah lebih utama berbanding keperluan mengadakan hubungan baik sesama umat. Sehingga ke suatu peringkat, pengamalan ibadah tidak lagi merupakan pengikat utama yang dapat menjadi faktor terjalinnya hubungan baik sesama ahli masyarakat.

Sebagai contoh, amalan solah ada hubungan dengan tanggungjawab memberi kepada golongan yang meminta-minta dan juga golongan yang tidak meminta-minta. Namun pada zaman ini, manakah masjid yang menyediakan kemudahan bantuan kepada ahli qari'ah masing-masing? Melainkan perkara demikian dilakukan setahun sekali atau dua untuk memenuhi sambutan hari raya. Dengan demikian masjid bukan lagi menjadi tumpuan golongan fakir dan miskin untuk mengadu nasib. Mereka sanggup bekerja dengan bertuankan kepada golongan yang ingkar bagi mendapatkan sebuah kehidupan. Pengabaian seperti ini berlaku di mana-mana jua dan antara penyebabnya adalah tuntutan kehidupan yang dikelilingi dengan sistem ekonomi riba sehingga mengakibatkan setiap umat perlu memperolehi wang bagi menyelesaikan hutang riba masing-masing.

Sebenarnya masih terdapat contoh-contoh lain yang penulis ingin sampaikan, namun penulis khuatirkan perkara sedemikian akan menyentuh hak jabatan tertentu sehingga kewajipan menyampaikan ayat-ayat Tuhan darihal kepentingan dakwah akan terganggu.

iii.   Ibadah Haji Yang Lebih Menjurus Kepada Peluang
       Meraih Ekonomi Secara Melampau

Persoalan ibadah haji adalah juga persoalan umat. Tidak seharusnya sebahagian pihak sahaja meraih keuntungan dan meninggalkan sebahagian umat lain melarat. Kejadian kebuluran biasa berlaku di Ethopia dan ramai daripada yang menderita kelaparan itu adalah umat Islam sendiri. Namun kejadian ini dibiarkan begitu sahaja oleh pemerintah Arab Saudi zaman ini walhal mereka merupakan negara jiran terdekat kepada umat yang bernasib malang itu. Manakah peruntukan untuk mereka nikmati sebagai bahagian bantuan daripada negara yang Tuhan limpahi mereka dengan kenikmatan hidup? Hanya dengan membina penempatan-penempatan yang tinggi untuk penginapan jamaah-jamaah haji, pastinya akan menjadikan tanah suci ibarat pusat pelancongan di musim haji. Peruntukan yang seharusnya disediakan untuk keperluan umat yang melarat telah diabaikan begitu sahaja. Semua ini adalah disebabkan oleh umat ini kini telah tertutup daripada Al-Qur'an.

iv.    Konsep Pengorbanan Nabi Ismail A.S., Nabi
       Ibrahim A.S. dan Siti Hajar Yang Semakin Dilupai

Setiap tahun, rancangan yang menyiarkan ibadah haji telah dipertontonkan sebagai suatu rancangan untuk tatapan umum dan setiap kita sedia maklum tentang sejarah ibadah haji bermula. Ibadah korban yang dilakukan sempena pengorbanan nabi Allah Ibrahim A.S. bagi menggantikan jasad Nabi Ismail A.S. adalah sebagai suatu ujian yang Tuhan datangkan kepada kedua-dua mereka. Daripada kejadian ini, suatu konsep yang harus difahami oleh umat ini  ialah -- bahawa yang dikehendaki Tuhan adalah pengorbanan habis-habisan yang mampu diberikan oleh seseorang bagi mendapatkan keredhaan Tuhan.

Kesediaan Siti Hajar ditinggalkan oleh suaminya Nabi Ibrahim A.S. adalah menunjukkan bahawa demi menuntut keridhaan Tuhan, seseorang isteri sanggup ditinggalkan oleh suaminya bagi menghadapi risiko bahaya untuk meneruskan kehidupan di padang pasir yang hanya ditemani oleh anaknya yang masih bayi. Dengan berbekalkan penyerahan sepenuhnya kepada Tuhan, Siti Hajar telah memperolehi kemuliaan menjadi ibu kepada Nabi Ismail A.S. yang kemudiannya melahirkan junjungan besar nabi kita Nabi Muhammad S.A.W.

Penulis tidaklah bermaksud untuk pembaca mendapatkan pengalaman penyerahan diri kepada Tuhan sepenuhnya daripada pengajaran pengorbanan Nabi Ibrahim A.S., Siti Hajar dan Nabi Ismail A.S. Namun konsep pengorbanan harus ditanam dalam diri kita supaya kita dapat bersedia untuk berkorban apajua yang termampu sebelum ajal menjemput kita suatu masa nanti. Setelah sebahagian tanggungjawab dilaksanakan, segala lebihan yang diperolehi harus dikorbankan untuk tujuan Fi SabililLah bagi membangunkan syiar Allah S.W.T. 


 

No comments:

Post a Comment

Popular