SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Friday, November 27, 2015

SURAH NUH AYAT 18 -- MANUSIA DIKEMBALIKAN DAN DIBANGKITKAN DI BUMI


ثم يعيد كم فيها و يخرجكم اخراجا

Kemudian Ia mengembalikan kamu padanya dan Ia mengeluarkan kamu suatu pengeluaran.

Kemudian ia mengembalikan kamu ke Dalam bumi (Sesudah mati), dan mengeluarkan kamu daripadanya (Sesudah dihidupkan semula untuk dihitung amal kamu dan diberi balasan), Dengan pengeluaran Yang sesungguh-sungguhnya?

i.    Mati Sebagai Suatu Kitaran

Tiada pertentangan antara ayat ini yang membincangkan kebangkitan dengan kejadian yang berlaku selepas daripada kematian (75:07). Tentang pengembalian ke dalam bumi adalah suatu yang dimaklumi. Kematian tubuh menyebabkan proses pereputan tubuh mengambil tempat. Pereputan menyingkirkan bahan-bahan asal yang amat sesuai untuk pertumbuhan baru tumbuh-tumbuhan. Ulat yang memakan tubuh dapat hidup untuk meneruskan agenda kehidupan di bumi. Suatu persoalan timbul, adakah manusia akan dibangkitkan nantinya dari bumi ini dengan tubuh yang asal atau dengan tubuh baru yang lain? Penulis tidak dapat memberi jawapan secara pasti untuk manusia yang menganggap perkara kehidupan di dunia ini adalah perkara yang nyata. Lantaran kehidupan ini dengan sendirinya disebut sebagai alam maya maka secara mayanya persoalan sedemikian tidak harus wujud dan tiada jawapan harus diberi.

Bukan sahaja untuk memberi jawapan terhadap persoalan sedemikian bahkan, jawapan kepada bentuk rupa ‘bumi’ yang baru tempat manusia dibangkitkan kelak, bukanlah ada sesuatu ilmu pengetahuan oleh manusia tentang itu melainkan ilmu yang sedikit. Kehidupan di dunia ini bukanlah perkara main-main, sekiranya Tuhan menghendaki sebagai permainan, di sisi Tuhan terdapat sebenar-benar permainan sekiranya Tuhan menghendaki.

ii.    Manusia Yang Memerlukan 
       Alam Kediaman

Yang kerap menjadi persoalan manusia adalah, adakah terdapat alam kediaman yang lain yang dihuni oleh makhluk-makhluk lain di bumi atau di sekitar bumi ini? Sebenarnya Tuhan jualah yang mencipta bumi bersama dengan makhluk-makhluk ciptaanNya yang bertebaran di bumi ini dan begitu juga Tuhan jualah yang telah mencipta langit dan juga makhluk-makhluk yang bertebaran di langit (42:29). Bahawa bumi ini telah Tuhan ciptakan sebagai kediaman untuk manusia dan haiwan-haiwan lain termasuklah juga makhluk jin dan di langit pula, Tuhan telah ciptakan sebagai kediaman makhluk-makhluk tertentu seperti malaikat dan makhluk yang lain yang memiliki roh (70:04) – yang melaksanakan peranan tertentu.  

Mereka yang skeptik tentang kehadiran makhluk-
makhluk Tuhan yang lain sebenarnya cuba 
menafikan kekuasaan Tuhan.

iii.    Makhluk-makhluk Lain Yang 
        Bertebaran di Bumi dan Di Langit

Segala-galanya berada di dalam penguasaan dan pengawasan Tuhan. Sebagai makhluk ciptaan Tuhan, kita wajar mendiami bumi ini dan menjaganya dengan baik dan begitu juga makhluk-makhluk di langit, mereka seharusnya mendiami langit dan menjaganya dengan baik. Sekiranya manusia mengingkari kenyataan ini dengan memilih melakukan kerosakan di bumi ini dan berusaha untuk menempati langit dan turut merosakkan langit, akan sampai suatu masa nanti, makhluk yang ingkar di langit akan berusaha menguasai bumi ini dan mengambil alih peranan manusia sehingga menafikan hak manusia mengurus tadbir bumi ini! Penulis percaya perkara ini akan berlaku berdasarkan ramalan Al-Hadith menjurus kepada pemberitahuan mendatang. Namun Al-Quran tidak pernah membesar-besar perkhabaran sedemikian melainkan sebagai ujian kepada manusia. 

Di alam kediaman bumi ini, manusia (yang berfikiran bebas) dapat mengerti tujuan kehidupan ini. Mereka dapat mengerti erti penciptaan sehingga mereka harus memilih untuk sentiasa bersyukur kepada Tuhan. Dengan demikian mereka akan dapat menjalani kehidupan membina tamadun demi memperolehi kemudahan serta menyampaikan usaha mereka beribadah kepada Tuhan. Kemudahan yang Tuhan sediakan serta keupayaan berfikir yang Tuhan beri kepada mereka sebagai anugerah, tujuannya adalah supaya mereka sentiasa dapat mempelajari sesuatu dalam kehidupan ini, agar mereka dapat menjadi hamba Tuhan yang dapat memainkan peranan dengan baik. Mereka akan mengerti tentang alam kediaman mereka dan mereka perlu bersungguh-sungguh menjagainya dengan panduan dan tatacara yang telah Tuhan sediakan. Mereka tidak wajar berlaku gelojoh sehingga mengakibatkan alam kediaman mereka semakin binasa.




Saturday, November 21, 2015

SURAH NUH AYAT 17 -- MANUSIA YANG DITUMBUHKAN DARI BUMI


Di bumi ini manusia hidup, kepada bumi manusia yang telah mati dan daripadanya manusia akan dibangkitkan kembali. Tuhan yang Maha Berkuasa mencipta manusia untuk kali pertama bahkan berkuasa untuk menciptakannya pada kali yang lain.

ﻭ ﷲ ﺍﻧﺒﺘﻜﻢ ﻣﻦ ﺍﻻﺭﺽ ﻧﺒﺎﺗﺎ 

Dan Allah, telah menumbuhkan Ia akan kamu daripada bumi, suatu pertumbuhan.  

"Dan Allah telah menumbuhkan kamu (hidup dari benda-benda Yang berasal) dari bumi, Dengan pertumbuhan Yang sungguh-sungguh sempurna

i.    Manusia Yang Tumbuh 
      Dari Bumi

Apabila bumi disebut sebagai faktor pertumbuhan manusia, maka apajua yang diperlukan oleh manusia didatangkan dari bumi. Oksigen diperlukan untuk keperluan bernafas. Air diperlukan untuk keperluan pengangkutan makanan dalam tubuh. Sebatian nitrogen yang banyak tersimpan dalam makanan adalah untuk keperluan penghasilan protien. Sebatian karbon pula adalah untuk keperluan karbohidrat dan lelemak. Semua ini diperolehi berdasarkan proses tertentu yang terdapat dalam tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang menjadi punca pemakanan. Cahaya diperlukan untuk sintesis hormon vitamin D di bawah lapisan kulit. Pertumbuhan dalam tubuh manusia adalah menyerupai pertumbuhan sel dalam tumbuh-tumbuhan. Sel-sel membelah untuk tumbesaran pokok dan membentuk sel anak yang baru yang dapat disebarkan melalui biji benih. Tumbuh-tumbuhan juga mengalami proses perkahwinan sama ada melalui angin atau ejen pendebungaan seperti kumbang. Oleh kerana manusia pada sisi Tuhan adalah merupakan suatu pertumbuhan maka kematian bagi manusia adalah suatu penuaian untuk Tuhan.

Penuaian manusia adalah bertujuan mendapatkan suatu hasil tertentu yang dinamai sebagai pengalaman kehidupannya. Pengalaman daripada setiap manusia yang ditakrifkan sebagai membawa amalan baik dan buruk, adalah merupakan suatu persembahan manusia kepada Tuhan Yang Maha Mengetahui tentang hal sedemikian. Bumi dan segala hasil mahsulnya adalah milik Tuhan dan manusia hanyalah pemegang amanah untuk menguruskannya sahaja. 

ii.     Peranan Manusia Untuk 
        Keseimbangan Alam 

Dahulu tanpa manusia, bumi ini telah memulai pertumbuhannya meliputi tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Sehingga mukabumi ini dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan yang pelbagai jenis namun keperluan mendapatkan karbon dioksida semakin lama semakin terhad. Karbon dioksida dihasilkan daripada bumi oleh tindakan humus dan pernafasan haiwan serta buangan seperti urea (88:18). Berkurangnya gas karbon dioksida dapat dikesani melalui berkurangnya pertumbuhan kulat. Untuk keseimbangan, ekosistem memerlukan pertambahan haiwan-haiwan yang dapat menyingkirkan karbon dioksida supaya kuantiti karbon dioksida berada pada peratusan tertentu di atas bumi ini. Tumbuh-tumbuhan amat memerlukan karbon dioksida sebagaimana haiwan memerlukan oksigen. Tanpa keperluan ini, kedua-dua hidupan berkenaan akan mati dalam tempoh yang singkat. Karbon dioksida dan ammonia diperlukan supaya udarakasa dapat memendam haba. Tujuannya adalah supaya kejadian hujan yang turun dapat berada pada julat suhu air yang selamat untuk tumbuh-tumbuhan. Semakin berkurangan karbon dioksida dalam udarakasa maka suasana suhu persekitaran menjadi sejuk dan hujan dengan suhu yang sejuk akan berlaku. Di kawasan-kawasan hutan berdaun lebar, kehadiran hujan sejuk dan hujan salji dapat mengakibatkan kemusnahan kepada tumbuh-tumbuhan pada skala yang besar.

Hujan sejuk juga mengurangkan aktiviti kilat yang dapat menimbulkan api pembakaran di bumi. Namun haiwan-haiwan yang hidup adalah menurut peraturan sedia ada sehingga haiwan yang berada pada kedudukan teratas dalam rantaian pemakanan dapat terus hidup dan membiak dengan banyaknya sehingga mengurangi bilangan haiwan-haiwan yang menjadi mangsa. Haiwan-haiwan itu adalah seperti helang, harimau, singa, haina, ular dan sebagainya yang merupakan haiwan karnivor peringkat primerli. Keseimbangan karbon dioksida dan oksigen menjadi terganggu kerananya dengan kandungan karbon dioksida dan ammonia terus berkurangan dan bilangan tumbuh-tumbuhan terus meningkat. Agenda penciptaan manusia secara tidak langsung adalah untuk menyediakan mekanisma pengawalan semua ini. Manusia berada pada kedudukan teratas dalam penguasaan. Manusia dapat mengubahkan tumbuhan yang mati sama ada dalam bentuk kayu kering atau sumber hidrokarbon daripada bahan bakar petroleum atau arang batu, kepada gas karbon dioksida. Mereka melakukan semua ini sebagai bahan bakar. Peranan istimewa ini harus dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak semua tumbuhan akan dimusnahkan sehingga berlaku bencana. Namun, amanah yang diserahkan kepada manusia kini telah menjadi suatu pengkhianatan. Jawatan amanah kini mulai berubah. Mereka yang diamanahkkan berkelakuan seperti penyamun. Dengan kehadiran mereka, gas karbon dioksida telah meningkat secara ketara daripada 0.04 kepada 0.08 peratus. Bumi bagai dilanda penyakit dengan manusia sebagai sel kanser.

iii.    Manusia Keluar Dari Bumi 
        Secara Terus 

Pada zaman ini manusia telah mencapai suatu tahap teknologi untuk menghasilkan pemakanan yang diperolehi daripada satu sel tumbuhan yang dibiakkan secara intensif. Contohnya, menggunakan teknik kultur tisu manusia telah dapat menggandakan satu sel lapisan kulit oren, sehingga mengganda pada jumlah yang sangat banyak. Seterusnya perahan oren diperolehi daripada sel-sel berkenaan dan terus sahaja dapat dibotolkan untuk dijual. Teknologi ini telah dipelopori oleh syarikat minuman Sunquick, sehingga mereka tidak perlu menanam pokok oren untuk menjual air perahan oren. Kini, jus buah-buahan untuk pemakanan manusia telah dihasilkan tanpa memerlukan cahaya matahari dan pertumbuhan di atas tanah. 

iv.    Teknik Kultur Tisu Untuk 
        Penggandaan Sel Stem 

Penggunaan teknik kultur tisu daripada tumbuhan akan memberi idea buat manusia untuk melakukan perkara yang serupa terhadap haiwan. Suatu masa nanti, dengan keupayaan teknologi, barangkali manusia dapat membiakkan sel daging sehingga dapat menghasilkan sejumlah sel daging yang sangat banyak dan mereka dapat mengambilnya sebagai pemakanan. Dengan demikian mereka akan memperolehi bekalan daging lembu tanpa sebarang aktiviti penternakan lembu. Kini mereka berjaya membiakkan sel stem manusia untuk tujuan perubatan. Bagaimanakah suatu hari nanti sekiranya manusia berupaya menghasilkan rahim buatan menggunakan teknik kultur tisu? 

Keadaan ini memungkinkan mereka membesarkan janin pengklonan membentuk bayi-bayi manusia tanpa memerlukan ibu untuk mengandung bayi-bayi itu. Semua keperluan pembesaran janin diperolehi daripada unsur-unsur bumi secara terus dan manusia pada ketika itu benar-benar dapat dikatakan telah keluar daripada bumi tanpa ibu. Mungkinkah peristiwa ini akan berlaku sebelum menjelang peristiwa As-Saah (71:17 & 41:47).

Manusia yang ditumbuhkan daripada bumi adalah 
suatu hakikat yang sangat sukar untuk diterima.



Sunday, November 15, 2015

SURAH NUH AYAT 16 -- BULAN YANG BERADA DI LANGIT BUMI


و جعل القمر فيهن نورا و جعل الشمس سراجا

Dan telah mengadakan Ia akan bulan itu di dalamnya, yang bercahaya dan telah mengadakan Ia matahari yang menyala.

"Dan ia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang),

i.     Sebutan Gantinama Bagi 
       Lapisan Lelangit

Sekiranya ayat ini tidak didahului dengan ayat yang menyatakan terdapat tujuh lapisan lelangit yang bertindihan, perkataan فيهن akan digantikan dengan فيها yang membawa makna bulan mengandungi komponen yang dapat memendam cahaya dan memancarkannya kembali!  Fenomena bulan bercahaya dan matahari menyala telah diketahui sejak dahulu oleh umat Nabi Nuh. Bulan yang bulat itu menerima cahaya daripada matahari serta memancarkannya kembali dan dapat dilihat daripada bumi pada fasa-fasa tertentu bermula daripada bentuk sabit hingga ke bentuk bulat dan kembali kepada bentuk sabit. Bahagian yang terlindung daripada cahaya matahari adalah bahagian gelap sehingga bulan kelihatan seperti sabit. 

Sebutan فيهن merujuk bahawa bulan sebenarnya berada pada kedudukan langit bumi. Pada suatu ketika, bulan berada pada kedudukan hampir bertegak lurus antara bumi dan matahari sehingga bulan langsung tidak kelihatan. Pada kedudukan ini bulan berada di garisan ijmak dengan matahari. Tempoh bulan meninggalkan garisan ijmak selama lapan jam telah dipersetujui dalam persidangan kalendar Islam di Turki untuk menentukan pentarikhan baru Hijrah.

ii.    Bulan Yang Bercahaya Matahari 
       Yang Menyinar

Perkataan bercahaya sebagaimana yang disebutkan pada minyak zaitun (24:35) tidak memerlukan sentuhan api atau haba. Bulan dikatakan bercahaya walau tidak dinyalakan dengan api. Mengapakah juga bahagian gelap daripada bulan terutama pada awal bulan hijriah dapat dilihat bercahaya dan cahaya itu hilang dengan ketara pada hari ke empat dan seterusnya? 

Kesan cahaya pada tempat terang adalah disebabkan oleh sinar matahari manakala kesan cahaya tempat gelap adalah disebabkan oleh pantulan cahaya daripada permukaan bumi. Penemuan-penemuan terkini menjelaskan permukaan bulan terdiri daripada sebatian berikatan kovalen dengan isotop hidrogen sama ada deutrium atau tritrium. Tentunya isotop ini didatangkan terus dari matahari yang menghembuskan partikel halus sehingga ke permukaan bulan. Isotop hidrogen ini memiliki tenaga tinggi yang dapat diproses secara bersih untuk membekalkan elektrik dalam tempoh panjang. Namun usaha seperti ini belum lagi diura-urakan. 

Kajian tentang bulan bercahaya berbentuk seperti sabit, membawa kesimpulan yang sama terhadap planet-planet. Kesan bulan bercahaya akibat dipancar oleh matahari dijelaskan juga dalam 24:35 mewujudkan fenomena yang sama terhadap planet-planet. Planet-planet yang lebih hampir dengan matahari berbanding bumi mempersembahkan bentuk-bentuk tertentu seperti bulan pada keseluruhan fasa-fasa yang berbeza. Planet-planet lain yang lebih jauh daripada matahari menunjukkan bentuk sebahagian sahaja fasa-fasa yang berbeza yang dapat dilihat. Matahari dengan sinaran cahaya yang menerangi sepanjang masa tidak pernah mengalami tempoh kegelapan. Bahan bakar nyalaan matahari adalah gas-gas hidrogen yang berpadu melakukan pelakuran membentuk gas-gas helium yang baru.

ii.    Adakah Terdapat Makhluk Melata 
       Sekitar Planet Bumi?

Oleh kerana Al-Quran menyatakan bahawa bulan adalah suatu objek yang terdapat di lapisan langit bumi (pen. – lapisan astrosfera @ exosfera),  berdasarkan rujukan ayat 42:29 maka kehadiran makhluk-makhluk nyata yang berada di langit selain daripada manusia dan jin, tidak harus dinafikan kewujudannya begitu sahaja. Al-Quran tidak pernah menafikan kehadiran 'makhluk asing' sebagaimana yang biasa kita dapati kisah-kisah sedemikian disampaikan oleh pihak Barat, bahkan telah dijadikan kisah-kisah tayangan.

Ayat daripada 42:29 haruslah dipandang pada sudut pandangan yang lebih luas lagi. Keadaan cakerawala yang sangat luas dan bilangan planet yang banyak yang boleh didiami, memungkinkan terdapatnya makhluk-makhluk lain seperti manusia yang juga dapat membangunkan teknologi mereka sendiri. Mereka mungkin makhluk Tuhan yang memiliki keupayaan sehingga ke peringkat pengubahsuaian genetik dan berkomunikasi secara telepati, tetapi mereka bukanlah pemula bagi suatu kehidupan. Alam ini telah sedia wujud sejak beberapa bilion tahun yang lalu untuk memungkinkan kewujudan makhluk berteknologi. Bangsa jin misalnya, telahpun memiliki kelebihan teknologi berbanding manusia sejak sebelum perutusan Nabi Muhammad S.A.W. lagi.

Sesuatu yang asing memang ada di bulan.
Terpulang kepada pembaca untuk menilai.




Monday, November 9, 2015

SURAH NUH AYAT 15 -- LANGIT YANG SALING MENINDIH ATAS KE BAWAH


ا لم تروا كيف خلق الله سبع سموت طباقا

Adakah telah tidak kamu melihat bagaimana telah merekabentuk Ia oleh Allah akan tujuh lelangit yang bertindih-tindih?

"Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan Bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat,

i.    Sebutan Kearaban Yang Lebih Jitu

Perkataan تروا merupakan kata kerja sedang buat yang didahului sebelumnya sebutan لم yang merupakan perkataan nafiah telah berlalu. 

Apabila dua perkataan ini dicantumkan, adalah merujuk kepada perbuatan yang telah lalu yang tidak berulangan, seperti kisah bangsa Quraisy yang menyaksikan peristiwa gajah pada tahun gajah oleh sahabat-sahabat gajah (105:01). Kefahaman yang serupa terhadap umat Nabi Nuh, menunjukkan bahawa umat Nabi Nuh juga suatu kaum yang agak canggih tentang pemerhatian alam, sehingga mereka telahpun sedia mengetahui sebahagian fenomena lelangit yang keadaannya bertindih-tindih. 

Perbincangan panjang lebar diperolehi dalam surah-surah selanjutnya (88:18). Secara ringkasnya, lapisan lelangit itu ialah hidrosfera dari bahagian atmosfera yang terangkum dalam troposfera. Ditindih oleh satu lapisan tropopause dan stratosfera yang terdapat padanya suatu lapisan ozon. Stratosfera yang lebih sejuk menghalang air terlepas ke angkasa lepas. Mesosfera merupakan kawasan sejuk di bawah ionosfera menindihi lapisan bawahnya dan astrosfera merupakan kawasan medan magnetik bumi yang berperanan menepis tembakan cas-cas matahari ke arah tepi. Di atas lapisan astrosfera adalah merupakan angkasa lepas sehingga mencapai kawasan di bawah pengaruh medan tarikan graviti bumi yang belum dinamai lagi. Di sinilah terdapatnya satelit-satelit bumi buatan manusia dan juga bulan. 

Bumi dan langit asalnya bertaut, kemudian 
terpisah oleh beberapa lapisan atmosfera

Terjemahan lain menyatakan lelangit adalah sesuatu yang seimbang. Lapisan lelangit yang menindihi antara sebahagian dengan sebahagian yang lain adalah merupakan agenda Tuhan yang merekabentuk keadaan sedemikian supaya lapisan udarakasa dapat berada pada suatu situasi saling memperkukuh antara satu sama lainnya. Sehingga setakat ini, belum pernah didengari kejadian kebocoran antara satu lapisan dengan lapisan lain. Keadaan sedemikian telah mulai terbentuk sejak bermulanya pembentukan bumi jutaan tahun yang lalu. Manusia harus menjagainya namun banyak daripada usaha-usaha manusia sekarang ini membawa kemudharatan teruk kepada lapisan lelangit bumi sehingga langit banyak menimpakan kebinasaan terhadap manusia. Kerosakan lapisan langit dapat disaksikan kini, dengan terlihatnya bentuk sfera bulan dan matahari yang semakin membesar di ufuk.

ii.     Bagaimana Pembentukan Lapisan 
        Lelangit Terjadi?

Bumi dan langit dahulunya adalah sesuatu yang bertaut. Permukaan bumi didapati bertaut dengan langit dengan lapisan yang sangat tipis dan tidak dapat dibezakan antara lapisan ini dengan permukaan bumi. Langit yang dimaksudkan di sini bukanlah bermaksud angkasa lepas. Gas-gas langit pada peringkat asal adalah terdiri daripada molekul-molekul sebatian dengan berat molekul yang besar sekitar 100 u.j.a seperti hidrogen sulfat, hidrogen fosfat, kloroflorokarbon dan sebagainya. 

Hanya sebatian-sebatian seperti ini dapat membentuk keadaan gas yang dapat menghasilkan lapisan langit yang tipis, untuk suatu tempoh masa yang lama dan suhu yang tinggi. Gas-gas ini disingkirkan daripada aktiviti letusan gunung berapi. Gas-gas yang ringan, sama ada masih terperangkap di bawah bumi atau terbebas ke angkasa lepas. Kemudian muncul gas-gas yang dapat mengadakan ikatan hidrogen dengan gas-gas asal membentuk lapisan lebih tebal. Gas-gas seperti ammonium klorida mengambil tempat sehingga akhirnya menumpuk semula di permukaan bumi dan menjadi bahan galian yang sesuai untuk tujuan penanaman pada waktu ini. Kehadiran gas-gas unsur berlaku pada peringkat akhir meliputi nitrogen dan oksigen. Oksigen merupakan gas yang disingkirkan daripada tumbuhan peringkat primat akhirnya menjadi suatu keperluan untuk membantu proses kehidupan haiwan-haiwan. Proses pembentukan gas-gas ini mengambil tempat secara perlahan-lahan dan beransur-ansur membentuk kepelbagaian lapisan yang berbeza. Semakin lama ketebalan lapisan langit yang rendah semakin ketara dan sehingga kini telah mencapai ketebalan 120 km dan masih lagi menebal akibat aktiviti kerosakan yang manusia lakukan.





Tuesday, November 3, 2015

SURAH NUH AYAT 14 -- WALHAL TUHAN YANG TELAH MEMBENTUK MEREKA


و قد خلقكم اطوارا

Walhal sesungguhnya telah merekabentuk Ia akan kamu tahap-tahap tertentu.

"Padahal Sesungguhnya ia telah menciptakan kamu Dengan kejadian Yang berperingkat-peringkat?

i.     Tahap-tahap Perkembangan Manusia

Tahap-tahap tertentu dapat dinyatakan sebagai tahap perkembangan. Daripada janin manusia dilahirkan sebagai bayi. Seterusnya melalui zaman kanak-kanak, remaja, dewasa dan akhirnya tua. Mengapakah mereka menidakkan bahawa tempoh hayat mereka di dunia ini adalah terhad dan mereka akan segera dikembalikan kepada Tuhan selepas itu? Kehidupan ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah peluang manusia menimba pengalaman hidup yang dinamai sebagai amalan. Di akhirat nanti, ada perhitungan untuk dinilai bagi setiap individu menurut amalan atau pengalaman masing-masing, kecuali mereka yang dikehendaki Tuhan dan urusan itu kembali kepada Tuhan. 

Perkembangan Manusia

Mereka juga telah melalui tahap-tahap pembentukan janin yang berlaku dalam tiga kegelapan. Pengulas-pengulas ayat Al-Quran berbeza pendapat dalam memberi pengertian makna tiga kegelapan. Pertamanya adalah kegelapan ovari, kegelapan sesalur uterin dan kegelapan uterus. Terdapat juga yang menafsirkan bahawa tiga kegelapan itu adalah tiga lapisan uterus iaitu endometrium, perimetrium dan miometrium. Yang lebih hampir kepada penerangan lapisan adalah pembentukan tiga lapisan yang terbentuk selepas perlekatan blastosista ke dinding uterus iaitu lapisan sinsitiotrofoblas, sitiotrofoblas dan membran Heuser.

ii.    Kupasan Berdasarkan Kefahaman 
       Masing-masing

Demikianlah ulasan terhadap Al-Quran yang berbeza-beza pendapat berdasarkan kepakaran seseorang. Kerja-kerja kefahaman seperti ini tidak harus dilarang kerana ayat-ayat Al-Quran sesungguhnya merupakan perkataan yang luas dan dapat memberi makna berbagai-bagai. Terdapat juga ulasan kegelapan itu dikaitkan perkembangan semasa minggu ketiga pembentukan janin, bermula daripada alaqah yang dimulai daripada peringkat pembentukan cakera germa trilaminar yang berlaku pada janin itu sendiri. Demikian itu adalah ulasan yang ada hubungan dengan tahap-tahap masa dan had-had tempat berlaku pembentukan manusia.

Tentunya bukan penerangan seperti ini yang akan diperjelas oleh Nabi Nuh A.S. kepada kaum baginda, hanya kita pada waktu ini yang sedang membaca ini dapat memperolehi sedikit pengajaran ayat-ayat Tuhan yang tidak diperolehi oleh umat Nabi Nuh memandangkan mereka kini telah tiada. Demikianlah kaum Nabi Nuh membantah ajaran Tuhan padahal ilmu mereka tidak meliputi akibat daripada kedegilan mereka sendiri, suatu pengingkaran dan kesombongan tak kesampaian. Mereka telah pekat dengan ketagihan penyembahan berhala.






Wednesday, October 28, 2015

SURAH NUH AYAT 13 -- MEREKA MERASAKAN TIDAK LAGI MEMERLUKAN TUHAN


ما لكم لاترجون لله وقارا

Apa-apakah (yang ada) bagimu (sehingga) tidak kamu mengharapkan (apajua yang) bagi Allah suatu kemuliaan.

"Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah (dan kekuasaanNya), -

i.    Mereka Sungguh Merasa Besar Diri

Berapa banyakkah yang kamu miliki sehingga kamu menjadi megah kerananya lalu kamu tidak mahu mengharap apa jua yang ada di sisi Tuhan. Berapa lamakah masa, kamu dapat merasai nikmat kehidupan di dunia ini? Adakah manusia akan dibiarkan begitu sahaja menempuh kehidupan sebebas-bebasnya? Di manakah generasi orang-orang tuamu dahulu pada waktu ini? 

Memang begitulah sikap manusia yang mereka warisi sejak dahulu lagi. Hanya golongan beriman menyedari bahawa kehidupan dunia tidak kekal, ‘pemilikan’nya juga tidak kekal sehingga mereka menyerahkan semuanya kepada Tuhan dan hanyalah mereka itu pemegang amanah yang akan dipersoalkan. Golongan yang ingkar mengetahui yang demikian hanya mereka tidak menyedarinya. 

RasululLah S.A.W., telah memperoleh kemuliaan dan begitu juga para sahabat baginda dan pengikut-pengikut sahabat dan seterusnya. Generasi terdahulu juga telah menemui kemuliaan sehingga dapat menguasai sekitar dua pertiga dunia hampir 1000 tahun.

ii.     Kelemahan Umat Akibat Meninggalkan 
        Al-Quran

Selepas mereka bertelingkah sesama sendiri dan tidak menuruti perintah Tuhan untuk menghayati Al-Quran, umat ini menjadi lemah selemahnya hingga akhirnya mereka menerima nasib malang dijajah dalam tempoh yang sangat lama. Mereka ditimpa kehinaan di mana jua mereka berada dan seterusnya selepas dari zaman penjajahan, umat ini menjadi bercelaru dalam menempuh hidup akibat mereka tidak mengambil kembali sistem Tuhan. 

Lalu mereka menuruti sistem yang disediakan penjajah yang akhirnya membawa mudharat besar terhadap alam ini dan begitu juga kehidupan manusia secara umumnya. Tanyalah kepada sesiapa sahaja dalam kalangan umat ini, mengapakah bukan mereka yang merupakan penentu harga terhadap keluaran dari negara mereka sendiri berupa getah, minyak sawit serta hasil petroleum? Jadi, apa yang nak dimegahkan dengan pemilikan semua itu sekiranya kita sendiri tidak dapat menentukan harganya serta kuota pengeluarannya?





Thursday, October 22, 2015

SURAH NUH AYAT 12 -- AKIBAT DARIPADA PEMBENTUKAN CUACA YANG BAIK


و يمدد كم باموال و بنين
و يجعل لكم جنت و يجعل لكم انهرا

Dan Ia memperbilang akan kamu dengan harta-harta dan anak-anak (takathur) dan Ia mengadakan bagi kamu taman dan Ia mengadakan bagi kamu sungai-sungai.

Dan ia akan memberi kepada kamu Dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

Perkara inilah yang amat digemari oleh manusia. Namun apakah manusia benar-benar memperolehinya tanpa panduan daripada Tuhan? Dengan mengambil pendirian beriman kepada Tuhan maka dengan mudah mereka akan mempelajari ayat-ayat Tuhan yang memberi panduan dalam mengurus tadbir alam. Yang penting sekali adalah mengambil langkah berhati-hati dalam pekerjaan. Anak-anak memerlukan penjagaan, begitu juga dengan harta dan juga kebun-kebun serta sungai-sungai. Bukankah manusia merupakan khalifah yang diamanahkan untuk menjaga alam ini?

Namun bagaimanakah mereka dapat mengambil langkah berhati-hati, kiranya mereka mengingkari hari berlakunya bencana. Harta dan anak-anak merupakan amanah Tuhan, perlu diurus tadbir berdasarkan panduan daripada Tuhan.


i.     Keperluan Bahagian Dunia Untuk
       Tujuan Akhirat


Pada zaman ini, tiada harta ibarat tiada agama. Harta amat diperlukan untuk keperluan asas harian dan juga untuk tujuan beragama. Apajua yang dikaitkan dengan harta, termasuklah aktiviti ekonomi serta pemilikan aset adalah sesuatu yang perlu dilakukan. Bukan sahaja untuk tujuan keselesaan hidup, bahkan aktiviti menghayati agama harus dapat dihidupkan. Ayat 28:77 harus difahami sebagai mencari kehidupan akhirat melalui perkara-perkara yang telah didatangkan Tuhan di dunia ini dan menggunakan sedikit bahagian yang diperolehi itu untuk keperluan dunia. Ini bermakna, kita perlu dapatkan apa jua bahagian dunia terlebih dahulu seperti harta, pangkat, kedudukan serta status dan menggunakan semua itu untuk mencari bahagian akhirat. Di samping itu, kita harus peruntukkan sedikit bahagian itu untuk keperluan dunia.


ii.    Berjihad Dengan Harta Terlebih Dahulu

Bukankah untuk berjihad, kita perlu mulai dengan harta dan kemudian diikuti dengan pengorbanan diri (61:11)? Berapa lamakah seseorang itu dapat menongkat alam ini? Apabila sampai masa اجل مسمى, tempatnya akan digantikan dengan generasi seterusnya yang terdiri daripada anak-anak keturunannya. Dengan penghayatan agama yang terdapat pada generasi sebelumnya, perkara yang sama akan dituruti oleh generasi berikutnya.

Adapun anak-anak, perlu dididik untuk menghadapi zaman mereka dan bukannya zaman kita ini. Suasana pada zaman mereka adalah sama sekali berbeza dengan zaman sekarang. Pada zaman ini yang komunikasi berada di hujung jari, generasi akan datang perlu didedahkan dengan teknologi sedemikian dan persiapan terhadap perubahan perlu dilakukan awal-awal lagi (77:03). Bagaimanakah generasi kini dapat mendidik generasi akan datang, sedangkan capaian terhadap internet perlu diperolehi pada kos yang tinggi. Berbanding di negara-negara lain seperti Sweden, Korea Selatan dan Singapura, capaian itu dapat diperolehi secara percuma. Mereka lebih terdedah kepada maklumat dan bersedia untuk menguasainya berbanding masyarakat kita. Bagaimana keadaan, sekiranya anak-anak tidak menghormati generasi terdahulu semata-mata mereka beranggapan mereka adalah lebih pakar maklumat berbanding ibubapa mereka?

iii.     Darihal Kebun dan Sungai-sungai

Air bersifat melarut, membawa sebatian-sebatian dan nutrien untuk diserap ke dalam tanah. Tumbuhan mengambilnya untuk tujuan pertumbuhan yang baik. Lebihan air akan membawa sedikit baki sebatian dan nutrien untuk pertumbuhan lumut serta rerumput dalam sungai dan untuk kehidupan equatik seperti ikan, udang, sesiput dan sebagainya. Semuanya wajar berlaku dengan penuh harmoni sejak dahulu lagi. Hanya golongan yang berpandukan panduan Tuhan dapat memanfaatkannya dengan cermat. Adakah wajar semua itu diserahkan kepada golongan ingkar, sehingga mereka mengambilnya secara gelojoh tidak terkawal. Sehingga mengakibatkan taman-taman serta sungai-sungai menjadi rosak kerananya. Wujudnya spesis ikan yang berupaya melakukan pembersihan sungai, dengan memakan kotoran yang disingkirkan di Sungai Kinta, Ipoh, yang dikenali sebagai ikan MBI, (kerana tugasnya melakukan pembersihan seperti kakitangan bandaraya) menunjukkan kekuasaan Tuhan, untuk tujuan membaik pulih kerosakan yang disebabkan oleh manusia. Ikan ini amat tidak digemari oleh kucing lantaran kulitnya yang sangat keras.

Sungai-sungai berpunca dari kawasan tadahan air. Kerosakan kawasan tadahan air akan membawa akibat kerosakan sungai.

iv.     Kerosakan Sumber Air

Kita dapati pada waktu ini, apabila berlaku penebangan hutan secara berleluasa, aliran air yang mengalir tidak lagi berlaku secara beransur-ansur dan ini dapat mengakibatkan terjadinya banjir kilat apabila hujan sedikit lebat. Kekeringan air segera berlaku, hanya untuk tempoh beberapa minggu sahaja hujan tidak turun. Bahkan, air yang seharusnya dapat digunakan untuk tujuan pengairan bendang menjadi semakin terhad, bukan disebabkan oleh kekurangan hujan per tahunan, tetapi disebabkan oleh salah selia pihak-pihak yang diberi tanggungjawab. Wajarkah lembaga kemudahan awam yang membekalkan air dipersalahkan, lantaran tidak berupaya menakung air semasa banjir besar yang berlaku secepat kilat?

Mengapa bukit-bukau perlu digondolkan sehingga mengakibatkan pergerakan air yang sepatutnya dapat diperlahankan, telah melimpahi tebing-tebing dan merobek tebing-tebing sungai? Kerosakan apakah ini, semata-mata kerana kayu hutan yang tak seberapa nilainya, hanya ribuan ringgit, mengakibatkan kemusnahan hasil pertanian sama ada akibat banjir atau kemarau? Apakah mereka layak untuk memakmurkan syurga Tuhan setelah mereka gagal di dunia ini? Begitulah juga umat ini yang membiarkan sahaja perlakuan seperti itu berlaku, tanpa sebarang usaha membaik pulih serta menasihati pihak-pihak tertentu yang melakukan kerosakan.

Memilih kebun-kebun yang ada punca air, adalah merupakan keadaan yang sesuai untuk tujuan pembangunan pertanian dan penternakan intensif. Aliran sungai adalah sinonim dengan pengangkutan makronutrien seperti sebatian nitrat, kalium dan fosforus dan mikronutrien seperti ion zink, boron dan sebagainya. Semua itu sangat sesuai untuk kesuburan tanah dan pertumbuhan tumbuhan yang lebat serta penghasilan hasil pertanian yang baik. Bahkan kita biasa mendengar pertanian giat yang dilaksanakan di kawasan delta, yang merupakan tempat tamadun manusia bermula, seperti delta Nil di Mesir dan delta Yangzhi di China. Demikian itu adalah perhiasan hidup di dunia ini sedangkan kurniaan Tuhan di akhirat adalah lebih baik.




Friday, October 16, 2015

SURAH NUH AYAT 11 -- HURAIAN KEPADA PUNCA PEMBENTUKAN CUACA


يرسل السمأ عليكم مدرارا

Ia menghantar langit ke atas kamu yang melelehkan.

(Sekiranya kamu berbuat demikian), ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

i.    Kepelbagaian Bentuk Terjemahan

Terjemahan biasa yang banyak diperolehi adalah hujan yang lebat atau air yang turun mencurah-curah. Perkataan السمأ harus diterjemahkan secara terus daripada bahasa Arab bererti langit. Iaitu langit dihantar ke atas mereka dan bukanlah langit yang menimpa mereka. Perkataan asal مدرارا daripada درة adalah bererti juga lelehan, merujuk kepada susu yang dilelehkan. Perkataan yang sesuai adalah langit yang melelehkan air sedikit demi sedikit. Lelehan bukan curahan, susu yang keluar tidak turun mencurah-curah melainkan secara curahan sedikit demi sedikit setara dengan kuantitinya, sehingga bayi perlukan masa yang lama untuk menghisap susu ibu. 

Kuantiti hujan sebegini sekadar cukup membasahi bumi sehingga tidak akan mengakibatkan banjir atau tanah runtuh. Langit merujuk sesuatu yang tinggi. Awan perlu berada pada kedudukan yang tinggi untuk mengalami kesejukan dan menurunkan hujan secara lelehan demi lelehan. Awan yang berada pada paras kedudukan yang rendah, akan menurunkan hujan yang lebat. Fenomena ini banyak terjadi sekitar kawasan panas zon khatulistiwa. 

Keadaan sedemikian diimbangi dengan pertumbuhan hutan hujan khatulistiwa yang tebal supaya kandungan tanah tidak banyak dihanyutkan. Oleh itu fenomena banjir kilat sering terjadi apabila berlaku banyak aktiviti penebangan hutan.

ii.   Ayat Yang Membenarkan Fenomena 
      Alam Yang Dapat Dibuktikan 
      Secara Ilmiah

Dalam suatu eksperimen sains, wap air dapat dilelehkan apabila menempuh suatu sempadan yang lebih sejuk. Keadaan lebih sejuk diperlukan supaya titik-titik air dapat bergabung membentuk titisan air yang lebih besar. Ayat ini menjurus kepada keadaan langit sejuk, yang berada pada altitud yang tinggi sehingga memudahkan pembentukan titik-titik air mikroskopik. Titik-titik ini akhirnya bergabung membentuk titisan hujan yang dapat meleleh jatuh. Pembentukan hujan jenis ini dikenali sebagai hujan perolakan.


Hujan perolakan dapat berlaku setempat, di altitud 
yang tinggi tanpa pergerakan yang aktif. 

Oleh itu, angin lembab yang bergerak mengarah ke perbanjaran, akan mengakibatkan berlakunya penolakan udara ke atas sehingga meredah sekitaran yang sejuk. Fenomena seterusnya yang bakal terjadi adalah pembentukan hujan bukit.

Hujan bukit adalah sejenis hujan perolakan. Dalam hujan 
perolakan, awan perlu berada pada kedudukan yang tinggi
sebelum menghasilkan hujan.

Semasa proses pembentukan hujan, keadaan lampau sejuk yang terbentuk, dapat menarik lebih banyak titik-titik air pada suatu awan sehingga menjatuhkan titisan air secara avalance (24:43). Aktiviti pembenihan awan menggunakan bahan penyejuk seperti wap ammonium nitrat, dapat menggalakkan terhasilnya hujan pada kadar yang segera. Namun penumpukan wap ammonia di atmosfera yang lebih tinggi sehingga bertindakbalas dengan asid nitrik daripada aktiviti petir, dapat menimbulkan kebahayaan terbentuknya ribut yang menurunkan hujan dengan sangat lebat. Penumpukan wap ammonium nitrat di udarakasa didapati akan menahan haba daripada terlepas ke angkasa lepas pada keadaan kelembapan tinggi dan akan menghangatkan bumi semasa kelembapan rendah. 

Adakah kita termasuk hamba Tuhan yang berhati-hati semasa melakukan aktiviti pertanian sehingga mengakibatkan perubahan kepada cuaca bumi, demi mendapatkan hasil pertanian yang lumayan? Kepatuhan kepada Tuhan bukan sahaja dalam hal-hal yang berkaitan dengan ibadah ta'abudi, malahan dalam seluruh aspek kehidupan. Manusia tidak perlu terlalu gelojoh dengan kehidupan di dunia ini. Sebenarnya sesuatu yang diusahakan oleh individu selalunya cukup untuk keseluruhan ahli keluarganya serta sebahagian daripada ahli masyarakat. 

Mereka seharusnya gelojoh dalam mempelajari ayat-ayat Tuhan supaya dapat menempuh kehidupan yang lebih bermakna. Supaya mereka layak menjadi ahli syurga untuk tujuan memakmurkannya. Mengamalkan ibadah berpuasa tentunya dapat mengurangkan pengambilan makanan, sehingga aktiviti pertanian yang merosakkan alam sekitar dapat dihindari. Kita harus mempelajari pengamalan masyarakat China dahulukala yang gemar memilih baja buangan haiwan dan manusia dan bukannya baja sintetik yang merosakkan.

iii.    Kebaikan Kitar Semula Nitrat

Kitar semula nitrat dapat mengurangkan kejadian gelinciran tanah serta tanah rebah. Apatah lagi, sekiranya nitrat dan nitrit didapati terlalu banyak dalam tanah dan larut dalam air, pelbagai masalah akan timbul. Pelbagai masalah kesihatan seperti kanser serta penyakit lelah kepada anak-anak kecil terjadi, gara-gara pencemaran nitrat dan nitrik. Setakat ini tiada penapis yang dapat menapis nitrat melainkan melalui kaedah R.O. Kaedah penghasilan air tulen ini untuk tujuan pembersihan, didapati memerlukan kos yang tinggi. Usaha yang ada adalah pada skala yang kecil sahaja.

iv.    Fenomena Langit Dengan Sempadan 
        Suhu Berbeza

Fenomena ini berlaku di atas permukaan bumi akibat daripada perubahan musim (perselisihan malam dan siang) sehingga terbentuk kisaran angin. Bumi yang berputar di paksi pada kecondongan 23.5 darjah menyebabkan berlakunya perubahan tempoh antara siang dan malam sepanjang tahun. Akibatnya, berlakulah perbezaan suhu antara permukaan bumi yang bersudut tegak dengan matahari dengan bahagian bumi yang lain pada sudut-sudut yang berlainan. Kawasan yang panas akan mengalami tekanan udara yang rendah manakala kawasan sejuk, tinggi. Pergerakan udara dari kawasan bertekanan tinggi ke kawasan bertekanan rendah mengakibatkan pertembungan antara udara sejuk dan udara panas yang mengandungi wap-wap air. Wap-wap air yang disejukkan akan segera membentuk titik-titik air yang kelihatan sebagai awan. Hujan yang turun dikenali sebagai hujan monsun. Hujan jenis ini jarang dituruti oleh aktiviti kilat dan petir yang aktif. Seringkali kita dapat melihat ke angkasa, apabila kepulan awan kadangkala mengalami pelenyapan disebabkan oleh perpindahan awan ke kawasan udara panas. Fenomena sebaliknya pula akan berlaku apabila awan tiba-tiba terbentuk apabila suhu menyejuk.

Perkara sedemikian sebenarnya dapat dipelajari melalui geraf keluk air yang berubah dengan perubahan suhu dan tekanan. Di Malaysia terdapat dua fenomena monsun iaitu monsun timur laut dan monsun barat daya. Monsun timur laut membawa kesan hujan yang lebat pada sekitar hujung dan awal tahun manakala monsun barat daya yang lebih kering berlaku pada pertengahan tahun. Pada waktu pagi yang sejuk, lelehan air daripada embun dapat berlaku walaupun tanpa adanya hujan. Lelehan air bernutrien ini amat membantu pertumbuhan kulat.

Kulat hanya akan tumbuh dengan bekalan air
bersih yang bernutrien, terutamanya selepas
hujan lebat yang banyak aktiviti kilat.

Friday, October 9, 2015

SURAH NUH AYAT 10 -- BERISTIGHFARLAH KEPADA TUHAN


فقلت استغفروا ربكم انه كان غفارا

Telah berkata aku, minta ampunlah olehmu akan Tuhan kamu, sesungguhnya Ia yang Maha Pengampun.

"Sehingga Aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, Sesungguhnya adalah ia Maha Pengampun.

i.     Mengaku Kesalahan dan Memohon
       Keampunan Tuhan

Apakah yang diseru oleh Nabi Nuh A.S? Iaitu untuk memohon keampunan Tuhan. Yang menjadi masalah adalah, mereka tidak merasakan mereka bersalah kepada Tuhan, lalu bagaimanakah mereka mahu menyahut seruan Nabi Nuh A.S? 

Seperti sekarang ini sebagaimana perlakuan manusia yang mereka sangkakan sebagai serba canggih, berdasarkan pengamatan saintifik dan mesra alam sebenarnya masih menimbulkan kebahayaan kepada alam sekitar kediaman mereka sendiri. Lalu bagaimanakah polisi sesebuah pemerintahan dapat mendidik rakyatnya supaya berhati-hati dalam pekerjaan mereka? Pelbagai bencana telah berlaku kepada Fir'aun lantaran sebab akibat perbuatan mereka sendiri. Begitu juga dengan bencana dari langit yang menimpa negara-negara Barat pada setiap tahun akibat perbuatan mereka sendiri.

ii.     Kelangsungan Hidup Di Bumi

Bahkan mereka menyalahkan fenomena perubahan cuaca atas segala bencana yang berlaku namun, mengapakah kebanyakan daripada bencana yang berlaku hanya berlaku di tempat sekitar mereka dan kurang terjadi pada belahan bumi yang lain? Sedangkan seluruh manusia juga terkesan daripada kehangatan akibat perubahan cuaca. 

Sebenarnya mereka tidak menyedari, perbuatan tangan mereka yang manakah yang mengakibatkan perubahan cuaca? Tuhan telah mengarahkan mereka beriman terlebih dahulu dan memohon keampunan kepada Tuhan terlebih dahulu sebelum Ia menunjuki mereka. Adakah mereka dapat menghilangkan keegoan mereka sehingga mengakui kecanggihan mereka sentiasa membuatkan mereka berada dalam bencana? Kerana keimanan bukan perkara yang murah serta mudah, hanya dengan menyerahkan ilmuNya semata-mata dan pada masa yang sama mengingkari arahanNya. 

Perkara yang seperti inilah yang tidak dapat diterima oleh kebanyakan manusia sehingga akhirnya bencana datang menimpa mereka akibat perbuatan tangan-tangan mereka sendiri. Ilmu mereka sebenarnya tidak meliputi. Sesungguhnya Tuhan sentiasa membuka pintu keampunanNya, agar manusia merendah diri dan mengakui Tuhan jualah yang berhak memimpin mereka. 

iii.    Keingkaran Itu Adalah Pilihan 
        Mereka Sendiri

Baiklah, mereka menolak untuk mengimani Tuhan serta memohon keampunan daripadaNya. Mereka hanya mengakui bahawa apajua yang berlaku di alam ini adalah suatu fenomena alam. Sebenarnya Tuhan tidak memerlukan langsung keimanan mereka itu. Lalu Tuhan akan membiarkan mereka tenggelam dalam kecanggihan mereka melakukan kerosakan demi kerosakan. Bumi semakin panas sehingga bencana banyak berlaku ke atas mereka serta orang-orang yang serupa dengan mereka. Mereka sendiri tentunya akan membuat imbangan dan ulang semak terhadap kerja tangan mereka. Adakah mereka akan menemui punca bencana yang mereka telah lakukan? Kalau mereka temuinya sekalipun, mampukah mereka berbuat suatu sehingga polisi mereka akan dipatuhi dan seterusnya menghindari bencana yang serupa daripada berulang! 

Sekiranya mereka tidak melakukan, sesungguhnya mereka sekali-kali tidak akan mereka mampu melakukannya. Maka adalah wajar mereka mengkhuatiri azab Tuhan di akhirat yang lebih berat lagi. Sehingga mereka tidak lagi mampu melakukan kerosakan bahkan tidak juga perbaikan. 

Adakah apabila keadaan sudah terlambat baru mereka mahu melakukan sesuatu yang sebenarnya tidak ada sebarang nilai perbaikan selepas itu? Laksana menampal semula kaca yang telah pecah, hanya dalam relau sahaja kesudahan yang terbaik. Begitulah perbezaan antara golongan beriman yang mengajak golongan ingkar supaya kembali kepada keimanan. Nanti Tuhan akan tunjukkan cara-caraNya serta mendatangkan rahmatNya sehingga keadaan alam sekitar akan dapat dipulihkan. Golongan ingkar dengan keegoan mereka menyangka mereka lebih mengetahui dan lebih berupaya mengubah keadaan, menafikan kekuasaan Tuhan atas segala sesuatu.

 Akui sahaja perubahan cuaca tidak pernah
 berlaku dan jangan lakukan apa-apa persediaan!


iv.    Kesedaran Yang Hampir Terlewat

Oleh kerana pergolakan alam persekitaran yang semakin menjadi-jadi kini, mahu tidak mahu suatu langkah inisiatif yang besar telah dimulai sendiri oleh kepimpinan golongan ingkar dalam usaha mengawal semula cuaca bumi yang semakin parah. Usaha mewujudkan bank hijau melalui pengawalan karbon menjadi satu cadangan yang menarik. Sekalipun penulis telah menjelaskan sebelum ini bahawa gas karbon dioksida bukanlah punca penyebab kepada perubahan cuaca bumi, namun melalui cadangan mereka itu, pengawalan karbon harus dimulai dengan penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan dengan aktiviti pembalakan dan pembakaran hidrokarbon. Antara perkara positif yang akan dilakukan adalah melalui usaha pemulihan hutan yang akan dilakukan secara besar-besaran. Begitu juga dengan pengawalan aktiviti pembakaran hidrokarbon melalui aktiviti perkilangan dan penggunaan jentera termasuk kenderaan. 

Sebenarnya penulis dapat melihat bahawa penguatkuasaan sedemikian akan menjurus kepada pembentukan sebuah kerajaan dunia (One World Government). Masalah sebenar bukanlah perlepasan karbon dioksida ataupun penebangan hutan tanpa kawalan. Sekalipun kedua-duanya berkait rapat, punca segala masalah adalah perlepasan haba yang tidak terkawal dan diikuti perlepasan wap-wap baja yang berlebihan. Gabungan kedua-duanya telah mengakibatkan pembentukan selimut haba sehingga haba tidak dapat terbebas ke angkasa lepas dengan kadar segera. 

Kesilapan dalam menentukan punca kepada permasalahan ini membawa kepada kesempatan yang diambil oleh pihak kapitalis supaya mereka akhirnya dapat membentuk badan korporat bagi menguasai aktiviti manusia.




Saturday, October 3, 2015

SURAH NUH AYAT 9 -- BERDAKWAH SECARA PENGIKLANAN DAN RAHSIA


ثم انى اعلنت لهم و اسررت لهم اسرارا

Kemudian sesungguhnya aku, telah menghebah aku bagi mereka dan telah merahsia aku bagi mereka kerahsiaan. 

Selain dari itu, Aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai Dengan berterus-terang, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan Dengan perlahan-lahan.

i.      Dakwah Dalam Keadaan Kekurangan

Sebenarnya terdapat pelbagai kaedah dakwah yang dilakukan oleh Nabi Nuh A.S., secara berahasia, secara terang-terangan dan secara hebahan. Secara terang-terangan dan berahsia merupakan pendekatan dakwah melalui komunikasi dua hala. Kaedah hebahan adalah sepertimana melalui penulisan atau ceramah melalui media massa dan sebagainya. Kaedah ini juga merupakan kaedah yang telah dilakukan oleh Muhammad RasululLah S.A.W. Setelah wafat RasululLah S.A.W., dakwah terus disebarkan melalui kekhalifahan selepas baginda dan seperti yang berlaku selepas Nabi Nuh A.S., dakwah diteruskan oleh khalifah-khalifah selepas itu (10:73).

ii.     Dakwah : Suatu Kerja Yang Sukar

Kerja dakwah bukan sahaja perlu dihadapi dengan pendustaan, keingkaran serta ancaman daripada manusia bahkan kerja dakwah harus mengambil kira perkataan yang sampai, yang harus disampaikan kepada manusia. Keadaan diri seseorang harus disesuaikan dengan keadaan masyarakat setempat yang cuba didekati untuk tujuan dakwah. Contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. adalah memulakan dakwah secara sembunyi-sembunyi hanya dalam kalangan ahli keluarga baginda terlebih dahulu. Seterusnya terhadap golongan yang dhaif serta mereka yang bersedia untuk menerima dakwah sahaja.

Lantaran tujuan dakwah adalah untuk menyampaikan perkataan Tuhan supaya suatu kehidupan dapat berlangsung menurut panduan daripada Tuhan. Tujuan bersembunyi-sembunyi pada peringkat permulaan dakwah adalah untuk mengurangkan penentangan daripada pemuka-pemuka seberapa minimum yang boleh. 

iii.     Kebenaran Tiada Nilai Dalam Kepalsuan

Namun suatu persoalan timbul, mengapakah suatu kebenaran tidak disampaikan terus secara terang-terangan? Persoalan ini adalah seperti mengajar nilai-nilai kejujuran dan kemurnian kepada pelajar-pelajar sekolah supaya mereka menghadapi masyarakat yang penuh dengan pengkhianatan serta keporakan. Kebenaran tiada nilai pada masyarakat yang mengamalkan kepalsuan dalam kehidupan begitulah juga sebaliknya. Pada zaman ini apabila keberadaan adalah suatu kemegahan, manusia tidak memperduli sama ada memperolehinya dengan jalan benar atau salah' maka ukuran kebenaran dakwah telah diukur dengan keberadaan yang dimiliki oleh seseorang pendakwah serta sasaran-sasaran yang didakwah (26:111).

Kita dapat menyaksikan kata-kata bekas pemimpin politik yang juga seorang penjenayah pembunuhan serta minuman keras dianggap benar untuk menghujah ulama dalam perkara yang melibatkan hidangan juadah arak. Keadaan ini berlaku semata-mata kerana kedudukan dan kemewahan yang dimilikinya serta keupayaan membangunkan negara dengan menyediakan sistem yang menindas usahawan-usahawan kontrak. Ramai usahawan yang terpengaruh dengan kaedah kemewahan yang dipeloporinya dan pada saat seperti ini dakwah hendaklah ditujukan kepada individu yang dhaif.

iv.    Dakwah Memerlukan Kerahan Tenaga

RasululLah S.A.W. berupaya mengerah tenaga kerja golongan yang beriman sehingga akhirnya tersingkir golongan mewah yang terdahulu daripadanya. Sebagai contoh, bagaimana Yahudi terpaksa membeli gandum daripada umat Islam yang sebelumnya penjualan gandum berada di bawah kawalan mereka yang juga menguasai kegiatan ekonomi di Madinah. Yahudi yang suatu masa dahulu memiliki penguasaan ekonomi yang amat kukuh sehingga berupaya mempengaruhi keputusan ahli-ahli politik atau pemerintahan sesebuah wilayah, akhirnya dikalahkan dengan sistem ekonomi yang dibawa oleh RasululLah S.A.W. yang mengambil berat golongan dhaif dan fakir miskin. Dari mana golongan yang kaya itu memperolehi kekayaan kalau bukan daripada golongan yang miskin yang diberi upah yang kecil. Sehingga apabila mereka tidak dapat lagi menindas, mereka terpaksa membayar pada harga yang lebih tinggi terhadap keperluan yang ingin mereka perolehi. Akhirnya perhatian masyarakat akan beralih dan ekonomi kembali ke golongan yang beriman. 





Sunday, September 27, 2015

SURAH NUH AYAT 8 -- MENYAMPAIKAN SECARA TERANG-TERANGAN


ثم انى دعوتهم جهارا

Kemudian sesungguhnya aku, telah menyeru aku akan mereka terang-terangan.

"Kemudian Aku telah menyeru mereka Dengan terang-terang;

i.     Dakwah Setelah Wujudnya Kekuatan

Setelah kekuatan terdapat pada umat Islam barulah RasululLah S.A.W. diperintahkan untuk menyampaikan dakwah secara terang-terangan. Sebagaimana dijangkakan, tentangan memang sangat hebat. Namun atas kekuatan yang ada dalam jiwa mereka, dakwah yang menerima tentangan yang hebat menyebabkan umat Islam menyedari betapa terlalu mahal nilai keyakinan mereka. Sehingga mereka sanggup berhijrah meninggalkan isteri-isteri mereka yang enggan, harta-harta mereka, anak-anak mereka, kareer mereka sama ada dalam bidang perniagaan, pekerjaan, kepimpinan masyarakat dan sebagainya. Mereka yang tidak berkesanggupan akan tercicir dan ditinggalkan. Sehingga akhirnya RasululLah S.A.W. berjaya membentuk suatu penghidupan bermasyarakat Islam yang harmoni.

Mengapakah pendekatan yang dibawa Nabi Nuh A.S. tidak sampai kepada pembentukan sebuah masyarakat Islam secara menyeluruh seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W? Bukankah panduan adalah dari sumber yang sama iaitu Tuhan yang Maha Bijaksana. Persoalan seperti ini datangnya daripada mereka yang mungkin hanya menghendaki bahawa ajaran Tuhan, mahu tak mahu mestilah yang membawa kejayaan di dunia ini. Nabi Nuh A.S. bukanlah sesiapa dalam masyarakat, hanyalah manusia biasa yang berdakwah kepada kaum baginda. Baginda tidak mempersembahkan kemewahan dan keajaiban. Ternyata kesannya amat sedikit sekali daripada kaum baginda yang mahu beriman. Demikian itulah sikap manusia yang suka memandang rendah terhadap manusia lain dan bukannya mengambil berat tentang kandungan mesej yang dibawa. Pada zaman ini kerja-kerja dakwah adalah seperti menjual sardin dalam tin. Ikannya tidak kelihatan bahkan hanya gambaran ikan sahaja ditampalkan pada kulitnya. Sardin hanya akan dibeli berdasarkan kekerapan seseorang yang pernah merasakannya dan tidak kepada yang lain. Namun ikan yang segar sahaja yang menjadi pilihan utama.

ii.    Kesegaran Dalam Ajaran Agama

Ajaran agama memerlukan kesegaran baru sepertimana asalnya. Umat terdahulu tidak pernah mengenali agama melalui ilmu tajwid, feqah, tasawuf sepertimana yang berlaku pada zaman ini. Mereka menerima daripada RasululLah S.A.W., terus daripada Tuhan, yang membaca ayat-ayatNya (72:22) secara kefahaman yang benar menurut asal perkataan (dalam bahasa Arab 13:37). Bukan perkataan yang terubahsuai menurut jalan kefahaman ulama-ulama atau sebagainya. Mereka memahami dan terus mengambil pendirian sama ada mengingkari atau mengimani. Tiada pihak tengah dalam pengamalan agama yang diperkenal oleh RasululLah S.A.W. 

iii.   Yang Bersifat Sejagat Dengan 
       Contoh Setempat

Pendekatan Muhammad RasululLah S.A.W. adalah berdasarkan nilai-nilai kehidupan sejagat. Ayat-ayat Tuhan disampaikan menurut keindahan bahasa sebagaimana yang disanjung tinggi oleh masyarakat. Ajaran yang disampaikan bertujuan membela nasib manusia bermula daripada golongan yang miskin, fakir dan anak-anak yatim. Perjuangan menyampaikan ajaran agama memerlukan pengorbanan harta. RasululLah S.A.W. sendiri dilahirkan daripada keluarga bangsawan yang disanjung tinggi oleh masyarakat. Baginda pernah menjuarai ekonomi dan pernah melakukan perniagaan ke peringkat antarabangsa. Baginda juga pernah menjadi pahlawan perang sebelum dilantik sebagai rasul. Kepimpinan baginda dalam masyarakat akhirnya berjaya mengalahkan kepimpinan Abu Sufyan sehingga berjaya ditundukkan untuk menerima Islam. Tentulah penerimaan terhadap Muhammad RasululLah S.A.W. berbeza dengan penerimaan terhadap dakwah Nabi Nuh A.S. yang merupakan kaedah yang mampu dituruti oleh kebanyakan umat akhir zaman waktu ini. Kesabaran serta melakukan kerja-kerja dakwah secara berhati-hati dan tidak mendedahkan diri terhadap fitnah sehingga boleh mengakibatkan kerencatan kerja-kerja dakwah, haruslah diutamakan. Terlalu banyak kerja-kerja dakwah yang gagal disebabkan kegagalan mereka menghayati pengajaran ayat-ayat dengan cara yang sebenarnya. Terlalu banyak ujian telah menimpa umat ini.




Monday, September 21, 2015

SURAH NUH AYAT 7 -- PERLAKUAN MENGINGKARI


و انى كلما دعوتهم لتغفرلهم
جعلوا اصابعهم فى اذنهم

Dan sesungguhnya aku, setiap kali telah menyeru aku akan mereka, supaya Engkau mengampuni bagi mereka, telah mengadakan mereka akan jari-jemari mereka pada telinga-telinga mereka.

Dan Sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, - mereka menyumbatkan telinganya Dengan jari masing-masing,

i.   Kematu Kesyirikan Mengakibatkan 
     Mereka Degil

Tingkah laku golongan yang ingkar itu adalah seumpama mereka yang menutup lubang telinga tatkala berlaku kejadian petir yang berlaku dalam gelap gulita semasa suasana hujan (2:19). Mereka bukan sahaja tidak mahu mendengar malah mengambil sikap menolak sebarang nasihat. Bagaimanakah dapat berlaku, petunjuk akan sampai kepada mereka? Demikianlah mereka telah menetapkan dalam hati mereka oleh pihak lain yang mengingkari kebenaran (71:24) disebabkan mereka telah pekat dengan amalan-amalan keburukan iaitu suatu bentuk ketagihan dalam penyembahan selain Allah. Tentunya sikap sedemikian mereka warisi daripada perlakuan dan pendidikan yang mereka perolehi daripada orang-orang tua mereka (71:27). Sebagaimana pengamalan agama itu diwarisi daripada ibubapa kepada anak-anak maka mereka yang gagal menggunakan akal secara bebas tetap akan mewariskan pengamalan agama kepada generasi seterusnya.

Seperti itu juga pengamalan agama dalam masyarakat yang merasai bahawa mereka itu telahpun memperolehi jaminan petunjuk hanya dengan pengamalan agama yang tertentu. 


Mereka Megah Dengan Status, Dipaparkan Lagi Dengan Jenis Pakaian Yang Mereka Pakai

و استغشوا ثيابهم و اصروا
و استكبروا استكبارا

Dan telah melindungi mereka akan pakaian mereka dan telah membungkam mereka dan telah menyombong mereka dengan sebenar-benar kesombongan.

dan berselubung Dengan pakaiannya, serta berdegil Dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur Dengan melampau.

ii.    Megah Dengan Cara Berpakaian

Sebenarnya sikap seperti ini sentiasa berlaku ke atas umat atau individu yang telah sangat-sangat dipengaruhi dan tidak mahu menggunakan akal atau mengambil jalan berfikiran bebas. Adakah mereka merupakan suatu kaum yang diiktiraf tidak berupaya menggunakan akal? Sekiranya demikian, Tuhan tidak perlu untuk sampaikan risalahNya kepada mereka. Sekiranya Tuhan menghendaki tentu Ia jadikan mereka semua beriman namun Ia melakukan perkara yang Ia kehendaki. Demikianlah Ia menghendaki untuk memberi pengajaran kepada umat ini bahawa perjuangan untuk berdakwah menyampaikan ayat-ayat Tuhan, bukanlah kerja yang mudah semudah menyampaikan pengajaran yang lain. Cercaan, maki hamun dan ancaman merupakan suatu perkara lumrah.

iii.    Beragama Secara Membabi Buta

Penentangan yang paling hebat datangnya daripada kesan nilai-nilai setempat seperti budaya, kepimpinan bahkan juga daripada ahli-ahli agama itu sendiri yang membawa syariat lain daripada syariat yang diarahkan Tuhan untuk disampaikan (23:63). Sehingga apabila umat beragama secara membabi buta, ibadat solah dilakukan penyembah-penyembah dengan tanpa berilmu walau dengan sepatah perkataan yang dibaca. Persoalannya, adakah cara beragama seperti ini yang Tuhan kehendaki untuk disampaikan kepada manusia?

iv.     Dua Sebab Utama Menolak 
         Risalah Kerasulan

Sebenarnya tiada sebab untuk manusia menolak keimanan kepada Tuhan tatkala mereka diseru untuk beriman melainkan atas dua sebab utama iaitu meniru sunnah orang-orang terdahulu ataupun disebabkan oleh kedatangan azab yang tidak terduga. Sunnah orang-orang terdahulu yang meletakkan kesombongan di hadapan diikuti dengan kepentingan peribadi. Mereka yang terdiri daripada kumpulan yang memegang kedudukan kepimpinan dan jabatan-jabatan dalam sesebuah negara dan juga pengikut-pengikut mereka yang mendukung pentadbiran kepimpinan mereka, adalah condong untuk menolak keimanan berbanding golongan rakyat biasa. Sunnah seperti ini telah diamalkan oleh Fir’aun dan pembesar-pembesarnya. Mereka yang memiliki kepentingan perniagaan sehingga menindas golongan yang susah adalah lebih condong untuk menolak keimanan berbanding golongan yang susah. Contoh seperti ini adalah Abu Lahab, bapa saudara Nabi sendiri dan Al-Walid bin Mughirah yang menentang dakwah Nabi S.A.W. secara terang-terangan. Sikap suka menangguh-nangguhkan amalan baik serta mengambil pendirian tunggu dan lihat adalah penyebab kedua menyebabkan seseorang gagal untuk memperolehi keimanan sehingga azab sempat datang terlebih dahulu sebelum seseorang itu beriman kepada Tuhan. Contoh mereka adalah orang-orang Islam yang terkorban dalam peperangan Badar yang dipaksa menyebelahi golongan ingkar disebabkan mereka menangguh-nangguh usaha berhijrah.


CARA BERDAKWAH AGAMA YANG BERKESAN

Mengajak manusia kepada jalan petunjuk Tuhan untuk mengubah pengamalan agama mereka adalah seumpama pendakwah itu berbuat keputusan untuk bertukar agama sendiri. Ia tentunya memiliki sebab mengapa ia berkeputusan sedemikian sama ada kerana ilmu, harta, emosi, cinta atau atas kesedaran. Lalu ia akan melakukannya secara senyap sunyi supaya tidak disedari oleh orang lain supaya risiko bencana tidak sampai kepada dirinya. Sekiranya pendiriannya diketahui dalam keadaan masyarakat sekitar tidak bersedia untuk menerimanya, maka ia akhirnya akan menempuh bencana bahkan sehingga akan mengakibatkan pembunuhan terhadap dirinya. Pendakwah harus mengkaji bagaimana pendakyah-pendakyah Hindu dan Kristian berjaya memurtad umat Islam dalam jumlah yang sangat ramai. Mereka menggunakan hiburan, wang, kuasa dan perundangan serta ugutan untuk menarik, mempengaruhi, mengalahkan dan memberi pembelaan serta memaksa umat Islam terutamanya muslimah, dengan cara menghamilkannya terlebih dahulu, untuk meninggalkan agama asal mereka. Apakah lagi yang boleh diharapkan untuk mereka kembali menyembah Tuhan sebagaimana yang diperintahkan Al-Quran dengan panduan As-Sunnah? Begitulah juga usaha dakwah RasululLah S.A.W. terhadapumat baginda. Baginda menggunakan kaedah hiburan dengan memberi perkhabaran baik yang akan diperolehi oleh mereka yang mahu beriman pada hari akhirat kelak. Baginda juga menggunakan harta untuk tujuan dakwah dengan memperbanyak sadaqah dan menggalakkan sadaqah kepada para sahabat. Supaya umat dapat dikumpulkan dan disatukan. Baginda juga menggunakan kuasa apabila senjata digunakan untuk mempertahankan iman umat Islam, bahkan juga dalam memberi keadilan kepada kaum Yahudi, baginda menggunakan perundangan daripada kitab mereka sendiri. Baginda menyebarkan dakwah secara senyap-senyap terlebih dahulu sehingga mencapai jumlah sahabat yang agak ramai dan mereka diuji untuk memantapkan pendirian mereka. Kekuatan yang ada pada mereka adalah Al-Haq itu sendiri yang mereka hayati dengan ilmu yang benar bukan hanya main ikut-ikut seperti keadaan umat kini. Iman mereka menjadi kukuh sehingga tidak mudah dirobek dengan senjata, api kepanasan, ugutan, umpanan harta dan sebagainya. Kekuatan mereka adalah lantaran pengabdian kepada Tuhan. Pendekatan ini tiada pada agama-agama lain.




Tuesday, September 15, 2015

SURAH NUH AYAT 6 -- MANUSIA UMUMNYA TIDAK SUKA PETUNJUK, MEREKA SUKA KESESATAN


ﻓﻠﻢ ﻳﺰﺩ ﻫﻢ ﺩﻋﺎﺀﻯ ﺍﻻ ﻓﺮﺍﺭ

Lalu telah tidak ia menambah oleh mereka akan seruanku melainkan yang lari. 

Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran).

 i.     Ancaman Yang Mereka Tak Suka Dengar  

Mereka lari mungkin kerana belum pernah kedengaran kejadian bencana sepertimana yang diancam oleh Nabi Nuh A.S. Bencana lain yang berlaku mungkin jarang sekali dan pada skala kecil tidak seperti yang diancam. Sedangkan mereka umat yang panjang umur, sehingga keras hati mereka daripada memikirkan perkara-perkara yang disampaikan oleh Nabi Nuh A.S. Mereka lebih mendengar kata-kata ketua mereka yang banyak bilangannya itu sedangkan setiap individu mereka dapat menjalani penghidupan tanpa banyak memerlukan bantuan pihak lain. Pada mereka, beriman kepada Nabi Nuh A.S. tidak mengubah apa-apa. 

Dengan jumlah hanya sekitar 80 orang pengikut dalam tempoh masa yang sangat lama, tidak memungkinkan Nabi Nuh A.S. dapat melakukan sesuatu seperti Nabi Muhammad S.A.W. Nabi Nuh A.S. bukanlah juara ekonomi seperti Nabi Muhammad S.A.W. sehingga ramai yang akan mendampingi baginda sehingga dakwah mudah dilaksanakan. Dakwah Nabi Muhammad S.A.W. pula lebih memerlukan kepada pengorbanan harta dan diri. Tanpa harta, tidak banyak perkara dapat dilakukan (61:11). Dalam keadaan persekitaran padang pasir dengan ramai manusia yang mengharap bantuan, maka kaedah bersadaqah adalah merupakan kaedah dakwah yang baik. Dengan pengajaran yang sebaik-baiknya, mahu tidak mahu umat akan menurutinya. 

Namun suatu masalah pula berlaku apabila pengagihan harta menjadi sebaik-baiknya sehingga individu yang lemah pada asalnya, menjadi kayaraya dalam masa yang singkat sehingga mudah melupai ajaran-ajaran yang baik. Perkara sedemikian terjadi kepada Tsa'alabah, Yazid - si pemungkir janji dan pemberontak-pemberontak dari Iraq daripada kaum Kurdish. Mereka memandang agama hanya sebagai habuan untuk mendapatkan kepentingan. Apabila dakwah Islam dipolitikkan atau melalui umpanan harta untuk menunjukkan keprihatinan terhadap kerja-kerja agama, akan sampai suatu masa pelemahan. Sehingga mengakibatkan ramai umat Islam murtad memilih agama yang tersebar tanpa kekuatan politik seperti agama Nasrani, bahkan murtad memilih agama yang disiarkan dengan kekuatan cinta dan wang seperti agama Hindu dan sebagainya. Semua ini akan menjurus kepada perlakuan permasalahan sosial yang akan berlaku di negara ini suatu masa nanti yang tidak akan dapat dibendung oleh mana-mana pihak. 

Kaedah-kaedah dakwah sebenarnya terbuka luas. Namun, keberkesanan kerja-kerja dakwah menjadi kurang berkesan akibat kerja-kerja penyempitan, dilaksanakan sendiri oleh pihak-pihak tertentu. Sekiranya hak-hak dan peruntukan-peruntukan tertentu disalurkan untuk tujuan lain, sekalipun untuk tujuan yang kelihatan baik menggunakan kaedah putarbelit syari'at, maka akan sampai masa umat menjalani kehidupan haru-biru tanpa kesudahan yang baik. 

ii.  Beri Manusia Tempoh Masa 

Mengapakah manusia seringkali menolak keimanan kepada Tuhan? Sebenarnya mereka merasa tenteram dengan keadaan sementara yang mereka alami dalam kehidupan mereka. 

Contohnya di negara ini, selepas berakhirnya zaman penjajahan, rakyat negara ini telah menuruti sistem yang ditinggalkan penjajah dalam bentuk sistem pemerintahan demokratik kapitalis melalui sistem ekonomi riba dan pajakan. Kedua-dua sistem yang dijanjikan oleh pihak Barat ini, sedikit sebanyak telah memperbaiki tahap kehidupan sebahagian rakyat. Namun di atas kepentingan cengkaman kuasa pihak-pihak tertentu, secara umumnya pembelaan terhadap rakyat menjadi kurang seimbang. Pembangunan yang dilakukan memerlukan pihak-pihak berkepentingan mengambil habuan tertentu sebagai jalan menaja sebahagian rakyat yang menjadi pendukung mereka demi mengekalkan kuasa. 

Hingga ke suatu tahap, aktiviti rasuah tidak dapat dielakkan. Pembangunan pula memerlukan tenaga-tenaga kerja dari luar di bawa masuk untuk tujuan penjimatan serta keberolehasilan yang menguntungkan. Pekerja-pekerja asing sekalipun diberi bayaran upah yang rendah sebenarnya kurang membawa manfaat kemewahan kepada rakyat. 

Faktor kedua ialah dengan wujudnya sifat bermewah-mewah sebahagian rakyat, telah menambahkan defisit sedia ada terhadap beban kewangan negara. Perbezaan pemperolehan kalangan rakyat yang semakin berbeza dengan jurang ekonomi yang semakin melebar antara golongan pertengahan dan golongan miskin, akhirnya mengakibatkan permasalahan sosial turut meningkat. Semakin ramai rakyat merempat tidak mampu memiliki harta asas seperti rumah kediaman lantaran harga penawaran yang terlalu tinggi selain disebabkan oleh tekanan inflasi. 


Masyarakat Gelandangan - baik apapun alasannya, adalah 
natijah daripada kesan pengabaian total oleh pihak pemerintah
dan penjawat-penjawat awam dalam urusan pentadbiran mereka,
sehingga menjurus kepada permasalahan sosial.

Dan antara perkara yang menyedihkan juga ialah wujudnya sindrom MASGANY (Madison Square Garden, New York) dalam kalangan rakyat dengan kehadiran semakin ramai golongan berharta tetapi merempat. Mereka sanggup berjimat cermat dengan mendiami rumah-rumah kotak di tepi-tepi jalan atau tempat-tempat tertentu, semata-mata untuk menampung pembiayaan insuran atau pembayaran ansuran yang menjanjikan kemewahan kemudian hari nanti melalui potongan gaji mereka. Gejala ini semakin meningkat sekarang ini sehingga mengakibatkan banyak daripada pembangunan dalam bentuk bangunan-bangunan persendirian serta premis-premis perniagaan terbiar tidak dapat dimanfaatkan. Kesilapan rakyat dan ketamakan kepimpinan akhirnya membawa musibah terhadap sistem ekonomi negara dan juga pencemaran alam yang menjurus kepada kerosakan pembangunan yang telah mereka lakukan. 





Wednesday, September 9, 2015

SURAH NUH AYAT 5 -- KELUHAN NABI NUH A.S.


قال ربى انى دعوت قومى ليلا و نهار

Telah berkata ia, Tuhanku, sesungguhnya aku, telah menyeruku akan kaumku malam dan siang.

(setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhanku, Sesungguhnya Aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman);
 
i.      Kesabaran Hingga Membawa Keluhan

Demikianlah kesabaran Nabi Nuh A.S. dalam menyeru kaum baginda untuk kembali kepada Tuhan sebenarnya. Mengapakah mereka tidak menyahut seruan Nabi Nuh A.S.? Hanya ada satu jawapan dalam surah ini pada ayat 71:23 iaitu mereka mahu tetap mempersekutu Tuhan. Sesungguhnya apabila mereka telah tetap melakukan penyekutuan terhadap Tuhan, adalah sukar bagi mereka untuk meninggalkannya sehinggalah mereka dapat ditewaskan.


Penyembahan kepada selain Allah, adalah suatu ketagihan
yang sukar dipulihkan seperti ketagihan dadah.

Namun Nabi Nuh A.S. tidak pernah memaksa mereka hanya baginda memberi nasihat serta ancaman. Adakah kaedah Nabi Nuh A.S. adalah lebih baik daripada kaedah Nabi Muhammad S.A.W. atau sebaliknya? Sedangkan masa peruntukan kepada Nabi Muhammad S.A.W. adalah selama 23 tahun sahaja lalu berjaya mengubah umatnya daripada keadaan ingkar kepada keadaan iman, berbanding dengan tempoh Nabi Nuh A.S. sehingga beratus-ratus tahun sebelum Tuhan memusnahkan kebanyakan mereka.

ii.    Perbandingan dakwah Nabi Nuh A.S. 
       berbanding Nabi Muhammad S.A.W.
 
 
Oleh itu pembaca sendiri harus berfikir mengapa kaedah dakwah Nabi Nuh A.S. sedemikian rupa sedangkan Nabi Muhammad S.A.W., akhirnya menggunakan senjata untuk tujuan dakwah.






Tuesday, September 1, 2015

AJAL TUHAN YANG DATANG MENGEJUT


 ﺍﻥ ﺍﺟﻞ ﷲ ﺍﺫﺍ ﺟﺎﺀ ﻻ ﻳﺆﺧﺮ ﻟﻮ ﻛﻨﺘﻢ ﺗﻌﻠﻤﻮﻥ 

Sesungguhnya masa Allah, apabila telah datang ia, tidak Ia menangguhkan sekiranya telah adalah kamu, kamu mengetahui. 

Sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah, apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan, kalaulah kamu mengetahui (hakikat ini tentulah kamu segera beriman)"

v.   Masa Yang Ditentukan Dan Masa Allah 

Inilah pengajaran yang harus seseorang ambil daripada peristiwa kemusnahan umat nabi Nuh. Ceritanya, kita sekarang ini tidak mengetahui bilakah masa Allah akan berlaku? Sebab itulah kita suka memilih hidup dalam kelalaian. Yang kita sukai ialah supaya masa Allah itu tidak akan berlaku walhal semua orang mengetahui bahawa setiap mereka akan menempuh kematian. Yang dikatakan ﺍﺟﻞ ﻣﺴﻤﻰ adalah masa kematian setiap individu yang telah ditentukan waktunya masing-masing, sedangkan ﺍﺟﻞ ﷲ adalah masa berlaku kematian mendadak pada skala besar akibat daripada bencana alam yang berada di luar kawalan manusia. Semuanya dalam kawalan Tuhan sehingga sebab itu Tuhan memberi peluang kepada seseorang atau masyarakat supaya dapat melakukan sesuatu demi mengakhiri masa itu sehingga kesempatan dapat diambil untuk melakukan perbaikan. Sesungguhnya Tuhan sentiasa dapat mengubah sesuatu walaupun telah ditetapkan sebelumnya kerana hanya Dia yang dapat mengalahkan atas urusanNya (12:21)

vi.   Perkara Yang Harus Dilakukan

Apakah yang diperlukan oleh manusia untuk melakukan sesuatu? Iaitu mengajak diri sendiri dan manusia lain supaya kembali kepada sistem Tuhan sepenuhnya. Antara perkara pokok yang perlu dilakukan adalah menanggalkan manusia daripada sebarang bentuk penyembahan mereka sehingga mereka menyembah Allah sahaja. Perkara ini adalah merupakan perkara sukar dan berat untuk dilakukan namun masih boleh dilakukan. Sekiranya Nabi Nuh A.S. melakukan dengan pelbagai cara termasuk cara yang bersangatan sabar, mengapa kaedah ini tidak kita cuba didekati sehingga dapat mengumpulkan beberapa individu yang dapat diharap untuk beriman hanya kepada Tuhan semata-mata? Mengambil Tuhan dengan contoh daripada Rasul S.A.W. sebagai sumber hukum dan bukannya kepada yang lain. Kini terdapat bahan-bahan baru yang dapat membantu untuk digunakan pada jalan Tuhan. Antaranya adalah pendekatan ilmiah daripada rumusan-rumusan yang perlu diperolehi dengan jalan sabar dan penemuan-penemuan baru berdasarkan ayat Tuhan supaya para ilmuwan dapat ditundukkan untuk menerima hakikat bahawa azab Tuhan akan terjadi sekiranya mereka memilih meneruskan kaedah kehidupan sekarang ini. Namun pendekatan itu perlulah diasaskan daripada ayat-ayat Tuhan dan bukannya mengagungkan penemuan manusia sebagaimana dipelopori oleh pihak Barat yang bersungguhsungguh menafikan tamadun lain. 

vii.    Kejadian AjalulLah Yang Semakin 
         Menjadi-jadi 

Kejadian ajalulLah semakin menjadi-jadi pada zaman ini dengan korban tsunami Asia Selatan mencapai 260,000 jiwa, taufan Nargis di Myanmar yang mengorbankan lebih 15,000 jiwa, gempa-gempa bumi yang sering terjadi memakan korban sehingga ribuan penduduk, peperangan sesama manusia mencapai jumlah jutaan jiwa terkorban sama ada daripada pihak tentera atau orang awam. Semua ini disebabkan oleh keengganan manusia kembali kepada sistem Tuhan sehingga terjadi bencana yang menimpa manusia. Bencana juga berlaku dalam bentuk konflik sesama puak atau negara sehingga mengakibatkan jumlah korban yang tinggi. Manusia harus menginsafi bahawa tidak akan berlaku penghujung terhadap sebahagian peristiwa seperti ini sehinggalah mereka kembali kepada keimanan terhadap Tuhan dan menurut perintahNya. 

viii.    Tiada Alasan Bertangguh

Apakah harus kita menangguh-nangguh untuk kembali kepada Tuhan? Sehingga sampai masa bumi ini dikelilingi oleh azab sebagaimana yang disebutkan dalam surah-surah sebelum ini atau bumi akan dilitupi debu menjelang kejadian hari Keputusan yang juga mengakibatkan putaran bumi terbalik. Kisah kemusnahan umat-umat terdahulu bukan sahaja memusnahkan kehidupan umat itu sendiri bahkan juga kemusnahan tamadun yang dihasilkan. Penemuan-penemuan teknologi silam yang dapat dikeluarkan dari bumi seperti tengkorak kristal dengan corak pembikinan yang sangat teliti, palam pencucuh serta skru keras bersaiz sangat kecil dari dalam batu, memberi gambaran bahawa umat terdahulu juga pernah mencapai tahap ilmu pengetahuan tertentu seperti umat masakini. Namun, ke manakah perginya tamadun itu? Tamadun itu telah musnah oleh kemusnahan yang sangat besar. Oleh itu apakah jaminan bahawa bala bencana yang pernah melenyapkan tamadun silam tidak akan berulang lagi kepada umat manusia masakini? Umat manusia harus menakrifkan semula matlamat kehidupan masakini supaya mereka mengerti akan nasib mereka yang akan mereka tempuhi suatu masa nanti atau selepas berakhir riwayat kehidupan di bumi.


Terdapat pelbagai jenis tengkorak kristal. Sebahagiannya
diakui sebagai artifak silam yang berasal dari 
kebudayaan Mesoamerika.






Popular