SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Sunday, September 27, 2015

SURAH NUH AYAT 8 -- MENYAMPAIKAN SECARA TERANG-TERANGAN


ثم انى دعوتهم جهارا

Kemudian sesungguhnya aku, telah menyeru aku akan mereka terang-terangan.

"Kemudian Aku telah menyeru mereka Dengan terang-terang;

i.     Dakwah Setelah Wujudnya Kekuatan

Setelah kekuatan terdapat pada umat Islam barulah RasululLah S.A.W. diperintahkan untuk menyampaikan dakwah secara terang-terangan. Sebagaimana dijangkakan, tentangan memang sangat hebat. Namun atas kekuatan yang ada dalam jiwa mereka, dakwah yang menerima tentangan yang hebat menyebabkan umat Islam menyedari betapa terlalu mahal nilai keyakinan mereka. Sehingga mereka sanggup berhijrah meninggalkan isteri-isteri mereka yang enggan, harta-harta mereka, anak-anak mereka, kareer mereka sama ada dalam bidang perniagaan, pekerjaan, kepimpinan masyarakat dan sebagainya. Mereka yang tidak berkesanggupan akan tercicir dan ditinggalkan. Sehingga akhirnya RasululLah S.A.W. berjaya membentuk suatu penghidupan bermasyarakat Islam yang harmoni.

Mengapakah pendekatan yang dibawa Nabi Nuh A.S. tidak sampai kepada pembentukan sebuah masyarakat Islam secara menyeluruh seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W? Bukankah panduan adalah dari sumber yang sama iaitu Tuhan yang Maha Bijaksana. Persoalan seperti ini datangnya daripada mereka yang mungkin hanya menghendaki bahawa ajaran Tuhan, mahu tak mahu mestilah yang membawa kejayaan di dunia ini. Nabi Nuh A.S. bukanlah sesiapa dalam masyarakat, hanyalah manusia biasa yang berdakwah kepada kaum baginda. Baginda tidak mempersembahkan kemewahan dan keajaiban. Ternyata kesannya amat sedikit sekali daripada kaum baginda yang mahu beriman. Demikian itulah sikap manusia yang suka memandang rendah terhadap manusia lain dan bukannya mengambil berat tentang kandungan mesej yang dibawa. Pada zaman ini kerja-kerja dakwah adalah seperti menjual sardin dalam tin. Ikannya tidak kelihatan bahkan hanya gambaran ikan sahaja ditampalkan pada kulitnya. Sardin hanya akan dibeli berdasarkan kekerapan seseorang yang pernah merasakannya dan tidak kepada yang lain. Namun ikan yang segar sahaja yang menjadi pilihan utama.

ii.    Kesegaran Dalam Ajaran Agama

Ajaran agama memerlukan kesegaran baru sepertimana asalnya. Umat terdahulu tidak pernah mengenali agama melalui ilmu tajwid, feqah, tasawuf sepertimana yang berlaku pada zaman ini. Mereka menerima daripada RasululLah S.A.W., terus daripada Tuhan, yang membaca ayat-ayatNya (72:22) secara kefahaman yang benar menurut asal perkataan (dalam bahasa Arab 13:37). Bukan perkataan yang terubahsuai menurut jalan kefahaman ulama-ulama atau sebagainya. Mereka memahami dan terus mengambil pendirian sama ada mengingkari atau mengimani. Tiada pihak tengah dalam pengamalan agama yang diperkenal oleh RasululLah S.A.W. 

iii.   Yang Bersifat Sejagat Dengan 
       Contoh Setempat

Pendekatan Muhammad RasululLah S.A.W. adalah berdasarkan nilai-nilai kehidupan sejagat. Ayat-ayat Tuhan disampaikan menurut keindahan bahasa sebagaimana yang disanjung tinggi oleh masyarakat. Ajaran yang disampaikan bertujuan membela nasib manusia bermula daripada golongan yang miskin, fakir dan anak-anak yatim. Perjuangan menyampaikan ajaran agama memerlukan pengorbanan harta. RasululLah S.A.W. sendiri dilahirkan daripada keluarga bangsawan yang disanjung tinggi oleh masyarakat. Baginda pernah menjuarai ekonomi dan pernah melakukan perniagaan ke peringkat antarabangsa. Baginda juga pernah menjadi pahlawan perang sebelum dilantik sebagai rasul. Kepimpinan baginda dalam masyarakat akhirnya berjaya mengalahkan kepimpinan Abu Sufyan sehingga berjaya ditundukkan untuk menerima Islam. Tentulah penerimaan terhadap Muhammad RasululLah S.A.W. berbeza dengan penerimaan terhadap dakwah Nabi Nuh A.S. yang merupakan kaedah yang mampu dituruti oleh kebanyakan umat akhir zaman waktu ini. Kesabaran serta melakukan kerja-kerja dakwah secara berhati-hati dan tidak mendedahkan diri terhadap fitnah sehingga boleh mengakibatkan kerencatan kerja-kerja dakwah, haruslah diutamakan. Terlalu banyak kerja-kerja dakwah yang gagal disebabkan kegagalan mereka menghayati pengajaran ayat-ayat dengan cara yang sebenarnya. Terlalu banyak ujian telah menimpa umat ini.




No comments:

Post a Comment

Popular