SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Tuesday, March 21, 2017

SURAH AL-JIN AYAT 24 -- AKHIRNYA SIAPA YANG LEMAH, SIAPA PULA YANG SEDIKIT BILANGAN


حتى اذا راوا ما يوعدون فسيعلون
 من اضعف ناصرا و اقل عددا

Sehingga apabila telah melihat mereka apa yang mereka dijanjikan, maka kelak mereka mengetahui siapakah yang lagi lemah pertolongan dan lagi sedikit bilangan.

(golongan Yang kufur ingkar itu tetap memandang Engkau lemah dan kurang penyokong Wahai Muhammad), sehingga apabila mereka melihat (azab) Yang dijanjikan kepada mereka, maka (pada saat itu) mereka akan mengetahui siapakah orangnya Yang lemah penolong-penolongnya, dan sedikit jumlah bilangannya.

i.     Sistem Hidup Yang Akhirnya 
       Melemahkan Mereka

Apakah yang dijanjikan Tuhan kepada golongan ingkar? Iaitu dengan terlaksananya pemberitaan Al-Quran, tentang azab yang merata-rata dan hari yang berat kepada mereka. 

Kita dapati pada waktu ini, apabila sistem ekonomi yang diasaskan oleh golongan ingkar telah dijadikan amalan - lalu... lihatlah bagaimana kesudahannya apabila keburukan sistem itu kembali kepada golongan ingkar itu sendiri? Orang ramai yang dapat merasakan tekanan hidup, akhirnya mengadakan perhimpunan beramai-ramai, melakukan pemprotesan sehingga menggugat pemerintahan. 

Perkara yang telah, sedang dan 
akan terjadi di mana-mana.

Pemerintah digulingkan, bekas pemimpin dijatuhi hukuman tetapi lingkaran keperitan hidup semakin meningkat. Lalu berlakulah pelbagai masalah yang disebutkan tadi, sepertimana telah berlaku lingkaran azab di negara-negara yang pemerintahan sebelumnya, telah memilih sistem keingkaran sehingga akhirnya rakyat mereka mengalami penderitaan dalam tempoh yang panjang. Mereka tidak memperolehi bekalan air segar sehingga menimbulkan banyak penyakit sama ada disedari atau tidak disedari.

ii.   Kehidupan Bermasyarakat Mereka 
      Semakin Parah

Semakin jauh meninggalkan petunjuk Tuhan maka semakin parah kehidupan bermasyarakat. Akhirnya setiap individu memilih hidup nafsi-nafsi sehingga sekiranya jiran terdekat menempuh kematian, jiran-jiran lainnya tidak mengetahui. Mereka menanggung masalah sesama mereka dalam kalangan keluarga terdekat atau kawan-kawan rapat sahaja, iaitu jumlah sedikit yang dapat membantu. Tiada sebarang badan seperti baitulmal yang dapat dipercayai dapat membantu bahkan projek PPRT yang seharusnya mencapai matlamat membantu yang memerlukan, hanya menjadi habuan penjenayah yang kaya raya. Dalam surah Nun, telah diterangkan perincian nasib yang ditempuh individu kepimpinan di akhirat kelak serta kesan amalan-amalan mereka yang telah mereka lakukan semasa mereka berada di tampuk pemerintahan di dunia dahulu. Huru-hara yang berlaku akibat perlakuan kepimpinan yang porak, akhirnya mendedahkan negara kepada penguasaan asing, yang hanya ingin mengambil hasil mahsul yang terdapat dalam negara berkenaan. 

Berulangnya penjajahan demi penjajahan adalah diakibatkan oleh kecuaian umat ini, kepimpinan mereka serta pengabaian amanah oleh 'ulama-ulama' mereka. Mereka sungguh selesa dengan harta yang dapat mereka kaut, status dan kedudukan perjawatan yang mereka sandang. 

iii.   Hilang Kekuasaan dan Sedikit Bilangan

Ayat seperti ini juga berkait dengan ayat daripada 69:29 dan 69:35 dalam menyampaikan perkhabaran tentang perkara malang yang menimpa kepimpinan yang curang. Kepimpinan sedemikian gemar untuk menyalahi ajaran Tuhan dan rasulNya. Mereka melihat amanah pemerintahan sebagai habuan untuk meraih kekayaan sebanyak mungkin. Mereka menggunakan kuasa untuk terus mencengkam rakyat sehingga diharap tiada siapa dapat menegur atau berani menentang. Lalu, berlakulah kerosakan terhadap alam sekitar dan juga kehidupan sosial manusia itu sendiri. Pembangunan tidak seimbang berbanding keberadaan ekonomi menjadi sebab kepada tekanan inflasi daripada dua arah yang membebankan rakyat. Pertama - adalah kesan daripada pengamalan riba yang meningkatkan nilai hartanah sehingga meleret kepada keperluan asas manusia dan kedua - adalah akibat defisit kewangan negara yang cukup besar kesan daripada mengalirnya nilai wang keluar negara. 

Pembangunan yang hanya mendirikan bangunan-bangunan terbiar  telah menjadi kebanggaan pemimpin lantaran cukai yang diperolehi daripada aktiviti perbankan serta institusi-institusi kewangan yang sentiasa menyediakan dana untuk pembinaan baru.

Wang yang dikutip daripada hasil cukai, gagal diagihkan semula secara berkesan, bahkan untuk dihantar keluar negara melalui bayaran upah pekerja asing. Kita telah melihat kesan berpanjangan sedemikian di negara-negara Timur Tengah, sehingga kepimpinan mereka tumbang satu persatu bermula dari Tunisia, diikuti Mesir dan Libya. Kita juga dapat melihat bagaimana sebahagian daripada pembesar negara telah dikenakan tindakan undang-undang dan dimalukan oleh rakyat mereka sendiri.




No comments:

Post a Comment

Popular