SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Friday, November 23, 2012

SURAH AL BAQARAH AYAT 157 -- HUBUNGAN DUA HALA ANTARA TUHAN DENGAN GOLONGAN BERPETUNJUK


اولئك عليهم صلوت من ربهم ورحمة
واولئك هم المهتدون


Mereka itu ke atas mereka kesinambungan selawat daripada Tuhan mereka dan rahmat dan mereka itu, mereka itulah golongan berpetunjuk.

mereka itu ialah orang-orang Yang dilimpahi Dengan ber-bagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang Yang dapat petunjuk hidayah-Nya.

i.   Hamba Bersambung Solatnya Kepada Tuhan Dan
     Tuhan Bersambung SelawatNya Kepada Hamba

Sesungguhnya golongan yang beriman adalah mereka yang sanggup berusaha untuk mendapatkan suatu wasilah yang menyampaikan mereka kepada Tuhan. Mereka mendapatkan wasilah melalui aktiviti amalan-amalan tertentu sebagaimana yang ditunjukkan oleh baginda RasululLah S.A.W. Mereka mengambil jalan berhati-hati terhadap amalan peribadatan mereka sehingga pengamalan yang mereka laksanakan, bukanlah merupakan sekadar hanya aktiviti meniru-niru peribadatan orang-orang tua mereka. Salah satu wasilah untuk menghampirkan diri kepada Tuhan adalah melalui ibadah solah. Solah yang benar melalui kepimpinan imam adalah solah yang menjurus kepada fahaman amalan yang perlu dilaksanakan daripada pembacaan Al-Quran berkenaan. Oleh itu orang-orang yang benar-benar bersolah adalah mereka yang berusaha melaksanakan perintah daripada ayat-ayat yang dibaca.

ii.    Mereka Itu Golongan Berpetunjuk

Perbincangan tentang hubungan dua hala daripada Tuhan kepada hamba-hambaNya adalah menjurus kepada persoalan kerohanian dan penulis membataskan diri daripada menghuraikan persoalan ini dengan lebih lanjut. Melalui disiplin jalan kerohanian tertentu, akan dapat menyampaikan seseorang kepada jalan ketuhanan dan perkara ini telah dilalui oleh ulama-ulama terdahulu seperti Imam Al-Ghazali RahimulLah dan juga Syeikh Abdul Qadir Jailani. Mereka ini adalah antara pihak yang paling menjaga pengamalan syari'at Islam dan mereka bukanlah sasaran fitnah umat.

Telah menjadi sebutan umum umat pada masa ini bahawa golongan berpetunjuk adalah mereka yang terkehadapan dalam kalangan umat, pada sudut ilmu dan amalan agama mereka. Penulis tidaklah menafikan hal ini. Begitu juga anggapan penganut Yahudi dan Nasrani, bahawa golongan berpetunjuk dalam kalangan mereka adalah mereka yang terkehadapan dalam program  biara dan juga gereja bahkan kepada mereka yang sanggup memilih hidup membujang sepanjang hayat. Kita selalu memandang seseorang yang membawa imej agama seperti menyimpan janggut serta jambang serta menutup aurat seperti berpurdah dan berjilbab, sebagai manusia yang lebih hampir kepada petunjuk berbanding umat manusia yang lain. Apatah lagi sekiranya insan ini merupakan insan terkehadapan darihal dakwah yang sering menjadi tontonan umat.

Antara perkara perlu yang dapat penulis dan pembaca perhatikan daripada himpunan ayat-ayat yang dibincangkan ini, yang dikatakan golongan berpetunjuk adalah mereka yang sering memohon pertolongan Tuhan dengan jalan sabar (2:153) dan melaksanakan kesinambungan solah, sanggup bertahan dengan ujian Tuhan dan menyerah diri sepenuhnya kepada Tuhan dalam segala urusan hidup mereka (2:156). Tentunya mereka ini mengambil jalan agama yang, sekiranya mereka kurang berhati-hati, mereka akan terdedah kepada risiko yang besar. Mereka sendiri dapat menyaksikan sebahagian daripada mereka terkorban dalam perjuangan (2:154).

iii.   Petunjuk Tuhan Yang Membawa Kehidupan

Dalam menghadapi ujian, bencana yang berlaku secara merata-rata pada masa ini seperti permasalahan sosial, perubahan cuaca dan pelbagai pergolakan politik dan ekonomi di dunia ini, manusia perlu kembali kepada pengajaran Tuhan, dengan menghayati semula konsep peribadatan yang telah diperkenalkan sejak dahulu lagi. Seruan Muhammad RasululLah S.A.W. untuk menghidupkan semula agama Ibrahim A.S. telah mengubah lanskap kehidupan masyarakat Arab ketika itu yang sedia dikelilingi dengan permasalahan sosial, pergolakan ekonomi dan pelbagai bentuk penindasan. Mungkin permasalahan cuaca tidak begitu menjadi agenda dalam kehidupan masyarakat Arab ketika itu memandangkan mereka telah terbiasa dengan keadaan mukabumi yang sentiasa kekurangan bekalan air.

Perutusan Muhammad RasululLah S.A.W. adalah sebagai suatu pencetus kepada umat manusia, agar mereka kembali kepada corak kehidupan beragama yang akan menyelamatkan mereka daripada fitnah kehidupan, serta dapat berada dalam sebuah masyarakat yang menempuh kehidupan harmoni. Tidak dapat dinafikan perutusan Muhammad Rasululah S.A.W. sejak dahulu, telah dapat mengekalkan keadaan bumi ini agar dapat terus bertahan pada masa yang sangat lama. Menghidupkan kembali corak peribadatan yang mementingkan hubungan baik sesama manusia adalah kesan daripada pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. dan juga Nabi Ismail A.S. Kesanggupan Siti Hajar, isteri Nabi Ibrahim menempuh kesukaran menjadi motivasi yang kuat kepada umat ini melakukan perkara-perkara kebaikan. 




No comments:

Post a Comment

Popular