و لا تقولوا لمن يقتل فى سبيل الله اموت
بل احياء ولكن لا تشعرون
Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang yang ia terbunuh pada
jalan Allah itu suatu yang mati, bahkan suatu yang hidup dan akan tetapi tidak
kamu menyedari.
dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa Yang terbunuh Dalam
perjuangan membela ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu
orang-orang Yang hidup (dengan keadaan hidup Yang istimewa), tetapi kamu tidak
dapat menyedarinya.
Surah Al-Mulk membincangkan secara panjang lebar tentang apa yang
dikatakan sebagai hidup dan mati. Kesimpulan yang dapat penulis fahami adalah,
hidup sebagai suatu yang menghidupkan dan mati adalah sebagai suatu yang
mematikan.
i. Terbunuh Bukan Bermakna Mati
Penulis ingin menyentuh tentang istilah yang biasa disebut oleh banyak
pihak iaitu mati syahid, sebagai suatu bentuk kematian kepada individu yang
terbunuh semasa berada pada jalan Tuhan. Istilah ini telah menjadi mainan mulut
umat masa kini. Penerimaan istilah seperti ini secara tidak langsung telah
menunjukkan kejahilan umat masa kini tentang bentuk perjuangan RasululLah S.A.W.
dan para sahabat R.A.H.M suatu masa dahulu. Umat generasi awal Islam tidak
pernah mengenal istilah mati dalam perjuangan dan tidak juga mereka mengenal
tewas dalam peperangan. Mereka hanya mengenal untuk terus hidup di sisi Tuhan
dan juga untuk memperolehi salah satu daripada dua kemenangan iaitu secara
zahirnya dapat menguasai musuh atau memperolehi syahid.
ii. Persiapan Yang Membawa Kematian
Tidak semua perkara yang tampaknya seperti hidup adalah merupakan suatu
yang hidup. Virus adalah merupakan mikrob yang mati. Virus yang
berpindah-pindah perumah, bukan sahaja membunuh perumah yang dihinggapi bahkan
akhirnya akan mengakibatkan virus itu sendiri mati kerana tiada perumah baru
yang sesuai. Pelbagai jenis vaksin yang dihasilkan oleh manusia akhirnya dapat
menumpaskan penyebaran virus. Perkara yang sama juga ditujukan kepada sebuah
masyarakat. Sekiranya setiap individu masyarakat itu hanya memikirkan untuk kepentingan
dirinya dengan cara menindas atau menafikan hak ahli masyarakat yang lain,
kesudahannya, seluruh masyarakat akan jadi porak peranda dan jatidiri serta
jejak masyarakat itu akhirnya hilang. Perkara ini berlaku kepada
kerajaan-kerajaan silam yang bekas-bekas peninggalan mereka kini sangat sukar
diperolehi.
Dalam rancangan TV yang ditayangkan oleh stesen Astro, mereka telah
menunjukkan bagaimana sebahagian ahli masyarakat Barat, sedang membuat persiapan
untuk tujuan kemandirian bagi menghadapi suasana keruntuhan ekonomi di negara
mereka. Sebahagian ahli keluarga mereka diperlengkapkan dengan pelbagai jenis
senjata tertentu yang kononnya untuk tujuan pertahanan, sekiranya
komuniti mereka diserang oleh pihak lain. Sebenarnya, teknik yang mereka
sediakan hanyalah menjurus kepada keutamaan mementingkan diri-diri serta ahli
keluarga mereka, tanpa mengambil perduli nasib yang akan menimpa pihak lain.
Mereka sebenarnya tidak menyedari bahawa ahli masyarakat lain, adalah
merupakan sebahagian daripada kehidupan mereka selama ini yang juga wajar
diberi perlindungan serta pembelaan tertentu. Apatah lagi kiranya ahli
masyarakat yang lain itu adalah seagama dengan mereka sendiri. Persiapan yang
mereka lakukan sebenarnya menunjukkan betapa mereka melakukan kesiap siagaan
untuk menghadapi sesuatu yang akan berlaku dan perkara seperti itulah yang akan
berlaku nantinya. Akan sampai harinya segala harta yang mereka kumpulkan tidak
lagi dapat diniagakan dan kemuncak penindasan akan terjadi dalam kalangan
mereka. Kemelesitan besar pernah berlaku hampir di seluruh dunia, sebelum
berlakunya peperangan besar Perang Dunia I dan II. Ekonomi dunia runtuh
disebabkan oleh keporakan sistem kapitalisma yang menindas.
No comments:
Post a Comment