SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Wednesday, June 29, 2016

SEDANGKAN SEGALA SESUATU TUNDUK KEPADA TUHAN



ﺑﻞﻟﻪﻣﺎﻓﻰﺍﻟﺴﻤﯜﺕﻭﺍﻻﺭﺽ
ﻛﻞﻟﻪﻗﻨﺘﻮﻥ

Bahkan bagiNya apa yang pada langit dan bumi, semua bagiNya yang tunduk.

bahkan Dia-lah Yang memiliki segala yang ada di langit dan di bumi, semuanya itu tunduk di bawah kekuasaan-Nya.


iii.   Mengingatkan Segala Sesuatu Tunduk
       Di Bawah Kekuasaan Tuhan

Sebelum ini penulis ada nyatakan kiranya pemerintahan dan institusi agama telah merestui amalan-amalan pelik seperti perkahwinan sejenis, mereka tentunya pada masa itu adalah penyembah-penyembah syaitan.

Setelah banyak huraian dibuat daripada ayat-ayat Al-Qur’an yang telah dibincangkan, penulis telah jelaskan bahawa keadaan umat manusia kini semakin terdedah kepada bahaya persekitaran akibat tanda-tanda kemusnahan yang semakin banyak terjadi dan juga fahaman-fahaman yang semakin mencelarukan. Jadi, di manakah Tuhan?

Kita mungkin biasa mendengar bahawa terlalu banyak bencana telah menimpa manusia serta alam ini ketika ini, lalu suatu persoalan dapat ditimbulkan iaitu di manakah Tuhan tatkala manusia sedang ditimpa bencana? Jawapan mudah yang serupa yang dapat penulis berikan dalam bentuk persoalan iaitu, kiranya manusia dapat hidup tanpa adanya bencana, kematian, penderitaan dan sebagainya lalu perlu apakah adanya Tuhan, yang dikatakan mengambil tahu tentang kehidupan manusia?

Untuk kita memahami tentang kekuasaan Tuhan, kita harus bermula daripada diri kita sendiri. Ingatlah, kita sehingga kini masih tidak dapat memahami sepenuhnya perkara yang terdapat di sekeliling kita. Kita sendiri tidak dapat melihat angin dan graviti sekalipun dapat merasai kehadirannya, bahkan kita tidak dapat memaklumi tentang arus elektik yang terdapat pada suatu wayar pengalir melainkan hanya dapat melihat kesannya.  Oleh itu kita harus mengakui bahawa bukan semua perkara yang dapat kita perhatikan dalam kehidupan ini dapat kita fahami sepenuhnya. Menyerahkan jawapan bahawa terdapat suatu kuasa yang kita tidak fahami sepenuhnya, sekurang-kurangnya dapat sedikit sebanyak meringankan kita daripada beban permasalahan yang terjadi. Bukan kita yang dapat mengetahui perkara yang bakal terjadi dan kita tidak dapat mengubah silam kita.

iv.  Kajian-kajian Yang Semakin Membingungkan

Manusia tidak mengetahui perkara ghaib, antara perkara yang bakal terjadi sedangkan Tuhan jua yang mengetahui perkara yang bakal, sedang dan yang telah terjadi. Contohnya manusia tidak mengetahui secara sesungguhnya, apakah sebenarnya bahan cemar yang manusia lepaskan masakini akan menjadi penyebab bencana pada masa akan datang? Kemudian bencana telah datang menimpa umat manusia lalu manusia mulai mengeluh dan menyalahkan Tuhan atas perkara yang telah terjadi. Sedangkan pemberitahuan sedemikian telah Tuhan sediakan melalui pengajaran kitab suciNya, kalau-kalau manusia ingin mengambil pelajaran. Manusia telah diberi kebebasan sama ada memilih untuk menempah bencana atau mengambil jalan berhati-hati serta bersabar. Kebanyakan mereka memilih jalan untuk menempah bencana dan kemudiannya mereka mengeluh.

Setelah merasai penderitaan serta keperitan melalui pengalaman Perang Dunia Pertama dan Kedua, manusia masih terkial-kial untuk mendapatkan kehidupan bernegara yang lebih baik serta aman. Serta merta mereka perkenalkan sistem ekonomi kapitalis berasaskan riba dan pajakan yang menurut kajian mereka adalah sistem terbaik. Akibatnya, keadaan kehidupan manusia menjadi semakin porak dan alam kediaman semakin mendatangkan bencana. Sehingga kini, sistem ekonomi yang menjadi kelarangan Tuhan, tetap mereka agungkan dan nampaknya mereka harus bersedia sekali lagi untuk menempuh bencana. Semoga mereka tidak akan mengeluh kali ini kerana mereka telah ketahui akibatnya. Akhirnya mereka terpaksa akui bahawa sistem yang diperkenalkan Tuhan melalui kitab suciNya adalah terbaik.

iv.     Penemuan Sains Menyerlahkan 
    Kekuasaan Tuhan

Sementara itu kajian demi kajian yang dijalankan dalam bidang kuantum fizik, telah mendapati bahawa pergerakan setiap zarah seperti elektron bukan lagi dapat ditakrif sebagai ketaktentuan apabila pemerhatian teliti dilakukan. Aluran elektron memaparkan sifat dualiti antara gelombang dan partikel, namun persembahan dualiti didapati berubah antara sifat gelombang dan sifat partikel berdasarkan cara pemerhatian yang berlainan.  

Ini menunjukkan berdasarkan pertimbangan ilmu fizik, suatu keadaan mikroskopik zarah yang berubah keadaan, tidak dapat ditentukan kesudahannya berdasarkan suatu rumusan tetapi lebih kepada kesedaran pengawasan. Bagaimanakah perkara ini boleh terjadi? Kiranya dahulu kesudahan bagi suatu yang bersifat makroskopik dapat dijangka dengan mengambil kira setiap yang berlaku secara mikroskopik, tentunya keputusan terhadap perkara makroskopik amat bergantung kepada setiap faktor penentu yang berlaku di setiap peringkat mikroskopik. Namun dengan penemuan terkini, jawapan terhadap perkara makroskopik sebenarnya juga tergantung kepada kesedaran pengawasan yang terjadi di setiap peringkat.
               
 Pemerhati menjadi penyebab perubahan sifat fizik peringkat kuantum. 

Kenyataannya “faktor yang membawa kesudahan sesuatu kejadian itu menjadi penyebab kepada pilihan yang terjadi di peringkat awalan” menjadikan setiap perkara yang terjadi di alam ini adalah bersifat ‘deterministik’. Pelik bukan? Hanya kita sahaja sebagai manusia yang tidak mengetahuinya. Persoalannya, siapakah yang menjadi penentu kepada kejadian awal yang telah berlaku sehingga mencapai kepada matlamat akhir yang dikehendaki?  Akhiran menentukan awalan!

 Kita tidak berada di sini untuk mempertikaikan
 pilihan kerana pilihan telahpun dibuat,
tetapi memahami berlakunya pilihan itu.

Perlu diingat Allah jualah yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan setiap kejadian, ada rahsia-rahsia tertentu di sisi Allah.

Thursday, June 23, 2016

SEJARAH PENGUASAAN POLITIK DAN AGAMA - SUATU AGENDA SILAM?


SUATU PERANCANGAN TELITI ATAU KEBETULAN?

i.    Simbol Pengkastaan Yang Telah Dirancang?
 Artifak Silam Dari Equador

Daripada penemuan arkeologi seperti ini, suatu persoalan timbul, adakah tatacara hidup melalui sistem pengkastaan ada sejarah perancangan teliti yang telah dirancang sejak sekian lama? Kiranya tidak, mengapa simbol seperti ini terdapat pada matawang USD1 yang dikeluarkan oleh Bank Persekutuan Amerika Syarikat? Adakah penemuan ini satu kebetulan atau sesuatu yang telah dijadikan kesempatan sebagai sebahagian rancangan konspirasi pihak-pihak tertentu?

Dan antara yang menarik perhatian adalah gambaran sebahagian konstilasi Orion atau Pemburu iaitu pada bahagian tali pinggangnya dan terdapat tulisan kuno yang dapat ditafsirkan oleh pakar arkeologi silam sebagai “Anak Pencipta Akan Kembali”. Gambaran piramid 13 tangga tak pernah siap, sebelah mata dan bintik-bintik tali pinggang Orion telah diketahui masakini sebagai simbol-simbol Masonik yang diwarisi daripada kerajaan silam. Mereka itu terlibat dalam penyembahan dewa-dewa.
 
Adakah logo agenda Masonik menggambarkan suatu
perancangan sangat lama atau merupakan suatu kesempatan?

ii.    Agenda Pengkastaan Untuk Menguasai
       Seluruh Pemerintahan Secara Halus

Bermula zaman Rainessence hingga tumbangnya kerajaan beraja di Perancis dan kekhalifahan Uthmaniyah di Turki adalah merupakan perancangan domino yang dibawa oleh golongan Masonik. Golongan ini sebenarnya memusuhi agama-agama samawi dan merencana makar yang jahat untuk merosakkan semua penganut agama berkenaan. Pusat pemerintahan mereka bermula dari Switzerland dan mereka memulai kekuatan mereka dengan menubuhkan institusi kewangan yang memulakan perniagaan berasaskan riba dan pajakan. Pelopor kepada pembentukan kerajaan Switzerland sendiri adalah gerakan Knight Templer yang dibentuk oleh tentera Salibi selepas 20 tahun  mereka menguasai Baitul Muqaddis. Oleh itu sejarah panjang yang membentuk gerakan ini ada kaitannya dengan amalan mistik sihir Kabbalah yang mereka pelajari daripada buku-buku sihir silam yang mereka temui di bawah bangunan perpustakaan Masjid Al-Aqsa.

Video perasmian terowong keretapi terpanjang di Switzerland.
Apa kaitan gambaran mata dalam persembahan mereka?

Kita tidak harus memandang bahawa mereka adalah pasukan yang paling hebat sehingga dapat dikatakan mereka berupaya menguasai dunia ini. Segala apa yang terjadi adalah menurut keizinan Tuhan. Apa yang terjadi melalui usaha mereka, hanyalah mengambil kesempatan atas permasalahan yang berlaku terhadap umat manusia setelah melalui proses sejarah yang panjang.

iii.    Keinginan Mereka Menguasai Dunia
        Melalui Kuasa Proksi

Bermula daripada usaha untuk merosakkan bangsa Arab melalui peperangan sesama mereka akibat daripada revolusi kebangkitan Arab (Arab Spring),  kumpulan ini telah menggunakan kekuatan senjata Amerika Syarikat sehingga terbentuknya suatu kuasa baru bagi mengisi lompong kuasa yang terbentuk. Muncullah gerakan ISIS yang mengambil kesempatan menyemarakkan peperangan yang membunuh sesama umat Islam. Gerakan ini yang melaungkan jihad di Syria dan Iraq, sebenarnya adalah perjuangan sisa Bani Umayyah untuk mendapatkan kekuasaan kekhalifahan mereka kembali.  

Selagi ISIS membunuh umat Islam, 
selagi itu ia dipersenjatai.








Friday, June 17, 2016

SURAH AL-BAQARAH AYAT 116 -- SEJARAH AJARAN PENERIMAAN KONSEP TUHAN ADA ANAK


ﻭﻗﺎﻟﻮﺍﺍﺗﺨﺬ ﺍﻟﻠﻪ ﻭﻟﺪﺍﺳﺒﺤﻨﻪ

Dan telah berkata mereka, telah mengambil Ia oleh Allah akan anak, Mahasuci Ia.

Dan mereka (orang-orang musyrik): “Allah mempunyai anak”, Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan itu),

Bagaimanakah nasib pengakhiran sesebuah ajaran agama yang diperlaku sedemikian rupa? Iaitu sistem hidup pengkastaan. Mereka yang miskin dijadikan golongan hina dan dianggap sebagai beban kepada masyarakat dan golongan atasan pula sentiasa berusaha meninggikan kedudukannya, bahkan ada yang mendakwa telah sampai ke tahap dewa atau anak tuhan. Sistem hidup sebegini telah berlaku ke atas masyarakat silam dan kesan-kesan arkeologi bersejarah telah membuktikan perkara sedemikian.

Apa yang ingin penulis nyatakan adalah, bermula daripada penggerogotan agama demi kepentingan golongan penguasa, sekiranya dibiarkan, akhirnya akan membuka ruang kepada pembentukan masyarakat berkasta. Kini kasta yang diwujudkan adalah sesuatu yang bersifat ekonomi dengan golongan atasan membawa polisi yang menindas keseluruhan ahli masyarakat. Pelbagai masalah timbul dan permasalahan yang berlaku tidak memberi gambaran bahawa kehidupan dunia berada dalam kekuasaan Tuhan.

Sistem ekonomi riba yang dihalalkan menjadi sebab 
wujudnya kasta ekonomi. Kesyirikan dalam agama pula
menjadi sebab wujudnya kasta pendewaan.

Apabila golongan agama sendiri menjadi perosak agama, maka tunggulah kekecewaan ahli masyarakat terhadap ajaran agama yang sejak sekian lama mereka anuti. Ahli agama menjadi perosak agama lalu ke manakah lagi luahan harus ditujukan? Umumnya umat akan meninggalkan ajaran agama sedikit demi sedikit dan kebahayaan akan terjadi apabila mereka mula mempertikai agama berdasarkan logik akal yang terhad. Sama ada ahli agama itu menyedari atau tidak, mereka sebenarnya turut terlibat dalam kerja merosakkan agama dan seluruh sistem hidup akan terkesan kerananya.

Kesan pengkastaan yang diwujudkan dalam agama yang berlaku, telah mengakibatkan hak beribadah dalam rumah ibadat terpilih, hanya ditujukan kepada golongan eksklusif sahaja. Semua ini adalah langkah awal yang menjurus kepada pemisahan umat berdasarkan status. Kesan besar yang berlaku adalah, akan terdapat rumah-rumah ibadat yang hanya akan dibuka pada masa-masa tertentu bahkan hanya kepada golongan sasaran tertentu sahaja. Rumah ibadah bukan lagi tempat berkumpulnya umat manusia dari pelbagai latar belakang sama ada untuk tujuan beribadah atau untuk mengadu hal.

Kesan jangka panjang adalah, rumah ibadah akan semakin kurang dikunjungi umat. Kiranya kita buat perbandingan rumah ibadat antara gereja dan masjid dan kita bandingkan keadaan tandas rumah-rumah ibadat berkenaan, kita akan dapati secara umumnya tandas-tandas dalam gereja adalah lebih bersih dan tersusun rapi berbanding keadaan tandas masjid. Ini menunjukkan tandas di gereja kurang digunakan berbanding tandas di masjid sehingga kurang berbau. Masjid masih menerima kunjungan ramai berbanding gereja kerana ayat-ayat Tuhan lebih bebas untuk disampaikan di masjid. Namun kiranya polisi pemisahan umat telah juga dilakukan di masjid dan masjid dijadikan tempat eksklusif kepada golongan tertentu, akan sampai masanya masjid menjadi sangat kurang dikunjungi dan keadaan tandas masjid tentunya akan menjadi lebih bersih dan tersusun rapi sepertimana keadaan tandas gereja atau tandas dalam bangunan yang kurang dikunjungi manusia. Walaupun perkara ini kelihatan tidak begitu relevan untuk dibincangkan namun perkara ini sememangnya dapat memberi gambaran keadaan yang telah berlaku.




Saturday, June 11, 2016

MENGHARAP PERTOLONGAN TUHAN


Apakah yang harus kita lakukan? Adakah kita harus menunggu sehingga ulama-ulama mengeluarkan fatwa bahawa aktiviti zina adalah sesuatu yang harus dijadikan halal supaya anak zina dapat dianggap sebagai anak sah taraf? Bukankah perkara ini telah dijanjikan pasti akan berlaku pada akhir zaman oleh RasululLah S.A.W? Atau kita biarkan sahaja keadaan berlalu sehingga perkahwinan sejenis semakin berleluasa? Kalau begitu, tunggulah harinya yang majlis pernikahan pelik ini akan dilakukan di dalam institusi ibadat umat ini sepertimana yang berlaku di gereja-gereja negara Barat, serta direstui oleh pejabat agama serta pemerintah masa itu. Sekiranya perkara-perkara ini terjadi, penulis dapat nyatakan bahawa mereka yang menguasai pemerintahan dan institusi agama ketika itu tentunya adalah penyembah-penyembah syaitan. Mereka pandai baca kitab suci untuk menipu kita.

i.    Syaitan Berwajah Manusia Yang Menguasai
      Pemerintahan dan Institusi Agama Umat

Bagaimanakah sebahagian gereja telah terseleweng begitu rupa daripada ajaran asal agama mereka? Vatikan yang merupakan institusi agama Kristian terbesar, kini hanyalah merupakan suatu simbol agama untuk tujuan mengutip dana. Dana itu kemudiannya digunakan untuk tujuan mempromosi agenda Masonik yang kelihatan seperti suatu agenda agama. Agama Kristian yang hampir semakin tiada tempat di hati masyarakat Barat telah cuba dieksport ke timur, namun Kristian yang tersebar adalah lebih bertujuan wang dan sokongan politik. Kiranya kita melihat kepada simbol-simbol yang wujud pada kebanyakan gereja di dunia ini, hampir semuanya telah dipengaruhi untuk membawa agenda Masonik yang nyata-nyatanya telah sesat dalam amalan agama mereka.

ii.   Punca Pihak Gereja Tersesat
      Daripada Ajaran Kristian

Bermula daripada penguasaan politik terhadap rumah ibadat, sepertimana penguasaan politik terhadap rumah ibadat umat Islam sekarang ini, akhirnya akan sampai kepada kemuncak pengenalan amalan-amalan pelik dalam agama. Najis dijadikan halal dan dicap dengan logo halal supaya pejabat agama dapat mengutip hasil. Harta warisan umat Islam dijadikan barang dagangan sehingga tidak dikembalikan kepada mereka yang berhak. Amalan riba dianggap sebagai amalan perniagaan sehingga diterima di peringkat negara dan rakyat. Semua yang berlaku ini adalah bersebab.

Agama telah dipisahkan daripada pemerintahan apabila orang-orang agama tidak lagi memaparkan ciri-ciri agama. Apabila pendeta-pendeta agama Kristian diketepikan daripada gereja dan digantikan dengan paderi-paderi yang membawa amalan songsang, agama Kristian semakin hilang pengaruh dalam masyarakat. Hingga ke suatu tahap, pemerintah tidak lagi mahu merujuk kepada ajaran agama yang terdapat dalam Bible dan mula mencipta polisi pemerintahan mereka sendiri. Bermulalah zaman Rainessence apabila ilmu-ilmu sains lebih diterima berbanding rujukan agama. Apabila wujud pertembungan antara sains dan agama, kempen untuk menyatakan kebenaran sains telah dijalankan secara besar-besaran oleh pengajar-pengajar yang telah dilatih khas. Secara halus, mereka mula mempertikai ajaran agama hingga secara perlahan-lahan keyakinan pelajar-pelajar terhadap agama semakin hilang. 

Ajaran Darwinism mula menggantikan tempat ajaran Kristian itu sendiri. Hingga ke suatu peringkat sekarang ini, ajaran agama baru Scientology mula diterapkan dalam masyarakat Barat bagi menggantikan ajaran Kristian yang dikatakan lebih mengarut. Mereka memakai logo penolakan terhadap logo agama Kristian pada bangunan ‘rumah ibadat’ mereka.

Scientology memiliki asas kepercayaan
terhadap makhluk asing.

iii.    Kebejatan Ahli Agama Yang 
        Didorong Oleh Pemerintah

Di mana-mana jua, sejak dahulu lagi bahkan sebelum zaman kerasulan Muhammad S.A.W, pertembungan antara pihak agama dan pihak pemerintah ada sejarah panjang yang tersendiri. Apabila pemerintah berjaya mengenepikan pihak agama dan melantik orang-orang agamanya sendiri maka syari’at akan diubah sedikit demi sedikit.  Hingga satu peringkat, pemerintah akan mempergunakan agama yang telah terubahsuai itu untuk menguasai kerohanian umat.

Kisah permusuhan dahsyat antara golongan yang mendakwa sebagai pengikut Sunnah dan golongan Alawiyin di Syria adalah kesan langsung campur tangan pemerintah terhadap perkara agama sejak dari dahulu lagi. Begitu juga peperangan antara penganut Kristian pada mazhab-mazhab berbeza sebenarnya terbentuk akibat campur tangan raja terhadap gereja. Perpecahan umat berlaku bermula daripada perkara politik hingga akhirnya melibatkan perbezaan amalan agama yang diperbesar-besarkan. Begitulah sumbangan pemerintah terdahulu dan mereka tidak memperduli akibat buruk yang akan menimpa umat-umat terkemudian.

Akibatnya wujudlah kepelbagaian agama, kepelbagaian mazhab dan kefahaman. Mereka yang menolak cara beragama umat yang dipandang sebagai mengelirukan, lebih terpedaya dengan ajaran sains dan memilih menjadi ateis. Di sebelah pihak lagi, mereka yang menolak agama sanggup memilih menyembah syaitan demi mendapatkan habuan sementara dalam kehidupan dunia ini.

Setelah menguasai rumah ibadat umat Islam
ramai penganut Kristian menjadi sesat.




Sunday, June 5, 2016

SURAH AL-BAQARAH AYAT 115 -- BAGI ALLAH TIMUR DAN BARAT


ﻭﻟﻠﻪ ﺍﻟﻤﺸﺮﻕ ﻭﺍﻟﻤﻐﺮﺏ ﻓﺎﻳﻨﻤﺎ ﺗﻮﻟﻮﺍ
ﻓﺜﻢ ﻭﺟﻪ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻥ ﺍﻟﻠﻪ ﻭﺍﺳﻊ ﻋﻟﻴﻢ

Dan kepunyaan Allah Timur dan Barat, maka ke mana sahaja kamu menghadap maka di situlah wajah Allah. Sesungguhnya Allah Maha Luas Maha Mengetahui.  

Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk menghadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah; sesunguhnya Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi sentiasa Mengetahui.

Ke mana-mana sahaja kita pergi, kempen mempersesat rumah ibadat sungguh giat dijalankan sejak dahulu lagi. Vatikan yang merupakan pusat ibadat umat Kristian kini telah ditadbir oleh golongan Masonik yang menyamar sebagai umat beragama. Mereka mengumpul dana atas nama Tuhan tetapi menggunakan dana-dana berkenaan untuk tujuan merosakkan petunjuk Tuhan. Hingga ke suatu tahap kemuncak, upacara perkahwinan sejenis turut dilakukan di gereja dan perkara ini sebenarnya telah diketahui oleh umat manusia (termasuk mereka yang tidak beragama Kristian), sebagai suatu penyelewengan agama yang terbesar. Bagaimana dengan kedudukan rumah ibadat umat Islam? Jawatan imam, bilal dan tok siak yang suatu masa dahulu disandang oleh mereka yang tidak mengharap habuan dunia, kini telah dijadikan rebutan oleh mereka yang inginkan bayaran elaun serta pengurusan dana masjid. Masjid seharusnya digunakan sebagai tempat berwakaf untuk tujuan mengingati Tuhan, namun kini terdapat pengurusan masjid yang melarang bangunan berkenaan dijadikan tempat persinggahan ahli-ahli jamaah tertentu. Masjid kini telah dijadikan tempat perbualan isu-isu semasa seperti di pasar-pasar dan warung-warung. Atas perkara ini, maka tunggulah kebinasaan terhadap kehidupan beragama umat. Atas sebab itu Tuhan telah melaknat pelaku-pelaku yang berusaha merobohkan petunjuk Tuhan dalam masjid Tuhan, sehingga sekalipun mereka ini kelihatan beragama sebenarnya mereka dipandang rendah dan hina oleh umat manusia. Mereka ini seringkali menyalah gunakan peruntukan aktiviti keagamaan demi memenuhi keinginan peribadi mereka.


Kecelaruan Penguatkuasaan Agama 

Tidakkah pembaca dapat perhatikan, bagaimanakah suatu makanan itu dijadikan halal di sesebuah negara tetapi menjadi tidak halal di sesebuah negara yang lain? Keharaman arak diukur pada tahap kandungan alkoholnya dan bukannya atas sebab ukuran ‘mabuk’ atau ‘tidak mabuk’nya sesuatu pemakanan. Kehalalan aktiviti ‘perniagaan’ berasaskan riba diukur atas sebab dan bukannya atas akibat yang akan terjadi. Kesudahannya, nota perbankan Islam turut diserahkan kepada pihak-pihak lain yang tidak diketahui agama mereka. Mereka ini hanya memancing umat Islam dengan istilah-istilah ekonomi serba Islamik, walhal ianya adalah suatu penipuan terbesar terhadap sistem ekonomi umat. Individu yang cuba menghurai pandangannya tentang ekonomi Islam pada sudut pandangan sosialis telah ditangkap dan dipenjarakan sedangkan perlaksanaan ekonomi yang dikatakan ‘patuh syariat’ telah mengakibatkan hutang negara semakin meningkat. Corak 'ekonomi Islam' yang kononnya menjanjikan keuntungan tinggi telah menunjukkan petanda awal bahawa rakyat negara ini semakin menuju kemiskinan. Semakin ramai umat Islam menjual nasi lemak untuk sarapan pagi di tepi jalan. Semakin ramai umat ini hilang jati diri apabila mereka terpaksa bekerja lebih masa dengan pendapatan hanya sekadar cukup untuk kehidupan.

i.    Akibat-akibat Yang Terjadi

Kini kita dapati umat Islam telah dilanda penyakit sosial yang amat parah. Fail-fail permohonan penceraian di pejabat agama begitu tinggi sekali disebabkan permasalahan sosio-ekonomi yang melanda. Urusan nikah kahwin yang dahulunya berada di bawah naungan Sultan atau Yang Dipertuan Agong, kini telah direnggut dan diurus tadbir di bawah urusan jabatan yang dikuasai sepenuhnya oleh kementerian. Lalu diwujudkan suatu ajaran baru dalam agama dengan meletakkan syarat ‘taklik’ sebagai usaha merampas hak talak suami.

Di mana sahaja kita berada, sama ada di timur atau barat, perkara agama bukan lagi merupakan perkara yang ingin dibincangkan melainkan di majlis-majlis rasmi sahaja. Mereka lebih menyenangi seloka para ustaz-ustazah dan gagal untuk membincangkan permasalahan yang berlaku untuk tujuan mencari jalan penyelesaian. Ustaz-ustazah sebegini sememangnya ditaja supaya pendengar-pendengar budiman akan terlupa memikirkan permasalahan sebenar yang terjadi.

ii.   Tidak Bertambah Melainkan Azab

Gara-gara menerima sistem kapitalis berasaskan riba dan pajakan, semakin ramai rakyat hidup berhutang dan jumlah hutang isi rumah semakin meningkat. Tujuan sistem ini diwujudkan adalah supaya rakyat akan sentiasa memerlukan golongan kapitalis untuk kehidupan dan seterusnya golongan kapitalis akan menggunakan kesempatan ini supaya mereka dapat merasuah pemimpin negara demi menguasai lebih banyak harta negara dan menguasai kerohanian umat. Maka jadilah sekarang ini agama adalah suatu rekaciptaan pelopor-pelopor agama dan bukan lagi syari’at Tuhan sepenuhNya. Amalan riba dijadikan halal dengan pelbagai istilah yang dikatakan serba Islamik, sedangkan akibat yang terjadi adalah persis sepertimana yang berlaku di negara-negara Barat yang mengamalkan sistem kapitalisme. Air dan udara semakin dijadikan barang jualan akibat kadar pencemaran yang sentiasa meningkat dan maruah manusia semakin tercemar.

iii.    Gara-gara Siapakah Semua Ini?

Sekiranya dahulu, setelah perampasan kekhalifahan oleh Bani Umayyah terjadi, urusan agama adalah sesuatu yang harus terlebih dahulu mendapat restu khalifah dan perkara serupa ini telah diwarisi sehingga sekarang ini. Sebagaimana umat-umat dahulu cuba mengubah kandungan kitab suci, perkara demikian juga dilakukan oleh ulama-ulama bani Umayyah terhadap ajaran agama. Oleh kerana ajaran Islam telah tersebar ke kawasan pembukaan yang luas sebelum zaman bani Umayyah lagi, kita dengan mudah akan mendapati perbezaan ketara ajaran-ajaran Islam antara satu wilayah Islam dengan wilayah Islam yang lainnya.

Perkara perbezaan kefahaman agama tidak harus dijadikan alasan untuk umat ini bermusuhan kerana berbezanya perkara agama yang telah terjadi sejak dahulu lagi, adalah merupakan hasil pertembungan kepentingan politik pemerintahan dahulu kala. Dan kita juga harus memaklumi bahawa pengubahsuian agama juga telah dilakukan oleh penjawat-penjawat agama masakini demi memuaskan hati pemerintah. Bermula daripada usaha menguasai rumah-rumah ibadat yang asalnya diurus tadbir oleh pihak yang tidak memihak kepada pemerintah, pungutan dan pengagihan zakat oleh mereka yang tidak berkenaan dengan institusi agama, sehinggalah kepada pengubahsuaian hukum halal dan haram suatu pemakanan atas nama ekonomi umat dan penguasaan kerohanian umat. Perkara ini sedang berlaku sekarang ini.



Tak Sepatutnya Pegawai Kerajaan Terlibat Dalam Urusan Kutipan dan Pengagihan Zakat. Mereka Yang Berada di  Majlis Agama Islam Negeri Adalah Lebih Layak.
 




Monday, May 30, 2016

SEBAB-SEBAB KEHINAAN YANG MENIMPA MEREKA


ﺍﻭﻟﺌﻚﻣﺎﻛﺎﻥﻟﻬﻡﺍﻥﻳﺪﺧﻠﻮﻫﺎﺍﻻﺧﺎﺋﻔﻴﻦ
ﻟﻬﻡﻓﻰﺍﻟﺪﻧﻳﺎﺧﺰﻯﻭﻟﻬﻢﻓﻰﺍﻷﺧﺮﺓﻋﺬﺍﺏﻋﻈﻴﻢ

Mereka itu, (sepatutnya) tidaklah telah adalah ia bagi mereka bahawa mereka memasuki akannya melainkan (dengan) ketakutan. Bagi mereka pada dunia ini kehinaan dan pada akhirat pula azab yang besar.

Orang-orang yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.


Mereka yang mengasingkan diri meninggalkan rumah ibadat yang telah dirampas tentunya akan memandang hina golongan perampas berkenaan. Perampasan yang telah berlaku bukan sahaja atas harta Tuhan, bahkan juga bertujuan mencegah aktiviti penyampaian ayat-ayat Tuhan secara terbuka, yang tujuannya supaya umat terus berkeadaan jahil yang berpanjangan.

iv.   Penjawat Agama Mereka Adalah 
       Golongan Yang Sehabis Zalim

Terdapat sebuah hadith RasululLah S.A.W. yang menyatakan bahawa pasti akan sampai kepada manusia suatu zaman yang, tidak kekal Islam pada seseorang melainkan hanya sekadar pada namanya iaitu mereka sebenarnya bukan beragama Islam ataupun keislaman mereka sebenarnya tidak diterima. Tidak juga Al-Qur’an melainkan untuk bacaan di majlis-majlis rasmi belaka iaitu Al-Qur’an tidak dibaca dengan sebenar-benar bacaan melainkan sekadar bacaan dendangan. Masjid-masjid mereka pada hari itu meriah, walhal ianya suatu yang runtuh daripada petunjuk Tuhan dan ulama-ulama mereka pada hari itu adalah sejahat-jahat ulama di bawah kulit langit. Daripada ulama-ulama berkenaan akan timbul fitnah dan kepada ulama-ulama berkenaan fitnah itu akan kembali...
Sistem Kehidupan Yang Ada Sekarang Ini...
"Self-Destructive"





Tuesday, May 24, 2016

SURAH AL-BAQARAH AYAT 114 -- MEMASUKI RUMAH IBADAT UNTUK MERUNTUHKANNYA


ﻭﻣﻦﺍﻇﻠﻢﻣﻤﻦﻣﻨﻊﻣﺴﺠﺪﺍﷲ
ﺍﻥﻳﺬﻛﺮﻓﻴﻬﺎﺍﺳﻤﻪﻭﺳﻌﻰﻓﻰﺧﺮﺍﺑﺎ

Dan siapakah lagi yang sehabis zalim daripada seseorang yang, telah menegah ia akan masjid-masjid Allah, bahawa diingati dalamnya akan namaNya, dan telah berusaha ia pada perobohannya…

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu…


Adalah menjadi perkara yang menarik perhatian penulis apabila bilangan pengunjung untuk tujuan beribadah di masjid-masjid kini telah menjadi semakin ramai. Begitu juga pengunjung-pengunjung rumah ibadat lain seperti gereja, tokong, gudwara sahib, kuil, biara dan sebagainya kini semakin meningkat. Adakah perkara ini disebabkan oleh kesedaran ataukah disebabkan naluri rasa ingin kembali merujuk kepada Tuhan atas kepelbagaian permasalahan yang mereka hadapi dalam kehidupan mereka akhir-akhir ini?

Bahkan kita harus ingat bahawa bukan semua ahli ibadat yang datang ke rumah-rumah ibadat benar-benar bertujuan untuk memakmurkannya. Di sebalik ‘ibadat’ yang mereka lakukan dalam rumah-rumah ibadat itu, mereka sebenarnya sedang berusaha untuk merobohkannya. Mereka bukan berniat merobohkan dinding-dinding rumah-rumah ibadat berkenaan, tetapi yang mereka ingini adalah merobohkannya daripada petunjuk Tuhan.


i.   Fenomena Yang Dapat Direnung

Selepas peristiwa serangan 11 September dan peristiwa tsunami Asia Selatan, bilangan mereka yang kembali ke rumah Tuhan semakin meningkat. Fenomena ini adalah fenomena sejagat berlaku di seluruh dunia. Di negara kita, rancangan media masa berbentuk hiburan semakin berkurangan dan rancangan berbentuk agama pula semakin bertambah. Tayangan-tayangan filem Hindi semakin kurang ditayangkan di televisyen dan digantikan dengan tayangan yang lebih bersifat tempatan. Selepas pilihanraya 2008, sokongan pengundi kepada parti Nasionalis yang memerintah didapati telah merosot dengan ketara. Pihak pemerintah terpaksa menyemak semula polisi yang selama ini mereka amalkan. Mereka mendapati golongan penentu yang masih memberi sokongan tegar kepada parti pemerintah adalah golongan veteran atau golongan tua yang mengundi di saluran pertama. Oleh kerana golongan ini masih menjadi pengundi tegar kepada parti Nasionalis sekurang-kurangnya untuk dua penggal lagi, bilangan mereka perlu ditingkatkan.


Perkara inilah yang kurang disedari oleh kepimpinan parti pembangkang di negara ini dan atas sebab inilah mereka dijangka akan terus gagal mengambil alih pemerintahan untuk beberapa penggal lagi.

Golongan tua memerlukan tongkat, mereka perlukan pembelaan dan sokongan. Sebahagian mereka menerima saraan menerusi wang pencen dan sebahagian yang lain bergantung kepada ubat. Mereka memerlukan rumah-rumah ibadat untuk memenuhi naluri kerohanian mereka dan mereka memerlukan persekitaran yang harmoni bersama ahli keluarga mereka.

ii.   Pusingan 180 Darjah

Kiranya kerajaan yang memerintah sebelum ini disebut sebagai pihak yang kurang menitik beratkan agama, keadaan kini telahpun berubah. Beberapa buah rumah ibadah seperti masjid telah berjaya dirampas daripada pentadbiran yang sebelum ini condong kepada pembangkang. Dengan peruntukan daripada pihak berkuasa, sebahagian bangunan rumah ibadat telah diubahsuai dan sebahagian lain didirikan menara yang tinggi sebagai simbol kejayaan merampas pentadbiran rumah ibadat. Habuan keuntungan tender mendirikan bangunan menara, turut dikongsi bersama oleh mereka yang berada di pejabat agama.

Pada masa mereka mengeluarkan arahan bahawa masjid atau mana-mana rumah ibadat tidak harus dijadikan tempat berpolitik, namun mereka sendiri menggunakan tangan-tangan belakang untuk merampas pentadbiran rumah ibadat atas arahan orang-orang politik tertentu. Sebelum ini, mana-mana ustaz yang membawa ceramah politik di dalam masjid akan dikenakan tindakan seperti dibuang daerah atau dilucutkan jawatan pekerjaannya. Kini, mana-mana ahli qariah yang menyokong pemerintah, yang berjaya merampas pentadbiran suatu rumah ibadat, akan diberi habuan serta projek-projek tertentu.




 
Tindakan ini mengakibatkan ahli jemaah akan berpecah. Sebahagian mereka sanggup berjalan jauh untuk beribadat di tempat lain dan meninggalkan rumah ibadat asal yang biasa mereka kunjungi. Tindakan memecah belahkan golongan beriman wujud dalam polisi pemerintahan sekarang ini. Tidakkah mereka mengetahui bahawa dengan tindakan mereka itu, mereka akan memperolehi kehinaan dalam kehidupan dunia ini lagi dan di akhirat kelak?

iii.   Aktiviti Meruntuhkan Rumah Ibadat


Rumah ibadat semakin runtuh. Keruntuhan bukan berlaku kepada bangunan-bangunan yang sedia didirikan tetapi keruntuhan berlaku akibat tiada lagi petunjuk Tuhan yang dapat disampaikan secara terbuka. Perkara yang serupa sebenarnya telah berlaku kepada gereja di Eropah sebelum revolusi perindustrian, yang akhirnya mengakibatkan peranan agama hilang daripada pentadbiran kerajaan. Mereka yang menguasai gereja di bawah pengaruh ahli politik juga, akhirnya telah terpaksa mengubah suai agama supaya selari dengan nafsu saroqah ahli-ahli politik yang tentunya didokong oleh golongan peniaga.  Sistem ekonomi riba yang pada awalnya dilarang dalam agama akhirnya terpaksa di‘halal’kan menggunakan hujah-hujah syar’ie berbau agama demi mengenyangkan puak-puak kapitalis. 


Bermula hukum riba adalah haram dalam apajua agama.

Mereka yang pada awalnya meraikan kemeriahan merampas pentadbiran rumah ibadat, sebenarnya sudah dijangka akan gagal mengurus tadbir rumah ibadat berkenaan apabila mereka tidak lagi menerima habuan yang dapat memuaskan hati mereka. Hingga ke suatu peringkat, apabila ahli agama itu juga didapati telah menyelewengkan wang agama, mereka akhirnya semakin tidak dihormati umat. Gereja yang suatu masa dahulu menjadi tempat yang dihormati kini semakin menyepi apabila umat Kristian semakin merajuk dan mula meninggalkan ajaran agama.
 
Polisi pemerintahan kini membingungkan.
Teks khutbah yang dibaca semakin menjemukan para pendengar.

Bermulalah detik malang yang akan menimpa umat apabila golongan anti agama dapat memberi pengaruh besar dalam menentukan hala tuju sesebuah pemerintahan. Mereka kemudiannya dengan megah mencabar pihak agama bahawa mentaati ajaran agama tidak akan membawa mereka ke mana-mana.






Wednesday, May 18, 2016

MENGULANGI PERKATAAN JAHILIYAH


ﻛﺬﻟﻚ ﻗﺎﻝ ﺍﻟﺬﻳﻦ ﻻﻳﻌﻠﻤﻮﻥ
ﻣﺜﻞ ﻗﻮﻟﻬﻡ
ﻓﺎﻟﻠﻪ ﻳﺤﻜﻢ ﺑﻴﻨﻬﻢ ﻳﻮﻡ ﺍﻟﻘﻴﻤﺔ
ﻓﻴﻤﺎ ﻛﺎﻧﻮﺍ ﻓﻴﻪ ﻳﺤﺘﻠﻔﻮﻥ

Seperti itu, telah berkata ia, orang-orang yang tidak mereka berilmu, seumpama perkataan mereka itu, maka Allah, Ia (akan) menghakimi di antara mereka (pada) hari qiyammah pada apa yang telah adalah mereka padanya, mereka berselisihan.

Demikian juga orang-orang (musyrik dari kaum Jahiliyah) yang tidak berilmu pengetahuan, mengatakan seperti yang dikatakan oleh mereka itu. Maka Allah akan menghukum (mengadili) di antara mereka pada hari kiamat mengenai apa yang mereka berselisih padanya.

iv.    Suka Menuduh Sesat Adalah Ajaran Jahiliyah

Hanya golongan yang tak cukup ilmu sahaja akan ringan lidah untuk menuduh pihak lainnya sebagai sesat dan tidak menurut panduan benar dalam amalan agama mereka. Penulis telah bincangkan perkara kesesatan dalam huraian surah Al-Qalam. Kesimpulannya, kita harus terlebih dahulu mengetahui apakah yang dikatakan sebagai sesat sebelum menggerak lidah untuk menuduh pihak lain sebagai sesat. Mudah difahami untuk penulis nyatakan bahawa bukan semua Yahudi harus dituduh sesat walaupun sebahagian besar mereka dimurkai, bukan semua Kristian boleh dituduh sebagai sesat walaupun ada sebahagian mereka yang sesat dan bukan juga semua penganut Syi’ah adalah sesat, hanya golongan Rafidhah dalam kalangan mereka sahaja yang menolak kebenaran dan sebenarnya ada juga antara golongan Sunnah yang kafir dan sesat kerana mereka suka mengamal riba, rasuah dan menyonglap peruntukan zakat.

iv.    Etika Beragama Golongan Berilmu

Setiap penganut agama harus berada dalam kelompok agama masing-masing. Oleh kerana asas kepercayaan dalam setiap agama adalah sesuatu yang amat bertentangan dengan agama lainnya, mereka harus mengerti bahawa mereka memiliki asas yang serupa iaitu menyembah Tuhan. Tidak harus wujud apa yang dikatakan sebagai toleransi antara agama sebagaimana yang dibawa melalui konsep ajaran wasathiyah.

vi.   Serah Kepada Tuhan Untuk Menghakimi

Menyerahkan urusan kepada Tuhan, tentunya akan dapat menangguhkan pertentangan antara mereka. Di negara ini yang terdiri daripada pelbagai anutan agama, kewujudan anutan agama yang lain daripada agama yang dianuti oleh seseorang adalah sesuatu yang harus diakui. Perbezaan bukan sahaja berlaku atas sebab berlainan fahaman agama dan politik, bahkan juga cara kefahaman yang berlainan dalam agama yang sama sehingga mewujudkan kepelbagaian mazhab dan jamaah. Tiada suatu anutan akan mengiktiraf anutan yang lain dan perkara ini harus diakui oleh semua pihak sehingga mereka harus memikirkan sesuatu bagi mengelak sebarang bentuk pertikaian berdarah. Perkara yang disaran melalui Al-Quran iaitu untuk membiarkan sahaja mereka dan berbuat perkara kebaikan terhadap mereka adalah ajaran yang sungguh menarik untuk diamalkan (2:109 & 2:112). 


Adakah Tuhan yang menyuruh manusia 
berbunuhan tanpa alasan yang benar?
Bahkan manusia yang menggunakan nama tuhan 
dan kitab suci untuk berbunuhan sesama sendiri.


Thursday, May 12, 2016

SURAH AL-BAQARAH AYAT 113 -- MEREKA SEMUA SAMA-SAMA KOSONG


ﻭﻗﺎﻟﺖﺍﻟﻴﻬﻮﺩﻟﻴﺴﺖﺍﻟﻨﺼﺮﻯﻋﻠﻰﺷﻰﺀ
ﻭﻗﺎﻟﺖﺍﻟﻨﺼﺮﻯﻟﻴﺴﺖﺍﻟﻴﻬﻮﺩﻋﻠﻰﺷﻰﺀ
ﻭﻫﻢﻳﺘﻠﻮﻥﺍﻟﻜﺘﺐ

Dan telah berkata ia oleh Yahudi, bukanlah Nasrani atas sesuatu, dan telah berkata ia oleh Nasrani, bukanlah Yahudi atas sesuatu, sedang mereka (semua) membaca Al-Kitab.

Dan orang-orang Yahudi berkata; “Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai suatu pegangan (agama yang benar)”; dan orang-orang Nasrani pula berkata; “Orang-orang Yahudi tidak mempunyai suatu pegangan (agama yang benar)”; padahal mereka membaca kitab suci masing-masing (Taurat dan Injil)

i.   Mengambil Golongan Lain Sebagai Kawan
     Setia Adalah Suatu Yang Dilarang Dalam
     Agama Masing-masing

Mana-mana agama yang disebutkan, sentiasa melarang penganutnya mengadakan hubungan istimewa dengan penganut agama lain. Kiranya batasan ini dilanggar, ini bermakna bahawa mereka yang terlibat tidak lagi mengambil kisah tentang larangan sedemikian. Yahudi dan Nasrani pada dasarnya adalah bermusuhan. Begitu juga antara mereka dengan umat Islam. Selama mana mereka berada dalam kelompok masing-masing, mereka tidak membawa bahaya yang besar terhadap pihak lainnya.

ii.   Mereka Baca Kitab Hanya Sekadarnya

Sekiranya umat Islam meniru sikap ahli kitab dalam menyatakan golongan lainnya tidaklah atas suatu pendirian yang benar, maka mereka itu juga adalah seumpama ahli kitab dahulu kala. Melainkan jika mereka memiliki hujah yang kukuh dalam kitab anutan mereka dengan cara bacaan yang benar.

Berlakunya perpecahan bagi penganut agama samawi apabila masing-masing mereka saling menuduh bahawa pihak lainnya tidak berada dalam ajaran agama yang benar. Dan tidak harus dilupa juga apabila golongan ilmuwan daripada setiap agama atau pengajian telah didedahkan kepada mereka penerangan-penerangan daripada ayat-ayat suci, maka tiba-tiba mereka membentuk suatu kumpulan yang menyanggahi kumpulan yang lainnya. Hal ini telah dijelaskan dalam penerangan awal Surah Al-Rahman.

iii.   Mengulangi Pendirian Golongan Yang Jahil

Kita dapati sekarang ini umat Islam berpecah belah. Golongan yang mendakwa penganut Sunnah (padahal mereka sebenarnya mewarisi ajaran ulama-ulama Bani Umayyah yang membenci amalan selawat kepada ahli keluarga RasululLah S.A.W), memusuhi golongan yang mendakwa pengikut Alawiyin dan pengikut Syi’ah (padahal mereka sebenarnya mewarisi ajaran ketua golongan munafik Abdullah bin Ubai). Mereka berbunuh-bunuhan atas agama yang mereka yakini sebagai benar iaitu agama Islam. Semua ini berlaku disebabkan kejahilan mereka dalam memahami Al-Qur’an sebagaimana yang disebutkan pada ayat sambungan berikut:-

Umat Islam Berbunuhan Kerana Al-Qur'an dan As Sunnah.
Mengapa Ya?



Friday, May 6, 2016

SURAH AL-BAQARAH AYAT 112 -- SIAPAKAH YANG BENAR?

ﺑﻠﻰﻣﻦﺍﺳﻠﻢﻭﺟﻬﻪﻟﻠﻪﻭﻫﻮﻣﺤﺴﻦ
ﻓﻠﻪﺍﺟﺮﻩﻋﻨﺪﺭﺑﻪﻭﻻﺧﻮﻑﻋﻠﻴﻬﻢ
ﻭﻻﻫﻢﻳﺤﺰﻧﻮﻥ


Bahkan sesiapa yang telah menyerah ia, akan seluruh wajahnya kepada Allah sedang ia pengusaha kebajikan maka baginya ganjarannya di sisi Tuhannya, dan tiada kebimbangan atas mereka dan tidak (pula) mereka berduka cita.

(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintah-Nya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya, dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

 i.     Siapakah Dalam Kalangan Umat Ini 
        Yang Lebih Benar Jalannya?

Dalam surah Al-Ma’idah ayat 82, Tuhan telah jelaskan terdapat dalam kalangan ahli kitab daripada penganut Nasrani yang tidak bersikap sombong dan mereka ini adalah sebaik-baik rakan yang mengasihi umat Islam. Tuhan juga telah menjelaskan dalam surah Al-Ma’idah ayat 51 terdapat ahli kitab daripada penganut Nasrani yang sebahagian mereka atas kaum Yahudi adalah aulia atas sebahagian yang lain. Mereka ini benar-benar memusuhi umat Islam dan berusaha supaya umat Islam sanggup menjadi kafir dengan menuruti agenda mereka.

Apa yang ingin penulis jelaskan adalah bahawa, dalam memilih jalan untuk mematuhi perintah Tuhan, kita harus mengakui terdapat pihak lain yang bukan berada dalam kalangan kita yang juga berada di pihak kita. Mereka ini tidak seharusnya diperangi dan tidak wajar untuk kita label mereka sebagai pihak yang akan sentiasa mencari jalan untuk memusuhi kita, sekalipun mereka memakai lambang atau logo yang sama dalam agama mereka seperti pihak yang satu lagi.

Bahkan ayat ini dapat dihubungkan dengan ayat daripada surah Al-Baqarah ayat 62 bahawa dalam kalangan ahli kitab, terdapat mereka yang benar-benar beragama dan mereka bakal memperolehi janji ganjaran daripada Tuhan dan mereka itu tidak akan berdukacita. Oleh itu sebagai umat Islam yang mengaku beragama, mereka tidak seharusnya ringan lidah dalam menjatuhkan hukum sesat terhadap ahli kitab yang lain sama ada ahli kitab yang lain itu beragama Yahudi, Nasrani atau Islam pada mazhab-mazhab aqidah yang berlainan. Tuduhan sesat hanya boleh dilakukan berdasarkan panduan daripada Tuhan, sepertimana yang telah dibincangkan dalam surah Al-Qalam atau melalui penjelasan Al-Hadith.

ii.    Menyerahkan Wajah Kepada Allah 
       Dan Mengusaha Kebajikan

Inilah satu-satu jalan yang dapat mengehadkan pertikaian sesama umat manusia yang berada dalam agama Al-Kitab. Kita harus mengetahui, kepada penganut Yahudi atau Nasrani yang mana satukah, yang kita dibolehkan untuk mengadakan hubungan baik. Secara umumnya, amat sedikit daripada kaum Yahudi yang boleh dipercayai dan penganut Kristian yang mengadakan hubungan baik dengan Yahudi adalah mereka yang sangat-sangat tidak boleh dipercayai.

Dalam hal ini, mereka yang menunjukkan sifat-sifat beragama dalam kalangan penganut Yahudi atau Nasrani adalah mereka yang lebih hampir persahabatan mereka dengan umat Islam. Ini adalah disebabkan oleh usaha mereka untuk menyerah diri kepada Tuhan dan mereka termasuk dalam kalangan yang berusaha untuk melakukan kebajikan.

iii.    Umat Islam Yang Boleh Dijadikan 
        Sahabat dan Umat Islam Yang Perlu 
        Dijauhi

Yang dikatakan umat Islam adalah mereka yang memenuhi prasayarat rukun Islam yang lima. Seseorang itu masih kekal dikatakan umat Islam sekalipun tidak memenuhi tuntutan yang lima itu, hanya mereka disebut sebagai muslim yang fasiq. Dalam hal ini, berdasarkan aplikasi ayat-ayat yang disebutkan, terdapat mereka yang mendakwa umat Islam tetapi perlu dijauhi. Iaitu mereka yang mengambil ahli kitab yang lain sebagai aulia, sebahagian atas sebahagian yang lain. Mereka ini didapati tidak bersedia untuk mengamalkan ajaran daripada kitab mereka masing-masing dan mereka sanggup mengenakan tentangan keras terhadap umat yang berusaha mengamalkan perintah Tuhan yang terdapat dalam kitab suci. Pada ayat yang seterusnya selepas ini, keperibadian mereka ini mudah dikenali atas sikap dan pegangan agama mereka.

Selama mana tiada hubungan rasmi antara penganut ketiga-tiga agama ini yang secara asasnya memiliki pertentangan dalam kepercayaan mereka, selama itulah mengadakan hubungan baik sekadarnya dengan mereka adalah dibolehkan. Apabila wujud sahaja kerjasama antara mana-mana penganut antara tiga penganut agama ini sehingga masing-masing mereka sanggup menggadaikan prinsip agama, maka ketika itulah mereka ini harus dianggap sebagai musuh yang harus dijauhi. 





Popular