SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Friday, June 28, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 51 -- GOLONGAN INGKAR HAMPIR MENGGELINCIRKAN GOLONGAN BERIMAN MELALUI PANDANGAN MEREKA


وان يكاد الذين كفروا ليزلقونك بابصار هم
لما سمعوا الذكر و يقولون انه لمجنون

Dan sesungguhnya ia hampir orang-orang yang telah ingkar mereka, agar dapat mereka menggelincirkan akan engkau dengan pendapat mereka, tatkala telah mendengar mereka akan peringatan itu seraya mereka (sentiasa) berkata sesungguhnya ia benar-benar gila. 

dan Sesungguhnya orang-orang Yang kafir itu, hampir-hampir menggelincir dan menjatuhkanmu Dengan pandangan mereka (yang penuh Dengan permusuhan dan kebencian), semasa mereka mendengar Al-Quran sambil berkata "Sebenarnya (Muhammad) itu, sungguh-sungguh orang gila".

i.     Mereka Menuduh Gila Walhal, 
       Mereka Yang Gila

Mereka benar-benar bermesyuarat sesama mereka, bertukar-tukar pandangan dan hujjah, memandang rendah RasullulLah S.A.W. serta memperleceh orang-orang yang beriman (2:212), agar orang-orang yang beriman terpedaya dan tergelincir dari jalan keimanan mereka melalui pernyataan mereka. Tatkala mereka mendengar peringatan, mereka memberi pandangan serius mereka, bahawa sesungguhnya peringatan sedemikian benar-benar suatu peringatan gila. Pada mereka peringatan Tuhan bukan sesuatu yang dapat dinilai secara nyata, semuanya adalah abstrak, sukar dibuat pertimbangan. Mereka mahukan pertimbangan yang ada nilai saintifik atau bertepatan dengan logik akal serta keuntungan ekonomi atas aktiviti manusia.

ii.     Mereka Menempuh Sistem Hidup 
        dan Ekonomi Yang Menyempitkan

Pertimbangan gila adalah pada tahap dangkal ukuran fikiran mereka, yang mahukan sesuatu yang waras, adalah suatu yang menguntungkan mereka, sekalipun dengan jalan menindas golongan yang susah. Pertimbangan golongan yang sesat adalah seperti perpatah bahasa Inggeris “the end justifies the mean” iaitu hasil sesuatu kesudahan menghakimi cara usaha.

Sebagai contoh, untuk memenangi peperangan adalah dengan cara membunuh orang awam negara musuh, sekalipun dengan senjata pemusnah besar. Apabila kemenangan telah diperolehi dan terlalu ramai orang awam negara musuh terkorban, lalu mereka menyimpulkan bahawa tindakan sedemikian adalah benar dan langkah memerangi negara musuh yang lain adalah dengan terlebih dahulu membunuh seberapa ramai orang awam. Mereka tidak mempertimbangkan langsung bahawa saling pembunuhan orang awam akhirnya menjadi perangkap kepada mereka untuk terus kekal di negara jajahan.

Sehingga berterusan mengeluarkan belanja untuk mengamankannya supaya hasil bumi negara berkenaan dapat mereka bolot dan negara jajahan tidak jatuh ke pemberontak. Teknik saling pembunuhan orang awam seperti ini telah diaplikasi oleh Saddam Husayn dan pemberontak Algeria, sehingga penjajah terpaksa berbelanja besar dalam peperangan dan akhirnya berundur dari negara jajahannya dalam keadaan rugi.

iii.    Amalan Bersadaqah Yang 
        Dianggap Gila

Agama ini terus tersebar dan mendapat sambutan daripada golongan dhaif. Kebajikan mereka adalah merupakan kewajiban golongan yang mampu dalam kalangan golongan beriman dan melalui peruntukan zakat. Golongan yang ingkar menyatakan bahawa tindakan sedemikian adalah merupakan suatu kerugian kerana membantu golongan dhaif tidak dapat diukur pada nilai ekonomi. Bukankah mereka tidak memahami bahawa mereka memperolehi pulangan yang tinggi melalui penindasan terhadap golongan yang dhaif? Apabila kehidupan golongan dhaif dibela oleh golongan beriman, golongan ingkar terpaksa meningkatkan perbelanjaan upah yang lebih baik kepada pekerja-pekerja upahan, yang secara tidak langsung, pengagihan ekonomi akan lebih merata dalam kalangan rakyat dan seterusnya pertumbuhan ekonomi negara akan dapat meningkat. Pada mereka, matlamat menghalalkan cara. Dengan membayar gaji upah rendah kepada pekerja-pekerja asing, mereka memperolehi laba yang lebih tinggi. Akibatnya, pengaliran wang ke negara asing akan memperkecilkan nilai wang tempatan dan dalam jangka masa tertentu akan mengakibatkan defisit dagangan negara. Inilah yang berlaku sekarang ini apabila setiap unit wang yang digunakan awal tahun tidak sama nilainya pada hujung tahun,  jatuh hingga 5%.







No comments:

Post a Comment

Popular