SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Monday, October 29, 2012

SURAH ALI IMRAN AYAT 31 -- KEMBALI MENYAYANGI TUHAN


قل ان كنتم تحبون الله فاتبعو نى يحبب كم الله
ويغفرلكم ذنوب كم

Katakan olehmu, kiranya telah adalah kamu, kamu menyayangi akan Allah, maka berittibaklah olehmu akan daku ini, Ia menyayangi akan kamu oleh Allah dan Ia mengampuni bagimu akan dosa-dosamu. 

Katakanlah (Wahai Muhammad) Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu.

i.   Menuruti Ajaran Al-Quran Adalah 
     Sunnah Sebenar RasullulLah S.A.W.

Boleh dibilang dengan jari, berapa banyakkah pejuang-pejuang agama sama ada melalui pendekatan jabatan, jamaah, parti atau gerakan ekstrem, dapat menyampaikan Al-Quran kepada pengikut-pengikut mereka? Kebanyakan mereka hanya mendengar Al-Quran melalui bacaan imam semasa melaksanakan ibadah solah dan kemudian melupakan kebanyakan bacaan itu apabila aktiviti solah mereka tamat. Adakah mereka benar-benar menuruti sunnah RasullulLah S.A.W. yang membacakan Al-Quran kepada para sahabat R.A.H.M di dalam solah dan juga di luar solah? Rasulullah tidak membaca kitab-kitab lain.

Kemudian RasululLah S.A.W. akan memberi huraian panjang lebar daripada ayat-ayat Al-Qur'an yang baginda fahami. Adakah sunnah sedemikian telah diikuti agar setiap individu akan disayangi Tuhan? Adakah memadai dengan membaca karangan-karangan ulama tertentu, telah menjamin seseorang ke suatu keadaan disayangi Tuhan? 
 
ii.   Menjemput Kasih Sayang Tuhan

Berittibak kepada RasululLah S.A.W. adalah dengan menuruti perlakuannya sama ada yang dinamai sebagai sunnah atau atsar. Sebenarnya apakah yang disampaikan oleh RasululLah S.A.W. kepada para sahabat R.A.H.M? Iaitu Al-Quran. Tugas baginda adalah menyampaikan Al-Quran dan baginda memberi contoh, melalui apa yang dikenali sebagai As-Sunnah atau sunan. RasululLah S.A.W. tidaklah semata-mata menyampaikan sunnahnya sebagaimana yang kita kini perolehi melalui pelbagai kitab-kitab sunan, tetapi baginda menyampaikan Al-Quran. Oleh kerana keislaman sahabat-sahabat baginda berlalu dalam tempoh yang agak lama, maka corak penerimaan yang diterima oleh para sahabat R.A.H.M juga berbagai-bagai. Dengan demikian baginda RasululLah S.A.W. telah meninggalkan pesan untuk menuruti sunnah Khulafah Ur-Rashidin Al Mahdiyin iaitu Khalifah Abu Bakar R.A. dan Khalifah Umar R.A.

Adalah didapati Khalifah Abu Bakar R.A. adalah sahabat yang sangat kurang meriwayat Al-Hadith dan Khalifah Umar R.A. lebih banyak menggunakan ijtihad beliau sendiri dalam menghadapi permasalahan umat. Penulis tidak bermaksud untuk merendahkan status Al-Hadith dan penulis juga amat bersetuju dengan pendirian Sahabat Abu Bakar R.A. dan Umar Al Khattab R.A. bahawa menggelojohi Al-Quran dan berusaha mengambil pengajaran daripadanya secara bersungguh-sungguh adalah lebih utama daripada terlalu memberi tumpuan yang amat mendalam darihal mana-mana Al-Hadith. Oleh kerana Al-Hadith harus difahami berdasarkan matan, penerimaan Al-Hadith haruslah disesuaikan dengan Al-Qur'an. Oleh yang demikian, kerja-kerja menstatuskan Al-Hadith adalah merupakan kerja-kerja yang tidak pernah selesai dilakukan oleh ulama-ulama Al-Hadith sejak dahulu lagi. 
 
Tindakan menuruti sunnah RasululLah S.A.W. berdasarkan rujukan Al-Hadith, adalah merupakan tindakan mencontohi kefahaman atau amalan baginda berdasarkan kefahaman baginda, tentang kitab Tuhan iaitu Al-Quran. Oleh itu tidak melampau untuk penulis nyatakan bahawa Muhammad RasululLah S.A.W. adalah ulama pertama dan ulama utama bagi umat ini. Sebenarnya penulis hanya khuatirkan kerja-kerja terlalu mendalami agama sehingga mengakibatkan seseorang itu terkeluar daripada ajaran agama.

والله غفور رحيم

Dan Allah Maha Pengampun Maha Pengasih.

dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

iii.    Tuhan Sedia Maklum Akan Kesalahan 
        Dan Kesilapan Yang Dilakukan Oleh 
        Manusia

Dalam usaha umat ini mengambil pelajaran secara bersungguh-sungguh daripada Al-Quran, tentunya mereka terdedah dengan kesilapan dan kesalahan dalam memahami ayat-ayat Tuhan. Perkembangan ilmu tetap akan berlaku sepanjang zaman. Sebagai contoh, ulama silam pernah mengeluarkan fatwa tentang tempoh haid seseorang wanita. Tempoh haid adalah tempoh kelarangan bagi seseorang wanita daripada melakukan amal-amal ibadah khusus seperti solat dan puasa. Fatwa yang pernah dinyatakan tentang hal ini adalah maksimum tempoh haid harus tidak melebihi 16 hari dan 16 malam. Sila rujuk kitab Mutlaq Al-Badrin atau Jauhar As-Siniah tentang perkara ini. Status fatwa sedemikian sebenarnya tidaklah harus dipertikaikan memandangkan secara umumnya tempoh sebulan maksimum bulan hijrah adalah 30 hari. Oleh itu seseorang wanita, secara umumnya memiliki tempoh sekurang-kurangnya 14 hari untuk melakukan ibadah khusus tersebut. Tempoh ini juga dikenali sebagai tempoh ovulasi ke menstruasi.

Penulis mengambil pendirian bahawa fatwa itu tidaklah menjurus kepada kesilapan atau kesalahan kiraan. Penemuan terkini darihal tempoh dari awal haid, yang telah dipersetujui oleh ahli embriologi perubatan sebenarnya menambah baik terhadap fatwa sedia ada. Tempoh dari awal haid hingga ke kejadian ovulasi adalah merupakan tempoh maksimum, kejadian haid dapat berlaku. Tempoh ini tidak dapat dinyatakan secara pasti memandangkan terdapat perbezaan tempoh bagi seseorang wanita dengan wanita yang lain. Namun kejadian ovulasi adalah 14 hari sebelum berlakunya kejadian haid berikutnya. Kejituan ini hampir terjadi kepada semua wanita. Oleh itu sekiranya kitaran haid seorang wanita memakan masa 34 hari, tempoh awal haid hingga ke kejadian ovulasi yang berlaku kepadanya adalah 34 – 14 iaitu 20 hari. Kejadian haid tidak harus berlaku lebih dari 20 hari kepada wanita itu.

iv.  Cukuplah Dengan Pengajaran 
      Al-Quran

Daripada contoh yang telah diberi, apajua fatwa yang menjurus kepada hukum atau kaedah, adalah merupakan suatu yang boleh dilakukan pengemaskinian terhadapnya sekiranya terdapat hujah yang lebih aula yang dapat diambil daripada wahyu seiring dengan penemuan semasa. Adapun fatwa ulama-ulama silam yang menjurus kepada penutupan pintu ijtihad dalam perkara agama adalah suatu yang sangat bersesuaian dengan maslahat masa itu yang salah satu tujuannya adalah bagi mengurangkan pertelingkahan umat yang sedang terjadi.

Selepas Muhammad RasululLah S.A.W. sehingga kini, tidak pernah ada individu yang boleh mendakwa menerima wahyu Tuhan secara terbuka yang dapat dijadikan ukuran bahawa cara beragama individu itu boleh dituruti untuk dijadikan panduan umat dalam beragama.  Sehingga kini juga, tidak pernah ada individu yang pernah hidup bersama RasululLah S.A.W. yang dapat menjelaskan secara terperinci segala perkara yang berkaitan agama meliputi pengajaran Al-Hadith tertentu. Oleh itu, kembali kepada pengajaran Al-Quran adalah merupakan satu perkara yang masih ada dalam tangan setiap umat masakini.

Tidak ada pendukung As-Sunnah dapat menafikan perkara ini, tidak juga pendukung mazhab Syi'ah. Bahkan tidak juga mereka yang berpegang dengan pandangan Muhammad Abdul Wahab dapat menafikan perkara ini. Begitu juga penganut mana-mana ajaran kerohanian sama ada yang mengambil jalan kesufian dan juga tareqah dapat menafikan perkara ini. Bahawa Al-Quran adalah satunya pandangan atau pendapat Tuhan yang harus dirujuk kembali. Bahawa petunjuk, hanyalah petunjuk Allah. Allah tidak memerintahkan melainkan menjadi hamba abdi kepadaNya. 



KUPASAN TERKINI AYAT

Sila klik untuk membaca kupasan terkini ayat Al-Quran.

Menyayangi Tuhan Adalah Dengan Menghayati Al-Qur'an

No comments:

Post a Comment

Popular