SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Tuesday, May 24, 2016

SURAH AL-BAQARAH AYAT 114 -- MEMASUKI RUMAH IBADAT UNTUK MERUNTUHKANNYA


ﻭﻣﻦﺍﻇﻠﻢﻣﻤﻦﻣﻨﻊﻣﺴﺠﺪﺍﷲ
ﺍﻥﻳﺬﻛﺮﻓﻴﻬﺎﺍﺳﻤﻪﻭﺳﻌﻰﻓﻰﺧﺮﺍﺑﺎ

Dan siapakah lagi yang sehabis zalim daripada seseorang yang, telah menegah ia akan masjid-masjid Allah, bahawa diingati dalamnya akan namaNya, dan telah berusaha ia pada perobohannya…

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu…


Adalah menjadi perkara yang menarik perhatian penulis apabila bilangan pengunjung untuk tujuan beribadah di masjid-masjid kini telah menjadi semakin ramai. Begitu juga pengunjung-pengunjung rumah ibadat lain seperti gereja, tokong, gudwara sahib, kuil, biara dan sebagainya kini semakin meningkat. Adakah perkara ini disebabkan oleh kesedaran ataukah disebabkan naluri rasa ingin kembali merujuk kepada Tuhan atas kepelbagaian permasalahan yang mereka hadapi dalam kehidupan mereka akhir-akhir ini?

Bahkan kita harus ingat bahawa bukan semua ahli ibadat yang datang ke rumah-rumah ibadat benar-benar bertujuan untuk memakmurkannya. Di sebalik ‘ibadat’ yang mereka lakukan dalam rumah-rumah ibadat itu, mereka sebenarnya sedang berusaha untuk merobohkannya. Mereka bukan berniat merobohkan dinding-dinding rumah-rumah ibadat berkenaan, tetapi yang mereka ingini adalah merobohkannya daripada petunjuk Tuhan.


i.   Fenomena Yang Dapat Direnung

Selepas peristiwa serangan 11 September dan peristiwa tsunami Asia Selatan, bilangan mereka yang kembali ke rumah Tuhan semakin meningkat. Fenomena ini adalah fenomena sejagat berlaku di seluruh dunia. Di negara kita, rancangan media masa berbentuk hiburan semakin berkurangan dan rancangan berbentuk agama pula semakin bertambah. Tayangan-tayangan filem Hindi semakin kurang ditayangkan di televisyen dan digantikan dengan tayangan yang lebih bersifat tempatan. Selepas pilihanraya 2008, sokongan pengundi kepada parti Nasionalis yang memerintah didapati telah merosot dengan ketara. Pihak pemerintah terpaksa menyemak semula polisi yang selama ini mereka amalkan. Mereka mendapati golongan penentu yang masih memberi sokongan tegar kepada parti pemerintah adalah golongan veteran atau golongan tua yang mengundi di saluran pertama. Oleh kerana golongan ini masih menjadi pengundi tegar kepada parti Nasionalis sekurang-kurangnya untuk dua penggal lagi, bilangan mereka perlu ditingkatkan.


Perkara inilah yang kurang disedari oleh kepimpinan parti pembangkang di negara ini dan atas sebab inilah mereka dijangka akan terus gagal mengambil alih pemerintahan untuk beberapa penggal lagi.

Golongan tua memerlukan tongkat, mereka perlukan pembelaan dan sokongan. Sebahagian mereka menerima saraan menerusi wang pencen dan sebahagian yang lain bergantung kepada ubat. Mereka memerlukan rumah-rumah ibadat untuk memenuhi naluri kerohanian mereka dan mereka memerlukan persekitaran yang harmoni bersama ahli keluarga mereka.

ii.   Pusingan 180 Darjah

Kiranya kerajaan yang memerintah sebelum ini disebut sebagai pihak yang kurang menitik beratkan agama, keadaan kini telahpun berubah. Beberapa buah rumah ibadah seperti masjid telah berjaya dirampas daripada pentadbiran yang sebelum ini condong kepada pembangkang. Dengan peruntukan daripada pihak berkuasa, sebahagian bangunan rumah ibadat telah diubahsuai dan sebahagian lain didirikan menara yang tinggi sebagai simbol kejayaan merampas pentadbiran rumah ibadat. Habuan keuntungan tender mendirikan bangunan menara, turut dikongsi bersama oleh mereka yang berada di pejabat agama.

Pada masa mereka mengeluarkan arahan bahawa masjid atau mana-mana rumah ibadat tidak harus dijadikan tempat berpolitik, namun mereka sendiri menggunakan tangan-tangan belakang untuk merampas pentadbiran rumah ibadat atas arahan orang-orang politik tertentu. Sebelum ini, mana-mana ustaz yang membawa ceramah politik di dalam masjid akan dikenakan tindakan seperti dibuang daerah atau dilucutkan jawatan pekerjaannya. Kini, mana-mana ahli qariah yang menyokong pemerintah, yang berjaya merampas pentadbiran suatu rumah ibadat, akan diberi habuan serta projek-projek tertentu.




 
Tindakan ini mengakibatkan ahli jemaah akan berpecah. Sebahagian mereka sanggup berjalan jauh untuk beribadat di tempat lain dan meninggalkan rumah ibadat asal yang biasa mereka kunjungi. Tindakan memecah belahkan golongan beriman wujud dalam polisi pemerintahan sekarang ini. Tidakkah mereka mengetahui bahawa dengan tindakan mereka itu, mereka akan memperolehi kehinaan dalam kehidupan dunia ini lagi dan di akhirat kelak?

iii.   Aktiviti Meruntuhkan Rumah Ibadat


Rumah ibadat semakin runtuh. Keruntuhan bukan berlaku kepada bangunan-bangunan yang sedia didirikan tetapi keruntuhan berlaku akibat tiada lagi petunjuk Tuhan yang dapat disampaikan secara terbuka. Perkara yang serupa sebenarnya telah berlaku kepada gereja di Eropah sebelum revolusi perindustrian, yang akhirnya mengakibatkan peranan agama hilang daripada pentadbiran kerajaan. Mereka yang menguasai gereja di bawah pengaruh ahli politik juga, akhirnya telah terpaksa mengubah suai agama supaya selari dengan nafsu saroqah ahli-ahli politik yang tentunya didokong oleh golongan peniaga.  Sistem ekonomi riba yang pada awalnya dilarang dalam agama akhirnya terpaksa di‘halal’kan menggunakan hujah-hujah syar’ie berbau agama demi mengenyangkan puak-puak kapitalis. 


Bermula hukum riba adalah haram dalam apajua agama.

Mereka yang pada awalnya meraikan kemeriahan merampas pentadbiran rumah ibadat, sebenarnya sudah dijangka akan gagal mengurus tadbir rumah ibadat berkenaan apabila mereka tidak lagi menerima habuan yang dapat memuaskan hati mereka. Hingga ke suatu peringkat, apabila ahli agama itu juga didapati telah menyelewengkan wang agama, mereka akhirnya semakin tidak dihormati umat. Gereja yang suatu masa dahulu menjadi tempat yang dihormati kini semakin menyepi apabila umat Kristian semakin merajuk dan mula meninggalkan ajaran agama.
 
Polisi pemerintahan kini membingungkan.
Teks khutbah yang dibaca semakin menjemukan para pendengar.

Bermulalah detik malang yang akan menimpa umat apabila golongan anti agama dapat memberi pengaruh besar dalam menentukan hala tuju sesebuah pemerintahan. Mereka kemudiannya dengan megah mencabar pihak agama bahawa mentaati ajaran agama tidak akan membawa mereka ke mana-mana.






Wednesday, May 18, 2016

MENGULANGI PERKATAAN JAHILIYAH


ﻛﺬﻟﻚ ﻗﺎﻝ ﺍﻟﺬﻳﻦ ﻻﻳﻌﻠﻤﻮﻥ
ﻣﺜﻞ ﻗﻮﻟﻬﻡ
ﻓﺎﻟﻠﻪ ﻳﺤﻜﻢ ﺑﻴﻨﻬﻢ ﻳﻮﻡ ﺍﻟﻘﻴﻤﺔ
ﻓﻴﻤﺎ ﻛﺎﻧﻮﺍ ﻓﻴﻪ ﻳﺤﺘﻠﻔﻮﻥ

Seperti itu, telah berkata ia, orang-orang yang tidak mereka berilmu, seumpama perkataan mereka itu, maka Allah, Ia (akan) menghakimi di antara mereka (pada) hari qiyammah pada apa yang telah adalah mereka padanya, mereka berselisihan.

Demikian juga orang-orang (musyrik dari kaum Jahiliyah) yang tidak berilmu pengetahuan, mengatakan seperti yang dikatakan oleh mereka itu. Maka Allah akan menghukum (mengadili) di antara mereka pada hari kiamat mengenai apa yang mereka berselisih padanya.

iv.    Suka Menuduh Sesat Adalah Ajaran Jahiliyah

Hanya golongan yang tak cukup ilmu sahaja akan ringan lidah untuk menuduh pihak lainnya sebagai sesat dan tidak menurut panduan benar dalam amalan agama mereka. Penulis telah bincangkan perkara kesesatan dalam huraian surah Al-Qalam. Kesimpulannya, kita harus terlebih dahulu mengetahui apakah yang dikatakan sebagai sesat sebelum menggerak lidah untuk menuduh pihak lain sebagai sesat. Mudah difahami untuk penulis nyatakan bahawa bukan semua Yahudi harus dituduh sesat walaupun sebahagian besar mereka dimurkai, bukan semua Kristian boleh dituduh sebagai sesat walaupun ada sebahagian mereka yang sesat dan bukan juga semua penganut Syi’ah adalah sesat, hanya golongan Rafidhah dalam kalangan mereka sahaja yang menolak kebenaran dan sebenarnya ada juga antara golongan Sunnah yang kafir dan sesat kerana mereka suka mengamal riba, rasuah dan menyonglap peruntukan zakat.

iv.    Etika Beragama Golongan Berilmu

Setiap penganut agama harus berada dalam kelompok agama masing-masing. Oleh kerana asas kepercayaan dalam setiap agama adalah sesuatu yang amat bertentangan dengan agama lainnya, mereka harus mengerti bahawa mereka memiliki asas yang serupa iaitu menyembah Tuhan. Tidak harus wujud apa yang dikatakan sebagai toleransi antara agama sebagaimana yang dibawa melalui konsep ajaran wasathiyah.

vi.   Serah Kepada Tuhan Untuk Menghakimi

Menyerahkan urusan kepada Tuhan, tentunya akan dapat menangguhkan pertentangan antara mereka. Di negara ini yang terdiri daripada pelbagai anutan agama, kewujudan anutan agama yang lain daripada agama yang dianuti oleh seseorang adalah sesuatu yang harus diakui. Perbezaan bukan sahaja berlaku atas sebab berlainan fahaman agama dan politik, bahkan juga cara kefahaman yang berlainan dalam agama yang sama sehingga mewujudkan kepelbagaian mazhab dan jamaah. Tiada suatu anutan akan mengiktiraf anutan yang lain dan perkara ini harus diakui oleh semua pihak sehingga mereka harus memikirkan sesuatu bagi mengelak sebarang bentuk pertikaian berdarah. Perkara yang disaran melalui Al-Quran iaitu untuk membiarkan sahaja mereka dan berbuat perkara kebaikan terhadap mereka adalah ajaran yang sungguh menarik untuk diamalkan (2:109 & 2:112). 


Adakah Tuhan yang menyuruh manusia 
berbunuhan tanpa alasan yang benar?
Bahkan manusia yang menggunakan nama tuhan 
dan kitab suci untuk berbunuhan sesama sendiri.


Thursday, May 12, 2016

SURAH AL-BAQARAH AYAT 113 -- MEREKA SEMUA SAMA-SAMA KOSONG


ﻭﻗﺎﻟﺖﺍﻟﻴﻬﻮﺩﻟﻴﺴﺖﺍﻟﻨﺼﺮﻯﻋﻠﻰﺷﻰﺀ
ﻭﻗﺎﻟﺖﺍﻟﻨﺼﺮﻯﻟﻴﺴﺖﺍﻟﻴﻬﻮﺩﻋﻠﻰﺷﻰﺀ
ﻭﻫﻢﻳﺘﻠﻮﻥﺍﻟﻜﺘﺐ

Dan telah berkata ia oleh Yahudi, bukanlah Nasrani atas sesuatu, dan telah berkata ia oleh Nasrani, bukanlah Yahudi atas sesuatu, sedang mereka (semua) membaca Al-Kitab.

Dan orang-orang Yahudi berkata; “Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai suatu pegangan (agama yang benar)”; dan orang-orang Nasrani pula berkata; “Orang-orang Yahudi tidak mempunyai suatu pegangan (agama yang benar)”; padahal mereka membaca kitab suci masing-masing (Taurat dan Injil)

i.   Mengambil Golongan Lain Sebagai Kawan
     Setia Adalah Suatu Yang Dilarang Dalam
     Agama Masing-masing

Mana-mana agama yang disebutkan, sentiasa melarang penganutnya mengadakan hubungan istimewa dengan penganut agama lain. Kiranya batasan ini dilanggar, ini bermakna bahawa mereka yang terlibat tidak lagi mengambil kisah tentang larangan sedemikian. Yahudi dan Nasrani pada dasarnya adalah bermusuhan. Begitu juga antara mereka dengan umat Islam. Selama mana mereka berada dalam kelompok masing-masing, mereka tidak membawa bahaya yang besar terhadap pihak lainnya.

ii.   Mereka Baca Kitab Hanya Sekadarnya

Sekiranya umat Islam meniru sikap ahli kitab dalam menyatakan golongan lainnya tidaklah atas suatu pendirian yang benar, maka mereka itu juga adalah seumpama ahli kitab dahulu kala. Melainkan jika mereka memiliki hujah yang kukuh dalam kitab anutan mereka dengan cara bacaan yang benar.

Berlakunya perpecahan bagi penganut agama samawi apabila masing-masing mereka saling menuduh bahawa pihak lainnya tidak berada dalam ajaran agama yang benar. Dan tidak harus dilupa juga apabila golongan ilmuwan daripada setiap agama atau pengajian telah didedahkan kepada mereka penerangan-penerangan daripada ayat-ayat suci, maka tiba-tiba mereka membentuk suatu kumpulan yang menyanggahi kumpulan yang lainnya. Hal ini telah dijelaskan dalam penerangan awal Surah Al-Rahman.

iii.   Mengulangi Pendirian Golongan Yang Jahil

Kita dapati sekarang ini umat Islam berpecah belah. Golongan yang mendakwa penganut Sunnah (padahal mereka sebenarnya mewarisi ajaran ulama-ulama Bani Umayyah yang membenci amalan selawat kepada ahli keluarga RasululLah S.A.W), memusuhi golongan yang mendakwa pengikut Alawiyin dan pengikut Syi’ah (padahal mereka sebenarnya mewarisi ajaran ketua golongan munafik Abdullah bin Ubai). Mereka berbunuh-bunuhan atas agama yang mereka yakini sebagai benar iaitu agama Islam. Semua ini berlaku disebabkan kejahilan mereka dalam memahami Al-Qur’an sebagaimana yang disebutkan pada ayat sambungan berikut:-

Umat Islam Berbunuhan Kerana Al-Qur'an dan As Sunnah.
Mengapa Ya?



Friday, May 6, 2016

SURAH AL-BAQARAH AYAT 112 -- SIAPAKAH YANG BENAR?

ﺑﻠﻰﻣﻦﺍﺳﻠﻢﻭﺟﻬﻪﻟﻠﻪﻭﻫﻮﻣﺤﺴﻦ
ﻓﻠﻪﺍﺟﺮﻩﻋﻨﺪﺭﺑﻪﻭﻻﺧﻮﻑﻋﻠﻴﻬﻢ
ﻭﻻﻫﻢﻳﺤﺰﻧﻮﻥ


Bahkan sesiapa yang telah menyerah ia, akan seluruh wajahnya kepada Allah sedang ia pengusaha kebajikan maka baginya ganjarannya di sisi Tuhannya, dan tiada kebimbangan atas mereka dan tidak (pula) mereka berduka cita.

(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintah-Nya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya, dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

 i.     Siapakah Dalam Kalangan Umat Ini 
        Yang Lebih Benar Jalannya?

Dalam surah Al-Ma’idah ayat 82, Tuhan telah jelaskan terdapat dalam kalangan ahli kitab daripada penganut Nasrani yang tidak bersikap sombong dan mereka ini adalah sebaik-baik rakan yang mengasihi umat Islam. Tuhan juga telah menjelaskan dalam surah Al-Ma’idah ayat 51 terdapat ahli kitab daripada penganut Nasrani yang sebahagian mereka atas kaum Yahudi adalah aulia atas sebahagian yang lain. Mereka ini benar-benar memusuhi umat Islam dan berusaha supaya umat Islam sanggup menjadi kafir dengan menuruti agenda mereka.

Apa yang ingin penulis jelaskan adalah bahawa, dalam memilih jalan untuk mematuhi perintah Tuhan, kita harus mengakui terdapat pihak lain yang bukan berada dalam kalangan kita yang juga berada di pihak kita. Mereka ini tidak seharusnya diperangi dan tidak wajar untuk kita label mereka sebagai pihak yang akan sentiasa mencari jalan untuk memusuhi kita, sekalipun mereka memakai lambang atau logo yang sama dalam agama mereka seperti pihak yang satu lagi.

Bahkan ayat ini dapat dihubungkan dengan ayat daripada surah Al-Baqarah ayat 62 bahawa dalam kalangan ahli kitab, terdapat mereka yang benar-benar beragama dan mereka bakal memperolehi janji ganjaran daripada Tuhan dan mereka itu tidak akan berdukacita. Oleh itu sebagai umat Islam yang mengaku beragama, mereka tidak seharusnya ringan lidah dalam menjatuhkan hukum sesat terhadap ahli kitab yang lain sama ada ahli kitab yang lain itu beragama Yahudi, Nasrani atau Islam pada mazhab-mazhab aqidah yang berlainan. Tuduhan sesat hanya boleh dilakukan berdasarkan panduan daripada Tuhan, sepertimana yang telah dibincangkan dalam surah Al-Qalam atau melalui penjelasan Al-Hadith.

ii.    Menyerahkan Wajah Kepada Allah 
       Dan Mengusaha Kebajikan

Inilah satu-satu jalan yang dapat mengehadkan pertikaian sesama umat manusia yang berada dalam agama Al-Kitab. Kita harus mengetahui, kepada penganut Yahudi atau Nasrani yang mana satukah, yang kita dibolehkan untuk mengadakan hubungan baik. Secara umumnya, amat sedikit daripada kaum Yahudi yang boleh dipercayai dan penganut Kristian yang mengadakan hubungan baik dengan Yahudi adalah mereka yang sangat-sangat tidak boleh dipercayai.

Dalam hal ini, mereka yang menunjukkan sifat-sifat beragama dalam kalangan penganut Yahudi atau Nasrani adalah mereka yang lebih hampir persahabatan mereka dengan umat Islam. Ini adalah disebabkan oleh usaha mereka untuk menyerah diri kepada Tuhan dan mereka termasuk dalam kalangan yang berusaha untuk melakukan kebajikan.

iii.    Umat Islam Yang Boleh Dijadikan 
        Sahabat dan Umat Islam Yang Perlu 
        Dijauhi

Yang dikatakan umat Islam adalah mereka yang memenuhi prasayarat rukun Islam yang lima. Seseorang itu masih kekal dikatakan umat Islam sekalipun tidak memenuhi tuntutan yang lima itu, hanya mereka disebut sebagai muslim yang fasiq. Dalam hal ini, berdasarkan aplikasi ayat-ayat yang disebutkan, terdapat mereka yang mendakwa umat Islam tetapi perlu dijauhi. Iaitu mereka yang mengambil ahli kitab yang lain sebagai aulia, sebahagian atas sebahagian yang lain. Mereka ini didapati tidak bersedia untuk mengamalkan ajaran daripada kitab mereka masing-masing dan mereka sanggup mengenakan tentangan keras terhadap umat yang berusaha mengamalkan perintah Tuhan yang terdapat dalam kitab suci. Pada ayat yang seterusnya selepas ini, keperibadian mereka ini mudah dikenali atas sikap dan pegangan agama mereka.

Selama mana tiada hubungan rasmi antara penganut ketiga-tiga agama ini yang secara asasnya memiliki pertentangan dalam kepercayaan mereka, selama itulah mengadakan hubungan baik sekadarnya dengan mereka adalah dibolehkan. Apabila wujud sahaja kerjasama antara mana-mana penganut antara tiga penganut agama ini sehingga masing-masing mereka sanggup menggadaikan prinsip agama, maka ketika itulah mereka ini harus dianggap sebagai musuh yang harus dijauhi. 





Saturday, April 30, 2016

SURAH AL-BAQARAH AYAT 111 - MEREKA HANYA PERASAN YANG KONONNYA MEREKA BENAR


ﻭﻗﺎﻟﻮﺍﻟﻦﻳﺪﺧﻞﺍﻟﺠﻨﺔﺍﻻﻣﻦﻛﺎﻥﻫﻮﺩﺍ
ﺍﻭﻧﺼﺮﻯ ﺗﻠﻚﺍﻣﺎﻧﻴﻬﻢﻗﻞﻫﺎﺗﻮﺍﺑﺮﻫﻨﻜﻢ
ﺍﻥﻛﻨﺘﻢﺻﺪﻗﻴﻦ

Dan telah berkata mereka, sekali-kali tidak ia masuk akan syurga itu melainkan sesiapa yang telah adalah ia Yahudi atau Nasrani, demikian itu angan-angan mereka. Katakanlah olehmu, datangkanlah olehmu bukti kamu kiranya telah adalah kamu, golongan yang benar.

Sekalipun ayat ini adalah sesuatu yang berkaitan tentang pegangan ahli kitab terdahulu, namun cara tindakan sebahagian umat Islam, telah menjadikan mereka menuruti cara kefahaman umat-umat ahli kitab terdahulu.

i.   Angan-angan Mereka Untuk Ke Surga

Perbincangan daripada ayat 03:24 pada penjelasan himpunan ayat “Yang Menyuruh Dengan Al-Qisthi” memberitahu bahawa, bukan sahaja mereka Ahli Kitab mengangani untuk masuk syurga, bahkan mereka sanggup membuat pendakwaan bahawa sekiranya mereka masuk neraka sekalipun, perkara itu hanya akan berlaku dalam beberapa hari yang boleh dibilang. Bahkan anggapan yang serupa sebenarnya juga berlaku ke atas umat Islam. Mereka mengangani perkara yang serupa dan membuat andaian perkara yang sama. Menurut penerangan ayat seterusnya, bahawa mereka itu, tidak kira sama ada mereka penganut Yahudi atau Kristian atau Islam, sebenarnya telah berada dalam keadaan tertipu oleh cara beragama mereka sendiri.

ii.   Mengapa Mereka Tidak Berfikiran Kritis?

Tidakkah mereka terfikir? Kiranya anggapan sebahagian mereka itu didapati benar, bagaimanakah kedudukan penganut-penganut agama lain yang juga mendakwa menyembah Tuhan yang sama. Kalau demikian, seperti kejam sungguh Tuhan mewujudkan ketiga-tiga agama yang berlainan yang menyembah Tuhan yang sama, namun apabila dibalasi, hanya satu penganut agama sahaja yang layak diterima dan dibenarkan masuk syurga. Bagaimana mungkin mereka mendakwa agama mereka sahaja yang benar, namun mengakui bahawa dua agama yang lain itu memang benar-benar wujud?

iii.   Apakah Buktinya Agama Anutan 
       Mereka Benar?

Mereka sanggup menerima persepsi untuk menganggap bahawa hanya pihak mereka sahaja yang benar dan bukannya pihak yang lainnya. Mereka dipengaruhi dan dilingkungi oleh pihak-pihak yang serupa dengan mereka dan saling cuba mempengaruhi antara mereka, supaya mereka semua berasa selesa, sekalipun mereka berada dalam kepalsuan agama. Hati mereka milik pihak lain dan bukannya milik diri mereka sendiri.

Sebenarnya mereka semuanya beragama dengan cara yang serupa iaitu berangan-angan dan mereka tidak dapat menyebut secara mendalam tentang hujah daripada agama mereka sendiri. Tidak kira mereka itu daripada pihak Yahudi, Kristian ataupun Islam, cara beragama mereka adalah serupa dan kebanyakan mereka mendiami neraka kerana mereka memberi sumbangan melakukan suatu keburukan yang direnteti dengan pelbagai bentuk keburukan yang lain. Mereka adalah penyumbang kerosakan.

iv.   Pertimbangan Ringkas Kebenaran Islam

Pernah suatu ketika dahulu, seorang khalifah ditanya oleh seorang Yahudi tentang andaian, kiranya ajaran yang disampaikan melalui Nabi Muhammad S.A.W. didapati tidak benar ketika manusa telah berada di akhirat nanti. Lalu khalifah itu menjawab bahawa menurut ukuran kebenaran agama yang dianutinya, perkara itu tidak menjadi hal kerana masyarakat Islam yang telah berjaya dibentuk ketika itu, adalah masyarakat yang tersusun, mengadakan hubungan baik sesama mereka dan telah terbina perpaduan yang kuat dalam kesatuan mereka. Tidak seperti kaum Yahudi yang saling menindasi sesama mereka dan berusaha untuk menindas manusia lain melalui helah licik dalam urusan perniagaan dan kehidupan. Dalam hal ini nampaknya hujah khalifah itu didapati lebih benar kerana urusan umat Islam ketika itu ternyata lebih berjaya berbanding urusan kaum Yahudi. Adapun perkara akhirat, sudah tentu mengambil kira tentang pekerjaan yang dilakukan oleh penganut agama dalam urusan dunia mereka. Kemudian khalifah kembali bertanya kepada Yahudi berkenaan, bagaimanakah nasibnya ketika mendapati bahawa ajaran yang disampaikan menerusi Nabi Muhammad S.A.W. didapati benar? Bagaimankah pula kedudukan penganut Yahudi ketika itu, yang mereka telah menjalani kehidupan dunia dengan cara yang tidak wajar serta melaksanakan polisi kehidupan yang menindas manusia? Kemudian Yahudi berkenaan telah meninggalkan khalifah itu, tanpa sebarang jawapan dan telah memperlihatkan wajahnya yang serba salah.

Itu pada zaman itu dan dapatkah hujah berkenaan digunakan lagi pada zaman ini? Manakah dia penganut Islam yang berbagai-bagai mazhab itu dapat memberi jawapan yang benar kiranya mereka memilih kehidupan dengan cara menindas serta melakukan pembunuhan sesama umat seagama mereka. Mereka bukan sahaja berbunuhan atas sebab berlainan mazhab, bahkan dalam mazhab yang sama, mereka saling berbunuhan atas urusan agama.

Sebenarnya sama sahaja, sama ada mereka penyokong FSA atau 
penyokong Tentera Bashar Assad, mereka tidak memiliki hujah 
kuat yang membenarkan mereka saling berbunuhan melainkan
semata-mata kerana dendam 1400 tahun.



Sunday, April 24, 2016

PENJELASAN HIMPUNAN AYAT SETAKAT INI


Kita masih menjelaskan tentang perkara yang berkaitan dengan ayat nasikh dan mansukh. Ayat nasikh dan mansukh adalah ayat yang berkaitan dengan kekuasaan Tuhan atas segala sesuatu. Oleh itu, perkara nasikh dan mansukh, tidak dapat tidak, adalah sesuatu yang berkaitan dengan keberkatan pemerintahan. Dalam usaha menyelesaikan perkara yang berkaitan dengan masalah pemerintahan, hanya bantuan daripada Tuhan sahaja dapat diharapkan. Dalam hal ini, mengharapkan perkara-perkara magis adalah sesuatu yang harus dihindari.

Oleh kerana perkara nasikh dan mansukh dalam Al-Qur’an, juga menyentuh tentang perkara penjelasan ayat-ayat Al-Qur’an (bayan) maka perkara yang berkaitan tentang bayan juga telah disentuh. Sebagaimana telah dijelaskan sebelum ini, apabila perkara bayan Al-Qur’an disentuh, maka akan berlaku pertikaian sehingga akhirnya membawa kepada perpecahan umat dan sehingga terbentuk beberapa mazhab dalam agama. Contoh yang baru sahaja diberi adalah jelas menunjukkan bahawa sebahagian umat Islam sendiri, akan mengambil Al-Qur’an untuk suatu kepentingan sehingga sanggup menidakkan ajaran agama yang telah sedia diterima sebagai amalan. Contohnya seperti amalan selawat kepada ahli keluarga RasululLah S.A.W. dan pentingnya mengambil mereka sebagai imam selaku penerus kepada kepimpinan Nabi Ibrahim A.S. Bukankah kita seharusnya termasuk dalam golongan yang mengakui keimaman Ahlul Bait bermula sejak Nabi Ibrahim A.S. serta keluarga baginda hingga kepada Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga baginda, sepertimana yang kita sebut setiap kali dalam bacaan tahiyyat di hujung solat kita.

Mereka yang bersolat, adalah yang ber'solat' dan mengucap 
salam ke atas Nabi Ibrahim A.S. serta ahli keluarga baginda 
dan juga yang ber'solat' dan mengucap salam ke atas  Nabi 
Muhammad S.A.W serta ke atas ahli keluarga baginda.






Monday, April 18, 2016

SURAH AL-BAQARAH AYAT 110 -- AGAMA ADALAH UNTUK KESINAMBUNGAN SOLAT


ﻭﺍﻗﻴﻤﻮﺍﺍﻟﺼﻠﻮﺓﻭﺀﺍﺗﻮﺍﺍﻟﺰﻛﻮﺓ
ﻭﻣﺎﺗﻘﺪﻣﻮﺍﻷﻧﻔﺴﻜﻢﻣﻦﺧﻴﺮﺗﺠﺪﻭﺍﻋﻨﺪﷲ
ﺍﻥﷲﺑﻤﺎﺗﻌﻤﻠﻮﻥﺑﺼﻴﺮ


Dan dirikanlah olehmu akan As-Solat dan berikanlah olehmu akan Az-Zakat dan apa-apa yang kamu sediakan untuk dirimu daripada kebajikan, kamu (pasti) dapati akannya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah, terhadap apa-apa yang kamu kerjakan, Maha Melihat.

Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang, dan tunaikanlah zakat; dan apajua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguh-nya Allah melihat segala sesuatu yang kamu kerjakan.

i.    Latar Belakang Permasalahan Umat

Perkara yang berlaku sejak dahulu lagi sehingga kini, bermula dari zaman Khalifah Syaidina Uthman R.A. adalah akibat kerja-kerja mempolitikkan agama oleh golongan Muawiyin, setelah jelas kebenaran yang disampaikan kepada mereka. Kejadian pembunuhan Syaidina Uthman R.A. yang bebannya dikenakan kepada Khalifah Ali R.A., yang dikatakan bertanggungjawab membenarkan pemberontak Kurdish melakukan pembunuhan baginda (walhal Khalifah Ali R.A. sendiri mengambil pendirian memerangi golongan Khawarij daripada puak Kurdish), akhirnya mengakibatkan pembunuhan terhadap Syaidina Ali R.A. sendiri dan Ahlul Bait seterusnya. 

Muawiyah bin Abu Sufyan R.A. serta Amru Al-Ash R.A. yang sejak awalnya mengambil pendirian menentang kekhalifahan Syaidina Ali R.A., segera mengambil pendirian tidak mengaku terlibat dalam pembunuhan Khalifah Ali R.A., walhal mereka adalah pihak yang sangat rapat serta mengetahui niat dan tekad Abdul Rahman bin Muljam R.A., sahabat RasululLah S.A.W., yang membunuh Khalifah Ali R.A. Seterusnya atas kesempatan ini, Bani Umayyah telah merampas hak keimaman Ahlul Bait serta telah gagal menunaikan janji untuk memulangkan kembali amanah keimaman kepada Ahlul Bait seterusnya. Khalifah Muawiyah R.A. dan khalifah-khalifah seterusnya selepas itu telah didokong oleh ulama-ulama lantikan mereka telah menggelar pengikut mereka sebagai pengikut Ahlus Sunnah atau Sunni. Mereka memberi fahaman baru bahawa suatu pemerintahan dalam negara umat Islam boleh digulingkan semata-mata atas dakwaan tidak melaksanakan undang-undang Islam seperti hudud, qisas dan sebagainya. Permasalahan politik mereka telah dijadikan piagam agama yang dianuti berabad-abad lamanya sehingga kini setelah melalui tempoh lebih 1400 tahun. Asas ajaran agama mereka akhirnya membawa kepada penolakan amalan selawat kepada RasululLah S.A.W. serta ahli keluarga baginda yang di luar daripada perkara solat dan dalam rutin seharian seperti aktiviti tahlil serta dalam perayaan Maulidur Rasul. Mereka memulai ajaran baru dalam agama dengan tuduhan bid’ah dan kafir terhadap golongan yang selain mereka. Menghormati ahli keluarga RasululLah S.A.W. serta menziarahi makam-makan perkuburan mereka dianggap sebagai amalan ahli kuburiyun seperti amalan penganut Syi’ah dan mereka secara terang-terangan dengan jelas menuduh pengajaran melalui Maulana Syeikh Habeeb sebagai sesat.

 RasululLah Adalah Penghulu Golongan Yang Dikasihi


Penulis tidak bermaksud membeza-bezakan kedudukan para sahabat RasululLah S.A.W., R.A.H.M kerana iktilaf dalam kalangan mereka sebenarnya terdapat rahmat untuk umat ini. Sama-samalah kita mendoakan mereka yang telah mendahului kita dalam urusan iman kerana yang akan mengadili mereka dan kita semua adalah Allah Yang Maha Menghakimi. 

ii.     Tujuan Risalah Kerasulan

Tujuan kerasulan RasululLah S.A.W. adalah rahmat ke seluruh alam. Perintah berselawat kepada RasululLah S.A.W. adalah perkara yang terkandung dalam amalan solat yang wajib didirikan. Perkara ini adalah perkara kesinambungan solat yang perlu dilakukan sama ada dalam solat atau di luar solat. Umat harus bersatu padu dengan asas Al-Qur’an seperti ini. Perkara selawat dan salam kepada RasulululLah S.A.W. serta ahli keluarga baginda adalah perkara Al-Qur’an yang harus didirikan. Sejak dahulu lagi ahli keluarga RasululLah S.A.W. tidak pernah merampas kuasa pemerintahan. Mereka hanya menghendaki pemerintah melakukan yang terbaik untuk kepentingan negara dan rakyat. Sebaik-baiknya mereka berhukum dengan hukum Tuhan melalui Al-Qur’an kerana meninggalkan hukum Tuhan akan menjatuhkan seseorang kepada kekufuran. Pun begitu Ahlul Bait tidak diarah untuk merampas kuasa pemerintahan sekalipun pemerintah telah menjadi kafir. 

iii.     Sebagai Persediaan Diri

Dalam menghadapi perpecahan umat sama ada oleh perbezaan mazhab dalam beragama yang diwarisi sejak dahulu lagi ataupun perbezaan fahaman politik, setiap kita harus memikirkan apakah langkah-langkah perlu untuk kita sediakan sebagai persiapan diri serta keluarga serta keturunan setiap kita, yang membentuk generasi akan datang. Apakah perkara-perkara kebaikan yang harus kita lakukan supaya hubungan sesama kita menjadi harmoni? Di negara yang terbina daripada pelbagai kaum, kita juga harus memikirkan perkara-perkara yang dapat membela kehidupan rakyat secara umumnya.

iv.    Tidakkah Kita Mahu Allah
        Melihat Amalan Kita?



Ayat ﺍﻥ ﷲ ﺑﻤﺎ ﺗﻌﻤﻠﻮﻥ ﺑﺼﻴﺮ yang bererti “Sesungguhnya Allah terhadap apajua yang kamu kerjakan Maha Mengetahui” adalah menjurus kepada sifat Tuhan yang Maha mengambil tahu tentang perkara-perkara yang diamalkan oleh seseorang hamba. Ayat ini didahului oleh ayat sebelumnya yang menyentuh perkara mendirikan agama seperti ibadat solat dan zakat dan juga perkara-perkara yang dilakukan darihal kebajikan sebagai persediaan amal. Oleh itu yang dikatakan sebagai Tuhan mengambil tahu tentang amalan seseorang, adalah darihal persediaan agama. Perkara ini telah disentuh sebelum ini pada ayat 03:30 iaitu menyentuh perkara bencana yang kurang mengenai golongan yang melakukan kebaikan, sebagai bukti bahawa Tuhan bersikap penyantun kepada mereka yang melakukan kebaikan. Begitu juga ayat sebelumnya pada 03:15 dan 03:20 yang menyatakan bahawa Tuhan bersedia memberi ganjaran kepada golongan yang berhati-hati dan Maha mengambil berat terhadap hamba-hamba Tuhan yang melakukan kerja-kerja kepatuhan.

Kita seringkali mendengar keluhan mereka yang berdoa dengan kata-kata - adakah Tuhan tidak melihat keadaan aku, atau adakah Tuhan tidak mendengar permintaanku. Perkara yang perlu dijelaskan di sini adalah – adakah seseorang itu telah mematuhi Tuhan? Kerana tujuan hidup ini adalah untuk kita mematuhi perintah Tuhan dan bukannya untuk Tuhan mematuhi permintaan kita. Setelah kita memperkenankan perintah Tuhan menurut apa yang termampu dilakukan, barulah kita berdoa kepada Tuhan, mudah-mudahan Tuhan mengabuli doa kita.








Tuesday, April 12, 2016

PERKARA YANG HARUS DIBIARKAN SAHAJA


ﻓﺎﻋﻔﻮﺍﻭﺍﺻﻔﺤﻮﺍﺣﺘﻰﻳﺄﺗﻰﷲ
ﺑﺎﻣﺮﻩﺍﻥﷲﻋﻠﻰﻛﻞﺷﺀﻗﺪﻳﺮ

Maka biarlah olehmu dan berbuat baiklah olehmu, sehingga Ia datang oleh Allah dengan urusanNya. Sesungguhnya Allah atas tiap-tiap sesuatu Maha Kuasa.

Oleh itu, maafkanlah dan biarkan oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Secara umumnya perintah ini adalah kepada golongan beriman dalam menghadapi ahli kitab terdahulu dalam kalangan penganut Yahudi dan Nasrani. Praktik ini juga ada benarnya kerana tiada gunanya untuk seseorang yang beriman meyakinkan pihak lain, sekiranya pihak lain itu sengaja menafikan kebenaran setelah mereka sendiri mengetahuinya. Mereka sanggup berterusan dalam kekafiran hanya semata-mata menyatakan rasa kedengkian yang timbul dari dalam diri mereka.

i.       Menghadapi Masalah Pertelingkahan
 Umat Masakini

Dalam menghadapi golongan kafir sesudah beriman, sebenarnya tiada istilah memberi keampunan kepada mereka. Perintah ﻓﺎﻋﻔﻮﺍ harus difahami sebagai biarkan sahaja perlakuan mereka kerana sesungguhnya Tuhan sendiri akan berperanan dalam menghadapi mereka. Semua pihak sedia maklum bahawa pertempuran sesama umat Islam sebenarnya mendedahkan mereka kepada bahaya kekafiran melainkan atas tujuan mempertahankan amanah pemerintahan. Seperti itulah yang dilakukan oleh Ahlul Bait melalui khalifah Ali R.A. dalam mempertahankan pemerintahan kekhalifahan setelah perbincangan dengan sahabat Muawiyah bin Abu Sufyan R.A. dan sahabat Amru bin Al-Ash R.A. gagal mencapai perdamaian. Namun setelah kekuasaan dirampas oleh Bani Umayyah, Ahlul Bait mengambil pendirian tidak menentang mereka. Ahlul Bait mengambil pendirian untuk meneruskan amanah menyampaikan risalah kerasulan RasululLah S.A.W. sepertimana perutusan Nabi Musa A.S. kepada kerajaan Fir’aun.

Namun setelah beberapa generasi dan atas kegagalan bani Umayyah untuk menghapuskan golongan Ar-Rafidhah, golongan penganut sunnah Muawiyin yang turut melabel diri mereka sebagai penganut As-Sunnah, tetap meneruskan permusuhan terhadap golongan Alawiyin yang melabelkan diri mereka sebagai penyokong Ahlul Bait RasululLah S.A.W. Perkara yang berlaku di Syria adalah contoh ketara setelah Perancis menyerahkan mandat kekuasaan kepada golongan Alawiyin, yang memerintah Syria sejak kemerdekaan Syria diperolehi. Penulis melihat cara terbaik dalam menghadapi permasalahan ini adalah dengan membiarkan sahaja peperangan sesama mereka dan memberi bantuan sewajarnya kepada mereka yang menjadi mangsa peperangan, tidak kira mereka daripada pihak mana sekalipun.

Pertempuran antara golongan Muawiyin dan Alawiyin ini sebenarnya adalah dirujuk sebagai pertempuran antara dua keluarga berbeza sejak 1400 tahun dahulu. Mereka bertelingkah setelah datangnya penjelasan. Mereka bertelingkah atas sebab kepentingan politik yang kemudiannya dijadikan ajaran agama menurut mazhab mereka.


Peperangan Yang Memakan Jantung Hati Umat Islam

ii.       Tuhan Maha Kuasa Atas 
        Segala Sesuatu

Perkataan ini sebenarnya merujuk kepada pembentukan kekuasaan yang terserlah daripada pemerintahan. Oleh itu, penjelasan ayat 2:107 menjurus kepada “hanya Allah sahaja yang dapat melindungi dan menolong", maka kita tinggalkan sahaja masalah pertempuran sesama umat Islam yang berlaku waktu ini sehingga Allah datang dengan perintahNya.

Ayat 2:108 dan 2:109 pula menjelaskan bahawa tiada perkara magis yang diperlukan oleh umat Islam, kerana kebanyakan perkara magis yang diamalkan oleh manusia adalah sesuatu yang menjurus kepada kekufuran. Semua yang berlaku kepada umat ini pada masa ini adalah timbul akibat daripada hasad dengki sesama mereka, iaitu sesuatu yang berkaitan dengan pemerintahan pada masa ini, atau kekhalifahan pada masa lalu.

Perkara yang diwarisi umat ini pada masa ini sehingga mengakibatkan timbul permusuhan sesama mereka adalah akibat perbezaan mazhab sejak dari dahulu lagi. Generasi terdahulu telah membentuk ajaran baru dalam beragama untuk menghalalkan darah sesama mereka dan perkara itu telah dijadikan ajaran agama yang terus diwarisi umat terkemudian. Oleh kerana pertelingkahan yang wujud sesama mereka adalah sesudah mereka menerima penjelasan tentang kebenaran, ini bermakna terdapat pihak-pihak tertentu yang sanggup menolak kebenaran dan terus merelakan diri berada dalam kekafiran. Mereka ini sebenarnya telah menyahut seruan golongan ingkar daripada umat-umat terdahulu sehingga negara mereka diperkotak katikkan dengan limpahan bekalan senjata untuk mereka terus berbunuhan.

Siapakah sebenarnya yang memulai
permusuhan sejak dahulu lagi?


Wednesday, April 6, 2016

SURAH AL-BAQARAH AYAT 109 -- HASAD DENGKI DAN KERJA-KERJA SULAPAN


ﻭﺩ ﻛﺜﻴﺮ ﻣﻦ ﺍﻫﻞ ﺍﻟﻜﭡﺐ
ﻟﻮ ﻳﺮﺩﻭﻧﻜﻢ ﻣﻦ ﺑﻌﺪ ﺇﻳﻤﻨﻜﻢ ﻛﻔﺎﺭﺍ
ﺣﺴﺪﺍ ﻣﻦ ﻋﻨﺪ ﺍﻧﻔﺴﻬﻢ ﻣﻥ ﺑﻌﺪﻣﺎ
ﺗﺒﻴﻦ ﻟﻬﻢ ﺍﻟﺤﻖ

Telah bercita-cita kuat ia oleh kebanyakan daripada ahli Al-Kitab, kiranya mereka benar-benar dapat mengembalikan kamu daripada sesudah iman kamu, kekafiran - kedengkian dari sisi diri-diri mereka dari sesudah apa yang telah jelas ia bagi mereka akan Al-Haq.

Banyak di antara Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir sesudah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad S.A.W).

i.   Penyembahan Yang Membawa 
     Kepada Kekafiran

Penulis telah jelaskan sebelum ini dalam surah Al-Rahman bahawa umat daripada ahli kitab tidak akan berpecah-belah melainkan sesudah datang kepada mereka keterangan (bayan) daripada kebenaran (Al-Haq). Umat daripada ahli kitab boleh datang daripada penganut Yahudi, penganut Nasrani ataupun penganut Islam sendiri. Mereka jadi demikian dan berubah menjadi kafir sesudah memperolehi keterangan Al-Haq, lantaran kedengkian yang muncul dari dalam diri-diri mereka sendiri. Nafsu kedengkian akhirnya telah menutup akal mereka sehingga mereka menolak semula keimanan. Kerana menuruti hawa nafsu golongan kapitalis, mereka sanggup menyembah sistem kapitalis yang akhirnya mereka seperti kaum yang tersulap, tidak lagi memperduli terhadap permasalahan yang berlaku di persekitaran mereka. Mereka ini seperti individu yang datang kepada ahli-ahli sihir, sanggup melakukan sesuatu untuk kepuasan hati akibat rasa dengki yang timbul, sebenarnya mereka memilih untuk menyembah syaitan melalui pengamalan mistik.

Al-Qur’an telah menjelaskan sejelas-jelasnya, bahawa menuruti sistem ekonomi kapitalis berasaskan riba dan pajakan dapat membawa kemudharatan yang sangat besar kepada masyarakat. Penulis telah jelaskan perkara ini sejak awal penulisan lagi bermula daripada Surah Al-Mulk, Surah Al-Rahman, Surah Al-Ma’arij dan Surah Nuh. Namun terdapat individu yang mendakwa sebagai umat Islam yang sanggup berterus-terusan menjerumus diri dalam sistem riba sekalipun setelah mereka mengetahui dengan jelas, mengamalkan sistem riba secara berterusan sebenarnya menjurus mereka kepada kekafiran.

ii.    Ahli Kitab Yang Menghendaki Umat
       ini Menjadi Kafir Seperti Mereka
       Tanpa Bertukar Agama.

Pada zaman ini penguasaan teknologi tidak lagi berada di tangan umat Islam. Persembahan teknologi yang dibawa oleh pihak Barat sebenarnya diselangi dengan agenda tertentu. Mereka ingin umat Islam menyembah mereka sebagai pelopor teknologi dan seterusnya menganggap agama sendiri hanyalah merupakan agama ritual. Sebenarnya apa yang mereka ingini kini telah benar-benar berlaku. Rata-rata umat ini hanya menganggap bahawa kitab suci yang ada di tangan mereka seperti tidak membawa apa-apa erti. Tulisan-tulisan dalam kitab suci mereka hanya seperti cacing-cacing kepanasan yang hanya untuk tujuan nyanyian di majlis-majlis ritual seperti nyanyian nasyid, musabaqah dan dalam akvitiviti solat berjamaah.

Permasalahan seperti ekonomi dan politik disangkakan tidak wujud dalam kitab suci. Perkara saintifik dalam kitab suci dianggap sebagai sesuatu yang sengaja diada-adakan dengan cara menyebut berulang-ulang kali penemuan silam, yang tidak menjurus kepada penemuan yang lebih canggih. Manakah dia ayat Al-Qur’an yang mengajar cara pembikinan pesawat terbang seperti pesawat UFO? Yang ada hanya dianggap cerita kuno yang diulang-ulangi tanpa ada kesudahan. Sesudah sekian lama umat Islam berada di bawah kepimpinan yang tidak bertanggung jawab bermula Kerajaan Bani Umayyah sehingga kini setelah lebih 1400 tahun berlalu, kita dapati umat Islam telah menuruti perbuatan orang-orang kafir. Mereka mengamalkan sistem ekonomi berasaskan riba yang sengaja ditukar namanya supaya berbunyi seperti sesuatu yang mematuhi syari’ah. Kesudahannya, kita dapati penyakit sosial yang melanda masyarakat Barat juga dihidapi oleh masyarakat Islam. Mereka menjadi kaum yang suka berbelanja dengan wang yang tidak mereka miliki dan memborong barangan yang bukan benar-benar mereka perlukan.

Dalam bentuk pencapaian teknologi, golongan ingkar menghendaki umat ini meniru sahaja pencapaian mereka. Kemudian kita dapati negara ini dilonggokkan dengan barangan teknologi golongan ingkar dan mereka sentiasa membelinya saban tahun dan beli lagi. Dari satu versi ke satu versi tanpa ada kesudahan untuk negara mereka hasilkan sendiri produk keperluan dan keinginan rakyat. Kemudian kita dapati umat ini mengalami kecelaruan dalam memilih panduan darihal yang menyentuh perkara agama. Mereka merayakan perayaan agama musyrikin seolah-olah mereka juga penganut agama musyrikin. Mereka berpakaian seperti pakaian kaum musyrikin sehingga ke tahap mereka bebas mengadakan hubungan seks dengan penganut mana-mana agama. Sungguh menyedihkan yang umat Islam kini adalah hidangan yang sangat lazat buat golongan ingkar.

iii.   Kedengkian Sesama Umat Yang Menjadi 
       Bahan Jenaka Yang Mengelikan Hati 
       Golongan Ingkar  

Atas sebab bani Umayyah memungkiri janji menyerahkan kembali keimaman kepada Ahlul Bait, umat Islam terpecah kepada dua pecahan terbesar iaitu Mazhab Sunnah dan Mazhab Syi’ah. Setelah Khalifah Ali R.A. menghancurkan golongan Khawarij atas sifat melampau mereka dalam perkara agama, bani Umayyah tidak melakukan apa-apapun untuk menghancurkan gerakan Ar-Rafidhah, yang akhirnya menjadi barah besar yang membawa perpecahan umat. Mereka yang mendakwa menyembah satu Tuhan, mengakui umat satu Nabi, dengan satu kitab suci rujukan yang sama serta memiliki satu qiblat yang sama, sehingga kini saling berbunuhan atas perkara agama. Mengapakah khalifah-khalifah daripada bani Umayyah tidak melaksanakan amanat untuk memusnahkan fahaman Ar-Rafidhah daripada bertapak di muka bumi? Mereka hanya berminat memburu dan membunuh Ahlul Bait keturunan RasululLah S.A.W., yang menjadi sembahan puak Ar-Rafidhah, yang tujuannya supaya mereka dan keturunan mereka sahaja kekal berkuasa memegang jawatan kekhalifahan. Setelah tempoh kekhalifahan mereka tamat, ternyata mereka gagal memusnahkan gerakan Ar-Rafidhah dan mereka telah terbawa dengan ajaran baru dalam agama untuk membenci amalan selawat kepada ahli keluarga RasululLah S.A.W.? Mengapakah mereka membenci keluarga RasululLah sedangkan siang dan malam, mereka sendiri berselawat kepada ahli keluarga RasululLah dalam solat mereka iaitu dalam bacaan tahiyyat mereka. Perintah selawat kepada RasululLah S.A.W. serta ahli keluarga baginda dianggap sebagai amalan bid’ah sedangkan perintah itu telah sedia wujud dalam kitab suci dan dalam amalan ibadah serta dalam zikir-zikir perayaan mereka.

Penulis telah jelaskan sebelum ini bahawa ahli kitab sama ada daripada Yahudi, Kristian serta umat Islam, tidak berpecah belah selama mana mereka berkeadaan jahil darihal kitab mereka. Namun apabila mereka telah perolehi keterangan darihal ayat-ayat tertentu dalam kitab yang mereka sendiri harus yakini dalam ajaran agama, mereka tiba-tiba menentangnya. Mereka menjadi kafir sesudah beriman. Kemudian mereka berperang sesama mereka, sedangkan golongan yang mereka perangi hanya mahukan pembebasan diri daripada cengkaman penindasan ekonomi yang telah mereka deritai sejak sekian lama. Lihatlah bagaimana Arab Saudi yang mewarisi agama menurut mazhab sunnah bani Umayyah telah menyerang dan membunuh kaum Houthi semata-mata atas tuduhan Syi’ah. Sedangkan kaum Houthi sendiri bermazhab Syi’ah Zaidiah, yang tidak menolak perlantikan khalifah-khalifah terdahulu sebelum zaman pemerintahan bani Umayyah lagi. Ulama-ulama mazhab Sunnah sendiri sejak dahulu lagi tidak menjatuhkan hukum sesat kepada mereka yang bermazhab Syi’ah Zaidiah.

Demikian itu suatu contoh permusuhan dalam kalangan bangsa Arab dan yang berlaku di Iraq dan di Syria adalah lebih parah lagi. Mereka yang bermazhab sunnah Bani Umayyah seolah-olah mahu menunjukkan bahawa mereka ingin melaksanakan amanah untuk memusnahkan gerakan Ar-Rafidhah, setelah mereka gagal melaksanakannya sejak 1400 tahun yang lalu. Mereka adalah pihak yang menyokong Khalifah Yazid, si pemungkir janji yang tidak memberi sebarang perlindungan sehingga terbunuhnya Ahlul Bait RasululLah. Tak mengapa kiranya mereka mengaku tidak terlibat dalam pembunuhan Ahlul Bait, tetapi mengapakah mereka memilih untuk memburu dan membunuh golongan yang menegakkan selawat sebagai ibadah dalam agama dan mereka benar-benar menuduh sesiapa jua yang membesarkan amalan sedemikian di luar aktiviti solat adalah sebagai ahli bid’ah? Tidakkah itu bukti yang sangat jelas bahawa mereka sebenarnya membenci tahap gaban terhadap keluarga RasululLah S.A.W. dan juga Ahlul Bait yang ada hubungan darah dengan RasululLah S.A.W.?

Kebanyakan kepimpinan Islam Arab dari golongan 
'sunnah', menganggap amalan seperti ini adalah bid'ah.

Thursday, March 31, 2016

SURAH AL-BAQARAH AYAT 108 -- PERMINTAAN TERHADAP PERKARA MAGIS


ﺍﻡﺗﺮﻳﺪﻭﻥﺍﻥﺗﺴﺌﻠﻮﺍﺭﺳﻮﻟﻜﻢ
ﻛﻤﺎﺳﺌﻞﻣﻮﺳﻰﻣﻦﻗﺒﻞ

Ataukah kamu orang-orang yang menghendaki bahawa kamu meminta akan rasul kamu sepertimana telah diminta Musa dari dahulu?

Adakah kamu pula hendak meminta dari Rasul kamu sebagaimana diminta dari Nabi Musa (oleh kaumnya) dahulu?

Oleh kerana perbincangan tentang ayat ini adalah menyentuh tentang ayat sebelumnya darihal ayat nasikh dan mansukh, iaitu sesuatu yang berkaitan tentang kekuasaan Tuhan dan pembentukan kerajaanNya, maka ayat-ayat selanjutnya selepas itu seharusnya menjelaskan dengan lebih mendalam tentang perkara yang berkaitan.

i.   Hubungan Ayat Dengan Pelajaran 
     Terdahulu 

Dalam surah An-Nuh sebelum ini, penulis telah nyatakan suatu pendedahan tentang perkara silam iaitu tentang tanggapan beragama umat terdahulu darihal sesuatu yang menakjubkan mereka. Peninggalan artifak-artifak bersejarah yang ditemui dalam bangunan peninggalan mereka itu, ada ditunjukkan kehadiran makhluk-makhluk lain yang dikatakan maju sehingga makhluk-makhluk itu dianggap sebagai dewa dan sebagainya. Pembaca boleh merujuk sendiri perkara ini berdasarkan aktiviti ritual yang diamalkan oleh masyarakat Mesoamerika silam  dan juga sebahagian ritual penduduk asli di Afrika yang masih wujud hingga kini. Bahkan corak perayaan mereka masih boleh diperhati diamalkan di Indonesia.

Oleh itu telah menjadi rutin bagi golongan pemyembah-penyembah berhala mengharapkan suatu yang bersifat magis apabila mereka terlibat dalam suatu yang kritikal seperti peperangan dan bencana. Mereka mengharapkan bantuan magis terhadap sesuatu yang berada di luar kawalan mereka. 

ﻭﻣﻦﻳﺘﺒﺪﻝﺍﻟﻜﻔﺮﺑﻸﻳﻤﺎﻥ
ﻓﻘﺪﺿﻞﺳﻮﺍﺍﻟﺴﺒﻴﻞ

Dan barangsiapa yang ia menukar ganti kekufuran terhadap iman, maka sesungguhnya telah sesat ia (daripada) selurusnya jalan.

Dan sesiapa yang menukar iman dengan mengambil kekufuran, maka sesungguhnya ia telah sesat dari jalan yang lurus.

ii.    Magis Yang Membawa Kepada Kesesatan

Di mana-mana jua, pengamalan magis seringkali dikait-kan dengan ilmu hitam atau untuk tujuan kejahatan. Walhal perkara-perkara yang dikatakan sebagai magis hanya dapat terlaksana berdasarkan ilmu yang diizinkan Tuhan untuk terjadinya kejadian tertentu.

iii.    Pencapaian Teknologi Dianggap 
        Sebagai Magis

Sebagai contoh, hanya kerana jam detik yang diperkenalkan kepadanya, seorang sultan sanggup melempar jam berkenaan jauh daripadanya kerana jam detik itu dianggap sebagai rekaciptaan sihir. Peristiwa ini berlaku pada permulaan zaman Renaisance yang menjurus kepada kejatuhan kekhalifahan umat Islam ke tangan bangsa Barat. Perkara yang penulis ingin nyatakan di sini adalah, betapa kita harus menghargai ilmu pengetahuan rekaciptaan supaya kita dapat menjauhkan diri kita daripada amalan kuno seperti magis dan sihir. Tidak pernah ada bangsa atau kaum dapat dianggap maju apabila mereka suka mendekati perkara-perkara Harut dan Marut (karut mengarut). Pengamalan seperti ini sebenarnya lebih menyerlahkan sifat dengki sesama mereka. Dalam skala yang kecil mereka gemar menggunakan sihir untuk mendatangkan mudharat kepada pihak lain dan pada skala yang besar, mereka memaparkan persembahan sulapan mata untuk tujuan mendapatkan kepentingan dunia bagi mempengaruhi manusia. 

iv.  Sistem Ekonomi Kapitalis Sebagai
      Suatu Sulapan Magis Yang Besar

Dalam membincangkan perkara-perkara magis, kita harus tidak melupai bahawa selain daripada perkara-perkara Harut dan Marut yang bersifat mistik, corak pengamalan ekonomi kapitalis berasaskan riba dan pajakan adalah juga merupakan suatu sulapan seperti juga pengamalan magis. Perkara seperti ini amat mempengaruhi orang ramai sedangkan mereka tidak menyedari, akhir bagi pengamalan sistem sedemikian adalah kemudharatan yang sangat besar kepada kehidupan mereka sendiri melibatkan keadaan sosial dan keadaan bermasyarakat umat manusia. Kerosakan juga berlaku kepada alam sekitar sehinggalah kepada ketidak stabilan politik sesebuah negara. Menyedarkan umat manusia tentang bahaya sedemikian adalah kerja sukar yang perlu dilakukan.

Oleh kerana amalan magis adalah lahir daripada sifat hasad dan juga kepentingan dalam mempengaruhi orang ramai, maka perkara ini akan dilakukan oleh individu yang bersifat hasad atau kaum yang bercita-cita kuat untuk cuba menguasai sesebuah masyarakat atau negara yang lain. Dengan terbentuknya sistem ekonomi kapitalis, nyatanya cita-cita untuk menjajah serta menguasai golongan lain menjadi suatu agenda yang besar. Kempen penjajahan yang telah berlaku terlalu lama, kini mula dirasai sendiri oleh negara-negara yang pernah dijajah untuk mereka mula menjajah negara-negara sekitar mereka, demi melebarkan ideologi kapitalis mereka. Perkara ini berlaku sama ada secara langsung atau tidak langsung.

v.      Persembahan Teknologi Untuk Menyesatkan

Melalui sulapan sistem kapitalis, negara-negara kapitalis berusaha mengejar kemajuan kebendaan untuk tujuan menyesatkan manusia. Mereka menempuh kemajuan material disebabkan mereka berupaya menguasai harta manusia secara total. Mana-mana kepimpinan negara yang berusaha menentang mereka, akhirnya akan terperangkap oleh penentangan rakyat sendiri yang selama ini telah terpedaya dan tersumbat dengan janji-janji manis puak kapitalis. Lihatlah apa yang berlaku kepada Libya di bawah kepimpinan Mu’amar Gadhafi dan Syria di bawah pimpinan Bashar Assad. Rakyat yang terperangkap akhirnya lari meninggalkan negara menuju ke negara-negara kapitalis yang dikatakan maju. Sistem kewangan yang menjahanamkan di bawah percaturan rejim kapitalis adalah lebih dipercayai yang kononnya lebih baik daripada sistem ekonomi menurut kaedah Islam. Akhirnya keupayaan rakyat untuk berbelanja besar sebelum itu akan membawa akibat buruk kepada kewangan negara dan juga keadaan sosial masyarakat. Dengan pendedahan kepada teknologi yang melampau tanpa kawalan dan panduan yang benar, kini kita dapati kebanyakan ahli masyarakat bersifat individualistik dan tidak mengambil kesah tentang penyakit-penyakit sosial yang berlaku seolah-olah mereka telah terkena sulapan magis akibat menuruti sistem kapitalis. Perkara kesesatan sebegini telah penulis jelaskan dalam surah Al-Ma’arij.

Dalam sistem kapitalis, setiap
 individu berlagak seperti perpatah
“bagai enau dalam belukar”,
masing-masing ingin menunjukkan
pucuknya, manakah di antara
mereka yang lebih tinggi 
kedudukannya?




Friday, March 25, 2016

SURAH AL-BAQARAH AYAT 107 - HUBUNGKAIT ANTARA KERAJAAN DAN SIFAT KEKUASAAN TUHAN


ﺍﻟﻢﺗﻌﻠﻢﺍﻥﺍﷲﻟﻪﻣﻠﻚ
ﺍﻟﺴﻤﻮﺕﻭﺍﻻﺭﺽ
ﻭﻣﺎﻟﻜﻢﻣﻦﺩﻭﻥﺍﷲﻣﻦﻭﻟﻰﻭﻻﻧﺼﻴﺮ


Adakah telah tidak engkau mengetahui bahawa Allah bagiNya kerajaan lelangit dan bumi dan tiada bagi kamu daripada selain Allah daripada (sebarang) pelindung dan tidak (juga) penolong?


Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi? Dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapa pun yang dapat melindungi dan yang dapat memberi pertolongan.


Ayat sebelum ini menjelaskan tentang kekuasaan Tuhan atas segala sesuatu, mengiringi ayat sebelumnya yang menerangkan tentang nasakh. Kehadiran ayat seperti ini dapat memberi tafsiran bahawa kontak ayat sedemikian adalah tentang pembentukan kerajaan. Salinan ayat seperti ini juga diperolehi daripada surah Al-Mulk ayat pertama. Untuk menguatkan lagi tafsiran tentang pembentukan kerajaan, ayat 2:107 ini mengulangi kembali tentang kerajaan Tuhan yang meliputi langit dan bumi.

i.    Sifat Tuhan Maha Berkuasa - Sesuatu
      Yang Berkait Dengan Pembentukan
      Kerajaan.



Tentang kekuasaan Tuhan dan pembentukan kerajaan langit dan bumi, telah dijelaskan secara panjang lebar dalam surah Al-Mulk. Oleh itu membincangkan ayat 2:106 tentang perkara nasakh dan mansukh, tidak dapat tidak, haruslah menyentuh sesuatu yang berkaitan dengan pembentukan kerajaan dan polisi pemerintahan yang dibentuk. Penulis tidak berhajat untuk menafikan sebarang bentuk tafsiran lain kerana kedudukan sebenar tentang takwil sesuatu ayat, pengetahuan sedemikian ada di sisi Tuhan.

ii.   Keporakan Pembentukan Kerajaan
      Melalui Sistem Kapitalis dan Komunis


Kita dapati, polisi dalam pemerintahan seringkali berubah. Kita dapat menjangkakan selang beberapa dekad selepas ini, suatu bentuk pemerintahan baru yang mengamalkan pemerintahan dengan ideologi demokratik sosialis atau yang seumpama dengannya, akan muncul menggantikan pemerintahan demokratik kapitalis dan komunis sosialis. Perubahan akan berlaku apabila kehidupan bagi sesebuah masyarakat menjadi semakin terdesak. Di mana-mana jua sekarang ini, seperti di Ukraine, wilayah yang suatu ketika dahulu di bawah jajahan Soviet Russia - desakan membentuk sebuah wilayah demokrasi semakin memuncak dan begitu juga di negara-negara PIGS seperti Portugal, Itali, Greece dan Sepanyol – desakan kepada pembentukan sistem sosialis semakin diterima rakyat.

Sedikit tentang demokratik sosialis

Mujur terdapat negara kapitalis besar seperti Jerman dan Perancis yang sanggup memberi dana dalam jumlah yang sangat besar sebagai pinjaman bersyarat kepada negara-negara terbabit - untuk segera mengatasi masalah ekonomi mereka. Namun, kita dapat jangkakan dalam beberapa tahun lagi, pekej bantuan ekonomi berkenaan akan gagal, disebabkan sistem kapitalis yang masih mereka bangga-banggakan. 

 Punca Yang Membawa Krisis Hutang di Eropah

Sementara itu, serangan pihak Berikat terhadap Iraq dan Afghanistan, sebenarnya tidak mencapai matlamat membawa pemulihan ekonomi kepada negara-negara kapitalis terbabit. Lompong politik yang terbentuk di Iraq dan Syria, telah cuba diisi oleh pihak pemberontak yang dikatakan cuba menghidupkan perjuangan merampas pentadbiran negara melalui laungan jihad. Semua ini terbentuk kesan daripada kebangkitan Arab disebabkan kegagalan kapitalisma negara mereka dalam usaha mengamalkan dasar penjajah.


Kini dunia terpaksa berhadapan cabaran dari tiga arah. Pertama mereka terpaksa berhempas pulas memperbetul kepincangan sistem ekonomi kapitalisma mereka. Kedua, mereka berhadapan cabaran baru pemberontakan yang mengakibatkan kebanjiran pelarian perang dan pelarian ekonomi dan ketiga, perubahan cuaca dunia yang berlaku secara berterusan sehingga mengakibatkan peningkatan harga makanan.


Dalam hal ini, manusia harus kembali kepada sistem yang diperkenalkan menerusi ajaran agama. Hanya menerusi ajaran agama, keadaan sosial ahli masyarakat menjadi semakin terbela, alam sekitar semakin dapat dijaga dan kehidupan beragama umat dapat dibentuk. Bahagian terakhir daripada ayat Al-Qur’an yang dinyatakan pada bahagian ini menyatakan  bahawa, pertolongan Tuhan kepada manusia dalam usaha memulihkan keadaan pemerintahan, hanya akan berlaku sekiranya manusia memilih bentuk pemerintahan yang diperolehi panduannya dari sisi Tuhan. Oleh itu perbincangan tentang nasikh dan mansukh, tidak harus merujuk kepada kesimpulan bahawa, terdapat ayat-ayat tertentu dalam Al-Qur’an yang ‘obsolete’ yang harus ditinggalkan.

iii.   Contoh Pendekatan Kepada
       Kefahaman Ayat


Adakah mengharap perlindungan serta pertolongan Tuhan itu dengan cara sentiasa berdoa? Bahkan! Perkara demikian harus mengambil kira dengan jalan berusaha mematuhi panduan Tuhan dalam usaha pembentukan kerajaan.


Dalam surah Al-Mulk yang berkaitan dengan pembentukan kerajaan, ada disentuh tentang perintah untuk manusia mengembara ke tempat-tempat bersejarah yang memaparkan peristiwa silam. Antara tujuannya adalah untuk manusia mempelajari tentang peradaban silam sehingga kepada kemusnahan sesebuah kerajaan. Bukan sahaja pengembaraan berkenaan akan berkait langsung dengan aktiviti pelancongan atau percutian, bahkan juga akan berkaitan pembentukan infrastruktur jalanraya yang perlu dibina dan juga kepelbagaian jenis kenderaan yang harus digunakan. Bermula daripada keperluan sedemikian, manusia memerlukan sistem perhubungan dan pengangkutan yang berkesan.


Perkara demikian tentunya berkaitan dengan teknologi dan perkembangannya. Sebagai contoh, untuk mengembara dengan lebih selesa, kita memerlukan sistem perjalanan yang baik. Sekiranya dahulu umat manusia menggunakan kemudahan pelayaran dengan mengambil perjalanan laut serta sungai-sungai dan perjalanan darat menggunakan haiwan tunggangan, kini semuanya telah berubah apabila kenderaan berjentera telah dihasilkan. Perkara utama yang menyebabkan terhasilnya kemudahan seperti ini adalah apabila manusia dapat memanipulasi penggunaan tenaga menerusi peralatan berteknologi di bawah kawalan kekuasaan.


Menurut hukum fizik yang masih diterima pakai,
tenaga tidak dapat dihasilkan begitu sahaja.
Adakah hukum ini masih boleh diterima pakai?


Saturday, March 19, 2016

SURAH AL-BAQARAH AYAT 106 -- AYAT NASIKH DAN MANSUKH


ﻣﺎ ﻧﻨﺴﺦ ﻣﻦ ﺃﻳﺔ ﺍﻭﻧﻨﺴﻬﺎ
ﻧﺄﺕ ﺑﺨﻴﺮ ﻣﻨﻬﺎ ﺍﻭ ﻣﺜﻠﻬﺎ
ﺍ ﻟﻢ ﺗﻌﻠﻢ ﺍﻥ ﷲ ﻋﻠﻰ ﻛﻞ ﺷﻰﺀ ﻗﺪﻳﺮ

Apa yang Kami salin daripada suatu ayat atau Kami abaikan akannya, Kami datangkan dengan yang lebih baik daripadanya atau seumpamanya. Adakah telah tidak engkau ketahui bahawasanya Allah atas tiap-tiap sesuatu Maha Kuasa?

Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya, Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?

Daripada ayat ini telah wujud suatu pelajaran baru daripada kitab Al-Qur’an iaitu subjek ayat nasikh dan ayat mansukh. Bahkan sesetengah pelajaran menyediakan rujukan senarai ayat-ayat yang telah dimansukhkan beserta ayat-ayat yang menasakhkannya.

Oleh kerana penulis bukanlah individu yang layak untuk mempersoal atau mempertikai mana-mana bentuk terjemahan atau tafsiran tertentu, penulis hanya melontar suatu kefahaman tersendiri berdasarkan asas kefahaman tertentu. Sebenarnya terdapat pelbagai kefahaman tentang ayat ini dan berikut ini adalah suatu kisah yang pernah penulis alami; 

Peristiwa perbincangan telah berlaku antara penulis dengan seorang penyokong kuat gerakan Ar-Rafidhah di negara ini. Pada suatu petang kami sama-sama dalam perjalanan balik daripada pusat bandaraya atas tujuan penghantaran permohonan membekal peralatan ke institusi kerajaan. Sesampai di sebuah warong, kami singgah sebentar untuk menikmati makanan bagi mengisi perut yang lapar. Penulis ketika itu telah memesan sup bihun bersama sedikit keratan sotong dan udang, sementara rakan penulis tadi telah memesan sup bihun yang sama tetapi dengan sedikit lauk daging ayam. Perbincangan bermula apabila ia mula menyampaikan ajaran yang ia perolehi bahawa sotong adalah termasuk makanan yang diharamkan berdasarkan pegangan agamanya. Penulis agak tersentak, tetapi tidak terus membincangkan perkara tentang hukum hakam pemakanan. Perkara yang ingin penulis nyatakan adalah asas halal dan haramnya pemakanan adalah suatu yang jelas dan perkara seperti ini telah termaktub dalam Al-Qur’an. Mengeluarkan fatwa terhadap makanan memerlukan penjelasan teliti daripada sumber Al-Qur’an dan As-Sunnah. Perbincangan kemudian berakhir apabila rakan penulis itu menyatakan bahawa, ayat tentang halal dan haram adalah termasuk ayat yang telah dimansukhkan dan perkara demikian terus diwarisi amalannya oleh kumpulannya. Persoalan yang ingin penulis bawa adalah, bagaimanakah mungkin ayat ini telah dijadikan hujah terhadap apajua pindaan dalam hukum agama?

i.   Ayat Yang Disalin

Terdapat pelbagai terjemahan terhadap perkataan ﻨﺴﺦ dan dalam terjemahan kedua yang dinyatakan sebelum ini,  ﻨﺴﺦ dijelaskan sebagai batal. Oleh itu, kiranya ayat yang dibincangkan adalah merupakan ayat yang dibatalkan (mansukh), maka ayat pembatal kepadanya akan dinyatakan sebagai ayat yang membatalkan (nasikh). Kiranya ayat itu adalah ayat yang dijelaskan (mansukh) maka ayat yang menjelaskannya pula akan dinyatakan sebagai ayat penjelasan (nasikh). Oleh kerana terdapat pelbagai terjemahan tentang perkataan ﻨﺴﺦ ini, penulis tidak berhajat untuk menafikan mana-mana jua terjemahan. Namun penulis memiliki pendekatan tersendiri dengan memilih terjemahan asal perkataan ﻨﺴﺦ iaitu salin. Pemilihan ini dibuat kerana terdapat contoh sebahagian ayat daripada ayat ini yang diulangi pada ayat yang datang kemudiannya.

ii.   Lupa Bermaksud Abai

Mahasuci Tuhan daripada bersifat pelupa. Dalam istilah kebiasaan, apabila kita menyebut untuk melupakan atau mengabaikan sesuatu adalah bermaksud untuk tidak membincangkannya kembali apatah lagi untuk mengambilnya semula untuk satu-satu tujuan. Dalam hal ini, apa-apajua yang ada disentuh daripada mana-mana bahagian lain daripada ayat asal yang disalin, tidak semestinya akan dibawa semula untuk perbincangan. Perkara ini perlu dilakukan supaya fokus sesuatu ayat tidak akan membawa kita untuk membincangkan sesuatu yang berada di luar kontak ayat yang cuba untuk dijelaskan. Pembelajaran tidak akan menjadi berceramuk dan kefahaman menjadi lebih jelas. Contoh ayat berikut ini dapat menjelaskan bahawa hubung kait antara satu ayat dengan ayat selanjutnya diperlukan untuk menggarap kefahaman dengan lebih jitu.




Sunday, March 13, 2016

TEMPOH WAHYU AL-QURAN YANG TELAH LAMA BERLALU

ﺑﺴﻢﺍﷲﺍﻟﺮﺣﻤﻦﺍﻟﺮﺣﻴﻢ

Dengan Nama Allah Maha Pemurah Maha Pengasih

Sebagaimana pernah disebutkan sebelum ini, kita berada pada suatu zaman yang RasululLah S.A.W. telah lama meninggalkan kita lebih 1400 tahun yang lalu. Siapakah di antara kita berani mendakwa bahawa cara beragamanya adalah cara yang paling benar dan bacaan Al-Qur’annya adalah bacaan yang benar? Cara beragama kita sekarang ini selalunya hanya ikut-ikutan belaka iaitu apabila seseorang harus mengamalkan apajua amalan agama melalui contoh yang ditunjukkan oleh orang-orang tua sejak dahulu. Maka, masyarakat akan menjadi marah apabila diperkatakan bahawa segala ibadah mereka sekarang ini hanya ritual belaka. Keadah seharusnya selamanya sebegitu selama mana tidak timbul keburukan yang ketara dalam masyarakat. Apabila sampai kepada suatu keadaan kekalutan mulai tersebar luas, di manakah kedudukan keyakinan ahli masyarakat terhadap ajaran agama yang selama ini mereka anuti? Kita dapati mereka yang cenderung kepada amalan yang dikatakan tuntutan agama, hanya melihat kepada diri mereka serta kelompok mereka sahaja. Kesudahannya masyarakat menjadi terpisah antara golongan yang pro-agama dan golongan umum yang condong untuk tidak membincangkan sesuatu yang berkaitan agama. Apabila terdedah sesuatu perkara yang membawa kegelisahan dalam masyarakat seperti permasalahan sosial dan pergolakan politik, kesalahan hanya ditujukan kepada pihak-pihak tertentu, tanpa mereka sendiri memainkan peranan aktif untuk membendung keadaan. Mengapa terjadi perkara demikian?

i. Sifat sebahagian ayat Al-Qur’an

Kehadiran ayat-ayat yang serupa yang disalin dari satu kedudukan ke kedudukan yang lain, sebenarnya banyak didapati dalam Al-Qur’an. Bahkan terdapat hubungan tertentu yang menjelaskan kehadiran ayat-ayat sedemikian. Kehadiran ayat seperti ini sebenarnya telah dijadikan hujah bahawa suatu ayat pada kedudukan yang lain, dapat digunakan untuk menafsir ayat-ayat tertentu. Sedapat-dapatnya, tafsiran berkenaan dikuatkan lagi dengan kehadiran yang berulangan daripada ayat-ayat yang serupa. Selalunya ayat dimaksudkan adalah berkaitan dengan sifat Tuhan yang seringkali diulang-ulangi dalam Al-Qur’an.

ii. Ayat-ayat Yang Mendedahkan

Penerangan pada bahagian ini sebenarnya berhubung rapat dengan penerangan-penerangan sebelum ini dan penulis mengharapkan agar pembaca dapat menggunakan kaedah yang dijelaskan ini untuk mempertimbangkan penjelasan berikutnya. Penulis tidak berniat langsung untuk mempertikai kaedah kefahaman sedia ada. Penulis hanya mengharapkan pembaca dapat membuat pertimbangan sendiri tanpa terlalu terkongkong dengan disiplin pengajian semasa, yang terlalu mengagungkan perguruan masing-masing. Tidak akan pernah ada kemenangan apabila kita meletakkan keyakinan bahawa hanya pengajian kita sahaja yang lebih benar berbanding pengajian-pengajian lain. Bahkan RasululLah S.A.W. tidak memiliki sebarang ijazah dalam melakukan kerja-kerja dakwah.




Monday, March 7, 2016

TENTANG BACAAN YANG SEBENAR


Cara Baca Yang Sebenar

Telah menjadi suatu polemik tentang Al-Qur’an. Bagaimanakah Al-Qur’an harus didekati? Hampir setiap hari kita didedahkan dengan praktik bacaan Al-Qur’an, sama ada melalui siaran di corong-corong televisyen, radio ataupun di perkakas tangan kita yang sering kita bawa. Sedarkah kita bahawa cara yang serupa yang kita lalui sekarang ini juga sebenarnya telah dilalui oleh orang-orang tua kita sebelum zaman penjajahan lagi? Selepas penjajahan berlalu, disiplin pengajian Al-Qur’an sebenarnya mengulangi kaedah dahulu kala, yang ternyata kini kita telah meletakkan diri kita pada situasi kegagalan mendapatkan jawapan daripada Al-Qur’an untuk menghadapi cabaran hidup semasa.

Oleh itu, merenung kembali tentang kaedah yang telah kita lalui, sedikit sebanyak akan membawa kita kepada sedikit anjakan paradigm. Sedikit perubahan harus berlaku sehingga perkara sedikit itu akan membawa perubahan sedikit demi sedikit.

Perbincangan ini adalah menjurus kepada kaedah kefahaman. Tidak perlu dihurai lagi membaca dengan cara yang salah atau menganuti ajaran melalui cara bacaan yang salah, tentunya akan sampai kepada kesudahan yang pembaca sendiri sedia maklum. Penulis tidak bercadang menyentuh hak jamaah atau pengajian tertentu kerana matlamat penulisan ini adalah dengan tujuan penyampaian belaka. Semoga kesan penulisan dapat memberi suatu kesedaran baru kepada mereka yang berada pada kedudukan yang penting dalam masyarakat.




Popular