SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Tuesday, December 11, 2012

SURAH AL BAQARAH AYAT 161 -- MEREKA YANG MATI TERLAKNAT


ان الذين كفروا و ماتوا و هم كفار اولئك
عليهم لعنة الله و الملئكة و الناس اجمعين

Sesungguhnya orang-orang yang telah ingkar mereka dan telah mati mereka sedang mereka yang mengingkari, mereka itulah ke atas mereka laknat Allah dan malaikat-malaikat dan manusia seluruhnya.

Sesungguhnya orang-orang Yang kafir, dan mereka mati sedang mereka tetap Dalam keadaan kafir, mereka itulah orang-orang Yang ditimpa laknat Allah dan malaikat serta manusia sekaliannya.

Kematian orang kafir suatu yang dilaknat! Bukan sahaja dilaknat Tuhan, bahkan seluruh malaikat dan manusia seluruhnya. Ayat-ayat sebelum ini telah menjelaskan perkataan laknat iaitu kepada pembaca-pembaca Al-Qur'an yang menyembunyikan Al-Qur'an dan yang menyembunyikan penerangan-penerangan Al-Qur'an daripada diketahui oleh manusia. Adakah penulis menyatakan sedemikian? Pembaca harus sedia maklum tentang ayat ini dan memberikan pertimbangan serius terhadap ancaman kepada mereka yang menyembunyikan Al-Qur'an daripada diterangkan kepada manusia.

i.    Tidak Menyampaikan Atau Menerangkan 
      Al-Qur'an Adalah Suatu Kekafiran.

Siapakah dia, mereka yang ingkar lantaran tidak menyampaikan Al-Qur'an? Iaitu mereka yang berilmu dengan Al-Qur'an tetapi mengambil pendirian untuk menyembunyikannya daripada pengetahuan manusia atau menyediakan suatu keadaan agar manusia berkeadaan jahil. Yang akan dipersoalkan oleh ramai pihak ialah bahawa ayat ini 02:161 adalah ayat yang terpisah daripada ayat 02:160 dan ayat 02:160 juga terpisah daripada ayat sebelum itu iaitu 02:159. Lalu bolehkah ayat ini diambil untuk menerangkan bahawa mereka yang berpengetahuan Al-Qur'an yang beragama Islam, yang menghindari kerja-kerja menerangkan Al-Qur'an, dikira sebagai kafir dan dinyatakan Tuhan, bahawa mereka akan menempuh kematian dalam keadaan kekafiran? Bukankah perkara keimanan dan kekafiran seseorang adalah rahsia Tuhan dan hanya Tuhan sahaja yang mengetahui? Penulis sebenarnya bersetuju dengan kenyataan sedemikian dan penulis juga tidak ingin untuk mengadakan suatu fatwa yang bukan-bukan.

Namun, dapatkah pembaca dan penulis sendiri menyatakan dengan anggapan yang sama bahawa ayat 02:161 adalah terpisah daripada ayat seterusnya 02:162, yang menyatakan azab Tuhan, tidak akan diringankan kepada golongan ingkar?

ii.    Kerja-kerja Penyampaian Al-Qur'an 
       Yang Kini Telah Ditinggalkan.

Tidak kira, kaedah apajua yang harus dilakukan, kerja-kerja penerangan Al-Qur'an itu sendiri, pada masa ini telah lama ditinggalkan oleh umat ini secara besar-besaran. Hanya sebilangan kecil sahaja, amalan penerangan Al-Qur'an masih dipraktikkan. Wajarkah umat dipersalahkan dan dijatuhkan hukum kepada mereka? Pihak yang lebih bersalah adalah mereka yang berpengetahuan agama yang telah menghindari kerja-kerja menyampaikan penerangan Al-Qur'an kepada umat ini, sebagaimana yang disebutkan dalam ayat ini dan ayat sebelumnya.

Apabila menghadapi persoalan penting yang melibatkan dua perkara penting, yang manakah perintah yang harus diutamakan dan didahulukan? Contohnya adalah perkara hudud dan perkara penyampaian ayat-ayat Tuhan, adalah dua parkara penting yang harus dilaksanakan. Sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini, perkara hudud adalah hukum Tuhan dan menjadi perkara utama yang wajib dilaksanakan. Namun apabila kita berhadapan dengan ahli masyarakat serta kepimpinan yang menentang perlaksanaan hudud dengan berbagai-bagai alasan, penyampaian ayat-ayat Tuhan adalah suatu yang harus didahulukan.

Penerangan ayat-ayat Tuhan harus sampai kepada segenap manusia agar mereka dapat terlepas daripada kejahilan tentang ayat-ayat Tuhan. Begitulah tugas RasululLah S.A.W. dan baginda tidak diutuskan untuk mengutamakan agenda merebut kerusi pemerintahan.


No comments:

Post a Comment

Popular