SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Thursday, January 21, 2016

SURAH NUH AYAT 26 -- HARAPAN NABI NUH A.S. YANG BELUM TERLAKSANA SEHINGGA KINI


و قال نوح ربى لا تذر على 
الارض من الكفرين ديارا

Dan telah berkata Nuh, Tuhanku, janganlah Engkau tinggalkan atas bumi itu daripada golongan yang ingkar yang beredaran.

dan Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! janganlah Engkau biarkan seorangpun dari orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi!

Itulah satu-satunya doa Nabi Nuh A.S. yang masih belum terlaksana, yang Tuhan jua lebih mengetahui akan hikmahnya. Bahawa mukabumi ini dipenuhi kesan, akibat daripada kerja-kerja keingkaran manusia. Apabila Tuhan mewujudkan sebuah negara naunganNya, yang ajaran-ajaran kitabNya dilaksanakan di bawah pemerintahan kekhalifahan yang layak, manusia berusaha merampas hak untuk mentadbir mukabumi ini dengan cara yang lain, sehingga mengakibatkan kehidupan menjadi kucar-kacir. Manusia berusaha memiliki bumi ini, melalui penguasaan sedangkan hak milik hanya untuk  Tuhan semata-mata. Apajua yang terdapat di bumi dan langit dan apa-apa yang ada antara keduanya, adalah merupakan amanat yang Tuhan serahkan urusannya kepada manusia, sebagai suatu bentuk ujian kepada manusia seluruhnya, sebelum amanat sebenar akan diserahkan kepada manusia kemudian nanti di hari akhirat kelak.

Sebenarnya, apakah yang diingini oleh manusia? Mereka dicipta Tuhan bersifat keluh kesah sehingga apabila ditakdirkan menerima kebaikan ia bersifat menegah dan apabila ditakdirkan menerima keburukan ia bersifat gelisah. Kecuali mereka yang melaksanakan ibadah solah yang bersinambungan. Adakah manusia yang sedemikian sifat keluh-kesahnya, layak mengurus tadbir bumi ini sedangkan dengan sikap-sikap sedia ada, mereka tidak akan dapat melepaskan diri merka dalam mengambil urusan agama dan pentadbiran dunia ini dengan cara boros dan gelojoh.

i.    Pertebaran Yang Membawa Pencemaran

Selepas daripada kejatuhan sistem kekhalifahan pada tahun 1923, kita dapati di seluruh dunia ini, kebanyakan negara-negara semakin mencontohi sistem ekonomi kapitalis berasaskan riba dan pajakan serta sistem pemerintahan demokrasi. Kebebasan yang dilaung-laungkan mula menyerlahkan kemajuan pembangunan yang berlaku secara sangat intensif. 

Industri pengangkutan merupakan industri yang berkembang pesat. Pembinaan jalan-jalanraya atau lebuh-lebuhraya baru, menjadi agenda pembangunan yang pasti. Setiap masa kita boleh dapati, sejumlah kenderaan yang sentiasa berlalu lalang di atas jalanraya. Pengaliran trafik tidak pernah putus meskipun ketika berlaku kejadian hujan lebat. Segala-gala ini berlaku akibat rangsangan sistem ekonomi kapitalis yang menggalakkan sistem pembelian kenderaan melalui kaedah riba. Lebih banyak kenderaan bergerak di atas jalanraya, maka lebih banyak bahan bakar diperlukan dan lebih banyak keuntungan diperolehi oleh pihak-pihak yang memiliki saham di atas jalanraya. Lebih banyak syarikat insuran dapat mengaut hasil dan lebih banyak saman dapat dikeluarkan atas kesalahan yang dijerat ke atas pemanduan. Mereka mengejar suatu pencapaian dalam hidup, bergerak pantas di jalanraya yang kesudahannya hanya bertujuan menambah kerugian terhadap harta dan anak-anak mereka serta membawa pencemaran kepada alam sekitar.

video
 Untuk tujuan pembangunan sesebuah lebuhraya,
bukit atau gunung kadang kala perlu dikorbankan.
Pencemaran dan kesan sampingannya 
adalah suatu yang harus dikawal.

ii.    Golongan Ingkar Yang Berkeliaran

Mereka mahukan segala-gala urusan dapat dilakukan dengan cepat, mudah serta memberi hasil yang banyak dalam tempoh yang singkat. Boros dalam urusan agama berlaku apabila pembelajaran agama adalah suatu yang memberati umat. Sebagai contoh, jalan untuk kefahaman Al-Qur'an dibebankan dengan prasyarat yang berbagai-bagai antaranya kemahiran terperinci terhadap cara pembacaan ayat, sehingga melupai kepentingan kefahaman ayat-ayat itu sendiri. Gelojoh dalam pentadbiran dunia berlaku sehingga kerosakan dan keporakan kehidupan manusia semakin menjadi-jadi. Sebenarnya apakah yang mereka lakukan? Mereka beredar di permukaan bumi menyebar fitnah ke sana-sini membawa cerita-cerita pembohongan yang mereka namai sebagai berita. Wajarkah pemilikan mereka daripada kenderaan ‘eksklusif’ diberi sanjungan, yang dengannya mereka berbolak balik di permukaan bumi supaya mereka dapat dijadikan piawai sebagai pihak yang benar.

Sekiranya demikian, mereka sebenarnya mengulangi sunnah umat terdahulu (umat nabi Nuh) yang meletakkan syarat bahawa petunjuk Tuhan haruslah diikuti oleh golongan bangsawan atau ahli politik ternama atau orang yang tampaknya berjaya dalam kehidupan dunia ini (26:111), sehingga akibatnya, mereka meletakkan syarat supaya Nabi Nuh A.S. menyingkirkan golongan yang lemah dalam dialog perbincangan mereka. Sekiranya demikian mereka wajar membuat persediaan menghadapi bencana Tuhan secara berdepan-depan sebagaimana yang berlaku kepada umat nabi Nuh atau umat-umat yang lain yang dilemaskan oleh azab Tuhan.




No comments:

Post a Comment

Popular