SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Saturday, April 25, 2015

SURAH ALI IMRAN AYAT 10 -- MEMAHAMI TINDAKAN MENGINGKARI ISLAM

Sesungguhnya orang-orang yang telah ingkar mereka, sekali-kali tidak ia berguna daripada mereka oleh harta-harta mereka dan tidak juga oleh anak-anak mereka daripada Allah sedikitpun dan mereka itu, mereka itulah bahan bakar neraka.

sebenarnya harta benda orang-orang kafir, dan juga anak pinak mereka tidak sekali-kali akan menyelamatkan mereka dari (azab seksa) Allah sedikit juapun; dan mereka itulah bahan bakaran api neraka.


Setiap Usaha Golongan Yang Ingkar 
Tiada Gunanya Di Sisi Tuhan

i.    Mereka Melakukan Kerja 
      Yang Merosakkan

Apakah yang tidak dilakukan oleh golongan ingkar dalam kehidupan mereka di dunia ini? Mereka makan apa sahaja yang boleh dimakan baik yang di udara, dalam air, atas daratan dan juga yang menyelusur dalam tanah. Mereka usahakan apa sahaja daripada perjalanan di atas daratan, lautan, udarakasa hingga pengembaraan ke angkasa lepas. Mereka membina apa sahaja daripada bangunan-bangunan kediaman, pendidikan, perniagaan dan juga pusat-pusat rekreasi. 

Namun apakah yang dapat kita lihat kesudahan usaha-usaha mereka sedemikian? Permukaan bumi yang semakin dicemari, kawasan-kawasan simpanan yang sentiasa ditebus guna, udarakasa yang semakin hari semakin tercemar. Lautan yang sentiasa diracuni dan tanah-tanah yang rebah. Haiwan-haiwan hutan yang liar menerjah masuk ke kawasan kediaman manusia mendapatkan makanan dan ikan-ikan terdampar sana dan sini. Udarakasa yang sentiasa memerangkap haba menjadikan permukaan bumi yang semakin hari semakin panas.

ii.   Mengumpulkan Harta Yang Tak Berguna

Mereka mengusahakan harta melalui sistem hidup yang mereka sendiri rekacipta, melalui sistem kapitalisme yang menindas. Bilangan harta yang sentiasa meningkat tidak membebaskan mereka daripada bebanan hutang. Mereka bekerja setiap hari dari pagi hinga ke petang, semata-mata untuk memperolehi pendapatan yang diperlukan untuk membayar hutang. Kesudahannya, kebanyakan daripada harta itu ditinggalkan tidak dimanfaatkan. Kerana usaha mereka sedemikian, mereka turut membawa kepada kerosakan alam yang akhirnya membawa permasalahan kepada kehidupan mereka sendiri.

iii.    Anak-anak Yang Hanya Membawa 
        Bebanan Kepada Diri Mereka Sendiri.

Kesibukan mendapatkan suatu kehidupan mengakibatkan kedua-dua ibubapa lebih memberi tumpuan kepada usaha mencari harta dan mengurangkan masa mereka memberi asuhan kepada anak-anak. Kebiasaan anak-anak bergaul dengan rakan-rakan mereka yang lain, menjadikan mereka lebih menyenangi untuk bergaul dengan rakan-rakan berbanding dengan ahli keluarga sendiri. Kebiasaan seperti ini sedikit sebanyak telah menyumbangkan kepada permasalahan sosial sehingga remaja-remaja kini telah membentuk perkumpulan mereka sendiri yang liar dan sukar untuk dibentuk. Mereka lebih menyenangi permainan dan gurauan berbanding persediaan memikul tanggungjawab.

iv.    Menjangkakan Perkara Yang 
        Bakal Berlaku

Dalam Surah Al-Haqqah Ayat 69:50, di bawah tajuk "Al-Quran Menjadi Kekesalan Kepada Golongan Yang Ingkar", penulis ada menyatakan ramalan tentang perkara yang bakal berlaku yang melanda seluruh dunia iaitu tentang keruntuhan ekonomi yang teruk. Meskipun umat manusia telah melepasi fasa kenaikan harga bahan bakar petroleum yang tinggi, kini harga komoditi berkenaan telah jatuh ke tahap rendah dan pernah mencecah harga di bawah USD 50 per tong. Namun yang berlaku adalah, rakyat di mana-mana jua negara masih terpaksa menghadapi harga makanan yang tinggi dan harga hartanah terus meningkat pada kedudukan yang tak masuk akal. Semua ini didorong oleh sistem ekonomi kapitalis berasaskan riba dan pajakan dan perkara ini telah diperjelaskan menerusi Surah Al-Ma'arij ayat 70:21.

Akhirnya kita akan menghadapi perkara yang serupa ke atas golongan ingkar, iaitu kemerosotan ekonomi yang teruk sebagaimana yang pernah berlaku sebanyak dua kali sebelum ini yang menjurus kepada Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Kita sebenarnya masih mempunyai alasan untuk tidak menyalahkan diri kita sendiri memandangkan kejadian sebelum ini terjadi semasa zaman penjajahan, yang kita telah dipaksakan untuk menuruti sistem mereka. Namun kini apakah alasan yang dapat kita kemukakan apabila kita dalam keadaan redha, telah berterusan menuruti sistem mereka sedangkan kita sudah sedia maklum akan akibatnya?

Perkara yang ingin penulis tekankan adalah tentang perlakuan kita selama ini yang berterus-terusan menuruti cara mereka  dalam segenap perkara kehidupan. Akibatnya, semua perkara itu telah menjadikan diri kita adalah mereka. Mereka puak demokratik kapitalis dan kita juga pengamal demokratik kapitalis. Mereka golongan yang mengingkari Al-Qur'an, maka seperti itulah yang berlaku ke atas diri kita semua, memilih untuk menjadi mereka! Lalu, apakah perkara yang tidak berlaku ke atas mereka yang tidak berlaku ke atas kita?

Tidakkah kita menuruti mereka dalam banyak hal?

Daripada corak berpolitik yang menuruti ciri-ciri pecah belah dan perintah, corak ekonomi berdasarkan hirarki, corak pendidikan yang semakin mengarut sehinggalah kepada urusan penguasaan kerohanian umat melalui agama yang direkacipta, kini corak kehidupan kita telah mula menuruti corak atau peradaban zaman Fir'aun.

Ke manakah hala tuju pendidikan negara kiranya
ramai golongan profesional juga hidup melarat?



No comments:

Post a Comment

Popular