SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Monday, July 17, 2017

SURAH AL-MUZAMMIL AYAT 10 -- LAKUKAN KERJA YANG DIPERINTAHKAN DAN BERSABAR


و اصبر على ما يقولون
و اهجرهم هجرا جميلا

Dan bersabarlah olehmu atas apa yang mereka perkatakan dan tinggalilah  olehmu akan mereka dengan suatu peninggalan yang cantik.

dan Bersabarlah terhadap apa Yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka Dengan cara Yang baik.

i.    Bersabar Terhadap Kepimpinan
      Yang Buruk

Pertimbangan manusia secara umumnya menganggapkan bahawa pemilikan bermakna kebenaran. Kekayaan adalah ukuran. Sehingga apabila kepimpinan negara sebelum ini sanggup berhutang besar dari sumber-sumber luar dan dalam dan mengakibatkan projek-projek pembangunan kemewahan dapat dilaksanakan, rakyat secara umumnya mengambil pendirian menyokongnya. 

Namun, apabila kepimpinan tersebut, tidak lagi sanggup menanggung tekanan inflasi berterusan terhadap ekonomi negara (akibat hutang dan kemurungan ekonomi), ia akhirnya mengambil jalan meletak jawatan atau disingkirkan. Maka, penggantinya terpaksa menanggung beban kesan inflasi yang besar berkenaan terhadap rakyat. 

Lalu rakyat hidup susah. Pengangguran dan kejadian jenayah meningkat dengan mendadak. Masalah sosial semakin menjadi-jadi akibat kesilapan kepimpinan terdahulu yang kurang bertanggungjawab. Semua itu terjadi kerana ia hanya meletakkan agenda kemewahan dalam hidup dan bukannya tanggungjawab sebagai khalifah Tuhan. 


Bukan salah demokrasi, tetapi kesilapan
kepimpinan dahulu yang mendokong kapitalism.

Lalu akhirnya dipersalahkan kepimpinan baru yang berhempas pulas mengurangkan kesan inflasi akibat kerja-kerja kepimpinan terdahulu. Dahulu, mereka yang memperleceh pendakwah, yang terdiri daripada golongan beriman, yang sanggup hidup berjimat cermat dan mengambil berat terhadap ahli keluarganya serta ahli-ahlinya dan menghindari sistem larangan Tuhan seperti riba secara berhati-hati. Kini, mereka menderita dengan ekonomi yang lembab, pulangan yang tidak memadai dan penderitaan menanggung interes atau riba yang berganda-ganda. 

Mereka ini harus dihindari daripada gerakan dakwah lantaran mereka, yang akan merayau-rayau sehingga mengakibatkan kesukaran gerakan dakwah. Siapakah yang bertanggungjawab sehingga berlaku defisit besar dalam imbangan ekonomi negara kalau bukan mereka? Maka wajarlah mereka yang menanggung akibat daripada kesan jangka panjang inflasi. Tinggalkan mereka dengan secantik-cantik peninggalan. Akibat buruk untuk mereka yang menentang ayat-ayat Tuhan dan terumbang-ambing dalam kehidupan.

 ii.    Permasalahan Yang Muncul Kini

Kemurungan ekonomi dan defisit yang besar, sedia menambahkan perbelanjaan rakyat dalam bentuk cukai, saman atas kesalahan sama ada yang disengajakan atau yang tidak disengajakan. Peningkatan harga keperluan asas seperti makanan dan kenaikan harga bahan bakar pastinya meningkatkan beban rakyat. Rakyat hidup tertekan sehingga kejadian pembunuhan atau bunuh diri berlaku hampir setiap hari. Kes-kes jenayah meningkat dengan ketara, permasalahan sosial semakin menggila dan hubungan sesama manusia lebih buruk daripada sesama haiwan. Peningkatan nilai hartanah sebenarnya tidak menjanjikan apa-apa kepada institusi kewangan hanya sekadar menunjukkan situasi inflasi yang membelon besar. Apabila berlaku letupan ekonomi, pemilik-pemilik kemewahan seperti institusi-institusi kewangan terpaksa mendesak pemerintah dan pelindung nilai untuk menggadai maruah negara dengan membuka pasaran hartanah kepada pihak asing, yang sentiasa menanti-nanti peluang mengambil alih kepentingan kemewahan negara seberapa banyak yang boleh.

Tindakan sedemikian yang meningkatkan nilai pasaran hartanah, tidak boleh dinyatakan sebagai akibat daripada ransangan pemulihan ekonomi. Institusi kewangan hanya mahukan wang mereka kembali yang telah dilaburkan untuk tujuan pembangunan hartanah. Mereka tidak peduli terhadap peratus pemilikan asing yang semakin meningkat. Mereka tidak peduli terhadap aktiviti sedemikian sebenarnya tidak membantu peredaran wang dalam pasaran. Kenaikan harga tidak didorong oleh pertumbuhan ekonomi tetapi sebenarnya oleh pertumbuhan hutang dalam negara. Lebih banyak bangunan-bangunan baru didirikan dan lebih banyak bangunan lama akan terbiar. Semakin banyak pasaraya-pasaraya milik asing didirikan, akibatnya semakin banyak aset negara menjadi hak milik asing dan nilai wang yang dibawa keluar dari negara ini, meninggalkan wang negara yang semakin kecil nilainya. 

Antara perkara yang diperintah Tuhan dalam ayat berikut adalah untuk membiarkan sahaja perlakuan mereka dan pendakwah tidak harus mendahului Tuhan dengan beria-ia menjadikan mereka sebagai sasaran dakwah atau cuba melaksanakan kempen memberitahu rakyat terhadap salahguna kuasa oleh kepimpinan. Sasaran dakwah adalah kepada golongan yang dha’if yang menempuh kesukaran hidup. Kerana kesukaran jualah, mereka telah digelapkan daripada usaha mengingati Tuhan selama ini. Sebahagian mereka terpaksa memilih corak hidup melalui percaturan ekonomi yang telah dikepung ke atas mereka. Mereka terpaksa berhutang semata-mata untuk memenuhi keperluan hidup seperti untuk makan, mendapatkan rumah kediaman dan kenderaan keperluan untuk bekerja.





No comments:

Post a Comment

Popular