SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Sunday, September 27, 2015

SURAH NUH AYAT 8 -- MENYAMPAIKAN SECARA TERANG-TERANGAN


ثم انى دعوتهم جهارا

Kemudian sesungguhnya aku, telah menyeru aku akan mereka terang-terangan.

"Kemudian Aku telah menyeru mereka Dengan terang-terang;

i.     Dakwah Setelah Wujudnya Kekuatan

Setelah kekuatan terdapat pada umat Islam barulah RasululLah S.A.W. diperintahkan untuk menyampaikan dakwah secara terang-terangan. Sebagaimana dijangkakan, tentangan memang sangat hebat. Namun atas kekuatan yang ada dalam jiwa mereka, dakwah yang menerima tentangan yang hebat menyebabkan umat Islam menyedari betapa terlalu mahal nilai keyakinan mereka. Sehingga mereka sanggup berhijrah meninggalkan isteri-isteri mereka yang enggan, harta-harta mereka, anak-anak mereka, kareer mereka sama ada dalam bidang perniagaan, pekerjaan, kepimpinan masyarakat dan sebagainya. Mereka yang tidak berkesanggupan akan tercicir dan ditinggalkan. Sehingga akhirnya RasululLah S.A.W. berjaya membentuk suatu penghidupan bermasyarakat Islam yang harmoni.

Mengapakah pendekatan yang dibawa Nabi Nuh A.S. tidak sampai kepada pembentukan sebuah masyarakat Islam secara menyeluruh seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W? Bukankah panduan adalah dari sumber yang sama iaitu Tuhan yang Maha Bijaksana. Persoalan seperti ini datangnya daripada mereka yang mungkin hanya menghendaki bahawa ajaran Tuhan, mahu tak mahu mestilah yang membawa kejayaan di dunia ini. Nabi Nuh A.S. bukanlah sesiapa dalam masyarakat, hanyalah manusia biasa yang berdakwah kepada kaum baginda. Baginda tidak mempersembahkan kemewahan dan keajaiban. Ternyata kesannya amat sedikit sekali daripada kaum baginda yang mahu beriman. Demikian itulah sikap manusia yang suka memandang rendah terhadap manusia lain dan bukannya mengambil berat tentang kandungan mesej yang dibawa. Pada zaman ini kerja-kerja dakwah adalah seperti menjual sardin dalam tin. Ikannya tidak kelihatan bahkan hanya gambaran ikan sahaja ditampalkan pada kulitnya. Sardin hanya akan dibeli berdasarkan kekerapan seseorang yang pernah merasakannya dan tidak kepada yang lain. Namun ikan yang segar sahaja yang menjadi pilihan utama.

ii.    Kesegaran Dalam Ajaran Agama

Ajaran agama memerlukan kesegaran baru sepertimana asalnya. Umat terdahulu tidak pernah mengenali agama melalui ilmu tajwid, feqah, tasawuf sepertimana yang berlaku pada zaman ini. Mereka menerima daripada RasululLah S.A.W., terus daripada Tuhan, yang membaca ayat-ayatNya (72:22) secara kefahaman yang benar menurut asal perkataan (dalam bahasa Arab 13:37). Bukan perkataan yang terubahsuai menurut jalan kefahaman ulama-ulama atau sebagainya. Mereka memahami dan terus mengambil pendirian sama ada mengingkari atau mengimani. Tiada pihak tengah dalam pengamalan agama yang diperkenal oleh RasululLah S.A.W. 

iii.   Yang Bersifat Sejagat Dengan 
       Contoh Setempat

Pendekatan Muhammad RasululLah S.A.W. adalah berdasarkan nilai-nilai kehidupan sejagat. Ayat-ayat Tuhan disampaikan menurut keindahan bahasa sebagaimana yang disanjung tinggi oleh masyarakat. Ajaran yang disampaikan bertujuan membela nasib manusia bermula daripada golongan yang miskin, fakir dan anak-anak yatim. Perjuangan menyampaikan ajaran agama memerlukan pengorbanan harta. RasululLah S.A.W. sendiri dilahirkan daripada keluarga bangsawan yang disanjung tinggi oleh masyarakat. Baginda pernah menjuarai ekonomi dan pernah melakukan perniagaan ke peringkat antarabangsa. Baginda juga pernah menjadi pahlawan perang sebelum dilantik sebagai rasul. Kepimpinan baginda dalam masyarakat akhirnya berjaya mengalahkan kepimpinan Abu Sufyan sehingga berjaya ditundukkan untuk menerima Islam. Tentulah penerimaan terhadap Muhammad RasululLah S.A.W. berbeza dengan penerimaan terhadap dakwah Nabi Nuh A.S. yang merupakan kaedah yang mampu dituruti oleh kebanyakan umat akhir zaman waktu ini. Kesabaran serta melakukan kerja-kerja dakwah secara berhati-hati dan tidak mendedahkan diri terhadap fitnah sehingga boleh mengakibatkan kerencatan kerja-kerja dakwah, haruslah diutamakan. Terlalu banyak kerja-kerja dakwah yang gagal disebabkan kegagalan mereka menghayati pengajaran ayat-ayat dengan cara yang sebenarnya. Terlalu banyak ujian telah menimpa umat ini.




Monday, September 21, 2015

SURAH NUH AYAT 7 -- PERLAKUAN MENGINGKARI


و انى كلما دعوتهم لتغفرلهم
جعلوا اصابعهم فى اذنهم

Dan sesungguhnya aku, setiap kali telah menyeru aku akan mereka, supaya Engkau mengampuni bagi mereka, telah mengadakan mereka akan jari-jemari mereka pada telinga-telinga mereka.

Dan Sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, - mereka menyumbatkan telinganya Dengan jari masing-masing,

i.   Kematu Kesyirikan Mengakibatkan 
     Mereka Degil

Tingkah laku golongan yang ingkar itu adalah seumpama mereka yang menutup lubang telinga tatkala berlaku kejadian petir yang berlaku dalam gelap gulita semasa suasana hujan (2:19). Mereka bukan sahaja tidak mahu mendengar malah mengambil sikap menolak sebarang nasihat. Bagaimanakah dapat berlaku, petunjuk akan sampai kepada mereka? Demikianlah mereka telah menetapkan dalam hati mereka oleh pihak lain yang mengingkari kebenaran (71:24) disebabkan mereka telah pekat dengan amalan-amalan keburukan iaitu suatu bentuk ketagihan dalam penyembahan selain Allah. Tentunya sikap sedemikian mereka warisi daripada perlakuan dan pendidikan yang mereka perolehi daripada orang-orang tua mereka (71:27). Sebagaimana pengamalan agama itu diwarisi daripada ibubapa kepada anak-anak maka mereka yang gagal menggunakan akal secara bebas tetap akan mewariskan pengamalan agama kepada generasi seterusnya.

Seperti itu juga pengamalan agama dalam masyarakat yang merasai bahawa mereka itu telahpun memperolehi jaminan petunjuk hanya dengan pengamalan agama yang tertentu. 


Mereka Megah Dengan Status, Dipaparkan Lagi Dengan Jenis Pakaian Yang Mereka Pakai

و استغشوا ثيابهم و اصروا
و استكبروا استكبارا

Dan telah melindungi mereka akan pakaian mereka dan telah membungkam mereka dan telah menyombong mereka dengan sebenar-benar kesombongan.

dan berselubung Dengan pakaiannya, serta berdegil Dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur Dengan melampau.

ii.    Megah Dengan Cara Berpakaian

Sebenarnya sikap seperti ini sentiasa berlaku ke atas umat atau individu yang telah sangat-sangat dipengaruhi dan tidak mahu menggunakan akal atau mengambil jalan berfikiran bebas. Adakah mereka merupakan suatu kaum yang diiktiraf tidak berupaya menggunakan akal? Sekiranya demikian, Tuhan tidak perlu untuk sampaikan risalahNya kepada mereka. Sekiranya Tuhan menghendaki tentu Ia jadikan mereka semua beriman namun Ia melakukan perkara yang Ia kehendaki. Demikianlah Ia menghendaki untuk memberi pengajaran kepada umat ini bahawa perjuangan untuk berdakwah menyampaikan ayat-ayat Tuhan, bukanlah kerja yang mudah semudah menyampaikan pengajaran yang lain. Cercaan, maki hamun dan ancaman merupakan suatu perkara lumrah.

iii.    Beragama Secara Membabi Buta

Penentangan yang paling hebat datangnya daripada kesan nilai-nilai setempat seperti budaya, kepimpinan bahkan juga daripada ahli-ahli agama itu sendiri yang membawa syariat lain daripada syariat yang diarahkan Tuhan untuk disampaikan (23:63). Sehingga apabila umat beragama secara membabi buta, ibadat solah dilakukan penyembah-penyembah dengan tanpa berilmu walau dengan sepatah perkataan yang dibaca. Persoalannya, adakah cara beragama seperti ini yang Tuhan kehendaki untuk disampaikan kepada manusia?

iv.     Dua Sebab Utama Menolak 
         Risalah Kerasulan

Sebenarnya tiada sebab untuk manusia menolak keimanan kepada Tuhan tatkala mereka diseru untuk beriman melainkan atas dua sebab utama iaitu meniru sunnah orang-orang terdahulu ataupun disebabkan oleh kedatangan azab yang tidak terduga. Sunnah orang-orang terdahulu yang meletakkan kesombongan di hadapan diikuti dengan kepentingan peribadi. Mereka yang terdiri daripada kumpulan yang memegang kedudukan kepimpinan dan jabatan-jabatan dalam sesebuah negara dan juga pengikut-pengikut mereka yang mendukung pentadbiran kepimpinan mereka, adalah condong untuk menolak keimanan berbanding golongan rakyat biasa. Sunnah seperti ini telah diamalkan oleh Fir’aun dan pembesar-pembesarnya. Mereka yang memiliki kepentingan perniagaan sehingga menindas golongan yang susah adalah lebih condong untuk menolak keimanan berbanding golongan yang susah. Contoh seperti ini adalah Abu Lahab, bapa saudara Nabi sendiri dan Al-Walid bin Mughirah yang menentang dakwah Nabi S.A.W. secara terang-terangan. Sikap suka menangguh-nangguhkan amalan baik serta mengambil pendirian tunggu dan lihat adalah penyebab kedua menyebabkan seseorang gagal untuk memperolehi keimanan sehingga azab sempat datang terlebih dahulu sebelum seseorang itu beriman kepada Tuhan. Contoh mereka adalah orang-orang Islam yang terkorban dalam peperangan Badar yang dipaksa menyebelahi golongan ingkar disebabkan mereka menangguh-nangguh usaha berhijrah.


CARA BERDAKWAH AGAMA YANG BERKESAN

Mengajak manusia kepada jalan petunjuk Tuhan untuk mengubah pengamalan agama mereka adalah seumpama pendakwah itu berbuat keputusan untuk bertukar agama sendiri. Ia tentunya memiliki sebab mengapa ia berkeputusan sedemikian sama ada kerana ilmu, harta, emosi, cinta atau atas kesedaran. Lalu ia akan melakukannya secara senyap sunyi supaya tidak disedari oleh orang lain supaya risiko bencana tidak sampai kepada dirinya. Sekiranya pendiriannya diketahui dalam keadaan masyarakat sekitar tidak bersedia untuk menerimanya, maka ia akhirnya akan menempuh bencana bahkan sehingga akan mengakibatkan pembunuhan terhadap dirinya. Pendakwah harus mengkaji bagaimana pendakyah-pendakyah Hindu dan Kristian berjaya memurtad umat Islam dalam jumlah yang sangat ramai. Mereka menggunakan hiburan, wang, kuasa dan perundangan serta ugutan untuk menarik, mempengaruhi, mengalahkan dan memberi pembelaan serta memaksa umat Islam terutamanya muslimah, dengan cara menghamilkannya terlebih dahulu, untuk meninggalkan agama asal mereka. Apakah lagi yang boleh diharapkan untuk mereka kembali menyembah Tuhan sebagaimana yang diperintahkan Al-Quran dengan panduan As-Sunnah? Begitulah juga usaha dakwah RasululLah S.A.W. terhadapumat baginda. Baginda menggunakan kaedah hiburan dengan memberi perkhabaran baik yang akan diperolehi oleh mereka yang mahu beriman pada hari akhirat kelak. Baginda juga menggunakan harta untuk tujuan dakwah dengan memperbanyak sadaqah dan menggalakkan sadaqah kepada para sahabat. Supaya umat dapat dikumpulkan dan disatukan. Baginda juga menggunakan kuasa apabila senjata digunakan untuk mempertahankan iman umat Islam, bahkan juga dalam memberi keadilan kepada kaum Yahudi, baginda menggunakan perundangan daripada kitab mereka sendiri. Baginda menyebarkan dakwah secara senyap-senyap terlebih dahulu sehingga mencapai jumlah sahabat yang agak ramai dan mereka diuji untuk memantapkan pendirian mereka. Kekuatan yang ada pada mereka adalah Al-Haq itu sendiri yang mereka hayati dengan ilmu yang benar bukan hanya main ikut-ikut seperti keadaan umat kini. Iman mereka menjadi kukuh sehingga tidak mudah dirobek dengan senjata, api kepanasan, ugutan, umpanan harta dan sebagainya. Kekuatan mereka adalah lantaran pengabdian kepada Tuhan. Pendekatan ini tiada pada agama-agama lain.




Tuesday, September 15, 2015

SURAH NUH AYAT 6 -- MANUSIA UMUMNYA TIDAK SUKA PETUNJUK, MEREKA SUKA KESESATAN


ﻓﻠﻢ ﻳﺰﺩ ﻫﻢ ﺩﻋﺎﺀﻯ ﺍﻻ ﻓﺮﺍﺭ

Lalu telah tidak ia menambah oleh mereka akan seruanku melainkan yang lari. 

Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran).

 i.     Ancaman Yang Mereka Tak Suka Dengar  

Mereka lari mungkin kerana belum pernah kedengaran kejadian bencana sepertimana yang diancam oleh Nabi Nuh A.S. Bencana lain yang berlaku mungkin jarang sekali dan pada skala kecil tidak seperti yang diancam. Sedangkan mereka umat yang panjang umur, sehingga keras hati mereka daripada memikirkan perkara-perkara yang disampaikan oleh Nabi Nuh A.S. Mereka lebih mendengar kata-kata ketua mereka yang banyak bilangannya itu sedangkan setiap individu mereka dapat menjalani penghidupan tanpa banyak memerlukan bantuan pihak lain. Pada mereka, beriman kepada Nabi Nuh A.S. tidak mengubah apa-apa. 

Dengan jumlah hanya sekitar 80 orang pengikut dalam tempoh masa yang sangat lama, tidak memungkinkan Nabi Nuh A.S. dapat melakukan sesuatu seperti Nabi Muhammad S.A.W. Nabi Nuh A.S. bukanlah juara ekonomi seperti Nabi Muhammad S.A.W. sehingga ramai yang akan mendampingi baginda sehingga dakwah mudah dilaksanakan. Dakwah Nabi Muhammad S.A.W. pula lebih memerlukan kepada pengorbanan harta dan diri. Tanpa harta, tidak banyak perkara dapat dilakukan (61:11). Dalam keadaan persekitaran padang pasir dengan ramai manusia yang mengharap bantuan, maka kaedah bersadaqah adalah merupakan kaedah dakwah yang baik. Dengan pengajaran yang sebaik-baiknya, mahu tidak mahu umat akan menurutinya. 

Namun suatu masalah pula berlaku apabila pengagihan harta menjadi sebaik-baiknya sehingga individu yang lemah pada asalnya, menjadi kayaraya dalam masa yang singkat sehingga mudah melupai ajaran-ajaran yang baik. Perkara sedemikian terjadi kepada Tsa'alabah, Yazid - si pemungkir janji dan pemberontak-pemberontak dari Iraq daripada kaum Kurdish. Mereka memandang agama hanya sebagai habuan untuk mendapatkan kepentingan. Apabila dakwah Islam dipolitikkan atau melalui umpanan harta untuk menunjukkan keprihatinan terhadap kerja-kerja agama, akan sampai suatu masa pelemahan. Sehingga mengakibatkan ramai umat Islam murtad memilih agama yang tersebar tanpa kekuatan politik seperti agama Nasrani, bahkan murtad memilih agama yang disiarkan dengan kekuatan cinta dan wang seperti agama Hindu dan sebagainya. Semua ini akan menjurus kepada perlakuan permasalahan sosial yang akan berlaku di negara ini suatu masa nanti yang tidak akan dapat dibendung oleh mana-mana pihak. 

Kaedah-kaedah dakwah sebenarnya terbuka luas. Namun, keberkesanan kerja-kerja dakwah menjadi kurang berkesan akibat kerja-kerja penyempitan, dilaksanakan sendiri oleh pihak-pihak tertentu. Sekiranya hak-hak dan peruntukan-peruntukan tertentu disalurkan untuk tujuan lain, sekalipun untuk tujuan yang kelihatan baik menggunakan kaedah putarbelit syari'at, maka akan sampai masa umat menjalani kehidupan haru-biru tanpa kesudahan yang baik. 

ii.  Beri Manusia Tempoh Masa 

Mengapakah manusia seringkali menolak keimanan kepada Tuhan? Sebenarnya mereka merasa tenteram dengan keadaan sementara yang mereka alami dalam kehidupan mereka. 

Contohnya di negara ini, selepas berakhirnya zaman penjajahan, rakyat negara ini telah menuruti sistem yang ditinggalkan penjajah dalam bentuk sistem pemerintahan demokratik kapitalis melalui sistem ekonomi riba dan pajakan. Kedua-dua sistem yang dijanjikan oleh pihak Barat ini, sedikit sebanyak telah memperbaiki tahap kehidupan sebahagian rakyat. Namun di atas kepentingan cengkaman kuasa pihak-pihak tertentu, secara umumnya pembelaan terhadap rakyat menjadi kurang seimbang. Pembangunan yang dilakukan memerlukan pihak-pihak berkepentingan mengambil habuan tertentu sebagai jalan menaja sebahagian rakyat yang menjadi pendukung mereka demi mengekalkan kuasa. 

Hingga ke suatu tahap, aktiviti rasuah tidak dapat dielakkan. Pembangunan pula memerlukan tenaga-tenaga kerja dari luar di bawa masuk untuk tujuan penjimatan serta keberolehasilan yang menguntungkan. Pekerja-pekerja asing sekalipun diberi bayaran upah yang rendah sebenarnya kurang membawa manfaat kemewahan kepada rakyat. 

Faktor kedua ialah dengan wujudnya sifat bermewah-mewah sebahagian rakyat, telah menambahkan defisit sedia ada terhadap beban kewangan negara. Perbezaan pemperolehan kalangan rakyat yang semakin berbeza dengan jurang ekonomi yang semakin melebar antara golongan pertengahan dan golongan miskin, akhirnya mengakibatkan permasalahan sosial turut meningkat. Semakin ramai rakyat merempat tidak mampu memiliki harta asas seperti rumah kediaman lantaran harga penawaran yang terlalu tinggi selain disebabkan oleh tekanan inflasi. 


Masyarakat Gelandangan - baik apapun alasannya, adalah 
natijah daripada kesan pengabaian total oleh pihak pemerintah
dan penjawat-penjawat awam dalam urusan pentadbiran mereka,
sehingga menjurus kepada permasalahan sosial.

Dan antara perkara yang menyedihkan juga ialah wujudnya sindrom MASGANY (Madison Square Garden, New York) dalam kalangan rakyat dengan kehadiran semakin ramai golongan berharta tetapi merempat. Mereka sanggup berjimat cermat dengan mendiami rumah-rumah kotak di tepi-tepi jalan atau tempat-tempat tertentu, semata-mata untuk menampung pembiayaan insuran atau pembayaran ansuran yang menjanjikan kemewahan kemudian hari nanti melalui potongan gaji mereka. Gejala ini semakin meningkat sekarang ini sehingga mengakibatkan banyak daripada pembangunan dalam bentuk bangunan-bangunan persendirian serta premis-premis perniagaan terbiar tidak dapat dimanfaatkan. Kesilapan rakyat dan ketamakan kepimpinan akhirnya membawa musibah terhadap sistem ekonomi negara dan juga pencemaran alam yang menjurus kepada kerosakan pembangunan yang telah mereka lakukan. 





Wednesday, September 9, 2015

SURAH NUH AYAT 5 -- KELUHAN NABI NUH A.S.


قال ربى انى دعوت قومى ليلا و نهار

Telah berkata ia, Tuhanku, sesungguhnya aku, telah menyeruku akan kaumku malam dan siang.

(setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhanku, Sesungguhnya Aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman);
 
i.      Kesabaran Hingga Membawa Keluhan

Demikianlah kesabaran Nabi Nuh A.S. dalam menyeru kaum baginda untuk kembali kepada Tuhan sebenarnya. Mengapakah mereka tidak menyahut seruan Nabi Nuh A.S.? Hanya ada satu jawapan dalam surah ini pada ayat 71:23 iaitu mereka mahu tetap mempersekutu Tuhan. Sesungguhnya apabila mereka telah tetap melakukan penyekutuan terhadap Tuhan, adalah sukar bagi mereka untuk meninggalkannya sehinggalah mereka dapat ditewaskan.


Penyembahan kepada selain Allah, adalah suatu ketagihan
yang sukar dipulihkan seperti ketagihan dadah.

Namun Nabi Nuh A.S. tidak pernah memaksa mereka hanya baginda memberi nasihat serta ancaman. Adakah kaedah Nabi Nuh A.S. adalah lebih baik daripada kaedah Nabi Muhammad S.A.W. atau sebaliknya? Sedangkan masa peruntukan kepada Nabi Muhammad S.A.W. adalah selama 23 tahun sahaja lalu berjaya mengubah umatnya daripada keadaan ingkar kepada keadaan iman, berbanding dengan tempoh Nabi Nuh A.S. sehingga beratus-ratus tahun sebelum Tuhan memusnahkan kebanyakan mereka.

ii.    Perbandingan dakwah Nabi Nuh A.S. 
       berbanding Nabi Muhammad S.A.W.
 
 
Oleh itu pembaca sendiri harus berfikir mengapa kaedah dakwah Nabi Nuh A.S. sedemikian rupa sedangkan Nabi Muhammad S.A.W., akhirnya menggunakan senjata untuk tujuan dakwah.






Tuesday, September 1, 2015

AJAL TUHAN YANG DATANG MENGEJUT


 ﺍﻥ ﺍﺟﻞ ﷲ ﺍﺫﺍ ﺟﺎﺀ ﻻ ﻳﺆﺧﺮ ﻟﻮ ﻛﻨﺘﻢ ﺗﻌﻠﻤﻮﻥ 

Sesungguhnya masa Allah, apabila telah datang ia, tidak Ia menangguhkan sekiranya telah adalah kamu, kamu mengetahui. 

Sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah, apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan, kalaulah kamu mengetahui (hakikat ini tentulah kamu segera beriman)"

v.   Masa Yang Ditentukan Dan Masa Allah 

Inilah pengajaran yang harus seseorang ambil daripada peristiwa kemusnahan umat nabi Nuh. Ceritanya, kita sekarang ini tidak mengetahui bilakah masa Allah akan berlaku? Sebab itulah kita suka memilih hidup dalam kelalaian. Yang kita sukai ialah supaya masa Allah itu tidak akan berlaku walhal semua orang mengetahui bahawa setiap mereka akan menempuh kematian. Yang dikatakan ﺍﺟﻞ ﻣﺴﻤﻰ adalah masa kematian setiap individu yang telah ditentukan waktunya masing-masing, sedangkan ﺍﺟﻞ ﷲ adalah masa berlaku kematian mendadak pada skala besar akibat daripada bencana alam yang berada di luar kawalan manusia. Semuanya dalam kawalan Tuhan sehingga sebab itu Tuhan memberi peluang kepada seseorang atau masyarakat supaya dapat melakukan sesuatu demi mengakhiri masa itu sehingga kesempatan dapat diambil untuk melakukan perbaikan. Sesungguhnya Tuhan sentiasa dapat mengubah sesuatu walaupun telah ditetapkan sebelumnya kerana hanya Dia yang dapat mengalahkan atas urusanNya (12:21)

vi.   Perkara Yang Harus Dilakukan

Apakah yang diperlukan oleh manusia untuk melakukan sesuatu? Iaitu mengajak diri sendiri dan manusia lain supaya kembali kepada sistem Tuhan sepenuhnya. Antara perkara pokok yang perlu dilakukan adalah menanggalkan manusia daripada sebarang bentuk penyembahan mereka sehingga mereka menyembah Allah sahaja. Perkara ini adalah merupakan perkara sukar dan berat untuk dilakukan namun masih boleh dilakukan. Sekiranya Nabi Nuh A.S. melakukan dengan pelbagai cara termasuk cara yang bersangatan sabar, mengapa kaedah ini tidak kita cuba didekati sehingga dapat mengumpulkan beberapa individu yang dapat diharap untuk beriman hanya kepada Tuhan semata-mata? Mengambil Tuhan dengan contoh daripada Rasul S.A.W. sebagai sumber hukum dan bukannya kepada yang lain. Kini terdapat bahan-bahan baru yang dapat membantu untuk digunakan pada jalan Tuhan. Antaranya adalah pendekatan ilmiah daripada rumusan-rumusan yang perlu diperolehi dengan jalan sabar dan penemuan-penemuan baru berdasarkan ayat Tuhan supaya para ilmuwan dapat ditundukkan untuk menerima hakikat bahawa azab Tuhan akan terjadi sekiranya mereka memilih meneruskan kaedah kehidupan sekarang ini. Namun pendekatan itu perlulah diasaskan daripada ayat-ayat Tuhan dan bukannya mengagungkan penemuan manusia sebagaimana dipelopori oleh pihak Barat yang bersungguhsungguh menafikan tamadun lain. 

vii.    Kejadian AjalulLah Yang Semakin 
         Menjadi-jadi 

Kejadian ajalulLah semakin menjadi-jadi pada zaman ini dengan korban tsunami Asia Selatan mencapai 260,000 jiwa, taufan Nargis di Myanmar yang mengorbankan lebih 15,000 jiwa, gempa-gempa bumi yang sering terjadi memakan korban sehingga ribuan penduduk, peperangan sesama manusia mencapai jumlah jutaan jiwa terkorban sama ada daripada pihak tentera atau orang awam. Semua ini disebabkan oleh keengganan manusia kembali kepada sistem Tuhan sehingga terjadi bencana yang menimpa manusia. Bencana juga berlaku dalam bentuk konflik sesama puak atau negara sehingga mengakibatkan jumlah korban yang tinggi. Manusia harus menginsafi bahawa tidak akan berlaku penghujung terhadap sebahagian peristiwa seperti ini sehinggalah mereka kembali kepada keimanan terhadap Tuhan dan menurut perintahNya. 

viii.    Tiada Alasan Bertangguh

Apakah harus kita menangguh-nangguh untuk kembali kepada Tuhan? Sehingga sampai masa bumi ini dikelilingi oleh azab sebagaimana yang disebutkan dalam surah-surah sebelum ini atau bumi akan dilitupi debu menjelang kejadian hari Keputusan yang juga mengakibatkan putaran bumi terbalik. Kisah kemusnahan umat-umat terdahulu bukan sahaja memusnahkan kehidupan umat itu sendiri bahkan juga kemusnahan tamadun yang dihasilkan. Penemuan-penemuan teknologi silam yang dapat dikeluarkan dari bumi seperti tengkorak kristal dengan corak pembikinan yang sangat teliti, palam pencucuh serta skru keras bersaiz sangat kecil dari dalam batu, memberi gambaran bahawa umat terdahulu juga pernah mencapai tahap ilmu pengetahuan tertentu seperti umat masakini. Namun, ke manakah perginya tamadun itu? Tamadun itu telah musnah oleh kemusnahan yang sangat besar. Oleh itu apakah jaminan bahawa bala bencana yang pernah melenyapkan tamadun silam tidak akan berulang lagi kepada umat manusia masakini? Umat manusia harus menakrifkan semula matlamat kehidupan masakini supaya mereka mengerti akan nasib mereka yang akan mereka tempuhi suatu masa nanti atau selepas berakhir riwayat kehidupan di bumi.


Terdapat pelbagai jenis tengkorak kristal. Sebahagiannya
diakui sebagai artifak silam yang berasal dari 
kebudayaan Mesoamerika.






Wednesday, August 26, 2015

SURAH NUH AYAT 4 -- TUHAN MAHA PENGAMPUN


  ﻳﻐﻔﺮﻟﻜﻢ ﻣﻦ ﺫﻧﻮﺑﻜﻢ ﻭ ﻳﺆﺧﺮﻛﻢ ﺍﻟﻰ ﺍﺟﻞ ﻣﺴﻤﻰ 

Ia mengampuni bagi kamu daripada dosa-dosamu dan Ia mengakhiri akan kamu kepada masa yang ditentukan. 

Supaya Allah mengampunkan bagi kamu sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan memberi kamu hidup (dengan tidak terkena azab) hingga ke suatu masa Yang tertentu;

 i.   Keampunan Tuhan Dan Kesinambungan Hidup 

Itulah pengajaran yang cukup baik bagi manusia sejagat bahawa rahmat Tuhan amat luas. Dia bersifat mengampuni, adakah manusia tiada yang mengharapkan keampunan daripada Tuhan? Mengakhirkan mereka ke masa tertentu membolehkan mereka mempelajari serta memberi tunjuk ajar kepada generasi selanjutnya supaya menempuh hidup dengan berhati-hati. Perkataan ﻣﻦ juga memberi makna ‘sebahagian daripada’. Kesan kesalahan yang dilakukan mereka akan diimbangi dengan kebaikan yang mereka lakukan dan seterusnya mencetuskan suatu kehidupan yang harmoni. 

ii.   Hikmah Kemusnahan Umat Nabi Nuh 

Umat Nabi Nuh telah dimusnahkan sebahagiannya. Tidak harus ada persoalan sama ada untuk bertujuan membela mereka atau mempertikai kerjaan Tuhan. Perkara yang perlu diambil pelajaran oleh umat masakini ialah pengajaran ayat yang harus diambil daripada pemberitahuan kisah itu. Tuhan sebenarnya boleh untuk menghilangkan kisah sedemikian daripada ditonjolkan dalam Al-Quran dan manusia waktu ini tiada peluang langsung untuk menanyai atau membuat sebarang ulasan. Manusia dalam melakukan kebaikan, sering mencampurkan dengan keburukan yang dapat mengakibatkan kemusnahan mereka juga akhirnya. Oleh itu, panduan Tuhan perlu sentiasa dituruti supaya pemulihan kehidupan sentiasa dapat dilaksanakan. Mengakhirkan ke suatu waktu tertentu kepada mereka, dapat memberi mereka peluang untuk membaik-pulih keadaan. Bayangkan sekiranya pembaca dapat kembali ke waktu itu, suatu zaman yang mana manusia perlu menyulam sendiri pakaian mereka, perlu men-dapatkan sendiri bekalan air, perlu berusaha mendapatkan sumber bahan bakar secara sendirian dan segala-galanya perlu dilakukan secara sendirian atau dalam kelompok yang kecil dan masing-masing sibuk dengan pekerjaan masing-masing. Usia yang panjang hanya dihabiskan untuk mempersiapkan sesuatu untuk penghidupan.

iii.   Kehidupan Yang Getir, Tiada Masa Untuk Berfikir 

Siapakah pula yang perlu diberi tanggungjawab untuk mengabdikan diri kepada Tuhan supaya penghidupan benar-benar membawa erti penghidupan? Tentunya setiap individu akan memilih untuk mementingkan keperluan dirinya atau ahli keluarganya atau kelompoknya sehingga tidak memperduli nasib yang akan menimpa persekitaran mereka. Siapa yang akan dipertanggung-jawabkan untuk menjaga keamanan setempat? Siapa yang akan mengadili penjenayah atau mendapatkan suatu siri penghayatan supaya perbuatan jenayah dapat dihindari? Pusing ke mana sekalipun, masalah akan menimpa keseluruhan masyarakat mereka pada akhirnya. Demikian itulah perlunya ajaran rasul supaya suatu tamadun dapat tercipta dan manusia dapat mengambil manfaat sesama mereka dan bukan saling menindasi. Kemudian pembaca perlu kembali ke zaman ini, melihat ke kiri dan kanan, manusia tidak terlalu ramai disebabkan ketiadaan progeni, yang gagal terhasil akibat daripada kemusnahan generasi awal. Manusia masih ada udara segar untuk bernafas. Terdapat suatu sistem kenegaraan yang ada ketua negara guna untuk mengambil berat tentang masalah negara dan masyarakat. Bukankah kaedah ini meniru kekhalifahan sebelum ini? Bahkan di negara-negara lain, terdapat kementerian yang mengambil berat tentang masalah manusia dan persekitaran mereka. Kemudian terdapat pusat-pusat pendidikan supaya manusia saling mempelajari serta memanfaatkan ilmu supaya kehidupan yang baik dapat dilalui. Terdapat sistem kewangan yang mengawal kestabilan ekonomi setempat. Bukankah kaedah ini meniru contoh pengwujudan markaz RasululLah S.A.W. di masjid Nabi dan baitulmal yang diwujudkan besertanya. 

iv.   Kembali Merujuk Kepada Tuhan 

Manusia memerlukan Tuhan untuk mendapatkan tatacara panduan kehidupan. Walaupun keadaan sekarang tidaklah sesempurna sebagaimana dijangkakan, manusia perlu kembali kepada Tuhan supaya kehidupan yang lebih baik dapat dilalui daripada keadaan sedia ada. Sebagai contoh, masalah perubahan cuaca adalah masalah sejagat yang memerlukan tindakan drastik manusia supaya kehidupan dapat diteruskan hingga masa tertentu menurut ajal masing-masing. Bukannya mengalami kematian mengejut dalam skala besar, akibat daripada bencana banjir besar yang berlaku secara mendadak atau taufan yang mengeluarkan udara dari paru-paru sehingga mengakibatkan mati secara mengejut. 





Thursday, August 20, 2015

SURAH NUH AYAT 3 -- SEMBAHLAH ALLAH, BERHATI-HATI SERTA TAAT


ان اعبدوا الله واتقوه واطيعون

Bahawa abdikanlah diri kamu akan Allah dan berhati-hatilah kamu akanNya dan patuhilah olehmu akan daku ini.

"Iaitu Sembahlah kamu akan Allah dan bertaqwalah kepadaNya, serta Taatlah kamu kepadaku;

i.    Adakah Wujud Toleransi Antara Agama?

Begitulah niat suci seorang rasul mengajak kaumnya supaya beriman kepada Tuhan dengan cara sebaik-baiknya. Menghamba-abdikan diri hanya kepada Tuhan dan berhati-hati akanNya dengan cara mematuhi ajaran kenabian. Mengapakah ajaran Tuhan yang dibawa oleh rasul-rasul sebelum ini sehingga rasul terakhir iaitu Muhammad RasululLah S.A.W. tidak dianggap menjurus kepada toleransi agama, bahkan membawa pertentangan terhadap perbezaan yang sungguh ketara? Bukankah Muhammad RasululLah S.A.W. seringkali dipuji sebagai pelopor yang membawa kesederhanaan dalam beragama? Baginda dianggap sebagai pengasas kepada Islam yang moderat atau liberal iaitu pembawa ajaran Islam yang diredhai oleh sebahagian kepimpinan umat Islam masakini! Atas nama moderat, pertengahan atau wasathiyah, ajaran agama ini cuba diketengahkan sebagai ajaran agama yang mengiktiraf ajaran agama-agama lain sehingga disebut sebagai toleransi beragama.

ii.   Ajaran Yang Dibawa Rasul Sentiasa Ditentang

Namun apajua ajaran rasul, mahu sahaja umat terdahulu menyediakan alasan untuk tidak mematuhinya. Semua ini disebabkan, ajaran kerasulan adalah sesuatu yang asalnya sangat bertentangan dengan kebiasaan manusia setempat pada masa ajaran itu mula tersebar. Ajaran yang menentang penyembahan kepada selain Allah serta meletakkan agama-agama lain pada kedudukan yang rendah, menyebabkan agama ini sangat-sangat ditentang oleh umat. Demikian itu adalah cara manusia menghadapi sesuatu yang bersifat ajaran ketuhanan sama ada mereka akan menerima secara nyata atau menentang secara nyata. Penentangan manusia adalah kerana manusia lebih senang untuk memilih jalan menuruti hawa nafsu mereka. Mereka mahukan suatu perkara itu dengan cara mudah, cepat dan memberi pulangan yang banyak. Mahukan perkataan mereka lebih didengari manusia berbanding perkataan Tuhan melalui rasulNya. Atas kepentingan diri, perniagaan, parti atau kepimpinan, mereka memilih jalan sebagai “biarlah apapun yang akan berlaku, aku tetap berpengaruh atau berkuasa”.

iii.   Mengapa Risalah Tuhan Memerlukan Alasan?

Mengapakah risalah kerasulan mengandungi pengajaran ketuhanan, mengajak manusia untuk menyembah Tuhan sehingga berhati-hati kepada Tuhan? Mengapa tidak, ajaran itu terus menjurus kepada kesedaran bahawa sesuatu bencana harus dapat ditangguhkan atau dielakkan? Contohnya -- mengapa tidak, Nabi Nuh A.S. mengkhabarkan terus kepada umat baginda bahawa selepas beberapa ratus tahun kemudian nanti, bencana akan berlaku di negeri itu, sehingga manusia secara beransur-ansur dapat meninggalkan negeri itu ke kawasan-kawasan yang sangat jauh, agar tidak ditimpa bencana? Dalam keadaan sekarang ini dengan penduduk dunia melebihi 7 billion jiwa setelah manusia menempuhi pelbagai bentuk bencana, mampukah dunia ini terus menampung suatu penghidupan sekiranya tidak terdapat bencana?

iv.   Penduduk Dunia Yang Semakin Padat

Penduduk dunia ini mungkin telah mencapai trillion, sehingga dunia ini dipenuhi manusia bagaikan ulat-ulat banyaknya. Sekiranya, dengan manusia yang sangat degil yang dapat melahirkan zuriat-zuriat yang sangat degil, tidak berhati-hati dengan nasib penghidupan, bagaimanakah nasib  penghidupan di dunia ini dengan pencemaran yang paling teruk dan kerosakan-kerosakan besar? Mungkin pada masa itu, baru ada suara-suara yang mencadangkan, agar bilangan manusia yang ada pada hari itu harus dikurangi dengan pesatnya! Ataukah mungkin, Tuhan memberitahu secara terus kepada manusia dalam perkiraanNya sejumlah manusia perlu dimusnahkan supaya kehidupan di bumi ini tidak terbeban lantaran kerja tangan manusia yang ramai itu? Sekiranya demikian, apakah nilai-nilai kebaikan yang boleh diperolehi daripadaNya supaya manusia mematuhi? Lihatlah kini dengan jumlah manusia yang tidak sampaipun trillion, di bawah pentadbiran golongan ingkar yang memainkan peranan utama dalam mengurus kehidupan, kemanusiaan mula tidak membawa apa-apa erti. Kehidupan sosial manusia tergugat lantaran golongan ingkar memperkenalkan sistem ekonomi kapitalis berasaskan riba dan manusia menderita akibat pemakanan yang memudharatkan tubuh mereka. Konflik sesama manusia wujud akibat daripada tekanan inflasi berterusan sehingga ramai kalangan manusia yang merempat tidak memiliki rumah.




Friday, August 14, 2015

SURAH NUH AYAT 2 -- PEMBAWA ANCAMAN YANG JELAS


قال يقوم انى لكم نذير مبين

Telah berkata ia, wahai kaumku, sesungguhnya aku, bagi kamu, suatu pengancam yang jelas.

Dia pun (menyeru mereka dengan) berkata: "Wahai kaumku! Sesungguhnya Aku ini diutus kepada kamu, sebagai pemberi ingatan dan amaran Yang nyata;

Adakah menjadi suatu kerjaan Tuhan untuk mengutus seseorang utusan yang dinamainya sebagai rasul, supaya mendapatkan alasan untuk Ia menyiksa manusia? Maha Suci Tuhan daripada bersifat sedemikian. Tiada faedahnya Ia merencana untuk mencipta manusia kemudian memusnahnya.

Kita juga sering mendengar sekarang ini di negara-negara yang seruan Islam tidak jelas sampai kepada mereka, menerima bencana yang masih berlaku hingga kini contohnya gempa di negara Jepun yang mengorbankan banyak jiwa, taufan di Cuba dan kepulauan Haiti, tsunami di kepulauan Polynesia dan sebagainya.

i.    Wajarkah Manusia Diseksa Tanpa Amaran?

Sekiranya Tuhan sengaja mahu menyiksa, seharusnya Dia mengutus seorang rasul pada zaman ini yang berkata-kata dengan lisan mereka, supaya mereka ingkari dan seterusnya, Tuhan ada alasan untuk mendatangkan siksa (26:208). Bahkan kita juga biasa mendengar bencana berlaku di persempadanan Afghanistan akibat gempa bumi dan di Acheh akibat tsunami dan di Pulau Jawa akibat letupan gunung berapi, namun hampir semua mereka telah bersyahadah untuk menerima ajaran RasululLah S.A.W. bahkan pengamalan agama bagi penduduk Afghanistan adalah lebih ketara. Persoalannya, mengapakah masih ada bencana? Masihkah dikatakan Tuhan tersalah pilih dalam mendatangkan siksa? Ataukah sebarang bencana yang berlaku tiada kena mengena dengan agenda ketuhanan! Semuanya kebetulan? Surah ini ada mengisahkan bencana terhadap umat Nabi Nuh ditelan banjir besar, bahkan dalam ayat lain dapat memberi gambaran berlaku banjir itu selepas beberapa ratus tahun Nabi Nuh A.S. bersama mereka.

ii.   Hikmah Bentuk Bencana Silam

Namun bencana yang berlaku terhadap umat manusia sekarang ini, berlaku setiap tahun bahkan ada yang saban tahun. Apalah guna diperbahaskan semua itu hanya semata-mata bencana yang berlaku terhadap umat Nabi Nuh selepas beberapa ratus tahun baru sekali, berbanding dengan bencana yang berlaku sekarang ini setahun beberapa kali? Atau Tuhan memberi mesej kepada manusia bahawa bencana yang pernah berlaku adalah berbentuk banjir besar atau tsunami atau lain-lainnya dan dalam bentuk itulah bencana akan berulangan. Bahkan Dia juga mahu memberitahu pendakwah, walau apapun usaha dakwah kamu, akan sampai suatu keadaan manusia tetap tidak mengindahkannya. Walau apapun amaran tentang perubahan cuaca sekalipun jelas dengan hujah-hujah para ilmuwan dalam kalangan mereka sendiri, namun manusia tetap tak mahu mengambil tahu apatah lagi berusaha menghindarinya.






Friday, August 7, 2015

SURAH NUH AYAT 1 -- NABI NUH A.S DIUTUS UNTUK MEMBAWA ANCAMAN


ان ارسلنا نوحا الى قومه ان انذر
قومك من قبل ان يأتيهم عذاب اليم

Sungguh telah mengutus Kami akan Nuh kepada kaumnya bahawa kamu ancam kaummu dari sebelum bahawa ia datang kepada mereka bencana yang pedih.

Sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, (dengan berfirman kepadanya): "Berikanlah peringatan dan amaran kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab Yang tidak terperi sakitnya".


i.    Nabi Nuh ‘Alaihi Salam


Nabi Nuh A.S. diutus Tuhan sesudah Nabi Adam A.S., bapa manusia dan Nabi Idris A.S. Nabi Nuh A.S. diutus sesudah diutus dua rasul utama tersebut. Demikian itu tempoh yang lama, suatu tempoh yang cukup untuk pengamalan syariat Tuhan telah diubahsuai akibat daripada kerja-kerja syaitan. Tempoh perutusan baginda menghampiri 1000 tahun kepada kaum yang sebahagiannya menyembah selain Allah Taala yang dinamai dengan nama-nama pelbagai. 


Sesungguhnya petunjuk Tuhan akan sampai apabila sebuah masyarakat itu menjalani urusan kehidupan yang harubiru dan keadaan harubiru akan berterusan sekiranya mereka menolak petunjuk Tuhan (50:05). Melalui penyembahan berhala, pendeta-pendeta agama sama ada sami-sami, paderi-paderi dan sebagainya akan menetapkan suatu peraturan yang bukan-bukan berdasarkan hasutan syaitan yang mereka terima termasuklah pengorbanan untuk tujuan pemujaan dan pembinaan kepercayaan yang jauh menyimpang. Bahkan mereka saling menindas di atas jalan kebatilan. Dengan demikian suatu kehidupan bertamadun tidak akan dapat dibentuk.


ii.  Peringatan Tentang Bencana Yang Pasti


Pendekatan dakwah Nabi Nuh A.S. dalam ayat ini adalah secara mendatangkan ancaman. Iaitu ketika akan berlaku suatu ketetapan yang dapat membuatkan umat baginda menanggung suatu azab yang pedih. Mengapakah pendekatan ancaman telah diarahkan supaya dilakukan oleh Nabi Nuh A.S. dan bukan lagi peringatan? Apakah lagi cara untuk memberitahu seseorang supaya mengosongkan rumahnya sekiranya bencana banjir besar akan berlaku? Iaitu dengan pengancam itu sendiri membina perahu atau kapal yang sekadar cukup untuk ahli-ahlinya supaya disaksikan sendiri oleh mereka yang telah diberi ancaman. Supaya mereka melihat bencana yang tidak berfaedah kepada mereka, akan memusnahkan mereka.





Saturday, August 1, 2015

SURAH NUH


بسم الله الرحمن الرحيم

Sedikit Sebanyak Tentang Nabi Nuh A.S.

Kisah Nabi Nuh A.S. sebenarnya berkait rapat dengan permulaan tamadun baru setelah kemusnahan tamadun terdahulu yang telah mengalami kerosakan. Kemusnahan tamadun terdahulu adalah disebabkan oleh kejadian banjir besar. Nabi Nuh A.S. hidup dalam dua era iaitu era sebelum banjir sehingga usianya sekitar 600 tahun dan era selepas banjir sehingga usianya 950 tahun. Demikian itu menurut Kitab Perjanjian Lama fasal Kejadian. Allah Maha Mengetahui. Terdapat beberapa pendapat yang menyatakan bahawa kejadian banjir yang berlaku pada zaman Nabi Nuh A.S. hanyalah merupakan banjir yang berlaku setempat yang disebabkan oleh kejadian tsunami, demikian ini adalah menurut tulisan Maurice Bucaille. Pendapat yang lain menyatakan bahawa kejadian berkenaan berlaku di seluruh dunia. Penulis sendiri berpendapat bahawa kejadian banjir pada zaman Nabi Nuh A.S. adalah merupakan kejadian banjir yang berlaku di seluruh dunia. Hujah penulis adalah:-

Hujah Penulis Tentang Kejadian Banjir Besar

i.  Terdapat beberapa kajian geologi yang menjurus kepada kenyataan bahawa bumi ini pernah mengalami banjir besar suatu masa dahulu. Hadirnya sesiput yang hanya diketahui berasal dari laut juga terdapat di tasik-tasik tinggi seperti tasik Titicaca di Peru pada paras 4000 meter dari aras laut.

ii. Wujudnya garisan-garisan melintang pada batuan yang berada pada gunung, dapat memberi kesimpulan kepada ahli geologi, bahawa paras air pernah berada pada kedudukan tertentu batuan berkenaan.

iii.   Terdapat kisah-kisah banjir zaman Nabi Nuh A.S. yang turut dijadikan ceritera-ceritera dalam pelbagai kebudayaan kaum asli di Polynesia, Asia Tenggara, Afrika, Amerika Latin dan tempat-tempat yang lain. Ini menunjukkan kisah itu bukan tertentu dalam ajaran Yahudi, Kristian dan Islam sahaja. Nabi Nuh A.S. disebut sebagai Nuuh, Nuwah dan sebagainya.

iv. Wujudnya bangunan-bangunan bersejarah silam seperti bangunan di puncak gunung di Peru yang terselamat daripada bencana alam yang membinasakan. Kajian menunjukkan bangunan itu telah berdiri di sana sekitar 5000 hingga 4000 tahun sebelum Masihi sekitar waktu Nabi Nuh A.S. atau masa sebelum baginda. Kesan-kesan persekitaran bangunan berkenaan menunjukkan terdapat kejadian banjir besar telah berlaku.

v.   Terdapat perintah untuk Nabi Nuh A.S. supaya baginda turut memuatkan haiwan-haiwan secara berpasangan ke dalam kapal. Haiwan-haiwan berkenaan seharusnya adalah haiwan yang dikehendaki untuk berkembang biak kemudian nantinya. Ini menggambarkan bahawa kejadian banjir berkenaan adalah banjir yang besar sehingga dapat mengakibatkan kepupusan sekiranya haiwan-haiwan itu ditinggalkan.

Bagaimanapun, semua hujah ini adalah pendapat penulis semata-mata yang tentunya terdedah kepada kritikan tertentu. Namun yang menjadi mesej penulis di sini adalah bahawa sebenarnya telah terdapat teknologi yang dibangunkan oleh umat terdahulu sebelum datangnya teknologi zaman moden. Umat terdahulu telah berupaya memotong batu serta membangunkan bangunan-bangunan besar yang terdiri daripada batu-batu yang tidak dapat dipindahkan menggunakan teknologi masakini secara mudah. Selanjutnya penulis ingin berhujah, bahawa pendukung teori evolusi yang menyatakan bahawa manusia zaman dahulu hanya tahu memakai pakaian seperti cawat yang terdiri daripada kulit haiwan adalah merupakan tanggapan ilmiah yang dipalsukan.





Sunday, July 26, 2015

TENTANG KISAH NUH, BANGSA JIN, YANG DISELUBUNGI DAN YANG DISELIMUTI


Huraian penulis yang diperolehi daripada Surah Al-Mulk adalah berkisar daripada peranan Kerajaan yang dibentuk dalam membawa kehidupan yang diberkati supaya umat dapat mengambil panduan Tuhan dalam menyelusuri kehidupan. Surah Nun pula memberi penerangan terdapat segelintir individu yang menjawat jawatan dalam pemerintahan, telah menyalahgunakan kedudukan mereka, sehingga mengakibatkan umat di negara ini telah menjalani kehidupan yang mencemaskan. Hal yang berlaku kini sudah dapat disaksikan sendiri oleh ramai pihak secara terang-terangan. Sekiranya tiada tindakan dilakukan dalam memperbetul tindakan mereka, suatu hari nanti pastinya, kita akan menghadapi bencana besar berlaku kerosakan yang menjalari alam kediaman kita sehingga mengakibatkan kita menanggung derita dalam tempoh yang sangat panjang. Semua ini dapat dipelajari melalui penerangan Al-Haqqah.

Tujuan penerangan yang dibuat sempena surah-surah tertentu, bukanlah bertujuan mendatangkan rasa paranioa kepada kita semua, tetapi untuk membangkitkan rasa bertanggungjawaban setiap umat manusia. Mereka harus melakukan sesuatu bagi mempelajari, meneliti serta mengenalpasti tindakan yang perlu dilakukan berdasarkan panduan daripada Tuhan. Antara langkah awal yang perlu berlaku kepada pembaca adalah untuk mendapatkan kebebasan berfikir yang selama ini kebanyakan daripada kita, telahpun dipenjarakan fikirannya oleh pembuat polisi kapitalis melalui lakonan isu-isu semasa.


Anda harus selamanya tidur, untuk mempercayai
apa sahaja daripada persekitaran anda hingga ke
isu-isu semasa.

Oleh kerana perkara yang akan berlaku tetap akan berlaku disebabkan kedegilan tindakan sebahagian manusia sendiri, maka mahu tidak mahu, kami di Pondok Al Jaafar telah memulai langkah, agar sebahagian ahli masyarakat dapat dikumpulkan. Tujuannya adalah supaya mereka dapat dididik untuk menghayati Al-Qur'an selaku panduan Tuhan kepada umat akhir zaman. Seterusnya pencapaian mereka adalah diharapkan akan dijadikan 'role model' untuk dicontohi bagi menghadapi peristiwa akhir zaman. Peristiwa itu adalah peristiwa Al-Ma'arij. Seterusnya rujukan mereka harus dijadikan pengajaran - iaitu tentang bagaimanakah corak kehidupan yang bakal umat manusia harus hadapi di sepanjang masa kehidupan mereka.

Antara perkara yang perlu dilakukan adalah mempelajari pengalaman umat Nabi Nuh yang ditimpa bencana dan juga keberadaan bangsa jin yang didapati - telah memberi sambutan pelbagai dalam menghadapi manusia dan juga terhadap perkataan Tuhan yang disampaikan kepada Muhammad Rasululah S.A.W. Sebarang tindakan jin tergantung kepada tingkahlaku manusia itu sendiri. Kita sebagai manusia sebenarnya dapat mempelajari sesuatu dari sejarah umat Nabi Nuh dan juga teknologi bangsa jin sekiranya kita dapat menghadapinya dengan cara yang cermat serta bersabar.

 Kita akan dapat mempelopori teknologi
kiranya kita memilih teknologi berjimat cermat.




















Monday, July 20, 2015

PERSIAPAN DI PONDOK AL JAAFAR


Penulis telah membincangkan perkara ini di bawah tajuk "Ketakutan dan Kelaparan Adalah Sesuatu Yang Pasti Didatangkan Tuhan" dan kali ini penulis ingin menekankan lagi perkara yang serupa, supaya kita dapat melakukan sesuatu dengan segera agar tidak terlewat. Projek penternakan ikan air tawar yang dilakukan di Pondok Al Jaafar adalah merupakan usaha asas yang berterusan bagi menampung keperluan penghuni-penghuninya dan juga sebagai persediaan awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan harga ikan yang mendadak.

Perkara yang serupa juga telah dijelaskan sebelum ini melalui penerangan Surah Al-Rahman, pada tajuk "Pemandangan Indah Bawah Lautan Yang Semakin Dilupai". 

Seterusnya sila amati kandungan artikel di bawah ini dan marilah kita memikirkan sesuatu agar usaha 'survival' dapat dilakukan segera. Kita tentunya tidak akan dapat menghalang kemusnahan yang bakal terjadi kerana bukan perkara mudah untuk menyedarkan pihak-pihak berkepentingan di sesebuah negara melainkan kita harus berusaha untuk menyedarkan diri-diri kita sendiri.

Reefs Losing Their Lustre - Mass bleaching threatens world's corals - oleh Karl Matheisen. (Star - Isnin 13 Julai 2015)

(Terjemahan ... )

Suatu kejadian kelunturan karang laut yang besar pada situasi ini yang merosakkan terumbung karang yang merentasi bumi, mampu memusnahkan ribuan kilometer persegi karang laut untuk selamanya. Demikian menurut saintis kerajaan Amerika Syarikat. Kumpulan saintis dari Jabatan Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) berkata, sekitar 12% daripada terumbu-terumbu di dunia telah mengalami kelunturan pada tahun lalu. Sekitar separuh daripadanya iaitu sekitar keluasan 12,000 kilometer persegi telah hilang untuk selamanya.

Tetapi kemusnahan ini sebenarnya baru sahaja bermula. Kejadian kemusnahan ini akan berterusan pada tahun 2016. NOAA menjelaskan bahagian barat Atlantik baru sahaja memanas, yang dapat menukar karang di Caribbean membentuk tetulang putih. Apabila ini bermula, kelunturan akan juga berlaku di setiap takungan lautan tropika yang telah bermula Jun tahun lalu.

Secara keseluruhannya saintis meramalkan terumbu sejumlah keluasan 15,000 kilometer persegi tidak akan pulih dan kehilangan baki terumbu karang yang musnah menjadi 6% keseluruhannya.

Dr. Mark Eakin yang merupakan pengawas kepada Program Pengawasan Terumbu Karang NOAA berkata, "Kepastian berapa lama kejadian terumbu karang akan disapu bersih adalah sukar untuk dijangkakan. Walaupun kadarnya tidaklah sebesar yang terjadi pada tahun 1998, kita hanya mengharapkan ianya tidak akan melebihi 10% daripada jumlah keseluruhan keluasan terumbu karang seluruh dunia. Itupun sudah dikira sangat besar".

Kejadian kelunturan karang laut sedunia telah direkod sebanyak dua kali sebelum ini, iaitu pada tahun 1998 dan 2010. Pada kejadian pertama 1998, kejadian El~Nino (peningkatan suhu di Lautan Pasifik) besar-besaran telah mengakibatkan amaran kejadian berantaian di seluruh dunia dengan kerosakan sekitar 16% hingga 19% daripada keseluruhan terumbu karang. Eakin berkata "ianya adalah hampir pasti bahawa penyebabnya adalah kesan pemanasan sejagat".

Setompok perubahan cuaca yang besar dapat menjana air panas yang dikenali sebagai blop, terhoyong-hayang merentasi bahagian utara Lautan Pasifik sekarang ini sejak tahun lalu. Karang laut hanya mampu bertahan dengan jajaran kecil suhu. Sekiranya air sekitarnya memanas sekitar 1 darjah Celcius dan berlanjutan selama seminggu, ianya cenderung untuk meluntur. Selepas pemanasan yang sederhana, polip mampu untuk memulihkan warnanya. Tetapi, di bawah pemanasan yang melampau karang laut akan mati dan koloni baru akan muncul. 

Penyelidik dari Universiti James Cook telah mendapati 40% daripada terumbu di Seychelles yang meluntur pada tahun 1998 kini telah digantikan dengan rumpai dan alga. Professor Ove Hoegh-Guldberg dari Universiti Queensland pula menjelaskan bahawa latarbelakang amaran perubahan cuaca dapat membantutkan pemulihan.

Sesudah kejadian pemanasan, terumbu yang kekal stress akibat kejadian pemanasan yang sedikit berbanding suhu normal, akan memulih dengan perlahan. Terdapat perkiraan yang dapat membantu peluang pemulihan karang pada waktu ini iaitu apabila karang meluntur, ianya kurang berkemampuan untuk membersihkan dirinya daripada alga. Sekali alga menutupi permukaannya, adalah mustahil untuk karang berkembang. Ikan-ikan pemangsa akan meragutnya dan akan membantu karang untuk  bebas. Dalam air tercemar, pertumbuhan alga akan menjadi lebih pantas.

"Pencemaran dan penangkapan ikan berlebihan, kiranya ianya berlaku, terumbu karang tidak akan memulih dengan cepat. Kiranya anda dapat mengawal faktor-faktor sedemikian, anda akan dapat membantu keupayaan karang untuk membaik pulih semula", tambah Hoegh-Guldberg lagi.






Tuesday, July 14, 2015

PENDEDAHAN AL-QUR'AN DAN PERSIAPAN MENGHADAPI BENCANA


Al-Qur'an Dan Sumbangan-sumbangannya Dalam Kehidupan Manusia


Sebelum penulis meneruskan penerangan selanjutnya darihal "Kisah Nuh, Bangsa Jin, Yang Diselubungi dan Yang Diselimuti", suka untuk penulis jelaskan bahawa  telah menjadi sikap manusia untuk mengagung-agungkan penemuan mereka dan melupai sumber asal iaitu pencipta sumber berkenaan. Seringkali kita dapati penemuan-penemuan manusia, direkodkan melalui jurnal-jurnal yang ditulis dan mereka menyatakannya sebagai hipotesis, teori atau hukum.  Hingga ke suatu tahap, mereka mula mempertikaikan ayat-ayat Tuhan dan menghendaki segala-galanya haruslah suatu yang dapat dijelaskan secara saintifik. 

Sikap seperti inilah yang mengakibatkan mereka teraba-raba dalam mencari penyelesaian terhadap pelbagai permasalahan yang timbul. Sikap seperti inilah yang menyebabkan manusia memisahkan urusan dunia dan urusan akhirat. Mereka memisahkan urusan dunia dan urusan agama sehingga mereka sanggup mendakwa bahawa dengan urusan agama semata-mata tidak akan menjadikan kita kaya. Apa benarkah perkara Al-Qur'an harus diperkatakan sebagai urusan agama semata-mata? Apabila urusan dunia cuba dikaitkan dengan tuntutan agama maka keperluan sedemikian dinyatakan sebagai tuntutan fardhu kifayah manakala tuntutan fardhu 'ain adalah untuk peribadatan ta'abudi yang menyentuh perkara-perkara ritual dalam amalan beragama.

Sesudah sekian lama kaedah seperti ini diamalkan, akhirnya kita dapati bahawa urusan agama yang diamalkan, tidak dapat membendung masalah murtad yang semakin tidak terkawal. Pengamalan agama juga dipisahkan daripada kehidupan sehingga pelbagai jenis penyakit sentiasa muncul dan bilangan yang menghidap pelbagai penyakit sedia ada sentiasa bertambah. Permasalahan sosial juga meningkat sehingga kita dapati kejadian pembunuhan berlaku hampir setiap hari, masalah dadah meliputi pengedaran dan penagihan yang tak kunjung padam dan pelbagai kejadian pelik yang lain yang sentiasa berlaku. 

Pernahkah kita mendengar dalam kehidupan generasi sebelum ini, bayi yang baru dilahirkan dibunuh dan dikerat-kerat kepada beberapa bahagian? Pernahkah kita mendengar orang yang tidak bersalah dibunuh dengan kejam semata-mata untuk mendapatkan organ-organ dalamannya? Wajarkah perkara seperti ini dan juga perkara-perkara lainnya dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan proaktif terhadapnya? Penulis mengajak pembaca untuk sama-sama mendapatkan jawapannya melalui Al-Qur'an dan mula melakukan sesuatu untuk mengajak rakan-rakan kita untuk sama-sama memerhatikan Al-Qur'an. 

Bukanlah penulis mampu untuk mendedahkan segala-galanya tentang perkara Al-Qur'an yang ada hubungkaitnya dengan perkara kehidupan. Namun, menyentuh sedikit sebanyak tentang perkara yang menjadi pertikaian golongan tertentu, akan sedikit sebanyak memberi panduan kepada pembaca, bahawa setiap permasalahan yang timbul dalam hidup ini, pasti ada jawapannya dalam Al-Qur'an.  Hanya peranan kita semua untuk mengkajinya dengan lebih mendalam dan mendapatkan jawapannya.




Friday, July 10, 2015

KANDUNGAN

Erti Menganut Islam dan Akibat Meninggalkan Amalannya

03:10   Setiap Usaha Golongan Ingkar 
            Tiada Gunanya Di Sisi Tuhan

     i.     Mereka Melakukan Kerja Yang
            Merosakkan
     ii.    Mengumpulkan Harta Yang Tak
            Berguna
     iii.   Anak-anak Yang Hanya Membawa
            Bebanan Kepada Diri Mereka
            Sendiri

03:11   Mengulangi Peradaban Fir'aun

     i.     Peradaban Yang Dituruti
            Sepanjang Zaman
     ii.    Fir'aun Dengan Sistem Hirarki

03:12   Corak Pemerintahan Yang 
            Akan Runtuh

     i.     Sistem Yang Akan Tewas
     ii.    Sistem Perhambaan Yang Menindas
     iii.   Penjajahan Dan Perenggutan
            Maruah
     iv.   Peperangan Yang Tidak Dapat
            Dielakkan

03:13   Perang Penentuan Kepada 
            Perubahan

      i.    Perang Masa Kini
      ii.   Strategi Peperangan Yang
            Menghabiskan Perbelanjaan

03:14   Perang Disebabkan Oleh
            Kehendak Manusia

03:15   Janji Tuhan Sebagai Ganjaran 
            Yang Lebih Baik

       i.   Meninggalkan Kawasan
            Perbandaran Dan Kembali
            Kepada Kehidupan Taman
       ii.  Penyakit-penyakit Hubungan
            Manusia Yang Seringkali
            Menjalar

03:16   Kehidupan Yang Menjauhi Dosa

      i.    Corak Kehidupan Taman
            Yang Harus Dipilih – Mengharap
            Untuk Menjauhi Dosa-dosa
      ii.   Memenuhi Naluri Kehidupan
            Manusia Itu Sendiri
      iii.  Memelihara Keadaan Persekitaran
            Yang Stabil

03:17   Hadiah Untuk Mereka Yang Bersabar 
            Dan Benar Serta Taat, Berinfak Dan 
            Mengharapkan Pengampunan Tuhan

      i.    Hanya Untuk Mereka Yang Layak
      ii.   Cabaran Kehidupan Sedemikian
            Kepada Golongan Ingkar
      iii.  Kaedah Usaha Yang Perlu Dipatuhi

03:18   Bermula Kesaksian

      i.    Kesaksian Itu Dengan Ilmu
      ii.   Kesaksian : Sesuatu Yang
            Perlu Diambil
      iii.  Allah Maha Menghakimi

03:19   Al-Islam Yang Bagaimana?

      i.    Iktilaf Ahli Kitab
      ii.   Dengki Setelah Berilmu
      iii.  Kerana Mengingkari Ayat-ayat
            Tuhan
      iv.  Pentingnya Merujuk Kepada
            Kitab Tuhan

03:20   Kiranya Kenyataan Ini Dibantah

     i.     Himpunan Ayat Yang Tidak
            Boleh Diputuskan Begitu Sahaja.
     ii.    Islam dan Hidayah Tuhan
     iii.   Sifat Allah Maha Melihat
            Hamba-hambaNya

Pengajaran




Saturday, July 4, 2015

PENGAJARAN


Pengajaran Daripada Penerangan 
Erti Menganut Islam



Penulis tidak bermaksud untuk mempersembahkan kaedah tafsir tertentu, namun penerangan yang telah dilakukan pada bahagian ini adalah menjurus kepada huraian-huraian selanjutnya yang mendedahkan sedikit sebanyak tentang kerja-kerja yang dilakukan oleh penentu polisi dalam usaha membentuk banyak daripada kejadian yang berlaku. 

Antara persoalan yang disentuh adalah, wajarkah kita membiarkan sahaja halatuju banyak peristiwa di dunia ini ditentukan oleh pembuat-pembuat polisi dan kita mengambil sikap berpeluk tubuh, menyerahkan kehidupan kita kepada nasib menurut perancangan mereka? 

Mengapakah tidak, kita memilih untuk mengusahakan sesuatu supaya lambat laun, kita menjadi pengawal kepada sebarang bentuk aktiviti yang mengawal sumber ekonomi kita sendiri? Dalam hal ini, mendapatkan kesedaran dan menyampaikan kesedaran berkenaan berdasarkan panduan Tuhan adalah sesuatu yang perlu dilakukan. Meninggalkan kawasan perbandaran dan kembali kepada kehidupan taman melalui pendekatan yang lebih tersusun dan istiqamah, sebenarnya dapat mengubah situasi kehidupan kita agar kita dapat menghayati ayat-ayat Tuhan dengan lebih menarik.


Mengapakah Perkara Seperti Ini 
Perlu Dilakukan?  

i.    Mendapatkan Kehidupan Bebas 
      Yang Tidak Dikongkong oleh 
      Puak Kapitalis

Tentunya pembaca dapat bayangkan, hanya semata-mata tersebarnya pendapat bahawa perubahan cuaca yang berlaku kepada bumi ini adalah disebabkan oleh kandungan gas karbon dioksida yang tinggi yang terdapat di udarakasa, pelbagai polisi telah dikenakan kepada kehidupan kita melalui usaha-usaha perindustrian. Contohnya kempen "Earth Hour" adalah suatu kempen untuk memujuk manusia seluruhnya bagi 'menyedarkan' mereka bahawa bumi kediaman mereka kini berada dalam keadaan bahaya. Mereka bukan berminat dengan isu sebenar iaitu tentang bahaya mendiami bumi yang dirasakan semakin bahaya ini, tetapi terdapat kesempatan tertentu yang ingin mereka laksanakan. Mereka mahu laksanakannya dengan tujuan tersendiri dan antara tujuannya adalah supaya manusia harus menerima idea mereka, bahawa sesuatu perlu dilakukan supaya manusia kononnya akan dapat berada pada persekitaran yang selamat. Kemudian kempen itu akan dilanjutkan kepada pengenalan cukai karbon ke atas perusahaan-perusahaan yang tentunya beban akhir akan dikenakan kepada pengguna. 

Bukan kita yang mengancam bumi, tetapi bumi yang 
mengancam kita, lantaran tindakan kita selama ini kepadanya

Bagaimanakah suatu hari nanti kiranya pembuat polisi mula menyedari bahawa penyebab perubahan cuaca sebenarnya tidak tertakluk  kepada kandungan gas karbon dioksida yang semakin meningkat semata-mata, tetapi juga komposisi kimia yang terkandung dalam udarakasa? Tentunya peraturan baru akan dikuatkuasakan sehingga akan membatasi usaha-usaha manusia terutamanya dalam usaha mendapatkan makanan. Jadi... apakah yang dapat manusia lakukan ketika itu, kiranya mereka tidak berusaha sekarang ini?

Tentunya peraturan baru akan segera diwujudkan! Pada ketika itu usaha-usaha perindustrian, pertanian dan penternakan hanya akan dibataskan menerusi kaedah-kaedah yang dikatakan mesra alami. Corak pengagihan barang-barang keperluan juga akan segera berubah dan kelayakan mengusahakan suatu usaha akan dibatasi hanya kepada mereka yang layak sahaja. Alasan seperti ini sebenarnya hanyalah kesempatan yang diwujudkan oleh pihak-pihak tertentu sehingga golongan kapitalis akan membentuk badan korporat yang mengawal selia keperluan manusia.

Manusia diancam bahaya pengkorporatan. Sebelum umat manusia dilayan bagaikan lembu-lembu ternakan yang masing-masing dibebani dengan bebanan hutang, suatu kesedaran hakiki perlu diusahakan supaya umat manusia dapat melepaskan diri daripada bahaya sedemikian.


ii.    Persediaan Menghadapi Apajua 
       Perancangan  Dan Kesan Buruk 
       Polisi Kehidupan Yang Dipelopor 
       Oleh Puak Kapitalis

Sistem komunis dan demokrasi adalah dua fahaman yang lahir setelah tamat Perang Dunia Ke-2. Sistem ini telah mengalahkan fahaman Fasis dan Nazi yang membezakan manusia berdasarkan kasta kaum. Ini bermakna corak pemerintahan berdasarkan piramid kasta semakin kurang mendapat tempat dalam menghadapi dunia yang semakin berubah. Namun, selagi wujud golongan yang mengutamakan hawa nafsu serakah dalam membolot kekayaan, selagi itulah akan wujud kasta secara tak langsung dalam mempengaruhi pemerintahan. Secara tak langsung juga, telah wujud semula sistem kasta yang baru iaitu kasta ekonomi dalam kalangan manusia. Pihak-pihak tertentu pastinya akan berusaha untuk menguasai manusia melalui monopoli harta dan dengan demikian ketidak-stabilan ekonomi dan politik akan sekali lagi menjadi penyebab peperangan baru sehingga akan mengubah lanskap politik di permukaan bumi ini. Oleh itu, sekiranya manusia tidak mula belajar untuk membentuk suatu sistem kehidupan secara berkelompok dan saling bekerjasama, adalah dikhuatiri mereka terdedah kepada risiko kesukaran hidup apabila berlaku perubahan mengejut kepada corak kehidupan manusia itu sendiri. 


iii.    Kecenderungan Untuk Mengelak Masalah

Seringkali perjuangan Islam dianggap sebagai perjuangan ekstremis. Penulis tidak mengajak pembaca untuk perjuangan yang seperti itu. Perkara utama adalah 'survival' dan penulis mengambil panduan yang dipersembahkan melalui kitab suci supaya usaha-usaha kemandirian dapat dilakukan dengan lebih wajar. Penulis tidak berani mendakwa sebagai pejuang agama atau pejuang kepada jalan ketuhanan, hanya insan kecil yang melihat usaha 'survival' sebagai salah satu langkah yang tinggal yang kita semua mampu melakukannya.








Sunday, June 28, 2015

SURAH ALI-IMRAN AYAT 20 -- KIRANYA KENYATAAN INI DIBANTAH


Maka sekiranya telah menghujahi mereka akanmu maka katakanlah olehmu, telah patuh aku akan (seluruh) wajahku ini bagi Allah dan sesiapajua yang telah menuruti ia akan daku ini. Dan perkatakanlah olehmu bagi orang-orang yang telah diberi mereka akan Al-Kitab dan golongan umiyyin (ahli kitab yang tidak berilmu dengan Al-Kitab) adakah telah patuh kamu? Maka sekiranya telah patuh mereka, sesungguhnya telah berpetunjuk mereka dan kiranya telah berpaling mereka maka sesungguhnya tidak lain hanya atasmu penyampaian. Sedang Allah yang memandang terhadap hamba-hambaNya.

oleh sebab itu jika mereka berhujah (menyangkal dan) membantahmu (Wahai Muhammad), maka katakanlah: "Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang-orang Yang mengikutku". dan Bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) Yang diberi kitab, dan orang-orang Yang "Ummi" (orang-orang musyrik Arab): "Sudahkah kamu mematuhi dan menurut (ugama Islam Yang Aku bawa itu)?" kemudian jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka telah memperoleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (tidak mahu menerima Islam), maka Sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan (dakwah Islam itu). dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat (tingkah laku) sekalian hambaNya. 

Sekiranya diamati-amati terjemahan secara harfiah terhadap ayat ini, penulis berasa kekeliruan terhadap kebanyakan terjemahan yang penulis dapati yang menterjemah perkataan ءأسلمتم  sebagai "adakah kamu telah masuk Islam". Oleh kerana ayat ini telah juga ditujukan kepada umat Islam sendiri, maka perkataan ءأسلمتم adalah wajar juga diterjemahkan sebagai "adakah telah benar-benar patuh kamu?". 

i.    Himpunan Ayat Yang Tidak Boleh 
      Diputuskan Begitu Sahaja.


Menurut ayat 03:19, orang-orang yang telah diberi Al-Kitab yang tidak mendirikan Al-Kitab, pada zaman ini, bukan lagi tertentu kepada kaum Yahudi atau Nasrani, bahkan juga mereka yang mendakwa telah menerima Islam tetapi tidak memahami kandungan Al-Kitab (umiyyin). Seterusnya, mengajak mereka yang kononnya telah menganut agama Islam, kepada Islam, tentunya menimbulkan rasa pelik kepada mereka. Ayat 03:20 dikuatkan lagi dengan sebutan umiyyin iaitu ahli Al-Kitab yang tidak memahami kandungan Al-Kitab. Mereka itu sama ada Yahudi atau Nasrani atau orang Islam sendiri. Bahawa perintah ءأسلمتم adalah menjurus kepada perintah umum iaitu "adakah telah benar-benar patuh kamu?". Patuh di sini adalah lebih khusus kepada mematuhi kandungan kitab masing-masing. Iaitu mereka harus kembali kepada kotak pertama dalam ajaran agama mereka. Orang Yahudi harus kembali mematuhi kitab Taurat, orang Nasrani harus kembali kepada Injil sementara orang Islam harus kembali kepada Al-Quran. Dengan lain perkataan, mereka harus meninggalkan kata-kata pujangga brothers, rabai-rabai, ulama-ulama serta kiyai-kiyai mereka dan mereka harus kembali kepada kitab mereka secara terus. Meninggalkan persangkaan mereka selama ini.

ii.   Islam dan Hidayah Tuhan


Berada dalam 'agama Islam' secara umumnya, bukanlah lesen untuk menyatakan bahawa seseorang itu telah memperolehi hidayah Tuhan. Telah menjadi lumrah sebutan oleh umat ini bahawa sesiapa yang kembali mengamalkan amalan agama pada sudut ibadah ta'abudi, maka ianya dikatakan telah memperolehi hidayah Tuhan. Akhir ayat ini iaitu والله بصيربالعباد  adalah sebagai rujukan atau indikator untuk memahami ayat ini dengan lebih teliti. Ayat yang sama seperti ini telah disertakan pada bahagian terakhir 03:15 yang menjurus kepada kesediaan untuk berhati-hati bagi seseorang yang ingin mengamalkan ajaran agama. Oleh itu, yang dikatakan memperoleh hidayah daripada Tuhan adalah sebenarnya berpetunjuk dengan kitab Tuhan (03:20) iaitu mematuhi petunjuk Tuhan dengan pengambilan secara berhati-hati. Secara khususnya berdasarkan pengajaran himpunan ayat daripada 03:18 adalah mengambil kesaksian "La ilaha illa Allah" dengan jalan ilmu, dengan merujuk kepada sifat Tuhan Maha Perkasa Maha Menghakimi. Pembaca harus merujuk kepada penerangan surah At-Tin untuk mendapatkan penjelasan yang lebih menarik. 

iii.  Sifat Allah Maha Melihat 
      Hamba-hambaNya


Dengan ayat sedemikian, kerja Muhammad RasululLah S.A.W. hanyalah penyampaikan petunjuk Tuhan kepada umat manusia. Siapa yang mengambil petunjuk maka sesungguhnya ia telah berpetunjuk. Sesiapa yang mengingkari, hendaklah ia ditinggalkan kerana urusan Tuhan adalah untuk melihat kerja-kerja daripada mereka yang mematuhi petunjuk Tuhan secara berhati-hati. Petunjuk Tuhan hendaklah dituruti secara berhati-hati, bukan secara sembrono dan bukan menelan bulat-bulat perkhabaran brothers, rabai-rabai serta kiyai-kiyai mereka masa kini, sama ada melalui khutbah-khutbah atau ceramah-ceramah mereka.










Tuesday, June 23, 2015

SURAH ALI-IMRAN AYAT 19 -- AL ISLAM YANG BAGAIMANA?

Sesungguhnya agama di sisi Allah (adalah) Al-Islam (Islam seperti itu). Dan tidak telah berselisih ia akan orang-orang yang telah diberi mereka Al-Kitab melainkan daripada sesudah apa yang telah datang ia kepada mereka oleh pengetahuan (sebab) kedengkian antara mereka. Dan sesiapapun yang ia ingkar terhadap ayat-ayat Allah maka sesungguhnya Allah amat pantas kiraan.

Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) Yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan Yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki Yang ada Dalam kalangan mereka. dan (ingatlah), sesiapa Yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka Sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisabNya.

Islam yang seperti mana lagi yang mereka mahu? Adakah Islam yang ada pemimpin tetapi tiada rakyat atau ada imam tetapi tiada umat? Hanya sebagai Ad-Din tetapi tiada syariat. Penerangan seperti ini tentunya akan membawa perselisihan dalam kalangan penganut-penganut agama sekalipun daripada mereka ada mendakwa bahawa mereka beragama Islam. Hal ini terjadi atas sebab kedengkian daripada diri mereka sendiri atas sebab-sebab kepentingan yang mereka pertahankan selama ini. Kepentingan itu termasuklah kepimpinan yang membawa disiplin tertentu dalam kaedah dakwah, pengaruh perniagaan, politik dan sebagainya.

i.    Iktilaf Ahli Kitab

Pada masa hidup RasululLah S.A.W. belum terdapat perselisihan atau iktilaf dalam kalangan umat Islam. Sebarang perselisihan akan segera diredakan oleh baginda RasululLah S.A.W. Oleh itu, secara khususnya, yang dikatakan ahli kitab pada zaman itu adalah dalam kalangan penganut Yahudi dan Nasrani yang masing-masing mendakwa bahawa mereka mengikuti ajaran daripada kitab Taurat dan Injil. Namun selepas daripada RasululLah S.A.W. sebarang bentuk perselisihan umat Islam, menjadikan mereka sebenarnya adalah ahli kitab. Yahudi dengan kitab mereka iaitu Taurat, Nasrani dengan kitab mereka iaitu Injil dan umat Islam dengan kitab mereka iaitu Al-Quran.

ii.    Dengki Setelah Berilmu

Punca kedengkian itu adalah setelah mereka berilmu dengan sebahagian ilmu Al-Kitab. Perkara ini diperjelaskan lagi dalam surah Al-Bayyinah bahawa umat ahli kitab, tidak akan berpecah belah melainkan setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan (98:04). Pertelingkahan sedemikian telah membuka pintu bahaya kepada mereka apabila mereka terdedah kepada cara beragama yang menimbulkan kesyirikan. Yang manakah mereka dahulukan antara 'ulama mereka' atau kitab Tuhan? 

iii.    Kerana Mengingkari Ayat-ayat Tuhan

Sedangkan bukanlah perkara besar sangat bagi mereka untuk mereka turuti melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada Allah dan bukannya mengabdikan diri kepada yang lain sama ada yang lain itu adalah 'ulama-ulama' mereka atau kepimpinan mereka, memandangkan mereka adalah orang yang telahpun beragama. Mereka harus bersungguh-sungguh kepada Tuhan dengan cara mengikhlaskan diri dalam agama, agama yang terhindar daripada kesyirikan, melaksanakan apa yang diperintah Tuhan. Namun selalunya dalam hal ini, mereka seringkali mengingkari ayat-ayat Tuhan sama ada ayat itu daripada Taurat atau Injil atau Al-Quran.

iv.    Pentingnya Merujuk Kepada Kitab Tuhan

Sekiranya Tuhan sendiri telah mencabar ahli kitab terdahulu daripada golongan Yahudi dan Nasara, bahawa mereka itu bukanlah atas sesuatu iaitu segala pendirian mereka dalam beragama tiada nilai di sisi Tuhan, sehinggalah mereka mendirikan apajua yang terdapat pada kitab yang ada pada sisi mereka, cabaran sedemikian sebenarnya juga ditujukan kepada umat ini. Bahawa pendirian umat Islam tiada nilainya di sisi Tuhan sehinggalah mereka kembali mendirikan Al-Quran. Sebenarnya Al-Quran adalah teks dan bukan sekadar kitab rujukan. Sekiranya Al-Quran itu adalah kitab rujukan sebagaimana ayat-ayat tertentu Al-Hadith, maka jadilah sekarang ini, kita mudah mendapati kitab-kitab agama yang di dalamnya ditulis dengan pandangan-pandangan 'ulama' lalu ia mengambil ayat-ayat tertentu untuk menyokong pandangannya. Penulis tidaklah bermaksud untuk menyatakan tentang hukum pengamalan sedemikian sama ada perkara ini dibolehkan atau tidak. Penulis hanya ingin menekankan bahawa peranan Al-Quran sebagai teks telah gagal didirikan oleh umat ini.





Thursday, June 18, 2015

SURAH ALI-IMRAN AYAT 18 -- BERMULA KESAKSIAN

Telah menyaksi Ia oleh Allah, bahawasanya tiada sembahan selain Dia dan oleh para malaikat dan oleh golongan berilmu yang berdiri tegak dengan Al-Qisthi, tiada sembahan selain Dia, Maha Perkasa Maha Menghakimi. 

Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya Dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) Dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang Yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga Yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

i.     Kesaksian Itu Dengan Ilmu

Ketahuilah bahawa kesaksian "La ilaha illa Allah" bermula dengan ilmu. Inilah perkara yang diterangkan oleh Imam As-Shafiee RahimulLah. Ramai dalam kalangan 'ulama' yang dilantik dan dibayar gaji, adalah pihak yang diiktiraf sebagai mereka yang berilmu dan ilmu-ilmu mereka dipelajari. Namun adakah mereka adalah 'ulama'' yang berdiri tegak dengan keadilan? Secara umumnya, adakah mereka pihak yang berlaku adil apabila berlaku pertelingkahan antara rakyat dengan pemerintah. Adakah juga mereka berlaku adil dalam menjelaskan hukum-hakam yang mereka pelajari terutamanya yang melibatkan halal dan haram sesuatu perkara? Atau mereka menerima bayaran terhadap fatwa mereka? Adakah mereka mengambil hujah daripada القسط ataupun mereka mengambil قسط  menurut rujukan mereka sendiri. Perkataan "La ilaha illa Allah" adalah menjurus kepada keimanan. Perkataan ini memerlukan kesaksian. Keimanan Muhammad RasululLah S.A.W, malaikat Jibril adalah penyaksinya, keimanan para sahabat R.A.H.M maka Muhammad RasululLah S.A.W. menjadi saksinya dan begitulah seterusnya kepada tabi'in dan tabi'-tabi'in namun keimanan kita kini, siapakah yang mengambil kesaksiannya?

ii.    Kesaksian : Sesuatu Yang Perlu 
       Diambil

Sekiranya kita mahu menerima kesaksian bahawa "La ilaha illa Allah", apakah yang harus kita lakukan dan seterusnya siapakah yang dapat memberi tunjuk ajar untuk melakukan peribadatan yang akhirnya menjurus bahawa perlakuan sedemikian dicontohi daripada RasululLah S.A.W? Tidak ada seorangpun yang mendakwa dirinya sebagai sahabat R.A., yang hidup pada masa Muhammad RasululLah S.A.W. ataupun tabi'in, yang hidup selepas itu, mewarisi rukun Islam yang pertama serta rukun-rukun Islam yang lain hanya dengan cara meniru-niru belaka. Iaitu meniru sebutan syahadat serta perlakuan solat dan sebagainya dan kemudiannya menunjukkan perkara sedemikian kepada generasi seterusnya semata-mata untuk ditiru perlakuannya. 

Sekiranya seseorang itu tidak dapat mengambil kesaksian daripada Muhammad RasululLah S.A.W. atau daripada sahabat-sahabat R.A.H.M. ataupun tabi'-tabi'in selepas itu, maka menjadi tanggungjawabnya untuk mendapatkan persaksian daripada mana-mana ahlul bait yang telah diamanahkan oleh RasululLah S.A.W. untuk mengambil persaksian daripada manusia. Namun kini siapakah dia yang dapat diterima sebagai ahlul bait? Sedangkan ahlul bait sendiri sentiasa berusaha menyembunyikan identiti mereka agar mereka tidak ditimpa fitnah, menjadi buruan pihak berkuasa selama ini.

iii.     Allah Maha Menghakimi

Kesaksian adalah suatu tanggungjawab. Kesaksian tidak boleh diambil oleh pihak yang tidak bersedia dan tidak mahu mengambil tanggungjawab. Menjadi satu tanggungjawab yang besar yang harus dipikul oleh pihak penyaksi adalah darihal menyampaikan ayat-ayat Al-Quran menurut kaedah yang Jibril sampaikan kepada Muhammad RasululLah S.A.W. serta menuruti contoh yang dilakukan oleh RasululLah S.A.W. sendiri. Mengambil kesaksian syahadah bukan sekadar mengangkat satu jari untuk menerima sebutan "La ilaha illa Allah", "Muhammad RasululLah" dan kemudian meninggalkan mereka yang telah diambil kesaksian untuk kembali ke tempat kediaman asal kehidupan mereka dan menjalani kehidupan mereka seperti biasa. Mengambil syahadah adalah seumpama menyediakan jalan berhijrah serta menyediakan kemudahan-kemudahan perlu kepada mereka, untuk bersama-sama dengan imam (pihak yang menyampaikan ayat-ayat Al-Quran) untuk menjalani suatu kehidupan menurut panduan Tuhan. Dengan demikian, mengambil kesaksian syahadah daripada seseorang, bukan suatu kerja yang mudah. Secara ringkasnya, program mengambil kesaksian syahadah adalah merupakan program pengisian ilmu dan perlaksanaan amalan yang perlu terhadap individu muslim. Oleh itu, imam yang layak mengambil kesaksian daripada seseorang adalah imam yang sanggup melaksanakan pengorbanan sama ada pengorbanan masa, harta juga pengorbanan diri dan usaha seperti ini hanya dapat dilakukan dengan sempurna oleh ahlul bait yang keberadaan mereka di atas kehidupan dunia ini sentiasa melalui proses pembersihan oleh Tuhan. Kedudukan mereka adalah yang sentiasa dapat berada pada kedudukan قائما بالقسط iaitu yang dapat mengambil panduan Al-Quran darihal sifat Allah Maha Menghakimi. (At-Tin 7/8)




Popular