Sesungguhnya agama di sisi Allah (adalah) Al-Islam (Islam seperti itu). Dan tidak telah berselisih ia akan orang-orang yang telah diberi mereka Al-Kitab melainkan daripada sesudah apa yang telah datang ia kepada mereka oleh pengetahuan (sebab) kedengkian antara mereka. Dan sesiapapun yang ia ingkar terhadap ayat-ayat Allah maka sesungguhnya Allah amat pantas kiraan.
Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) Yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan Yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki Yang ada Dalam kalangan mereka. dan (ingatlah), sesiapa Yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka Sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisabNya.
Islam yang seperti mana lagi yang mereka mahu? Adakah Islam yang ada pemimpin tetapi tiada rakyat atau ada imam tetapi tiada umat? Hanya sebagai Ad-Din tetapi tiada syariat. Penerangan seperti ini tentunya akan membawa perselisihan dalam kalangan penganut-penganut agama sekalipun daripada mereka ada mendakwa bahawa mereka beragama Islam. Hal ini terjadi atas sebab kedengkian daripada diri mereka sendiri atas sebab-sebab kepentingan yang mereka pertahankan selama ini. Kepentingan itu termasuklah kepimpinan yang membawa disiplin tertentu dalam kaedah dakwah, pengaruh perniagaan, politik dan sebagainya.
Pada masa hidup RasululLah S.A.W. belum terdapat perselisihan atau iktilaf dalam kalangan umat Islam. Sebarang perselisihan akan segera diredakan oleh baginda RasululLah S.A.W. Oleh itu, secara khususnya, yang dikatakan ahli kitab pada zaman itu adalah dalam kalangan penganut Yahudi dan Nasrani yang masing-masing mendakwa bahawa mereka mengikuti ajaran daripada kitab Taurat dan Injil. Namun selepas daripada RasululLah S.A.W. sebarang bentuk perselisihan umat Islam, menjadikan mereka sebenarnya adalah ahli kitab. Yahudi dengan kitab mereka iaitu Taurat, Nasrani dengan kitab mereka iaitu Injil dan umat Islam dengan kitab mereka iaitu Al-Quran.
Punca kedengkian itu adalah setelah mereka berilmu dengan sebahagian ilmu Al-Kitab. Perkara ini diperjelaskan lagi dalam surah Al-Bayyinah bahawa umat ahli kitab, tidak akan berpecah belah melainkan setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan (98:04). Pertelingkahan sedemikian telah membuka pintu bahaya kepada mereka apabila mereka terdedah kepada cara beragama yang menimbulkan kesyirikan. Yang manakah mereka dahulukan antara 'ulama mereka' atau kitab Tuhan?
Sedangkan bukanlah perkara besar sangat bagi mereka untuk mereka turuti melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada Allah dan bukannya mengabdikan diri kepada yang lain sama ada yang lain itu adalah 'ulama-ulama' mereka atau kepimpinan mereka, memandangkan mereka adalah orang yang telahpun beragama. Mereka harus bersungguh-sungguh kepada Tuhan dengan cara mengikhlaskan diri dalam agama, agama yang terhindar daripada kesyirikan, melaksanakan apa yang diperintah Tuhan. Namun selalunya dalam hal ini, mereka seringkali mengingkari ayat-ayat Tuhan sama ada ayat itu daripada Taurat atau Injil atau Al-Quran.
Sekiranya Tuhan sendiri telah mencabar ahli kitab terdahulu daripada golongan Yahudi dan Nasara, bahawa mereka itu bukanlah atas sesuatu iaitu segala pendirian mereka dalam beragama tiada nilai di sisi Tuhan, sehinggalah mereka mendirikan apajua yang terdapat pada kitab yang ada pada sisi mereka, cabaran sedemikian sebenarnya juga ditujukan kepada umat ini. Bahawa pendirian umat Islam tiada nilainya di sisi Tuhan sehinggalah mereka kembali mendirikan Al-Quran. Sebenarnya Al-Quran adalah teks dan bukan sekadar kitab rujukan. Sekiranya Al-Quran itu adalah kitab rujukan sebagaimana ayat-ayat tertentu Al-Hadith, maka jadilah sekarang ini, kita mudah mendapati kitab-kitab agama yang di dalamnya ditulis dengan pandangan-pandangan 'ulama' lalu ia mengambil ayat-ayat tertentu untuk menyokong pandangannya. Penulis tidaklah bermaksud untuk menyatakan tentang hukum pengamalan sedemikian sama ada perkara ini dibolehkan atau tidak. Penulis hanya ingin menekankan bahawa peranan Al-Quran sebagai teks telah gagal didirikan oleh umat ini.
No comments:
Post a Comment