SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Thursday, August 20, 2015

SURAH NUH AYAT 3 -- SEMBAHLAH ALLAH, BERHATI-HATI SERTA TAAT


ان اعبدوا الله واتقوه واطيعون

Bahawa abdikanlah diri kamu akan Allah dan berhati-hatilah kamu akanNya dan patuhilah olehmu akan daku ini.

"Iaitu Sembahlah kamu akan Allah dan bertaqwalah kepadaNya, serta Taatlah kamu kepadaku;

i.    Adakah Wujud Toleransi Antara Agama?

Begitulah niat suci seorang rasul mengajak kaumnya supaya beriman kepada Tuhan dengan cara sebaik-baiknya. Menghamba-abdikan diri hanya kepada Tuhan dan berhati-hati akanNya dengan cara mematuhi ajaran kenabian. Mengapakah ajaran Tuhan yang dibawa oleh rasul-rasul sebelum ini sehingga rasul terakhir iaitu Muhammad RasululLah S.A.W. tidak dianggap menjurus kepada toleransi agama, bahkan membawa pertentangan terhadap perbezaan yang sungguh ketara? Bukankah Muhammad RasululLah S.A.W. seringkali dipuji sebagai pelopor yang membawa kesederhanaan dalam beragama? Baginda dianggap sebagai pengasas kepada Islam yang moderat atau liberal iaitu pembawa ajaran Islam yang diredhai oleh sebahagian kepimpinan umat Islam masakini! Atas nama moderat, pertengahan atau wasathiyah, ajaran agama ini cuba diketengahkan sebagai ajaran agama yang mengiktiraf ajaran agama-agama lain sehingga disebut sebagai toleransi beragama.

ii.   Ajaran Yang Dibawa Rasul Sentiasa Ditentang

Namun apajua ajaran rasul, mahu sahaja umat terdahulu menyediakan alasan untuk tidak mematuhinya. Semua ini disebabkan, ajaran kerasulan adalah sesuatu yang asalnya sangat bertentangan dengan kebiasaan manusia setempat pada masa ajaran itu mula tersebar. Ajaran yang menentang penyembahan kepada selain Allah serta meletakkan agama-agama lain pada kedudukan yang rendah, menyebabkan agama ini sangat-sangat ditentang oleh umat. Demikian itu adalah cara manusia menghadapi sesuatu yang bersifat ajaran ketuhanan sama ada mereka akan menerima secara nyata atau menentang secara nyata. Penentangan manusia adalah kerana manusia lebih senang untuk memilih jalan menuruti hawa nafsu mereka. Mereka mahukan suatu perkara itu dengan cara mudah, cepat dan memberi pulangan yang banyak. Mahukan perkataan mereka lebih didengari manusia berbanding perkataan Tuhan melalui rasulNya. Atas kepentingan diri, perniagaan, parti atau kepimpinan, mereka memilih jalan sebagai “biarlah apapun yang akan berlaku, aku tetap berpengaruh atau berkuasa”.

iii.   Mengapa Risalah Tuhan Memerlukan Alasan?

Mengapakah risalah kerasulan mengandungi pengajaran ketuhanan, mengajak manusia untuk menyembah Tuhan sehingga berhati-hati kepada Tuhan? Mengapa tidak, ajaran itu terus menjurus kepada kesedaran bahawa sesuatu bencana harus dapat ditangguhkan atau dielakkan? Contohnya -- mengapa tidak, Nabi Nuh A.S. mengkhabarkan terus kepada umat baginda bahawa selepas beberapa ratus tahun kemudian nanti, bencana akan berlaku di negeri itu, sehingga manusia secara beransur-ansur dapat meninggalkan negeri itu ke kawasan-kawasan yang sangat jauh, agar tidak ditimpa bencana? Dalam keadaan sekarang ini dengan penduduk dunia melebihi 7 billion jiwa setelah manusia menempuhi pelbagai bentuk bencana, mampukah dunia ini terus menampung suatu penghidupan sekiranya tidak terdapat bencana?

iv.   Penduduk Dunia Yang Semakin Padat

Penduduk dunia ini mungkin telah mencapai trillion, sehingga dunia ini dipenuhi manusia bagaikan ulat-ulat banyaknya. Sekiranya, dengan manusia yang sangat degil yang dapat melahirkan zuriat-zuriat yang sangat degil, tidak berhati-hati dengan nasib penghidupan, bagaimanakah nasib  penghidupan di dunia ini dengan pencemaran yang paling teruk dan kerosakan-kerosakan besar? Mungkin pada masa itu, baru ada suara-suara yang mencadangkan, agar bilangan manusia yang ada pada hari itu harus dikurangi dengan pesatnya! Ataukah mungkin, Tuhan memberitahu secara terus kepada manusia dalam perkiraanNya sejumlah manusia perlu dimusnahkan supaya kehidupan di bumi ini tidak terbeban lantaran kerja tangan manusia yang ramai itu? Sekiranya demikian, apakah nilai-nilai kebaikan yang boleh diperolehi daripadaNya supaya manusia mematuhi? Lihatlah kini dengan jumlah manusia yang tidak sampaipun trillion, di bawah pentadbiran golongan ingkar yang memainkan peranan utama dalam mengurus kehidupan, kemanusiaan mula tidak membawa apa-apa erti. Kehidupan sosial manusia tergugat lantaran golongan ingkar memperkenalkan sistem ekonomi kapitalis berasaskan riba dan manusia menderita akibat pemakanan yang memudharatkan tubuh mereka. Konflik sesama manusia wujud akibat daripada tekanan inflasi berterusan sehingga ramai kalangan manusia yang merempat tidak memiliki rumah.




No comments:

Post a Comment

Popular