Al-Qur'an Dan Sumbangan-sumbangannya Dalam Kehidupan Manusia
Sebelum penulis meneruskan penerangan selanjutnya darihal "Kisah Nuh, Bangsa Jin, Yang Diselubungi dan Yang Diselimuti", suka untuk penulis jelaskan bahawa telah menjadi sikap manusia untuk mengagung-agungkan penemuan mereka dan melupai sumber asal iaitu pencipta sumber berkenaan. Seringkali kita dapati penemuan-penemuan manusia, direkodkan melalui jurnal-jurnal yang ditulis dan mereka menyatakannya sebagai hipotesis, teori atau hukum. Hingga ke suatu tahap, mereka mula mempertikaikan ayat-ayat Tuhan dan menghendaki segala-galanya haruslah suatu yang dapat dijelaskan secara saintifik.
Sikap seperti inilah yang mengakibatkan mereka teraba-raba dalam mencari penyelesaian terhadap pelbagai permasalahan yang timbul. Sikap seperti inilah yang menyebabkan manusia memisahkan urusan dunia dan urusan akhirat. Mereka memisahkan urusan dunia dan urusan agama sehingga mereka sanggup mendakwa bahawa dengan urusan agama semata-mata tidak akan menjadikan kita kaya. Apa benarkah perkara Al-Qur'an harus diperkatakan sebagai urusan agama semata-mata? Apabila urusan dunia cuba dikaitkan dengan tuntutan agama maka keperluan sedemikian dinyatakan sebagai tuntutan fardhu kifayah manakala tuntutan fardhu 'ain adalah untuk peribadatan ta'abudi yang menyentuh perkara-perkara ritual dalam amalan beragama.
Sesudah sekian lama kaedah seperti ini diamalkan, akhirnya kita dapati bahawa urusan agama yang diamalkan, tidak dapat membendung masalah murtad yang semakin tidak terkawal. Pengamalan agama juga dipisahkan daripada kehidupan sehingga pelbagai jenis penyakit sentiasa muncul dan bilangan yang menghidap pelbagai penyakit sedia ada sentiasa bertambah. Permasalahan sosial juga meningkat sehingga kita dapati kejadian pembunuhan berlaku hampir setiap hari, masalah dadah meliputi pengedaran dan penagihan yang tak kunjung padam dan pelbagai kejadian pelik yang lain yang sentiasa berlaku.
Pernahkah kita mendengar dalam kehidupan generasi sebelum ini, bayi yang baru dilahirkan dibunuh dan dikerat-kerat kepada beberapa bahagian? Pernahkah kita mendengar orang yang tidak bersalah dibunuh dengan kejam semata-mata untuk mendapatkan organ-organ dalamannya? Wajarkah perkara seperti ini dan juga perkara-perkara lainnya dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan proaktif terhadapnya? Penulis mengajak pembaca untuk sama-sama mendapatkan jawapannya melalui Al-Qur'an dan mula melakukan sesuatu untuk mengajak rakan-rakan kita untuk sama-sama memerhatikan Al-Qur'an.
Bukanlah penulis mampu untuk mendedahkan segala-galanya tentang perkara Al-Qur'an yang ada hubungkaitnya dengan perkara kehidupan. Namun, menyentuh sedikit sebanyak tentang perkara yang menjadi pertikaian golongan tertentu, akan sedikit sebanyak memberi panduan kepada pembaca, bahawa setiap permasalahan yang timbul dalam hidup ini, pasti ada jawapannya dalam Al-Qur'an. Hanya peranan kita semua untuk mengkajinya dengan lebih mendalam dan mendapatkan jawapannya.
No comments:
Post a Comment