SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Wednesday, September 20, 2017

SURAH AL-MUZAMMIL AYAT 19 -- PENGAJARAN YANG HARUS DITURUTI UMAT


ان هذه تذكرة فمن شاء
اتخذ الى ربه سبيلا

Sesungguhnya inilah peringatan, maka barangsiapa, telah menghendaki ia, telah pasti akan mengambil ia kepada Tuhannya suatu jalan. 

Sesungguhnya  (keterangan-keterangan Yang mengandungi amaran) ini menjadi peringatan oleh itu sesiapa Yang mahukan kebaikan dirinya dapatlah ia mengambil jalan Yang membawa kepada Tuhannya (dengan iman dan taat).

i.     Pengajaran Besar Untuk Umat
       Melakukan Sesuatu

Sesungguhnya ini adalah suatu pengajaran, maka barangsiapa yang telah menghendaki ia, telah pasti akan mengambil ia kepada Tuhannya suatu jalan. Demikianlah sesungguhnya pengajaran penting ialah ambilan ayat-ayat Tuhan hendaklah melengkapi suatu himpunan ayat supaya suatu pengajaran dapat diperolehi. Contoh-contoh daripada kisah tragedi Fir’aun, berkait rapat dengan pengajaran daripada surah ini. Itulah suatu bacaan yang diambil satu deretan demi satu deretan dan bukannya lompatan demi lompatan sehingga ayat-ayat Al-Quran menjadi terpisah-pisah. Maka jalan apakah lagi yang harus diambil kerana sesungguhnya bagi Tuhan adalah seluruh keluasan bumi ini dari timur ke barat sehinggalah Dia berkuasa untuk menjaganya sebelum manusia ini diciptakan sejak dahulu dan menghimpunkannya kembali.

Apakah maka jika manusia merosakkan bumi ini, Dia tidak berkuasa memulihkannya kembali? Manusia berterus-terusan merosakkan kediaman mereka sendiri sehinggalah sampai masa yang dijanjikan, agar manusia merasa sebahagian bahang azab terhadap hasil pekerjaan mereka. 


Di mana-mana sahaja, hampir setiap manusia
menuntut suatu perubahan perlu dilakukan.

Hanya dengan cara kembali kepada jalan Tuhan dengan mengimaniNya adalah langkah pertama mendapatkan rahmat Tuhan supaya manusia selamat dalam kehidupan di dunia dan juga akhirat kelak. Pengajaran Tuhan yang Ia sediakan adalah untuk difikirkan oleh manusia dan manusia memerlukan masa ketenangan malam untuk memikirkan dengan bersungguh-sungguh darihal ayat-ayat Tuhan. Ilmu diperolehi dengan jalan pengamatan daripada pembacaan dan juga berfikir berdasarkan panduan daripada Tuhan.

ii.   Kesedaran Menuju Kepada Jalan Tuhan

Berbagai-bagai jenis takrifan telah dilakukan untuk seseorang itu dapat mengambil kepada Tuhan, sebuah jalan. Ada yang mengambilnya melalui jalan politik tetapi tidak menyampaikan kepada pengajaran Tuhan melalui kitabNya. Ada yang mengambil melalui jalan perniagaan untuk memperkenalkan kaedah-kaedah Islam dalam berurusniaga, kesudahannya mereka hanya menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara tanpa dapat membawa umat kembali kepada pengajaran Tuhan melalui kitabNya. Bahkan terdapat juga yang mengambil jalan berdakwah melalui media-media massa dan sebagainya tetapi tidak dapat menyampaikan kepada pengajaran Tuhan melalui kitabNya. Sehingga kita dapat memerhatikan di persekitaran kita, umat kini terutamanya umat Islam, kebanyakan mereka telah menempuhi kehidupan tanpa sebarang pembelaan. Apakah nasib umat ini, yang berada dalam sebuah negara yang laungan azan dikumandangkan setiap kali mula masuk waktu solat? Siapakah daripada mereka yang sanggup memulai mempelajari ayat-ayat Tuhan daripada kitabNya dan bersama-sama menghayati ajaran Tuhan bersama-sama? Tidak perlu bagi mereka melihat kepada langkah yang menjurus kepada persaingan politik. Tidak perlu bagi mereka berlumba semata-mata mengejar kekayaan.

iii.    Panduan Pembacaan Al-Quran

Al-Quran adalah suatu kitab panduan. Manusia mendapatkannya dari segenap arah namun corak peneriman manusia adalah berbeza. Ada yang mendekati Al-Quran berdasarkan pembacaan yang betul secara tajwid dan tarannum. Kemudian kebolehan pembacaan dipertandingkan untuk memperolehi hadiah. Ada yang mendekati Al-Quran untuk mendapatkan ayat-ayat tertentu untuk tujuan perawatan dan sebagainya. Kemudian ditubuhkan pusat-pusat rawatan tanpa ubat. Ada yang membuka Al-Quran untuk melakukan kajian-kajian supaya ‘penemuannya’ dapat direkodkan dalam jurnal-jurnal. Terdapat juga mereka yang mengambil ayat-ayat tertentu untuk dijadikan tulisan khat yang mempunyai nilai ekonomi sehingga ayat-ayat sedemikian dipaparkan dengan tujuan melariskan perniagaan. Bahkan terdapat pihak yang beriman dengan sebahagian ayat tetapi ingkar dengan ayat-ayat lain untuk ditukarkan dengan habuan dunia. Mengambil ayat yang berkaitan zakat untuk mengutip harta umat tetapi meninggalkan ayat tentang pengagihan zakat, supaya mereka mendahuluinya dalam mendapatkan habuan.

RasululLah S.A.W tidak pernah melakukan pekerjaan membahagi-bahagi Al-Quran sehingga memilih ayat-ayat tertentu untuk dibaca dengan bacaan tajwid dan tarannum, ayat-ayat tertentu yang lain untuk tujuan dijadikan hujah ilmiah, ayat-ayat yang lain pula untuk panduan ekonomi, politik, munakahat, muamalat, jenayat dan sebagainya. Pembahagi-bahagi sedemikian menyebabkan suatu pendekatan kefahaman tertentu telah melalui jalan perincian melampaui perincian jalan kefahaman sahabat. Pengamalan agama haruslah merupakan suatu yang mudah, yang tidak harus ditempuh dengan jalan kefahaman yang menyukarkan. Tuhan menjadikan Al-Quran itu suatu yang mudah supaya memudahkan setiap individu mengambil pelajaran. Tuhan juga telah menyediakan kaedah kefahaman dan Tuhan melindungi kefahaman sedemikian daripada diketahui oleh golongan ingkar, sekalipun mereka itu 'pakar' dalam 'agama'. Untuk mempelajari Al-Quran, seseorang harus hanya memegang Al-Quran, kemudian mempelajarinya ayat demi ayat dan kemudian disokong dengan contoh amalan RasululLah S.A.W dan/atau daripada sahabat-sahabat RasululLah R.A.H.M dengan panduan As-Sunnah, kemudian sekiranya tidak didapati kefahaman, maka bersungguh-sungguhlah dengan akal fikiran masing-masing.

Sekiranya penulis kembali ke zaman RasululLah S.A.W., sudah tentulah penulis tidak berupaya menulis seperti yang telah pembaca dapati daripada penulisan ini. Penulisan ini terhasil barangkali daripada kesan berjaga malam pada waktu yang kebanyakan masa penulisan, penulis lakukan adalah pada waktu ini. Penulis sebenarnya telah dibekalkan maklumat dari perpustakaan yang besar seperti internet dan memperolehi pengajaran-pengajaran penting daripada beberapa guru serta melalui pembacaan langsung. Beberapa pemerhatian telah juga penulis lakukan dan hasilnya adalah apa yang terhidang di hadapan pembaca sekarang ini. Sebenarnya penulis ingin membawa pembaca ke suatu keadaan, yang kini kita harus memikirkan semula cara beragama kita, yang kita telah turuti selama ini. Kita harus kembali melaksanakan sunnah RasululLah S.A.W. dan para sahabat menuruti apa yang mereka perolehi melalui Al-Quran.






No comments:

Post a Comment

Popular