SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Wednesday, June 21, 2017

SURAH AL-MUZAMMIL AYAT 6 -- TUMPUAN MALAM ADALAH LEBIH KUAT



ان ناشئة اليل هى اشد وطأ و اقوم قيلا

Sungguh ‘pembangunan’ malam adalah ia lebih dahsyat persediaan dan lebih lurus perkataan.

sebenarnya sembahyang dan Ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul
bacaannya. 

Atas permasalahan sedemikian, mereka perlu untuk menghidupkan malam sehingga malam dapat diisi dengan pengkajian serta pengamatan terhadap Al-Quran. Melakukan pembacaan secara bacaan tartil sebagaimana yang dituntut. Ibadah malam harus dilakukan bersama-sama sehingga rutin sedemikian dapat dijadikan budaya dalam masyarakat. Keadaan waktu malam yang sunyi membolehkan ketenangan jiwa membawa kepada peringkat gelombang theta pada minda manusia. Keadaan ini adalah keadaan imaginatif dan kreativiti. Sekiranya pembacaan Al-Quran selari dengan keadaan minda pada waktu ini, suatu kefahaman yang lebih jitu dapat diperolehi. Zaman keagungan kerajaan Islam suatu masa dahulu, cendiakawan Islam menghabiskan masa malam untuk menelaah Al-Quran dan berfikir kaitannya dengan alam ciptaan Tuhan.

Bunyi-bunyian dari persekitaran yang tenang,
sebenarnya dapat membantu seseorang
mencapai tahap gelombang theta.

i.    Berfikir Rahsia Penciptaan Alam

Terlalu banyak persoalan timbul sehingga mereka sentiasa berfikir akan rahsia penciptaan alam. Sehingga kini masih terlalu banyak rahsia alam yang belum dapat dikupas. Pembacaan malam adalah lebih lurus perkataannya. Memahami diikuti menterjemah dan mendapatkan penafsiran menurut jalan ilmuwan terdahulu, memerlukan kesegaran bahasa dan ilmu dan keadaan yang paling sesuai diperolehi adalah pada waktu malam. Al-Quran bukanlah dendangan yang perlu dibaca mendayu-dayu dengan harkat panjang lebarnya serta naik turunnya, tetapi merupakan sebuah kitab petunjuk untuk semua manusia. Penyampaian Al-Quran adalah berdasarkan satu ayat tetapi memberi seribu satu pengertian. Oleh itu perkataan Al-Quran adalah merupakan perkataan yang sampai, sama ada seorang itu pakar dalam satu-satu bidang ataupun kepada masyarakat umum. Daripada Al-Quran, umat Islam mencipta tamadun, mereka tidak lemah mempelajari dan tidak takut menyampaikan menurut jalan kefahaman mereka masing-masing. Namun apabila umat telah mengambil petunjuk yang lain selain daripada petunjuk Al-Quran, dengan mencampur baurkan sumber-sumber daripada agama-agama yang lain, mereka mengalami pelemahan sebagaimana yang telah ditakdirkan Tuhan. Lalu ulama-ulama mereka meletakkan syarat supaya tiada siapa dibenar berkata-kata tentang agama melainkan apa yang telah didapati daripada ulama-ulama silam dan pintu ijtihad ditutup rapat. Akhirnya sekarang ini, hukum agama dipelajari daripada mereka yang jahil berakademikan agama.

ii.   Al-Quran Yang Kini Diagih-agihkan

Lalu jadilah Al-Quran sebuah kitab yang sedia terbahagi (15:91), hanya kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan pembacaan bertajwid semata tanpa memahami isi kandungannya, tentang hukuman atas kesalahan semata, tentang perbincangan air satu kolah dan dua kolah untuk murid-murid tua serta kisah-kisah silam yang dijadikan ceritera untuk rujukan kanak-kanak serta yang berkaitan dengannya. Pembacaan Al-Quran hanya sekadar untuk dipertandingkan dalam majlis tilawah yang dihiasi dengan hiasan-hiasan. Pembukuan Al-Quran hanya untuk kelihatan menarik dengan kulit-kulit bersulamkan warna keemasan. Pengamalan Al-Quran ditumpukan kepada perkara-perkara mistik, seolah-olah Al-Quran diturunkan adalah semata-mata untuk tujuan perawatan kesan daripada pengamalan sihir dan sebagainya. Umat perlu bersatu kembali untuk mengamalkan Al-Quran sekalipun ditentang oleh golongan 'ulama' atau umara’.

iii.  Kembali Kepada Satu Iaitu Al-Quran

Tuhan tidak memberi yang lain daripada yang telah diberi kepada RasululLah S.A.W. iaitu Al-Quran. RasululLah S.A.W. memahaminya serta mengamalkannya sehingga dapat dicontohi melalui kitab-kitab rujukan As-Sunnah. Semua itu adalah daripada Al-Quran dalam bentuk tersurat atau tersirat. Membeza-bezakan antara Al-Quran dan As-Sunnah sama ertinya dengan kerja membeza-beza antara Allah dan Rasul. Demikian itu adalah kerja golongan ingkar kepada Tuhan dengan sebenar-benar ingkar. RasululLah S.A.W. tidak pernah mengambil alih kerja Tuhan dalam mengarahkan manusia untuk mensucikan As-Sunnah namun As-Sunnah haruslah difahami sebagai panduan yang dicontohi daripada RasululLah S.A.W. sebagai manifestasi pengamalan baginda terhadap Al-Quran. Kalau perlu tidak perlu disebut As-Sunnah, sebut saja panduan RasululLah S.A.W. dalam mentaati perintah Allah yang terkandung dalam Al-Quran atau sebut sahaja Atsar RasululLah. Tujuan penulis menekankan perkara sedemikian adalah supaya kita bersama-sama meninggalkan ideologi manusia dalam beragama dan lebih mengelojohi petunjuk Tuhan untuk dipatuhi. Tiada mukjizat setanding Al-Quran pernah ditemui. 

iv.  Faktor Yang Menggagalkan Persediaan 
      Bangun Malam

Di mana-mana jua apabila kita berjalan pada waktu malam pada zaman ini, kita akan mendapati malam banyak dihidupkan dengan aktiviti hiburan serta usaha mencari rezeki yang berkesinambungan sepanjang masa. Keadaan sedemikian terjadi disebabkan untuk memenuhi tuntutan hidup atau untuk mengisi kekosongan jiwa. Situasi ini sebenarnya adalah agenda kapitalis sehingga setiap individu gagal mendapatkan ruang masa bagi meneliti serta memikirkan tentang hakikat kehidupan. Usaha mendapatkan harta adalah bagi memenuhi keperluan membayar hutang yang diperolehi melalui kaedah riba. Sekiranya seseorang itu meneliti peruntukan masa yang dilalui sebenarnya suatu usaha memanfaatkan masa boleh dilakukan dan setiap individu sebenarnya tiada alasan untuk mengatakan bahawa ia tidak memiliki kecukupan masa bagi memerhati satu atau dua ayat Al-Quran setiap hari. Kebiasaan perlakuan ini sebenarnya harus dilakukan sebagai suatu bentuk penghayatan agar seseorang tidak akan terpisah daripada Al-Quran. Perintah ini sebenarnya dapat dipelajari daripada penghujung ayat daripada surah ini. Pada zaman ini hiburan berada di mana-mana. Hampir setiap rumah dilengkapi dengan peralatan komunikasi sehingga ahli-ahli rumah telah dilalaikan dengan rancangan-rancangan hiburan yang tidak pernah berpenghujung. Namun masih adakah individu yang dapat melarikan diri daripada keadaan sedemikian? Hanya mereka yang dapat membebaskan pemikiran mereka, tidak akan terikat dengan peraturan kapitalis sedemikian.

Bebaskan minda anda dan ikutlah suara hati anda,
kerana kehidupan sebenar anda akan bermula
selepas ini.


No comments:

Post a Comment

Popular