SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Tuesday, June 27, 2017

SURAH AL-MUZAMMIL AYAT 7 -- SIANG YANG PANJANG



ان لك فى النهار سبحا طويلا

Sesungguhnya bagimu pada siang hari itu kelapangan yang panjang.

(Kami galakkan Engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana Sesungguhnya Engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan Yang panjang kira bicaranya;

i.    Lakukan Perkara Lain Waktu Siang

Sesungguhnya Tuhan ciptakan siang untuk melakukan perkara-perkara lain. Manusia dapat memenuhinya dengan melaksanakan pekerjaan mencari suatu penghidupan (78:11). Sekiranya pembangunan malam menjadi suatu yang meletihkan pada permulaannya, seseorang dapat menggantikan kerehatannya pada waktu siang. Demikian itu pada zaman itu yang kehidupan manusia tidak dihimpitkan dengan keperluan mencari kehidupan. Pada zaman ini bukan sahaja makanan dan minuman perlu diambil dengan bayaran tertentu bahkan masuk ke tandas juga memerlukan bayaran tertentu yang perlu dibayar kepada IWK dan Jabatan Bekalan Air. Tidak dapat dinafikan siang hari telah disibukkan usaha mencari penghidupan bahkan sehingga malam hari. Tuhan Maha Mengetahui keadaan waktu ini (73:20) dan juga keadaan umat ini, namun bacalah apa yang mudah daripada Al-Quran apabila menjelang malam. Terjemahan yang lain bagi سبحا طويلا adalah pekerjaan yang banyak. 

Demikian pada waktu ini apabila sistem yang mengambil alih pentadbiran dunia sekarang ini amat-amat mendesak manusia untuk bekerja dari siang hingga malam. Oleh kerana terdapat dua bentuk terjemahan berbeza, keadaan itu tidak seharusnya dijadikan titik mula perbezaan antara kita. Berusaha mendapatkan pekerjaan yang dapat memberi kerehatan pada siang hari adalah amat digalakkan, agar kesempatan kerehatan itu dapat digunakan untuk persediaan bangun pada waktu malam. Terlalu banyak agenda untuk difikirkan berbanding usaha seseorang menghabiskan masanya semata-mata untuk bekerja.

ii.    سبحا طويلا   Dua Bentuk Terjemahan 
       Yang Berbeza

Terdapat dua bentuk terjemahan terhadap سبحا طويلا pertamanya dikatakan sebagai kelapangan yang panjang dan keduanya adalah pekerjaan yang banyak. Kedua-dua bentuk terjemahan ini kelihatan berlawanan. Sebenarnya ulama-ulama silam pernah mengeluarkan fatwa bahawa kerja-kerja penafsiran Al-Quran adalah sesuatu yang diharuskan dan yang di‘haram’kan adalah kerja-kerja penterjemahan. Kemudian lahirlah kitab-kitab tafsir seperti Tafsir Ibnu Kathir, Tafsir Ibnu Abbas, Tafsir Jalalain, Tafsir Al-Bayan, Tafsir Al-Maraghi dan sebagainya yang semuanya menjurus kepada tafsiran-tafsiran tertentu sebahagian sahaja perkataan-perkataan tertentu dalam Al-Quran. Bermula penterjemahan Al-Quran dilakukan oleh penterjemah Kristian berbangsa Inggeris. Penterjemahannya sangat tidak menarik dan sukar dihubungkan dengan perkataan-perkataan asal ayat-ayat Al-Quran. Dalam menghadapi dilemma baru supaya ayat-ayat Al-Quran dapat diterjemahkan dengan lebih jitu, fatwa baru telah dikeluarkan oleh ulama-ulama terkemudian supaya kerja-kerja penterjemahan Al-Quran diharuskan manakala kerja-kerja penafsiran Al-Quran pula yang di‘haram’kan! 


Al-Qur'an bukanlah kitab semata-mata
untuk bangsa Arab. Ramai bangsa Arab,
sekalipun mahir berbahasa Arab, tidak 
memahami Al-Qur'an. Jadi adakah tafsiran 
atau terjemahan daripada mereka adalah
sesuatu yang wajib diterima bulat-bulat?

iii.    Kepelbagaian Tafsir Dan Terjemahan

Kemudian muncullah kitab-kitab terjemahan dalam pelbagai bahasa seperti Tafsir Rahmat oleh H. Oemar Bakry yang sebenarnya merupakan kitab terjemahan, Mushaf Tajwid, Tafsir Al-Quran oleh Departemen Agama Republik Indonesia juga merupakan kitab terjemahan, Terjemahan Al-Quran oleh Drs. Mahmud Yunus dan Syamil Al-Quran juga oleh Departemen Agama Republik Indonesia. Perubahan sedemikian mengakibatkan tidak ada lagi kitab-kitab tafsir baru diterima pakai secara meluas melainkan melalui tulisan pejuang-pejuang Islam seperti Fi Zilalil Quran oleh Sayyid Qutb dan Tafsir Al-Banna oleh Hassan Al-Banna, pelopor gerakan Al-Ikhwan, Mesir. Ulama-ulama seperti ini lebih memahami keberadaan mereka dalam menerima ayat-ayat Tuhan secara terus sebagaimana yang mereka dapati tertulis dalam lembaran-lembaran antara dua kulit, sedangkan ramai daripada pengikut-pengikut mereka telah mengambil ulama-ulama sedemikian sebagai rujukan terus tentang suatu penerangan dalam agama. Ulama-ulama sedemikian boleh jadi benar atau tersilap dalam memberi tafsiran dan untuk mereka adalah amalan mereka lantaran mereka memilih untuk berijtihad secara bersungguh-sungguh. 

Penerimaan sama ada terhadap bentuk penafsiran atau terjemahan sebenarnya memerlukan hujah, suatu corak kefahaman berdasarkan disiplin tertentu. Walau apajua tafsiran atau terjemahan, menerima bulat-bulat hanya bersandarkan daya fikir mana-mana ulama, tidak seharusnya dilakukan kerana seseorang dikhuatiri mendahului perkataan ulama berbanding perkataan Tuhan. Penulis mengambil pendirian untuk tidak menafikan apajua penterjemahan atau penafsiran oleh penafsir-penafsir tertentu. Keadaan umat ini telah sedia terpecah. Mereka menjadi lemah atas sebab bencana saling memusuhi antara mereka. Apakah lagi bahan-bahan baru yang dapat digunakan untuk menjadikan mereka terus berselisih? Tentunya banyak sekali sekiranya kita memikirkan untuk menjadi pengadu dombanya.


Al-Qur'an dijadikan punca perbalahan dan
ulama-ulama mereka sangat menyukainya.
Beginilah yang terjadi apabila kefahaman
tentang Al-Qur'an dikatakan hak mutlak
ulama-ulama tertentu, seolah-olah kefahaman
ulama-ulama mereka sahaja yang benar.

Hanya Tuhan sahaja yang mengetahui tafsiran dan juga terjemahan yang sebenarnya. Hasil penulisan ini hanyalah merupakan komentar terhadap beberapa penterjemahan dan penafsiran yang diperolehi dan penulis suka untuk menengahkan suatu pendapat berdasarkan rujukan yang difikirkan sebagai ilmiah yang pernah penulis pelajari sendiri.




No comments:

Post a Comment

Popular