SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Sunday, July 23, 2017

SURAH AL-MUZAMMIL AYAT 11 -- TINGGALKAN GOLONGAN PENDUSTA UNTUK BERSAMA TUHAN MENANGGUNG BEBAN


و ذرنى و المكذبين
اولى النعمة و مهلهم قليلا

Dan bebanilah olehmu akan Daku dan golongan yang mendustakan, pemilik kenikmatan itu dan beri tangguhlah olehmu akan mereka, sedikit.

dan biarkanlah Aku sahaja membalas orang-orang Yang mendustakan (bawaanmu) itu, orang-orang Yang berada Dalam kemewahan, dan berilah tempoh kepada mereka sedikit masa;

Hanya kerana pemilikan yang hakikat sebenarnya manusia tidak memiliki apajua daripada sebarang pemilikan di dunia ini, lalu mereka mendustai. Untuk apa didekati mereka ini untuk seruan dakwah kerana hasilnya sama sahaja. Seringkali golongan seperti ini memberi tentangan hebat terhadap seruan dakwah. Demikian itu keadaan yang ditanggung oleh RasululLah S.A.W. Ada kalanya dakwah perlu ditujukan hanya kepada golongan yang miskin lantaran mereka lebih mudah menerima hakikat diri mereka tidak memiliki diri mereka sendiri berbanding golongan kaya. 


Apasaja yang kita 'punyai', 
semuanya Allah yang punya.

Apakah yang dilakukan oleh golongan kaya dan ‘harta’nya itu? Mereka menghabiskannya untuk kerosakan. Mereka merosakkan alam dengan membakar lebih banyak hidrokarbon ke atmosfera. Mereka jualah golongan yang membuang banyak sampah, hasil daripada aktiviti perniagaan atau perkilangan sehingga menyingkirkan banyak gas metana yang memerangkap banyak haba. Mereka sanggup membayar melalui aktiviti rasuah untuk menghalalkan tindakan memusnahkan hutan-hutan dan kawasan-kawasan tadahan yang memerlukan pemuliharaan. Lantaran jurang ekonomi, mereka berusaha mendapatkan khidmat manusia dengan cara menindas. Mereka jualah penyumbang kepada masalah sosial yang sanggup berbelanja untuk aktiviti maksiat. 

Siapakah yang lebih banyak menghidupkan pusat-pusat hiburan kalau bukan mereka? Bahkan golongan seperti inilah orang-orang yang beriman diperintahkan untuk tidak mentaati mereka dalam apajua urusan (76:24) dan mereka juga bukan sasaran dakwah yang diutamakan.

i.    Bebani Aku dan Golongan Pendusta Itu

Golongan pendusta adalah golongan sesat (68:08). Oleh itu kerja menyeru mereka untuk beriman, bukan kerja mudah. Kerja menyampaikan risalah Tuhan seringkali diikuti dengan rasa sedih, marah dan sakit hati akibat tindakan golongan yang mendustai risalah kerasulan. Tuhan telah mengarahkan golongan yang beriman supaya tidak terbawa-bawa dengan rasa sedemikian dan menyerahkan bebanan itu terus kepada Tuhan dan juga kepada pihak yang mendustakan risalah ini. 

ii.   Siapakah golongan yang mendustakan?

Kita telah membincangkan hal yang sedemikian dalam surah Nun (Al-Qalam) sebelum ini. Golongan yang mendustakan adalah mereka yang sesat. Sesungguhnya, mereka jualah golongan sombong tak kesampaian. Tak seberapapun pemilikan mereka berbanding pemilikan institusi kewangan yang menganiaya mereka dan apajua yang dijanjikan Tuhan di akhirat nanti. Sejarah telah membuktikan, apabila berlaku ketepuan perdagangan antarabangsa akibat pengamalan sistem riba, penjudi-penjudi pasaran hadapan menjadi penentu kepada pasaran komoditi dunia. Melalui mereka, permintaan terhadap keperluan komoditi semakin meningkat dan akhirnya harga komoditi tidak terkawal. Dengan kos pengeluaran yang meningkat untuk mendapatkan bahan-bahan mentah seperti bahan bakar petroleum, getah dan bijih galian, akhirnya suatu tekanan inflasi besar akan terjadi sehingga mengakibatkan negara-negara yang memiliki kekuatan ketenteraan, hilang sabar. 

Peningkatan terus harga bahan-bahan mentah telah menjadi petanda awal sebelum berlakunya Perang Dunia I dan II. Keadaan yang serupa kini berlaku semula beberapa tahun dahulu, dicetuskan oleh kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, sehingga Amerika Syarikat terpaksa menyerang negara kecil yang memiliki sumber bahan mentah seperti Iraq dan memecah-belahkan Sudan bagi menguasai sumber bahan bakar negara itu. 

iii.   Beban Yang Bertambah-tambah

Namun tekanan inflasi yang berterusan terus menjangkiti negara-negara Arab lain sehingga menyebabkan tersungkurnya rejim-rejim pemerintahan mereka, yang sebelum itu mengambil kesempatan besar meraih kemewahan akibat peningkatan harga komoditi. Penjudi-penjudi pasaran hadapan masih berterusan mengambil kesempatan di atas keadaan ekonomi dunia yang terus meruap. Harga getah yang dahulunya hanya RM1.50 sekilogram pernah mencapai RM15.00 sekilogram. Begitu juga harga minyak mentah petroleum pada USD 28 setong pernah mencecah USD 140 setong. Kenaikan ini akan mengakibatkan negara-negara yang memiliki kekuatan persenjataan akan merancang untuk memulai peperangan yang dipaksakan ke negara-negara lain demi menguasai sumber bekalan. 

Dalam pada itu, keadaan pemilik kemewahan di mana-mana juapun tidak dapat memanipulasi harta dengan berkesan disebabkan oleh peningkatan kos mengurus pekerjaan mereka. Rakyat yang rata-ratanya hidup dalam kesempitan memulai pemberontakan melawan pemerintah kerana mereka menyangka pemerintah telah menganiayai mereka. Di mana jua sekarang ini, melalui gerakan pembangkang atau pemberontakan, satu demi satu peneraju kerajaan sedia ada telah tumbang. Tunisia, Mesir, Libya, kini dikuti dengan Yaman, Bahrain dan juga Syria. Pemerintahan kuku besi telah ditumbangkan di Indonesia dan Filipina. Kita hanya mengharapkan keamanan di negara ini.

Inflasi sering kali dikaitkan dengan rusuhan rakyat.

Pemberontakan rakyat adalah kesan domino rancangan 
peringkat tinggi untuk menguasai pemerintahan di bumi.
KESABARAN kita dalam apajua hal, amat-amat 
diperlukan sekarang ini.

No comments:

Post a Comment

Popular