SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Monday, December 31, 2012

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 2 -- ANTARA NIKMAT TUHAN DAN GILA



ما انت بنعمة ربك بمجنون

Sekali-kali bukanlah engkau, dengan nikmat Tuhan engkau, yang gila.

Engkau (Wahai Muhammad) - Dengan sebab nikmat pemberian Tuhanmu, bukanlah seorang gila (sebagai-mana Yang dituduh oleh kaum musyrik, bahkan Engkau adalah seorang Yang bijaksana).

i.    Wahyu Tuhan Sebagai Nikmat Tuhan


Nikmat Tuhan adalah perutusan daripada Tuhan yang dapat dituliskan. Ayat ini yang telah disediakan Tuhan, tersimpan pada malaikat Jibril A.S., yang memberitahu bahawa Muhammad RasululLah S.A.W. akan dituduh sebagai gila lantaran menyampaikan perutusan Tuhan. Perkataan gila atau waras, sebagaimana sempena ayat ini adalah ukuran manusia semata-mata. Apabila sekumpulan manusia menghadapi suatu perkhabaran baru yang tidak selari dengan kebiasaan mereka, kepentingan mereka atau kefahaman mereka, maka dengan serta merta mereka akan membuat tuduhan gila. Contoh, apabila kesaksian syahadah seorang muslim adalah perkara yang dituntut kesaksiannya sepertimana saksi dalam nikah kahwin, maka pernyataan sedemikian dianggap sebagai pernyataan gila. Siapakah di antara kita yang disaksikan keislamannya dan berapa ramai daripada kita yang telah mengambil kesaksian syahadah seseorang? Mereka dengan segera menerima pernyataan sedemikian sekiranya yang menerima Islam itu adalah daripada golongan mualaf yang baru menerima agama Islam. Tuduhan sedemikian adalah disebabkan oleh ukuran rutin masyarakat masakini serta kefahaman kebiasaan mereka. Ukuran seperti inilah sebenarnya ukuran gila.

ii.     Gila Lantaran Memperolehi Nikmat

Kita biasa mendengar istilah kaya mengejut. Pemperolehan yang bukan dikeranakan oleh usaha bersungguh-sungguh. Nikmat sedemikian boleh mengakibatkan seseorang menjadi gila. Seseorang akan mengalami perubahan tingkahlaku serta mengambil sikap sehingga memutuskan silaturahim lantaran merasakan dirinya dimuliakan (89:15). Dalam hidup kita, tentunya kita biasa menyaksikan tentang kedudukan seseorang yang memenangi hadiah pertaruhan perjudian, yang dengan segera melakukan sesuatu yang akhirnya mengakibatkan kerugian kepada dirinya sendiri. Ia tidak dapat menggunakan kesempurnaan akalnya disebabkan pemperolehan nikmat sedemikian. Namun gila seperti ini bukanlah gila lantaran kehilangan akal tetapi gila lantaran tidak dapat menggunakan akal. Gila nikmat seperti ini adalah perkara lumrah dalam kehidupan manusia. Lantaran manusia telah diciptakan dengan lumrah sedemikian (70:19/20/21) terangsang seperti bangsa jin (72:13). Mereka cepat bertindak tanpa memikirkan akibat yang bakal terjadi.

iii.    Nikmat dan Kesan Perutusan

Perutusan Tuhan adalah merupakan wahyu. Sebahagian yang lain adalah daripada ilham yang kuat. Ceritera pernah mengkhabarkan tentang penemuan prinsip Archemidis iaitu tentang ilham yang ia perolehi untuk menentukan ketulenan emas yang digunakan untuk membentuk mahkota raja. Atas penemuan sedemikian yang diperolehinya, semasa ia sedang berada di tab mandi, menjadikan ia sangat gembira sehingga berlari tidak sedarkan dirinya bertelanjang bulat. Kita juga biasa menerima perkhabaran gembira sama ada melalui surat atau melalui khabar yang disampaikan oleh pihak lain dan perkhabaran sedemikian sedikit sebanyak mengubah tingkahlaku kita.

Perkhabaran yang RasululLah S.A.W. terima adalah perkhabaran daripada Tuhan, Yang Maha Tinggi, pencipta seluruh alam. Apakah yang tidak mewajarkan baginda menerimanya dengan rasa gembira? Perutusan memainkan peranan penting dalam membentuk tingkahlaku. Peristiwa serangan 11 September, yang kononnya didalangi oleh umat Islam, pada permulaannya banyak disambut dengan rasa gembira oleh sebahagian besar manusia di kebanyakan negara dengan sikap benci mereka atas pentadbiran Amerika Syarikat. Namun, apabila perkhabaran yang diperolehi selanjutnya tidak memihak kepada 'pengganas' berkenaan, kita dapati istilah pengganas kini merupakan istilah ciptaan Amerika Syarikat yang digeruni oleh ramai pihak sehingga sebahagian besar manusia tidak lagi berani menyatakan sokongan kepada 'pengganas' secara terang-terangan.



Friday, December 28, 2012

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 1 -- NUN, DAKWAT, BEKAS DAKWAT, PENA, PENULISAN



ن  و القلم و ما يسترون


Nun, demi pena dan apa-apa yang mereka tuliskan.

Nuun. Demi Pena dan apa Yang mereka tulis, -

i.     Takrifan Bagi Nun

Nun – , dalam sebahagian besar salinan mashaf ditulis sedemikian adanya. Terdapat juga yang mengatakan bahawa ada sebahagian mashaf, nun ditulis sebagai ﻧﻮﻥ. Huruf nun tidak dapat dipastikan sama ada merupakan hanya perwakilan abjad seperti Qaf - atau Alim, Lam, Mim ﺍﻟﻢ atau sebagainya atau merupakan perkataan? Sekiranya 'Nun' merupakan abjad, penulis sendiri tidak dapat menggarap maknanya. Hanya Tuhan lebih mengetahui. Sekiranya dinyatakan sebagai perkataan, 'nun' bermakna tempat dakwat atau dakwat itu sendiri. Sesuai dengan perkataan seterusnya “demi pena”. Pena pada zaman RasululLah S.A.W. memerlukan dakwat untuk melakukan kerja-kerja penulisan. Pena pada zaman ini adalah seperti papan kekunci tidak mengandungi dakwat fizikal. Tulisan yang dapat dibentuk adalah pada paparan monitor komputer dan sebagainya.

ii.    Sejenis Ikan pada 
       Peristiwa Yunus A.S

Nun – ﻧﻮﻥ, juga dinyatakan sebagai sejenis ikan (21:87). Iaitu sebangsa ikan paus yang menelan Nabi Yunus A.S. sebagaimana yang terdapat dalam kisah selanjutnya daripada surah ini.

iii.    Kepentingan Penulisan

Walaupun tulisan hanyalah sesuatu yang terdiri daripada dakwat di atas kertas atau lekukan pada batu bersurat atau tandaan piksel pada paparan monitor ataupun perwakilan binari pada ingatan cakera keras atau pemacu pena, namun tulisan memberi makna. Tulisan boleh jadi gambaran atau perwakilan simbol-simbol. Dakwat di atas kertas tidak membawa apa-apa erti, yang memberi pengertian adalah tanggapan manusia sendiri. Sebagai contoh wang yang ditakrif sebagai tandaan-tandaan dakwat pelbagai warna di atas dan di bawah permukaan kertas, sebenarnya tidak membawa apa-apa erti. Yang menerima kertas sedemikian sebagai wang adalah manusia dan bukannya makhluk-makhluk lain. Itupun bergantung kepada kesesuaian masa dan tempat. Wang pisang, kertas bercetak zaman penjajahan Jepun di Malaya, hanyalah diterima pada masa tertentu suatu masa dahulu dan kini nilai yang tinggal adalah nilai sejarah dan bukannya nilai wang itu sendiri. Tujuan dakwat-dakwat sedemikian ditandakan di atas kertas-kertas tertentu adalah semata-mata untuk menyampaikan maklumat daripada Tuhan kepada manusia, daripada manusia kepada manusia atau dari Bank Negara kepada rakyat. Sekiranya maklumat berjaya disampaikan, tandaan-tandaan dakwat sedemikian atau apajua yang menyerupainya dinamai sebagai tulisan, sama ada dalam bentuk simbol atau gambaran. Tulisan sedemikian membawa erti. Tandaan yang membawa erti yang dapat memindahkan maklumat sudah barang tentu membawa maksud bahawa terdapat sumber yang memberi maklumat dan terdapat sasaran yang menerima maklumat berkenaan. Tanpa sumber pemberi maklumat, sesuatu tandaan itu tidak dapat dikatakan sebagai tulisan bererti.





Wednesday, December 26, 2012

PENGAJIAN SURAH NUN AL-QALAM


بسم الله الرحمن الرحيم

Wahyu Sekitar Tiga Tahun Daripada Awal Kerasulan, Tertangguh Dalam Period Yang Lama

Surah Nun @  Surah Al-Qalam, adalah antara surah awal, yang diturunkan kepada junjungan RasululLah S.A.W, selepas terhenti seketika wahyu yang diturunkan melalui malaikat Jibrail A.S. Dalam sebahagian penerangan dinyatakan bahawa selepas surah Al-Alaq, adalah surah Al-Mudaththir selang beberapa ketika turunnya wahyu pertama sebagaimana yang didapati dalam kitab Sirah Nabawiyah karangan Al-Mubarakfuri. Ada juga yang berpendapat selepas turunnya surah Al-Alaq adalah surah Ad-Dhuha sebagaimana yang dinyatakan oleh Hussein Haekal. Namun dalam tafsir Al-Maraghi, surah Ad-Dhuha turun sesudah surah Al-Fajr yang kedudukannya sangat jauh jarak dari masa surah Al-Alaq diturunkan. Adapun surah Nun adalah selepas surah Al-Mudaththir dan tempohnya selepas surah Al-Alaq secara tepat tidaklah diketahui.




Sunday, December 23, 2012

KANDUNGAN YANG TELAH DIBINCANGKAN



ISI KANDUNGAN ERTI SEBUAH KEHIDUPAN

Terbunuh Di Jalan Tuhan Bukanlah Kematian

               i.      Wassol Ayat Tentang Mereka Yang 
                       Terbunuh Pada Jalan Allah Adalah 
                       Tidak Dikira Sebagai Mati 
              ii.      Kejayaan Itu Bersama Kesabaran

02:153  Mendapatkan Pertolongan Dengan Jalan Sabar

              i.       Sejarah Kejayaan Dan Kesabaran
             ii.       Ideologi Pemerintahan dan Corak Ekonomi 
                       Yang Berada Di Ambang Perubahan
             iii.      Manusia Kembali Kepada Kebebasan 
                       Beragama
             iv.      Menilai Semula Kesabaran
              v.      Sistem Kehidupan Yang Harus Diamalkan



              i.       Terbunuh Bukan Bermakna Mati
             ii.       Persiapan Yang Membawa Kematian


              i.       Bencana Besar-besaran Seluruh Dunia Yang 
                       Semakin Menjadi-jadi
             ii.       Aktiviti Manusia Yang Sangat Mencemari
            iii.       Tindakbalas Lautan Terhadap Pencemaran
            iv.        Kekurangan Hasil Tanaman

              i.       Kehidupan Dunia Bukanlah Matlamat
             ii.       Meyakini Setiap Diri Adalah Milik Tuhan 
                       dan Tuhan Maha Mengatur Segala-galanya

              Golongan Berpetunjuk

              i.       Hamba Bersambung Solatnya Kepada 
                       Tuhan Dan Tuhan Bersambung SelawatNya 
                       Kepada Hamba
             ii.       Mereka Itu Golongan Berpetunjuk
             iii.      Petunjuk Tuhan Yang Membawa Kehidupan

              i.       Konsep Melakukan Pengorbanan Yang 
                       Telah Ditinggalkan Umat
             ii.       Peribadatan Yang Tidak Menjurus 
                       Kepada Suatu Kehidupan
             iii.      Ibadah Haji Yang Lebih Menjurus Kepada 
                       Peluang Meraih Ekonomi Secara Melampau

              i.       Usaha Memusnah Kitab-kitab 
                       Tuhan Sejak Dahulu
             ii.       Ajaran Kitab Al-Qur'an 
                       Yang Disembunyikan
             iii.      Pembaca-pembaca Al-Qur'an 
                       Yang Dilaknat Allah
             iv.      Suatu Perancangan Teliti Supaya Umat 
                       Tertutup daripada Al-Qur'an.
             v.       Suatu Pilihan Untuk Umat Ini, 
                       Sama Ada Memilih Cara Beragama 
                       Yang Benar Atau Meninggalkan 
                       Terus Ajaran Agama, Demi Menempuh 
                       Suatu Kemajuan

             i.        Taubat Bermakna Tidak Lagi Melakukan 
                        Kerja-kerja Penyembunyian
            ii.         Melakukan Kerja-kerja Pemulihan
            iii.        Mempelajari Al-Bayan dan 
                        Menyampaikan Al-Bayan
            iv.        Kepelbagaian Cara Penyampaian Al-Qur'an
            v.         Tuhan Maha Menerima Taubat 
                        Lagi Maha Pengasih

             i.        Tidak Menyampaikan Atau Menerangkan 
                       Al-Qur'an Adalah Suatu Kekafiran.
            ii.        Kerja-kerja Penyampaian Al-Qur'an 
                       Yang Kini Telah Ditinggalkan
            i.        Laknat Yang Berterusan Ke Atas Pendakwah-
                      Pendakwah Yang Menyimpang
           ii.        Azab Yang Berterusan Yang Menimpa Mereka

            i.       Seruan Untuk Kembali Mengesakan Tuhan
           ii.       Mengesakan Tuhan Maha Pemurah
                     Maha Pengasih

Pengajaran Bagi Erti Sebuah Kehidupan 



Thursday, December 20, 2012

SURAH AL BAQARAH AYAT 163 -- SERUAN KEPADA SEMBAHAN YANG MAHA ESA


و الهكم اله واحد  لا اله الا هو الرحمن الرحيم


Dan sembahan kamu, sembahan Yang Maha Esa. Tiada sembahan melainkan Dia, Yang Maha Pemurah, Maha Pengasih.

dan Tuhan kamu ialah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain dari Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Bermula himpunan ayat bahagian ini adalah tentang langkah mendapatkan pertolongan Tuhan dengan jalan sabar dan kesinambungan solah, diikuti dengan takrifan bagi kehidupan. Manusia diuji untuk menempuh kehidupan mereka di bumi dan segala agenda kehidupan yang berlaku adalah menjadi kehendak dan ketentuan Tuhan. Ayat selanjutnya mengkhabarkan tentang hubungan dua hala antara Tuhan dan golongan berpetunjuk melalui konsep peribadatan solah dan pengorbanan haji.

Konsep peribadatan haji adalah peribadatan yang mengambil sempena pengorbanan dan perkara ini menjurus kepada usaha pengorbanan umat ini kepada Tuhan dalam menempuh kehidupan beragama. Perkara ini kini telah menjadi suatu yang semakin dilupai umat. Hal ini terjadi atas sebab kerja-kerja aktif penyembunyian Al-Qur'an yang dilakukan sendiri oleh individu-individu yang dipercayai umat, yang berada dalam agenda agama.

i.     Seruan Untuk Kembali Mengesakan Tuhan

Pengertian daripada ayat ini adalah untuk mengingatkan kembali bahawa Tuhan sembahan bagi umat manusia adalah Tuhan Yang Maha Esa. Seruan untuk kembali menyembah kepada Tuhan Yang Maha Esa adalah dengan mengenali terlebih dahulu sifat Tuhan Al-Rahman (Maha Pemurah) dan Al-Rahim (Maha Pengasih). Mengenali sifat Tuhan, Yang Maha Pemurah adalah menjurus kepada mengakui hakikat bahawa Tuhan Al-Rahman adalah Tuhan yang telah mengajari manusia darihal Al-Qur'an, darihal kejadian manusia dan yang mengajar manusia keterangan-keterangan (55:01 – 55:04). Oleh itu, beriman kepada Tuhan bersifat Al-Rahman adalah dengan mengambil pendirian bahawa Tuhan memiliki peranan kepada setiap individu untuk menyampaikan mereka kepada kefahaman tentang Al-Qur'an, tentang kejadian manusia itu sendiri serta keterangan-keterangan Al-Qur'an.

ii.   Mengesakan Tuhan Maha Pemurah, 
      Maha Pengasih

Mengakui keesaan Tuhan Maha Pemurah, Maha Pengasih adalah dengan mengakui hanya Tuhan sebagai pendidik manusia semata-mata. Mengambil pihak-pihak lain sebagai pendidik-pendidik selain daripada Tuhan adalah suatu langkah yang menjurus kepada kesyirikan. Mengambil manusia selaku pengajar Al-Qur'an tidak harus mendahului Tuhan yang melakukan peranan sebagai pengajar Al-Qur'an dan penyerahan individu kepada ulama-ulama atau tuan-tuan guru dalam memperjelas sesuatu hukum dalam agama tidak harus sampai kepada pengiktirafan seolah-olah seseorang ulama atau guru itu adalah sumber hukum atas perkara-perkara agama sehingga perlu ditaati.

Secara ringkasnya, penulis ingin menjelaskan bahawa tugas individu adalah mengambil jalan untuk memahami Al-Quran daripada ulama-ulama dan bukan bertujuan untuk mentaati mana-mana ulama. Mentaati seseorang individu adalah kerana individu itu adalah pemimpin yang telah dipersetujui lebih awal atas lantikan, yang harus hanya menjurus kepada perkara yang diperintah atau yang dibenarkan oleh Tuhan.

iii.  Bagaimanakah Pendirian Yang Harus 
      Seseorang Ambil?

Kita semua sedia maklum bahawa setiap individu akan menghadap Tuhannya secara sendiri-sendiri dan tidak akan ada pihak lain yang sanggup menolong menghadap Tuhan bagi pihaknya, dan kita juga sedia maklum bahawa setiap individu akan melalui titian sirath secara sendirian dan tidak akan ada pihak lain yang mampu menolongnya. Itu adalah atas perkara di Akhirat nanti di hadapan Tuhan Azza Wajalla. Begitulah juga perkara yang harus berlaku di dunia ini, sebagai sikap yang harus ditunjukkan oleh setiap individu, tentang pendirian agama masing-masing.

Oleh itu apakah kewajaran untuk seseorang menerima fatwa-fatwa agama secara bulat-bulat daripada mana-mana Majlis Fatwa tanpa sebarang penjelasan yang seseorang harus pelajari? Begitu juga, apakah kewajaran yang harus individu taati daripada pengajaran mana-mana guru atau ulama darihal perkara yang melibatkan pengajaran Al-Qur'an tanpa penjelasan teliti daripadanya. Wajarkah umat dibiarkan begitu sahaja untuk bertaqlid atas perkara agama? Sehingga kini, apabila banyak pemakanan umat masa ini membawa masalah kesihatan yang serius, mana dia ulama yang berani bangun dan bersuara? Oleh kerana tidak terdapat mana-mana pihak yang berani bangun untuk memperbetul permasalahan sedemikian, wajarkah kita tetap berpendirian bahawa cara beragama kita ini selama ini adalah benar-benar dalam keadaan yang benar.



Saturday, December 15, 2012

SURAH AL BAQARAH AYAT 162 -- AZAB KEPADA MEREKA YANG MENINGGALKAN KERJA DAKWAH


خلدين فيها لا يخفف عنهم العذاب و لا هم ينظرون

Yang berkekalan padanya, tidak ia (jadi) ringan dari mereka akan azab dan tidak (pula) mereka diberi tangguh. 

mereka kekal di Dalam laknat itu, tidak diringankan azab sengsara dari mereka dan mereka pula tidak diberikan tempoh atau perhatian.

Penjelasan sebelum ini telah menyatakan suatu keadaan bagaimanakah kitab-kitab suci Tuhan kini telah menjadi suatu yang disembunyikan? Sebenarnya kerja-kerja penyembunyian Al-Qur'an telahpun menjadi sangat rancak bermula zaman penjajahan. Sebaik sahaja penjajahan berlaku, pihak penjajah sendiri telah memberi galakan penubuhan sekolah-sekolah agama yang silibus pelajarannya telah dikawal selia oleh mereka dan juga pelajaran agama dijadikan pelajaran opsyen di sekolah-sekolah milik pemerintah, sama tarafnya dengan pendidikan seni lukisan. Mereka bukan sahaja menguasai corak pendidikan sepenuhnya pada peringkat sekolah rendah lagi bahkan sehingga ke peringkat yang lebih tinggi contohnya seperti silibus pengajian di universiti Al-Azhar. Kini apabila guru-guru para graduan kembali ke tanah air, mereka dikehendaki mengajar perkara khusus sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pemerintah dan mereka sama sekali dilarang menyimpang daripada sukatan pelajaran yang diberikan.

Sudah tentulah pengajar-pengajar ini akan mengajar sepenuh perkara, menurut pengalaman yang mereka perolehi semasa mereka di luar negara dahulu dan mereka langsung tidak dikhuatirkan untuk mengajar perkara yang dianggap kurang menyenangkan pihak pemerintah ataupun pihak penjajah semasa mereka sedang menguasai negara.

i.    Laknat Yang Berterusan Ke Atas Pendakwah-
      Pendakwah Yang Menyimpang

Bermula daripada kekangan sedemikian, fitnah mula berlaku sedikit demi sedikit dalam masyarakat Islam. Mereka telah dipaksa untuk menuruti sistem ekonomi kapitalis berasaskan riba yang direstui sendiri oleh ilmuwan-ilmuan yang telah dilatih khas menurut kaedah penjajah. Ilmuwan-ilmuan itu menjawat jawatan penting di institusi agama untuk melaksanakan tugas yang telah mereka pelajari di bawah pengaruh penjajah. Akhirnya kita dapati umat Islam kini berkeadaan melarat dalam kemewahan. Mereka menjadi hamba abdi tanpa tuan yang mereka ketahui dan melakukan kerja yang diperintahkan melalui teks-teks arahan dan mereka menjadi banduan tanpa melakukan sebarang kesalahan yang mereka maklumi dan mendiami penjara tanpa jeriji besi yang kelihatan. Mereka tak dapat berbuat apa-apa juapun terhadap permasalahan sosial yang melanda umat masakini dan mereka hanya dapat melihat tanpa dapat mengambil sebarang tindakan terhadap aktiviti pemurtadan.

Matrix sedang mengelilingi kita sehingga kita tidak
sedar bahawa kita adalah hamba dan banduan.

Wajarkah umat dipersalahkan sepenuhnya atas permasalahan yang berlaku? Wajarkah penjawat-penjawat dipersalahkan kerana mereka hanya bersedia untuk mematuhi setiap teks arahan yang mereka terima dan melaksanakan arahan itu? Wajarkah pemerintah dipersalahkan, kerana setiap individu pemerintah tentunya melihat pada suatu sudut demi mengekalkan pemerintahannya? 

Yang wajar dipersalahkan adalah pendakwah-pendakwah yang mengetahui perkara sebenarnya, yang mereka memilih untuk menyembunyikan Al-Qur'an daripada diketahui oleh setiap individu umat. Mereka ini bukanlah pendakwah-pendakwah yang menerima gaji atau upah daripada mana-mana pihak dan mereka mempunyai kebebasan untuk menyampaikan perkara benar, namun mereka tidak melakukannya. Mereka inilah individu yang dilaknat Tuhan, dilaknat malaikat dan dilaknat oleh seluruh manusia nantinya.

ii.   Azab Yang Berterusan Yang 
      Menimpa Mereka

Penjajahan telahpun berlalu lebih setengah abad yang lalu. Sistem yang terbina di negara ini selepas berakhirnya pemerintahan British, adalah suatu natijah daripada kehancuran kerajaan-kerajaan Melayu silam seperti kerajaan Patani-Langkasuka, kerajaan Melaka dan kerajaan Srivijaya. Sehingga kini, tiada satupun individu di negara ini dapat dikatakan berkuasa secara mutlak dalam urusan mentadbir negara. Sekalipun kuasa legislatif dan eksekutif diserahkan oleh rakyat dan kesultanan kepada kerajaan berasaskan parti untuk setiap 4 atau 5 tahun sekali, kebajikan rakyat menjadi perkara utama dalam menentukan kelangsungan sesuatu pemerintahan.

Namun di atas kepentingan individu pemerintah yang ingin terus selesa dan kekal di tampuk pemerintahan, sebarang polisi yang dilaksanakan tentunya sesuatu yang berkaitan dengan individu pemerintah. Lama kelamaan, perkara demikian dapat disaksikan sendiri oleh pendukung-pendukung mereka yang sentiasa memberikan sokongan kuat selama ini. Tidak dapat tidak, kepentingan negara akhirnya tidak dapat diagihkan secara seimbang untuk dinikmati rakyat secara keseluruhannya apabila sebahagian besarnya hanya diagihkan kepada golongan yang condong kepada pemerintahan. 

Apajua ketidak seimbangan yang berlaku akhirnya menjurus kepada permasalahan ekonomi, kebejatan sosial, kecelaruan identiti yang akhirnya memuncak kepada permasalahan pegangan agama. Sepertimana yang berlaku di negara-negara Barat, institusi agama, bukan lagi merupakan badan yang dihormati melainkan atas tujuan perkahwinan dan kematian. Sehingga ke suatu peringkat, apabila berlaku pertembungan agama dan politik, ahli-ahli agama akan dijadikan sasaran fitnah yang membawa kemudaratan kepada umat. Apabila institusi agama menjadi sangat-sangat tidak dihormati, umat ini telah melalui kebebasan untuk mengahwini sesiapa sahaja sehingga bilangan murtad dalam kalangan umat ini meningkat dengan mendadak.



Tuesday, December 11, 2012

SURAH AL BAQARAH AYAT 161 -- MEREKA YANG MATI TERLAKNAT


ان الذين كفروا و ماتوا و هم كفار اولئك
عليهم لعنة الله و الملئكة و الناس اجمعين

Sesungguhnya orang-orang yang telah ingkar mereka dan telah mati mereka sedang mereka yang mengingkari, mereka itulah ke atas mereka laknat Allah dan malaikat-malaikat dan manusia seluruhnya.

Sesungguhnya orang-orang Yang kafir, dan mereka mati sedang mereka tetap Dalam keadaan kafir, mereka itulah orang-orang Yang ditimpa laknat Allah dan malaikat serta manusia sekaliannya.

Kematian orang kafir suatu yang dilaknat! Bukan sahaja dilaknat Tuhan, bahkan seluruh malaikat dan manusia seluruhnya. Ayat-ayat sebelum ini telah menjelaskan perkataan laknat iaitu kepada pembaca-pembaca Al-Qur'an yang menyembunyikan Al-Qur'an dan yang menyembunyikan penerangan-penerangan Al-Qur'an daripada diketahui oleh manusia. Adakah penulis menyatakan sedemikian? Pembaca harus sedia maklum tentang ayat ini dan memberikan pertimbangan serius terhadap ancaman kepada mereka yang menyembunyikan Al-Qur'an daripada diterangkan kepada manusia.

i.    Tidak Menyampaikan Atau Menerangkan 
      Al-Qur'an Adalah Suatu Kekafiran.

Siapakah dia, mereka yang ingkar lantaran tidak menyampaikan Al-Qur'an? Iaitu mereka yang berilmu dengan Al-Qur'an tetapi mengambil pendirian untuk menyembunyikannya daripada pengetahuan manusia atau menyediakan suatu keadaan agar manusia berkeadaan jahil. Yang akan dipersoalkan oleh ramai pihak ialah bahawa ayat ini 02:161 adalah ayat yang terpisah daripada ayat 02:160 dan ayat 02:160 juga terpisah daripada ayat sebelum itu iaitu 02:159. Lalu bolehkah ayat ini diambil untuk menerangkan bahawa mereka yang berpengetahuan Al-Qur'an yang beragama Islam, yang menghindari kerja-kerja menerangkan Al-Qur'an, dikira sebagai kafir dan dinyatakan Tuhan, bahawa mereka akan menempuh kematian dalam keadaan kekafiran? Bukankah perkara keimanan dan kekafiran seseorang adalah rahsia Tuhan dan hanya Tuhan sahaja yang mengetahui? Penulis sebenarnya bersetuju dengan kenyataan sedemikian dan penulis juga tidak ingin untuk mengadakan suatu fatwa yang bukan-bukan.

Namun, dapatkah pembaca dan penulis sendiri menyatakan dengan anggapan yang sama bahawa ayat 02:161 adalah terpisah daripada ayat seterusnya 02:162, yang menyatakan azab Tuhan, tidak akan diringankan kepada golongan ingkar?

ii.    Kerja-kerja Penyampaian Al-Qur'an 
       Yang Kini Telah Ditinggalkan.

Tidak kira, kaedah apajua yang harus dilakukan, kerja-kerja penerangan Al-Qur'an itu sendiri, pada masa ini telah lama ditinggalkan oleh umat ini secara besar-besaran. Hanya sebilangan kecil sahaja, amalan penerangan Al-Qur'an masih dipraktikkan. Wajarkah umat dipersalahkan dan dijatuhkan hukum kepada mereka? Pihak yang lebih bersalah adalah mereka yang berpengetahuan agama yang telah menghindari kerja-kerja menyampaikan penerangan Al-Qur'an kepada umat ini, sebagaimana yang disebutkan dalam ayat ini dan ayat sebelumnya.

Apabila menghadapi persoalan penting yang melibatkan dua perkara penting, yang manakah perintah yang harus diutamakan dan didahulukan? Contohnya adalah perkara hudud dan perkara penyampaian ayat-ayat Tuhan, adalah dua parkara penting yang harus dilaksanakan. Sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini, perkara hudud adalah hukum Tuhan dan menjadi perkara utama yang wajib dilaksanakan. Namun apabila kita berhadapan dengan ahli masyarakat serta kepimpinan yang menentang perlaksanaan hudud dengan berbagai-bagai alasan, penyampaian ayat-ayat Tuhan adalah suatu yang harus didahulukan.

Penerangan ayat-ayat Tuhan harus sampai kepada segenap manusia agar mereka dapat terlepas daripada kejahilan tentang ayat-ayat Tuhan. Begitulah tugas RasululLah S.A.W. dan baginda tidak diutuskan untuk mengutamakan agenda merebut kerusi pemerintahan.


Tuesday, December 4, 2012

SURAH AL BAQARAH AYAT 160 -- MENUKAR CARA KITA BERAGAMA



الا الذين تابوا و اصلحوا  وبينوا فاولئك
اتوب عليهم و انا التواب الرحيم

Melainkan orang-orang yang telah bertaubat mereka dan telah melakukan kerja-kerja pemulihan mereka dan telah memberi penerangan mereka. Maka mereka, AKU terima taubat ke atas mereka, dan AKU Maha Penerima Taubat lagi Maha Pengasih.

kecuali orang-orang Yang bertaubat, dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta menerangkan (Apa Yang mereka sembunyikan) maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

i.   Taubat Bermakna Tidak Lagi Melakukan Kerja-
      kerja Penyembunyian

Kembali kepada ajaran agama bukanlah bermakna kembali kepada kemunduran atau keadaan primitif, seperti yang dijadikan tanggapan oleh sebahagian pemimpin sekular. Kembali kepada agama, tidak juga dengan melakukan kempen supaya undang-undang hudud adalah langkah awal yang perlu dilaksanakan atau melakukan usaha merampas hak pemerintahan. Langkah awal daripada himpunan ayat ini menunjukkan bahawa kembali kepada ajaran agama adalah dengan kembali bertaubat. Langkah pertama yang perlu dilakukan ialah meninggalkan sebarang usaha menyembunyikan ayat-ayat Tuhan. Penulis telah terangkan sebelum ini bahawa ajaran-ajaran Al-Kitab sedia ada telahpun disembunyikan dengan pelbagai cara dan adalah menjadi tugas kita semua untuk meninggalkan sebarang ajaran agama yang membawa kepada penyembunyian ayat-ayat Tuhan.

Penulis tidak bermaksud supaya pembaca meninggalkan pengajian-pengajian seperti tajwid, muamalat, feqah dan sebagainya yang dapat dipelajari di mana-mana pengajian, hanya penulis ingin menekankan, mana-mana pengajian agama yang hanya menumpukan kepada subjek permasalahan yang disebutkan, tanpa membuka ruang kepada pembacaan Al-Qur'an dengan sebenar-benar pembacaan, pengajian sedemikian itu haruslah ditinggalkan.

ii.   Melakukan Kerja-kerja Pemulihan

Melakukan kerja-kerja pemulihan adalah terhadap kerosakan yang berlaku. Perkara yang awal sekali untuk mengenal pasti bentuk kerosakan yang berlaku adalah dengan merujuk kepada panduan Al-Qur'an. Al-Qur'an dapat dijadikan ukuran terhadap rujukan kerosakan atau ketidak seimbangan yang telah terjadi terhadap alam ini. Dalam penerangan surah-surah selepas ini, pertimbangan dapat dilakukan terhadap bentuk kerosakan yang telah terjadi di mukabumi ini dan disusuli dengan langkah-langkah kerja pemulihan yang perlu dilaksanakan. Kerosakan telah berlaku terhadap alam sekitar, begitu juga dengan kerosakan yang disebabkan oleh sistem kehidupan yang diamalkan oleh kebanyakan manusia. Manusia kini mula merasai mendiamai planet yang merbahaya untuk didiami. Mereka kini tidak lagi perlu bertangguh dalam menerima panduan Tuhan dan seterusnya melakukan gerak kerja pemulihan.

iii.    Mempelajari Al-Bayan dan Menyampaikan Al-Bayan

Dengan memerhatikan perintah Tuhan ﻭﺑﻴﻨﻮﺍ, tidak bermakna yang memiliki kesedaran bertaubat kepada Tuhan, mengambil langkah drastik memulai langkah memberi penerangan tentang ayat-ayat Tuhan seluas-luasnya kepada orang ramai. Pelbagai tafsiran telah dibuat tentang Al-Bayan dalam Al-Quran. Apabila Jibril A.S. menyampaikan wahyu Tuhan kepada Muhammad RasululLah S.A.W., tugas Jibril A.S. seterusnya adalah memberi penerangan kepada RasululLah S.A.W. tentang maksud serta tafsiran ayat. RasululLah S.A.W. memahami ayat-ayat Tuhan dan seterusnya menyampaikan kepada para sahabat baginda R.A.H.M, dan maklumat penerangan sedemikian dinamai sebagai sunan yang kemudiannya dikenali sebagai Al-Hadith. Pengamalan baginda yang dapat diperolehi melalui Al-Hadith dinamai sebagai As-Sunnah. Oleh itu, sebahagian penafsir menyatakan bahawa Al-Hadith yang disampaikan oleh RasululLah S.A.W. adalah salah satu bentuk Al-Bayan kepada kitab Al-Qur'an.

iv.   Kepelbagaian Cara Penyampaian Al-Qur'an

Oleh kerana terdapat kepelbagaian kefahaman cara mana Al-Qur'an itu perlu difahami, penulis tidak bermaksud mempertikaikan kaedah manakah yang harus dituruti? Setelah berlalu suatu tempoh masa sangat lama bermula daripada kewafatan RasululLah S.A.W. disusuli dengan kewafatan Khulafa' Ur Rashidin Al Mahdiyin, iaitu sahabat Syaidina Abu Bakar R.A. dan Syaidina Umar R.A., kefahaman terhadap kaedah penerangan telah menempuh perubahan. Pertikaian kefahaman dalam kalangan para sahabat RasululLah S.A.W. R.A.H.M., sendiri selepas itu, telah mengakibatkan berlaku pertempuran yang sangat besar di antara mereka dan memakan korban sekitar sejumlah 120,000 umat Islam. Oleh itu, kaedah penerangan Al-Qur'an adalah merupakan kaedah yang sentiasa dipertikaikan sejak dahulu lagi. Nanti dulu. Sebahagian penjelasan yang penulis terangkan sebelum ini hanyalah merupakan suatu yang difahami oleh penulis berdasarkan wasol ayat dan penulis telah mengambil kaedah ijmak yang merangkumkan suatu himpunan ayat membentuk suatu kefahaman. Penulis sebenarnya mempunyai hujah tertentu daripada ayat Al-Qur'an sendiri yang menjurus kepada kaedah sedemikian. Oleh kerana bukan selayaknya untuk penulis mempertikaikan sebarang kaedah sedia ada, penulis sebenarnya hanya melontarkan suatu kaedah kefahaman dan diharap dapat dijadikan perbahasan yang membina.

v.   Tuhan Maha Menerima Taubat Lagi Maha Pengasih

Oleh yang demikian, tidak perlu kita perbahaskan, kaedah penerangan manakah yang sangat menghampiri kebenaran dan kaedah penerangan manakah kurang kejituannya? Sebelum mengakhiri ayat ini, Tuhan telah menjelaskan sifatNya yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Pengampun. Dalam usaha mempelajari penerangan-penerangan dan melaksanakan penyampaian sebahagian penerangan Al-Qur'an, tentunya kita akan melalui kesilapan dan kesalahan dan Tuhan Maha Memaklumi perkara demikian. Tuhan telah menyatakan kesediaannya untuk mengampuni kita dan adalah tugas kita semua untuk meneruskan usaha memahami penerangan Al-Quran daripada pihak manajua sekalipun dan seterusnya melakukan kerja-kerja penyampaian.

Sejarah penyebaran Al-Qur'an telah melalui proses 'evolusi'nya tersendiri. Bermula dengan Muhammad RasululLah S.A.W. yang menyampaikan penerangan-penerangan Al-Qur'an melalui Jibril A.S. Disusuli oleh Syaidina Abu Bakar R.A. dan Syaidina Umar R.A. yang lebih banyak menggunakan ijtihad mereka sendiri, atas perkara-perkara agama yang menjadi perselisihan umat pada zaman mereka berdua. Seterusnya pada zaman fitnah pada masa pemerintahan Syaidina Uthman R.A. dan Syaidina Ali R.A. pengajaran Al-Qur'an telah mulai dicerobohi sama ada melalui tokok tambah yang dilakukan oleh golongan pelampau ataupun pengabaian amalan oleh sesetengah pihak yang berkepentingan. Pada masa itu penjelasan Al-Qur'an telah dilakukan melalui ketajaman pedang agar kesucian Al-Qur'an tetap terpelihara yang sebahagian besarnya telah dapat kita saksikan pada masa ini. Pada masa pemerintahan khalifah-khalifah sesudah itu, penyalinan Al-Qur'an telah dilakukan dengan meluas sehingga dapat dicapai oleh hampir keseluruhan umat Islam pada masa ini.

Kaedah penerangan-penerangan Al-Qur'an telah melalui perubahan dengan menjadikan Al-Hadith sebagai rujukan kedua dalam agama sehingga pengajaran Al-Hadith telah dipisahkan daripada Al-Qur'an. Kepelbagaian ilmu telah diperolehi daripada Al-Qur'an dan Al-Hadith sehingga mewujudkan silibus-silibus baru dalam agama seperti falsafah, muamalah, munakahah, tajwid, sirah, feqah, tasawuf, ilmu tauhid serta aqidah dan sebagainya. Sehingga kini, seseorang itu sudah boleh digelar ustaz (yang merupakan sebahagian tahap ulama), semata-mata kerana kemahirannya menyampaikan ilmu tajwid dan kemahiran membaca Al-Qur'an menurut disiplin tertentu!




Saturday, December 1, 2012

SURAH AL-BAQARAH AYAT 159 -- KITAB-KITAB SUCI YANG KINI DISEMBUNYIKAN


ان الذين يكتمون ما انزلنا من البينت و الهدى
من بعد ما بينه للناس فى الكتب
اولئك يلعنهم الله و يلعنهم اللعنون

Sesungguhnya, orang-orang yang, mereka sentiasa menyembunyikan, apa-apa yang, telah menurunkan Kami, daripada penerangan-penerangan dan petunjuk, daripada sesudah, apa yang, telah menerangkan Kami akannya, bagi manusia pada Al-Kitab, mereka itu, Ia melaknat akan mereka oleh Allah, dan ia melaknat akan mereka oleh pelaknat-pelaknat.

Sesungguhnya orang-orang Yang menyembunyikan apa Yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di Dalam Kitab suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.

i.     Usaha Memusnah Kitab-kitab Tuhan Sejak 
       Dahulu Lagi

Injil telah berjaya dimusnahkan begitu juga dengan Taurat, kemusnahan Injil telah digantikan dengan ajaran-ajaran Bible dan kemusnahan Taurat pula telah digantikan dengan ajaran Talmud. Bahkan ajaran-ajaran Bible telahpun dimusnahkan dengan terdapat teori-teori pertemuan baru yang mengajar tentang evolusi sehingga manusia dikatakan memiliki nenek moyang berupa kera-kera besar zaman dahulu kala. Dengan mempercayai ajaran teori evolusi yang sehingga kini masih lagi dikatakan sebagai teori, keimanan manusia darihal penciptaan Adam A.S. sebagai manusia pertama akan terhapus sedikit demi sedikit. Sebenarnya pencerobohan juga berlaku terhadap umat Islam.

ii.     Ajaran Kitab Al-Qur'an Yang Disembunyikan

Nasib yang menimpa kitab Bible dan Torah, juga dialami oleh Kitab Al-Quran. Kiranya kitab Bible dan Torah telah dimusnahkan tanpa perlu membakarnya, sehingga semakin kurang dibaca, kitab Al-Qur'an tidaklah diperlaku sedemikian rupa. Bahkan kitab Al-Qur'an adalah kitab yang seringkali dibaca dan memiliki pembaca paling ramai berbanding mana-mana bahan bacaan yang lain. Hanya pengajarannya semakin ditinggalkan oleh umat ini.

Al-Qur'an disembunyikan dengan cara menyusahkan corak pembelajarannya. Pembaca-pembaca Al-Qur'an secara umumnya lebih terpedaya dengan not-not lagu seolah-olah ianya suatu nyanyian yang didendangkan dengan harkat-harkat serta kaedah tajwid tertentu. Pembacaan tajwid (sekalipun suatu kewajiban) adalah terlalu ditekankan sehingga menghilangkan tumpuan pembaca terhadap pengertian serta pengajaran ayat-ayat itu sendiri.

iii.     Pembaca-pembaca Al-Qur'an Yang Dilaknat Allah

Penulis tidaklah bermaksud bahawa seseorang itu harus meninggalkan kepentingan ilmu tajwid untuk tujuan membaca Al-Qur'an, namun penulis melihat permasalahan yang serupa sejak dahulu lagi sehingga sebahagian besar umat ini yang mengerjakan solah, langsung tidak mengerti dan tidak juga memahami sebarang jua bacaan yang disebutkan. Dan antara perkara yang menyedihkan adalah, setiap pembaca Al-Qur'an seolah-olah diugut, sekiranya mereka tidak memberi tumpuan sepenuhnya dengan ketepatan tajwid dalam pembacaan mereka, melebihi kepentingan memahami serta mengambil pelajaran tertentu dari Al-Qur'an, mereka dikatakan telah terjurus kepada suatu dosa.

iv.     Suatu Perancangan Teliti Supaya Umat Tertutup
        daripada Al-Qur'an.

Di mana-mana jua dalam kalangan umat ini pada masa ini, mereka sangat beriktilaf tentang Al-Qur'an. Mereka beriktilaf darihal pengagihan zakat sehingga kutipan zakat tidak disampaikan kepada asnaf yang benar. Bukan itu sahaja, mereka juga terlalu beriktilaf darihal kutipan zakat, daripada kelayakan pengutip zakat sehinggalah kepada cara-cara zakat itu dikutip. Mereka sangat beriktilaf darihal haramnya pengamalan riba, darihal riba yang dikatakan berganda dan tidak berganda dan kelonggaran mengamalkan riba walhal ianya sesuatu yang diharamkan sama sekali dalam Al-Qur'an. Mereka juga sangat beriktilaf tentang Al-Qur'an itu sendiri, darihal kewajiban keterlaluan dalam menjaga cara bacaannya, darihal kerja-kerja penafsiran dan penterjemahan serta hukum mempelajari Al-Qur'an. Sehingga akhirnya apabila muncul karangan seorang ahli sekular tentang penilaian semula Al-Hadith, sebahagian umat ini tiba-tiba bersetuju untuk menggelojohi Al-Qur'an dan sebahagian yang lain meletakkan Al-Hadith sebagai rujukan kedua setelah Al-Qur'an.

Umat jadi keliru sehingga akhirnya kita dapati mereka lebih menggelojohi kata-kata ulama berbanding Al-Qur'an itu sendiri. Mereka lebih banyak membaca kitab-kitab hukum yang ditulis oleh ulama-ulama tertentu sehingga menyebabkan mereka tidak lagi melibatkan diri dalam syarah-syarah agama yang berkaitan dengan hukum hakam. Mereka menyerah bulat-bulat atas segala perkara agama kepada ulama-ulama, tok-tok lebai, tuan-tuan kiyai semata-mata dan meninggalkan kalam Tuhan daripada diperbahaskan. Benar atau tidaknya pendirian ulama-ulama sedemikian dan juga cara beragama umat ini, bukanlah menjadi perkara yang suka penulis pertikaikan. Namun apa yang dapat dilihat secara jelas dan nyata yang tidak dapat dinafikan oleh mana-mana pihak ialah, umat Islam kini berada dalam suatu situasi yang gejala permasalahan sosial adalah suatu yang terjadi secara merata-rata pada masa ini. Kejadian murtad dalam kalangan umat semakin menjadi-jadi. Kejadian pembunuhan berlaku hampir setiap hari dan terpampang di dada akhbar. Pecah amanah dan rasuah dalam pentadbiran adalah perkara biasa. Permusuhan kalangan umat telah menunar dalam ahli keluarga sehingga kehidupan warga tua telah terabai dan mereka hanya dijagai oleh penjaga-penjaga yang diberi upah.

v.    Suatu Pilihan Untuk Umat Ini, Sama Ada 
       Memilih Cara Beragama Yang Benar Atau 
       Meninggalkan Terus Ajaran Agama, 
       Demi  Menempuh Suatu Kemajuan.

Masih lagikah kita pertahankan bahawa cara beragama kita selama ini adalah cara beragama yang paling benar? Masih lagikah kita berpegang bahawa segala fatwa yang kita turuti masakini adalah suatu keputusan yang paling tepat dan memberi kesan menyeluruh yang dapat memperbaiki kehidupan umat. Atau kita biarkan sahaja permasalahan yang berlaku dan mengambil pendirian "apa nak jadi, jadilah". Kita terima sahaja pendirian sekularis bahawa ajaran agama bukan lagi merupakan suatu yang releven untuk dituruti. Kita kembali ke zaman barbarian iaitu siapa yang kuat lagi berpengaruh maka dia sahajalah yang layak untuk hidup dan menindas serta menzalimi pihak yang lemah. Agama itu sendiri haruslah dianggap sebagai batu penghalang kepada umat ini yang menggagalkan mereka mencapai suatu teknologi agar mereka dapat bebas di angkasaraya. Dengan meninggalkan ajaran agama, pastinya manusia suatu masa nanti akan dapat mencipta rahim buatan yang dapat membiakkan manusia pada jumlah yang banyak dan mereka tidak lagi memerlukan sebarang hubungan perkahwinan yang membenihkan rasa kasih sayang. Pada masa itu manusia menjadi sangat berkuasa dan tidak lagi memerlukan Tuhan dan bumi ini.


 

Popular