ما انت بنعمة ربك بمجنون
Sekali-kali
bukanlah engkau, dengan nikmat Tuhan engkau, yang gila.
Engkau
(Wahai Muhammad) - Dengan sebab nikmat pemberian Tuhanmu, bukanlah
seorang gila (sebagai-mana Yang dituduh oleh kaum musyrik, bahkan
Engkau adalah seorang Yang bijaksana).
i.
Wahyu Tuhan Sebagai Nikmat Tuhan
Nikmat Tuhan adalah perutusan daripada Tuhan yang dapat dituliskan. Ayat ini yang telah disediakan Tuhan, tersimpan pada malaikat Jibril A.S., yang memberitahu bahawa Muhammad RasululLah S.A.W. akan dituduh sebagai gila lantaran menyampaikan perutusan Tuhan. Perkataan gila atau waras, sebagaimana sempena ayat ini adalah ukuran manusia semata-mata. Apabila sekumpulan manusia menghadapi suatu perkhabaran baru yang tidak selari dengan kebiasaan mereka, kepentingan mereka atau kefahaman mereka, maka dengan serta merta mereka akan membuat tuduhan gila. Contoh, apabila kesaksian syahadah seorang muslim adalah perkara yang dituntut kesaksiannya sepertimana saksi dalam nikah kahwin, maka pernyataan sedemikian dianggap sebagai pernyataan gila. Siapakah di antara kita yang disaksikan keislamannya dan berapa ramai daripada kita yang telah mengambil kesaksian syahadah seseorang? Mereka dengan segera menerima pernyataan sedemikian sekiranya yang menerima Islam itu adalah daripada golongan mualaf yang baru menerima agama Islam. Tuduhan sedemikian adalah disebabkan oleh ukuran rutin masyarakat masakini serta kefahaman kebiasaan mereka. Ukuran seperti inilah sebenarnya ukuran gila.
ii.
Gila Lantaran Memperolehi Nikmat
Kita
biasa mendengar istilah kaya mengejut. Pemperolehan yang bukan
dikeranakan oleh usaha bersungguh-sungguh. Nikmat sedemikian boleh
mengakibatkan seseorang menjadi gila. Seseorang akan mengalami
perubahan tingkahlaku serta mengambil sikap sehingga memutuskan
silaturahim lantaran merasakan dirinya dimuliakan (89:15). Dalam
hidup kita, tentunya kita biasa menyaksikan tentang kedudukan
seseorang yang memenangi hadiah pertaruhan perjudian, yang dengan
segera melakukan sesuatu yang akhirnya mengakibatkan kerugian kepada
dirinya sendiri. Ia tidak dapat menggunakan kesempurnaan akalnya
disebabkan pemperolehan nikmat sedemikian. Namun gila seperti ini
bukanlah gila lantaran kehilangan akal tetapi gila lantaran tidak
dapat menggunakan akal. Gila nikmat seperti ini adalah perkara
lumrah dalam kehidupan manusia. Lantaran manusia
telah diciptakan dengan lumrah sedemikian
(70:19/20/21) terangsang seperti bangsa jin (72:13). Mereka cepat
bertindak tanpa memikirkan akibat yang bakal terjadi.
iii.
Nikmat dan Kesan Perutusan
Perutusan
Tuhan adalah merupakan wahyu. Sebahagian yang lain
adalah daripada ilham yang kuat. Ceritera pernah
mengkhabarkan tentang penemuan prinsip Archemidis
iaitu tentang ilham yang ia perolehi untuk menentukan ketulenan emas
yang digunakan untuk membentuk mahkota raja. Atas penemuan
sedemikian yang diperolehinya, semasa ia sedang berada di tab mandi,
menjadikan ia sangat gembira sehingga berlari tidak sedarkan dirinya
bertelanjang bulat. Kita juga biasa menerima perkhabaran gembira sama
ada melalui surat atau melalui khabar yang disampaikan oleh pihak
lain dan perkhabaran sedemikian sedikit sebanyak mengubah tingkahlaku
kita.
Perkhabaran
yang RasululLah S.A.W. terima adalah perkhabaran daripada Tuhan, Yang
Maha Tinggi, pencipta seluruh alam. Apakah yang tidak mewajarkan
baginda menerimanya dengan rasa gembira? Perutusan memainkan peranan
penting dalam membentuk tingkahlaku. Peristiwa serangan 11 September,
yang kononnya didalangi oleh umat Islam, pada permulaannya banyak
disambut dengan rasa gembira oleh sebahagian besar manusia di
kebanyakan negara dengan sikap benci mereka atas pentadbiran Amerika
Syarikat. Namun, apabila perkhabaran yang diperolehi selanjutnya
tidak memihak kepada 'pengganas' berkenaan, kita dapati istilah
pengganas kini merupakan istilah ciptaan Amerika Syarikat yang
digeruni oleh ramai pihak sehingga sebahagian besar manusia tidak
lagi berani menyatakan sokongan kepada 'pengganas' secara
terang-terangan.