SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Wednesday, November 28, 2012

SURAH AL BAQARAH AYAT 158 -- CONTOH PENYERAHAN DIRI KEPADA TUHAN


ان الصفا و المروة من شعائر الله
فمن حج البيت او اعتمر
فلا جناح عليه ان يطوف بهما
و من تطوع خيرا فان الله شاكر عليم

Sesungguhnya Safa dan Marwah daripada syi'ar-syi'ar Allah. Maka barangsiapa telah berhaji ia akan rumah itu atau telah berumrah ia maka tidak mengapa atasnya bahawa ia melakukan pusingan terhadap keduanya. Dan barangsiapa bersukarela ia akan kebajikan maka sesungguhnya Allah Maha Penerima Syukur lagi Maha Mengetahui.

Sesungguhnya "Safa" dan "Marwah" itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) ugama Allah; maka sesiapa Yang menunaikan Ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan Dengan berulang-alik) di antara keduanya. dan sesiapa Yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka Sesungguh-nya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha mengetahui.

Kemuncak bagi peribadatan adalah melaksanakan ibadah haji. Matlamat peribadatan adalah pengorbanan. Sekiranya ibadah solah memerlukan pengorbanan masa seseorang muslim dan mereka yang bersolah harus menyediakan peruntukan-peruntukan tertentu terhadap golongan yang meminta dan golongan yang tidak meminta-minta, ibadah haji pula menuntut seseorang muslim melakukan pengorbanan habis-habisan daripada apajua yang dimiliki daripada segenap tenaga, diri dan harta. Inilah konsep ibadah haji yang sebenar iaitu mengorbankan segala yang ada yang termampu dilakukan dan dilakukan secara bersungguh-sungguh atas keyakinan mengharapkan rahmat Tuhan semata-mata.

i.    Konsep Melakukan Pengorbanan Yang Telah
      Ditinggalkan Umat

Umat Islam terdahulu, mereka menghayati konsep peribadatan secara bersungguh-sungguh. Pengorbanan mereka memberi pulangan kepada kehidupan mereka di dunia ini lagi. Wilayah pembukaan mereka semakin meluas, kedudukan mereka mulia, maruah mereka terpelihara dan sebahagian besar mereka dapat merasai kemewahan dalam hidup dan mereka menempuh hubungan yang baik sesama mereka. Berbeza sungguh dengan umat Islam pada zaman ini yang kebanyakan negara mereka mengekalkan nilai-nilai penjajah dengan golongan majoriti dilayan seolah-olah mereka adalah golongan minoriti di negara sendiri. Sebahagian besar mereka hidup melarat dalam kemewahan, maruah mereka semakin tergadai, bilangan yang murtad semakin ramai dan mereka menempuh kehinaan di mana jua mereka berada. Bukan itu sahaja, mereka mendiami negara yang hutang perkapita setiap rakyat sentiasa meningkat, mereka berhadapan inflasi yang tinggi sehingga menyebabkan mereka terpaksa bersungguh-sungguh setiap hari demi menjelaskan hutang riba. Dengan hubungan kemanusiaan yang semakin terjejas, mereka terpaksa berhadapan dengan kejadian jenayah yang sentiasa meningkat dan kini mereka menjalani kehidupan bagai abdi tanpa tuan dan seperti banduan yang mendiami penjara tanpa sempadan.

ii.    Peribadatan Yang Tidak Menjurus Kepada Suatu
       Kehidupan

Bermula perbincangan himpunan ayat bahagian ini adalah tentang suatu kehidupan (2:154). Tidak dapat tidak skop perbincangan ayat ini haruslah untuk mendapatkan suatu usaha atau takrifan 'baru' supaya perkara agama haruslah merupakan suatu yang menjuruskan kepada sebuah kehidupan. Kehidupan juga dapat berlangsung daripada aktiviti manusia melalui hubungan sesama mereka. Namun oleh kerana negara-negara umat Islam telah melalui tempoh penjajahan yang sangat lama, sistem ekonomi kapitalis telah mengambil alih sistem ekonomi Islam. Perubahan ini telah mengakibatkan keperluan mendapatkan sebuah kehidupan adalah lebih utama berbanding keperluan mengadakan hubungan baik sesama umat. Sehingga ke suatu peringkat, pengamalan ibadah tidak lagi merupakan pengikat utama yang dapat menjadi faktor terjalinnya hubungan baik sesama ahli masyarakat.

Sebagai contoh, amalan solah ada hubungan dengan tanggungjawab memberi kepada golongan yang meminta-minta dan juga golongan yang tidak meminta-minta. Namun pada zaman ini, manakah masjid yang menyediakan kemudahan bantuan kepada ahli qari'ah masing-masing? Melainkan perkara demikian dilakukan setahun sekali atau dua untuk memenuhi sambutan hari raya. Dengan demikian masjid bukan lagi menjadi tumpuan golongan fakir dan miskin untuk mengadu nasib. Mereka sanggup bekerja dengan bertuankan kepada golongan yang ingkar bagi mendapatkan sebuah kehidupan. Pengabaian seperti ini berlaku di mana-mana jua dan antara penyebabnya adalah tuntutan kehidupan yang dikelilingi dengan sistem ekonomi riba sehingga mengakibatkan setiap umat perlu memperolehi wang bagi menyelesaikan hutang riba masing-masing.

Sebenarnya masih terdapat contoh-contoh lain yang penulis ingin sampaikan, namun penulis khuatirkan perkara sedemikian akan menyentuh hak jabatan tertentu sehingga kewajipan menyampaikan ayat-ayat Tuhan darihal kepentingan dakwah akan terganggu.

iii.   Ibadah Haji Yang Lebih Menjurus Kepada Peluang
       Meraih Ekonomi Secara Melampau

Persoalan ibadah haji adalah juga persoalan umat. Tidak seharusnya sebahagian pihak sahaja meraih keuntungan dan meninggalkan sebahagian umat lain melarat. Kejadian kebuluran biasa berlaku di Ethopia dan ramai daripada yang menderita kelaparan itu adalah umat Islam sendiri. Namun kejadian ini dibiarkan begitu sahaja oleh pemerintah Arab Saudi zaman ini walhal mereka merupakan negara jiran terdekat kepada umat yang bernasib malang itu. Manakah peruntukan untuk mereka nikmati sebagai bahagian bantuan daripada negara yang Tuhan limpahi mereka dengan kenikmatan hidup? Hanya dengan membina penempatan-penempatan yang tinggi untuk penginapan jamaah-jamaah haji, pastinya akan menjadikan tanah suci ibarat pusat pelancongan di musim haji. Peruntukan yang seharusnya disediakan untuk keperluan umat yang melarat telah diabaikan begitu sahaja. Semua ini adalah disebabkan oleh umat ini kini telah tertutup daripada Al-Qur'an.

iv.    Konsep Pengorbanan Nabi Ismail A.S., Nabi
       Ibrahim A.S. dan Siti Hajar Yang Semakin Dilupai

Setiap tahun, rancangan yang menyiarkan ibadah haji telah dipertontonkan sebagai suatu rancangan untuk tatapan umum dan setiap kita sedia maklum tentang sejarah ibadah haji bermula. Ibadah korban yang dilakukan sempena pengorbanan nabi Allah Ibrahim A.S. bagi menggantikan jasad Nabi Ismail A.S. adalah sebagai suatu ujian yang Tuhan datangkan kepada kedua-dua mereka. Daripada kejadian ini, suatu konsep yang harus difahami oleh umat ini  ialah -- bahawa yang dikehendaki Tuhan adalah pengorbanan habis-habisan yang mampu diberikan oleh seseorang bagi mendapatkan keredhaan Tuhan.

Kesediaan Siti Hajar ditinggalkan oleh suaminya Nabi Ibrahim A.S. adalah menunjukkan bahawa demi menuntut keridhaan Tuhan, seseorang isteri sanggup ditinggalkan oleh suaminya bagi menghadapi risiko bahaya untuk meneruskan kehidupan di padang pasir yang hanya ditemani oleh anaknya yang masih bayi. Dengan berbekalkan penyerahan sepenuhnya kepada Tuhan, Siti Hajar telah memperolehi kemuliaan menjadi ibu kepada Nabi Ismail A.S. yang kemudiannya melahirkan junjungan besar nabi kita Nabi Muhammad S.A.W.

Penulis tidaklah bermaksud untuk pembaca mendapatkan pengalaman penyerahan diri kepada Tuhan sepenuhnya daripada pengajaran pengorbanan Nabi Ibrahim A.S., Siti Hajar dan Nabi Ismail A.S. Namun konsep pengorbanan harus ditanam dalam diri kita supaya kita dapat bersedia untuk berkorban apajua yang termampu sebelum ajal menjemput kita suatu masa nanti. Setelah sebahagian tanggungjawab dilaksanakan, segala lebihan yang diperolehi harus dikorbankan untuk tujuan Fi SabililLah bagi membangunkan syiar Allah S.W.T. 


 

Friday, November 23, 2012

SURAH AL BAQARAH AYAT 157 -- HUBUNGAN DUA HALA ANTARA TUHAN DENGAN GOLONGAN BERPETUNJUK


اولئك عليهم صلوت من ربهم ورحمة
واولئك هم المهتدون


Mereka itu ke atas mereka kesinambungan selawat daripada Tuhan mereka dan rahmat dan mereka itu, mereka itulah golongan berpetunjuk.

mereka itu ialah orang-orang Yang dilimpahi Dengan ber-bagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang Yang dapat petunjuk hidayah-Nya.

i.   Hamba Bersambung Solatnya Kepada Tuhan Dan
     Tuhan Bersambung SelawatNya Kepada Hamba

Sesungguhnya golongan yang beriman adalah mereka yang sanggup berusaha untuk mendapatkan suatu wasilah yang menyampaikan mereka kepada Tuhan. Mereka mendapatkan wasilah melalui aktiviti amalan-amalan tertentu sebagaimana yang ditunjukkan oleh baginda RasululLah S.A.W. Mereka mengambil jalan berhati-hati terhadap amalan peribadatan mereka sehingga pengamalan yang mereka laksanakan, bukanlah merupakan sekadar hanya aktiviti meniru-niru peribadatan orang-orang tua mereka. Salah satu wasilah untuk menghampirkan diri kepada Tuhan adalah melalui ibadah solah. Solah yang benar melalui kepimpinan imam adalah solah yang menjurus kepada fahaman amalan yang perlu dilaksanakan daripada pembacaan Al-Quran berkenaan. Oleh itu orang-orang yang benar-benar bersolah adalah mereka yang berusaha melaksanakan perintah daripada ayat-ayat yang dibaca.

ii.    Mereka Itu Golongan Berpetunjuk

Perbincangan tentang hubungan dua hala daripada Tuhan kepada hamba-hambaNya adalah menjurus kepada persoalan kerohanian dan penulis membataskan diri daripada menghuraikan persoalan ini dengan lebih lanjut. Melalui disiplin jalan kerohanian tertentu, akan dapat menyampaikan seseorang kepada jalan ketuhanan dan perkara ini telah dilalui oleh ulama-ulama terdahulu seperti Imam Al-Ghazali RahimulLah dan juga Syeikh Abdul Qadir Jailani. Mereka ini adalah antara pihak yang paling menjaga pengamalan syari'at Islam dan mereka bukanlah sasaran fitnah umat.

Telah menjadi sebutan umum umat pada masa ini bahawa golongan berpetunjuk adalah mereka yang terkehadapan dalam kalangan umat, pada sudut ilmu dan amalan agama mereka. Penulis tidaklah menafikan hal ini. Begitu juga anggapan penganut Yahudi dan Nasrani, bahawa golongan berpetunjuk dalam kalangan mereka adalah mereka yang terkehadapan dalam program  biara dan juga gereja bahkan kepada mereka yang sanggup memilih hidup membujang sepanjang hayat. Kita selalu memandang seseorang yang membawa imej agama seperti menyimpan janggut serta jambang serta menutup aurat seperti berpurdah dan berjilbab, sebagai manusia yang lebih hampir kepada petunjuk berbanding umat manusia yang lain. Apatah lagi sekiranya insan ini merupakan insan terkehadapan darihal dakwah yang sering menjadi tontonan umat.

Antara perkara perlu yang dapat penulis dan pembaca perhatikan daripada himpunan ayat-ayat yang dibincangkan ini, yang dikatakan golongan berpetunjuk adalah mereka yang sering memohon pertolongan Tuhan dengan jalan sabar (2:153) dan melaksanakan kesinambungan solah, sanggup bertahan dengan ujian Tuhan dan menyerah diri sepenuhnya kepada Tuhan dalam segala urusan hidup mereka (2:156). Tentunya mereka ini mengambil jalan agama yang, sekiranya mereka kurang berhati-hati, mereka akan terdedah kepada risiko yang besar. Mereka sendiri dapat menyaksikan sebahagian daripada mereka terkorban dalam perjuangan (2:154).

iii.   Petunjuk Tuhan Yang Membawa Kehidupan

Dalam menghadapi ujian, bencana yang berlaku secara merata-rata pada masa ini seperti permasalahan sosial, perubahan cuaca dan pelbagai pergolakan politik dan ekonomi di dunia ini, manusia perlu kembali kepada pengajaran Tuhan, dengan menghayati semula konsep peribadatan yang telah diperkenalkan sejak dahulu lagi. Seruan Muhammad RasululLah S.A.W. untuk menghidupkan semula agama Ibrahim A.S. telah mengubah lanskap kehidupan masyarakat Arab ketika itu yang sedia dikelilingi dengan permasalahan sosial, pergolakan ekonomi dan pelbagai bentuk penindasan. Mungkin permasalahan cuaca tidak begitu menjadi agenda dalam kehidupan masyarakat Arab ketika itu memandangkan mereka telah terbiasa dengan keadaan mukabumi yang sentiasa kekurangan bekalan air.

Perutusan Muhammad RasululLah S.A.W. adalah sebagai suatu pencetus kepada umat manusia, agar mereka kembali kepada corak kehidupan beragama yang akan menyelamatkan mereka daripada fitnah kehidupan, serta dapat berada dalam sebuah masyarakat yang menempuh kehidupan harmoni. Tidak dapat dinafikan perutusan Muhammad Rasululah S.A.W. sejak dahulu, telah dapat mengekalkan keadaan bumi ini agar dapat terus bertahan pada masa yang sangat lama. Menghidupkan kembali corak peribadatan yang mementingkan hubungan baik sesama manusia adalah kesan daripada pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. dan juga Nabi Ismail A.S. Kesanggupan Siti Hajar, isteri Nabi Ibrahim menempuh kesukaran menjadi motivasi yang kuat kepada umat ini melakukan perkara-perkara kebaikan. 




Monday, November 19, 2012

SURAH AL-BAQARAH AYAT 156 -- SIAPAKAH DIA GOLONGAN PENYABAR?


الذين اذا اصبتهم مصيبة قالوا
انا لله وانا اليه رجعون

Orang-orang yang apabila, telah menimpa musibah ia akan mereka, oleh suatu musibah, telah berkata mereka sesungguhnya kami milik Allah dan sesunguhnya kami kepadaNya yang akan kembali.

(Iaitu) orang-orang Yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata  Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah Kami kembali.

i.     Kehidupan Dunia Bukanlah Matlamat

Kehidupan manusia di dunia ini sebenarnya hanyalah suatu eksperimen. Bahawa kita semua adalah suatu eksperimen Tuhan untuk Tuhan dapatkan suatu pengalaman kerja manusia yang terbaik (67:02). Untuk menghadapi suatu pengalaman yang besar, pelbagai keadaan di dunia ini disediakan sehingga manusia akan menempuhi nikmat dan penderitaan, kecukupan dan kekurangan bekalan makanan dan sebagainya. Pengalaman yang manusia perolehi akan disimpan dalam perpustakaan besar milik Tuhan dan begitu juga roh urusan Tuhan dalam diri manusia masing-masing.

 
 Jawapan Bagi Kehidupan Menurut Hitchhikers

ii.    Meyakini Setiap Diri Adalah Milik Tuhan dan Tuhan
       Maha Mengatur Segala-galanya

Dalam menghadapi faham Jabariyah yang penulis pelajari di sekolah agama suatu masa dahulu yang berlawanan dengan faham Qadariyah, pendekatan Ahlus-Sunnah Wal Jama'ah yang dibawa oleh ulama-ulama silam seperti Al-Maturidi dan As-Sya'ari adalah menerima, bahawa Tuhan menguasai segala sesuatu ke atas manusia tetapi manusia diberi pilihan untuk melaksanakan perbuatannya. Setelah kejatuhan Baghdad di tangan bangsa Tartar, faham Ahlus-Sunnah mulai ditinggalkan dan gerakan kerohanian mengambil tempat apabila mereka berjaya mengislamkan bangsa Tartar. Lalu berlakulah pertembungan antara gerakan kerohanian atau yang lebih dikenali sebagai gerakan sufi, dengan pendokong 'syari'at' sehingga terjadi pertempuran yang mengalirkan darah. Imam besar Al-Ghazali ketika itu telah cuba mencari jalan penyelesaian dan beliau sendiri membuat persediaan melibatkan diri dalam gerakan kesufian. Beliau telah meninggalkan jawatan beliau selaku imam besar Haramain dan menempuh kehidupan sederhana sebagaimana yang diamalkan oleh kebanyakan penganut kerohanian. Setelah mengetahui selok-belok ajaran kesufian, beliau telah membawa misi keamanan yang mendamaikan antara golongan pendukung 'syari'at' dan juga pendokong gerakan kesufian. Beliau turut meninggalkan ajaran Ahlus-Sunnah Wal Jama'ah yang lama dan menuruti ajaran Ahlus-Sunnah Wal Jama'ah yang baru yang mengambil faham Qadariyah dan faham Jabariyah serentak.

Tuhan yang menggenggam jiwa yang mati dan melepaskan jiwa yang hidup. Laksana jiwa yang mati atau yang sedang tidur adalah seperti angkasawan yang berada dalam kapal angkasa di tapak pelancaran sebelum perlepasan, yang dikawal sepenuhnya oleh jurutera-jurutera di stesen tapak pelancar dan juga oleh kawalan berkomputer. Pada keadaan ini para angkasawan di dalamnya tidak dapat membuat sebarang keputusan terhadap pesawat melainkan melakukan komunikasi sahaja. Apabila kapal angkasa ditujah ke angkasalepas dan berada di orbit yang ditentukan, angkasawan bebas untuk membuat keputusan dan mengawal kemudi kapal angkasa itu. Namun kebebasan itu adalah terhad dan tertakluk kepada prosedur tertentu. Prosedur itu tentunya suatu yang disediakan oleh jurutera-jurutera yang terdapat di bumi. Di angkasalepas, angkasawan tidak boleh sebebas-bebasnya membuka pakaian angkasawannya apabila berada di luar kapal angkasa. Seperti itulah kehidupan manusia di bumi ini. Jiwa manusia dilepaskan supaya mereka mengambil peraturan Tuhan melalui prosedur yang telah ditentukan agar mereka dapat menempuh kehidupan. Mereka tidak harus sebebas-bebasnya membuat keputusan sendiri, contohnya mereka tidak harus menyentuh telinga mereka menggunakan hujung siku tangan mereka sendiri. 

Segala pilihan manusia dalam kehidupan ini adalah berada dalam ruang lingkup ketentuan Tuhan. Kecenderungan manusia melaksanakan sesuatu adalah didorong oleh suatu naluri yang dicetuskan oleh Tuhan. Contohnya seperti niat pembaca untuk menyentuh telinga dengan siku sendiri.



Friday, November 16, 2012

SURAH AL BAQARAH AYAT 155 -- KETAKUTAN DAN KELAPARAN PASTI DIDATANGKAN OLEH TUHAN


ولنبلونكم بشىء من الخوف والجوع
ونقص من الامول وانفس والثمرت
وبشرالصبرين

Dan benar-benar pasti, Kami menguji akan kamu, dengan sesuatu daripada ketakutan dan kelaparan dan kekurangan daripada harta-harta dan diri-diri dan buah-buahan. Dan khabar gembirakanlah olehmu golongan yang bersabar.

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu Dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang sabar:

i.     Bencana Besar-besaran Seluruh 
       Dunia Yang Semakin 
       Menjadi-jadi

Tuhan telah jadikan sistem hidupan di mukabumi atas peraturan tertentu, sehingga sebahagian hidupan mengambil manfaat daripada hidupan yang lain. Bermula daripada peringkat primer seperti alga biru hijau, yang peranannya adalah menukarkan karbon dioksida kepada oksigen serta menyerap nutrien-nutrien tertentu daripada air laut. Kehadiran alga biru hijau yang terlalu banyak, tentunya akan menghabiskan bekalan nitrat dan keseimbangan karbon dioksida, yang juga diperlukan oleh tumbuh-tumbuhan lain. Kepesatan pertumbuhan alga dapat dikawal dengan kewujudan plankton dan krustasia yang mengambil khasiat daripada alga biru hijau. Plankton dan krustasia selaku haiwan seni, menjadi makanan kepada ikan-ikan kecil dan sesiput laut. Seterusnya ikan-ikan kecil menjadi makanan kepada ikan-ikan yang lebih besar dan begitulah seterusnya kepada burung-burung dan juga manusia. Hidupan peringkat yang lebih tinggi akan meninggalkan nitrat yang akan kembali dikitar semula oleh alga biru hijau serta tumbuh-tumbuhan yang terdapat di bumi ini. Tanpa sistem sedemikian, keseimbangan hidupan di permukaan bumi serta hidupan akuatik akan terganggu.

Manusia telah melakukan pencemaran besar dengan melepaskan sebatian nitrat ke dalam tanah dan seterusnya ke saliran-saliran yang dapat membawa bahan cemar ini ke laut. Kerosakan berlaku kepada permukaan bumi, sehingga mengakibatkan banyak kejadian keruntuhan tanah telah terjadi. Gas karbon dioksida dilepaskan ke udarakasa bersama dengan perlepasan lebihan haba, sehingga kuantiti ais di kedua-dua belahan kutub semakin berkurangan. Akibatnya, udarakasa bumi semakin lembap dan kuantiti air hujan semakin meningkat. Bencana keruntuhan sering terjadi dan begitu juga sejuk dan panas yang bersangatan.

ii.    Aktiviti Manusia Yang Sangat 
       Mencemari

Teknologi yang manusia perolehi bagi penghasilan baja sintetik, telah diguna pakai di sebahagian besar negara-negara. Penghasilan baja sintetik secara besar-besaran dan digunakan secara meluas, sebenarnya jauh melebihi keperluan dan akibatnya sistem hidupan menjadi semakin rosak. Wap baja yang berlebihan telah dilepaskan ke udarakasa sehingga membentuk selimut haba, sehingga memerangkap kuantiti haba yang sangat banyak. Udarakasa menjadi semakin panas dan keseimbangan hidupan equatik telah terganggu.

Untuk tujuan keseimbangan hidupan di bumi ini, alam akan mula bertindak balas. Kepanasan udarakasa juga sebenarnya memanaskan air laut. Lebihan gas karbon dioksida yang larut ke dalam air laut akan menyebabkan air laut menjadi semakin berasid. Dalam situasi berasid, sebahagian besar alga akan dapat terus bertahan dan menjadi semakin banyak. Pertambahan alga seperti alga biru hijau dan juga alga oren merah jambu, dapat menyerap lebih banyak pencemaran nitrat dan juga gas karbon dioksida dan menukarkannya secara terus kepada nitrogen dan  juga oksigen. Alga dapat bertindak sebagai pengimbal terhadap dua jenis sebatian cemar ini dan harus terus dapat bertahan. Terdapat juga sebahagian alga seperti Pseudo-nitzschia yang mengeluarkan racun neurotoxin yang dapat mengakibatkan kerosakan saraf seperti hilang ingatan sehingga membawa maut kepada pemangsanya. Kewujudan alga seperti ini dengan banyaknya, dapat menjadi penyebab kepada kurangnya bilangan ikan di lautan, namun lautan akan dapat mengeluarkan bahan tidak mencemar seperti nitrogen dan oksigen. Sekiranya paras kandungan karbon dioksida jatuh, didapati alga seperti ini masih terus dapat membebaskan gas nitrogen dengan kadar yang banyak. Sekiranya manusia perlu memilih untuk mencemari alam ini, perkara seterusnya akan berlaku.

iii.    Tindakbalas Lautan Terhadap 
        Pencemaran

Dalam keadaan berasid yang ekstrem, haiwan-haiwan bercengkerang akan menambah ketebalan dan saiz cengkerangnya. Haiwan-haiwan bercengkerang ini dapat selamat dalam situasi ekstrem kerana memilih hidup di dasar laut atau lautan. 


Apabila pencemaran laut semakin meningkat, haiwan 
bercengkerang akan menambah saiz cengkerangnya

Jenis-jenis mikrob kecil seperti cyanobacteria yang dipanggil Trichodesmium, juga akan lebih banyak terhasil kerana peranannya dapat menukar sebatian nitrat kepada gas nitrogen secara segera. Sebarang jua hidupan yang menyingkirkan nitrat seperti ikan-ikan kecil akan mengalami masalah untuk terus bertahan. Dalam kajian makmal yang dilakukan terhadap ikan kecil seperti pelawak kenit (juvenile clownfish) yang diletakkan dalam air laut dengan konsentrasi karbon dioksida yang tinggi, didapati ikan ini akan kehilangan keupayaan mengesan pemangsa yang lebih besar. Ujikaji ini menunjukkan akan terdapat lebih banyak ikan kecil, akan menjadi mangsa ikan lebih besar. Untuk sementara waktu, ikan-ikan besar memperolehi nutrien dengan memakan ikan-ikan kecil. Setelah bekalan ikan-ikan kecil berkurangan, lebih banyak ikan-ikan yang besar akan mati. Pereputan ikan-ikan yang banyak, akan menyingkirkan wap ammonia ke udarakasa. Kehadiran ammonia yang banyak menjadi penyebab kepada kejadian-kejadian yang ekstrem seperti kilat-kilat besar dan taufan. Banjir besar yang berlaku di atas permukaan bumi akan menyebabkan lebih banyak projek tanaman akan binasa dan lebih banyak nitrat akan tersingkir ke laut untuk dibersihkan oleh pelbagai jenis alga dan bakteria laut. 
 
iv.     Kekurangan Hasil Tanaman

Kejadian taufan serta hujan lebat yang membawa banjir yang membinasakan, semakin kerap berlaku sekarang ini. Kejadian ini bukan sahaja mengakibatkan manusia merasa takut, bahkan mengakibatkan manusia kekurangan bekalan makanan (67:18) dan banyak daripada harta manusia musnah. Banyak kematian akan berlaku dalam kalangan manusia. Sesungguhnya Tuhan, tidaklah menzalimi manusia namun manusia itu sendiri memilih menzalimi diri-diri mereka sendiri dengan melakukan aktiviti yang mencemari alam tanpa henti.

Dengan berkurangnya bilangan manusia dan juga haiwan, segala aktiviti pencemaran baja dan haba daripada aktiviti pertanian, penternakan dan perkilangan, akan berkurangan. Dengan demikian, bumi ini akan berada dalam kitar pemulihan. Sebenarnya segala bentuk bencana dapat dihindari, sekiranya manusia sanggup mengambil jalan bersabar. Mereka harus menahan diri daripada projek-projek pembangunan yang membinasakan. Mereka juga harus bersabar dengan penggunaan baja sedia ada dan mengelak penggunaan baja sintetik secara gelojoh. Mereka harus menanam lebih banyak pokok-pokok besar bagi menggantikan pokok-pokok hutan yang telah ditumbangkan. Mereka harus mengurangi aktiviti penyingkiran haba ke atmosfera. 





 

Tuesday, November 13, 2012

SURAH AL-BAQARAH AYAT 154 -- TAKRIFAN BAGI SUATU KEHIDUPAN


و لا تقولوا لمن يقتل فى سبيل الله اموت
بل احياء ولكن لا تشعرون

Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang yang ia terbunuh pada jalan Allah itu suatu yang mati, bahkan suatu yang hidup dan akan tetapi tidak kamu menyedari.

dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa Yang terbunuh Dalam perjuangan membela ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang Yang hidup (dengan keadaan hidup Yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.

Surah Al-Mulk membincangkan secara panjang lebar tentang apa yang dikatakan sebagai hidup dan mati. Kesimpulan yang dapat penulis fahami adalah, hidup sebagai suatu yang menghidupkan dan mati adalah sebagai suatu yang mematikan.

i.    Terbunuh Bukan Bermakna Mati

Penulis ingin menyentuh tentang istilah yang biasa disebut oleh banyak pihak iaitu mati syahid, sebagai suatu bentuk kematian kepada individu yang terbunuh semasa berada pada jalan Tuhan. Istilah ini telah menjadi mainan mulut umat masa kini. Penerimaan istilah seperti ini secara tidak langsung telah menunjukkan kejahilan umat masa kini tentang bentuk perjuangan RasululLah S.A.W. dan para sahabat R.A.H.M suatu masa dahulu. Umat generasi awal Islam tidak pernah mengenal istilah mati dalam perjuangan dan tidak juga mereka mengenal tewas dalam peperangan. Mereka hanya mengenal untuk terus hidup di sisi Tuhan dan juga untuk memperolehi salah satu daripada dua kemenangan iaitu secara zahirnya dapat menguasai musuh atau memperolehi syahid.

ii.    Persiapan Yang Membawa Kematian

Tidak semua perkara yang tampaknya seperti hidup adalah merupakan suatu yang hidup. Virus adalah merupakan mikrob yang mati. Virus yang berpindah-pindah perumah, bukan sahaja membunuh perumah yang dihinggapi bahkan akhirnya akan mengakibatkan virus itu sendiri mati kerana tiada perumah baru yang sesuai. Pelbagai jenis vaksin yang dihasilkan oleh manusia akhirnya dapat menumpaskan penyebaran virus. Perkara yang sama juga ditujukan kepada sebuah masyarakat. Sekiranya setiap individu masyarakat itu hanya memikirkan untuk kepentingan dirinya dengan cara menindas atau menafikan hak ahli masyarakat yang lain, kesudahannya, seluruh masyarakat akan jadi porak peranda dan jatidiri serta jejak masyarakat itu akhirnya hilang. Perkara ini berlaku kepada kerajaan-kerajaan silam yang bekas-bekas peninggalan mereka kini sangat sukar diperolehi.

Dalam rancangan TV yang ditayangkan oleh stesen  Astro, mereka telah menunjukkan bagaimana sebahagian ahli masyarakat Barat, sedang membuat persiapan untuk tujuan kemandirian bagi menghadapi suasana keruntuhan ekonomi di negara mereka. Sebahagian ahli keluarga mereka diperlengkapkan dengan pelbagai jenis senjata tertentu yang kononnya untuk tujuan pertahanan, sekiranya komuniti mereka diserang oleh pihak lain. Sebenarnya, teknik yang mereka sediakan hanyalah menjurus kepada keutamaan mementingkan diri-diri serta ahli keluarga mereka, tanpa mengambil perduli nasib yang akan menimpa pihak lain. Mereka sebenarnya tidak menyedari bahawa ahli masyarakat lain, adalah merupakan sebahagian daripada kehidupan mereka selama ini yang juga wajar diberi perlindungan serta pembelaan tertentu. Apatah lagi kiranya ahli masyarakat yang lain itu adalah seagama dengan mereka sendiri. Persiapan yang mereka lakukan sebenarnya menunjukkan betapa mereka melakukan kesiap siagaan untuk menghadapi sesuatu yang akan berlaku dan perkara seperti itulah yang akan berlaku nantinya. Akan sampai harinya segala harta yang mereka kumpulkan tidak lagi dapat diniagakan dan kemuncak penindasan akan terjadi dalam kalangan mereka. Kemelesitan besar pernah berlaku hampir di seluruh dunia, sebelum berlakunya peperangan besar Perang Dunia I dan II.  Ekonomi dunia runtuh disebabkan oleh keporakan sistem kapitalisma yang menindas.





Friday, November 9, 2012

SURAH AL-BAQARAH AYAT 153 -- MENDAPATKAN PERTOLONGAN DENGAN KESABARAN


يايها الذين امنوا استعينوا بالصبر
والصلوة ان الله مع الصبرين


Wahai orang-orang yang telah beriman mereka, minta pertolonganlah olehmu dengan kesabaran dan kesinambungan solah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.

Wahai sekalian orang-orang Yang beriman! mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah Dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) Dengan bersabar dan Dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana Sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang Yang sabar

Terdapat banyak perintah dalam Al-Quran supaya umat ini menghadapi sesuatu dengan jalan bersabar. Bersabar terhadap kata cercaan golongan ingkar dan jauhi mereka sebaik-baik kejauhan (73:10). Melaksanakan kesinambungan solat adalah suatu yang berkaitan dengan kerja-kerja mempelajari ayat-ayat Al-Quran dan mematuhi arahan imam bagi melaksanakan kerja-kerja pemulihan.

i.   Sejarah Kejayaan Dan Kesabaran

RasululLah S.A.W. akhirnya berjaya menyampaikan risalah kerasulannya ke seluruh dunia ini berkat daripada kesabaran perjuangan baginda suatu masa dahulu yang memakan masa selama sekitar 23 tahun. Risalah kerasulan yang tersebar memungkinkan terbentuknya beberapa buah kerajaan kekhalifahan daripada zaman Khulafa Ar-Rashidin, kerajaan Bani Umayyah, kerajaan Bani Abbassiyah, Fatimiyah dan yang terakhir sekali adalah kesultanan Uthmaniah.

Kerana kesabaran bangsa Yahudi, mereka berjaya berusaha sehingga terlaksana perjanjian Balfour untuk mendapatkan pengiktirafan negara Israel daripada Britain menjelang akhir perang dunia II. Mereka telah melaksanakan perancangan sungguh teliti dengan penuh kesabaran sekalipun menempuh penderitaan dibunuh beramai-ramai sehingga tumbangnya kesultanan Uthmaniyah di Turki sebelum itu

Kini kekuasaan kekhalifahan melalui kesultanan Turki telah berjaya dimusnahkan. Bahkan bukan itu sahaja, pemerintahan beraja di Perancis akhirnya telah berjaya dimusnahkan oleh pendukung-pendukung gerakan The Knight Templer. Pemerintahan beraja di Britain, hanya tinggal simbol sahaja apabila parlimen lebih berkuasa dalam menentukan hala tuju negara. Di negara-negara umat Islam, pengaruh agama telah berjaya dilucutkan daripada pemerintahan dan begitu juga di negara-negara Kristian Barat. Kehidupan beragama tidak lagi mendapat tempat dalam pemerintahan. Tiada lagi kekuasaan beraja Tsar di Russia apabila pendukung-pendukung gerakan komunis telah mengambil alih pemerintahan. Begitu juga di negara Jepun yang suatu masa dahulu memiliki pasukan tentera yang kuat di bawah pengaruh Maharaja. Kini Maharaja tidak lagi terlibat dalam menentukan keputusan parlimen. 
 
ii.   Ideologi Pemerintahan dan Corak 
      Ekonomi Yang Berada Di Ambang 
      Perubahan

Umat ini telah bersabar selama lebih 1400 tahun setelah runtuhnya kekhalifahan. Khulafa Ur-Rashidin telah digantikan dengan pemerintahan raja-raja yang melaksanakan dasar pemerintahan yang menggigit serta melalui sistem tukar ganti pemerintah melalui dinasti. Kini sebahagian besar umat manusia telah memperolehi kembali kebebasan dalam berusaha mendapatkan suatu kehidupan. Namun oleh kerana kesan penindasan yang begitu lama dialami oleh umat manusia, akhirnya mereka telah terlupa bahawa terdapat nilai-nilai kebaikan yang telah diamalkan oleh pemerintah silam dalam mengekalkan keadaan kestabilan persekitaran. Kehidupan manusia yang bebas sebebasnya telah mengakibatkan kehidupan mereka mulai terbabas. Hubungan sosial sesama manusia kini semakin buruk dan kehidupan bernegara telah tidak dapat memberi jaminan keselamatan kepada setiap rakyat.

iii.   Manusia Kembali Kepada 
       Kebebasan Beragama

Pemerintahan anti agama dalam sistem pentadbiran komunis, kini telahpun dilucutkan. Kerajaan Komunis Russia telahpun ditumbangkan. Kerajaan China kini mulai menukarkan polisi kehidupan yang memberi ruang kepada kedatangan pelabur-pelabur asing. Yang demikian mereka telah memberi kelonggaran kepada rakyatnya untuk kembali kepada pengamalan agama masing-masing. Dalam bentuk hubungan sosial, mereka telah semakin beralih kepada hubungan kemasyarakatan yang lebih baik.

Di negara-negara demokratik kapitalis seperti Amerika Syarikat dan Eropah dan juga kebanyakan negara yang dipengaruhi oleh kehidupan demokratik kapitalis seperti mereka, sistem kebebasan kapitalisma tanpa batasan mulai menunjukkan ciri-ciri kerosakan. Aktiviti pembangunan dan usaha-usaha ekonomi yang dilaksanakan tanpa had, telah mengakibatkan banyak berlaku kerosakan ketara terhadap kehidupan manusia dan juga kerosakan alam persekitaran. Bumi mereka semakin menjadi tempat yang bahaya untuk didiami. Mereka diserang dengan cuaca sejuk melampau-lampau dan juga keadaan panas melampau-lampau. Kehidupan sosial mereka semakin tergugat dan rakyat mereka mula melakukan tunjuk perasaan besar-besaran membantah agenda penguasaan tersembunyi.




Tuesday, November 6, 2012

TERBUNUH SYAHID BUKANLAH SUATU KEMATIAN


بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan nama Allah,
Maha Pemurah, Maha Pengasih

i.   Wassol Ayat Tentang Mereka Yang 
     Terbunuh Pada Jalan Allah, Tidak 
     Dikira Sebagai Mati

Dalam perbincangan surah Al-Mulk sebelum ini ada disebutkan bahawa sesuatu itu dikatakan sebagai hidup apabila kehidupannya dapat membawa kehidupan terhadap sesuatu yang lain manakala yang dikatakan sebagai mati ialah apabila ke'hidup'an sesuatu atau seseorang itu hanya dapat membawa kepada kematian yang lain. Penerangan panjang lebar daripada surah Al-Mulk telah mengambil rujukan ayat daripada bahagian ini dan sebenarnya terdapat ayat-ayat daripada bahagian lain yang juga dapat dijadikan rujukan.

ii.   Kejayaan Itu Bersama Kesabaran

Fitnah-fitnah yang berlaku kepada umat manusia masakini, juga kepada nasib hidupan dan tumbuhan yang terdapat di mukabumi ini, memerlukan keadaan kesabaran dalam mengusahakan sesuatu bagi memperbetul keadaan. Selepas berakhirnya perang dunia I dan II, negara-negara di dunia ini telah didedahkan dengan sistem pemerintahan berdasarkan pemerintahan demokrasi dan komunis. Sistem ini diwujudkan sebagai suatu alternatif kepada sistem pemerintahan sebelumnya yang banyak ditunjangi dengan unsur-unsur keagamaan.

Kita tidak seharusnya menduga bahawa penglibatan kuasa Barat dalam melakukan percaturan mereka adalah sebagai suatu kekuatan yang tersusun rapi sehingga mereka akan menjadi satu kuasa paksi dunia. Kekalahan Amerika Syarikat di Vietnam dan Soviet Russia di Afghanistan, serta perbelanjaan besar pentadbiran Amerika Syarikat dalam peperangan terhadap ke'ganas'an adalah permulaan kepada keadaan yang menampakkan kepincangan negara mereka. Tindakan Amerika Syarikat cuba menguasai telaga gas petroleum di Laut China Selatan adalah merupakan tindakan terdesak bagi memulihkan kedudukan ekonomi mereka.

Umat ini harus bersabar dan sentiasa berusaha untuk bersama-sama Al-Quran dengan melakukan persiapan yang baik bagi menghadapi keadaan dunia serta ekonomi global yang kian bergolak. Umat ini harus bersedia secara ekonomi bagi menghadapi keadaan luar jangka.



Monday, November 5, 2012

KANDUNGAN YANG TELAH DIBINCANGKAN


               i.     Penegak-penegak Al-Qisthi Yang Didustai Umat  
              ii.     Fitnah Menimpa Umat Yang Tak Kunjung Padam


               i.     Amalan Yang Sia-sia
              ii.     Kepimpinan Mereka Yang Merosakkan
             iii.     Amalan Seumpama Itu Yang Hendak 
                      Mereka Bawa
             iv.     Tiada Pertolongan Untuk Mereka

           Bukan Pendirian Umat 
 
              i.      Polisi Kepimpinan Menolak Hukum Tuhan
             ii.      Pendirian Yang Hanya Mementingkan Keuntungan 
                      Peribadi dan Kroni Pemimpin
             iii.     Kesan Jangka Panjang Menolak Hukum 
                      Tuhan Sehingga Membawa Pertelingkahan 
                      Umat
             iv.     Perang Yang Memakan Masa Sangat Lama


              i.       Cara Beragama Yang Telah Menipu Mereka
              ii.      Mengada-adakan Perkara Baru Dalam 
                       Beragama
              iii.     Bid'ah Yang Semakin Mengelirukan Umat


              i.       Bahaya Menganggap Apa Jua Kesalahan 
                       Boleh Dilakukan  
              ii.      Akibat Menganggap Seksa Neraka Sementara

03:26   Peranan Kerajaan Sebagai Pembawa Kebajikan  
                       
                       Ukuran Kebaikan Dalam Pemerintahan


              i.      Tuhan Memasukkan Malam Ke Dalam Siang 
                      Dan Memasukkan Siang Ke Dalam Malam
             ii.      Mengeluarkan Yang Mati Daripada Yang 
                      Hidup dan Mengeluarkan Yang Hidup 
                      Daripada Yang Mati.

            Kepada Keimanan Sebagai Pembela

              i.       Menempatkan Diri Dalam Pemerintahan, 
                       Sama ada Pemerintahan Zalim Atau 
                       Pemerintahan Adil
              ii.      Mengutamakan Golongan Yang Beriman
              iii.     Majikan Atau Guru Pengajar Sebagai 
                       Kepimpinan
              iv.     Sejarah Penggerogotan Kepimpinan Umat
                       Cadangan Penyelesaian Masalah Umat 
                       Masakini


             i.        Pengetahuan Tuhan Tentang Langit dan 
                       Bumi, Menjurus Kepada Sesuatu Yang 
                       Berkait Pemerintahan
             ii.       Kiranya Kerja-kerja Penyampaian 
                       Diabaikan
            iii.       Kekuasaan Tuhan Atas Segala Sesuatu
            iv.       Bencana Yang Semakin Hampir


             i.        Bencana Yang Semakin Mendekat
            ii.        Mereka Cuba Melarikan Diri
            iii.       Penemuan Mereka Yang Mengejutkan
            iv.        Kasih Sayang Tuhan Kepada 
                        Hamba-hambaNya

                            
             i.        Menuruti Ajaran Al-Quran Adalah Sunnah 
                       Sebenar RasullulLah S.A.W.
            ii.        Menjemput Kasih Sayang Tuhan
            iii.       Tuhan Sedia Maklum Akan Kesalahan Dan
                       Kesilapan Yang Dilakukan Oleh Manusia
            iv.       Cukuplah Dengan Pengajaran Al-Quran

PENGAJARAN DARIPADA HIMPUNAN YANG
MENYURUH DENGAN AL-QISTHI 

Friday, November 2, 2012

PENGAJARAN DARIPADA HIMPUNAN AYAT YANG MENYURUH DENGAN AL-QISHTI


Penyuruh-penyuruh kepada Al-Qisthi adalah individu yang telah bersedia menghadapi pembunuhan terhadap dirinya. Kenyataan sedemikian telah dihadapi oleh sebahagian sahabat terdahulu seperti Saidina Umar R.A., Saidina Usman R.A., Saidina Ali R.A. serta kejadian pembunuhan yang berlaku kepada kepimpinan Ahlul Bait seterusnya. 3:21

Seterusnya kepimpinan umat melalui kekhalifahan telah dikuasai secara perwarisan sehingga banyak kejadian khalifah yang memerintah, telah melaksanakan amalan yang sia-sia. Sehingga ke suatu peringkat, hukum-hukum Tuhan telah ditinggalkan dan akhirnya kehidupan umat tidak lagi terbela. Keyakinan yang telah menyerap kepada setiap minda umat bahawa lesen beragama digunakan sebagai prasyarat yang setiap umat akhirnya akan mendiami syurga, mengakibatkan kepimpinan mereka berani untuk menolak hukum Tuhan dan telah menimbulkan pelbagai keburukan terhadap kehidupan manusia sendiri. (3:22 - 23)

Sesungguhnya Tuhan Maha berkuasa melakukan penggantian kepimpinan umat dan perubahan kepimpinan telah berlaku daripada zaman bani Umayyah kepada bani Abbasiyah kepada kerajaan Fatimiyah dan kepada yang terakhir sekali adalah kerajaan Usmaniyah. Keburukan pemerintah yang seringkali berlaku akibat menolak hukum Tuhan mengakibatkan umat ini tidak lagi memiliki khalifah. Tuhan telah meletakkan kebaikan sebagai ukuran dalam menentukan pemerintahan sehingga apabila kebaikan tidak lagi berlaku, suatu pemerintahan akan digantikan dengan pemerintahan yang lain.

Tuhan telah melarang umat ini melantik golongan ingkar sebagai peneraju kepimpinan dan pada masa yang sama umat ini juga tidak seharusnya menaruh syak wasangka kepada sebahagian individu ulama yang menyembunyikan keimanan mereka yang berada dalam teraju pemerintahan golongan ingkar. Kini pemerintahan demokratik kapitalis telah lama menggantikan kekhalifahan umat ini dan kesan keburukan pemerintahan ini telah menunjukkan kerosakan dan keburukan yang berlaku secara merata-rata. Ideologi komunis telah ditinggalkan dan dunia ini kini telah berada di ambang perubahan. Antara pilihan ideologi yang tersedia adalah yang berpaksikan demokratik sosialis melalui "New World Order" atau melalui Pemerintahan Islam. (3:28)

Sebelum berlaku perubahan pemerintahan yang bakal melanda, kita akan dapat menyaksikan agenda-agenda yang menimbulkan kebaikan dan keburukan, semuanya akan hadir dalam kehidupan manusia di dunia ini lagi. Dunia ini telah memasuki peringkat kritikal dengan permasalahan cuaca, bencana alam, kecelaruan kehidupan sosial manusia, kemusnahan kawasan flora dan fauna yang dilakukan melalui aktiviti manusia dan ketidak stabilan keadaan ekonomi dunia. Adakah dengan membiarkan aktiviti manusia sehingga mengakibatkan muka bumi ini semakin panas akan membawa akibat yang lebih baik kepada semua hidupan di bumi ini? (3:30)

Untuk menyelamatkan keadaan, umat ini harus mendapatkan suatu perlaksanaan supaya dapat berada dalam kasih sayang Tuhan. Caranya adalah dengan kembali berittibak kepada cara Muhammad RasululLah S.A.W. iaitu kembali kepada cara awal sebagaimana yang dibawa oleh RasullulLah S.A.W. Baginda hanya membawa ajaran Tuhan melalui Al-Qur'an. Pendekatan yang paling hampir adalah mencontohi gerakerja yang dilakukan oleh Khalifah Abu Bakar R.A. dan Khalifah Umar R.A. (3:31)





Popular