SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Friday, November 16, 2012

SURAH AL BAQARAH AYAT 155 -- KETAKUTAN DAN KELAPARAN PASTI DIDATANGKAN OLEH TUHAN


ولنبلونكم بشىء من الخوف والجوع
ونقص من الامول وانفس والثمرت
وبشرالصبرين

Dan benar-benar pasti, Kami menguji akan kamu, dengan sesuatu daripada ketakutan dan kelaparan dan kekurangan daripada harta-harta dan diri-diri dan buah-buahan. Dan khabar gembirakanlah olehmu golongan yang bersabar.

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu Dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang sabar:

i.     Bencana Besar-besaran Seluruh 
       Dunia Yang Semakin 
       Menjadi-jadi

Tuhan telah jadikan sistem hidupan di mukabumi atas peraturan tertentu, sehingga sebahagian hidupan mengambil manfaat daripada hidupan yang lain. Bermula daripada peringkat primer seperti alga biru hijau, yang peranannya adalah menukarkan karbon dioksida kepada oksigen serta menyerap nutrien-nutrien tertentu daripada air laut. Kehadiran alga biru hijau yang terlalu banyak, tentunya akan menghabiskan bekalan nitrat dan keseimbangan karbon dioksida, yang juga diperlukan oleh tumbuh-tumbuhan lain. Kepesatan pertumbuhan alga dapat dikawal dengan kewujudan plankton dan krustasia yang mengambil khasiat daripada alga biru hijau. Plankton dan krustasia selaku haiwan seni, menjadi makanan kepada ikan-ikan kecil dan sesiput laut. Seterusnya ikan-ikan kecil menjadi makanan kepada ikan-ikan yang lebih besar dan begitulah seterusnya kepada burung-burung dan juga manusia. Hidupan peringkat yang lebih tinggi akan meninggalkan nitrat yang akan kembali dikitar semula oleh alga biru hijau serta tumbuh-tumbuhan yang terdapat di bumi ini. Tanpa sistem sedemikian, keseimbangan hidupan di permukaan bumi serta hidupan akuatik akan terganggu.

Manusia telah melakukan pencemaran besar dengan melepaskan sebatian nitrat ke dalam tanah dan seterusnya ke saliran-saliran yang dapat membawa bahan cemar ini ke laut. Kerosakan berlaku kepada permukaan bumi, sehingga mengakibatkan banyak kejadian keruntuhan tanah telah terjadi. Gas karbon dioksida dilepaskan ke udarakasa bersama dengan perlepasan lebihan haba, sehingga kuantiti ais di kedua-dua belahan kutub semakin berkurangan. Akibatnya, udarakasa bumi semakin lembap dan kuantiti air hujan semakin meningkat. Bencana keruntuhan sering terjadi dan begitu juga sejuk dan panas yang bersangatan.

ii.    Aktiviti Manusia Yang Sangat 
       Mencemari

Teknologi yang manusia perolehi bagi penghasilan baja sintetik, telah diguna pakai di sebahagian besar negara-negara. Penghasilan baja sintetik secara besar-besaran dan digunakan secara meluas, sebenarnya jauh melebihi keperluan dan akibatnya sistem hidupan menjadi semakin rosak. Wap baja yang berlebihan telah dilepaskan ke udarakasa sehingga membentuk selimut haba, sehingga memerangkap kuantiti haba yang sangat banyak. Udarakasa menjadi semakin panas dan keseimbangan hidupan equatik telah terganggu.

Untuk tujuan keseimbangan hidupan di bumi ini, alam akan mula bertindak balas. Kepanasan udarakasa juga sebenarnya memanaskan air laut. Lebihan gas karbon dioksida yang larut ke dalam air laut akan menyebabkan air laut menjadi semakin berasid. Dalam situasi berasid, sebahagian besar alga akan dapat terus bertahan dan menjadi semakin banyak. Pertambahan alga seperti alga biru hijau dan juga alga oren merah jambu, dapat menyerap lebih banyak pencemaran nitrat dan juga gas karbon dioksida dan menukarkannya secara terus kepada nitrogen dan  juga oksigen. Alga dapat bertindak sebagai pengimbal terhadap dua jenis sebatian cemar ini dan harus terus dapat bertahan. Terdapat juga sebahagian alga seperti Pseudo-nitzschia yang mengeluarkan racun neurotoxin yang dapat mengakibatkan kerosakan saraf seperti hilang ingatan sehingga membawa maut kepada pemangsanya. Kewujudan alga seperti ini dengan banyaknya, dapat menjadi penyebab kepada kurangnya bilangan ikan di lautan, namun lautan akan dapat mengeluarkan bahan tidak mencemar seperti nitrogen dan oksigen. Sekiranya paras kandungan karbon dioksida jatuh, didapati alga seperti ini masih terus dapat membebaskan gas nitrogen dengan kadar yang banyak. Sekiranya manusia perlu memilih untuk mencemari alam ini, perkara seterusnya akan berlaku.

iii.    Tindakbalas Lautan Terhadap 
        Pencemaran

Dalam keadaan berasid yang ekstrem, haiwan-haiwan bercengkerang akan menambah ketebalan dan saiz cengkerangnya. Haiwan-haiwan bercengkerang ini dapat selamat dalam situasi ekstrem kerana memilih hidup di dasar laut atau lautan. 


Apabila pencemaran laut semakin meningkat, haiwan 
bercengkerang akan menambah saiz cengkerangnya

Jenis-jenis mikrob kecil seperti cyanobacteria yang dipanggil Trichodesmium, juga akan lebih banyak terhasil kerana peranannya dapat menukar sebatian nitrat kepada gas nitrogen secara segera. Sebarang jua hidupan yang menyingkirkan nitrat seperti ikan-ikan kecil akan mengalami masalah untuk terus bertahan. Dalam kajian makmal yang dilakukan terhadap ikan kecil seperti pelawak kenit (juvenile clownfish) yang diletakkan dalam air laut dengan konsentrasi karbon dioksida yang tinggi, didapati ikan ini akan kehilangan keupayaan mengesan pemangsa yang lebih besar. Ujikaji ini menunjukkan akan terdapat lebih banyak ikan kecil, akan menjadi mangsa ikan lebih besar. Untuk sementara waktu, ikan-ikan besar memperolehi nutrien dengan memakan ikan-ikan kecil. Setelah bekalan ikan-ikan kecil berkurangan, lebih banyak ikan-ikan yang besar akan mati. Pereputan ikan-ikan yang banyak, akan menyingkirkan wap ammonia ke udarakasa. Kehadiran ammonia yang banyak menjadi penyebab kepada kejadian-kejadian yang ekstrem seperti kilat-kilat besar dan taufan. Banjir besar yang berlaku di atas permukaan bumi akan menyebabkan lebih banyak projek tanaman akan binasa dan lebih banyak nitrat akan tersingkir ke laut untuk dibersihkan oleh pelbagai jenis alga dan bakteria laut. 
 
iv.     Kekurangan Hasil Tanaman

Kejadian taufan serta hujan lebat yang membawa banjir yang membinasakan, semakin kerap berlaku sekarang ini. Kejadian ini bukan sahaja mengakibatkan manusia merasa takut, bahkan mengakibatkan manusia kekurangan bekalan makanan (67:18) dan banyak daripada harta manusia musnah. Banyak kematian akan berlaku dalam kalangan manusia. Sesungguhnya Tuhan, tidaklah menzalimi manusia namun manusia itu sendiri memilih menzalimi diri-diri mereka sendiri dengan melakukan aktiviti yang mencemari alam tanpa henti.

Dengan berkurangnya bilangan manusia dan juga haiwan, segala aktiviti pencemaran baja dan haba daripada aktiviti pertanian, penternakan dan perkilangan, akan berkurangan. Dengan demikian, bumi ini akan berada dalam kitar pemulihan. Sebenarnya segala bentuk bencana dapat dihindari, sekiranya manusia sanggup mengambil jalan bersabar. Mereka harus menahan diri daripada projek-projek pembangunan yang membinasakan. Mereka juga harus bersabar dengan penggunaan baja sedia ada dan mengelak penggunaan baja sintetik secara gelojoh. Mereka harus menanam lebih banyak pokok-pokok besar bagi menggantikan pokok-pokok hutan yang telah ditumbangkan. Mereka harus mengurangi aktiviti penyingkiran haba ke atmosfera. 





 

Tuesday, November 13, 2012

SURAH AL-BAQARAH AYAT 154 -- TAKRIFAN BAGI SUATU KEHIDUPAN


و لا تقولوا لمن يقتل فى سبيل الله اموت
بل احياء ولكن لا تشعرون

Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang yang ia terbunuh pada jalan Allah itu suatu yang mati, bahkan suatu yang hidup dan akan tetapi tidak kamu menyedari.

dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa Yang terbunuh Dalam perjuangan membela ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang Yang hidup (dengan keadaan hidup Yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.

Surah Al-Mulk membincangkan secara panjang lebar tentang apa yang dikatakan sebagai hidup dan mati. Kesimpulan yang dapat penulis fahami adalah, hidup sebagai suatu yang menghidupkan dan mati adalah sebagai suatu yang mematikan.

i.    Terbunuh Bukan Bermakna Mati

Penulis ingin menyentuh tentang istilah yang biasa disebut oleh banyak pihak iaitu mati syahid, sebagai suatu bentuk kematian kepada individu yang terbunuh semasa berada pada jalan Tuhan. Istilah ini telah menjadi mainan mulut umat masa kini. Penerimaan istilah seperti ini secara tidak langsung telah menunjukkan kejahilan umat masa kini tentang bentuk perjuangan RasululLah S.A.W. dan para sahabat R.A.H.M suatu masa dahulu. Umat generasi awal Islam tidak pernah mengenal istilah mati dalam perjuangan dan tidak juga mereka mengenal tewas dalam peperangan. Mereka hanya mengenal untuk terus hidup di sisi Tuhan dan juga untuk memperolehi salah satu daripada dua kemenangan iaitu secara zahirnya dapat menguasai musuh atau memperolehi syahid.

ii.    Persiapan Yang Membawa Kematian

Tidak semua perkara yang tampaknya seperti hidup adalah merupakan suatu yang hidup. Virus adalah merupakan mikrob yang mati. Virus yang berpindah-pindah perumah, bukan sahaja membunuh perumah yang dihinggapi bahkan akhirnya akan mengakibatkan virus itu sendiri mati kerana tiada perumah baru yang sesuai. Pelbagai jenis vaksin yang dihasilkan oleh manusia akhirnya dapat menumpaskan penyebaran virus. Perkara yang sama juga ditujukan kepada sebuah masyarakat. Sekiranya setiap individu masyarakat itu hanya memikirkan untuk kepentingan dirinya dengan cara menindas atau menafikan hak ahli masyarakat yang lain, kesudahannya, seluruh masyarakat akan jadi porak peranda dan jatidiri serta jejak masyarakat itu akhirnya hilang. Perkara ini berlaku kepada kerajaan-kerajaan silam yang bekas-bekas peninggalan mereka kini sangat sukar diperolehi.

Dalam rancangan TV yang ditayangkan oleh stesen  Astro, mereka telah menunjukkan bagaimana sebahagian ahli masyarakat Barat, sedang membuat persiapan untuk tujuan kemandirian bagi menghadapi suasana keruntuhan ekonomi di negara mereka. Sebahagian ahli keluarga mereka diperlengkapkan dengan pelbagai jenis senjata tertentu yang kononnya untuk tujuan pertahanan, sekiranya komuniti mereka diserang oleh pihak lain. Sebenarnya, teknik yang mereka sediakan hanyalah menjurus kepada keutamaan mementingkan diri-diri serta ahli keluarga mereka, tanpa mengambil perduli nasib yang akan menimpa pihak lain. Mereka sebenarnya tidak menyedari bahawa ahli masyarakat lain, adalah merupakan sebahagian daripada kehidupan mereka selama ini yang juga wajar diberi perlindungan serta pembelaan tertentu. Apatah lagi kiranya ahli masyarakat yang lain itu adalah seagama dengan mereka sendiri. Persiapan yang mereka lakukan sebenarnya menunjukkan betapa mereka melakukan kesiap siagaan untuk menghadapi sesuatu yang akan berlaku dan perkara seperti itulah yang akan berlaku nantinya. Akan sampai harinya segala harta yang mereka kumpulkan tidak lagi dapat diniagakan dan kemuncak penindasan akan terjadi dalam kalangan mereka. Kemelesitan besar pernah berlaku hampir di seluruh dunia, sebelum berlakunya peperangan besar Perang Dunia I dan II.  Ekonomi dunia runtuh disebabkan oleh keporakan sistem kapitalisma yang menindas.





Friday, November 9, 2012

SURAH AL-BAQARAH AYAT 153 -- MENDAPATKAN PERTOLONGAN DENGAN KESABARAN


يايها الذين امنوا استعينوا بالصبر
والصلوة ان الله مع الصبرين


Wahai orang-orang yang telah beriman mereka, minta pertolonganlah olehmu dengan kesabaran dan kesinambungan solah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.

Wahai sekalian orang-orang Yang beriman! mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah Dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) Dengan bersabar dan Dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana Sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang Yang sabar

Terdapat banyak perintah dalam Al-Quran supaya umat ini menghadapi sesuatu dengan jalan bersabar. Bersabar terhadap kata cercaan golongan ingkar dan jauhi mereka sebaik-baik kejauhan (73:10). Melaksanakan kesinambungan solat adalah suatu yang berkaitan dengan kerja-kerja mempelajari ayat-ayat Al-Quran dan mematuhi arahan imam bagi melaksanakan kerja-kerja pemulihan.

i.   Sejarah Kejayaan Dan Kesabaran

RasululLah S.A.W. akhirnya berjaya menyampaikan risalah kerasulannya ke seluruh dunia ini berkat daripada kesabaran perjuangan baginda suatu masa dahulu yang memakan masa selama sekitar 23 tahun. Risalah kerasulan yang tersebar memungkinkan terbentuknya beberapa buah kerajaan kekhalifahan daripada zaman Khulafa Ar-Rashidin, kerajaan Bani Umayyah, kerajaan Bani Abbassiyah, Fatimiyah dan yang terakhir sekali adalah kesultanan Uthmaniah.

Kerana kesabaran bangsa Yahudi, mereka berjaya berusaha sehingga terlaksana perjanjian Balfour untuk mendapatkan pengiktirafan negara Israel daripada Britain menjelang akhir perang dunia II. Mereka telah melaksanakan perancangan sungguh teliti dengan penuh kesabaran sekalipun menempuh penderitaan dibunuh beramai-ramai sehingga tumbangnya kesultanan Uthmaniyah di Turki sebelum itu

Kini kekuasaan kekhalifahan melalui kesultanan Turki telah berjaya dimusnahkan. Bahkan bukan itu sahaja, pemerintahan beraja di Perancis akhirnya telah berjaya dimusnahkan oleh pendukung-pendukung gerakan The Knight Templer. Pemerintahan beraja di Britain, hanya tinggal simbol sahaja apabila parlimen lebih berkuasa dalam menentukan hala tuju negara. Di negara-negara umat Islam, pengaruh agama telah berjaya dilucutkan daripada pemerintahan dan begitu juga di negara-negara Kristian Barat. Kehidupan beragama tidak lagi mendapat tempat dalam pemerintahan. Tiada lagi kekuasaan beraja Tsar di Russia apabila pendukung-pendukung gerakan komunis telah mengambil alih pemerintahan. Begitu juga di negara Jepun yang suatu masa dahulu memiliki pasukan tentera yang kuat di bawah pengaruh Maharaja. Kini Maharaja tidak lagi terlibat dalam menentukan keputusan parlimen. 
 
ii.   Ideologi Pemerintahan dan Corak 
      Ekonomi Yang Berada Di Ambang 
      Perubahan

Umat ini telah bersabar selama lebih 1400 tahun setelah runtuhnya kekhalifahan. Khulafa Ur-Rashidin telah digantikan dengan pemerintahan raja-raja yang melaksanakan dasar pemerintahan yang menggigit serta melalui sistem tukar ganti pemerintah melalui dinasti. Kini sebahagian besar umat manusia telah memperolehi kembali kebebasan dalam berusaha mendapatkan suatu kehidupan. Namun oleh kerana kesan penindasan yang begitu lama dialami oleh umat manusia, akhirnya mereka telah terlupa bahawa terdapat nilai-nilai kebaikan yang telah diamalkan oleh pemerintah silam dalam mengekalkan keadaan kestabilan persekitaran. Kehidupan manusia yang bebas sebebasnya telah mengakibatkan kehidupan mereka mulai terbabas. Hubungan sosial sesama manusia kini semakin buruk dan kehidupan bernegara telah tidak dapat memberi jaminan keselamatan kepada setiap rakyat.

iii.   Manusia Kembali Kepada 
       Kebebasan Beragama

Pemerintahan anti agama dalam sistem pentadbiran komunis, kini telahpun dilucutkan. Kerajaan Komunis Russia telahpun ditumbangkan. Kerajaan China kini mulai menukarkan polisi kehidupan yang memberi ruang kepada kedatangan pelabur-pelabur asing. Yang demikian mereka telah memberi kelonggaran kepada rakyatnya untuk kembali kepada pengamalan agama masing-masing. Dalam bentuk hubungan sosial, mereka telah semakin beralih kepada hubungan kemasyarakatan yang lebih baik.

Di negara-negara demokratik kapitalis seperti Amerika Syarikat dan Eropah dan juga kebanyakan negara yang dipengaruhi oleh kehidupan demokratik kapitalis seperti mereka, sistem kebebasan kapitalisma tanpa batasan mulai menunjukkan ciri-ciri kerosakan. Aktiviti pembangunan dan usaha-usaha ekonomi yang dilaksanakan tanpa had, telah mengakibatkan banyak berlaku kerosakan ketara terhadap kehidupan manusia dan juga kerosakan alam persekitaran. Bumi mereka semakin menjadi tempat yang bahaya untuk didiami. Mereka diserang dengan cuaca sejuk melampau-lampau dan juga keadaan panas melampau-lampau. Kehidupan sosial mereka semakin tergugat dan rakyat mereka mula melakukan tunjuk perasaan besar-besaran membantah agenda penguasaan tersembunyi.




Tuesday, November 6, 2012

TERBUNUH SYAHID BUKANLAH SUATU KEMATIAN


بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan nama Allah,
Maha Pemurah, Maha Pengasih

i.   Wassol Ayat Tentang Mereka Yang 
     Terbunuh Pada Jalan Allah, Tidak 
     Dikira Sebagai Mati

Dalam perbincangan surah Al-Mulk sebelum ini ada disebutkan bahawa sesuatu itu dikatakan sebagai hidup apabila kehidupannya dapat membawa kehidupan terhadap sesuatu yang lain manakala yang dikatakan sebagai mati ialah apabila ke'hidup'an sesuatu atau seseorang itu hanya dapat membawa kepada kematian yang lain. Penerangan panjang lebar daripada surah Al-Mulk telah mengambil rujukan ayat daripada bahagian ini dan sebenarnya terdapat ayat-ayat daripada bahagian lain yang juga dapat dijadikan rujukan.

ii.   Kejayaan Itu Bersama Kesabaran

Fitnah-fitnah yang berlaku kepada umat manusia masakini, juga kepada nasib hidupan dan tumbuhan yang terdapat di mukabumi ini, memerlukan keadaan kesabaran dalam mengusahakan sesuatu bagi memperbetul keadaan. Selepas berakhirnya perang dunia I dan II, negara-negara di dunia ini telah didedahkan dengan sistem pemerintahan berdasarkan pemerintahan demokrasi dan komunis. Sistem ini diwujudkan sebagai suatu alternatif kepada sistem pemerintahan sebelumnya yang banyak ditunjangi dengan unsur-unsur keagamaan.

Kita tidak seharusnya menduga bahawa penglibatan kuasa Barat dalam melakukan percaturan mereka adalah sebagai suatu kekuatan yang tersusun rapi sehingga mereka akan menjadi satu kuasa paksi dunia. Kekalahan Amerika Syarikat di Vietnam dan Soviet Russia di Afghanistan, serta perbelanjaan besar pentadbiran Amerika Syarikat dalam peperangan terhadap ke'ganas'an adalah permulaan kepada keadaan yang menampakkan kepincangan negara mereka. Tindakan Amerika Syarikat cuba menguasai telaga gas petroleum di Laut China Selatan adalah merupakan tindakan terdesak bagi memulihkan kedudukan ekonomi mereka.

Umat ini harus bersabar dan sentiasa berusaha untuk bersama-sama Al-Quran dengan melakukan persiapan yang baik bagi menghadapi keadaan dunia serta ekonomi global yang kian bergolak. Umat ini harus bersedia secara ekonomi bagi menghadapi keadaan luar jangka.



Monday, November 5, 2012

KANDUNGAN YANG TELAH DIBINCANGKAN


               i.     Penegak-penegak Al-Qisthi Yang Didustai Umat  
              ii.     Fitnah Menimpa Umat Yang Tak Kunjung Padam


               i.     Amalan Yang Sia-sia
              ii.     Kepimpinan Mereka Yang Merosakkan
             iii.     Amalan Seumpama Itu Yang Hendak 
                      Mereka Bawa
             iv.     Tiada Pertolongan Untuk Mereka

           Bukan Pendirian Umat 
 
              i.      Polisi Kepimpinan Menolak Hukum Tuhan
             ii.      Pendirian Yang Hanya Mementingkan Keuntungan 
                      Peribadi dan Kroni Pemimpin
             iii.     Kesan Jangka Panjang Menolak Hukum 
                      Tuhan Sehingga Membawa Pertelingkahan 
                      Umat
             iv.     Perang Yang Memakan Masa Sangat Lama


              i.       Cara Beragama Yang Telah Menipu Mereka
              ii.      Mengada-adakan Perkara Baru Dalam 
                       Beragama
              iii.     Bid'ah Yang Semakin Mengelirukan Umat


              i.       Bahaya Menganggap Apa Jua Kesalahan 
                       Boleh Dilakukan  
              ii.      Akibat Menganggap Seksa Neraka Sementara

03:26   Peranan Kerajaan Sebagai Pembawa Kebajikan  
                       
                       Ukuran Kebaikan Dalam Pemerintahan


              i.      Tuhan Memasukkan Malam Ke Dalam Siang 
                      Dan Memasukkan Siang Ke Dalam Malam
             ii.      Mengeluarkan Yang Mati Daripada Yang 
                      Hidup dan Mengeluarkan Yang Hidup 
                      Daripada Yang Mati.

            Kepada Keimanan Sebagai Pembela

              i.       Menempatkan Diri Dalam Pemerintahan, 
                       Sama ada Pemerintahan Zalim Atau 
                       Pemerintahan Adil
              ii.      Mengutamakan Golongan Yang Beriman
              iii.     Majikan Atau Guru Pengajar Sebagai 
                       Kepimpinan
              iv.     Sejarah Penggerogotan Kepimpinan Umat
                       Cadangan Penyelesaian Masalah Umat 
                       Masakini


             i.        Pengetahuan Tuhan Tentang Langit dan 
                       Bumi, Menjurus Kepada Sesuatu Yang 
                       Berkait Pemerintahan
             ii.       Kiranya Kerja-kerja Penyampaian 
                       Diabaikan
            iii.       Kekuasaan Tuhan Atas Segala Sesuatu
            iv.       Bencana Yang Semakin Hampir


             i.        Bencana Yang Semakin Mendekat
            ii.        Mereka Cuba Melarikan Diri
            iii.       Penemuan Mereka Yang Mengejutkan
            iv.        Kasih Sayang Tuhan Kepada 
                        Hamba-hambaNya

                            
             i.        Menuruti Ajaran Al-Quran Adalah Sunnah 
                       Sebenar RasullulLah S.A.W.
            ii.        Menjemput Kasih Sayang Tuhan
            iii.       Tuhan Sedia Maklum Akan Kesalahan Dan
                       Kesilapan Yang Dilakukan Oleh Manusia
            iv.       Cukuplah Dengan Pengajaran Al-Quran

PENGAJARAN DARIPADA HIMPUNAN YANG
MENYURUH DENGAN AL-QISTHI 

Friday, November 2, 2012

PENGAJARAN DARIPADA HIMPUNAN AYAT YANG MENYURUH DENGAN AL-QISHTI


Penyuruh-penyuruh kepada Al-Qisthi adalah individu yang telah bersedia menghadapi pembunuhan terhadap dirinya. Kenyataan sedemikian telah dihadapi oleh sebahagian sahabat terdahulu seperti Saidina Umar R.A., Saidina Usman R.A., Saidina Ali R.A. serta kejadian pembunuhan yang berlaku kepada kepimpinan Ahlul Bait seterusnya. 3:21

Seterusnya kepimpinan umat melalui kekhalifahan telah dikuasai secara perwarisan sehingga banyak kejadian khalifah yang memerintah, telah melaksanakan amalan yang sia-sia. Sehingga ke suatu peringkat, hukum-hukum Tuhan telah ditinggalkan dan akhirnya kehidupan umat tidak lagi terbela. Keyakinan yang telah menyerap kepada setiap minda umat bahawa lesen beragama digunakan sebagai prasyarat yang setiap umat akhirnya akan mendiami syurga, mengakibatkan kepimpinan mereka berani untuk menolak hukum Tuhan dan telah menimbulkan pelbagai keburukan terhadap kehidupan manusia sendiri. (3:22 - 23)

Sesungguhnya Tuhan Maha berkuasa melakukan penggantian kepimpinan umat dan perubahan kepimpinan telah berlaku daripada zaman bani Umayyah kepada bani Abbasiyah kepada kerajaan Fatimiyah dan kepada yang terakhir sekali adalah kerajaan Usmaniyah. Keburukan pemerintah yang seringkali berlaku akibat menolak hukum Tuhan mengakibatkan umat ini tidak lagi memiliki khalifah. Tuhan telah meletakkan kebaikan sebagai ukuran dalam menentukan pemerintahan sehingga apabila kebaikan tidak lagi berlaku, suatu pemerintahan akan digantikan dengan pemerintahan yang lain.

Tuhan telah melarang umat ini melantik golongan ingkar sebagai peneraju kepimpinan dan pada masa yang sama umat ini juga tidak seharusnya menaruh syak wasangka kepada sebahagian individu ulama yang menyembunyikan keimanan mereka yang berada dalam teraju pemerintahan golongan ingkar. Kini pemerintahan demokratik kapitalis telah lama menggantikan kekhalifahan umat ini dan kesan keburukan pemerintahan ini telah menunjukkan kerosakan dan keburukan yang berlaku secara merata-rata. Ideologi komunis telah ditinggalkan dan dunia ini kini telah berada di ambang perubahan. Antara pilihan ideologi yang tersedia adalah yang berpaksikan demokratik sosialis melalui "New World Order" atau melalui Pemerintahan Islam. (3:28)

Sebelum berlaku perubahan pemerintahan yang bakal melanda, kita akan dapat menyaksikan agenda-agenda yang menimbulkan kebaikan dan keburukan, semuanya akan hadir dalam kehidupan manusia di dunia ini lagi. Dunia ini telah memasuki peringkat kritikal dengan permasalahan cuaca, bencana alam, kecelaruan kehidupan sosial manusia, kemusnahan kawasan flora dan fauna yang dilakukan melalui aktiviti manusia dan ketidak stabilan keadaan ekonomi dunia. Adakah dengan membiarkan aktiviti manusia sehingga mengakibatkan muka bumi ini semakin panas akan membawa akibat yang lebih baik kepada semua hidupan di bumi ini? (3:30)

Untuk menyelamatkan keadaan, umat ini harus mendapatkan suatu perlaksanaan supaya dapat berada dalam kasih sayang Tuhan. Caranya adalah dengan kembali berittibak kepada cara Muhammad RasululLah S.A.W. iaitu kembali kepada cara awal sebagaimana yang dibawa oleh RasullulLah S.A.W. Baginda hanya membawa ajaran Tuhan melalui Al-Qur'an. Pendekatan yang paling hampir adalah mencontohi gerakerja yang dilakukan oleh Khalifah Abu Bakar R.A. dan Khalifah Umar R.A. (3:31)





Monday, October 29, 2012

SURAH ALI IMRAN AYAT 31 -- KEMBALI MENYAYANGI TUHAN


قل ان كنتم تحبون الله فاتبعو نى يحبب كم الله
ويغفرلكم ذنوب كم

Katakan olehmu, kiranya telah adalah kamu, kamu menyayangi akan Allah, maka berittibaklah olehmu akan daku ini, Ia menyayangi akan kamu oleh Allah dan Ia mengampuni bagimu akan dosa-dosamu. 

Katakanlah (Wahai Muhammad) Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu.

i.   Menuruti Ajaran Al-Quran Adalah 
     Sunnah Sebenar RasullulLah S.A.W.

Boleh dibilang dengan jari, berapa banyakkah pejuang-pejuang agama sama ada melalui pendekatan jabatan, jamaah, parti atau gerakan ekstrem, dapat menyampaikan Al-Quran kepada pengikut-pengikut mereka? Kebanyakan mereka hanya mendengar Al-Quran melalui bacaan imam semasa melaksanakan ibadah solah dan kemudian melupakan kebanyakan bacaan itu apabila aktiviti solah mereka tamat. Adakah mereka benar-benar menuruti sunnah RasullulLah S.A.W. yang membacakan Al-Quran kepada para sahabat R.A.H.M di dalam solah dan juga di luar solah? Rasulullah tidak membaca kitab-kitab lain.

Kemudian RasululLah S.A.W. akan memberi huraian panjang lebar daripada ayat-ayat Al-Qur'an yang baginda fahami. Adakah sunnah sedemikian telah diikuti agar setiap individu akan disayangi Tuhan? Adakah memadai dengan membaca karangan-karangan ulama tertentu, telah menjamin seseorang ke suatu keadaan disayangi Tuhan? 
 
ii.   Menjemput Kasih Sayang Tuhan

Berittibak kepada RasululLah S.A.W. adalah dengan menuruti perlakuannya sama ada yang dinamai sebagai sunnah atau atsar. Sebenarnya apakah yang disampaikan oleh RasululLah S.A.W. kepada para sahabat R.A.H.M? Iaitu Al-Quran. Tugas baginda adalah menyampaikan Al-Quran dan baginda memberi contoh, melalui apa yang dikenali sebagai As-Sunnah atau sunan. RasululLah S.A.W. tidaklah semata-mata menyampaikan sunnahnya sebagaimana yang kita kini perolehi melalui pelbagai kitab-kitab sunan, tetapi baginda menyampaikan Al-Quran. Oleh kerana keislaman sahabat-sahabat baginda berlalu dalam tempoh yang agak lama, maka corak penerimaan yang diterima oleh para sahabat R.A.H.M juga berbagai-bagai. Dengan demikian baginda RasululLah S.A.W. telah meninggalkan pesan untuk menuruti sunnah Khulafah Ur-Rashidin Al Mahdiyin iaitu Khalifah Abu Bakar R.A. dan Khalifah Umar R.A.

Adalah didapati Khalifah Abu Bakar R.A. adalah sahabat yang sangat kurang meriwayat Al-Hadith dan Khalifah Umar R.A. lebih banyak menggunakan ijtihad beliau sendiri dalam menghadapi permasalahan umat. Penulis tidak bermaksud untuk merendahkan status Al-Hadith dan penulis juga amat bersetuju dengan pendirian Sahabat Abu Bakar R.A. dan Umar Al Khattab R.A. bahawa menggelojohi Al-Quran dan berusaha mengambil pengajaran daripadanya secara bersungguh-sungguh adalah lebih utama daripada terlalu memberi tumpuan yang amat mendalam darihal mana-mana Al-Hadith. Oleh kerana Al-Hadith harus difahami berdasarkan matan, penerimaan Al-Hadith haruslah disesuaikan dengan Al-Qur'an. Oleh yang demikian, kerja-kerja menstatuskan Al-Hadith adalah merupakan kerja-kerja yang tidak pernah selesai dilakukan oleh ulama-ulama Al-Hadith sejak dahulu lagi. 
 
Tindakan menuruti sunnah RasululLah S.A.W. berdasarkan rujukan Al-Hadith, adalah merupakan tindakan mencontohi kefahaman atau amalan baginda berdasarkan kefahaman baginda, tentang kitab Tuhan iaitu Al-Quran. Oleh itu tidak melampau untuk penulis nyatakan bahawa Muhammad RasululLah S.A.W. adalah ulama pertama dan ulama utama bagi umat ini. Sebenarnya penulis hanya khuatirkan kerja-kerja terlalu mendalami agama sehingga mengakibatkan seseorang itu terkeluar daripada ajaran agama.

والله غفور رحيم

Dan Allah Maha Pengampun Maha Pengasih.

dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

iii.    Tuhan Sedia Maklum Akan Kesalahan 
        Dan Kesilapan Yang Dilakukan Oleh 
        Manusia

Dalam usaha umat ini mengambil pelajaran secara bersungguh-sungguh daripada Al-Quran, tentunya mereka terdedah dengan kesilapan dan kesalahan dalam memahami ayat-ayat Tuhan. Perkembangan ilmu tetap akan berlaku sepanjang zaman. Sebagai contoh, ulama silam pernah mengeluarkan fatwa tentang tempoh haid seseorang wanita. Tempoh haid adalah tempoh kelarangan bagi seseorang wanita daripada melakukan amal-amal ibadah khusus seperti solat dan puasa. Fatwa yang pernah dinyatakan tentang hal ini adalah maksimum tempoh haid harus tidak melebihi 16 hari dan 16 malam. Sila rujuk kitab Mutlaq Al-Badrin atau Jauhar As-Siniah tentang perkara ini. Status fatwa sedemikian sebenarnya tidaklah harus dipertikaikan memandangkan secara umumnya tempoh sebulan maksimum bulan hijrah adalah 30 hari. Oleh itu seseorang wanita, secara umumnya memiliki tempoh sekurang-kurangnya 14 hari untuk melakukan ibadah khusus tersebut. Tempoh ini juga dikenali sebagai tempoh ovulasi ke menstruasi.

Penulis mengambil pendirian bahawa fatwa itu tidaklah menjurus kepada kesilapan atau kesalahan kiraan. Penemuan terkini darihal tempoh dari awal haid, yang telah dipersetujui oleh ahli embriologi perubatan sebenarnya menambah baik terhadap fatwa sedia ada. Tempoh dari awal haid hingga ke kejadian ovulasi adalah merupakan tempoh maksimum, kejadian haid dapat berlaku. Tempoh ini tidak dapat dinyatakan secara pasti memandangkan terdapat perbezaan tempoh bagi seseorang wanita dengan wanita yang lain. Namun kejadian ovulasi adalah 14 hari sebelum berlakunya kejadian haid berikutnya. Kejituan ini hampir terjadi kepada semua wanita. Oleh itu sekiranya kitaran haid seorang wanita memakan masa 34 hari, tempoh awal haid hingga ke kejadian ovulasi yang berlaku kepadanya adalah 34 – 14 iaitu 20 hari. Kejadian haid tidak harus berlaku lebih dari 20 hari kepada wanita itu.

iv.  Cukuplah Dengan Pengajaran 
      Al-Quran

Daripada contoh yang telah diberi, apajua fatwa yang menjurus kepada hukum atau kaedah, adalah merupakan suatu yang boleh dilakukan pengemaskinian terhadapnya sekiranya terdapat hujah yang lebih aula yang dapat diambil daripada wahyu seiring dengan penemuan semasa. Adapun fatwa ulama-ulama silam yang menjurus kepada penutupan pintu ijtihad dalam perkara agama adalah suatu yang sangat bersesuaian dengan maslahat masa itu yang salah satu tujuannya adalah bagi mengurangkan pertelingkahan umat yang sedang terjadi.

Selepas Muhammad RasululLah S.A.W. sehingga kini, tidak pernah ada individu yang boleh mendakwa menerima wahyu Tuhan secara terbuka yang dapat dijadikan ukuran bahawa cara beragama individu itu boleh dituruti untuk dijadikan panduan umat dalam beragama.  Sehingga kini juga, tidak pernah ada individu yang pernah hidup bersama RasululLah S.A.W. yang dapat menjelaskan secara terperinci segala perkara yang berkaitan agama meliputi pengajaran Al-Hadith tertentu. Oleh itu, kembali kepada pengajaran Al-Quran adalah merupakan satu perkara yang masih ada dalam tangan setiap umat masakini.

Tidak ada pendukung As-Sunnah dapat menafikan perkara ini, tidak juga pendukung mazhab Syi'ah. Bahkan tidak juga mereka yang berpegang dengan pandangan Muhammad Abdul Wahab dapat menafikan perkara ini. Begitu juga penganut mana-mana ajaran kerohanian sama ada yang mengambil jalan kesufian dan juga tareqah dapat menafikan perkara ini. Bahawa Al-Quran adalah satunya pandangan atau pendapat Tuhan yang harus dirujuk kembali. Bahawa petunjuk, hanyalah petunjuk Allah. Allah tidak memerintahkan melainkan menjadi hamba abdi kepadaNya. 



KUPASAN TERKINI AYAT

Sila klik untuk membaca kupasan terkini ayat Al-Quran.

Menyayangi Tuhan Adalah Dengan Menghayati Al-Qur'an

Friday, October 26, 2012

SURAH ALI IMRAN AYAT 30 -- HARI BERLAKU BENCANA YANG PASTI


يوم تجد كل نفس ما عملت من خير محضرا
وما عملت من سوء تود لو ان بينها وبينه
امدا بعيدا ويحذر كم الله نفسه والله رءوف بالعباد


Hari yang ia dapati oleh setiap diri apa yang telah dilakukan ia daripada kebajikan suatu bentangan, dan apa yang telah dikerjakan ia daripada keburukan, ia bercita-cita kuat, kiranya bahawa antara dia dan antaranya, jarak yang (sangat) jauh. Dan Ia menghadirkan akan kamu, oleh Allah akan diriNya. Dan Allah Maha Penyantun terhadap hamba-hamba (yang bekerja untukNya)

(ingatlah) hari (kiamat Yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan Yang telah dikerjakannya, sedia (dibentangkan kepadanya Dalam surat-surat amalnya); dan demikian juga apa sahaja kejahatan Yang telah dikerja-kannya. (ketika itu tiap-tiap orang Yang bersalah) ingin kalau ada jarak Yang jauh di antaranya Dengan amalnya Yang jahat itu. dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan dirinya (menyeksa kamu). dan (ingatlah juga), Allah amat belas kasihan kepada hamba-hambanya.

i.   Bencana Yang Semakin Mendekat

Apabila datang hari berlaku bencana sama ada sedikit demi sedikit atau bencana yang besar, kita akan dapati umat yang melakukan kebaikan tidak begitu terkesan dengan bencana yang terjadi. Kebinasaan yang besar telah berlaku di negara-negara yang mengamalkan projek-projek yang membinasakan. Bencana keruntuhan tanah, hujan yang bersangatan sehingga mengakibatkan banjir besar, taufan yang menurunkan air hujan masin, kepanasan melampau-lampau, kemarau yang membinasakan serta ribut salji yang membawa banyak kematian telahpun terjadi. Hampir semuanya berlaku di negara-negara yang rakyatnya tidak diajari cara yang betul untuk berpenghidupan.

ii.   Mereka Cuba Melarikan Diri

Mereka memiliki cita-cita yang sangat kuat untuk meng-hindari bencana. Mereka telah menghantar peralatan-peralatan yang canggih ke angkasa lepas untuk tujuan memerhati. Mereka melakukan pemerhatian yang sangat mendalam mencari punca pasti terjadinya bencana. Mereka mempelopori penemuan bahan-bahan baru yang sangat ringan serta dapat bertahan dengan kuat dalam projek pembangunan mereka dan terkini mereka telah menemui bahan komposit nanotiub yang katanya dapat dihulurkan dari bumi ke stesen-stesen angkasa lepas. Mereka sebenarnya berusaha melarikan diri daripada bencana. Adakah mereka telah melakukan persiapan secukupnya? Adakah rumah-rumah perlindungan (shelter) yang dibina dapat menampung sebahagian besar manusia?

iii.  Persiapan Sebahagian Mereka Yang 
      Melampau

Dalam dokumentari yang ditunjukkan melalui tayangan TV satelit, sebahagian daripada rakyat negara Barat, telah melakukan suatu persiapan untuk menghadapi zaman kegawatan yang mungkin terjadi dalam tempoh 3 atau 4 tahun. Setiap mereka yang melakukan persiapan, memiliki alasan tersendiri bagi menghadapi hari-hari yang tidak diharapkan akan berlaku. Mereka menyimpan makanan, air, bahan bakar serta persiapan senjata bagi menghadapi kemungkinan kegawatan. Namun perkara yang serupa yang dipersiapkan oleh setiap individu tersebut adalah persiapan mementingkan diri-diri serta ahli keluarga mereka sendiri dan haiwan-haiwan kesayangan mereka sehingga sanggup melakukan persediaan mencederakan manusia lain.  

iv.  Penemuan Mereka Yang Mengejutkan

Dalam diam ahli profesional mereka membuat pengumuman. Bahawa bencana yang sedang terjadi dan bakal terjadi di mukabumi ini adalah disebabkan jumlah manusia yang terlalu ramai. Sekiranya bilangan manusia dapat dikurangi, bencana akan dapat dikurangi dan bahaya kemusnahan bumi juga dapat dikawal. Kenyataan ini dikeluarkan oleh seorang yang bergelar profesor terkemuka di negara Barat. Lalu mereka berusaha mencari jalan mengurangkan jumlah manusia! Seolah-olah umat manusia yang terdapat di mukabumi ini adalah seumpama lembu yang harus dikorbankan. Lalu kempen baru mula dilakukan secara senyap-senyap. Kajian-kajian dijalankan terhadap pemakanan manusia sehingga mereka dapat dihidangkan dengan sebatian bahan yang dapat mengakibatkan wanita-wanita mereka menjadi mandul. Bahkan hingga mencapai kepada program kesihatan, kerajaan-kerajaan negara membangun dibekalkan dengan suntikan-suntikan atas nama pelalian, yang bertujuan menjadikan remaja-remaja wanita mereka menjalani proses pensterilan.

v.   Kasih Sayang Tuhan Kepada 
      Hamba-hambaNya

Bagaimanakah kita dapat melarikan diri daripada program-program kemusnahan seperti ini, melainkan sekiranya kita secara bersegera menjadi hamba Tuhan. Sesungguhnya Tuhan Maha Penyantun terhadap hamba-hambaNya. Menghambakan diri kepada Tuhan adalah bersedia melakukan suatu pekerjaan hamba abdi yang tidak mengharapkan sebarang balasan hanya semata-mata kerana menyatakan kasih kepada Tuhan dan mengharapkan belas kasih daripada Tuhan. Sebenarnya terlalu banyak manfaat yang dapat diperolehi mereka yang mempersiap diri untuk menjadi hamba Tuhan. Persiapan meliputi persediaan diri, ilmu dan juga meliputi persediaan harta benda.




Monday, October 22, 2012

SURAH ALI IMRAN AYAT 29 : MEYAKINI TUHAN MAHA KUASA ATAS SEGALA SESUATU


ﻗﻞ ﺍﻥ ﺗﺨﻔﻮﺍ ﻣﺎ ﻓﻰ ﺻﺪﻭﺭ ﻛﻢ ﺍﻭ ﺗﺒﺪﻭﻩ ﻳﻌﻠﻤﻪ ﻟﻠﻪ  ﻳﻌﻠﻢ ﻣﺎ ﻓﻰ ﺍﻟﺴﻤﺎﻭﺍﺕ  ﻣﺎ ﻓﻰ ﺍﻷﺭﺽ
 ﻟﻠ ﻋﻠﻰ ﻛﻞ ﺷﻲﺀ ﻗﺪﻳﺮ

Katakanlah olehmu, kiranya kamu sembunyikan apa yang dalam dadamu atau kamu dedahkan akannya, Ia mengetahui akannya oleh Allah dan Ia mengetahui apa yang pada langit itu dan apa yang pada bumi itu dan Allah atas tiap-tiap sesuatu Maha Kuasa. 

Katakanlah (Wahai Muhammad) Jika kamu sembunyikan apa Yang ada Dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya dan ia mengetahui Segala Yang ada di langit dan Yang ada di bumi. dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.


Dalam pada penegak-penegak Al-Qisthi boleh berada pada mana-mana kedudukan, kebanyakan mereka menyembunyikan keimanan mereka daripada diketahui oleh pihak pemerintah. Oleh itu, sebagai umat Islam yang bercita-cita memperjuangkan agama, mereka tidak seharusnya bersangka buruk terhadap penjawat-penjawat tertentu di jabatan-jabatan tertentu dalam pemerintahan. Mereka tidak semestinya menyetujui polisi pemerintahan yang zalim sekalipun mereka itu adalah kakitangan dalam sebuah jabatan. Inilah pendekatan yang berlaku ke atas Nabi Yusuf A.S., Nabi Musa A.S. dan juga sebahagian ulama-ulama tersohor selepas kerasulan RasululLah S.A.W, sehingga kedudukan sebahagian diketahui dan sehingga mereka diseksa oleh pemerintah. Mereka bukan bimbang terhadap sesuatu yang akan mengenai mereka, malah yang lebih mereka bimbangi adalah fitnah yang mungkin akan menimpa umat pada keseluruhannya. Suatu fitnah yang dapat membawa kemudharatan yang lebih besar.

i.   Pengetahuan Tuhan Tentang Langit 
     dan Bumi, Menjurus Kepada Sesuatu 
     Yang Berkaitan Pemerintahan

Antara perkara yang dibincangkan dalam surah Al-Mulk adalah berkaitan dengan pemerintahan. Sifat Tuhan yang mengetahui tentang langit dan bumi adalah berkaitan tentang pembentukan kerajaanNya yang baraqah. Kesediaan pihak pemerintah untuk memerhatikan keadaan ini akhirnya akan menjurus kepada pembentukan pihak berkuasa tempatan yang mengambil berat darihal kehidupan alam sekitar, keharmonian kehidupan manusia, pertumbuhan flora, kewujudan fauna dan kestabilan struktur mukabumi. Negara ini telah ada semua badan-badan yang berkaitan, namun di atas kepentingan kapitalisma yang diamalkan, pengagihan khazanah negara telah gagal diagihkan secara berkesan. Pencerobohan kawasan tadahan telah menjadi suatu fenomena yang biasa dilihat dan kerosakan kesan penebusan dan kerja-kerja yang dilakukan tanpa kawalan tertentu telah mengakibatkan kerosakan cuaca yang seringkali membawa kebinasaan terhadap kehidupan manusia sendiri.

ii.   Kiranya Kerja-kerja Penyampaian 
      Diabaikan

Sebenarnya sudah sampai masanya, penegak-penegak Al-Qisthi berusaha melakukan sesuatu untuk memberi kesedaran kepada ahli masyarakat seluruhnya. Kesedaran tidak lagi boleh ditujukan kepada penjawat-penjawat dalam pemerintahan secara khusus kerana tekanan hidup daripada pengamalan ekonomi kapitalis telah mengakibatkan mereka yang terlibat, terpaksa lebih mengutamakan kemewahan dengan melakukan polisi pekerjaan yang merosakkan. Kesan tekanan ekonomi kapitalis hasil daripada kecurangan golongan tamak, yang seringkali menentukan halatuju pasaran berdasarkan penawaran dan permintaan tanpa kawalan, telah membawa defisit dan inflasi yang berterusan.

iii.  Kekuasaan Tuhan Atas 
      Segala Sesuatu

Sesungguhnya Tuhan berkuasa atas segala sesuatu dan kekuasaan Tuhan terserlah di atas peraturan yang telah Ia tetapkan di bumi ini melalui sebab dan akibat. Atas sebab itulah Tuhan telah mengutus para rasul kepada manusia supaya mereka dapat memperguna akal dan membaca risalah Tuhan. Tuhan mengajari manusia melalui risalahNya agar manusia dapat berfikir dan melakukan sesuatu bagi melaksanakan kerja baik pulih.

Kita sebenarnya dapat membaca, hampir setiap hari tentang kekalutan masyarakat Barat yang menjadi kelam kabut akibat perubahan cuaca yang berlaku di negara mereka. Mereka masih berbalah bukan sahaja terhadap punca yang membawa akibat perubahan cuaca bahkan kepada apakah tindakan yang harus mereka ambil bagi menghentikan kesan perubahan sedemikian. Mereka masih memikirkan dan terus memikirkan dan terus memikirkan sehinggalah kiraan susut pembilang saat di hadapan mereka semakin menuju ke sifar. Sebenarnya apakah yang dapat mereka putuskan dengan kesuntukan masa yang berbaki dan seterusnya apakah tindakan perlu yang harus mereka ambil? Wajarkah kita, selaku umat ini masih menanti-nanti keputusan saintis mereka dan juga pemegang polisi negara mereka, sedangkan tempoh mereka sebenarnya hampir tamat? Wajarkah kita membiarkan sahaja kepimpinan negara kita bagaikan orang yang merayu meminta sadaqah daripada pihak kapitalis Barat, yang hampir membuat keputusan bahawa negara mereka harus menyerahkan sejumlah berbillion dollar dana kepada negara-negara membangun, agar dapat melakukan sesuatu bagi mengawal perubahan cuaca yang berlaku. Mereka sendiri masih tidak mengetahui punca permasalahan yang berlaku secara pasti lalu bagaimanakah dapat mereka memberi arahan kepada kepimpinan kita untuk melakukan sesuatu?

Mereka Sendiri Masih Berbalah Terhadap Punca Perubahan Cuaca, 
Jadi Apakah Yang Masih Boleh Diharap Daripada Mereka?



Popular