SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Saturday, September 28, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 25 -- MENERIMA KITAB CATATAN AMAL DARI SEBELAH KIRI


فاما من اوتى كتبه بشماله
فيقول يليتنى لم اوت كتبيه

Maka adapun barangsiapa yang telah diserahkan ia akan kitabnya dengan tangan kirinya, maka ia berkata aduhai kiranya daku, telah tidak diserahkan ia akan kitabku ini.

adapun orang Yang diberikan menerima Kitab amalnya Dengan tangan kirinya, maka ia akan berkata (dengan sesalnya): "Alangkah baiknya kalau Aku tidak diberikan Kitab amalku, -

i.   Menyesali Atas Penerimaan Kitab Amalan

Demikian itulah bunyi penyesalan. Penyesalan lantaran melakukan amalan di dunia ini, secara tidak berhati-hati. Dalam surah Al-Ma'arij, dijelaskan sikap manusia yang menempuh kehidupan, tanpa mempedulikan akibat yang akan menimpa mereka kemudian harinya. Dengan kebongkakan sebahagian manusia dalam menakrif segala-gala yang nyata darihal kehidupan, ternyata mereka masih gagal untuk mengenal pasti, punca masalah yang menimbulkan suasana haru biru, yang menimpa manusia dan alam persekitaran mereka.

ii.  Mengamalkan Sistem Hidup Yang Porak

Sistem yang mereka perkenalkan, hanyalah menjurus kepada keadaan porak peranda masyarakat. Begitulah keadaan manusia yang menolak petunjuk Tuhan dari awal-awal lagi. Begitu, ayat-ayat Tuhan yang mudah difahami oleh golongan yang beriman, tidak difahami oleh golongan yang ingkar. Mereka daripada golongan ingkar, sentiasa tercari-cari kaedah penyelesaian terbaik tanpa bertunjangkan wahyu Tuhan namun, segala-galanya dapat dipelajari daripada kitab Tuhan secara mudah sekiranya mereka beriman. Lalu bagaimanakah kempen mereka dapat dipraktikkan oleh manusia seluruhnya melainkan apajua yang memperlihatkan kepentingan sebahagian pihak?

iii.  Kesilapan Perundangan

Sebagai contoh, kempen mengatasi masalah gejala sosial. Kita dapati dengan penguatkuasaan undang-undang dan habuan yang akan diterima oleh jabatan dan penggaji-penggaji, kempen sedemikian giat dijalankan. Bagaimana dengan pembenterasan pusat-pusat hiburan tanpa lesen? Semuanya hanya diambil kira, apabila terdapat nilai habuan yang akan diperolehi. Begitu juga, kempen seperti penjagaan alam sekitar, tidak dilakukan secara bersungguh-sungguh oleh semua pihak, melainkan diserahkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan. PBT melaksanakannya kerana terdapat undang-undang yang mewajibkan penduduk sekitarnya membayar cas tertentu untuk menampung kos pembersihan. 

Sekiranya bermula punca masalah tidak diambil berat, lantaran sikap setiap individu, maka akan berlaku perkara-perkara yang mengakibatkan kemusnahan alam, terlepas pandang begitu sahaja oleh pihak-pihak berwajib tanpa sebarang tindakan.

iv.   Projek-projek Yang Tidak Menurut Piawaian

Sebagai contoh, peristiwa runtuhnya Bukit Antarabangsa yang mengorbankan ramai penduduk, adalah disebabkan oleh perlepasan sebatian nitrat secara berlebihan ke dalam tanah akibat daripada kebocoran saluran pembetungan. Terjadinya keruntuhan adalah disebabkan pembangunan dilakukan di kawasan tanah tinggi dan kekuatan tanah menjadi lemah oleh limpahan air. Dua faktor ini saling berkaitan menyebabkan akhirnya berlaku keruntuhan. Sekalipun JAS negeri telah mengambil berat dengan sentiasa memerhatikan struktur dan kekuatan tanah, mereka hanya dapat mengambil bacaan tanpa mengetahui punca kepada kejadian sedemikian. Tiada badan yang mengawal selia saluran pembetungan pada ketika itu sehingga menyebabkan perkara demikian diabaikan. Tidak seperti pengawal seliaan terhadap paip-paip air untuk mempastikan tidak berlaku sebarang kebocoran yang dapat menjejaskan pendapatan syarikat-syarikat perbekalan air. Punca utama kejadian adalah pembangunan yang didirikan di kawasan bukit.

Perkara sedemikian harus diambil berat oleh pihak berkuasa lantaran pembangunan di kawasan sedemikian, tidak pernah dianjurkan dalam kitab suci melainkan untuk tujuan pertanian. Tiada ulama yang pernah bertegas dalam perkara sedemikian. Tiada jabatan yang sanggup menerima fatwa ulama sehingga dikuatkuasakan undang-undang, supaya tiada pembangunan dilakukan di kawasan bukit. Undang-undang sedia ada, adalah disebabkan berlaku kejadian terdahulu, seperti keruntuhan Highland Tower suatu masa dahulu, yang mengorbankan berpuluh-puluh penduduk. Seterusnya peristiwa runtuhnya lereng bukit ke atas lebuhraya berhampiran Gua Tempurung, sehingga mengorbankan pemandu. 

Kemudian penguatkuasaan tidak dilakukan lantaran sikap pemaju-pemaju perumahan, yang melihat kepentingan besar keuntungan yang akan mereka perolehi, sejajar dengan nilai hartanah yang sentiasa meningkat. Mereka merasuah pihak-pihak berkepentingan sehingga akhirnya didirikan bangunan di kawasan larangan terbabit. Undang-undang diketepikan begitu sahaja, lantaran undang-undang itu sendiri tidak diasaskan keimanan kepada Tuhan.





Wednesday, September 25, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 24 -- HASIL DARIPADA PEKERJAAN SILAM


كلوا و اشربوا هنيئا بما
اسلفتم فى الايام الخالية

Makanlah olehmu dan minumlah olehmu, kepuasan dengan apa yang telah silam kamu, pada hari-hari yang ditinggalkan (dahulu).

(masing-masing dipersilakan menikmatinya Dengan dikatakan): "Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai nikmat Yang lazat dan baik kesudahannya, Dengan sebab (amal-amal soleh) Yang telah kamu kerjakan pada masa Yang lalu (di dunia)!"

i.   Perintah Makan Baru Minum

Perintah makan dan minum dengan kepuasan adalah dengan memanfaatkan sepenuhnya makanan dan minuman yang tersedia. Bukan dengan tujuan pembaziran. Minum dengan kepuasan adalah daripada bejana yang penuh dan bukan seperti bejana hidangan arak, pada kuantiti yang sedikit sebagaimana yang biasa kita lihat pada majlis-majlis yang diraikan oleh kaum yang ingkar. Makan dan minum adalah merupakan salah satu kenikmatan yang Tuhan kurniakan kepada manusia dan hidupan. Berbanding dengan haiwan yang tidak bercita rasa selain daripada yang dihadkan, sama ada haiwan karnivor, herbivor atau omnivor, manusia boleh memilih sendiri makanannya, sama ada seperti semua yang disebutkan atau pemakanan sintetik yang direkacipta seperti pewarna, perisa serta ubatan.

ii.   Sedikit Teknik Huraian Untuk Golongan Kanan 
      Darihal Kehidupan Mereka Di Syurga

Penulis sebenarnya berusaha mendapatkan penerangan dengan sesuatu yang ada kaitannya dengan peristiwa Al-Haqqah, yang terdiri daripada rentetan peristiwa tertentu, kesan daripada 'persediaan' manusia menghadapi kehidupan ini, sehingga kepada akibat yang berlaku mengenai manusia itu sendiri.

iii.  Contoh Pemperolehan Golongan Kanan dan 
      Perkara Yang Berkaitan

Contohnya, daripada ayat 69:22, kedudukan tinggi dalam syurga adalah membolehkan seseorang melihat pandangan yang lebih jauh serta luas. Secara praktikal, dalam kehidupan di dunia ini, situasi seperti ini hanya dapat berlaku kepada mereka yang berilmu dengan ayat-ayat Tuhan sehingga dapat menempuh kehidupan yang baik, serta tidak mengesani alam sekitar dengan pencemaran yang banyak (69:23). Memetik hasil tanaman yang rendah, membayangkan keadaan tanaman sedemikian, sekiranya di dunia ini, adalah daripada yang kerap ditanam. Kaedah penanaman sedemikian, dapat dimanfaatkan untuk tujuan keseimbangan alam sekitar. Projek-projek penanaman seperti padi, gandum, sayur-sayuran adalah merupakan projek yang memerlukan tenaga ramai dan manusia dapat saling memanfaati sesama mereka untuk tujuan yang sedemikian. 

iv.  Yang Dikatakan Menikmati Hasil Silam

Berdasarkan pengajaran ayat ini yang memerintahkan kita makan dan minum daripada hasil silam, dapat memberi pengajaran tersendiri supaya kita sentiasa bersedia dengan bekalan tertentu sepanjang menjalani kehidupan. Telah menjadi 'trend' masakini, ramai daripada kita terutamanya generasi muda, telah memilih gaya hidup eksklusif dengan berbekalkan kad-kad hutang sehingga mereka dapat berbelanja dan menikmati makan dan minum daripada hasil kerja akan datang. Kesudahannya atas sebab beban hutang tak terkawal, kebanyakan daripada mereka menghadapi risiko bangkrap pada usia muda.

Perkara sedemikian memberi pengajaran bahawa golongan beriman adalah golongan yang berhati-hati dalam soal perbelanjaan harian mereka. Mereka tidak akan terburu-buru memilih gaya hidup berhutang yang kesudahannya mereka sentiasa menghadapi tekanan dalam kehidupan. Namun atas desakan sistem kapitalis yang diamalkan secara meluas, kini kita dapati aktiviti perniagaan yang seharusnya dapat berlaku dengan rancak, dengan segera akan terjejas secara nyata apabila berlaku kemelesitan atau kegawatan ekonomi. Kesudahannya, permasalahan sosial dalam masyarakat turut meningkat dan banyak kejadian jenayah telahberlaku secara berleluasa.


v.   Menabung Untuk Masa Depan Adalah 
      Amalan Mulia

Setiap kita harus memerhati apakah kesan gerakerja hari ini terhadap esok hari. Perkara demikian dapat membantu menambah motivasi dalam pekerjaan. Memilih jalan tidak sabar dengan mengutamakan kehidupan berstatus agar dapat dikatakan sebagai seorang yang berjaya memenuhi piawai kehidupan, sebenarnya adalah gerakerja menempah kesukaran pada masa akan datang. Siapakah mereka ini yang sanggup menggadai masa depan mereka? Seringkali kita mendapati mereka yang berpelajaran tinggi serta memiliki kareer tertentu dalam pekerjaan, terdedah kepada kehidupan stress berbanding mereka yang berpendapatan rendah tetapi cermat dalam perbelanjaan. Kesanggupan menabung dan bersabar dalam perbelanjaan akan menjadi teman setia yang akan membantu seseorang dalam kesusahan berbanding teman-teman sekeliling yang selalu menemani kita di atas meja makan.

Penulis tidak bermaksud bahawa seseorang itu harus berlumba-lumba dengan usaha tabungan kerana bagi seseorang itu memadai dengan jumlah yang diperlukan untuk keperluan hidupnya. Seseorang itu tidak harus menganggap bahawa harta yang berjaya ia kumpulkan adalah merupakan jaminan untuk ia dapat hidup dengan lebih lama kerana tindakan seperti itu dikhuatiri akan menyebabkan seseorang melebihkan bahagian dunia daripada usaha akhirat.




Sunday, September 22, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 23 -- PETIKAN ATAU TUAIAN YANG RENDAH


قطوفها دانية


Petikannya (atau tuaian) yang rendah.

buah-buahannya dekat untuk dipetik.

i.   Tanaman Jangka Pendek dan 
      Hasil Jangka Pendek

Iaitu, dapat mengambil sesuatu hasil usaha seperti tanaman dan buahan-buahan dengan mudah. Kurniaan ini adalah merupakan suatu pembalasan atas kerja perbaikan yang mereka usahakan terdahulu daripada itu. Tanaman yang memberi tuaian atau hasil petikan tentulah tanaman yang dapat ditanam dalam masa terdekat dan hasil yang diperolehi juga dalam masa terdekat. Sebagai contoh adalah penanaman padi, gandum, tebu serta berjenis-jenis sayuran. Untuk mengekalkan perolehan hasil yang berterusan, projek penanaman tanaman sedemikian perlu dilakukan secara kerap. Kekerapan inilah yang membantu membentuk suatu keseimbangan terhadap cara guna tanah. Pepohon dengan tuaian yang mudah seperti cili, tomato, petola, timun serta buahan-buahan pokok kayu yang rendah seperti longan dan jenis-jenis jambu adalah merupakan buahan bermusim atau yang mengeluarkan hasil jangka pendek. Pokok-pokok sedemikian dapat ditanam dalam jangka masa terdekat dan dapat ditanam semula setelah tempoh masa tertentu. Keaktifan penanaman sebegini dapat membantu memanfaatkan baja-baja asli yang banyak disingkirkan daripada haiwan-haiwan atau sisa tumbuhan yang mereput. Pembaziran baja dapat dikurangi ke tahap minimum. Keadaan seperti ini sebenarnya menjadi suatu kaedah pengawalan pertanian supaya alam kediaman manusia ini dapat kekal seimbang dalam tempoh yang sangat lama.

ii.   Berhati-hati Terhadap Pencemaran

Dalam pada Tuhan menyediakan tumbuh-tumbuhan yang dapat memberi hasil dalam jangka masa terdekat, umat harus mensyukurinya dan bukan melakukan tindakan gelojoh dengan menanam sebanyak-banyaknya. Sehingga, menggunakan baja yang dapat mengakibatkan pencemaran teruk. Dan bukan juga dengan melakukan sesuatu terhadap hasil tuaian dengan pemprosesan tertentu, melalui penambahan bahan-bahan lain untuk tujuan mengawet dan menambah perisa. Perkara ini selalu dilakukan untuk memudahkan dan memperbanyak penjualan, sehingga mengakibatkan kemudaratan kepada si pemakannya. Demikian itulah gambaran yang dapat penulis beri berdasarkan analogi kehidupan di syurga yang dijanjikan Tuhan. Adapun perkara sebenar yang disediakan Tuhan dalam kehidupan syurga, tiadalah dapat penulis bayangkan.




Thursday, September 19, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 22 -- KEDUDUKAN YANG TINGGI DALAM SYURGA

 
فى  جنة عالية
 
Dalam syurga yang ditinggikan.

di Dalam syurga Yang tinggi (darjatnya)
 
Dalam kehidupan dunia ini, seseorang yang memperolehi hidupan yang tinggi bukanlah merujuk kepada keadaan fizikal. Sekiranya dibandingkan dengan keadaan fizikal, adalah berada pada suatu kedudukan yang ia dapat melihat pandangan yang lebih luas.
 
Dapat Melihat Pada Sudut Pandangan Yang Luas
 
Iaitu seseorang yang dapat melihat secara lebih teliti serta menyeluruh dan memiliki sudut pandangan pelbagai, sehingga dapat melihat sesuatu, pada suatu sudut atau keadaan yang tidak dapat dilihat oleh golongan ingkar. Lantaran golongan ingkar adalah yang berada pada kedudukan rendah. Demikian itulah, mereka yang merapatkan diri dengan peringatan Tuhan dan selalu mengingati Tuhan dalam kehidupannya. Yang demikian itu, mereka sentiasa dapat memandang dengan pandangan Tuhannya yang dipelajari daripada kitab suci. Segala kenikmatan terdapat dalam syurga, daripada yang diingini oleh manusia.


Monday, September 16, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 21 -- KEHIDUPAN YANG MENYENANGKAN


فهو فى عيشة راضية


Maka adalah ia pada kehidupan yang senang. 

maka (dengan itu) Tinggalah Dia Dalam kehidupan Yang senang lenang lagi memuaskan 

i.    Senang Adalah Kerja Hati 

Pertimbangan terhadap istilah senang adalah merujuk kepada kerja hati. Seseorang yang merasa senang, tidak perlu menghadapi kehidupan dengan resah dan gelisah. Ia tidak akan tertekan dengan matlamat hidup yang direkacipta oleh golongan ingkar. Ia ada peruntukan terhadap dirinya, ahli keluarganya, kaum kerabatnya dan juga sahabat-sahabatnya yang merupakan sebahagian daripada ahli masyarakat.

ii.   Sesuatu Yang Dapat Memulihkan Keadaan

Ia tidak perlu memberi sumbangan yang membawa kerosakan dalam kehidupannya, bahkan, ia memberi sumbangan kepada pihak lain dan ada masa mengingati pihak lain untuk turut menempuh kehidupan yang memulihkan keadaan. Kehidupan seperti inilah yang membawa hubungan yang harmoni antara seseorang dengan individu lain.

Friday, September 13, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 20 -- MEREKA TELAH MENJANGKA KIRAAN MEREKA



انى ظننت انى ملق حسابيه

Sesungguhnya aku, telah menyangka aku, bahwasanya aku yang akan menemui kira-kiraku ini.

"Sesungguhnya Aku telah mengetahui Dengan yakin, Bahawa Aku akan menghadapi hitungan amalku (pada hari Yang ditentukan)!"

i.     Perlunya Pengiraan Dalam Amalan

Perkataan حساب adalah perhitungan, kira-kira atau metamatik. Supaya sesuatu dapat dijangkakan hasilnya, suatu perhitungan perlu dilakukan oleh individu itu sebelum melakukan sesuatu. Ayat seperti ini adalah asas kepada keperluan memahami ilmu pengiraan. Tujuan mempelajari pengiraan seperti ini adalah untuk mendapatkan motivasi pekerjaan atau pengamalan. Selalunya akan ada pihak yang akan menyatakan, di manakah keikhlasan sesuatu amalan, sekiranya segala-galanya perlu dimulakan dengan kiraan? Adakah si penanya itu mengetahui apa yang dikatakan dengan ikhlas itu? Sebagai contoh, kita akan biasa mendapati sebahagian umat Islam, sama ada dalam perjalanan atau dalam masjid, memegang rantai biji-biji tasbih untuk tujuan mengira bilangan sebutan zikir mereka.

ii.    Sebagai Motivasi Beramal

Yang memotivasikan mereka beramal adalah dengan memegang biji-biji tasbih itu dan bukannya bilangan pengiraan yang dilakukan. Sehingga suatu masa, seseorang hanya perlu membawa biji-biji tasbih bersamanya sebagai alat untuk memudahkan ia mengingati Tuhan. Kemudian persoalan baru sengaja ditimbulkan? Mengapakah alat diperlukan untuk memotivasikan diri mengingati Tuhan!? Memotivasi diri kepada Tuhan adalah sesuatu yang diperintahkan (95:08) dan bukannya melupai peringatan kepada Tuhan lalu menempuh hidup dalam penderitaan (72:17). Bahkan mengingati Tuhan adalah perkara yang lebih besar daripada mengerjakan aktiviti solah. Kepada sipenanya sedemikian, penulis mencadangkan supaya ia perlu sendiri mendapatkan alam kediaman mereka yang di sana mereka tiada jari jemari untuk dibilang dan tiada alat yang dapat dilihat atau disentuh, supaya mereka dapat berterus-terusan mengingat Tuhan! 

iii.    Balasan Akhirat, Perkara Yang Sebenarnya Tidak  
      Boleh Dibayangkan

Pembalasan yang diterima seseorang sebagaimana yang difahami daripada ayat-ayat selanjutnya adalah merupakan gambaran syurga yang dapat dibayangkan oleh manusia yang hidup di dunia ini. Namun perkara akhirat adalah merupakan perkara yang sebenarnya tidak dapat dibayangkan oleh sesiapapun jua dalam kalangan manusia. Oleh itu, penulis suka memberi penerangan dengan contoh-contoh yang mudah didapati dalam kehidupan ini. Seterusnya, penerangan-penerangan berikut, lebih menjurus kepada sesuatu yang mudah diterima oleh akal manusia.



Tuesday, September 10, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 19 -- MENERIMA KITAB CATATAN AMAL DARI SEBELAH KANAN


فاما من اوتى كتبه بيمينه
فيقول هاؤم اقرءوا كتبيه

Maka adapun barang siapa yang diberi kitabnya dengan tangan kanannya. Maka ia berkata inilah dia, bacalah olehmu akan kitabku ini. 

maka sesiapa Yang diberikan menerima Kitab amalnya Dengan tangan kanannya, maka ia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa Yang ada di sisinya):  Nah! bacalah kamu Kitab amalku ini!

i.      Siapakah Yang Menerima Kitab Dari Sebelah Kanan?

Seseorang dapat menyaksikan tulisan-tulisan amalan dalam bentuk gambaran hidup seperti mengulang tayang peristiwa yang telah berlalu (17:13). Pemberian dari sebelah kanan adalah merupakan penghormatan. Kepada siapakah penghormatan ini diberi? Kepada mereka yang mengimani akan Al-Haqqah dan melakukan sesuatu sebagai persediaan menghadapi hakikat kejadian hari sedemikian. Peristiwa Al-Haqqah merupakan peristiwa yang tidak dapat ditolak. Peristiwa ini berlaku sebagai isyarat berlakunya kerosakan terhadap kehidupan di dunia ini dan berlaku huru-hara ketidak seimbangan lapisan langit bumi. Mereka yang mengimani berlakunya kejadian Al-Haqqah, adalah mereka yang menyedari betapa pentingnya melakukan amalan perbaikan dan menjaga keseimbangan alam ini, sebelum berlakunya kejadian huruhara berkenaan.

ii.    Persiapan Mereka Semasa Hidup Di Dunia

Sebahagian daripada kejadian berkenaan terbukti telahpun berlaku sebelum itu, contohnya kejadian yang pernah berlaku kepada kaum A'ad, kaum Tsamud, kerajaan Fir'aun dan umat nabi Nuh dahulu. Juga pada sekitar waktu ini, yang kita dapat mendengar pelbagai bentuk bencana yang sering terjadi. Oleh itu, adalah perlu setiap individu melakukan apa sahaja yang dapat dilakukan untuk mendapatkan akibat yang baik darihal kehidupan. Sekalipun kiranya seseorang itu mengetahui bahawa esok adalah kematiannya, adalah menjadi suatu kemuliaan baginya, sekiranya, ia dapat menanam satu benih hari ini, kerana setiap perbuatan itu sentiasa akan dicatat.

iii.     Mereka Yang Turut Mencatat Amalan Mereka

Antara pengajaran yang dapat diperolehi adalah, perlunya seseorang mencatat kitab masing-masing dalam bentuk kerangka kerja yang akan dilaksanakan, kemudian melaksanakan kerja-kerja yang telah dirancang dan merekod prestasi kerja yang telah dilakukan. Tujuannya adalah untuk menyatakan langkah-langkah kerja yang baik, yang dapat membawa akibat kejayaan. Banyak daripada rangka kerja serta teknik penemuan saintifik, telah berjaya direkodkan dan dipelajari oleh ahli-ahli sains yang lain dan kemudiannya, suatu rumusan diperolehi supaya dapat membantu suatu penemuan atau langkah kerja yang lebih baik pada masa yang mendatang. Kebanggaan seseorang yang berjaya menghasilkan suatu penemuan yang memberi sumbangan besar terhadap sesuatu, tentunya akan dipersembahkan dalam laporannya secara yang terbaik dan diedarkan kepada pihak lain sebagai penyaksian.


Sunday, September 8, 2013

TINGKAH LAKU MANUSIA SENDIRI YANG MEROSAKKAN LAPISAN LANGIT


Sebenarnya tingkah laku manusia sendiri akan menjurus kepada peristiwa Al-Qari’ah.


Sekiranya tidak berlaku kejadian Al-Waqi’ah yang melibatkan kejatuhan subjek dari angkasa, manusia tidak akan menyedari tentang bahaya yang dapat mengenai mereka kembali, akibat kerja-kerja kerosakan yang mereka lakukan saban hari. Tanpa kejatuhan berkenaan, langit tetap akan sampai masa kerosakan akibat kerja tangan manusia yang dilakukan secara berterusan. Setiap hari, manusia melepaskan gas-gas merbahaya seperti kloroflorokarbon serta freon yang dapat merosakkan lapisan ozon. Perkhabaran sedemikian mungkin memberi pengajaran kepada manusia agar tidak merosakkan alam sekitar mereka serta meneliti ayat-ayat suci Tuhan. Supaya perkara sedemikian dapat dipelajari dan tindakan tepat dan cepat dapat diambil. 

Kiranya bukan dengan agen-agen perosak yang disebutkan, alam ini dapat juga rosak akibat kerja-kerja pertanian gelojoh melalui penggunaan baja-baja pertanian secara berlebihan dan juga jenis-jenis racun tertentu. Sebagai contoh, penggunaan baja ammonium dan racun nitrik oksida secara berlebihan akhirnya mengakibatkan wap-wap ini dapat berada pada lapisan ozon serta melarutkannya dan dapat menyusutkan kuantiti ozon secara perlahan-lahan (Al-Ma'arij : Ayat 8). Sehingga akhirnya, peristiwa nyalaan yang membakar akan sentiasa berlaku siang hari dan terhenti pada sebelah malam. Demikian itu merupakan peristiwa yang pasti akan berlaku kemudian hari nanti, menjelang saat akhir riwayat kehidupan di bumi ini, akibat kerja tangan manusia sendiri sebelum terjadinya hari kehancuran alam. Sebenarnya, kita masih boleh melakukan sesuatu kini supaya amalan perbaikan dapat dilipat gandakan bagi menghadapi kehidupan hakiki di akhirat kelak. Setiap kita harus, berkorban dengan cara menggadaikan sebahagian kehendak kita yang suka bermegah dengan status hidup di dunia ini.



Thursday, September 5, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 18 -- TIADA SEORANGPUN YANG KEHILANGAN SESUATU


يومئذ تعرضون لا تخفى منكم خافية

Pada hari itu, kamu semua dihadapkan (dihimpunkan). Tidak ia hilang daripada kamu suatu kehilangan pun.

pada hari itu, kamu semua dihadapkan (untuk hitungan amal); tidak ada sesuatu pun Yang tersembunyi (kepada Allah) dari perkara-perkara kamu Yang tersembunyi.

i.    Apakah Yang Kekal Pada Seseorang?

Secara logik akal, apabila berlaku suatu bencana yang besar, maka akan berlaku kehilangan sama ada harta benda atau ahli keluarga. Apakah bencana yang tidak menyebabkan sebarang kehilangan? Perkataan ﺨﻔﻰ dan ﺧﺎﻓﻴﺔ dapat juga membawa makna tersembunyi suatu yang tersembunyi. Perkara yang tersembunyi adalah perkara yang pada asalnya tersimpan pada suatu tempat tersorok dan dalam hal manusia, sesuatu yang tersorok adalah dalam menyatakan pendirian tentang keimanan kepada Tuhan. Dalam penerangan Al-Hadith, terdapat penerangan peristiwa melatanya haiwan Dabbatul Ar'd selepas kejadian asap, sehingga setiap manusia telah ditandainya, sama ada mereka itu terdiri daripada golongan beriman atau golongan ingkar.

ii.    Merujuk Kepada Catatan Amalan atau Pengalaman

Yang dikatakan kehilangan daripada ayat ini dapat juga dirujuk kepada catatan amalan atau pengalaman. Bagaimanakah catatan amal dapat dilakukan begitu sekali sehingga tidak meninggalkan barang sesuatupun? Kita telah dikhabarkan dengan pencatat, dalam kalangan malaikat yang mencatat amalan sama ada kebaikan atau keburukan, yang mengambil tempat di kanan dan kiri kita. Tentunya malaikat akan mencatat amalan yang mereka saksikan lalu bagaimanakah sekiranya amalan itu merupakan kerja hati sebagai contoh tentang perancangan yang seseorang tekadkan untuk dilakukan pada hari mendatang? Persoalannya, mampukah malaikat itu mencatat amalan sedemikian yang tentunya ia tidak menyaksikannya? Sekiranya malaikat itu mampu melaksanakan, bagaimanakah keadaan malaikat itu yang diutuskan untuk mencatat amalan…? 

Namun itulah yang dikhabarkan melalui ayat ini, iaitu tidak akan ada sesuatu yang tertinggal daripada catatan amal atau pengalaman sama ada sekecil-kecilnya atau sehalus-halusnya. Keyakinan terhadap gambaran sedemikian adalah menjurus kepada keimanan. Dan keimanan memberi kesan terhadap perilaku seseorang. Untuk mencapai keimanan sedemikian adalah dengan ilmu dan untuk mencapai ilmu sedemikian adalah dengan penerimaan akal terhadapnya. Oleh kerana akal dididik dengan perkara-perkara yang dilalui oleh pengalaman seseorang, maka adalah perlu bagi seseorang mendapatkan hujah yang serasi dengan akal supaya penerimaan sesuatu yang berbentuk keimanan dapat berlaku dengan baik. Sebagai contoh, dalam suatu permainan video yang selalu dipasangkan secara perisian daripada satu komputer ke komputer lain, kita dapati, apa yang disediakan oleh pengaturcara atau sekumpulan pengaturcara perisian permainan video tidak pernah hilang daripada program permainan berkenaan.

iii.    Analogi Catatan Amal Dengan Teknologi Komputer

Semua maklumat yang tersimpan dalam fail-fail yang merekod setiap gerakan permainan, dapat dipelihara sedemikian rupa, sehingga imbasan kembali permainan (flash back) dapat dipersembahkan kembali dan disaksikan dari pelbagai sudut pandangan. Analogi terhadap catatan amal oleh seseorang, dapat diperlaku oleh pencatat-pencatat amal sedemikian rupa dan tentunya tiada sebarang maklumat darihal perbuatan atau niat seseorang, terlepas begitu sahaja tanpa catatan. Maklumat yang barangkali seumpama inilah, yang akan dipersembahkan kembali kepada seseorang apabila bangkit kelak daripada kematiannya. Apabila lembaran seluruh pengalaman (amalan) hidupnya dahulu dibuka di atas tengkuknya (17:13), mereka akan dapat melihat segala pengalaman yang mereka perolehi semasa mereka hidup di dunia dahulu. Demikian itu hanya contoh yang penulis dapat bayangkan. Allah Maha Mengetahui.

iv.    Pengajaran Peristiwa Al-Haqqah

Dalam meneliti fasa kejadian peristiwa-peristiwa, bermula daripada kejatuhan, perkara sedemikian telah dimuatkan dalam ayat (67:16) tentang sesuatu yang terdapat pada ruang angkasa yang dapat membenam manusia, sekalipun terjemahan ayat ini juga menjurus perkara lain yang telah dibincangkan. Yang demikian adalah disebabkan, sesuatu ayat harus diterima sebagai suatu pernyataan yang dapat difahami secara berbeza pada sudut-sudut pengamatan yang berlainan. Oleh itu, kerja-kerja kefahaman haruslah diterima pada sudut kefahaman yang berbeza antara seseorang dengan seseorang yang lain. Tidak wajar bagi seseorang ilmuwan atau sesiapa jua memberi pertimbangan salah terhadap suatu bentuk terjemahan atau tafsiran sekalipun pandangan seseorang itu diperkatakan sebagai lemah. Dalam pemahaman ayat-ayat suci Al-Quran, seseorang harus berlapang dada kerana yang mengetahui duduk perkara yang sebenar-benarnya hanyalah Allah S.W.T. Oleh itu perbalahan seseorang tentang sesuatu ayat, tidak akan membawa mereka ke mana-mana.

Dalam peristiwa Al-Waqi’ah, iaitu tentang kejadian kejatuhan suatu subjek dari langit yang boleh jadi subjek besar seperti asteroid atau komet (67:16) atau subjek kecil seperti debu atau zarah mikroskopik (67:17), semuanya memberi suatu pengajaran bahawa peristiwa sedemikian merupakan kejadian yang pernah berlaku kepada umat-umat terdahulu, bahkan juga akan berlaku kepada umat-umat yang terkemudian. Daripada ayat-ayat seterusnya, peristiwa Al-Waqi’ah yang akan terjadi, dapat difahami sebagai peristiwa yang mengakibatkan kematian besar ke atas manusia sehingga setiap manusia diserahkan kembali kitab catatan tentang amalan atau pengalaman masing-masing, supaya setiap mereka memerhatikan akibat serta kesan terhadap setiap amalan atau pengalaman. Yang menjadi tumpuan perbincangan di sini, mengapakah ayat-ayat ini disusun sedemikian rupa? Bermula dengan peristiwa Al-Haqqah, dimuatkan di dalamnya peristiwa Al-Qari’ah serta peristiwa Al-Waqi’ah, kemudian diikuti dengan penyaksian amalan dan seterusnya pembalasan nikmat dan azab. Sebab-sebab mereka memperolehi balasan setimpal, juga telah dinyatakan.

(1)   Yang menjadi persoalan, apakah pengajaran yang dapat diperolehi oleh manusia masakini, yang sedang hidup buat masa ini, sekiranya mereka memilih untuk mempercayai perkhabaran sedemikian? Sedangkan peristiwa itu, buat masa ini belum berlaku dan balasan ke atas manusia yang hidup kini, secara keseluruhannya juga belum berlaku.

(2)   Persoalan yang serupa juga, apakah ancaman yang dapat diberi kepada manusia masakini, sekiranya mereka memilih untuk mengingkari perkhabaran sedemikian? Tentu mereka akan tertanya-tanya apakah gunanya peristiwa-peristiwa seperti ini dikhabarkan kepada manusia.

v.    Komet Yang Pernah Jatuh

Cuba pembaca renungkan kenyataan berikut:-

Beberapa buah komet atau asteroid besar pernah jatuh sebelum ini seperti di Semenanjung Yucatan dan di Kamchatka, Russia sehingga ada yang mengakibatkan kepupusan dinosaur serta pembentukan debu yang mengelilingi bumi. Kejadian-kejadian ini tidak sampai kepada peringkat hilangnya hidupan di mukabumi ini dan sehingga kini manusia masih dapat hidup di mukabumi ini. Sekiranya kejadian berkenaan berlaku lagi, dapatkah manusia terselamat atau ‘survive’ sekali lagi dan seterusnya dapat meneruskan kehidupan di mukabumi ini.”

Penulis ingin memberi penerangan munasabah. “Kejadian sebelum ini tidak mengakibatkan kepupusan kepada hidupan lantaran belum terdapatnya pencemaran besar-besaran akibat daripada kerja-kerja tangan manusia. Pada masa ini, pencemaran yang telah berlaku amatlah serius, sehingga dapat disaksikan sendiri oleh manusia. Telah berlaku peningkatan suhu bumi ini serta pencairan ais di kedua-dua belahan kutub yang sebelum ini telah sedia terbentuk sejak ribuan tahun dahulu. Sekiranya berlaku sedikit perubahan kepada lapisan langit akibat komet bersaiz kecil, sudah memadai memberi kesan yang sangat besar terhadap kehidupan manusia”.

Supaya golongan beriman dapat melakukan sesuatu amalan baik pulih dan mungkin dapat menangguhkan kejadian kemusnahan sedemikian, sehingga pengalaman (pengamalan) sedemikian dapat mereka gunakan dalam menempuh kehidupan di akhirat nanti. Maka gambaran ganjaran kebaikan harus dikhabarkan awal-awal lagi kepada mereka, semasa hidup mereka di dunia ini. Supaya golongan yang ingkar dapat diberi kepada mereka ancaman, bahawa setiap perbuatan mereka, akan merugikan diri mereka sendiri di dunia ini lagi dan mereka tidak akan memperolehi apa-apa ganjaran kebaikan pun di akhirat kelak. Maka gambaran seksa harus dikhabarkan kepada mereka dan mereka memperolehi balasan yang setimpal akibat perbuatan mereka dahulu menganiayai manusia lain serta persekitaran mereka sendiri.




Monday, September 2, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 17 -- ARASY TUHAN YANG HAMPIR BINASA?


و الملك على ارجائها و يحمل
عرش ربك فوقهم يومئذ ثمنية


Dan malaikat-malaikat atas penjurunya, menanggung arasy Tuhan engkau atas mereka pada hari itu (sejumlah) lapan (semuanya).

sedang malaikat-malaikat (ditempatkan) mengawal Segala penjurunya, dan Arasy Tuhanmu pada saat itu dipikul oleh lapan malaikat di atas malaikat-malaikat Yang mengawal itu.

Adakah Arasy ialah Mesosfera?

Ayat ini adalah menjurus kepada persoalan ghaib. Malaikat yang menanggung arasy Tuhan pada hari itu berjumlah lapan semuanya. Dalam ayat yang lain disebutkan bahawa arasy Tuhan berada di atas air (11:07). Wap-wap air di atmosfera bumi sebenarnya berada di bawah lapisan langit tertentu dan lapisan langit yang berada lebih tinggi daripada yang mengandungi wap-wap air adalah mesosfera pada sekitar ketinggian 80 km dan ke atas. Pada waktu ini, wap air tidak dapat melepasi lapisan stratosfera yang sentiasa berkeadaan sejuk pada suhu kurang daripada -100 darjah celcius. Pada kedudukan ini, wap air akan membentuk fros dan dikembalikan semula ke bumi. Namun pada hari berkenaan, kerosakan lapisan ini mengakibatkan wap-wap air dapat melepasi lapisan ini dan tersingkir ke angkasalepas. Lengkungan lapisan langit sebenarnya membentuk struktur 'arc' atau disebut sebagai arash (85:15). Persoalan mungkin timbul, apabila pernyataan sedemikian cuba diperkatakan sebagai mengecilkan skop saiz arasy Tuhan hanya kepada bumi ini. Adakah arasy Tuhan hanya terdapat di sisi bumi ini sahaja? Penulis tidak mahu mengupas lebih lanjut.

Kejadian Yang Memisahkan Amal

Ayat-ayat selanjutnya selepas ini adalah yang membincangkan tentang balasan hasil amalan manusia yang disediakan terlebih dahulu dalam kehidupan dunia. Oleh itu, kejadian Al-Haqqah adalah merupakan kejadian pembatas yang memutuskan masa antara amalan seseorang dicatat dan masa selepas itu iaitu tiada lagi catatan dan yang ada ialah penyediaan pembalasan. Oleh yang demikian, tiada didapati daripada ayat-ayat selanjutnya, yang membicarakan tentang keadaan yang berlaku di bumi selepas itu. Daripada penerangan 69:16 berhubung dengan peristiwa Al-Waqi'ah iaitu kesan kejatuhan subjek tertentu dari angkasa lepas (Yaumil Fasl), sebenarnya terdapat peristiwa lain yang berlaku selepas itu yang semuanya dapat dipelajari daripada penerangan Al-Hadith. Terputusnya catatan amal terhadap aktiviti yang berlaku selepas itu, bukan lagi merupakan sesuatu yang dapat diambil pelajaran. Terputusnya catatan amal menjadikan peristiwa berkenaan dikenali sebagai Yaumil Fasl iaitu Hari Keputusan.




Popular