فاما
من اوتى كتبه بيمينه
فيقول هاؤم اقرءوا كتبيه
فيقول هاؤم اقرءوا كتبيه
Maka adapun barang
siapa yang diberi kitabnya dengan tangan kanannya. Maka ia berkata inilah dia,
bacalah olehmu akan kitabku ini.
maka sesiapa Yang
diberikan menerima Kitab amalnya Dengan tangan kanannya, maka ia akan berkata
(dengan sukacitanya kepada sesiapa Yang ada di sisinya): Nah! bacalah
kamu Kitab amalku ini!
i. Siapakah Yang Menerima Kitab Dari Sebelah Kanan?
Seseorang dapat menyaksikan tulisan-tulisan
amalan dalam bentuk gambaran hidup seperti mengulang tayang peristiwa yang
telah berlalu (17:13). Pemberian dari sebelah kanan adalah merupakan
penghormatan. Kepada siapakah penghormatan ini diberi? Kepada mereka yang mengimani
akan Al-Haqqah dan melakukan sesuatu sebagai persediaan menghadapi hakikat
kejadian hari sedemikian. Peristiwa Al-Haqqah merupakan peristiwa yang tidak
dapat ditolak. Peristiwa ini berlaku sebagai isyarat berlakunya kerosakan
terhadap kehidupan di dunia ini dan berlaku huru-hara ketidak seimbangan
lapisan langit bumi. Mereka yang mengimani berlakunya kejadian Al-Haqqah,
adalah mereka yang menyedari betapa pentingnya melakukan amalan perbaikan dan
menjaga keseimbangan alam ini, sebelum berlakunya kejadian huruhara berkenaan.
ii. Persiapan Mereka Semasa Hidup Di Dunia
Sebahagian daripada kejadian
berkenaan terbukti telahpun berlaku sebelum itu, contohnya kejadian yang pernah
berlaku kepada kaum A'ad, kaum Tsamud, kerajaan Fir'aun dan umat nabi Nuh
dahulu. Juga pada sekitar waktu ini, yang kita dapat mendengar pelbagai
bentuk bencana yang sering terjadi. Oleh itu, adalah perlu setiap individu
melakukan apa sahaja yang dapat dilakukan untuk mendapatkan akibat yang baik
darihal kehidupan. Sekalipun kiranya seseorang itu mengetahui bahawa esok
adalah kematiannya, adalah menjadi suatu kemuliaan baginya, sekiranya, ia dapat
menanam satu benih hari ini, kerana setiap perbuatan itu sentiasa akan dicatat.
iii. Mereka Yang Turut Mencatat Amalan Mereka
Antara pengajaran yang dapat diperolehi
adalah, perlunya seseorang mencatat kitab masing-masing dalam bentuk kerangka
kerja yang akan dilaksanakan, kemudian melaksanakan kerja-kerja yang telah
dirancang dan merekod prestasi kerja yang telah dilakukan. Tujuannya adalah
untuk menyatakan langkah-langkah kerja yang baik, yang dapat membawa akibat
kejayaan. Banyak daripada rangka kerja serta teknik penemuan saintifik, telah
berjaya direkodkan dan dipelajari oleh ahli-ahli sains yang lain dan kemudiannya,
suatu rumusan diperolehi supaya dapat membantu suatu penemuan atau langkah
kerja yang lebih baik pada masa yang mendatang. Kebanggaan seseorang yang
berjaya menghasilkan suatu penemuan yang memberi sumbangan besar terhadap
sesuatu, tentunya akan dipersembahkan dalam laporannya secara yang terbaik dan
diedarkan kepada pihak lain sebagai penyaksian.
No comments:
Post a Comment