وانشقت السماء فهى يومئذ واهية
Dan terbelah ia oleh langit itu, lalu adalah ia pada hari itu mereput.
dan terbelahlah langit,
lalu menjadilah ia pada saat itu reput (dan runtuh),
Dan Terbuka
Kejatuhan objek besar berkenaan pada hari itu mengakibatkan langit
terpisah mereput rapuh. Keadaan langit pada hari itu menjadi lemah. Kepanasan
objek besar yang bergeser dengan atmosfera bumi mengakibatkan lapisan langit
dibocori. Atmosfera yang panas mengakibatkan wap-wap air tidak dapat membentuk
fros untuk dikembalikan ke bumi. Gas-gas atmosfera akan turut terlepas ke
angkasa lepas disebabkan tiada lagi perlindungan pada lapisan berkenaan.
Perubahan tekanan akan berlaku dengan serta merta. Tekanan atmosfera setempat
yang rendah akan segera menarik udara dari bahagian permukaan bumi yang lain
untuk menyerbu ke kawasan berkenaan.
Perubahan cuaca bumi terjadi dengan tiba-tiba. Kelajuan tiupan angin yang
bersangatan mengakibatkan di semua bahagian bumi mengalami kesan bunyi yang
amat kuat. Sekiranya kelajuan angin yang melebihi 120 km sejam, sudah cukup
untuk membentuk pusaran, apatah lagi kelajuan yang berlaku lebih daripada itu.
Manusia pada hari itu bukan lagi bergelimpangan tetapi terangkat ke angkasa
akibat tiupan angin yang sangat kuat, maka bertebaranlah mereka seperti
rama-rama atau kalkatu yang ditiup angin (101:04). Pada bahagian yang jauh dari
kawasan kejadian hentakan, pusaran angin yang kuat berlaku secara terus
menerus. Tidak mudah untuk mendapati kawasan selamat.
Pusaran angin menurunkan tekanan menjadi lebih rendah, mengakibatkan
banyak hidupan mati sesak nafas (79:01). Kesejukan sesetengah tempat menjadikan
peristiwa seperti yang menimpa kaum A'ad itu akan berlaku. Kejatuhan objek itu
mengakibatkan gempa besar berlaku di seluruh dunia. Runtuhan daripada gempa
mengulangi siri kejadian terhadap kaum Tsamud. Air yang melimpah mengakibatkan
kematian pada skala besar. Kejadian ini merupakan kejadian yang menyerupai apa
yang berlaku ke atas umat Nabi Nuh dan juga peristiwa penenggelaman Fir'aun.
Namun rentetan yang berlaku selepas peristiwa ini adalah lebih besar. Lapisan
langit yang musnah mengakibatkan pancaran lampau lembayung ke permukaan bumi
tidak dapat dielakkan lagi. Bumi bukan lagi tempat yang selamat untuk didiami.
Adapun kesan yang berlaku, menyerupai peristiwa yang diterangkan dalam
surah Al-Maarij selepas ini. Namun dalam surah Al-Maarij tidak ditunjukkan
peristiwa berlaku limpahan air yang menenggelamkan, seolah-olah terdapat
peristiwa yang serupa iaitu sinar yang merosakkan pada fasa-fasa sebelum itu.
Tidak juga didapati berlaku kejadian tiupan angin yang kuat, seolah-olah ia
merujuk kepada kejadian yang berlainan (iaitu kejadian sinaran yang membakar)
sebelum berlaku peristiwa Al-Haqqah (70:08).
ii. Peristiwa Langit Terpisah,
Mereput dan Rapuh
Penerangan seperti ini, seolah-olah ingin memberitahu bahawa langit
terdiri daripada tampalan-tampalan yang melekat yang membentuk lapisan yang
saling terikat antara satu sama lain. Penerangan dalam ayat sebelum ini cuba
memberitahu bahawa wap-wap air, gagal membentuk fros dan terlepas ke angkasa
lepas. Juga diterangkan gas-gas yang lain akan turut sama terlepas ke angkasa
lepas. Namun terjemahan harfiah daripada ayat ini menjurus kepada pemberitahuan
bahawa langit mengalami kereputan dan menyebabkan lapisan langit saling
terpisah. Oleh itu dapatkah ﻭﺍﻫﻴﺔ
menjurus kepada makna reput serta luruh sebagaimana didapati dalam
sebahagian terjemahan?
Sesuatu yang reput serta luruh sudah tentu merupakan sesuatu yang berat.
Tarikan graviti bumi mengakibatkan sesuatu itu dapat luruh ke bawah. Perkara
ini sebenarnya tidak bertentangan dengan penerangan sebelum ini kerana pada
peringkat permulaan kejadian sebelum lapisan langit dibocori, lapisan langit
telah dihempap dengan suatu objek berkelajuan sangat tinggi sehingga
menghasilkan letusan sonik. Rempuhan objek berkenaan, sebelum menghasilkan
suluh api yang membakar udara, telah terlebih dahulu mengakibatkan peningkatan
tekanan udara serta merta pada bahagian udara yang mengalami rempuhan.
Kita bahkan pernah menyaksikan persembahan
pesawat udara yang melakukan pecutan penerbangan sehingga mencapai kelajuan 1
Mach iaitu kelajuan bunyi. Pada kelajuan ini jelas kelihatan wap-wap air
tiba-tiba sahaja terbentuk dan hilang dengan serta merta apabila pesawat tidak
lagi mencapai kelajuan 1 Mach. Oleh itu, pada skala yang besar yang melibatkan
kejatuhan komet atau asteroid yang agak besar, tekanan udarakasa setempat akan
serta merta meningkat sehingga mengakibatkan pembentukan wap-wap sama ada wap
air, oksigen atau nitrogen. Pada tekanan yang terlalu tinggi, wap dapat mencair
dan juga memejal dan akhirnya luruh ke bumi pada peringkat awal sebelum udara
menyerbu ke angkasa lepas.
Kelajuan 1 Mach, mengakibatkan terbentuk
wap secara tiba-tiba.
iii. Mengkaji Fasa Kejadian Peristiwa
Al-Haqqah, Al-Qari'ah dan Al-Waqi’ah.
Tiada yang lebih mengelirukan pembaca barangkali, melainkan apabila
terdapat usaha penulis yang memisahkan kejadian yang berlaku menjelang
peristiwa As-Saah, melalui fasa-fasa tertentu sebagaimana yang akan diterangkan
dalam surah ini dan surah-surah selanjutnya. Dan antara perkara yang menjadi
kekeliruan penulis adalah, tiadanya usaha-usaha terdahulu yang membeza-bezakan
fasa As-Saah daripada kitab Al-Quran melainkan melalui penerangan As-Sunnah.
Terdapat banyak riwayat daripada Al-Hadith yang memperincikan tentang
peristiwa-peristiwa sedemikian tetapi tidak didapati penerangan urutan kejadian
secara teliti antara setiap peristiwa itu. Oleh itu usaha bersungguh-sungguh
penulis akhirnya rentetan peristiwa telah cuba dikenalpasti.
Penulis amat mengalu-alukan sekiranya pembaca dapat memberi atau
menyediakan suatu penerangan tersendiri berdasarkan ijtihad pembaca sendiri,
sedapat-dapatnya disertai dengan hujah sama ada hujah aqli berdasarkan rujukan
ilmu masakini atau hujah naqli, merujuk kepada ayat-ayat tertentu atau rujukan
Al-Hadith tertentu. Tujuan usaha ini adalah semata-mata untuk mendapatkan
pengajaran yang barangkali akan membawa manfaat yang besar kepada semua pihak.
Mungkin suatu persoalan timbul. Mengapakah hal-hal yang berkaitan kemusnahan
bumi perlu diperbincangkan di sini? Jawapan yang serupa dengan persoalan itu
ialah mengapakah perkara yang sama diulang-ulangkan dalam Al-Quran? Pembaca
tentunya akan memperolehi manfaat besar dalam kehidupannya sekiranya ia
mengetahui penyebab kepada setiap kejadian dalam kehidupan ini dan bersama-sama
mengambil langkah perlu untuk menggandakan amal kebaikan dan kerja-kerja
perbaikan. Terlalu banyak perkara yang dilalui oleh manusia masakini yang
menjurus kepada kerosakan alam dan juga diri mereka sendiri secara tidak
disedari. Sebagai contoh, pada masa rekacipta ubat-ubatan semakin banyak serta
peralatan perubatan semakin canggih, mengapakah semakin ramai manusia yang
menderita dengan pelbagai penyakit? Semua itu adalah disebabkan kecuaian
manusia daripada mengambil manfaat ayat-ayat Tuhan.