SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Saturday, June 30, 2018

PENGAMATAN BANGSA JIN YANG KURANG JELAS



ﻓﻠﻤﺎ ﺧﺭ ﺘﺒﻴﻨﺕ ﺍﻠﺟﻥ

Maka tatkala, telah tumbang ia, telah sungguh jelas ia oleh bangsa jin

Maka apabila ia tumbang, ternyatalah kepada golongan jin itu

Bangsa Jin Tidak Dapat Memerhati 
Alam Nyata Dengan Jelas

Tempoh yang begitu lama berlalu setelah kewafatan Nabi Sulaiman A.S. terjadi, telah menjadi panduan buat kita untuk mengetahui bahawa bangsa jin sebenarnya tidak dapat memerhatikan alam nyata kediaman manusia dengan jelas. Mereka hanya menaruh minat tentang apa yang mereka minat dan mengabaikan sesuatu yang bukan merupakan minat mereka untuk mengetahui. Pada zaman nabi Sulaiman A.S., tumpuan mereka adalah melakukan kerja yang diperintahkan oleh baginda dan bukannya terhadap keadaan baginda itu. Pada masa ini, sikap dan perlakuan jin ini dapat diperhatikan dalam kes-kes kerasukan yang seringkali terjadi. Bangsa jin yang merasuk tubuh manusia, tidak tahu bagaimana caranya menjaga kebersihan tubuh manusia yang dirasuk. Mereka menunjukkan perlakuan yang buruk seperti memakan makanan secara gelojoh dan sesetengahnya pula sanggup menghambat haiwan-haiwan kecil seperti serangga dan ulat untuk dijadikan makanan. Mereka tak habis-habis menunjukkan sikap reptilia mereka.  Semasa berlaku kes-kes kerasukan kepada manusia, seringkali bangsa jin menunjukkan sikap kebodohan mereka sendiri. Mereka takutkan sesuatu yang kebanyakan manusia tidak takut seperti siraman air jampian. Bukan sahaja ayat-ayat yang dibacakan daripada Al-Qur’an, bahkan juga ayat-ayat yang dibaca daripada Bible, Torah dan daripada kitab silam seperti kitab Veda. 

Ayat-ayat dari kitab Bible juga dapat
dibaca untuk memulihkan kerasukan.

Perancangan Rapi Untuk Menguasai 
Bangsa Manusia

Namun bangsa jin merupakan bangsa yang amat sukar melepaskan diri daripada sikap kesombongan. Atas sebab kesombongan, mereka berusaha menyampaikan manusia kepada persangkaan mereka. Dalam banyak pengalaman berurusan dengan bangsa jin, mereka seringkali menampilkan sikap supaya manusia bermusuhan sesama sendiri. Sikap ini telah terserlah sejak dahulu lagi sehingga telah mencetuskan peristiwa besar dalam sejarah kehidupan manusia. Pada bahagian akhir daripada ayat ini akan dijelaskan bagaimana tipudaya Iblis telah mengakibatkan negeri Sabak telah dilanda kemusnahan. Pada zaman ini, sistem ekonomi berasaskan riba dan pajakan, yang amat-amat digalakkan oleh Iblis, telah digunakan secara meluas dalam sistem ekonomi manusia. Mereka daripada bangsa jin telah mengetahui secara mendalam tentang kesudahan ekonomi sedemikian dan telah merancang sesuatu untuk menganiaya umat manusia.

Fenomena histeria sehingga membawa kerasukan, kesan kemabukan sistem ekonomi kapitalis berasaskan riba dan pajakan, telah dijangka akan melanda umat manusia seluruh dunia secara besar-besaran, dalam sedikit masa lagi. Mereka daripada bangsa jin, akan mengambil kesempatan ini, ketika manusia mengalami keadaan ‘stress’ berpanjangan akibat cuba memenuhi tuntutan kehidupan yang semakin mendesak. Pada zaman ini telah wujud fenomena yang dikenali sebagai ‘hubbul a’ishi’, iaitu suatu bentuk kemabukan kehidupan. Manusia terkejar-kejar mengejar kehidupan, keluar pagi-pagi pulang petang-petang … hujung bulan dapatkan gaji untuk dihabiskan demi membayar hutang. Telah wujud pelbagai bentuk permasalahan sosial sehingga fitnah kehidupan turut mengenai mereka yang beragama.


Iblis telah membuat manusia menjadi sibuk,
seolah-olah mereka tikus-tikus eksperimen
yang mengejar gembira.

Wednesday, June 20, 2018

TEMPOH DABBATUL ARDH MEMAKAN TONGKAT NABI SULAIMAN A.S.



ﺍﻻ ﺪﺍﺑﺔ ﺍﻻﺮﺾ ﺘﺄﻜﻞ ﻣﻨﺴﺄﺘﻪ


melainkan (haiwan yang) melata bumi, ia memakan akan tongkatnya 

melainkan semut putih (anai-anai) yang telah memakan tongkatnya. 

Haiwan Melata Yang Memakan Tongkat

Perkara yang dinyatakan ini adalah berkaitan tentang tempoh masa yang dilalui oleh jenazah baginda Nabi Sulaiman A.S. sebelum tersungkur ke bumi. Kayu tongkat daripada pepohon yang telah mati, memakan masa sekurang-kurangnya berminggu-minggu, sekalipun sekiranya sering ditimpa hujan, sehingga akhirnya didatangi haiwan melata yang memakannya. Jadi, sekali lagi persoalan diulangi iaitu apakah yang berlaku kepada diri baginda Nabi Sulaiman A.S. dalam tempoh itu? Daripada gambaran video sebelum ini, kita sedia memaklumi bahawa terdapat sumber tenaga yang datang dari luaran, dapat melakukan sesuatu kepada tubuh manusia sehingga ke peringkat mengarahkan manusia itu melakukan suatu perkara yang bukan berdasarkan kesedarannya sendiri. Jadi secara analogi balikan, adakah mungkin kesedaran Nabi Sulaiman A.S. telah berpindah ke suatu kedudukan sehingga dapat mengarahkan bangsa jin untuk terus bekerja secara berterusan?

Teknik Astral

Dalam perbincangan ahli-ahli teori konspirasi, terdapat istilah-istilah yang digunakan merujuk kepada perpindahan kesedaran dari satu kedudukan ke kedudukan lain. Istilah seperti unjuran astral (astral projection), mimpi lusid, ujikaji keluar dari tubuh (OBE), adalah suatu yang berkaitan dengan perpindahan kesedaran. Walaupun istilah-istilah ini merupakan suatu cabang pseudo-saintifik, terdapat pengakuan-pengakuan daripada individu tertentu, yang mengalami keadaan koma atau halusinasi semasa pembedahan dilakukan, yang menjurus kepada perkhabaran kisah-kisah atau pengalaman yang hampir serupa. Kisah-kisah dalam banyak tayangan, seringkali memberi gambaran pengalaman sedemikian sekalipun perkara ini menjurus kepada asas kepercayaan anutan agama tertentu. Walaupun tiada bukti saintifik, hampir semua umat beragama mengakui bahawa terdapat apa yang dinyatakan sebagai ‘soul’, ‘roh’ atau kesedaran yang mengalami perpindahan semasa kejadian kematian ke atas seseorang.

Pertikaian Tentang Unjuran Astral

Kiranya kajian-kajian neurosains tentang gambaran mimpi, dapat dinyatakan sebagai perkara nyata dan sebagai sesuatu yang dapat diterima, mereka itu iaitu saintis itu sendiri sebenarnya tidak berupaya menolaknya kerana mereka, seperti manusia lainnya, turut melalui pengalaman yang serupa. Namun, bagaimana pula tentang mimpi lusid? Kesimpulan saintis selalu menerimanya sebagai sekadar mimpi biasa. Kebanyakan manusia termasuk kebanyakan saintis, tidak pernah mengalami apa yang disebut sebagai mimpi lusid. Dengan mudah mereka menolak sebarang teori tentangnya kerana perkara itu bukan merupakan pengalaman biasa mereka.

Mimpi lusid adalah termasuk perkara yang dibincangkan dalam subjek unjuran astral oleh ahli-ahli teori konspirasi. Rujukan Wikipedia merumuskan bahawa perkara demikian sebagai pseudo-saintifik, iaitu sesuatu yang dapat diterima tetapi tidak dapat dibuktikan secara saintifik. Pseudo tidak boleh diterjemahkan semata-mata sebagai perkara palsu. Pseudo adalah sesuatu yang tidak dapat dijelaskan kewujudannya. Membincangkan tentangnya tidak menjadikan kita termasuk dalam golongan pembohong, tetapi sekadar ahli kepada suatu perbincangan tentang teori konspirasi. Membuat kesimpulan tentangnya memerlukan rujukan teliti dan tiada sesuatu tentangnya dapat disimpulkan sebagai sesuatu yang putus.

Unjuran astral secara mudahnya dapat dinyatakan sebagai perpindahan kesedaran (conciousness displacement). Perkara ini adalah perkara unik kerana tidak ramai individu pernah mengalaminya. Ujikaji OBE (out of body experiment) dalam banyak rujukan, memberi penjelasan lebih teliti tentang unjuran astral.

Hubungan Antara Unjuran Astral 
Dengan Makhluk Tamathil 

Perkara ini hanyalah merupakan suatu persoalan yang harus difikirkan bersama? Haruskah kita menerima bahawa tamathil atau ‘makhluk asing’ itu adalah sesuatu yang dikawal secara unjuran astral oleh pihak-pihak tertentu? Dapatkah bangsa jin, menggunakan kebolehannya untuk me‘rasuk’ makhluk tamathil melalui teknik unjuran astral sehingga dapat digerakkan menuruti arahannya? Sekiranya demikian, adakah melalui kaedah yang sama, mereka (bangsa jin) dapat menggunakannya untuk menguasai tubuh manusia sebagaimana mereka menguasai tubuh tamathil? Adakah kes-kes kerasukan yang semakin kerap berlaku ke atas sebahagian manusia masakini, adalah merupakan usaha terancang mereka sebagai jalan untuk menguasai umat manusia? Penulis tidak dapat menjawab secara pasti, namun banyak perkara yang terjadi waktu ini darihal perkara yang pelik-pelik, memerlukan pelbagai bentuk inferen (iaitu jawapan tak pasti), sehingga kita memperolehi penjelasannya suatu masa nanti.





Thursday, June 14, 2018

PERKARA BERKAITAN UFO, TAMATHIL DAN PERADABAN MANUSIA MASAKINI



Perkara tentang UFO dan tamathil sebenarnya telah lama ditutup daripada pengetahuan manusia sejak zaman kerasulan sehingga seketika masa sebelum ini. Perkara ini pernah berbangkit pada zaman Nabi Sulaiman A.S. dan kemudiannya ditutup kembali. Tuhan sengaja menyembunyikan perkara ini dan hanya mendedahkannya kepada manusia apabila tiba masa yang Ia kehendaki. Namun daripada kajian arkeologi kuno, perkara ini terdapat dalam catatan Maya, Aztec dan dalam catatan Hindu kuno. Ke manakah perginya teknologi sedemikian sejak sekian lama? Sekiranya bangkai-bangkai pesawat UFO dan makhluk tamathil adalah merupakan suatu peradaban silam umat manusia sendiri, tentunya kita akan mudah mendapati catatan-catatan sedemikian ada dalam buku-buku sejarah manusia, yang manusia sendiri tulis. Namun tidak pernah ada buku sejarah rasmi yang mencatatkannya. Yang ada hanyalah catatan tinggalan daripada kitab-kitab agama silam, yang lebih dianggap sebagai perkara mistik atau cerita dongeng.

Dalam Al-Qur’an, perkara ini sebenarnya dapat dijelaskan daripada Surah As-Sabak tetapi penjelasan daripada surah ini agak tersorok. Umat Islam sendiri secara secara umumnya tidak mengetahui bahawa perkara ini sebenarnya boleh didapati daripada catatan Al-Qur’an. Apabila perkara ini cuba diketengahkan dalam masyarakat, rata-rata mereka menunjukkan sikap hambar dan skeptik. Catatan lengkap tentang makhluk tamathil dan UFO dikatakan telah bermula selepas Perang Dunia Ke-2 selepas kejadian letupan nuklear. Di Amerika Syarikat, ada rekod catatan tentang kejadian pesawat ‘makhluk asing’ – UFO, terhempas berhampiran pekan kecil Roswell. Pesawat yang terhempas pada tahun 1947 itu dikatakan akibat disambar petir ketika sedang meneliti awan terbakar, yang dikatakan gara-gara kesan radiasi daripada ujian letupan nuklear. 


Di Russia pula, pihak Kremlin sendiri dikatakan telah menerima lawatan makhluk tamathil, yang dikatakan merasa terancam dengan ujian perledakan bom nuklear terbesar Tsar Bomba. Sejak itu, masyarakat manusia mula menjadi kecoh dan pihak pentadbiran kedua-dua buah kuasa besar dunia ketika itu telah berusaha untuk menutup kisah kejadian sedemikian daripada pengetahuan ramai.

Tsar Bomba, letupan ujian paling kuat
yang dikatakan menjadi penyebab 
'makhluk asing' merasa tergugat.

Namun kejadian-kejadian pelik itu, pada masa ini tidak lagi menjadi suatu kerahsiaan, apabila teknologi komunikasi boleh dikatakan telah berada tersebar merata-rata dan dapat dicapai oleh hampir setiap jari manusia. Seterusnya cebisan-cebisan ‘jigsaw’ daripada kisah-kisah teori konspirasi tentangnya, akhirnya dapat dipertemukan sedikit demi sedikit. Perkara ini akhirnya membenarkan kandungan kitab-kitab suci sama ada Al-Qur’an, Bible atau Injil dan Torah iaitu tentang kejatuhan “Fallen Angel”, yang umat Islam lebih mengenalinya sebagai Iblis. Makhluk yang menguasai sebahagian besar bangsa jin, kini sedang berusaha untuk menguasai umat manusia pula.

Perancangan mereka sebenarnya sungguh teliti. Mereka ini pada masa ini telah berjaya menguasai sepenuhnya sistem ekonomi umat manusia dan kini mereka telah berjaya meletakkan pentadbiran rumah ibadat terbesar kedua-dua agama iaitu pentadbiran gereja Vatican, yang menjadi milik umat Kristian dan pentadbiran Haramain yang menjadi milik umat Islam, untuk berada di bawah kawalan mereka. Dan antara perkara yang sangat menyedihkan yang tidak disedari oleh umat beragama ialah, Iblis pada masa ini telah berjaya mencipta ‘Yahweh’, ‘God’ dan ‘Allah’ rekaannya sendiri untuk dijadikan sembahan oleh umat Yahudi, Kristian dan umat Islam. Penulis memohon maaf kerana tidak dapat menjelaskan lebih lanjut perkara ini kerana sekiranya dijelaskan, akan menjadi kontroversi yang sangat mendalam dalam masyarakat Kristian dan Islam.


 Islam versi liberal. Salah satu contoh 
bagaimana Iblis telah berjaya  mencipta 
‘Allah’ untuk disembah  oleh 
sebahagian umat Islam.

Cukuplah untuk penulis jelaskan bahawa umat beragama perlu kembali kepada kitab agama masing-masing. Umat Islam harus kembali kepada kitab Al-Qur’an, umat Kristian harus kembali kepada kitab Bible atau Injil, umat Yahudi harus kembali kepada kitab Torah dan begitu juga penganut Hindu harus kembali kepada kitab Veda. Mereka harus meninggalkan ajaran guru-guru ‘agama’ mereka yang menyesatkan, yang menyampaikan ajaran ‘agama’ atas sebab habuan yang mereka perolehi. Telah sampai suatu zaman masakini yang umat Yahudi kini tidak lagi menghormati pendeta-pendeta mereka, umat Kristian kini tidak lagi menghormati paderi-paderi mereka, umat Islam pula pada masa ini tidak lagi menghormati ulama-ulama mereka dan begitu juga penganut agama-agama lainnya. Semua ini sebenarnya kesan agenda Iblis yang telah disusun rapi sejak sekian lama. Yang tinggal untuk kita dan setiap umat beragama adalah kitab suci yang sedia ada dalam tangan masing-masing. Oleh itu kembalilah kamu ke kitab-kitab suci kamu kiranya kamu semua ingin selamat.









Tuesday, June 5, 2018

SURAH AS-SABAK AYAT 14 -- BANGSA JIN TIDAK MENGETAHUI PERKARA GHAIB


ﻓﻠﻣﺎ ﻗﻀﻴﻨﺎ ﻋﻠﻴﻪ ﺍﻠﻣﻮﺖ ﻣﺎ ﺪﻠﻬﻢ ﻋﻠﻰ ﻣﻮﺘﻪ

Maka tatkala telah menetapkan Kami atasnya kematian, tidak telah menanda ia akan mereka atas kematiannya 

Setelah Kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka tentang kematiannya

Kecanggihan yang dipelopori oleh bangsa Jin, yang jauh lebih canggih berbanding rekaciptaan manusia pada sepanjang zaman, sebenarnya tidak pernah menyampaikan mereka kepada pengetahuan tentang perkara ghaib. Buktinya mereka tidak pernah memiliki pengetahuan tentang masa kewafatan Nabi Sulaiman A.S.

Setelah sekian lama Nabi Sulaiman A.S. memerintahkan bangsa jin untuk melakukan kerja, akhirnya tubuh baginda tersungkur jatuh ke bumi. Tubuh baginda yang telah terlalu lama bertongkat, akhirnya tersungkur setelah tongkat baginda dimakan oleh haiwan melata. Dalam banyak terjemahan tidak dinyatakan berapa lama baginda telah terpacak tegak bersama tongkat yang baginda pegang dan mengapakah dalam tempoh yang begitu lama, bangsa jin tidak mengetahui yang baginda telahpun wafat?

Penulis sebenarnya merasa khuatir untuk menjelaskan perkara ini kerana tempoh hayat dan masa kematian seseorang adalah merupakah perkara ghaib yang hanya diketahui Tuhan. Persoalan yang harus dikemukakan ialah apakah sebenarnya yang berlaku kepada bangsa jin, bermula masa kewafatan Nabi Sulaiman A.S. hingga ke masa tubuh baginda tersungkur? Setelah mengetahui yang baginda telah wafat, mengapakah bangsa jin rasa begitu terhina kerana diarahkan melakukan kerja yang diperintahkan oleh Nabi Sulaiman A.S. sebelum itu? Persoalan penting yang penulis harus ulangi ialah mengapakah bangsa jin tidak mengetahui yang Nabi Sulaiman A.S. telahpun lama wafat dan mengapa juga dalam tempoh itu, bangsa jin masih melakukan kerja-kerja yang diperintahkan oleh Nabi Sulaiman A.S? Siapakah yang sebenarnya masih berterusan memberi arahan kepada jin-jin berkenaan untuk terus melakukan kerja? 

Walaupun kesimpulan ayat menyatakan bahawa bangsa jin, seperti juga manusia, sebenarnya tidak mengetahui tentang perkara ghaib darihal perkara yang bakal terjadi, jadi apakah hikmah sebenar ayat ini yang menyatakan bahawa arahan baginda masih ditaati sekalipun baginda telah lama wafat? Untuk menjelaskan persoalan ghaib seperti ini, pembaca harus telah bersedia sepenuhnya dengan pengetahuan tentang kawalan tamathil, sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini. Buat masa ini penulis tidak berani untuk menjelaskan dengan lebih mendalam. Cukuplah untuk penulis jelaskan, bahawa pengetahuan tentang kawalan makhluk tamathil adalah lebih diketahui oleh bangsa jin berbanding manusia, kerana tubuh manusia sebenarnya adalah sejenis tamathil.

Pada keadaan tertentu, tubuh manusia
dapat dikendalikan oleh bangsa jin,
untuk diperlakukan sebagai tamathil.


Thursday, May 24, 2018

PENOLAKAN SAINTIS TENTANG TEKNOLOGI UFO


Mengapakah Saintis Sering Menolak 
Sebarang Idea Tentang Makhluk Asing?

Kerana penemuan-penemuan mereka tentang hukum-hukum ilmu yang mereka perolehi, ditafsirkan secara tak canggih. Hukum-hukum saintifik yang mereka perolehi, sebenarnya dapat diterima sebagai benar dan sahih. Tetapi apabila mereka cuba mentafsir hukum saintifik yang mereka perolehi itu, mereka jadi keliru. Sebenarnya mereka meletakkan had tentang keupayaan berfikir mereka sendiri. 

Contohnya, apabila mereka hasilkan sebuah pesawat udara, yang mereka fikirkan adalah tentang kandungan tenaga yang tersimpan dalam bahan bakar yang dibekalkan. Kemudian mereka buat kiraan tentang jarak yang mampu dilalui oleh pesawat berkenaan melalui kalkulator khusus mereka. Kajian demi kajian dijalankan hanya menjurus kepada penjimatan penggunaan bahan bakar seperti mengubahsuai bahanapi yang digunakan dan juga rekabentuk pesawat supaya lebih larus dan ringan. Mereka tidak pernah memikirkan langsung yang sisa bahan bakar, dapat digunakan semula untuk menjana tenaga yang lebih tinggi. Demikian itulah cara mereka membatasi keupayaan berfikir mereka sendiri – kerana terikat dengan peraturan “tenaga yang telah digunakan akan lenyap ke persekitaran dan tidak akan dapat diambil kembali semasa penerbangan itu berlangsung”. Mereka menyamakan sisa daripada bahan bakar yang telah digunakan, menempuh nasib yang sama seperti tenaga yang telah digunakan. Akibatnya pesawat udara yang mereka hasilkan, tidak pernah sampai ke angkasa lepas.

Apabila dikatakan terdapat penemuan yang menyatakan tentang sebuah pesawat dapat bergerak terlalu laju dan dapat bertahan di udarakasa dalam tempoh yang sangat lama, tiba-tiba sahaja mereka menolak. Pelbagai hujah yang kononnya bernilai saintifk telah digunapakai untuk tujuan menyangkal. Bukan salah hukum saintifik tetapi yang salah adalah kaedah pendekatan hujah yang disangkakan bernilai saintifik.

Kerana mereka membataskan keupayaan berfikir mereka sendiri, sebenarnya hal seperti itu menyerlahkan sifat tidak bersyukur mereka kepada Tuhan. Tuhan telah mengurniakan kepada manusia daya berfikir yang hebat tetapi kebanyakan kehebatan itu tidak dimanfaatkan dengan wajar. Mereka gunakan kehebatan itu untuk menghasilkan senjata pemusnah besar tetapi mereka sendiri gagal menggunakan senjata itu semau-mau mereka. Mereka khuatirkan pihak lain akan turut menggunakan senjata seperti itu ke atas mereka sehingga memusnahkan semua pihak. Kesudahannya, senjata itu menjadi beban kepada diri mereka sendiri kerana mereka harus menguruskannya secara rapi.

ﺍﻋﻣﻠﻮﺍ ﺍﻞ ﺪﺍﻮﺪ ﺸﻜﺮﺍ ﻮ ﻘﻠﻴﻞ ﻣﻦ ﻋﺒﺎﺪﻯ ﺍﻠﺸﻜﻮﺮ

Bekerjalah hai keluarga Daud, banyak bersyukur dan sedikit daripada hambaku syukur

Dan sangat sedikit daripada hamba-hambaKu yang bersyukur

Daripada surah Al-Jin, penulis ada menyatakan bahawa sebahagian teknologi bangsa jin harus dipelajari oleh manusia supaya mereka dapat menjadi hamba Tuhan yang bersyukur. Bangsa jin telah hidup ribuan tahun lebih dahulu dari manusia dan kini mereka telah mencapai suatu teknologi yang tidak dapat difikirkan oleh manusia sekurang-kurangnya buat masa ini. Memilih untuk menjadi hamba Tuhan yang bersyukur adalah suatu pilihan untuk bersungguh-sungguh. Iaitu bersungguh-sungguh dalam memanfaatkan segala bentuk kurniaan yang Tuhan telah berikan. Golongan bersyukur bukanlah mereka yang melakukan pembaziran. Mereka yang membazir adalah saudara syaitan sedang syaitan adalah mereka yang sangat kufur kepada Tuhan. Kufur terhadap nikmat dan pemberian Tuhan serta banyak melakukan pencemaran adalah kerja-kerja kekafiran.

Bukan sekadar pembaziran seperti pembaziran air dan tenaga elektrik, umat kini telah dipengaruhi untuk melakukan pembaziran dalam penggunaan baja sehingga permukaan bumi ini mengalami kerosakan yang ketara. Mereka melakukan pembaziran wang ringgit dengan cara mensedekahkan lebihan wang mereka kepada institusi berasaskan riba. Akibatnya, terdapat warganegara yang tak cukup makan dan pelbagai bentuk permasalahan sosial telah terjadi.

Dalam mendapatkan rumah-rumah kediaman, mereka melakukan pembaziran apabila semakin banyak bangunan-bangunan baru didirikan, tidak dapat dimanfaatkan. Mereka menjadi seperti angkut-angkut yang mengangkut tanah-tanah pembinaan. Menggulung dan membulatkan tanah-tanah berkenaan dengan anggota tangan hadapannya sambil dicampurkan dengan air liurnya. Kemudian ia memindahkannya untuk tujuan membina bilik-bilik tanah yang banyak. Kesudahannya, hanya satu bilik sahaja yang digunakan sementara bilik-bilik lainnya dibiarkan kosong. Seperti itulah manusia, sangat membazir dalam melakukan kerja-kerja pembangunan kediaman mereka.

Dalam beberapa ayat selepas ini akan ditunjukkan contoh bagaimana penduduk negeri Sabak suatu ketika dahulu telah melakukan kerja-kerja pembaziran sehingga mengakibatkan kerosakan besar tanah-tanah pertanian mereka. Mereka yang pada asalnya mendiami negeri yang baik serta Tuhan Maha Mengampuni akhirnya menerima nasib mendiami negeri yang buruk serta Tuhan yang memurkai.

Belumpun Sampai Ke Tahap Teknologi 
Nabi Sulaiman A.S. 

Berapa ramaikah pemandu dan penunggang kenderaan telah terkorban di atas jalanraya? Tak perlu dipersalahkan tentang jalan raya ataupun keadaan kenderaan yang dinaiki. Statistik menunjukkan kesalahan manusia itu sendiri menjadi penyebab utama kepada kemalangan di samping kecuaian mereka sendiri. Siapakah yang harus terlebih dahulu dijadikan ‘canggih’? Kenderaan atau manusia? Tidak dapat dibayangkan bagaimanakah penyalahgunaan akan terjadi sekiranya teknologi yang dicapai oleh Nabi Sulaiman A.S. telah berjaya dicapai oleh umat masakini.

Bilangan kenderaan meningkat, begitu juga dengan bilangan serta keadaan laluan jalanraya juga telah dipertingkatkan. Bahkan bilangan kemalangan juga turut meningkat. Kita kini berada di suatu zaman yang manusia amat menyukai keadaan tergesa-gesa. Mereka tergesa-gesa ke tempat kerja untuk menunjukkan persembahan yang baik dalam pekerjaan mereka kepada bos-bos mereka. Mereka keluar pagi-pagi pulang petang-petang, hujung bulan dapat gaji, pergi ke kaunter untuk membayar hutang. Apakah yang menjurus mereka bersikap sedemikian? Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana cuba memenuhi tuntutan hidup cara kapitalisme. Mereka menempuh zaman dengan peralatan semakin canggih, teknologi juga semakin berkembang tetapi manusia yang hidupnya hanya seperti robot berperasaan yang hanya tahu bekerja dan terus bekerja, semata-mata berusaha memenuhi tuntutan dan kehendak hidup. Mereka berbelanja dan terus berbelanja dengan wang yang tidak mereka miliki dan atas barangan yang tidak benar-benar mereka perlukan. Kesudahannya mereka menjadi hamba kepada hutang yang tidak pernah berkesudahan.




Friday, May 18, 2018

PELBAGAI PERINGKAT TAMATHIL


Peringkat-peringkat Tamathil Dari Zaman
Nabi Sulaiman A.S. Sehingga Kini 

Setelah kita mengetahui penggunaan tamathil yang diarah untuk direkacipta oleh Nabi Sulaiman A.S., kita harus dapat membayangkan tentang rekabentuk tamathil masakini dan pada masa akan datang. Tamathil yang digunakan harus dilengkapi dengan peralatan komunikasi untuk mudah dikawal. Rekaciptaan tamathil pada zaman ini yang berjaya dilaksanakan adalah berbentuk padu dan memiliki pergerakan anggota yang kelihatan statik. Ianya lebih dikenali sebagai robot, digunakan untuk melakukan kerja-kerja tertentu dan dapat bergerak menggunakan dua kaki. Negara kita harus bergerak selangkah lagi dalam bidang ini agar suatu masa nanti, kita memiliki tenaga kerja untuk melakukan kerja-kerja 3D tanpa mengharapkan tenaga kerahan dari rakyat negara luar.



Permulaan kepada kemuncak 
sebuah teknologi.

Kerja-kerja penyelidikan makhluk tamathil di luar negara telah sampai ke tahap penggunaan organ-organ tertentu yang dihasilkan secara bio-sintetik. Mereka dalam proses menyiap cyborg iaitu suatu rekaan separa robot dan separa manusia. Bahkan dalam hal ini telah terdapat teknologi pengubahsuaian genetik supaya ciri-ciri baka akan datang dapat dipilih sebelum satu kelahiran itu terjadi. Semua ini memerlukan kecanggihan dalam teknologi komunikasi dan juga pengawalan pergerakan sel-sel hidup melalui teknologi kejuruteraan bio teknologi molekular.


Saintis sekarang ini sedang berusaha mereka-
cipta tamathil dari diri mereka sendiri melalui
 bio-teknologi molekular. Kiranya gambaran ini
benar, makhluk tamathil yang lengkap pasti 
dapat direkacipta suatu hari nanti.

Persoalan Yang Mengejutkan.

Mungkinkah suatu tamathil dapat direkacipta menggunakan bahan-bahan bio-sintetik? Rekaciptaan patung-patung getah yang banyak dihasilkan pada masa ini adalah suatu gambaran petanda bahawa kajian lebih mendalam akan dilakukan untuk merekacipta robot berupa manusia dengan pelbagai fungsi. Penghasilan organ-organ tertentu menggunakan kaedah penyalinan fungsi tubuh merupakan langkah mula yang amat besar yang akan diteruskan dengan penyempurnaan fungsi organ. Sebagai contoh, dalam suatu rancangan National Geographic, mereka telah menunjukkan bagaimana organ jantung telah diusahakan untuk direkacipta semula menggunakan fungsi stem sel. Mereka hanya memerlukan tempoh masa yang panjang sebelum melihat hasil kejayaan rekaciptaan ini. Bagaimana pula dengan penghasilan organ-organ lainnya?

Penyambungan fungsi saraf dengan peralatan komunikasi melalui kawalan berkomputer adalah suatu contoh bagaimana individu yang cacat seperti lumpuh dapat dibantu untuk mendapatkan ‘anggotanya’ kembali. Sekalipun perkara ini merupakan suatu kemajuan dalam bidang kejuruteraan kesihatan, timbul pula bahana besar apabila manusia mengambil kesempatan ini untuk menghasilkan rekaciptaan-rekaciptaan untuk tujuan kelucahan sehingga dua pasangan yang tinggal berjauhan dapat disatukan secara maya melalui tamathil masing-masing. Bukankah perkara ini akan membuka peluang kepada syaitan untuk melaksanakan polisi hasutan ke atas manusia sehingga akan mendatangkan bencana yang berat terhadap kehidupan manusia sendiri? Berapa ramaikah pemimpin-pemimpin dunia telah diperangkap oleh Iblis melalui perangkap seks sehingga mereka melaksanakan polisi pemerintahan yang merosakkan kerana menuruti arahan Iblis?


Lihat bagaimana gambaran makhluk 
tamathil sedang disesuaikan dengan
tarian lucah, agar suatu hari nanti 
manusia menerimanya sebagai 
perkara biasa.

Hanya Suatu Gambaran?

Bagaimanakah suatu hari nanti, kiranya kajian-kajian yang dilakukan oleh manusia sekarang ini akhirnya dapat membuahkan hasil? Mereka akhirnya berjaya merekabentuk suatu tamathil berupa manusia melalui teknologi yang mereka perolehi. Sekalipun segala pergerakan sebenarnya dikawal, ianya akhirnya akan disalahguna untuk kepelbagaian bentuk jenayah. Bagaimanakah suatu hari nanti kiranya yang pergi bekerja setiap hari adalah makhluk tamathil seperti ini dan bukannya tuan-tuan punya badan sepertimana yang dipersembahkan dalam tayangan “Surrogate”. Wajarkah diwujudkan insuran kesihatan untuk tuan punya tubuh badan yang akan mengalami masalah kegemukan lantaran sering berada di kerusi malas masing-masing kerana terlalu lama mengawal makhluk tamathil?

Gambaran di bawah ini bukanlah maksud penulis untuk pembaca mempercayai kewujudan makhluk asing. Penulis sendiri ingin bertanya kepada pembaca iaitu adakah pembaca bersetuju kiranya makhluk tamathil seperti ini sebenarnya telahpun wujud sekarang ini?


Mungkinkah ini Makhluk Tamathil?


Futej kaedah pembedahan makhluk 'tamathil'
yang dikatakan dijumpai pada tahun 1947
berhampiran pesawat asing yang terhempas
berhampiran Roswell, Amerika Syarikat ini,
disahkan sebagai autentik oleh pakar-pakar.
Namun mereka menolak untuk menyebutnya
sebagai Alien. (Sila rujuk Wikipedia)




Saturday, May 12, 2018

PELOPOR DALAM PEREKAAN PESAWAT ZAMAN MODEN



Rekaciptaan mesin pertama yang dapat berada di udara pada zaman ini dikatakan telah dimulai oleh Wright bersaudara. Tetapi benarkah mereka berdua yang datang dari bangsa Eropah adalah pemula dalam penghasilan pesawat yang dapat terbang? Berikut ini adalah suatu klip video yang menyatakan tentang penghasilan objek pertama zaman moden yang berupaya terapung di udara. Rekayasanya telah dimulai sekali lagi oleh seorang bangsa India pada zaman penjajahan British di India.


Teknologi mesin yang dapat terapung pada 
zaman ini dikatakan berasal daripada 
rekaciptaan Vimana silam.

Teknologi Pesawat Tak Dikenali

Sekiranya kita dapat kumpulkan pakar-pakar fizik untuk duduk bersama dan berbincang tentang kemungkinan wujudnya pesawat-pesawat tak dikenali – UFO, rata-rata mereka akan segera menyangkal sebarang kemungkinan teknologi berkenaan merupakan sesuatu yang boleh dicapai. Pelbagai istilah seperti refleksi cahaya, anomali dan belon cuaca, sentiasa digunakan untuk merujuk apajua fenomena-fenomena pelik seperti ini dan istilah-istilah itu telah menjadi perkara biasa kita dengari. Penyangkalan seperti ini telah menjadi suatu kebiasaan sejak dahulu lagi sejak zaman rasul-rasul terdahulu.

Pada zaman ini pula, perkara ini terjadi disebabkan
oleh kesombongan mereka dalam mempertahankan
pendirian ilmu yang mereka pelajari sejak di bangku
sekolah rendah “Hukum Termodinamik” lagi.
(Primary School of Thermodynamic Law)

Apabila wujud bukti-bukti bergambar tentang pesawat yang dikatakan milik ‘makhluk asing’, mereka akan segera membuat kesimpulan cepat seperti CGI, gambar yang diedit, ‘fake’, sekadar dakwaan ahli teori konspirasi yang tak kesudahan dan sebagainya. Ironinya ‘makhluk-makhluk asing’ itu pula cuba untuk diwujudkan dalam tayangan-tayangan hiburan untuk mendapatkan pulangan lumayan daripada orang ramai. Perkara yang ingin penulis jelaskan dan harus menjadi pendirian kita semua ialah, bahawa ‘makhluk asing’ atau apa-apa jua persembahan yang dikaitkan dengan pesawat UFO, tidak harus diterima bulat-bulat sebagai makhluk asing dan juga tidak harus ditolak bulat-bulat sehingga dikatakan tidak wujud, tidak pernah wujud dan tidak akan wujud untuk selama-lamanya.


Menolak kewujudan ‘makhluk asing’ ini tidak akan membawa apa-apa faedah, kerana suatu fenomena yang dikatakan ‘menyanggah’ hukum fizik pada tahap ilmu pengetahuan manusia masakini sebenarnya, sentiasa akan dapat ditonjolkan ‘kebenaran’nya oleh pengkaji-pengkaji yang memiliki minat mendalam tentangnya. Begitu juga menerima kebenaran tentang ‘makhluk asing’ ini sebagai benar-benar makhluk asing, dikhuatiri akan menjurus seseorang kepada pertikaian tentang kekuasaan Tuhan serta kebenaran kandungan kitab suci itu sendiri.

Futej yang semakin lama semakin sukar 
untuk dinafikan.


Oleh itu penulis menasihati pembaca agar mengambil pendirian sangat berhati-hati tentang hal ini kerana apajua yang didapati dalam penulisan ini adalah lebih merupakan pandangan peribadi penulis. Penulis tidak pernah memaksa mana-mana pihak untuk menerima dan tidak pernah juga melarang mana-mana pihak untuk menolaknya. Kerana perkara yang akan dijelaskan kepada pembaca selepas ini adalah sesuatu yang lebih mencabar minda pembaca sendiri, berbanding perkara yang telah dijelaskan sebelum ini. Penulis khuatirkan perkara yang akan dijelaskan kemudian nanti akan mengakibatkan sesuatu yang dikatakan sebagai ‘letupan minda’ kepada pembaca sendiri.




Sunday, May 6, 2018

REKABENTUK KENDERAAN NABI SULAIMAN A.S.


ﻭ ﻘﺪﻭﺮ ﺮﺍﺴﻴﺖ

Dan periuk-periuk yang tetap kedudukan.

dan periuk-periuk yang tetap (berada di atas tungku)

Apakah yang dimaksudkan dengan periuk? Dan kitapun telah sedia memaklumi bahawa periuk digunakan untuk tujuan masakan. Masakan Nabi Sulaiman A.S., telah mengumpulkan seluruh pengikutnya untuk menikmati hidangan besar kerana menyambut suatu perayaan besar? Adakah di sana wujud teko-teko besar sepertimana rekaan Ayah Pin, untuk tujuan dituangkan air minuman ke cangkir-cangkir bersaiz lebih kecil sebanding itu? Jenis makhluk apakah serta apakah saiz mereka, yang Nabi Sulaiman A.S. ingin menjamu selera?

Periuk yang kita gunakan boleh dipindah-pindahkan setelah selesai digunakan. Kita akan mengangkatnya untuk tujuan membersihkannya selepas setiap kali penggunaan dan periuk itu akan diletakkan secara terbalik atau dibiarkan tergantung sisi sehingga akan digunakannya pada kali yang lain. Namun periuk yang direka oleh Nabi Sulaiman A.S. berada di atas tungku yang tetap. Dengan lain perkataan iaitu periuk yang tidak akan dijauhkan dari tungkunya.

“Jifan” dan “Qudur” dalam teknologi
penerbangan

Jifan yang diterjemahkan sebagai pinggan-pinggan besar dapat dipadankan dengan qudur sebagai periuk penutup membentuk suatu pesawat yang kini lebih dikenali sebagai pesawat terbang tidak dikenali – UFO.  Perkara ini merupakan fenomena yang dapat disesuaikan dengan bentuk penutup di sebelah atas serta bentuk kelopak di sebelah bawah, yang bertindak sebagai tungku tetap terhadap penutup berbentuk periuk di atasnya.
Gambar pesawat Jerman – Aset Tentera
Yang Tidak Berkesempatan Untuk
Digunakan Oleh Hitler Dalam
Perang Dunia Ke-2

Kiranya “jifan” dapat diterjemahkan sebagai sesuatu yang bersaiz besar yang tentunya bukan kegunaan di dapur rumah-rumah manusia, mengapa tidak kita fahami “qudur” juga bersaiz besar sebanding dengan saiz “jifan” yang telah dinyatakan? “Jifan” dengan bentuk kelopak pada saiz yang besar dapat juga dinyatakan berbentuk seperti kuali besar, yang “qudur” pada ayat selanjutnya berada di atas secara tetap. Iaitu “jifan” itu menjadi tungku kepada “qudur” yang dinyatakan sesudah itu. Perkataan ﺠﻔﺎﻦ ﻜﺎﻠﺠﻭﺍﺐ dan  ﻘﺪﻭﺮ ﺮﺍﺴﻴﺖ adalah merujuk kepada dua subjek berlainan tetapi saling berkaitan. Ianya sebanding dengan metodologi ayat sebelum ini iaitu burung dan gunung-gunung yang berulangan-ulangan menuruti sebutan berzikir bersama Nabi Daud A.S., iaitu merujuk dua subjek berlainan tetapi saling berkaitan antara satu sama lainnya.  

Mengapakah penulis menulis perkara demikian? Pada ayat sebelum ini telah dinyatakan bahawa Nabi Sulaiman A.S. memiliki teknologi menghambat angin dan bukannya dihambat oleh angin, sebagaimana diperolehi dalam banyak terjemahan. Oleh itu Nabi Sulaiman A.S. dapat dikatakan memiliki kenderaan dengan keupayaan sedemikian. Pergerakan sangat laju yang dialami oleh Nabi Sulaiman A.S., tidak memungkinkan kenderaan baginda dapat bergerak di atas daratan kerana kenderaan dengan momentum sangat besar ketika itu tidak mungkin digerakkan di atas jalan raya atau sebarang laluan seperti sekarang ini yang belum wujud ketika itu.

Justifikasi Mengaitkan “Jifan” dan “Qudur” 
Dengan Teknologi Penerbangan

Dua patah perkataan iaitu   ﻘﺪﻭﺮ ﺮﺍﺴﻴﺖ datang selepas dua patah perkataan sebelumnya iaitu  ﺠﻔﺎﻦ ﻜﺎﻠﺠﻭﺍﺐadalah merujuk kepada perkara teknikal berkaitan teknologi rekaciptaan. Perkara berkaitan dengan “tamathil” sebelum ini, turut membincangkan tentang keperluan mengawal makhluk berkenaan dan teknologi kawalan menggunakan alat komunakasi memerlukan peralatan yang sesuai. Oleh kerana setiap perkataan dari Al-Qur’an memerlukan penjelasan saling kait mengait, penulis telah mencadangkan perkataan “jifan” yang dikaitkan dengan “kal-jawabi” diertikan sebagai suatu rekabentuk kelopak dengan saiz lompangan besar. Dan hal ini sebenarnya telah disebut sebagai berkaitan dengan teknologi komunikasi. Analogi rekaciptaan sekarang ini adalah menjurus kepada bentuk cakera komunikasi dengan lengkungan ke dalam membentuk lompangan parabola.

Sebelum itu kita telah juga membincangkan tentang ciri-ciri kenderaan Nabi Sulaiman A.S. dan antara sifat kenderaan yang baginda naiki adalah berkelajuan tinggi sehingga mencapai kelajuan bunyi. Persoalan yang timbul adalah bagaimana rupa kenderaan itu? Perkara yang dapat dijelaskan daripada sebutan ﻘﺪﻭﺮ ﺮﺍﺴﻴﺖ adalah cantuman antara periuk yang dapat didudukkan secara tetap di atas ﺠﻔﺎﻦ ﻜﺎﻠﺠﻭﺍﺐ sebagai tungku yang menumpangkan periuk berkenaan. Dalam hal ini penulis sendiri telah membuat rujukan tentang terma bagi perkataan ﺮﺍﺴﻴﺖ  dan jawapan yang penulis perolehi adalah keadaan duduk tetap seperti kapal yang berlabuh di pelabuhan sementara menunggu sesuatu. Dalam Al-Quran daripada surah An-Naziat (79:32) dengan kata dasar yang serupa merujuk kepada gunung yang telah diciptakan Tuhan duduk tetap di atas bumi. Namun gunung yang duduk tetap itu, menurut ahli geologi adalah seperti bongkahan besar yang duduk terapung secara tetap dan menindih bumi di bawahnya. Kajian lebih mendalam tentang perkataan ﺮﺍﺴﻴﺖ  dapat juga digunakan sebagai ‘hovering’ dalam istilah English iaitu seperti ‘hovercraft’ yang berada berlabuh di atas angin yang disembur ke bawah oleh ‘hovercraft’ itu sendiri. Kiranya ‘hovercraft’ dapat dikatakan berlabuh di atas lapisan udara di bawahnya, bagaimana pula dengan periuk yang dapat berlabuh di atas pelampung medan magnet. Dengan keadaan medah magnet yang tidak kelihatan, tentunya boleh juga dikatakan yang periuk itu kelihatan terapung tetap di udara.

Pada zaman ini, kenderaan pesawat terbang berbentuk seperti ini telah dikenali sebagai Pesawat Terbang Tidak Dikenali., walhal pesawat seperti ini telah direkabentuk lama dahulu sejak zaman silam lagi. Imej-imej pada ukiran batu dan dalam catatan Hindu kuno menyatakan bahawa pesawat seperti ini telah dinamai sebagai Vimana. Vimana dikatakan sebagai tunggangan dewa-dewa silam yang menjadi sembahan orang dahulu kala sehingga kini.


Arca Vimana yang menunjukkan 
suatu teknologi penerbangan silam, 
terdapat dalam catatan Hindu kuno.





Monday, April 30, 2018

REKACIPTAAN ZAMAN NABI SULAIMAN A.S.


ﻭ ﺠﻔﺎﻦ ﻜﺎﻠﺠﻭﺍﺐ

dan kelopak-kelopak seperti lompangan

dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam,

i.      Sedikit Persoalan Tentang Terjemahan Biasa

Persoalan yang mudah untuk dinyatakan berdasarkan kebanyakan terjemahan biasa, yang menjelaskan bahawa Nabi Sulaiman A.S. telah memerintahkan bangsa jin untuk merekacipta patung-patung, serta mangkuk-mangkuk besar dan sebagainya ialah : “Apakah tujuan sebenar Nabi Sulaiman A.S. memerintahkan bangsa jin untuk melakukan perkara-perkara itu?”. Kalau terjemahan dinyatakan hanya menjurus rekaciptaan patung-patung dan pinggan-pinggan, untuk apakah perkara itu dilakukan? Sekiranya demikian, tiada yang unik tentang perintah Nabi Sulaiman A.S. itu, kerana sekadar merekabentuk patung seperti patung yang dapat berdiri tegak atau patung mainan kanak-kanak dan mangkuk atau pinggan untuk tujuan hidangan, tentunya tidak memerlukan teknologi yang sebegitu canggih. Perkara-perkara yang menjurus kefahaman seperti itu penulis berpendapat, tidak harus disampaikan melalui Al-Qur’an.

Di sinilah letaknya keperluan satu-satu ayat harus diteliti secara mendalam dan perkaitan menghimpunkan ayat-ayat berturutan dalam satu himpunan, perlu dilakukan agar suatu pengertian seberapa hampir yang boleh, akan dapat diperolehi. Penulis melihat betapa perlu setiap ayat Al-Qur’an perlu dipelajari secara himpunan ayat sebagaimana wahyu itu diturunkan dan perkara ini akan dijelaskan lebih mendalam lagi dalam pengajaran surah Al-Qiyammah.

Perkataan ﺠﻔﺎﻦ daripada perkataan ﺠﻔﻦ bererti kelopak. “Jifan al ‘ain” merujuk kepada kelopak mata. Sekiranya kelopak mata merujuk sesuatu yang boleh terbuka dan tertutup, “jifan” dapat juga dirujuk kepada kelopak berbentuk bunga yang dapat terbuka dan mengembang daripada keadaan asalnya yang menguncup. Adapun terjemahan perkataan “jifan” sebagai pinggan-pinggan hidangan barangkali adalah suatu perbandingan terhadap bentuk yang hampir kepada lengkungan kelopak, yang dapat menampung sesuatu kerana keupayaan menampung dengan bentuknya seperti lompangan. Ijtihad penulis dalam memberi pengertian bagi perkataan ini adalah sesuatu yang ada hubungan dengan teknologi iaitu berkait sesuatu yang ada hubungan dengan pengawalan terhadap subjek sebelum ini yang telah dibincangkan.

ii.     “Jifan” Dalam Teknologi Komunikasi

Seterusnya penulis telah membandingkan perkataan “jifan” dengan mangkuk komunikasi iaitu sesuatu yang dapat dikatakan berbentuk kelopak dan memiliki bentuk lengkungan ke dalam seperti lompangan. Cumanya mangkuk komunikasi yang digunakan secara meluas pada zaman ini tidak direkabentuk untuk membuka dan mengucup seperti kelopak bunga.

Penulis suka untuk menamainya sebagai 
kelopak dengan lompangan besar

Bentuk parabola cakera komunikasi menjadikannya berbentuk seperti kelopak. Bergantung kepada saiznya, semakin besar kelopak maka semakin besarlah lompangan. 

Berbeza dengan cakera komunikasi yang digunakan pada zaman Nabi Sulaiman A.S., peralatan itu boleh dikuncupkan apabila tidak digunakan dan dikembangkan semula apabila ingin digunakan. Cakera komunikasi masakini yang hampir dengan rekaciptaan semasa kerajaan Nabi Sulaiman A.S. suatu masa dahulu, adalah yang berbentuk seperti payung. Kebanyakan cakera komunikasi pada zaman ini, berbentuk bulat dengan lengkungan parabola yang direkacipta secara padu, tidak berubah bentuk.



Robot Sentinel (sejenis tamathil) dalam kisah
Matrix, memiliki cakera komunikasi (jifan) 
yang dapat dibuka dan dikuncupkan.



Tuesday, April 24, 2018

TEORI KONSPIRASI TENTANG TAMATHIL


Sesuatu yang asing memang ada di bulan,
penggunaan tamathil yang dapat bekerja 
pada persekitaran vakum sememangnya
sesuatu yang masuk akal.

Berdasarkan video di atas, terdapat dakwaan wujud struktur di bulan dan perkara ini menjadi tidak mustahil sekiranya khidmat tamathil digunakan untuk membinanya. Namun siapakah yang terlibat dalam agenda ‘konspirasi’ ini? Apabila kajian-kajian lebih lanjut dilaksanakan oleh ahli-ahli teori konspirasi, terdapat dakwaan-dakwaan yang pada pandangan masyarakat biasa sebagai tak masuk akal. Dakwaan itu ialah terdapat aktiviti di bulan yang melibatkan entiti tertentu yang kiranya dibuktikan benar tentunya mencabar pendakwaan yang dibuat oleh pihak Barat tentang penjelajahan angkasa lepas yang kononnya telah dipelopori oleh mereka.

Kita juga harus ingat bahawa dalam pentadbiran bangsa jin, mereka telah biasa menggunakan tamathil untuk melaksanakan agenda mereka. Peristiwa perhambaan bangsa jin kepada Nabi Sulaiman A.S. memberi gambaran bahawa mereka telah cukup canggih dalam bidang ini berbanding manusia. Setelah melalui suatu tempoh masa sehingga kini, manusia masih terkial-kial dalam melaksanakan penyelidikan dan pembangunan makhluk tamathil yang mereka perlukan untuk pelbagai tujuan. Kajian demi kajian dijalankan sehingga ke peringkat penghasilan organ tertentu melalui teknologi bio sintetik. Tentunya dalam beberapa tahun mendatang, kita akan biasa mendengar tentang cyborg, organisma siber-sintetik atau sibernetik dan mungkin juga sehingga ke peringkat dapat berhubung secara telepati antara pengendali dengan barang-barang rekaan mereka itu. Bagaimana pula kalau penulis nyatakan bahawa teknologi seperti ini telah sedia wujud 
dan telah menjadi suatu yang di luar pengetahuan manusia biasa selama ini?


Daripada pengklonan sehinggalah penghasilan
organ bio-sintetik, projek penghasilan tamathil 
berasaskan bahan organik seperti ini sedang
giat dimajukan. 

Oleh itu pendedahan tentang teknologi asing seperti ini adalah sesuatu yang berkemungkinan besar akan terjadi ke dalam masyarakat manusia dalam beberapa dekad lagi. Dan tidak hairan kiranya pada masa itu, manusia telah menempati angkasa lepas secara berduyun-duyun sebagai tempat rekreasi sementara dan juga pengembaraan menggunakan makhluk tamathil telah menjadi suatu yang lumrah.




Sunday, April 15, 2018

MAKHLUK TAMATHIL YANG MEMERLUKAN KAWALAN


Terminologi Bagi Suatu Rekacipta


Rekaciptaan sebenarnya memerlukan teknologi. Peralatan yang digunakan dalam pembangunan sesuatu teknologi memerlukan terminologi-terminologi khusus, yang pada kebiasaannya sukar difahami oleh golongan kebanyakan. Contohnya seperti penggunaan cakera komunikasi yang dapat memancar dan menerima maklumat dalam bentuk gelombang elektromagnet. Oleh kerana itu, penggunaan terminologi-terminologi seperti ini dalam Al-Qur’an memerlukan perkataan-perkataan keserupaan yang dapat dijelaskan sebagai ‘tasyabahat’ atau ‘mutashabihan’. 

Penulis mengambil contoh mudah tentang terminologi cakera komunikasi pada zaman ini, yang dapat disaksikan oleh kebanyakan kita. Di negara kita, mereka yang memiliki kemudahan saluran Astro di rumah mereka, telah meletakkan cakera komunikasi mereka di bahagian bumbung rumah mereka. Masyarakat biasa menyebutnya sebagai ‘mangkuk’ Astro sedangkan perkataan mangkuk sebenarnya lebih sinonim sebagai peralatan untuk tujuan hidangan makanan. Menyebut perkataan ‘mangkuk’ Astro adalah lebih mudah difahami oleh kebanyakan kita berbanding penggunaan terminologi ‘cakera komunikasi’. Dan adalah tidak salahpun kiranya perkataan-perkataan tertentu seperti itu telah digunapakai dalam Al-Qur’an.
                  
Cakera satelit yang gambarnya diabadikan
pada stem di Singapura lebih dikenali 
sebagai mangkuk Lee Kuan Yew oleh
masyarakat biasa.

Kita kembali kepada persoalan golem atau makhluk tamathil. Perkataan tamathil - (ﺗﻣﺜﻴﻞ) daripada perkataan ‘mathala’ iaitu ‘seumpama’ atau ‘sebanding’ merujuk kepada rekaciptaan suatu makhluk yang bentuknya seumpama sesuatu – dalam kes ini adalah seumpama manusia. Pada zaman ini, teknologi yang terlibat dalam hal seperti ini adalah teknologi robotik. Apatah lagi pada zaman ini, manusia telah cukup ‘canggih’ dan mereka merekacipta ‘pasangan’ mereka untuk tujuan mengadakan hubungan seks bagi menggantikan pasangan sebenar yang telah Tuhan ciptakan untuk mereka.

Tamathil Yang Dapat Dipergunakan


Pada zaman Nabi Sulaiman A.S, makhluk tamathil telah digunakan untuk tujuan melakukan kerja-kerja yang tidak sanggup atau tidak sepatutnya dilakukan oleh manusia. Sebenarnya makhluk tamathil juga dapat digunakan sebagai pengendali pesawat-pesawat, bahkan dapat juga digunakan untuk mengemudi pesawat angkasa lepas ataupun bergerak di luar daripada kapal angkasa. Kiranya kerja-kerja seperti ini dilakukan oleh manusia, mereka perlukan pakaian khas supaya tubuh mereka tidak terdedah kepada situasi hampagas. Bagi pesawat-pesawat Jin yang berupaya bergerak pada kelajuan sangat tinggi serta mengalami perubahan momentum sangat besar, mereka memerlukan makhluk tamathil yang dapat bertahan terhadap daya yang besar. Bahkan terdapat makhluk tamathil yang dapat dijadikan bersifat supermagnet sehingga dapat melayang di udara kerana tertarik kepada pesawat di atasnya yang juga bersifat supermagnet.


Tidak pernah ada hidupan nyata yang
mampu melompat setinggi dan selaju ini.
Jadi persembahan apakah ini?

Penggunaan tamathil memerlukan kawalan. Alat perhubungan turut perlu dilengkapkan dalam subjek ini agar sebarang pergerakannya dapat dikawal rapi. Penulis telah nyatakan sebelum ini bahawa penggunaan media komunikasi seperti ini memerlukan peraturan ketat yang harus dilaksanakan oleh pihak berkuasa. Makhluk tamathil  ini tidak harus digunakan untuk tujuan merompak, menyamun dan sebagainya.

Tamathil yang sentiasa dikemaskini,
pasti akan menyerupai pergerakan
manusia suatu masa nanti.


Thursday, April 12, 2018

PEPATUNG YANG DIKAWAL


ﻭﺗﻣﺜﻴﻞ

Dan patung-patung (kawalan)

Dan patung-patung

Terdapat kerja-kerja bahaya yang tidak harus dilakukan oleh manusia dan tidak juga oleh bangsa jin. Sebagai contoh, kerja-kerja mendapatkan logam besi yang memerlukan suhu kepanasan sangat tinggi, harus dilakukan secara kawalan jauh menggunakan peralatan yang dapat bertahan. Teknologi yang manusia lalui ketika ini sebenarnya dapat membawa keburukan bukan sahaja kepada persekitaran mereka, bahkan dapat mendatang kecederaan kepada diri-diri mereka sendiri. Secara mudah untuk diperkatakan, bahawa teknologi bangsa manusia masakini jauh ketinggalan berbanding teknologi bangsa Jin ketika zaman Nabi Sulaiman A.S. Dan kiranya teknologi bangsa Jin sekarang ini dipersembahkan kepada manusia, manusia akan menggunakannya secara tak terkawal sehingga akan berlaku kerosakan besar dalam kehidupan manusia sendiri.

Golem Sebagai Tamathil

Masyarakat Yahudi memiliki lagenda tentang rekaciptaan ‘tamathil’ sejak zaman Nabi Sulaiman A.S. lagi dan mereka menamainya sebagai golem. Golem dikatakan sebagai suatu makhluk hodoh yang hanya tahu menurut arahan. Makhluk ini membantu manusia untuk melakukan kerja-kerja berat atau bahaya seperti mengangkut batu-batu besar dari bukit-bukau dan sebagainya.


 Golem : Suatu Lagenda Yahudi.
Nyatanya golem adalah suatu yang
memerlukan kawalan jauh.

Namun setelah zaman berubah, perwatakan dan rupa makhuk lagenda ini didapati turut berubah. Dalam tayangan “Lord of The Rings”, makhluk golem atau gollum digambarkan sebagai berbentuk seperti kera pendek dengan tubuh kecil.


Gollum Smeagol 

Pada zaman ini golem diwujudkan sebagai watak dalam permainan elektronik ‘game’ selaku pekerja dengan bentuk empat segi.  Ramai daripada pemain-pemain ‘game’ elektronik, tidak ambil kisah asal usul tentang lagenda golem ini dan mereka tidak mengetahui perkara golem ini sebenarnya berhubung kait dengan ‘tamathil’ yang disebut dalam Al-Qur’an daripada kisah Nabi Sulaiman A.S.


Golem besi dalam permainan Minecraft

Usaha-usaha mewujudkan makhluk golem sekarang ini sedang diusahakan secara aktif oleh perekacipta-perekacipta dari negara-negara Barat dan negara Jepun, contohnya seperti Golem Sophea. Pepatung elektronik ini kini, telah diberi taraf warganegara oleh pemimpin umat Islam sebagai suatu pengiktirafan kepada bangsa Yahudi – untuk menghidupkan kembali lagenda  golem mereka.


 
Robot Sophea sebenarnya adalah sejenis 
golem. Ianya dikawal secara elektronik 
dan dikenakan tubuh seperti manusia.













Popular