SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Thursday, May 24, 2018

PENOLAKAN SAINTIS TENTANG TEKNOLOGI UFO


Mengapakah Saintis Sering Menolak 
Sebarang Idea Tentang Makhluk Asing?

Kerana penemuan-penemuan mereka tentang hukum-hukum ilmu yang mereka perolehi, ditafsirkan secara tak canggih. Hukum-hukum saintifik yang mereka perolehi, sebenarnya dapat diterima sebagai benar dan sahih. Tetapi apabila mereka cuba mentafsir hukum saintifik yang mereka perolehi itu, mereka jadi keliru. Sebenarnya mereka meletakkan had tentang keupayaan berfikir mereka sendiri. 

Contohnya, apabila mereka hasilkan sebuah pesawat udara, yang mereka fikirkan adalah tentang kandungan tenaga yang tersimpan dalam bahan bakar yang dibekalkan. Kemudian mereka buat kiraan tentang jarak yang mampu dilalui oleh pesawat berkenaan melalui kalkulator khusus mereka. Kajian demi kajian dijalankan hanya menjurus kepada penjimatan penggunaan bahan bakar seperti mengubahsuai bahanapi yang digunakan dan juga rekabentuk pesawat supaya lebih larus dan ringan. Mereka tidak pernah memikirkan langsung yang sisa bahan bakar, dapat digunakan semula untuk menjana tenaga yang lebih tinggi. Demikian itulah cara mereka membatasi keupayaan berfikir mereka sendiri – kerana terikat dengan peraturan “tenaga yang telah digunakan akan lenyap ke persekitaran dan tidak akan dapat diambil kembali semasa penerbangan itu berlangsung”. Mereka menyamakan sisa daripada bahan bakar yang telah digunakan, menempuh nasib yang sama seperti tenaga yang telah digunakan. Akibatnya pesawat udara yang mereka hasilkan, tidak pernah sampai ke angkasa lepas.

Apabila dikatakan terdapat penemuan yang menyatakan tentang sebuah pesawat dapat bergerak terlalu laju dan dapat bertahan di udarakasa dalam tempoh yang sangat lama, tiba-tiba sahaja mereka menolak. Pelbagai hujah yang kononnya bernilai saintifk telah digunapakai untuk tujuan menyangkal. Bukan salah hukum saintifik tetapi yang salah adalah kaedah pendekatan hujah yang disangkakan bernilai saintifik.

Kerana mereka membataskan keupayaan berfikir mereka sendiri, sebenarnya hal seperti itu menyerlahkan sifat tidak bersyukur mereka kepada Tuhan. Tuhan telah mengurniakan kepada manusia daya berfikir yang hebat tetapi kebanyakan kehebatan itu tidak dimanfaatkan dengan wajar. Mereka gunakan kehebatan itu untuk menghasilkan senjata pemusnah besar tetapi mereka sendiri gagal menggunakan senjata itu semau-mau mereka. Mereka khuatirkan pihak lain akan turut menggunakan senjata seperti itu ke atas mereka sehingga memusnahkan semua pihak. Kesudahannya, senjata itu menjadi beban kepada diri mereka sendiri kerana mereka harus menguruskannya secara rapi.

ﺍﻋﻣﻠﻮﺍ ﺍﻞ ﺪﺍﻮﺪ ﺸﻜﺮﺍ ﻮ ﻘﻠﻴﻞ ﻣﻦ ﻋﺒﺎﺪﻯ ﺍﻠﺸﻜﻮﺮ

Bekerjalah hai keluarga Daud, banyak bersyukur dan sedikit daripada hambaku syukur

Dan sangat sedikit daripada hamba-hambaKu yang bersyukur

Daripada surah Al-Jin, penulis ada menyatakan bahawa sebahagian teknologi bangsa jin harus dipelajari oleh manusia supaya mereka dapat menjadi hamba Tuhan yang bersyukur. Bangsa jin telah hidup ribuan tahun lebih dahulu dari manusia dan kini mereka telah mencapai suatu teknologi yang tidak dapat difikirkan oleh manusia sekurang-kurangnya buat masa ini. Memilih untuk menjadi hamba Tuhan yang bersyukur adalah suatu pilihan untuk bersungguh-sungguh. Iaitu bersungguh-sungguh dalam memanfaatkan segala bentuk kurniaan yang Tuhan telah berikan. Golongan bersyukur bukanlah mereka yang melakukan pembaziran. Mereka yang membazir adalah saudara syaitan sedang syaitan adalah mereka yang sangat kufur kepada Tuhan. Kufur terhadap nikmat dan pemberian Tuhan serta banyak melakukan pencemaran adalah kerja-kerja kekafiran.

Bukan sekadar pembaziran seperti pembaziran air dan tenaga elektrik, umat kini telah dipengaruhi untuk melakukan pembaziran dalam penggunaan baja sehingga permukaan bumi ini mengalami kerosakan yang ketara. Mereka melakukan pembaziran wang ringgit dengan cara mensedekahkan lebihan wang mereka kepada institusi berasaskan riba. Akibatnya, terdapat warganegara yang tak cukup makan dan pelbagai bentuk permasalahan sosial telah terjadi.

Dalam mendapatkan rumah-rumah kediaman, mereka melakukan pembaziran apabila semakin banyak bangunan-bangunan baru didirikan, tidak dapat dimanfaatkan. Mereka menjadi seperti angkut-angkut yang mengangkut tanah-tanah pembinaan. Menggulung dan membulatkan tanah-tanah berkenaan dengan anggota tangan hadapannya sambil dicampurkan dengan air liurnya. Kemudian ia memindahkannya untuk tujuan membina bilik-bilik tanah yang banyak. Kesudahannya, hanya satu bilik sahaja yang digunakan sementara bilik-bilik lainnya dibiarkan kosong. Seperti itulah manusia, sangat membazir dalam melakukan kerja-kerja pembangunan kediaman mereka.

Dalam beberapa ayat selepas ini akan ditunjukkan contoh bagaimana penduduk negeri Sabak suatu ketika dahulu telah melakukan kerja-kerja pembaziran sehingga mengakibatkan kerosakan besar tanah-tanah pertanian mereka. Mereka yang pada asalnya mendiami negeri yang baik serta Tuhan Maha Mengampuni akhirnya menerima nasib mendiami negeri yang buruk serta Tuhan yang memurkai.

Belumpun Sampai Ke Tahap Teknologi 
Nabi Sulaiman A.S. 

Berapa ramaikah pemandu dan penunggang kenderaan telah terkorban di atas jalanraya? Tak perlu dipersalahkan tentang jalan raya ataupun keadaan kenderaan yang dinaiki. Statistik menunjukkan kesalahan manusia itu sendiri menjadi penyebab utama kepada kemalangan di samping kecuaian mereka sendiri. Siapakah yang harus terlebih dahulu dijadikan ‘canggih’? Kenderaan atau manusia? Tidak dapat dibayangkan bagaimanakah penyalahgunaan akan terjadi sekiranya teknologi yang dicapai oleh Nabi Sulaiman A.S. telah berjaya dicapai oleh umat masakini.

Bilangan kenderaan meningkat, begitu juga dengan bilangan serta keadaan laluan jalanraya juga telah dipertingkatkan. Bahkan bilangan kemalangan juga turut meningkat. Kita kini berada di suatu zaman yang manusia amat menyukai keadaan tergesa-gesa. Mereka tergesa-gesa ke tempat kerja untuk menunjukkan persembahan yang baik dalam pekerjaan mereka kepada bos-bos mereka. Mereka keluar pagi-pagi pulang petang-petang, hujung bulan dapat gaji, pergi ke kaunter untuk membayar hutang. Apakah yang menjurus mereka bersikap sedemikian? Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana cuba memenuhi tuntutan hidup cara kapitalisme. Mereka menempuh zaman dengan peralatan semakin canggih, teknologi juga semakin berkembang tetapi manusia yang hidupnya hanya seperti robot berperasaan yang hanya tahu bekerja dan terus bekerja, semata-mata berusaha memenuhi tuntutan dan kehendak hidup. Mereka berbelanja dan terus berbelanja dengan wang yang tidak mereka miliki dan atas barangan yang tidak benar-benar mereka perlukan. Kesudahannya mereka menjadi hamba kepada hutang yang tidak pernah berkesudahan.




Friday, May 18, 2018

PELBAGAI PERINGKAT TAMATHIL


Peringkat-peringkat Tamathil Dari Zaman
Nabi Sulaiman A.S. Sehingga Kini 

Setelah kita mengetahui penggunaan tamathil yang diarah untuk direkacipta oleh Nabi Sulaiman A.S., kita harus dapat membayangkan tentang rekabentuk tamathil masakini dan pada masa akan datang. Tamathil yang digunakan harus dilengkapi dengan peralatan komunikasi untuk mudah dikawal. Rekaciptaan tamathil pada zaman ini yang berjaya dilaksanakan adalah berbentuk padu dan memiliki pergerakan anggota yang kelihatan statik. Ianya lebih dikenali sebagai robot, digunakan untuk melakukan kerja-kerja tertentu dan dapat bergerak menggunakan dua kaki. Negara kita harus bergerak selangkah lagi dalam bidang ini agar suatu masa nanti, kita memiliki tenaga kerja untuk melakukan kerja-kerja 3D tanpa mengharapkan tenaga kerahan dari rakyat negara luar.



Permulaan kepada kemuncak 
sebuah teknologi.

Kerja-kerja penyelidikan makhluk tamathil di luar negara telah sampai ke tahap penggunaan organ-organ tertentu yang dihasilkan secara bio-sintetik. Mereka dalam proses menyiap cyborg iaitu suatu rekaan separa robot dan separa manusia. Bahkan dalam hal ini telah terdapat teknologi pengubahsuaian genetik supaya ciri-ciri baka akan datang dapat dipilih sebelum satu kelahiran itu terjadi. Semua ini memerlukan kecanggihan dalam teknologi komunikasi dan juga pengawalan pergerakan sel-sel hidup melalui teknologi kejuruteraan bio teknologi molekular.


Saintis sekarang ini sedang berusaha mereka-
cipta tamathil dari diri mereka sendiri melalui
 bio-teknologi molekular. Kiranya gambaran ini
benar, makhluk tamathil yang lengkap pasti 
dapat direkacipta suatu hari nanti.

Persoalan Yang Mengejutkan.

Mungkinkah suatu tamathil dapat direkacipta menggunakan bahan-bahan bio-sintetik? Rekaciptaan patung-patung getah yang banyak dihasilkan pada masa ini adalah suatu gambaran petanda bahawa kajian lebih mendalam akan dilakukan untuk merekacipta robot berupa manusia dengan pelbagai fungsi. Penghasilan organ-organ tertentu menggunakan kaedah penyalinan fungsi tubuh merupakan langkah mula yang amat besar yang akan diteruskan dengan penyempurnaan fungsi organ. Sebagai contoh, dalam suatu rancangan National Geographic, mereka telah menunjukkan bagaimana organ jantung telah diusahakan untuk direkacipta semula menggunakan fungsi stem sel. Mereka hanya memerlukan tempoh masa yang panjang sebelum melihat hasil kejayaan rekaciptaan ini. Bagaimana pula dengan penghasilan organ-organ lainnya?

Penyambungan fungsi saraf dengan peralatan komunikasi melalui kawalan berkomputer adalah suatu contoh bagaimana individu yang cacat seperti lumpuh dapat dibantu untuk mendapatkan ‘anggotanya’ kembali. Sekalipun perkara ini merupakan suatu kemajuan dalam bidang kejuruteraan kesihatan, timbul pula bahana besar apabila manusia mengambil kesempatan ini untuk menghasilkan rekaciptaan-rekaciptaan untuk tujuan kelucahan sehingga dua pasangan yang tinggal berjauhan dapat disatukan secara maya melalui tamathil masing-masing. Bukankah perkara ini akan membuka peluang kepada syaitan untuk melaksanakan polisi hasutan ke atas manusia sehingga akan mendatangkan bencana yang berat terhadap kehidupan manusia sendiri? Berapa ramaikah pemimpin-pemimpin dunia telah diperangkap oleh Iblis melalui perangkap seks sehingga mereka melaksanakan polisi pemerintahan yang merosakkan kerana menuruti arahan Iblis?


Lihat bagaimana gambaran makhluk 
tamathil sedang disesuaikan dengan
tarian lucah, agar suatu hari nanti 
manusia menerimanya sebagai 
perkara biasa.

Hanya Suatu Gambaran?

Bagaimanakah suatu hari nanti, kiranya kajian-kajian yang dilakukan oleh manusia sekarang ini akhirnya dapat membuahkan hasil? Mereka akhirnya berjaya merekabentuk suatu tamathil berupa manusia melalui teknologi yang mereka perolehi. Sekalipun segala pergerakan sebenarnya dikawal, ianya akhirnya akan disalahguna untuk kepelbagaian bentuk jenayah. Bagaimanakah suatu hari nanti kiranya yang pergi bekerja setiap hari adalah makhluk tamathil seperti ini dan bukannya tuan-tuan punya badan sepertimana yang dipersembahkan dalam tayangan “Surrogate”. Wajarkah diwujudkan insuran kesihatan untuk tuan punya tubuh badan yang akan mengalami masalah kegemukan lantaran sering berada di kerusi malas masing-masing kerana terlalu lama mengawal makhluk tamathil?

Gambaran di bawah ini bukanlah maksud penulis untuk pembaca mempercayai kewujudan makhluk asing. Penulis sendiri ingin bertanya kepada pembaca iaitu adakah pembaca bersetuju kiranya makhluk tamathil seperti ini sebenarnya telahpun wujud sekarang ini?


Mungkinkah ini Makhluk Tamathil?


Futej kaedah pembedahan makhluk 'tamathil'
yang dikatakan dijumpai pada tahun 1947
berhampiran pesawat asing yang terhempas
berhampiran Roswell, Amerika Syarikat ini,
disahkan sebagai autentik oleh pakar-pakar.
Namun mereka menolak untuk menyebutnya
sebagai Alien. (Sila rujuk Wikipedia)




Saturday, May 12, 2018

PELOPOR DALAM PEREKAAN PESAWAT ZAMAN MODEN



Rekaciptaan mesin pertama yang dapat berada di udara pada zaman ini dikatakan telah dimulai oleh Wright bersaudara. Tetapi benarkah mereka berdua yang datang dari bangsa Eropah adalah pemula dalam penghasilan pesawat yang dapat terbang? Berikut ini adalah suatu klip video yang menyatakan tentang penghasilan objek pertama zaman moden yang berupaya terapung di udara. Rekayasanya telah dimulai sekali lagi oleh seorang bangsa India pada zaman penjajahan British di India.


Teknologi mesin yang dapat terapung pada 
zaman ini dikatakan berasal daripada 
rekaciptaan Vimana silam.

Teknologi Pesawat Tak Dikenali

Sekiranya kita dapat kumpulkan pakar-pakar fizik untuk duduk bersama dan berbincang tentang kemungkinan wujudnya pesawat-pesawat tak dikenali – UFO, rata-rata mereka akan segera menyangkal sebarang kemungkinan teknologi berkenaan merupakan sesuatu yang boleh dicapai. Pelbagai istilah seperti refleksi cahaya, anomali dan belon cuaca, sentiasa digunakan untuk merujuk apajua fenomena-fenomena pelik seperti ini dan istilah-istilah itu telah menjadi perkara biasa kita dengari. Penyangkalan seperti ini telah menjadi suatu kebiasaan sejak dahulu lagi sejak zaman rasul-rasul terdahulu.

Pada zaman ini pula, perkara ini terjadi disebabkan
oleh kesombongan mereka dalam mempertahankan
pendirian ilmu yang mereka pelajari sejak di bangku
sekolah rendah “Hukum Termodinamik” lagi.
(Primary School of Thermodynamic Law)

Apabila wujud bukti-bukti bergambar tentang pesawat yang dikatakan milik ‘makhluk asing’, mereka akan segera membuat kesimpulan cepat seperti CGI, gambar yang diedit, ‘fake’, sekadar dakwaan ahli teori konspirasi yang tak kesudahan dan sebagainya. Ironinya ‘makhluk-makhluk asing’ itu pula cuba untuk diwujudkan dalam tayangan-tayangan hiburan untuk mendapatkan pulangan lumayan daripada orang ramai. Perkara yang ingin penulis jelaskan dan harus menjadi pendirian kita semua ialah, bahawa ‘makhluk asing’ atau apa-apa jua persembahan yang dikaitkan dengan pesawat UFO, tidak harus diterima bulat-bulat sebagai makhluk asing dan juga tidak harus ditolak bulat-bulat sehingga dikatakan tidak wujud, tidak pernah wujud dan tidak akan wujud untuk selama-lamanya.


Menolak kewujudan ‘makhluk asing’ ini tidak akan membawa apa-apa faedah, kerana suatu fenomena yang dikatakan ‘menyanggah’ hukum fizik pada tahap ilmu pengetahuan manusia masakini sebenarnya, sentiasa akan dapat ditonjolkan ‘kebenaran’nya oleh pengkaji-pengkaji yang memiliki minat mendalam tentangnya. Begitu juga menerima kebenaran tentang ‘makhluk asing’ ini sebagai benar-benar makhluk asing, dikhuatiri akan menjurus seseorang kepada pertikaian tentang kekuasaan Tuhan serta kebenaran kandungan kitab suci itu sendiri.

Futej yang semakin lama semakin sukar 
untuk dinafikan.


Oleh itu penulis menasihati pembaca agar mengambil pendirian sangat berhati-hati tentang hal ini kerana apajua yang didapati dalam penulisan ini adalah lebih merupakan pandangan peribadi penulis. Penulis tidak pernah memaksa mana-mana pihak untuk menerima dan tidak pernah juga melarang mana-mana pihak untuk menolaknya. Kerana perkara yang akan dijelaskan kepada pembaca selepas ini adalah sesuatu yang lebih mencabar minda pembaca sendiri, berbanding perkara yang telah dijelaskan sebelum ini. Penulis khuatirkan perkara yang akan dijelaskan kemudian nanti akan mengakibatkan sesuatu yang dikatakan sebagai ‘letupan minda’ kepada pembaca sendiri.




Sunday, May 6, 2018

REKABENTUK KENDERAAN NABI SULAIMAN A.S.


ﻭ ﻘﺪﻭﺮ ﺮﺍﺴﻴﺖ

Dan periuk-periuk yang tetap kedudukan.

dan periuk-periuk yang tetap (berada di atas tungku)

Apakah yang dimaksudkan dengan periuk? Dan kitapun telah sedia memaklumi bahawa periuk digunakan untuk tujuan masakan. Masakan Nabi Sulaiman A.S., telah mengumpulkan seluruh pengikutnya untuk menikmati hidangan besar kerana menyambut suatu perayaan besar? Adakah di sana wujud teko-teko besar sepertimana rekaan Ayah Pin, untuk tujuan dituangkan air minuman ke cangkir-cangkir bersaiz lebih kecil sebanding itu? Jenis makhluk apakah serta apakah saiz mereka, yang Nabi Sulaiman A.S. ingin menjamu selera?

Periuk yang kita gunakan boleh dipindah-pindahkan setelah selesai digunakan. Kita akan mengangkatnya untuk tujuan membersihkannya selepas setiap kali penggunaan dan periuk itu akan diletakkan secara terbalik atau dibiarkan tergantung sisi sehingga akan digunakannya pada kali yang lain. Namun periuk yang direka oleh Nabi Sulaiman A.S. berada di atas tungku yang tetap. Dengan lain perkataan iaitu periuk yang tidak akan dijauhkan dari tungkunya.

“Jifan” dan “Qudur” dalam teknologi
penerbangan

Jifan yang diterjemahkan sebagai pinggan-pinggan besar dapat dipadankan dengan qudur sebagai periuk penutup membentuk suatu pesawat yang kini lebih dikenali sebagai pesawat terbang tidak dikenali – UFO.  Perkara ini merupakan fenomena yang dapat disesuaikan dengan bentuk penutup di sebelah atas serta bentuk kelopak di sebelah bawah, yang bertindak sebagai tungku tetap terhadap penutup berbentuk periuk di atasnya.
Gambar pesawat Jerman – Aset Tentera
Yang Tidak Berkesempatan Untuk
Digunakan Oleh Hitler Dalam
Perang Dunia Ke-2

Kiranya “jifan” dapat diterjemahkan sebagai sesuatu yang bersaiz besar yang tentunya bukan kegunaan di dapur rumah-rumah manusia, mengapa tidak kita fahami “qudur” juga bersaiz besar sebanding dengan saiz “jifan” yang telah dinyatakan? “Jifan” dengan bentuk kelopak pada saiz yang besar dapat juga dinyatakan berbentuk seperti kuali besar, yang “qudur” pada ayat selanjutnya berada di atas secara tetap. Iaitu “jifan” itu menjadi tungku kepada “qudur” yang dinyatakan sesudah itu. Perkataan ﺠﻔﺎﻦ ﻜﺎﻠﺠﻭﺍﺐ dan  ﻘﺪﻭﺮ ﺮﺍﺴﻴﺖ adalah merujuk kepada dua subjek berlainan tetapi saling berkaitan. Ianya sebanding dengan metodologi ayat sebelum ini iaitu burung dan gunung-gunung yang berulangan-ulangan menuruti sebutan berzikir bersama Nabi Daud A.S., iaitu merujuk dua subjek berlainan tetapi saling berkaitan antara satu sama lainnya.  

Mengapakah penulis menulis perkara demikian? Pada ayat sebelum ini telah dinyatakan bahawa Nabi Sulaiman A.S. memiliki teknologi menghambat angin dan bukannya dihambat oleh angin, sebagaimana diperolehi dalam banyak terjemahan. Oleh itu Nabi Sulaiman A.S. dapat dikatakan memiliki kenderaan dengan keupayaan sedemikian. Pergerakan sangat laju yang dialami oleh Nabi Sulaiman A.S., tidak memungkinkan kenderaan baginda dapat bergerak di atas daratan kerana kenderaan dengan momentum sangat besar ketika itu tidak mungkin digerakkan di atas jalan raya atau sebarang laluan seperti sekarang ini yang belum wujud ketika itu.

Justifikasi Mengaitkan “Jifan” dan “Qudur” 
Dengan Teknologi Penerbangan

Dua patah perkataan iaitu   ﻘﺪﻭﺮ ﺮﺍﺴﻴﺖ datang selepas dua patah perkataan sebelumnya iaitu  ﺠﻔﺎﻦ ﻜﺎﻠﺠﻭﺍﺐadalah merujuk kepada perkara teknikal berkaitan teknologi rekaciptaan. Perkara berkaitan dengan “tamathil” sebelum ini, turut membincangkan tentang keperluan mengawal makhluk berkenaan dan teknologi kawalan menggunakan alat komunakasi memerlukan peralatan yang sesuai. Oleh kerana setiap perkataan dari Al-Qur’an memerlukan penjelasan saling kait mengait, penulis telah mencadangkan perkataan “jifan” yang dikaitkan dengan “kal-jawabi” diertikan sebagai suatu rekabentuk kelopak dengan saiz lompangan besar. Dan hal ini sebenarnya telah disebut sebagai berkaitan dengan teknologi komunikasi. Analogi rekaciptaan sekarang ini adalah menjurus kepada bentuk cakera komunikasi dengan lengkungan ke dalam membentuk lompangan parabola.

Sebelum itu kita telah juga membincangkan tentang ciri-ciri kenderaan Nabi Sulaiman A.S. dan antara sifat kenderaan yang baginda naiki adalah berkelajuan tinggi sehingga mencapai kelajuan bunyi. Persoalan yang timbul adalah bagaimana rupa kenderaan itu? Perkara yang dapat dijelaskan daripada sebutan ﻘﺪﻭﺮ ﺮﺍﺴﻴﺖ adalah cantuman antara periuk yang dapat didudukkan secara tetap di atas ﺠﻔﺎﻦ ﻜﺎﻠﺠﻭﺍﺐ sebagai tungku yang menumpangkan periuk berkenaan. Dalam hal ini penulis sendiri telah membuat rujukan tentang terma bagi perkataan ﺮﺍﺴﻴﺖ  dan jawapan yang penulis perolehi adalah keadaan duduk tetap seperti kapal yang berlabuh di pelabuhan sementara menunggu sesuatu. Dalam Al-Quran daripada surah An-Naziat (79:32) dengan kata dasar yang serupa merujuk kepada gunung yang telah diciptakan Tuhan duduk tetap di atas bumi. Namun gunung yang duduk tetap itu, menurut ahli geologi adalah seperti bongkahan besar yang duduk terapung secara tetap dan menindih bumi di bawahnya. Kajian lebih mendalam tentang perkataan ﺮﺍﺴﻴﺖ  dapat juga digunakan sebagai ‘hovering’ dalam istilah English iaitu seperti ‘hovercraft’ yang berada berlabuh di atas angin yang disembur ke bawah oleh ‘hovercraft’ itu sendiri. Kiranya ‘hovercraft’ dapat dikatakan berlabuh di atas lapisan udara di bawahnya, bagaimana pula dengan periuk yang dapat berlabuh di atas pelampung medan magnet. Dengan keadaan medah magnet yang tidak kelihatan, tentunya boleh juga dikatakan yang periuk itu kelihatan terapung tetap di udara.

Pada zaman ini, kenderaan pesawat terbang berbentuk seperti ini telah dikenali sebagai Pesawat Terbang Tidak Dikenali., walhal pesawat seperti ini telah direkabentuk lama dahulu sejak zaman silam lagi. Imej-imej pada ukiran batu dan dalam catatan Hindu kuno menyatakan bahawa pesawat seperti ini telah dinamai sebagai Vimana. Vimana dikatakan sebagai tunggangan dewa-dewa silam yang menjadi sembahan orang dahulu kala sehingga kini.


Arca Vimana yang menunjukkan 
suatu teknologi penerbangan silam, 
terdapat dalam catatan Hindu kuno.





Monday, April 30, 2018

REKACIPTAAN ZAMAN NABI SULAIMAN A.S.


ﻭ ﺠﻔﺎﻦ ﻜﺎﻠﺠﻭﺍﺐ

dan kelopak-kelopak seperti lompangan

dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam,

i.      Sedikit Persoalan Tentang Terjemahan Biasa

Persoalan yang mudah untuk dinyatakan berdasarkan kebanyakan terjemahan biasa, yang menjelaskan bahawa Nabi Sulaiman A.S. telah memerintahkan bangsa jin untuk merekacipta patung-patung, serta mangkuk-mangkuk besar dan sebagainya ialah : “Apakah tujuan sebenar Nabi Sulaiman A.S. memerintahkan bangsa jin untuk melakukan perkara-perkara itu?”. Kalau terjemahan dinyatakan hanya menjurus rekaciptaan patung-patung dan pinggan-pinggan, untuk apakah perkara itu dilakukan? Sekiranya demikian, tiada yang unik tentang perintah Nabi Sulaiman A.S. itu, kerana sekadar merekabentuk patung seperti patung yang dapat berdiri tegak atau patung mainan kanak-kanak dan mangkuk atau pinggan untuk tujuan hidangan, tentunya tidak memerlukan teknologi yang sebegitu canggih. Perkara-perkara yang menjurus kefahaman seperti itu penulis berpendapat, tidak harus disampaikan melalui Al-Qur’an.

Di sinilah letaknya keperluan satu-satu ayat harus diteliti secara mendalam dan perkaitan menghimpunkan ayat-ayat berturutan dalam satu himpunan, perlu dilakukan agar suatu pengertian seberapa hampir yang boleh, akan dapat diperolehi. Penulis melihat betapa perlu setiap ayat Al-Qur’an perlu dipelajari secara himpunan ayat sebagaimana wahyu itu diturunkan dan perkara ini akan dijelaskan lebih mendalam lagi dalam pengajaran surah Al-Qiyammah.

Perkataan ﺠﻔﺎﻦ daripada perkataan ﺠﻔﻦ bererti kelopak. “Jifan al ‘ain” merujuk kepada kelopak mata. Sekiranya kelopak mata merujuk sesuatu yang boleh terbuka dan tertutup, “jifan” dapat juga dirujuk kepada kelopak berbentuk bunga yang dapat terbuka dan mengembang daripada keadaan asalnya yang menguncup. Adapun terjemahan perkataan “jifan” sebagai pinggan-pinggan hidangan barangkali adalah suatu perbandingan terhadap bentuk yang hampir kepada lengkungan kelopak, yang dapat menampung sesuatu kerana keupayaan menampung dengan bentuknya seperti lompangan. Ijtihad penulis dalam memberi pengertian bagi perkataan ini adalah sesuatu yang ada hubungan dengan teknologi iaitu berkait sesuatu yang ada hubungan dengan pengawalan terhadap subjek sebelum ini yang telah dibincangkan.

ii.     “Jifan” Dalam Teknologi Komunikasi

Seterusnya penulis telah membandingkan perkataan “jifan” dengan mangkuk komunikasi iaitu sesuatu yang dapat dikatakan berbentuk kelopak dan memiliki bentuk lengkungan ke dalam seperti lompangan. Cumanya mangkuk komunikasi yang digunakan secara meluas pada zaman ini tidak direkabentuk untuk membuka dan mengucup seperti kelopak bunga.

Penulis suka untuk menamainya sebagai 
kelopak dengan lompangan besar

Bentuk parabola cakera komunikasi menjadikannya berbentuk seperti kelopak. Bergantung kepada saiznya, semakin besar kelopak maka semakin besarlah lompangan. 

Berbeza dengan cakera komunikasi yang digunakan pada zaman Nabi Sulaiman A.S., peralatan itu boleh dikuncupkan apabila tidak digunakan dan dikembangkan semula apabila ingin digunakan. Cakera komunikasi masakini yang hampir dengan rekaciptaan semasa kerajaan Nabi Sulaiman A.S. suatu masa dahulu, adalah yang berbentuk seperti payung. Kebanyakan cakera komunikasi pada zaman ini, berbentuk bulat dengan lengkungan parabola yang direkacipta secara padu, tidak berubah bentuk.



Robot Sentinel (sejenis tamathil) dalam kisah
Matrix, memiliki cakera komunikasi (jifan) 
yang dapat dibuka dan dikuncupkan.



Tuesday, April 24, 2018

TEORI KONSPIRASI TENTANG TAMATHIL


Sesuatu yang asing memang ada di bulan,
penggunaan tamathil yang dapat bekerja 
pada persekitaran vakum sememangnya
sesuatu yang masuk akal.

Berdasarkan video di atas, terdapat dakwaan wujud struktur di bulan dan perkara ini menjadi tidak mustahil sekiranya khidmat tamathil digunakan untuk membinanya. Namun siapakah yang terlibat dalam agenda ‘konspirasi’ ini? Apabila kajian-kajian lebih lanjut dilaksanakan oleh ahli-ahli teori konspirasi, terdapat dakwaan-dakwaan yang pada pandangan masyarakat biasa sebagai tak masuk akal. Dakwaan itu ialah terdapat aktiviti di bulan yang melibatkan entiti tertentu yang kiranya dibuktikan benar tentunya mencabar pendakwaan yang dibuat oleh pihak Barat tentang penjelajahan angkasa lepas yang kononnya telah dipelopori oleh mereka.

Kita juga harus ingat bahawa dalam pentadbiran bangsa jin, mereka telah biasa menggunakan tamathil untuk melaksanakan agenda mereka. Peristiwa perhambaan bangsa jin kepada Nabi Sulaiman A.S. memberi gambaran bahawa mereka telah cukup canggih dalam bidang ini berbanding manusia. Setelah melalui suatu tempoh masa sehingga kini, manusia masih terkial-kial dalam melaksanakan penyelidikan dan pembangunan makhluk tamathil yang mereka perlukan untuk pelbagai tujuan. Kajian demi kajian dijalankan sehingga ke peringkat penghasilan organ tertentu melalui teknologi bio sintetik. Tentunya dalam beberapa tahun mendatang, kita akan biasa mendengar tentang cyborg, organisma siber-sintetik atau sibernetik dan mungkin juga sehingga ke peringkat dapat berhubung secara telepati antara pengendali dengan barang-barang rekaan mereka itu. Bagaimana pula kalau penulis nyatakan bahawa teknologi seperti ini telah sedia wujud 
dan telah menjadi suatu yang di luar pengetahuan manusia biasa selama ini?


Daripada pengklonan sehinggalah penghasilan
organ bio-sintetik, projek penghasilan tamathil 
berasaskan bahan organik seperti ini sedang
giat dimajukan. 

Oleh itu pendedahan tentang teknologi asing seperti ini adalah sesuatu yang berkemungkinan besar akan terjadi ke dalam masyarakat manusia dalam beberapa dekad lagi. Dan tidak hairan kiranya pada masa itu, manusia telah menempati angkasa lepas secara berduyun-duyun sebagai tempat rekreasi sementara dan juga pengembaraan menggunakan makhluk tamathil telah menjadi suatu yang lumrah.




Sunday, April 15, 2018

MAKHLUK TAMATHIL YANG MEMERLUKAN KAWALAN


Terminologi Bagi Suatu Rekacipta


Rekaciptaan sebenarnya memerlukan teknologi. Peralatan yang digunakan dalam pembangunan sesuatu teknologi memerlukan terminologi-terminologi khusus, yang pada kebiasaannya sukar difahami oleh golongan kebanyakan. Contohnya seperti penggunaan cakera komunikasi yang dapat memancar dan menerima maklumat dalam bentuk gelombang elektromagnet. Oleh kerana itu, penggunaan terminologi-terminologi seperti ini dalam Al-Qur’an memerlukan perkataan-perkataan keserupaan yang dapat dijelaskan sebagai ‘tasyabahat’ atau ‘mutashabihan’. 

Penulis mengambil contoh mudah tentang terminologi cakera komunikasi pada zaman ini, yang dapat disaksikan oleh kebanyakan kita. Di negara kita, mereka yang memiliki kemudahan saluran Astro di rumah mereka, telah meletakkan cakera komunikasi mereka di bahagian bumbung rumah mereka. Masyarakat biasa menyebutnya sebagai ‘mangkuk’ Astro sedangkan perkataan mangkuk sebenarnya lebih sinonim sebagai peralatan untuk tujuan hidangan makanan. Menyebut perkataan ‘mangkuk’ Astro adalah lebih mudah difahami oleh kebanyakan kita berbanding penggunaan terminologi ‘cakera komunikasi’. Dan adalah tidak salahpun kiranya perkataan-perkataan tertentu seperti itu telah digunapakai dalam Al-Qur’an.
                  
Cakera satelit yang gambarnya diabadikan
pada stem di Singapura lebih dikenali 
sebagai mangkuk Lee Kuan Yew oleh
masyarakat biasa.

Kita kembali kepada persoalan golem atau makhluk tamathil. Perkataan tamathil - (ﺗﻣﺜﻴﻞ) daripada perkataan ‘mathala’ iaitu ‘seumpama’ atau ‘sebanding’ merujuk kepada rekaciptaan suatu makhluk yang bentuknya seumpama sesuatu – dalam kes ini adalah seumpama manusia. Pada zaman ini, teknologi yang terlibat dalam hal seperti ini adalah teknologi robotik. Apatah lagi pada zaman ini, manusia telah cukup ‘canggih’ dan mereka merekacipta ‘pasangan’ mereka untuk tujuan mengadakan hubungan seks bagi menggantikan pasangan sebenar yang telah Tuhan ciptakan untuk mereka.

Tamathil Yang Dapat Dipergunakan


Pada zaman Nabi Sulaiman A.S, makhluk tamathil telah digunakan untuk tujuan melakukan kerja-kerja yang tidak sanggup atau tidak sepatutnya dilakukan oleh manusia. Sebenarnya makhluk tamathil juga dapat digunakan sebagai pengendali pesawat-pesawat, bahkan dapat juga digunakan untuk mengemudi pesawat angkasa lepas ataupun bergerak di luar daripada kapal angkasa. Kiranya kerja-kerja seperti ini dilakukan oleh manusia, mereka perlukan pakaian khas supaya tubuh mereka tidak terdedah kepada situasi hampagas. Bagi pesawat-pesawat Jin yang berupaya bergerak pada kelajuan sangat tinggi serta mengalami perubahan momentum sangat besar, mereka memerlukan makhluk tamathil yang dapat bertahan terhadap daya yang besar. Bahkan terdapat makhluk tamathil yang dapat dijadikan bersifat supermagnet sehingga dapat melayang di udara kerana tertarik kepada pesawat di atasnya yang juga bersifat supermagnet.


Tidak pernah ada hidupan nyata yang
mampu melompat setinggi dan selaju ini.
Jadi persembahan apakah ini?

Penggunaan tamathil memerlukan kawalan. Alat perhubungan turut perlu dilengkapkan dalam subjek ini agar sebarang pergerakannya dapat dikawal rapi. Penulis telah nyatakan sebelum ini bahawa penggunaan media komunikasi seperti ini memerlukan peraturan ketat yang harus dilaksanakan oleh pihak berkuasa. Makhluk tamathil  ini tidak harus digunakan untuk tujuan merompak, menyamun dan sebagainya.

Tamathil yang sentiasa dikemaskini,
pasti akan menyerupai pergerakan
manusia suatu masa nanti.


Thursday, April 12, 2018

PEPATUNG YANG DIKAWAL


ﻭﺗﻣﺜﻴﻞ

Dan patung-patung (kawalan)

Dan patung-patung

Terdapat kerja-kerja bahaya yang tidak harus dilakukan oleh manusia dan tidak juga oleh bangsa jin. Sebagai contoh, kerja-kerja mendapatkan logam besi yang memerlukan suhu kepanasan sangat tinggi, harus dilakukan secara kawalan jauh menggunakan peralatan yang dapat bertahan. Teknologi yang manusia lalui ketika ini sebenarnya dapat membawa keburukan bukan sahaja kepada persekitaran mereka, bahkan dapat mendatang kecederaan kepada diri-diri mereka sendiri. Secara mudah untuk diperkatakan, bahawa teknologi bangsa manusia masakini jauh ketinggalan berbanding teknologi bangsa Jin ketika zaman Nabi Sulaiman A.S. Dan kiranya teknologi bangsa Jin sekarang ini dipersembahkan kepada manusia, manusia akan menggunakannya secara tak terkawal sehingga akan berlaku kerosakan besar dalam kehidupan manusia sendiri.

Golem Sebagai Tamathil

Masyarakat Yahudi memiliki lagenda tentang rekaciptaan ‘tamathil’ sejak zaman Nabi Sulaiman A.S. lagi dan mereka menamainya sebagai golem. Golem dikatakan sebagai suatu makhluk hodoh yang hanya tahu menurut arahan. Makhluk ini membantu manusia untuk melakukan kerja-kerja berat atau bahaya seperti mengangkut batu-batu besar dari bukit-bukau dan sebagainya.


 Golem : Suatu Lagenda Yahudi.
Nyatanya golem adalah suatu yang
memerlukan kawalan jauh.

Namun setelah zaman berubah, perwatakan dan rupa makhuk lagenda ini didapati turut berubah. Dalam tayangan “Lord of The Rings”, makhluk golem atau gollum digambarkan sebagai berbentuk seperti kera pendek dengan tubuh kecil.


Gollum Smeagol 

Pada zaman ini golem diwujudkan sebagai watak dalam permainan elektronik ‘game’ selaku pekerja dengan bentuk empat segi.  Ramai daripada pemain-pemain ‘game’ elektronik, tidak ambil kisah asal usul tentang lagenda golem ini dan mereka tidak mengetahui perkara golem ini sebenarnya berhubung kait dengan ‘tamathil’ yang disebut dalam Al-Qur’an daripada kisah Nabi Sulaiman A.S.


Golem besi dalam permainan Minecraft

Usaha-usaha mewujudkan makhluk golem sekarang ini sedang diusahakan secara aktif oleh perekacipta-perekacipta dari negara-negara Barat dan negara Jepun, contohnya seperti Golem Sophea. Pepatung elektronik ini kini, telah diberi taraf warganegara oleh pemimpin umat Islam sebagai suatu pengiktirafan kepada bangsa Yahudi – untuk menghidupkan kembali lagenda  golem mereka.


 
Robot Sophea sebenarnya adalah sejenis 
golem. Ianya dikawal secara elektronik 
dan dikenakan tubuh seperti manusia.













Friday, April 6, 2018

SURAH AS-SABAK AYAT 13 -- REKACIPTAAN JIN YANG DIARAHKAN OLEH NABI SULAIMAN A.S.


ﻳﻌﻣﻟﻭﻥ ﻟﻪ ﻣﺎ ﻴﺸﺎﺀ ﻣﻦ ﻣﺤﺮﻴﺐ

Mereka perbuat baginya apa yang ia kehendaki daripada serambi-serambi terangkat (terminal-terminal)

Golongan Jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang ia kehendaki dari bangunan-bangunan yang tinggi, 

Dalam terjemahan yang biasa didapati, perkataan ﻣﺤﺮﻴﺐ diterjemahkan sebagai bangunan-bangunan tinggi. Sebahagian terjemahan lainnya pula menyebut sebagai gedung-gedung yang tinggi. Kepelbagaian bentuk terjemahan seperti ini sebenarnya mendedahkan tentang kebanyakan satu-satu ayat daripada kalimat Al-Qur’an, telah diterjemahkan secara umum. Hal ini sebenarnya dapat mendedahkan kepada bentuk-bentuk terjemahan baru yang dapat disesuaikan dengan kontak ayat. 

Setelah kita pelajari tentang teknologi bangsa jin, setelah kita memaklumi perkara demikian melalui ayat-ayat sebelum ini, kita harus menyedari bahawa semua bentuk teknologi berkenaan tidak akan dapat dikawal kiranya tidak diwujudkan pusat kendalian. Contohnya, satelit yang berada di angkasa lepas perlu dikendalikan dari bumi. Kapal angkasa yang dilancarkan dari bumi juga memerlukan pusat kendalian yang mengawal dan berinteraksi dengan kapal angkasa berkenaan secara teliti. Begitu juga dengan sebarang aktiviti berkaitan yang melibatkan angkasawan. Pesawat-pesawat yang dihasilkan sama ada untuk tujuan komersial atau peperangan perlu dikendalikan dari pusat arahan atau biasanya disebut sebagai “Command Center”. Makluman daripada juru terbang perlu direkodkan dan arahan dapat dikeluarkan dari pusat kendalian kepada pengemudi pesawat untuk menghadapi kes-kes kecemasan. 

Perkara demikian juga disebut dalam Al-Qur’an melalui ayat ini. Perkataan ﻣﺤﺮﻴﺐ daripada kata kerja ﺤﺮﺐ yang bererti ‘telah berperang ia’. ﻣﺤﺮﻴﺐ pula merujuk kepada tempat ‘peperangan’ iaitu suatu persediaan untuk tujuan peperangan. Oleh kerana ayat-ayat sebelum ini merujuk kepada penyediaan pesawat yang dapat meluncur di udara, perkataan ﻣﺤﺮﻴﺐ dapat dikatakan sebagai terminal yang digunakan untuk mengendalikan penerbangan pesawat. Rekod-rekod semasa penerbangan sama ada berkenaan keadaan pesawat seperti kelajuan, arah serta ketinggian pesawat dapat diawasi, ataupun dikendalikan daripada terminal yang disediakan. 

Dalam terjemahan lain yang diperolehi secara online, ﻣﺤﺮﻴﺐ juga diterjemahkan sebagai serambi-serambi terangkat iaitu suatu bentuk bangunan yang ditinggikan yang dapat difahami dalam kes ini adalah menara kawalan.

Teknologi Kawalan Jauh 

Benarkah teknologi yang penulis sebutkan di sini pernah dilalui manusia suatu ketika dahulu di bawah pemerintahan Nabi Sulaiman A.S.? Ataukah bentuk terjemahan atau penerangan yang penulis tuliskan ini, adalah suatu yang diperbesar-besarkan melampaui kenyataan sebenar. Siapakah kita untuk menafikan keistimewaan yang Tuhan kurniakan kepada Nabi Sulaiman A.S. sehingga dapat memindahkan singgahsana Puteri Balqis, yang berada pada jarak sangat jauh, sehingga sampai ke istana Nabi Sulaiman A.S. dalam masa sangat singkat. Teknologi apakah yang baginda gunakan? Adakah wujud sesuatu yang dikatakan sebagai portal ruangan, atau teknologi penyalinan objek jauh dari satu kedudukan ke kedudukan lainnya. Adakah teknologi ‘kuantum entanglement’ telah sedia wujud sebelum ini sebelum disahkan benar pada zaman ini? 

Persoalan yang seringkali ditimbulkan berkenaan pencapaian teknologi-teknologi silam ialah di manakah teknologi itu sekarang ini? Ke manakah perginya peninggalan mereka itu?

Teknologi kawalan jauh yang melibatkan peralatan komunikasi, memerlukan pusat pemancar, relay dan akhir sekali adalah peralatan yang dikawal. Sekiranya pesawat Boeng 747 dapat dikawal secara kawalan jauh untuk tujuan menghadapi kes-kes kecemasan, apakah peralatan yang dikawal oleh Nabi Sulaiman A.S. ketika itu?





Friday, March 30, 2018

AZAB BAGI MEREKA YANG MENYELEWENG


ﻮ ﻤﻦ ﻳﺰﻍ ﻤﻨﻬﻢ ﻋﻦ ﺍﻤﺮﻨﺎ ﻨﺬﻗﻪ ﻣﻥ ﻋﺬﺍﺏ ﺍﻟﺴﻌﻳﺮ

Dan barangsiapa yang ia menyeleweng daripada mereka tentang urusan Kami, Kami rasakan akannya daripada azab yang membakar.

Dan siapa yang menyimpang di antara mereka dari perintah Kami, Kami rasakan kepadanya azab neraka yang apinya menyala-nyala.

Dalam ayat ini, azab yang dikenakan kepada golongan menyeleweng adalah daripada bangsa jin. Bentuk azab yang dinyatakan dalam ayat ini adalah secara segera. Penulis tidaklah dapat menjelaskan bentuk azab yang ditimpakan kepada golongan jin yang menyeleweng itu. Keistimewaan yang Tuhan kurniakan kepada Nabi Sulaiman A.S. adalah merupakan kehinaan terhadap bangsa jin. Bangsa jin telah diperintahkan untuk bekerja sebagai hamba abdi di hadapan Nabi Sulaiman A.S. sehingga mereka menyangka bahawa azab yang menimpa mereka, apabila mereka ingkar perintah, adalah kesan amalan sihir yang baginda lakukan. Baginda tidak mengamalkan sihir bahkan syaitanlah yang mengamalkan sihir sebagai satu manifestasi keingkaran kepada Tuhan.


Kurniaan Tuhan kepada Sulaiman A.S. 
bukanlah sihir.

i.     Hikmah Penguasaan Nabi Sulaiman 
       A.S. Terhadap Bangsa Jin Suatu 
       Ketika Dahulu.

Penulis telah jelaskan sebelum ini tentang teknologi Nabi Daud A.S. dalam usaha baginda memanipulasi logam besi dengan cara melembutkannya. Seterusnya penulis telah nyatakan tentang perkara yang dilakukan oleh Nabi Sulaiman A.S. melalui teknologi bangsa jin yang baginda kuasai. Mengapakah pemberitaan seperti ini diperolehi daripada Al-Qu’ran? Di manakah peranan umat Islam selama ini dalam usaha mempelajari dan menggunakan teknologi daripada Nabi Daud A.S. dan Nabi Sulaiman A.S. untuk tujuan penerbangan dan sebagainya?  Akhirnya setelah keagungan kekhalifahan umat Islam lenyap, mereka masih ditakuk lama dan tidak memperolehi apa-apa daripada Al-Qur’an untuk tujuan tersebut. Ilmu tentangnya diperolehi sendiri oleh golongan ingkar melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan mereka. Atas kelemahan umat Islam sendiri pada masa ini, mereka masih kekal dijajah daripada penjajahan minda hinggalah kepada penjajahan ekonomi.

Namun teknologi yang diusahakan oleh golongan ingkar dalam kalangan manusia pada masa ini, masih dapat dikatakan rendah serta ketinggalan zaman berbanding teknologi yang diusahakan oleh bangsa Jin. Kelebihan teknologi bangsa jin yang seringkali disaksikan oleh sebahagian manusia masa kini, seringkali disalah anggap sebagai teknologi makhluk asing yang datang dari luar planet bumi. Manusia terutama daripada golongan bukan Islam, tidak memiliki cukup idea tentang latar belakang teknologi sedemikian rupa ataupun tentang latar belakang ‘makhluk asing’ itu sendiri. Dengan berbekalkan petunjuk Tuhan melalui Al-Qur’an, perkara sedemikian sebenarnya terdapat penjelasan yang agak teliti.

Menyampaikan perkara tentang ‘makhluk asing’ ini kepada manusia seluruhnya dikatakan akan mengakibatkan letupan minda. Tiba-tiba sahaja dikatakan terdapat makhluk canggih selain manusia, yang telah mendahului manusia darihal teknologi penerbangan dan penjelajahan ke jasad kalestial angkasa lepas seperti bulan. Kecanggihan teknologi makhluk asing sedemikian rupa telah cuba ditakrif sebagai “bahawa makhluk ini adalah lebih pintar, lebih bertamadun dan lebih arif tentang alam berbanding manusia sendiri”. Seterusnya ditimbulkan persoalan yang awal-awal lagi telah diduga iaitu apakah agama mereka? Kiranya mereka beragama, siapakah yang mereka sembah? Adakah mereka bersolat menghadap kiblat seperti kita? Adakah mereka menyembah Jesus? Kiranya mereka tidak beragama, mengapa pula perlu manusia, yang dikatakan kurang canggih berbanding mereka untuk hidup beragama? Mengapakah manusia yang kurang canggih memerlukan pakaian yang menutupi tubuh mereka, sedangkan makhluk asing yang bertelanjang bulat itu dapat maju jauh lebih canggih berbanding manusia? Dan pertikaian paling penting sekali, sejauh manakah kebenaran kitab suci umat ini yang menyatakan bahawa manusia adalah rekaciptaan Tuhan paling sempurna? Kiranya perkara tentang kecanggihan makhluk asing itu diterima manusia, tentunya akan terdapat ramai daripada umat beragama dikatakan akan murtad kerana menerima pakai kata-kata makhluk asing, yang menganggap bahawa agama adalah suatu dogma semata-mata. Dapatkah Al-Qur’an menjawab persoalan-persoalan ini? Sebenarnya Al-Qur’an telah memberi gambaran tentang perkara 'makhluk asing' ini sejak zaman Nabi Sulaiman A.S. lagi.


 
Masih ingat futej ini? Kiranya perkara
 yang disampaikan makhluk ini diterima 
manusia, tentunya akan mencabar 
ajaran agama.

ii.   Mengapa Teknologi Bangsa Jin Yang 
      Digunakan Nabi Sulaiman A.S. Sehingga 
      Kini Masih Tidak Diwarisi Oleh 
      Mana-mana Pentadbiran Manusia?


Kesombongan daripada petunjuk Tuhan melalui Al-Qur’an, menyebabkan umat ini tidak memperolehi teknologi yang telah Nabi Sulaiman A.S. manfaatkan dan juga pelbagai bentuk teknologi masakini yang dipelopori oleh golongan ingkar. Pada hari ini, umat ini terutamanya umat Islam telah mengambil Al-Qur’an sebagai sesuatu yang ‘mahjoora’ iaitu dipindahkan ataupun dijauhi. Usaha memahami Al-Qur’an dan mengambil pelajaran tertentu daripada ayat-ayat tertentu dianggap sebagai perbuatan bid’ah. Akhirnya bid’ah besar terjadi kepada umat ini apabila menganggap bahawa penemuan saintis-saintis Barat adalah suatu yang harus dijadikan ukuran untuk mengesahkan kebenaran Al-Qur’an.





Saturday, March 24, 2018

SEJARAH NABI SULAIMAN A.S. MENUNDUKKAN BANGSA JIN


Sejarah Nabi Sulaiman A.S. dengan keupayaan baginda menguasai bangsa jin dengan izin Tuhan, adalah peristiwa silam yang dirakam melalui Al-Qur’an. Penulis melihat sesuatu yang berlaku masakini dengan penyaksian fenomena pelik-pelik adalah sesuatu yang harus dikaji dan bukannya dijadikan perkara yang dijauhi daripada pengetahuan orang ramai. Tiada jawapan mudah untuk diperolehi melainkan kiranya kita dapat merujuk kembali kepada kitab suci. Namun mengapakah selama ini perkara sedemikian tidak pernah dibincangkan secara mendalam melalui kitab suci? Untuk itu kita harus melihat kembali secara teliti, satu ayat demi satu ayat, satu perkataan demi satu perkataan, satu huruf demi satu huruf dan satu tandaan demi satu tandaan. Tujuannya adalah supaya kita temui jawapan seberapa hampir yang boleh, terhadap persoalan tentang bangsa jin pada masa Nabi Sulaiman A.S. Seterusnya kita akan dapat mengaitkannya dengan fenomena pelik-pelik yang terjadi masa kini.

Dalam beberapa blog sebelum ini, penulis ada menyelitkan beberapa gambar serta klips video, yang pertimbangan manusia masakini menganggapkannya sebagai sebahagian teori konspirasi. Suatu itu disebut sebagai sebahagian teori konspirasi, apabila tiada penjelasan mudah serta bernilai saintifik dapat diguna pakai untuk menjelaskannya. Namun apabila beberapa perkara ‘mistik’ itu cuba dijelaskan secara logik saintifik, tentunya akan terdapat penentangan terhadap penjelasan sedemikian. Penulis, dalam hal ini sebenarnya tidak pernah memaksa sesiapapun untuk menerima atau menolak ‘kenyataan’ sedemikian. Semuanya terpulang kepada pembaca sendiri untuk membuat penilaian secara analitik.

i.    Mengapa pihak berkuasa selalu memilih 
      untuk menolak teori konspirasi?

Berdasarkan pertimbangan rasional saintifik, sesuatu ini harus diterima berdasarkan fakta semata-mata. Sebagai contoh, peningkatan gas karbon dioksida di permukaan bumi berbanding sebelum ini – adalah suatu fakta. Namun fakta ini tidak pernah mencadangkan bahawa gas karbon dioksida adalah penyebab kepada perubahan cuaca. Akhirnya tindakan yang telah dilakukan adalah berdasarkan kepada cadangan bahawa "peningkatan kandungan gas karbon dioksida di udarakasa - menjadi penyebab kepada perubahan cuaca bumi". Kesudahannya, tindakan yang dilakukan itu masih juga tidak mendatangkan kesan ketara terhadap pemulihan bumi sehingga kini. Dalam hal ini, di samping fakta, teori juga haruslah diambil pertimbangan kerana tindakan sedemikian akan mendedahkan kita kepada kepelbagaian bentuk teori lain, yang diharap, salah satunya dapat diguna pakai kemudian hari nanti. Menyempitkan tindakan hanya kepada fakta, belum tentu dapat memberi penjelasan atau hasil yang memuaskan.

Dalam hal ini, penulis mencadangkan bahawa apabila pihak berkuasa cuba menutup sesuatu yang kemudiannya dikatakan sebagai sebahagian teori konspirasi, sebenarnya pihak berkuasa khuatir, apabila perkara sebenar cuba dijelaskan kepada seluruh ahli masyarakat, pelbagai bentuk kekalutan mungkin akan timbul. Apatah lagi kiranya sesuatu itu berkaitan dengan perkara kepercayaan beragama umat.

ii.   Teknologi Bangsa Jin Dan Kesempatan 
      Golongan Globalis

Puak globalis adalah mereka yang bercita-cita besar untuk menguasai bumi ini secara keseluruhannya. Pelbagai rancangan teliti telah dilakukan oleh mereka. Pelbagai bentuk rencana yang kita dapat kenal pasti seperti gerakan feminism dan liberalisasi, kesamarataan hak, pengenalan kepada penggunaan matawang maya dan pelancaran dana hijau, adalah merupakan rancangan awal untuk tujuan berkenaan. Mereka memerlukan asas kukuh supaya mereka dapat menguasai manusia secara total. Manusia diperhambakan melalui bebanan hutang yang sengaja diwujudkan untuk menyusahkan diri mereka sendiri kemudian hari. Melalui penggunaan matawang maya, capaian kepada kemudahan berhutang menjadi semakin mudah dilakukan. Akhirnya bebanan hutang yang teruk akan mengakibatkan terjadi pelbagai bentuk penindasan terancang sehingga mengakibatkan kehidupan manusia hanya seperti makhluk bernyawa yang tidak berperasaan. Apabila capaian terhadap keperluan asas semakin sukar diperolehi, akibat bebanan hutang berlebihan yang ditanggung oleh negara, maka akan terjadilah kekecohan. Negara tidak mempunyai pilihan melainkan memungut wang rakyat demi membayar hutang. Rakyat yang kekurangan wang dan kebolehan akses kepada makanan, akan mula melakukan jenayah dengan menganiayai sesama mereka. Kemuncak kekalutan yang berlaku seperti inilah... merupakan peluang yang ditunggu-tunggu oleh golongan globalis.

Pada zaman ini bukan tak cukup makanan
untuk rakyat makan. Mereka jadi tak cukup
makan bukan kerana tak cukup makanan, 
tetapi kerana bebanan hutang berlebihan.
(Inilah percubaan awal globalis yang
membuahkan hasil)

Perkara yang dilakukan oleh kerajaan-kerajaan dunia, dalam melakukan amalan ekonomi kapitalis menggunakan sistem matawang maya dalam masa terdekat ini, adalah langkah mula kepada proses globalisasi. Tidak akan berlaku sebarang kekalutan semasa proses ini mula dilaksanakan. Mereka akan memberi bantuan sepenuhnya terhadap negara-negara berkenaan, yang tujuan akhirnya supaya negara-negara berkenaan akan diikat melalui jumlah hutang yang tinggi. Apabila jumlah hutang rakyat, institusi-institusi serta hutang negara semakin meningkat, mereka akan mengenakan syarat baru supaya produk-produk keperluan yang berada di bawah kawalan mereka sahaja, yang dibenarkan untuk diniagakan. Mereka akan menguasai sepenuhnya sistem pengagihan makanan dan minuman, sumber tenaga serta perbekalan air, bahan bakar serta pengangkutan, pendidikan serta kemudahan kesihatan rakyat dan juga sistem kehakiman. Mana-mana hasil pertanian dan penternakan yang tidak melalui kawalan mereka, akan dimusnahkan tanpa sebarang belas ihsan. Pelbagai alasan akan diwujudkan untuk mengesahkan tindakan mereka itu.


Mereka mahu setiap manusia menjadi tamak 
dengan menyertai sistem kewangan kapitalisma
yang mereka wujudkan. Akhirnya ketamakan
itu akan menjerut diri mereka sendiri.

Peluang memulakan pengambilan kuasa pemerintahan terjadi, apabila berlaku keadaan seperti bencana cuaca dalam tempoh yang lama yang memusnahkan hasil pertanian. Perkara yang bakal terjadi itu akan diikuti dengan kekecohan manusia dalam usaha mendapatkan makanan. Dalam keadaan kekecohan serta tidak dapat berfikir panjang, golongan globalis akan mewujudkan 'ancaman luar' melalui teknologi ‘makhluk asing’ yang sedia mereka miliki, untuk mengugut manusia seluruhnya bahawa manusia memerlukan penyelamat bumi.

Lakonan ancaman luar dan mewujudkan 
‘penyelamat  bumi’ versi mereka, sedang 
diusahakan secara teliti. Anak-anak kita 
nampaknya lebih dahulu memaklumi
kehadiran 'penyelamat bumi' itu. 

Perkara terakhir yang dirancang adalah penguasaan terhadap kerohanian dan penyembahan umat.

Popular