SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Tuesday, April 30, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 34 -- KEBUN KENIKMATAN UNTUK GOLONGAN BERHATI-HATI


إِنَّ لِلْمُتَّقِينَ عِندَ رَبِّهِمْ جَنَّاتِ النَّعِيمِ

Sesungguhnya, bagi golongan yang berhati-hati, di sisi Tuhan mereka, kebun kenikmatan.

Sesungguhnya orang-orang Yang bertaqwa, disediakan bagi mereka taman-taman syurga Yang penuh nikmat, di sisi Tuhan mereka.


HIMPUNAN SURAH NUN KEDUA :  Balasan Di Akhirat 
                                                                  Untuk Diambil Pelajaran


i.      Pemilikan Manusia Adalah Amanah Tuhan

Golongan yang berhati-hati menyedari bahawa yang dinyatakan pemilikan dalam tangan mereka adalah merupakan amanah Tuhan. Tuhan menguji mereka untuk mentadbir sejumlah harta dalam perkiraanNya. Mereka berhati-hati terhadap harta yang mereka belanjakan.

ii.     Amalan Riba Yang Menyesatkan

Mereka mengelakkan perniagaan berunsur riba yang memudharatkan itu. Mereka tidak akan tersesat dengan sistem riba sehingga menggagalkan mereka bersadaqah dan berjihad pada jalan Tuhan. Dengan suasana semasa yang penguasaan golongan yang ingkar lebih terzahir dalam pentadbiran di bumi ini pada masa ini, mereka lebih menonjolkan sistem ekonomi kapitalis yang berasaskan riba. Mahu tidak mahu, umat ini dalam keadaan terpaksa, menerima cara percaturan ekonomi sedemikian.

iii.    Kecurangan Sistem Kapitalis

Sistem kapitalis mendedahkan kepada pemilikan tidak terbatas menurut kemahuan seseorang, asalkan mereka sanggup membayar harga melebihi harga yang ditawarkan. Akibatnya, pemperolehan seseorang akan dihabiskan semata-mata untuk membayar nilai yang dicagarkan daripada harta benda yang ingin dimiliki. Kesesatan pengamalan sistem sedemikian, menyebabkan manusia secara umumnya berada pada keadaan yang amat memerlukan kecairan yang akan digunakan untuk membayar hutang riba. Mereka sanggup menggelapkan peruntukan zakat serta sadaqah yang harus diserahkan kepada golongan yang memerlukan. Ketidak seimbangan ekonomi semakin menjadi-jadi dalam kalangan manusia.

iv.    Golongan Berhati-hati Harus Ada Peruntukan Infaq

Golongan yang berhati-hati tidak harus terperangkap dengan cara sedemikian. Mereka harus amat membataskan pemilikan berasaskan riba yang mereka tiada pilihan lain, selain mengambilnya. Mereka harus memperuntukkan sebahagian yang mereka perolehi untuk tujuan infak pada jalan Tuhan. Kelebihan daripada harta yang harus diinfakkan, tidak harus dileburkan begitu sahaja untuk tujuan riba sehingga mereka gagal melakukan amalan-amalan sadaqah dan berjihad pada jalan Tuhan.




Friday, April 26, 2013

PENGAJARAN HIMPUNAN AWAL SURAH NUN AL-QALAM



Kesesatan yang dinyatakan dalam surah ini adalah tentang pengurusan harta. Jelasnya pada zaman ini kepentingan harta adalah sangat ketara. Walaupun harta bukanlah segala-galanya namun segala-galanya memerlukan harta. Kerana harta, manusia sanggup menyamun untuk menyelamatkan pemilikan riba. Tatkala ekonomi gawat, mereka masih perlu membayar hutang bulanan terhadap produk yang dibeli dengan kaedah riba dan kiranya gagal, pemilikan mereka terhadap harta berkenaan akan lenyap begitu sahaja. Di negara ini tiada kaedah sistem bantuan terhadap mereka yang bermasalah seperti ini, bahkan di mana-mana juapun. Oleh itu sistem riba wajar dihapuskan sama sekali.

Menghalang peruntukan zakat daripada sampai ke tangan mereka yang berhak adalah suatu kesalahan jenayah. Mereka yang fakir dan terdesak mungkin sanggup membuat keputusan menukar agama lantaran amat-amat memerlukan pembelaan. Dengan sebab bilangan murtad di negara ini telah mencapai jumlah ratusan ribu bahkan mungkin telah mencapai setengah juta, mereka ini akan membentuk kumpulan terbesar bersama penganut-penganut asal agama berkenaan, mengasak pemerintah membenarkan mereka terus mengadakan kempen pemurtadan. Pelanggaran kontrak sosial berlaku dan mereka telah menuntut menggunakan istilah-istilah tertentu dalam agama supaya agama mereka tampak seperti agama Islam.

Antara perkara pasti yang tidak dapat dibendung adalah tindakan huru hara yang akan dicetuskan oleh ahli-ahli pertubuhan ‘kebajikan’ yang akan memusnahkan rumah-rumah ibadat agama-agama lain, yang merupakan suatu kelarangan dalam agama. Kesesatan seperti ini akan mengakibatkan suatu masa nanti sokongan rakyat dalam mengukuhkan parti pemerintah akan terjejas teruk, diikuti dengan masalah kestabilan politik yang tidak boleh diharap.

Di negara yang polisi ekonomi sangat diharapkan bergantung kepada pelabur-pelabur asing dan bukannya dengan keupayaan sendiri negara, pelabur-pelabur menjadi penentu kepada kestabilan ekonomi. Jatuhnya prestasi ekonomi akan menimbulkan suasana yang berlaku seperti sekarang ini apabila penjenayah menjadi raja yang menyebabkan kadar peningkatan jenayah meningkat dengan ketara. Kes kematian akibat pembunuhan berlaku hampir setiap hari dan rakyat hidup dalam kebimbangan.


Tuesday, April 23, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 33 -- AZAB DI AKHIRAT ADALAH LEBIH BESAR


كذلك العذاب ولعذاب الاخرة
اكبر لو كانوا يعلمون

Seperti itulah seksaan dan pastinya seksaan di akhirat adalah lebih besar, kiranya telah adalah mereka, mereka mengetahui.

Demikianlah azab seksa (yang telah ditimpakan kepada golongan Yang ingkar di dunia), dan Sesungguhnya azab hari akhirat lebih besar lagi; kalaulah mereka orang-orang Yang berpengetahuan (tentulah mereka beringat-ingat).

i.      Golongan Sesat Adalah Golongan Terkial-kial

Himpunan ayat adalah bermula daripada ayat pertama sehingga ayat ke 33 ini. Pengajaran secara umumnya, Tuhan memberitahu tentang erti ﺍﻟﻤﻔﺘﻮﻥ merujuk kepada golongan manusia yang terkial-kial iaitu yang menuduh RasullulLah S.A.W. dan orang-orang yang beriman sebagai sesat.

ii.     Pembawa Ajaran 'Sesat' Bukanlah Golongan Sesat

Telah menjadi sebutan lidah manusia merujuk sesat kepada yang tidak sealiran kefahaman dengan mereka walhal yang diajar Tuhan, istilah sesat tidak harus disebut sebegitu.

iii.    Golongan Sesat Adalah Yang Melakukan Mana-mana
       Antara 6 Perkara Yang Disebutkan

Terdapat enam (6) sifat utama golongan yang sesat yang semuanya dapat dibaca daripada bahagian awal surah ini. Semua yang sesat ini merujuk kepada mereka yang berharta diikuti dengan pemilikan anak. Mereka amat berbangga dengan keberadaan mereka sehingga sanggup menafikan hak golongan yang kekurangan dan orang-orang miskin. Bahagian yang harus diserahkan kepada golongan yang susah, diabaikan sama ada secara kecuaian atau melalui cara yang sistematik.

Kesudahannya, mereka yang sesat ini tidak memperolehi apa-apa bahagian yang mereka rancangkan. Barulah mereka mengakui kesesatan serta kezaliman mereka. Perkataan lawan bagi ﺍﻟﻤﻔﺘﻮﻥ yang dikaitkan dengan kesesatan, adalah ﺎﻟﻤﻬﺘﺪﻳﻦ iaitu golongan yang berpetunjuk. Berpetunjuk adalah mengambil panduan Tuhan dalam berpenghidupan. Mereka yang berpetunjuk, menunjukkan sikap sanggup berkorban demi menuruti jalan yang diredhai Tuhan.





Saturday, April 20, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 32 -- MERASA TAK CUKUP DAN MASIH MENGHARAPKAN HABUAN DARIPADA TUHAN


عسى ربنا ان يبدلنا خيرا
منها انا الى ربنا رغبون


Mudah-mudahan Tuhan kami, bahawa Ia menggantikan akan kami yang lebih baik daripadanya, sesungguhnya kami kepada Tuhan kami, yang mengharap pengembalian.

"Semoga Tuhan kita, (dengan sebab kita bertaubat) menggantikan bagi kita Yang lebih baik daripada (kebun Yang telah binasa) itu; sesungguhnya, kepada Tuhan kita sahajalah kita berharap".

Namun adakah memadai dengan mereka bersedia mengharapkan yang lebih baik darihal kurniaan Tuhan? Mereka harus mengharapkan kurniaan yang baik melalui pengorbanan harta dan diri mereka kepada Tuhan. Begitulah keadaan Nabi Ibrahim A.S., yang sanggup melakukan pengorbanan besar daripada yang sangat-sangat disayanginya. Dan sesiapapun akan 'raghiba' atau termotivasi kepada Tuhannya (94:06) sepertimana cara Nabi Ibrahim A.S. (2:130) melainkan mereka yang memperbodohkan diri mereka sendiri. Tuhan telah memilih Nabi Ibrahim A.S. sebagai peneraju umat ini dan juga Nabi Ismail A.S. yang mempersediakan diri dikorbankan.




Monday, April 15, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 31 -- MEREKA SEBENARNYA GOLONGAN PELAMPAU (EKSTREMIS)

  
قالوا يويلنا انا كنا طغين

Telah berkata mereka, aduhai malangnya kami, sesungguhnya kami, telah adalah kami golongan yang melampau.

mereka berkata: "Aduhai celakanya kita! Sesungguhnya kita adalah orang-orang Yang melampaui batas.

2.5% iaitu Peruntukan Golongan Susah Mereka Sapu

Mengapa mereka tidak mahu berzakat atau bersadaqah atau menyelewengkan peruntukan sadaqah daripada kutipan zakat, sedangkan peratusan zakat hanyalah 2.5% daripada harta yang umat perolehi. 2.5% daripada perolehan umat diambil untuk diagih-agihkan kepada golongan yang wajib menerimanya. Amat melampau mereka mengambil peruntukan yang sedikit itu, demi kepentingan diri mereka sendiri. Sememangnya Tuhan mencipta manusia bersifat suka membolot disebabkan sifat keluh kesah, gelisah dan menegah. Dalam hal yang sedemikian maka tidak hairanlah urusan dunia ini selalu direbut oleh golongan yang sesat. Mereka mundar mandir membawa kempen yang merosakkan umat. Beginilah kaedahnya Tuhan menempatkan golongan yang beriman daripada umat ini dalam keadaan kekurangan supaya mereka sentiasa merendah diri mereka di hadapan Tuhan.




Friday, April 12, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 30 -- MEREKA MENCELA SATU SAMA LAIN


فاقبل بعضهم على بعض يتلاومون

Maka telah menghadap sebahagian mereka atas sebahagian yang lain, mereka saling mencela.

kemudian setengahnya mengadap Yang lain, sambil cela-mencela.

i.      Si Dhaif  Yang Sesat Mencela Kepimpinan

Si dhaif mencela pemimpin lantaran tidak mengagih peruntukan zakat sebagaimana yang diperintah Tuhan.

ii.     Pemimpin Yang Sesat Mencela Penjawat Agama

Pemimpin mencela penjawat agama lantaran mengharuskan kerja-kerja mereka mengalihkan peruntukan zakat untuk tujuan lain daripada yang diperintahkan Tuhan sekalipun untuk tujuan yang kelihatannya baik pada agama seperti pembangunan masjid dan prasarana-prasarana yang lain. Sehingga nasib umat tidak terbela.

iii.    Penjawat Agama Yang Sesat Mencela Si Dhaif

Penjawat agama pula mencela si dhaif kerana tetap memberi sokongan 'padu' kepada kepimpinan sedemikian atas kejahilan mereka sendiri.

iv.    Si Dhaif  Yang Sesat Mencela Kembali Penjawat Agama

Si dhaif mencela kembali penjawat agama, lantaran mengabaikan tanggungjawab untuk memberi pengajaran yang benar sebagaimana yang diperintahkan Tuhan, supaya mereka dapat memilih pemimpin yang benar.

v.    Penjawat Agama Yang Sesat Mencela Kepimpinan

Penjawat agama kembali mencela kepimpinan lantaran cengkaman pemimpin ke atas mereka supaya berkata-kata dan berhukum bagi pihak pemimpin, diugut dengan perlepasan jawatan, seolah-olah rezeki ditentukan oleh pemimpin.

vi.    Pemimpin Yang Sesat Mencela Si Dhaif

Pemimpin pula mencela si dhaif lantaran sokongan ‘padu’ mereka sekalipun mereka merupakan pihak yang bersalah.

vii.   Si Dhaif  Yang Sesat Mencela Kembali Kepimpinan

Si dhaif kembali mencela kepimpinan, disebabkan tipu daya pemimpin, serta kempen mereka siang dan malam, memperdaya mereka menjauhi diri daripada pengajaran Tuhan.


viii.   Pemimpin Yang Sesat Mencela Kembali Penjawat Agama

Pemimpin kembali mencela penjawat agama, lantaran meletakkan kepercayaan kurniaan rezeki di tangan mereka dan bukannya kepada Tuhan, yang merupakan suatu pendirian mempersekutu Tuhan, sehingga sanggup mengenepikan perintah Tuhan.

ix.     Penjawat Agama Yang Sesat Mencela Kembali Si Dhaif

Seterusnya penjawat agama mencela si dhaif, walhal mereka harus mengambil tanggungjawab menyampaikan ayat-ayat Tuhan secara yang benar dan berani. Cela-mencela sesama mereka lantaran kerja-kerja sesat yang mereka semua lakukan. Begitulah mereka cela-mencela berterusan sehingga dalam keadaan terdesak dan di neraka, masih juga mereka cela-mencela.




Monday, April 8, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 29 -- GOLONGAN SESAT MENYEDARI BAHAWA MEREKA KEJAM


قالوا سبحن ربنا انا كنا ظلمين

Telah berkata mereka, Maha Suci Tuhan kami, sesungguhnya kami, telah adalah kami, orang-orang yang kejam.

mereka berkata (dengan sesalnya): Maha suci Tuhan kami! Sesungguhnya Kami adalah orang-orang Yang berlaku zalim!

i.     Sesat Adalah Kekejaman, Syirik Juga  
        Adalah Suatu Kekejaman

Ayat Tuhan menyatakan golongan yang sesat ini sebagai golongan yang kejam. Akhirnya mereka akan mengakui kekejaman mereka. Terdapat banyak pengajaran ayat Al-Quran yang menjurus kepada penafsiran terhadap golongan yang kejam. Menyintai sesuatu lebih daripada kecintaan kepada Tuhan adalah suatu bentuk kesyirikan dan kesyirikan adalah merupakan suatu kekejaman yang besar (31:13). Tidak berhukum dengan hukum Tuhan juga suatu kekejaman. Enggan bersadaqah bererti melanggar hukum Tuhan. Khalifah Abu Bakar R.A. pernah memerintahkan perang ke atas golongan yang enggan mengeluarkan zakat, yang merupakan sadaqah yang wajib diserahkan. Mereka yang mengingkari sadaqah adalah golongan yang membeza-bezakan antara perintah solah dan zakat.



Menyintai Yang Lain Lebih Daripada Kecintaan 
Kepada Tuhan dan Rasul Adalah Cinta Murahan

 ii.    Panduan Mana Yang Perlu Mereka Cari

Kesedaran terhadap salah laku mereka akan sampai masanya. Adakah mereka termasuk yang terlambat dalam memperbetul keadaan? Panduan manakah yang akan mereka cari? Adakah melalui kefahaman-kefahaman hukum yang mereka dapat pelajari daripada penjawat-penjawat agama mereka, yang dahulunya sentiasa meredhai amalan-amalan kedurjanaan mereka, dapat diharap untuk memperbetul keadaan? Apakah faedahnya pelajaran tinggi penjawat-penjawat agama mereka selama ini, yang memperolehi pengiktirafan dari universiti-universiti Islam di negara-negara sekular, dapat diguna pakai, pada masa gejala riddah atau murtad menjadi bersangatan?

Adakah kata-kata suci penjawat agama sedemikian dapat dijadikan panduan memulihkan suasana masyarakat serta kestabilan negara? Di manakah roh pengajaran agama yang harus terbit daripada pengajaran penjawat-penjawat sedemikian, sekiranya mereka sendiri berlumba-lumba dengan ganjaran dunia daripada kutipan cukai dan daripada aktiviti riba atau aktiviti maksiat? Pemakanan mereka dari sumber yang buruk pasti mewujudkan kesan keburukan berpanjangan dalam perlakuan mereka.

Bukankah RasullulLah S.A.W. pernah berpesan bahawa akan terdapat ‘ulama-ulama’ akhir zaman yang merupakan seburuk-buruk ulama di bawah kulit langit? Islam hanya tinggal pada nama, Al-Quran hanya tinggal resam. Pendiri-pendiri Al-Kitab dan As-Sunnah pada waktu itu, ganjaran mereka adalah lima puluh kali ganda. Berbanding dengan usaha sahabat RasululLah S.A.W. suatu masa dahulu, ganjaran mereka menjadi lima ratus kali ganda.






Friday, April 5, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 28 -- DALAM KALANGAN MEREKA ADA YANG CONDONG KEPADA AGAMA


قال اوسطهم الم اقل لكم لولا تسبحون

Telah berkata ia oleh yang paling pertengahan (wasathiyah) mereka, adakah telah tidak aku berkata kepada kamu, mengapa tidak kamu bertasbih? 

berkatalah orang Yang bersikap adil di antara mereka: "Bukankah Aku telah katakan kepada kamu (semasa kamu hendak menghampakan orang-orang fakir miskin dari habuannya): amatlah elok kiranya kamu mengingati Allah (serta membatalkan rancangan kamu Yang jahat itu) ?"

i.      Mereka Ada Pakar Nasihat Agama

Dalam kalangan golongan berkepentingan terdiri daripada yang berpengetahuan agama. Mengakui kekuasaan Tuhan atas segala sesuatu. Yang hanya mampu memberi nasihat dengan cara lemah lembut, yang selama ini lebih mengambil sikap merendah diri. Mereka mengingatkan kembali betapa Tuhan Maha Berkuasa untuk melakukan sesuatu dan mendatangkan akibat yang besar. Mereka akan melihat kemuncak permasalahan besar yang berlaku.

ii.     Umumnya Nasihat Pakar Mereka Kurang Didengari

Namun golongan yang sesat itu tidak meyakini ancaman Tuhan sejak dari mulanya. Mereka lebih gemar menanti sesuatu bencana yang besar lalu menyatakan perkara sedemikian terjadi disebabkan oleh fenomena alam atau pergolakan sosial. Rujukan apakah yang harus mereka akui bahawa kesan perbuatan mereka itu sebenarnya sentiasa ada dalam catatan pengajaran daripada kitab suci? Mahu atau tidak, mereka perlu kembali kepada pengajaran Al-Quran. Mereka perlu merenung pengajaran suci pada suatu sudut pandangan yang lain, yang bukan pandangan yang mereka fahami selama ini. Dari situ ahli-ahli akademi agama akan dapat melihat kebenaran dan kesilapan mereka, begitu juga usahawan-usahawan dan ahli-ahli politik yang dahulunya sentiasa megah dengan pembinaan prasarana rumah-rumah ibadat tanpa mereka sama-sama dapat memakmurkannya sehingga memenuhi ruang-ruang solah setiap kali solat fardhu dilaksanakan.


 

Monday, April 1, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 27 -- MEREKA TIDAK PEROLEHI HASIL ATAS KESESATAN MEREKA


بَلْ نَحْنُ مَحْرُومُونَ


Bahkan kami yang terlarang.

(setelah mereka perhati Dengan teliti, mereka berkata:"Tidak! kita tidak sesat), bahkan kita orang-orang Yang dihampakan (dari hasil kebun kita, Dengan sebab ingatan buruk kita sendiri)".

i.    Ekonomi Negara Menjadi Tidak Stabil

Terlarang daripada mendapatkan bahagian daripada semua hasil usaha mereka. Apabila berlaku huru-hara, golongan yang beriman tidak harus masuk campur. Mereka harus meneruskan kerja-kerja mereka menyampaikan dakwah Tuhan. Keber-gantungan tidak harus diletakkan pada wang ringgit. Usaha-usaha perladangan dan penternakan adalah merupakan usaha yang dituntut, haruslah dimulai sejak awal-awal lagi.

ii.    Huruhara, Konflik, Defisit Yang Meningkat

Kesan kegawatan keamanan adalah peningkatan perbelanjaan keamanan. Pelabur-pelabur akan lari meninggalkan negara ini dan aktiviti ekonomi akan berkurangan. Banyak daripada bahan-bahan keperluan yang diimport akan meningkatkan defisit perbelanjaan dengan ketara. Nilai wang menjadi sangat mengecil dan penyimpan-penyimpan wang di institusi-institusi kewangan mengalami kerugian serta kekecewaan. Mereka sanggup mengeluarkan wang seberapa banyak yang boleh, untuk dilaburkan di luar negara dan kesannya adalah inflasi tidak terkawal serta kadar kejadian jenayah yang meningkat.

iii.   Perpaduan Masyarakat Terjejas

Apa lagi yang boleh diharapkan daripada pelaburan perindustrian? Pemberontakan dan peningkatan kadar jenayah memaksa pemerintah terpaksa mengeluarkan arahan dharurat untuk mengukuhkan cengkaman kuasa. Tentera mengambil alih pentadbiran negara. Negara yang baik, Tuhan Maha Pengampun, rakyat hidup dalam ketakutan.


Popular