SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Monday, February 11, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 13 -- KERAS KEPALA LAGI DIKETAHUI KEJAHATANNYA


عتل بعد ذلك زنيم

Keras kepala sesudah itu samseng pula.

Yang jahat kejam, Yang selain itu tidak tentu pula bapanya.

KESESATAN KEENAM : KERAS KEPALA DAN MENUNJUKKAN 
                                SIFAT SAMSENG

Mengapakah Tuhan mengkhabarkan kepada kita tentang ciri-ciri golongan yang sesat ini? Mengapa tidak terus dihukumkan bahawa penyembah-penyembah selain Tuhan adalah sesat atau sesiapa sahaja yang tidak mengambil sistem yang Tuhan sediakan, adalah sesat? Apabila RasululLah S.A.W. dituduh sebagai sesat sehingga Tuhan menafikannya (68:02), lantas melalui ayat-ayatNya Tuhan tidak membalas kembali pengisytiharan sesat terhadap penuduh daripada golongan yang ingkar itu  (68:06).

Kemudian Tuhan mencirikan siapakah yang sebenarnya sesat berdasarkan ayat-ayat yang selanjutnya daripada itu? Dengan lain perkataan, perisytiharan sesat yang Tuhan tujukan adalah kepada sebahagian daripada manusia, yang antaranya bersikap sangat keras serta sangat-sangat diketahui kejahatannya. Dalam kalangan manusia yang sangat diketahui kejahatannya adalah seperti samseng yang hidupnya dilingkungi aktiviti-aktiviti durjana, banyak menaja kerosakan dan melarang atau bertindak kepada manusia yang melakukan kebaikan. Di negara yang penguatkuasaan undang-undang tidak berlaku secara menyeluruh, aktiviti samseng menjadi sesuatu yang lumrah didengari. Penguatkuasaan undang-undang hanya ditujukan kepada golongan yang lemah sahaja disebabkan kedudukan serta kepentingan individu samseng berkenaan. Dalam terjemahan lain, ﺯﻧﻴﻢ dinyatakan sebagai tak tentu bapa. Iaitu menunjukkan individu berkenaan sebagai tidak dapat dipastikan nasab keturunannya.

Mencari Golongan yang Sesat

Enam ciri utama kesesatan yang dinyatakan dalam surah ini, tidak pernah menggambarkan bahawa mereka ini (1) mengamalkan ajaran 'sesat' seperti melakukan jampi-jampi serapah yang bukan-bukan, (2) mengajak manusia mengabdikan diri kepada selain daripada Tuhan, (3) menaja pembentukan kerajaan langit atau sidang parlimen roh, (4) melakukan peribadatan menyeru roh-roh tertentu ataupun (5) menambah kalimah syahadah serta (6) melakukan amalan tawasul dan zikir sebagaimana yang biasa kita dengar tuduhan sesat yang dikeluarkan oleh pihak tertentu.

Oleh itu, pertuduhan sesat harus didefinisikan dengan secara berhati-hati lantaran masyarakat telah terbiasa dengan tuduhan sedemikian sinonim dengan kufur dan syirik. Mengapakah pihak penguasa agama tidak benar-benar berkempen untuk menyedarkan muslimah yang diberi tanda pada dahinya dan mengahwini pemuda-pemuda Hindu serta beribadah di kuil-kuil sebagai individu yang 'sesat', yang harus dipulih akidahnya? Sekiranya benar mereka memerangi ajaran-ajaran kerohanian yang dituduh sebagai ‘sesat’! Mengapakah mereka tidak mengeluarkan arahan kepada ahli-ahli jawatankuasa masjid untuk mendapatkan senarai nama terkini mereka yang masih mengekalkan pengamalan Islam dan seterusnya memberi peruntukan-peruntukan tertentu supaya tenaga mereka dapat digembleng untuk tujuan dakwah? Bukan membiarkan suasana sedia ada berlaku sehingga akhirnya kita dapati terlalu ramai penganut asal agama ini telah murtad memilih agama lain lantaran habuan dunia atau kekecewaan. Tumpuan kesesatan harus ditujukan kepada :-

Pertama adalah golongan yang mendustakan. Yang mendustakan bahawa Al-Quran adalah wahyu Tuhan kepada Muhammad RasullulLah S.A.W. yang harus sampai kepada setiap individu supaya mereka dapat beramal dengan perintah-perintah Tuhan. Yang mendustakan As-Sunnah adalah contoh-contoh pengamalan RasululLah S.A.W. dalam usaha menafsir Al-Quran pada diri baginda dan para sahabat R.A.H.M.

Kedua adalah mereka yang inginkan orang-orang yang beriman bersikap lunak lalu mereka akan bersikap lunak. Mereka yang mahukan agama adalah sesuatu yang menurut pandangan mereka dan bukannya mereka yang berpandangan dengan pandangan agama.

Ketiga adalah kepada setiap mereka yang gemar bersumpah dengan hujah yang lemah. Sebahagian terjemahan dinyatakan sebagai menghina. Mereka yang menghina pengamalan agama dipraktikkan dalam jabatan-jabatan dan institusi. Mereka ini tidak harus diberi tempat sebagai pemimpin sesuatu jabatan atau institusi.

Keempat adalah kepada mereka yang suka mencela, berjalan (ke hulu ke hilir) dengan perkhabaran. Praktik terhadap golongan ini adalah kepada wartawan-wartawan, juru-juru bicara yang suka mencela sama ada di layar televisyen, video atau sebagainya. Mereka ini menjadi sesat lantaran menghambur fitnah yang dapat merosakkan perpaduan dalam masyarakat dan juga umat Islam.

Kelima adalah kepada mereka yang suka menegah kepada sesuatu kebaikan dan melampaui dalam dosa. Mereka yang menghalang peruntukan zakat daripada sampai kepada pihak-pihak yang memerlukan (iaitu asnaf yang lapan itu), adalah merupakan mereka yang suka menegah kepada sesuatu kebaikan. Mereka ini dapat dilihat bermegah-megah dengan harta. Mereka yang bersifat sedemikian seharusnya dijadikan sasaran dakwah untuk memperbetul kesesatan mereka. Bukannya mengekalkan mereka dalam jabatan yang ada kaitan dengan pengagihan wang zakat sehingga diserahkan kepada badan perniagaan sekalipun yang dinamai dengan nama Baitul Mal atau sebagainya.

Keenam adalah kepada mereka yang bersikap sangat keras, (adapun) sesudah itu, sangat diketahui kejahatannya. Individu inilah merupakan individu yang sesat yang harus diberi kesedaran dan bukannya menuduh pihak yang menganjur kebaikan sebagai sesat walau sesiapapun jua.




No comments:

Post a Comment

Popular