SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Tuesday, August 21, 2018

SURAH AS-SABAK AYAT 16 -- KEINGKARAN UMAT YANG MENEMPAH BENCANA



ﻓﺄﻋﺮﺿﻮﺍ

Lalu telah berpaling mereka ...


Maka mereka berpaling ingkar …

Keingkaran Umat Yang Membawa Bencana

Apakah yang mendorong umat berpaling daripada petunjuk Tuhan? Mereka yang inginkan cara hawa nafsu mereka dituruti dan menjauhi pengajaran Tuhan, sebenarnya telah memilih untuk menolak petunjuk Tuhan. Kesudahan bagi tindakan berpaling daripada pengajaran Tuhan adalah bencana. Sebagai contoh, jalanraya atau lebuhraya yang seharusnya menyediakan jalan terdekat untuk tujuan mengangkut hasil-hasil ladang, telah tidak dimanfaatkan secara wajar. Bahan-bahan asas untuk tujuan perladangan dan hasil ladang tempatan terpaksa melalui laluan jauh sehingga kos pengangkutan untuk tujuan berkenaan telah meningkat. Akibatnya, terjadi inflasi terhadap harga makanan dan perkara ini sedikit sebanyak telah menyusahkan kehidupan rakyat. Petani seperti pesawah dipaksa untuk membekalkan hasil tuaian mereka pada harga murah sementara orang tengah atau pengilang, menggunakan alasan peningkatan kos untuk menaikkan harga jualan mereka kepada pembeli akhir. Harga makanan tak pernah turun secara ketara sekalipun setelah cukai GST dimansuhkan.

Apabila kos usaha perladangan dan pengangkutan meningkat dengan peningkatan harga bahan bakar, akhirnya hanya mereka yang bermodal besar sahaja, yang mampu mengusahakan ladang yang luas secara intensif.  Bermodalkan kecairan yang besar dan peralatan yang mencukupi, mereka akhirnya mengambil kesempatan itu, untuk memonopoli kerja-kerja perladangan. Perkara yang terjadi di California Amerika Syarikat telah membuktikan perkara ini. Hanya mereka yang datang dari syarikat korporat besar sahaja yang mampu mengusahakan usaha pertanian pada skala besar sehingga golongan petani kecil dan korporat kecil, akhirnya terpaksa meninggalkan kebun-kebun mereka.

Perkara ini juga telah lama terjadi di negara ini atas kecuaian pemerintah sendiri. Petani atau pesawah telah dipaksa menjual hasil tuaian mereka pada harga lebih rendah dengan berbagai-bagai alasan, sementara orang tengah yang memiliki modal besar serta mesinari mencukupi dapat meraih keuntungan lebih baik daripada itu. Sekalipun harga makanan asasi dikawal oleh pihak pemerintah, dengan jumlah subsidi yang semakin terhad, orang tengah terpaksa menekan pesawah dengan pulangan rendah atas setiap usaha pesawah, supaya aktiviti mereka dapat terus berjalan. Pesawah tidak memiliki pilihan, sama ada akhirnya terpaksa menghentikan kerja mereka ataupun menggunakan sejumlah baja yang lebih banyak untuk meraih hasil lebih. Perkara ini akhirnya menjurus kepada kerosakan alam sekitar sehingga mengakibatkan perubahan cuaca ekstrem dan membiakkan lebih banyak haiwan-haiwan perosak seperti serangga charlie, siput gondang dan sebagainya.


Sekalipun kecil, serangga banyak didapati di 
kawasan bendang seperti ini, amat menyakitkan.

Institusi Keusahawanan Yang Menjahanamkan

Sejak merdeka sehingga kini, kita dapati umat Melayu merupakan golongan paling bermasalah dalam usaha mereka melakukan aktiviti pertanian mereka sendiri. Sekalipun setelah wujud institusi yang disediakan oleh kerajaan, mereka masih terkapai-kapai dalam usaha untuk menjadi petani moden yang berjaya. Pegawai-pegawai yang dilantik, seringkali membebankan petani-petani, dengan pinjaman dari institusi kewangan tertentu sebelum suatu usaha pertanian itu dijalankan. Mereka lebih menyenangi untuk menerima hadiah-hadiah tertentu dari taukeh-taukeh pembekal baja yang dipaksa digunakan oleh petani, berbanding usaha bersungguh-sungguh untuk membantu para petani. Petani yang telah menerima kelulusan pinjaman kewangan melalui sokongan pegawai berkenaan, terpaksa menerima sahaja keadaan itu. Kemudian pegawai berkenaan meletak syarat, hanya jenis tanaman tertentu sahaja yang harus diusahakan oleh petani dan bukannya pilihan petani itu sendiri. 

Dengan kos usaha pertanian yang tinggi, petani-petani berkenaan tidak akan berjaya melepasi tahap ekonomi mereka yang rendah dan akan sentiasa ‘dipaksa’ menjadi sekadar petani tahap rendah selamanya. Setelah berlalu tempoh masa yang panjang, kini kita dapati usaha pertanian lebih dimonopoli oleh kaum lain dan mereka lebih maju dalam usaha pertanian mereka, sehingga melibatkan pengurusan eksport ke luar negara.  Begitu juga dalam hal aktiviti perikanan. Pegawai perikanan yang dilantik lebih senang untuk menerima rasuah daripada nelayan luar yang sanggup meragut hasil perikanan habis-habisan dari perairan negara. Pegawai-pegawai berkenaan tidak perduli langsung terhadap pembenihan ikan jangka panjang dan juga tidak ambil perduli terhadap kerosakan ekosistem perairan negara.




No comments:

Post a Comment

Popular