SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Saturday, July 29, 2017

SURAH AL-MUZAMMIL AYAT 12 -- LINGKARAN KEHIDUPAN YANG MEMERITKAN


ان لدينا انكالا و جحيما


Sesungguhnya di sisi Kami jualah, lilitan kukuh dan neraka Jahim (76:04). 

kerana Sesungguhnya di sisi Kami disediakan (untuk mereka) belenggu-belenggu dan neraka Yang menjulang-julang,

i.    Lilitan Dalam Kehidupan

Lilitan kukuh menyebabkan seseorang sentiasa dibelenggu oleh kitaran kehidupannya sendiri. Mereka memilih jalan menyusahkan diri mereka sendiri dengan sistem interes atau riba, untuk mendapatkan kemudahan segera. Sebenarnya mereka sendiri memilih keperitan hidup yang berpanjangan. Tidakkah mereka menyedari bahawa perintah Tuhan yang menghalang mereka daripada mengamalkan sistem riba secara berganda-ganda? Yang paling malang sekali apabila pengambilan melalui sistem riba itu, adalah untuk bertujuan bermegah-megah seperti sentiasa menukar ganti kenderaan. Mereka juga sering melakukan pembiayaan semula untuk memperolehi kecairan tunai yang sedikit, berbanding tanggungan hutang berpanjangan. Kepada mereka jualah lilitan kehidupan yang berpanjangan (85:19).

Apabila ahli masyarakat berterusan amal riba,
akan sampai masanya mereka tak upaya
berbelanja kerana kekurangan wang akibat
sentiasa bayar hutang.

Mereka memilih untuk melaksanakan suatu undang-undang melalui sistem jalan pemikiran manusia. Akibatnya, mereka melaksanakannya supaya undang-undang itu dipatuhi oleh orang ramai, namun mereka sendiri akhirnya membolosi undang-undang yang mereka sendiri rekacipta. Sudah tentu mereka mengaplikasi undang-undang tersebut bukan dengan rasa tanggungjawab atau rasa berdosa, lantaran akibat buruk yang perlu mereka yakini untuk ditanyai di hadapan Tuhan nantinya. Akhirnya sampai suatu masa, undang-undang digunakan untuk membela penjenayah, mengaut hasil daripada perlanggaran undang-undang daripada orang ramai dan menjatuhi hukuman kepada mereka yang tidak bersalah secara menganiaya.

Apabila sistem undang-undang rekaan itu tidak lagi boleh diharap, maka orang ramai akan meletakkan undang-undang di tangan mereka sendiri. Mereka tidak lagi menghormati institusi polis, kehakiman, parlimen dan sebagainya. Kesukaran hidup kembali kepada orang ramai dan pemerintah yang mereka sendiri lantik, sehingga berlakulah pelbagai masalah melibatkan ekonomi, perkauman, perundangan dan sebagainya. Kepimpinan negara tidak lagi dapat mengatasi masalah rakyat secara berkesan.


Apabila undang-undang tidak lagi dihormati,
inilah yang terjadi.

ii.    Lilitan Kehidupan Yang Akan Kembali

Kepada mereka jualah, kembali masalah ciptaan mereka (85:19). Ke manakah golongan bangsawan itu membolot wang negara? Mereka membawanya keluar negara untuk disadaqahkan kepada bank-bank luar seperti Bank Swiss, yang menanti peluang kepimpinan 'penjenayah' itu dibuktikan bersalah oleh mana-mana mahkamah, lalu membekukan aset tersebut. Wang yang dibekukan itu sebenarnya mereka rampas untuk kepentingan negara mereka. Akibatnya, nilai wang negara ini menjadi semakin mengecil. 

Berbanding dengan nilai satu gram emas yang tidak pernah berubah, ringgit mengalami penyusutan lebih teruk lagi daripada RM 25 setiap 1 gram kepada RM 85 setiap 1 gram dan jatuh lagi kepada RM 145 setiap 1 gram emas. Beginilah pemegang-pemegang amanah negara mengurus negara dan sumber ekonominya dengan cara yang sangat cekap! Mereka sebenarnya akan mengulangi pengalaman kerugian rakyat Indonesia yang mengalami kejatuhan wang daripada Rp100 setiap USD1 kepada Rp5000 setiap USD1, sementara itu nilai emas semakin meningkat berbanding dollar US daripada USD10 setiap gram kepada USD50 untuk setiap gram. 

iii.    Penipu Rakyat Yang Tertipu 

Kegilaan pengurus-pengurus dana negara membolot kekayaan sewenang-wenangnya, selayaknya dapat digelarkan sebagai golongan yang terpedaya dengan habuan dunia dengan menambah-nambah kekayaan serta menyangka mereka akan kekal berkeadaan sedemikian. Nanti akan diperlihatkan kepada mereka neraka Jahim sebaik sahaja mereka melalui kematian mereka (102:1-8). Mereka ingin untuk menipu rakyat di negara yang laungan azan masih berkumandang. 

iv.     Pembolotan Yang Menyusahkan Rakyat

Apakah ertinya pembolotan itu, sekiranya nilai ringgit jatuh lagi kepada RM200 untuk setiap gram emas? Mereka yang bermegah dengan pemilikan dan kenderaan yang mereka sukai sebelum ini melalui kaedah riba serta memperleceh orang lain - yang mereka pandang rendah dari sudut pemilikan, sebenarnya berada dalam keadaan situasi tertipu. Mereka telah tertipu dengan sistem yang diwujudkan oleh golongan ingkar. Mereka ini bukan sepatutnya menjadi sasaran dakwah. Mereka lebih merelakan diri menghabiskan masa dengan kehidupan mereka untuk menyelesaikan hutang riba dan melupai kepentingan mengambil berat tentang permasalahan masyarakat dan negara serta keadaan kelam kabut mukabumi ini. Pada mereka, sekiranya berlaku kemusnahan, yang musnah adalah masyarakat dan negara serta bumi yang mereka berada padanya dan bukan diri-diri mereka sendiri. 


Sistem ekonomi berasaskan riba akhirnya 
mengakibatkan kesan jangka panjang 
yang memusnahkan ekonomi itu sendiri.

Kegemaran memperbanyak harta serta bilangan anak-anak mengakibatkan mereka akan diperlihatkan neraka Jahim dengan penglihatan yang meyakinkan (102:6/7). Di akhirat nanti mereka akan ditempatkan di tempat yang begitu istimewa. Derita mendiami neraka, diberi kepada mereka minuman mendidih, nanah serta air kumbahan dan juga makanan yang menyumbat tekak.

Sebahagian penderitaan ini telah disebutkan dalam surah Nun sebelum ini dan juga surah-surah selepas ini. Membayangkannya sahaja, sudah dapat dirasai deritanya.


Sunday, July 23, 2017

SURAH AL-MUZAMMIL AYAT 11 -- TINGGALKAN GOLONGAN PENDUSTA UNTUK BERSAMA TUHAN MENANGGUNG BEBAN


و ذرنى و المكذبين
اولى النعمة و مهلهم قليلا

Dan bebanilah olehmu akan Daku dan golongan yang mendustakan, pemilik kenikmatan itu dan beri tangguhlah olehmu akan mereka, sedikit.

dan biarkanlah Aku sahaja membalas orang-orang Yang mendustakan (bawaanmu) itu, orang-orang Yang berada Dalam kemewahan, dan berilah tempoh kepada mereka sedikit masa;

Hanya kerana pemilikan yang hakikat sebenarnya manusia tidak memiliki apajua daripada sebarang pemilikan di dunia ini, lalu mereka mendustai. Untuk apa didekati mereka ini untuk seruan dakwah kerana hasilnya sama sahaja. Seringkali golongan seperti ini memberi tentangan hebat terhadap seruan dakwah. Demikian itu keadaan yang ditanggung oleh RasululLah S.A.W. Ada kalanya dakwah perlu ditujukan hanya kepada golongan yang miskin lantaran mereka lebih mudah menerima hakikat diri mereka tidak memiliki diri mereka sendiri berbanding golongan kaya. 


Apasaja yang kita 'punyai', 
semuanya Allah yang punya.

Apakah yang dilakukan oleh golongan kaya dan ‘harta’nya itu? Mereka menghabiskannya untuk kerosakan. Mereka merosakkan alam dengan membakar lebih banyak hidrokarbon ke atmosfera. Mereka jualah golongan yang membuang banyak sampah, hasil daripada aktiviti perniagaan atau perkilangan sehingga menyingkirkan banyak gas metana yang memerangkap banyak haba. Mereka sanggup membayar melalui aktiviti rasuah untuk menghalalkan tindakan memusnahkan hutan-hutan dan kawasan-kawasan tadahan yang memerlukan pemuliharaan. Lantaran jurang ekonomi, mereka berusaha mendapatkan khidmat manusia dengan cara menindas. Mereka jualah penyumbang kepada masalah sosial yang sanggup berbelanja untuk aktiviti maksiat. 

Siapakah yang lebih banyak menghidupkan pusat-pusat hiburan kalau bukan mereka? Bahkan golongan seperti inilah orang-orang yang beriman diperintahkan untuk tidak mentaati mereka dalam apajua urusan (76:24) dan mereka juga bukan sasaran dakwah yang diutamakan.

i.    Bebani Aku dan Golongan Pendusta Itu

Golongan pendusta adalah golongan sesat (68:08). Oleh itu kerja menyeru mereka untuk beriman, bukan kerja mudah. Kerja menyampaikan risalah Tuhan seringkali diikuti dengan rasa sedih, marah dan sakit hati akibat tindakan golongan yang mendustai risalah kerasulan. Tuhan telah mengarahkan golongan yang beriman supaya tidak terbawa-bawa dengan rasa sedemikian dan menyerahkan bebanan itu terus kepada Tuhan dan juga kepada pihak yang mendustakan risalah ini. 

ii.   Siapakah golongan yang mendustakan?

Kita telah membincangkan hal yang sedemikian dalam surah Nun (Al-Qalam) sebelum ini. Golongan yang mendustakan adalah mereka yang sesat. Sesungguhnya, mereka jualah golongan sombong tak kesampaian. Tak seberapapun pemilikan mereka berbanding pemilikan institusi kewangan yang menganiaya mereka dan apajua yang dijanjikan Tuhan di akhirat nanti. Sejarah telah membuktikan, apabila berlaku ketepuan perdagangan antarabangsa akibat pengamalan sistem riba, penjudi-penjudi pasaran hadapan menjadi penentu kepada pasaran komoditi dunia. Melalui mereka, permintaan terhadap keperluan komoditi semakin meningkat dan akhirnya harga komoditi tidak terkawal. Dengan kos pengeluaran yang meningkat untuk mendapatkan bahan-bahan mentah seperti bahan bakar petroleum, getah dan bijih galian, akhirnya suatu tekanan inflasi besar akan terjadi sehingga mengakibatkan negara-negara yang memiliki kekuatan ketenteraan, hilang sabar. 

Peningkatan terus harga bahan-bahan mentah telah menjadi petanda awal sebelum berlakunya Perang Dunia I dan II. Keadaan yang serupa kini berlaku semula beberapa tahun dahulu, dicetuskan oleh kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, sehingga Amerika Syarikat terpaksa menyerang negara kecil yang memiliki sumber bahan mentah seperti Iraq dan memecah-belahkan Sudan bagi menguasai sumber bahan bakar negara itu. 

iii.   Beban Yang Bertambah-tambah

Namun tekanan inflasi yang berterusan terus menjangkiti negara-negara Arab lain sehingga menyebabkan tersungkurnya rejim-rejim pemerintahan mereka, yang sebelum itu mengambil kesempatan besar meraih kemewahan akibat peningkatan harga komoditi. Penjudi-penjudi pasaran hadapan masih berterusan mengambil kesempatan di atas keadaan ekonomi dunia yang terus meruap. Harga getah yang dahulunya hanya RM1.50 sekilogram pernah mencapai RM15.00 sekilogram. Begitu juga harga minyak mentah petroleum pada USD 28 setong pernah mencecah USD 140 setong. Kenaikan ini akan mengakibatkan negara-negara yang memiliki kekuatan persenjataan akan merancang untuk memulai peperangan yang dipaksakan ke negara-negara lain demi menguasai sumber bekalan. 

Dalam pada itu, keadaan pemilik kemewahan di mana-mana juapun tidak dapat memanipulasi harta dengan berkesan disebabkan oleh peningkatan kos mengurus pekerjaan mereka. Rakyat yang rata-ratanya hidup dalam kesempitan memulai pemberontakan melawan pemerintah kerana mereka menyangka pemerintah telah menganiayai mereka. Di mana jua sekarang ini, melalui gerakan pembangkang atau pemberontakan, satu demi satu peneraju kerajaan sedia ada telah tumbang. Tunisia, Mesir, Libya, kini dikuti dengan Yaman, Bahrain dan juga Syria. Pemerintahan kuku besi telah ditumbangkan di Indonesia dan Filipina. Kita hanya mengharapkan keamanan di negara ini.

Inflasi sering kali dikaitkan dengan rusuhan rakyat.

Pemberontakan rakyat adalah kesan domino rancangan 
peringkat tinggi untuk menguasai pemerintahan di bumi.
KESABARAN kita dalam apajua hal, amat-amat 
diperlukan sekarang ini.

Monday, July 17, 2017

SURAH AL-MUZAMMIL AYAT 10 -- LAKUKAN KERJA YANG DIPERINTAHKAN DAN BERSABAR


و اصبر على ما يقولون
و اهجرهم هجرا جميلا

Dan bersabarlah olehmu atas apa yang mereka perkatakan dan tinggalilah  olehmu akan mereka dengan suatu peninggalan yang cantik.

dan Bersabarlah terhadap apa Yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka Dengan cara Yang baik.

i.    Bersabar Terhadap Kepimpinan
      Yang Buruk

Pertimbangan manusia secara umumnya menganggapkan bahawa pemilikan bermakna kebenaran. Kekayaan adalah ukuran. Sehingga apabila kepimpinan negara sebelum ini sanggup berhutang besar dari sumber-sumber luar dan dalam dan mengakibatkan projek-projek pembangunan kemewahan dapat dilaksanakan, rakyat secara umumnya mengambil pendirian menyokongnya. 

Namun, apabila kepimpinan tersebut, tidak lagi sanggup menanggung tekanan inflasi berterusan terhadap ekonomi negara (akibat hutang dan kemurungan ekonomi), ia akhirnya mengambil jalan meletak jawatan atau disingkirkan. Maka, penggantinya terpaksa menanggung beban kesan inflasi yang besar berkenaan terhadap rakyat. 

Lalu rakyat hidup susah. Pengangguran dan kejadian jenayah meningkat dengan mendadak. Masalah sosial semakin menjadi-jadi akibat kesilapan kepimpinan terdahulu yang kurang bertanggungjawab. Semua itu terjadi kerana ia hanya meletakkan agenda kemewahan dalam hidup dan bukannya tanggungjawab sebagai khalifah Tuhan. 


Kadar jenayah yang meningkat sebenarnya
berkaitan dengan masalah ekonomi.

Lalu akhirnya dipersalahkan kepimpinan baru yang berhempas pulas mengurangkan kesan inflasi akibat kerja-kerja kepimpinan terdahulu. Dahulu, mereka yang menyokongnya sanggup memperleceh pendakwah, yang terdiri daripada golongan beriman, yang memilih hidup berjimat cermat dan mengambil berat terhadap ahli keluarganya serta ahli-ahlinya dan menghindari sistem larangan Tuhan seperti riba secara berhati-hati. Kini, mereka pula yang menderita dengan ekonomi yang lembab, pulangan yang tidak memadai dan penderitaan menanggung interes atau riba yang berganda-ganda. 

Mereka ini harus dihindari daripada gerakan dakwah lantaran mereka, yang akan merayau-rayau sehingga mengakibatkan kesukaran gerakan dakwah. Siapakah yang bertanggungjawab sehingga berlaku defisit besar dalam imbangan ekonomi negara kalau bukan mereka? Maka wajarlah mereka yang menanggung akibat daripada kesan jangka panjang inflasi. Tinggalkan mereka dengan secantik-cantik peninggalan. Akibat buruk untuk mereka yang menentang ayat-ayat Tuhan dan terumbang-ambing dalam kehidupan.

 ii.    Permasalahan Yang Muncul Kini

Kemurungan ekonomi dan defisit yang besar, sedia menambahkan perbelanjaan rakyat dalam bentuk cukai, saman atas kesalahan sama ada yang disengajakan atau yang tidak disengajakan. Peningkatan harga keperluan asas seperti makanan dan kenaikan harga bahan bakar pastinya meningkatkan beban rakyat. Rakyat hidup tertekan sehingga kejadian pembunuhan atau bunuh diri berlaku hampir setiap hari. Kes-kes jenayah meningkat dengan ketara, permasalahan sosial semakin menggila dan hubungan sesama manusia lebih buruk daripada sesama haiwan. Peningkatan nilai hartanah sebenarnya tidak menjanjikan apa-apa kepada institusi kewangan, hanya sekadar menunjukkan situasi inflasi yang membelon besar. Untuk melambatkan berlakunya kejadian letusan ekonomi, pemilik-pemilik kemewahan seperti institusi-institusi kewangan, terpaksa mendesak pemerintah dan pelindung nilai untuk menggadai maruah negara dengan membuka pasaran hartanah kepada pihak asing. Mereka ini sentiasa menanti-nanti peluang mengambil alih kepentingan kemewahan negara seberapa banyak yang boleh.

Apabila ekonomi merudum, bantuan seperti
BR1M tidak lagi banyak membantu.

Tindakan sedemikian yang meningkatkan nilai pasaran hartanah, tidak boleh dinyatakan sebagai akibat daripada ransangan pemulihan ekonomi. Institusi kewangan hanya mahukan wang mereka kembali yang telah dilaburkan untuk tujuan pembangunan hartanah. Mereka tidak perduli terhadap peratus pemilikan asing yang semakin meningkat. Mereka tidak perduli terhadap aktiviti sedemikian, yang sebenarnya tidak membantu peredaran wang dalam pasaran. Kenaikan harga tidak didorong oleh pertumbuhan ekonomi tetapi sebenarnya oleh pertumbuhan hutang dalam negara. Lebih banyak bangunan-bangunan baru didirikan dan lebih banyak bangunan lama akan terbiar. Semakin banyak pasaraya-pasaraya milik asing didirikan, akibatnya semakin banyak asset negara menjadi hak milik asing dan nilai wang yang dibawa keluar dari negara ini, akhirnya meninggalkan wang negara yang semakin kecil nilainya.

Antara perkara yang diperintah Tuhan dalam ayat berikut adalah untuk membiarkan sahaja perlakuan mereka dan pendakwah tidak harus mendahului Tuhan dengan beria-ia menjadikan mereka sebagai sasaran dakwah atau cuba melaksanakan kempen memberitahu rakyat terhadap salah guna kuasa oleh kepimpinan. Sasaran dakwah adalah kepada golongan dha’if yang menempuh kesukaran hidup. Kerana kesukaran jualah, mereka telah digelapkan daripada usaha mengingati Tuhan selama ini. Sebahagian mereka terpaksa memilih corak hidup melalui percaturan ekonomi yang telah dikepung ke atas mereka. Mereka terpaksa berhutang semata-mata untuk memenuhi keperluan hidup seperti untuk makan, mendapatkan rumah kediaman dan kenderaan keperluan untuk bekerja.






Tuesday, July 11, 2017

SURAH AL-MUZAMMIL AYAT 9 -- TUHAN YANG MENGUASAI TIMUR DAN BARAT


رب المشرق و المغرب
لا اله الا هو فاتخذه وكيلا

Tuhan, Tuan, Pemelihara timur dan barat, tiada sembahan melainkan Dia, maka ambillah oleh kamu akanNya sebagai wakil.

Dia lah Tuhan Yang Menguasai timur dan barat; tiada Tuhan melainkan dia; maka Jadikanlah Dia penjaga Yang menyempurnakan urusanmu.

i.     Penyerahan Hanya Kepada 
       Tuhan Semata-mata

Mengapakah terjadinya demikian? Tentera Taliban Afghanistan tidak menerima sebarang biaya daripada mana-mana pentadbiran negara, tidak seperti Mujahideen dahulu yang menerima bantuan daripada kerajaan Arab Saudi dan Pakistan, bahkan menerima sumbangan senjata daripada Amerika Syarikat. Dengan menerima pakai gelaran Mujahideen Sokongan Amerika sedemikian, ada logiknya Soviet Russia akhirnya dapat ditewaskan. Sehingga kini, tiada mana-mana negara berani membantu Taliban Afghanistan secara terang-terangan. Yang ada hanyalah bantuan kecil-kecilan daripada individu atau kumpulan Islam negara-negara lain, lantaran khuatir dituduh sebagai penyokong pengganas. Akibatnya, keadaan tentera Taliban Afghanistan amat mendesak sekali. Mereka tidak lagi dapat mengawal Afghanistan sebagai pengeksport candu terbesar dunia yang dinamai ‘black opium’. Kehadiran tentera Amerika Syarikat sendiri tidak dapat menghalang penanaman dan penyeludupan candu terbesar dunia itu hingga ke tepi-tepi jalan di bandaraya New York. 


Perkara yang pihak Barat kehendaki untuk
berlaku di Afghanistan.

Pejuang Islam sehingga kini masih memberi tentangan kepada tentera Amerika Syarikat dengan kematian purata tentera asing itu seorang sehari. Itu sudah cukup untuk meningkatkan belanja ketenteraan musuh mereka. Hanya dengan ibadah malam serta keyakinan kepada Tuhan, menyebabkan tentera Taliban Afghanistan sehingga kini masih dapat bertahan. Tentera Taliban Afghanistan harus dikenali sebagai Taliban Yang Mengganasi Amerika Syarikat. Mereka tidak berpecah-belah sepertimana Mujahideen dahulu. Kesilapan mereka kalau ada barangkali, terlalu mengutamakan perbelanjaan ketenteraan sehingga mengabaikan perut simiskin. Demikian itu adalah dimaklumi disebabkan sumber mereka adalah sangat terhad. Dengan hanya mengambil Tuhan sebagai wakil atau penolong, sesungguhnya Tuhan jualah yang memiliki Timur dan Barat. Dia jualah yang memiliki kekuasaan ke atas pihak Barat bahkan pihak Timur, sehingga suatu masa Dia berkuasa menemukan mereka dalam peperangan yang amat hebat amat panjang tempohnya. Dia sedang mengusahakan ke arah itu, tidak disedari oleh pihak Timur tetapi disedari oleh pihak Barat.

ii.    Musuh Yang Sedang Memerangi 
       Masa Depan

Sesungguhnya Barat mengetahui Timur akan menyerang Barat. Hanya tidak mengetahui mengapa pada situasi kini, Timur perlu menyerang Barat? Hanya Timur belum menyedari mengapa mereka terpaksa menyerang Barat? Ini menyebabkan Barat terpaksa terlebih dahulu menyerang Timur untuk kali kedua selepas zaman pra-kemerdekaan, sehingga mereka amat berlaku zalim dan akhirnya umat Islam berada di bawah satu khalifah pemerintahan yang akan mengarah mereka untuk menyerang Barat di atas kezaliman Barat. Jalan ke arah itu semakin dapat disaksikan kini. Dengan beralihnya pemerintahan negara-negara Timur Tengah, kemakmuran rakyat akan meningkat sedikit demi sedikit. Sehingga suatu masa nanti bantuan sama ada dalam bentuk persenjataan atau harta, akan sampai ke tangan umat Islam yang selama ini ditindas. Sedikit demi sedikit, mereka akan dapat menambah kerugian pihak Barat, yang selama ini telah menderita dengan belanja peperangan yang banyak. 


Tipudaya dan perancangan yang dilakukan
untuk menindas umat Islam, amatlah dahsyat.

iii.    Bantuan Tuhan Yang Tidak Terduga

Bantuan daripada Tuhan selalunya meliputi perkara-perkara yang tidak diduga. Kesilapan percaturan pihak Barat sehingga melemahkan kedudukan ekonomi mereka memaksa mereka membuka peluang pasaran di negara-negara membangun dalam bentuk pelaburan baru untuk meraih hasil. Mereka tiada pilihan melainkan membuka pintu ekonomi kepada negara-negara umat Islam sehingga sebahagian umat ini dapat membantu pejuang-pejuang jihad dengan senjata yang canggih serta jitu. Dalam keadaan menempuh kesukaran, pejuang-pejuang jihad sentiasa dapat memeranjatkan pihak musuh sehingga keberadaan musuh mereka di negara umat Islam itu, telah dipertikaikan oleh sebilangan besar rakyat mereka sendiri.

Siapa sangka Russia, musuh umat Islam suatu masa
dahulu, kini menyebelahi Taliban Afghanistan. 

iv.    Akhirnya Mereka Terpaksa 
        Memilih Jalan Berlembut

Menyedari hakikat bahawa mereka tidak akan dapat memenangi pertempuran itu, mereka memilih untuk menjalankan kempen pemurtadan ke atas umat Islam di negara umat Islam, melalui kaedah umpanan harta, perangkap cinta serta tekanan inflasi yang menyesakkan hidup rakyat. Mereka memerlukan perbelanjaan yang besar untuk memastikan usaha sedemikian ini berjaya kerana sebenarnya mereka sudah tidak lagi sanggup untuk mengeluarkan lebih banyak perbelanjaan untuk tujuan peperangan yang sangat lama. Oleh yang demikian, apakah peranan kita kini? Haruskah kita membiarkan sahaja tindakan musuh-musuh kita ini? Hanya satu cara sahaja untuk menghadapi keadaan ini iaitu dengan cara kembali semula kepada pengajaran Al-Quran, kembali mempelajari satu demi satu ayat-ayat Al-Quran, kembali beriman kepada Tuhan dengan mengenepikan segala bentuk kesyirikan, kembali mengambil berat sesama umat sebagaimana yang pernah dilakukan dahulu oleh para sahabat RasululLah R.A.H.M. dan tabi'in serta tabi'-tabi'in selepas itu. Inilah kehidupan sunnah RasululLah S.A.W. dan sunnah para sahabat.




Tuesday, July 4, 2017

SURAH AL-MUZAMMIL AYAT 8 -- PERBANYAKKAN ZIKIR MENGINGATI NAMA TUHAN


و اذكر اسم ربك و تبتل اليه تبتيلا

Dan ingat-ingatlah olehmu akan nama Tuhanmu dan kamu bersikap tekun kepadaNya setekun-tekunnya. 

dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadanya Dengan sebulat-bulat tumpuan.

Demikian itu adalah matlamat golongan yang beriman, Allah dan sentiasa menuju Allah. Jalan mendekatkan diri kepada Tuhan adalah dengan cara yang Dia sendiri syorkan iaitu mendalami pengajaran dan berusaha untuk mematuhi setiap perintahNya. Kita bahkan biasa mendapati di negara-negara umat Islam di mana pengajian Islam telah dimulai daripada kanak-kanak lagi sehingga mencapai baligh. Kemudian setiap individu itu diarahkan untuk melaksanakan perkara-perkara yang diwajibkan sehingga dapat meningkat ke tahap pengajian yang lebih tinggi. Pengajian tinggi seperti pengajian pondok Az-Zaitun di Indonesia adalah merupakan contoh pengajian agama yang dikemaskini sehingga terbentuknya madrasah Islam yang terkenal di Nusantara. Agama tidak begitu mengajari umatnya untuk membina perkara-perkara keduniaan namun apabila dilihat keadaan pusat pengajian sedemikian, dapat kita simpulkan bahawa sistem pendidikan yang mereka bentuk, walaupun bermula dengan dana kutipan yang mereka sendiri lakukan akhirnya dapat membentuk sebuah pengajian ulung menandingi universiti-universiti yang dibina dengan dana kerajaan sepenuhnya. Dunia mereka sudah menampakkan sedikit kejayaan. Perkara keduniaan telah memburu mereka bukan sebaliknya.


Dari sebuah pondok kini menjadi
sebuah maahad yang besar.

i.     Bangun Malam Untuk Menelaah Al-Quran 
       dan Dan Menyebut Nama Tuhan

Pengajar-pengajar mereka mendidik pelajar-pelajar mereka untuk melakukan amalan menghidupkan malam sehinggalah mereka dapat menghasilkan jiwa-jiwa yang cekal dan berusaha memperbaiki keadaan kehidupan mereka. Mereka sebenarnya contoh kepada pendidik-pendidik masyarakat. Pengajian-pengajian Islam yang ditubuhkan di Pakistan, menyediakan ruang pendidikan kepada anak-anak yatim dan miskin pelarian Afghanistan akibat pencerobohan Uni-Soviet. Di atas penderitaan mereka, mereka masih dapat menubuhkan sebuah madrasah yang memberi didikan kepada anak-anak mereka sehinggalah kepada kepentingan jihad. Setelah kebangkrapan komunis Russia yang berjuang selama 10 tahun yang akhirnya terpaksa berundur dari Afghanistan, Amerika Syarikat telah melihat bahawa mereka ini adalah ancaman kepada dunia Barat dan berusaha merencana tipudaya sehingga membawa kepada penyerangan Afghanistan sekali lagi. 

Tenaga-tenaga muda Taliban Afghanistan kini menghadapi tentera Amerika Syarikat. Kecekalan mereka sanggup bertahan dalam menghadapi tentera Bersekutu Barat adalah hasil daripada ibadah malam yang mereka laksanakan. Peperangan taktikal telah berlalu dalam tempoh yang lama dan sehingga kini Amerika Syarikat telah mengeluarkan terlalu banyak biaya untuk peperangan. Sehingga ke suatu masa, perbelanjaan ketenteraan Amerika Syarikat melebihi USD 1,000,000, 000,000 dan wang mereka menjadi semakin mengecil berbanding wang negara-negara lain. Jumlah itu sekiranya ditukarkan kepada setiap seratus ringgit, disusun sehingga mencapai ketebalan ½ kaki dan secara melintang, dapat disusun sejauh lebuhraya dari Johor Baharu hingga ke Padang Besar. 

Tentunya Amerika Syarikat akan sampai suatu tahap yang mana mereka tidak sanggup untuk bertahan dan tidak sanggup untuk berundur lantaran malu dikatakan tewas. Namun sekiranya Amerika Syarikat tewas sepertimana Soviet Russia, dunia seterusnya berada di ambang bahaya akibat perluasan wilayah Islam yang akan menguasai dunia seluruhnya, lantaran terbukti mereka jualah tentera yang paling gagah di dunia ini dapat menewaskan semua kuasa besar dunia.


Tentera Taliban Afghanistan yang gagal
ditewaskan tentunya menjanjikan bahaya 
yang bersangatan kepada seluruh dunia.

ii.     Pertolongan Diperolehi Dengan Banyak 
        Mengharap Kepada Tuhan

Ketekunan pejuang-pejuang pada jalan Tuhan mengingati Tuhan sepanjang masa semampu mereka dan kekuatan yang mereka perolehi kesan daripada qiamul layl, berjaya melemahkan kekuatan perbelanjaan ketenteraan musuh serta latihan-latihan fizikal yang musuh mereka telah lalui. Trauma serta ketakutan musuh mereka, adalah dengan terserlahnya bilangan kejadian bunuh diri dalam kalangan musuh serta penggunaan dadah yang berat untuk menghilangkan kegelisahan dan rasa takut yang berpanjangan. Serangan-serangan singkat dan mengejut membuatkan musuh mereka sering membilang detik-detik kematian. Mereka sebenarnya lebih takutkan ledakan pertama berbanding pertempuran terbuka. Lebih banyak ledakan pertama sudah memadai untuk mereka menjadi gila. Akhirnya mereka kembali ke negara mereka dalam keadaan banyak menghabiskan belanja rawatan trauma yang mereka alami. Mereka sebenarnya tidak pernah menang sejak di Vietnam, Afghanistan, Iraq dan kini di Palestin. Perbelanjaan melebihi USD1 trillion dollar dalam tempoh 10 tahun peperangan (sehingga 2011) adalah merupakan perbelanjaan yang cukup besar berbanding semua peperangan sebelum ini. Sekalipun jumlah korban tentera tidak begitu ramai, perbelanjaan strategik seperti kemusnahan peralatan peperangan serta perbelanjaan sara hidup sekitar 140000 bilangan tentera setiap hari, telah menyebabkan wang dollar Amerika Syarikat semakin mengecil dan membawa keperitan kepada kehidupan rakyat. 


Mereka terlalu banyak berbelanja untuk 
tujuan peperangan

Rakyat mereka kemudiannya berarak di bandaraya New York membantah percaturan Wall Street dalam peperangan.

Rakyat Amerika yang semakin kesusahan.


Popular