SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Wednesday, August 24, 2016

SURAH AL-BAQARAH AYAT 121 -- BACALAH AL-QUR'AN MENURUT CARA YANG BENAR


ﺍﻟﺬﻳﻦﺀﺍﺗﻴﻨﻬﻡﺍﻟﻜﭡﺐﻳﺘﻠﻮﻧﻪ
ﺣﻖﺗﻼﻭﺗﻪﺍﻭﻟﺌﻚﻳﺆﻣﻨﻮﻥﺑﻪ

Orang-orang yang telah beri Kami akan mereka Al-Kitab, mereka membaca akannya sebenar-benar bacaannya, mereka itu, mereka beriman dengannya…

Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya;

Orang-orang yang mengambil ayat-ayat Allah sebagai petunjuk dan tidak menuruti hawa nafsu golongan berkepentingan, termasuk yang berusaha menuruti cara Yahudi dan Nasrani, mereka itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan mereka membaca kitab Allah dengan sebenar-benar bacaan.

i.   Membaca Dengan Cara Tak Benar
     Membawa Akibat Yang Tak Benar

Pada hari ini kita melihat sikap sesetengah golongan Ahli Kitab sama ada mereka itu Yahudi, Nasrani ataupun umat Islam, amat gemar merujuk perkara-perkara agama berdasarkan satu-satu ayat dan kemudiannya melompat kepada ayat-ayat lain. Sedangkan ayat-ayat yang dibaca tidak dapat diperhatikan kaitannya dengan ayat sebelumnya mahupun ayat-ayat sesudahnya, yang sedia tertulis dalam kitab mereka. Beginilah mereka memotong urusan Tuhan dan mereka yang melakukan perkara sedemikian terdiri daripada yang telah diiktiraf sebagai ilmuwan agama. Mereka berada dalam institusi pemerintahan dan mereka telah dilatih khas untuk melakukan pekerjaan memotong urusan Tuhan demi suatu kepentingan. 

Begitu juga terhadap kepimpinan firqah, bahkan sehingga terdapat kepimpinan firqah tertentu yang memetik ayat-ayat tertentu dari Al-Qur’an untuk menghalalkan darah sesama ahlul Ka'abah yang lain, semata-mata atas alasan, terdapat amalan ibadat pada golongan lainnya itu yang dianggap sebagai bid’ah. Dalam menghadapi golongan yang mereka dakwa sebagai sesat pada pandangan mereka, mereka tidak menghadapinya dengan cara hukuman Al-Qur’an tetapi dengan cara hukuman bunuh serta cara peperangan.  

Inilah akibatnya apabila satu-satu perintah hanya
difahami dengan merujuk satu-satu ayat tertentu
semata-mata. Mereka ini menghasilkan kefahaman
Al-Qur’an yang amat korup. Kiranya mereka
memahami Al-Qur'an cara sebegini, tiada bezanya
antara kefahaman mereka dengan Isis.

ii.  Anda Ulama? Belum Tentu Ulama.

Ulama-ulama silam seperti Imam Abu Hassan As-Sya’ari, Al-Mathuridhi, Imam Al-Ghazali dan Al-Junaidi amat bertegas dalam soal perpaduan ummah. Mereka tidak akan semudahnya menggunakan autoriti pengetahuannya untuk menuduh sesat kepada pihak lain sekalipun mereka bertentangan pendapat serta berbeza kefahaman pada sudut aqidah. Bahkan Imam Al-Ghazali sendiri sanggup menyertai golongan sufi dan beruzlah untuk mendapatkan kefahaman tentang jalan yang dilalui oleh ahli-ahli kerohanian. Kita harus akui dalam mempelajari serta memahami ayat-ayat Al-Qur’an, akan terdapat kefahaman yang berlainan sekalipun merujuk kepada ayat yang sama dan keterbukaan untuk menerima pandangan lain sebenarnya adalah sikap sebenar ahli-ahli ilmu.

iii.  Perpecahan Umat Islam Yang Harus Difahami

Perpecahan umat Islam mula berlaku pada zaman Khalifah Uthman R.A. Asas perpecahan terjadi apabila terdapat sebahagian umat Islam telah mementingkan hawa nafsu supaya mereka dapat kekal menguasai sebahagian wilayah Iraq untuk menguasai kawasan pertanian yang subur. Mereka itu adalah kaum Kurdish yang mendokong kepimpinan gabenor yang datang daripada ahli keluarga khalifah sendiri. Setelah Khalifah Uthman R.A. memerintahkan bahawa tanah yang mereka usahakan itu telah tamat tempoh pajakannya dan harus diserahkan kembali kepada kerajaan, serta merta mereka memujuk gabenor untuk menentang Khalifah Uthman R.A. dan mereka sendiri mendahulukan tangan mereka membunuh Khalifah Uthman R.A. Pada masa itu belum terjadi perpecahan umat pada sudut politik ataupun akidah. Apabila Khalifah Ali R.A. menjawat jawatan khalifah, serta merta Muawiyah bin Abu Sufyan R.A. dan Amru Al-Ash R.A. menuduh Khalifah Ali R.A. sebelum itu telah berpakat dengan puak Kurdish sehingga berlaku pembunuhan Syaidina Uthman R.A. Maka bermulalah perpecahan sahabat-sahabat RasululLah pada sudut politik disebabkan oleh hasutan dua pihak terbesar pada masa itu iaitu golongan Khawarij dan golongan Ar-Rafidhah. Fahaman Khawarij telah dihapuskan dan perjuangan mereka menegakkan hukum hudud, tidak pernah mendapat tempat di hati umat. Selepas itu umat Islam telah berpecah pada empat bahagian terbesar. Mereka yang memihak kepada Muawiyah bin Abu Sufyan R.A. telah menggelar diri mereka daripada golongan As-Sunnah dan mereka yang memihak kepada Syaidina Ali, telah menggelar diri mereka daripada golongan Syi’ah. Golongan Alawiyin pula mendakwa bahawa mereka adalah keturunan RasululLah S.A.W. serta lebih layak memegang jawatan kekhalifahan dan mereka yang menolak semua fahaman itu telah membentuk fahaman beragama tersendiri sama ada mereka menuruti fahaman kerohanian atau tareqah. Fahaman Sunnah dan Alawiyin berpecah pada sudut politik yang akhirnya membawa kepada perbezaan aqidah sementara mereka yang menolak kekhalifahan Bani Umayyah dan menerima keimaman Ahlul Bait, sebahagiannya telah berpecah awal-awal lagi pada sudut aqidah mereka. Setelah kewafatan Khalifah Ali R.A., tidak seorangpun khalifah Islam yang memerintah selepas itu dapat menguasai keseluruhan wilayah Islam yang telah tersebar luas, apatah lagi untuk menguasai dunia ini. Perpecahan kerana menuruti hawa nafsu yang kemudiannya menjurus kepada kepentingan politik dan selepas itu menjurus kepada pembentukan akidah yang berbeza, adalah punca kepada kepelbagaian kefahaman dan amalan dalam agama. Kita tidak harus sewenang-wenangnya menyalahkan kepada punca sebab yang membawa perpecahan umat. Yang penting sekali adalah memahami keadaan kita sekarang ini pada situasi ini.

iv.  Jalan Penyelesaian Masalah Perpecahan Umat

Hanya satu jalan sahaja untuk umat ini kembali kepada penyatuan iaitu kembali kepada Allah dan RasulNya. Namun dalam hal ini, semua pihak yang berpecah belah itu mendakwa bahawa mereka adalah pihak yang sentiasa memihak kepada Allah dan RasulNya. Suatu pendakwaan yang mudah. Kiranya mereka semua mendakwa demikian, iaitu sebagai pihak yang benar serta beramal terhadap perkara yang diperintahkan, mengapakah mereka sampai ke suatu tahap yang mereka boleh berada dalam keadaan tiada lagi kekhalifahan yang kononnya sebelum ini mereka pertahankan?

Apakah jalan yang satu itu? Ramai
yang mendakwa, hanya mereka
sahaja yang menempuhinya.



No comments:

Post a Comment

Popular