SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Thursday, October 31, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 36 -- TIADA PEMAKANAN MELAINKAN KUMBAHAN


و لا طعام الا من غسلين

i.    Polisi Hidup Mereka Dahulu, 
      Orang Ramai Dibiar Memakan 
      Makanan Sisa

Itulah gambaran makanan yang diperolehi oleh mangsa mereka dahulu, akibat perbuatan dan polisi kehidupan yang telah mereka laksanakan atau pemakanan yang lebih buruk lagi. Bahkan pemakanan sedemikian sebenarnya dapat kita perhatikan dalam kehidupan di dunia ini lagi, apabila terdapat sebahagian golongan yang curang ini, hanya berselera memakan makanan yang sudah terlalu lama diperam. Sebahagian yang lain pula gemar memakan sisa yang ditinggalkan ulat-ulat yang memakan hasil makanan seperti ikan pekasam, di samping pemakanan basi yang lain seperti arak atau minuman beralkohol. Polisi kewangan yang mereka laksanakan dalam kehidupan dunia adalah untuk menindas manusia. Manusia disediakan dengan nota janji bohong yang nilainya sentiasa disusutkan sehingga akhirnya hanya tinggal sisa.

Dan tiada makanan melainkan daripada basuhan.

"Dan tidak ada makanan (baginya) melainkan dari air danur”

Perkataan غسل daripada kata kerja bermakna basuh dan daripada kata nama yang sama, adalah baki basuhan ataupun kotoran yang dapat ditanggalkan daripada aktiviti basuhan. Kita dapat menyaksikan kotoran sedemikian ada dalam saluran longkang yang tentunya tiada sesiapa pun yang sanggup mengambilnya kembali untuk dijadikan bahan makanan.

ii.    Mereka Memperolehi Kumbahan seperti 
       Air Longkang, Baki Pepejal Terampai dan 
       Bahan Larut Resapan

Balasan sedemikian adalah suatu gambaran bagaimana golongan berkedudukan daripada golongan ingkar, sanggup melakukan pekerjaan yang mengabaikan tanggungjawab sehingga terbiarnya golongan miskin. Sehingga mengakibatkan apajua yang diperolehi oleh golongan miskin hanya merupakan sisa-sisa peninggalan daripada harta yang tidak dikehendaki mereka.

iii.    Bukan Sahaja Tanggungjawab Beragama 
        Bahkan Mereka Meninggalkan 
        Tanggungjawab Sosial.

Di manakah tanggungjawab sosial mereka, sekalipun jika mereka tidak suka mengambil tanggungjawab agama untuk mengambil berat keadaan masyarakat? Sungguh mereka golongan tidak berhati perut, sanggup membiarkan sahaja pihak lain menanggung derita. Keadaan yang parah seperti ini telah berlaku kini, apabila wujud sekumpulan manusia yang masyarakat sekitarnya tidak menghiraukan mereka.

iv.    Wujudnya Generasi Makan Sampah

Mereka adalah daripada generasi muda yang sanggup makan sampah. Mereka jadi liar sebagaimana liarnya haiwan-haiwan berkeliaran. Inilah ‘dia’ masyarakat dalam negara yang dibentuk daripada hasil pendidikan alam persekitarannya, sedangkan mereka memiliki ahli-ahli politik yang petah berbicara, guru-guru agama yang memberi ceramah di corong-corong radio dan peti televisyen. Usahawan mereka meneroka pasaran antarabangsa dan angkasawan mereka telah sampai ke angkasa raya. Mereka mendiami negara yang ada peraturan dan undang-undang. Tiba-tiba sahaja mereka melahirkan generasi baru yang apabila menjadi remaja, menjadi ahli kumpulan liar tidak memperduli sistem yang telah terbina sejak sekian lama. Seolah-olah yang demikian itu adalah bibit-bibit yang akan membentuk masyarakat kucar-kacir dalam beberapa generasi mendatang. Mereka tidak lagi dapat melihat mendiami negara bersistematik.





Monday, October 28, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 35 -- HARI YANG TIADA LAGI TEMAN SETIA


فليس له اليوم ههنا حميم

Maka tiada baginya hari itu, teman yang setia.

"Maka pada hari ini, tidak ada baginya di sini (seorangpun dari) kaum kerabat serta sahabat handai (yang dapat menolongnya), -

Mereka ini darihal kepimpinan hanya dirapati dalam kehidupan ini, lantaran penguasaan mereka darihal harta yang dapat diagih-agihkan atas kepentingan tertentu.

i.    Kepentingan Tidak Lagi Diperoleh 
      Daripada Mereka

Apabila pemilikan mereka tidak lagi dapat memberi manfaat kepada manusia, sedikit demi sedikit mereka akan dijauhi. Dalam kehidupan dunia ini kita dapat melihat, bagaimana sesuatu usaha sama yang tidak memberi pulangan hasil, sebagaimana yang diharapkan akan berkesudahan ahli-ahli yang awal-awal lagi sanggup berkumpul bersama-sama, meninggalkan sesama mereka saling melaknati. Itulah gambaran yang dapat diberi terhadap kedudukan orang-orang yang dahulunya berharta dan berkuasa yang mereka akan ditinggalkan keseorangan tanpa teman setia. Ini adalah kerana matlamat mereka hanya satu iaitu habuan kehidupan di dunia tanpa memikirkan akibat terhadap hasil pekerjaan mereka. 

ii.    Mereka Dahulu Didekati Kerana 
       Harta dan Kedudukan

Bahkan dalam kehidupan dunia ini kita dapat menyaksikan, apabila seseorang telah direnggut kepentingan kedudukan dari dirinya, manusia akan meninggalkannya secara beransur-ansur seolah-olah ia adalah manusia yang tidak dapat diharap apa-apa lagi daripadanya. Kemudian apabila ia memperolehi kembali kedudukannya, dengan tak semena-mena manusia menghampiri nya. Kemudian apabila ia jatuh miskin, manusia sekali lagi akan menjauhinya.






Friday, October 25, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 34 -- MENGAKIBATKAN GOLONGAN MISKIN SUKAR MENDAPATKAN MAKANAN


و لا يحض على طعام المسكين

Dan tidak ia menganjur atas memberi makan golongan yang miskin.

"Dan Dia juga tidak menggalakkan (dirinya dan orang lain) memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin.


i.   Mengabaikan Golongan Miskin Adalah 
     Pengabaian Alam Sekitar

Golongan miskin merupakan kumpulan majoriti manusia di atas permukaan bumi ini. Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk kendiri kehidupan mereka. Mengabaikan kehidupan mereka adalah menyerupai pengabaian terhadap alam sekitar. Oleh kerana mereka sanggup melakukan apa sahaja dalam hidup ini, mereka tidak akan memperduli sebarang larangan dalam usaha mereka mendapatkan suatu kehidupan.

ii.   Peningkatan Kadar Jenayah

Kita dapati atas desakan hidup ini, sebahagian mereka telah dipergunakan oleh kumpulan-kumpulan samseng untuk tujuan perniagaan yang melibatkan maruah manusia. Aktiviti penyeludupan dan penjualan manusia banyak berlaku di negara-negara maju dan membangun dan mereka diperdagang dalam kegiatan pelacuran dan penyeludupan dadah. Aktiviti seperti ini sebenarnya menjurus kepada kerosakan keturunan dan kehidupan sosial manusia sehingga mereka berada dalam kehidupan yang tidak selamat sama ada ancaman kumpulan samseng yang lain atau daripada pelbagai jenis penyakit. Sekiranya aktiviti ini tidak dicegah, tentunya akan mengakibatkan undang-undang negara berada di bawah telunjuk kumpulan samseng sehingga institusi keadilan tidak dapat dimanfaatkan dengan baik. Di negara-negara yang kumpulan samseng mendapat tempat menguasai polisi pemerintahan seperti di Columbia, mafia di Italy, di kawasan pedalaman Mexico dan sebahagian negara Asia Timur dan Tenggara, kehidupan rakyat dibelenggu dengan cukai dua arah. Pertama, mereka perlu membayar cukai kepada kerajaan sedia ada dan satu lagi, cukai terpaksa dibayar kepada kumpulan samseng sebagai wang perlindungan.



Tuesday, October 22, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 33 -- KERANA IA DARIPADA GOLONGAN TIADA IMAN


انه كان لا يؤمن بالله العظيم

Sesungguhnya telah adalah ia, tidak ia beriman dengan Allah Yang Maha Agung.

Sesungguhnya Dia dahulu tidak beriman kepada Allah Yang Maha besar,

i.   Aktiviti Yang Merosakkan dan Penindasan 
     Secara Merata-rata

Mereka hanya memilih bertuhankan kertas dengan gambar kepala Agong. Golongan tertentu daripada yang ingkar itu merasai keagungan dalam kehidupan mereka sehingga melakukan sewenang-wenangnya, yang banyak mengakibatkan kerosakan dalam kehidupan di dunia ini. Penindasan secara tidak langsung berlaku secara merata dalam kehidupan manusia dan kepentingan mengumpul harta menjadi tajuk utama dalam kehidupan dan melupai kepentingan bermujahadah di jalan Tuhan.

ii.   Kesan Perbuatan Mereka Akan 
      Melilit Mereka Kembali

Mereka melupai keagungan Tuhan, yang akan mengagendakan rancangan membelit mereka kembali suatu masa nanti disebabkan mereka tidak menjaga amanah yang diserahkan kepada mereka. Tuhan telah menyerahkan amanah kepada makhluk-makhluk seperti gunung, langit, lautan dan sebagainya untuk memikul amanah, namun semuanya tidak sanggup berbuat demikian lalu diterima oleh manusia yang jahil itu. Atas kejahilan itulah, yang harus diakui oleh manusia dan bersedia mempelajari sesuatu daripada kitab Tuhan sebagai manual kehidupan dan penjagaan alam ini. Namun sebahagian manusia yang berkedudukan dan berkepentingan sanggup untuk berterus-terusan berkeadaan jahil dan mengarahkan manusia untuk berkelakuan jahil seperti mereka.

iii.   Mereka Mengarah Serta Mengulangi 
       Perbuatan Gila Lagi Jahil.

Buktinya mudah sahaja, mereka mengarahkan manusia daripada pelbagai agama itu untuk beragama dan melakukan aktiviti penyembahan dalam keadaan mereka tidak memahami ayat-ayat yang disebutkan dalam peribadatan mereka itu. Sebenarnya mereka mengulangi kata-kata Tuhan yang ditujukan kepada mereka sebagai manual kehidupan dan rahsia-rahsia penjagaan alam. Lalu aktiviti manusia berlaku berterus-terusan sehingga kepada suatu keadaan, mereka menjadi seperti robot berperasaan, yang hanya tahu membina dan membina dan terus membina sehingga akhirnya banyak daripada binaan itu ditinggalkan begitu sahaja tidak dimanfaatkan. Memandu dan memandu dan terus memandu dari malam hingga ke malam sebagai rutin harian untuk menyesakkan jalanraya, yang seharusnya dilalui dengan aman, sehingga akhirnya membawa pencemaran.

iv.   Amalan Kerosakan Sehingga 
       Mempamer Kemudaratan

Mereka melaksanakan aktiviti sedemikian melalui suatu sistem gila aktiviti riba yang kononnya memberi manfaat kepada umat manusia secara besar-besaran dan demi pembangunan negara. Wal hasil adalah kerosakan alam, kemusnahan kawasan tadahan air, kemusnahan kawasan hidupan liar, penggondolan kawasan bukit dan pembentukan jerebu dan meningkatnya kejadian banjir kilat dan tanah runtuh, benam dan rebah. Lihat di kiri dan kanan kita, di mana-mana sahaja sama ada dalam negara ini atau luar negara, kemanusiaan seolah-olah tiada erti, manusia seperti robot bernyawa, melakukan rutin yang sama berulang-ulang kali, dari pagi hingga ke petang, setiap bulan mendapatkan gaji untuk membayar hutang. Majoriti daripada umat ini mengambil sikap dengan apakah yang boleh dilakukan? Kita kini sudah tersepit dengan sistem sedia ada, ikut sahaja kalau nak turut merasa! Zaman sudah gila, siapa yang tidak gila maka ia tidak merasa. Sebahagian yang lain ambil tak peduli seolah-olah mereka ini tidak akan dipersalahkan nanti di hadapan Tuhan Yang Maha Agung, seolah-olah pada mereka yang bersalah hanyalah pembuat-pembuat polisi. Sebahagian yang lain mengambil kesempatan sebagai pejuang politik dan pejuang agama, mengkhabarkan kepada manusia tidak kepada apa yang disampaikan Tuhan.

v.   Keperluan Kembali Kepada Petunjuk Tuhan

Siapakah dalam kalangan kita yang sanggup menerima kalam Tuhan sekalipun bermula daripada Alif, Ba, Ta yang harus dipelajari daripada buku Iqra'? Mengikhlas diri dalam agama untuk sama-sama menghayati pengajaran Tuhan melalui kitabNya. Saling berpesan-pesan sesama kita tentang kebenaran dan saling betul memperbetul sesama kita dengan kaedah kasih sayang. Untuk menggantikan kaedah ahli politik dan trend semasa yang saling melaknat sesama mereka dengan tuduh menuduh, untuk menggantikan pengamal-pengamal media massa yang suka melondeh kesalahan manusia secara memalukan, sama ada melalui akhbar atau internet. Masalah kehidupan kini, tidak boleh melalui kaedah seperti ini, tetapi kaedah berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kasih sayang serta saling menghormati. Bukankah kita adalah makhluk Tuhan yang memiliki perasaan belas kasih?





Saturday, October 19, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 32 -- LILITKAN DENGAN RANTAI 70 LILITAN


ثم فى سلسلة ذرعها
سبعون ذراعا فاسلكوه

Kemudian pada rantai, sukatlah olehmu akannya tujuh puluh sukatan lalu lilitkanlah olehmu akannya. 

"Selain dari itu, masukkanlah Dia Dalam (lingkaran) rantai besi Yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta, (dengan membelitkannya ke badannya)!

i.   Nasib Rakyat Dengan Masalah Kehidupan Yang Melilit-lilit. 
     Mereka Hilang Kebebasan

Rantai yang telah disukat setiapnya dengan panjang sukatan tertentu, sebanyak 70 lilitan rantai semuanya, akan dililitkan pada tubuhnya. Ikatan seperti ini tentunya akan menyebabkan seseorang mengalami kesukaran bergerak lalu dengan panas salaian ia akan dipanggang. Demikian penderitaan yang dialami oleh mangsanya dahulu yang dililit dengan lilitan rantai kehidupan yang disediakan olehnya.

ii.  Gambaran Masalah Yang Berleretan

Setiap ikatan menggambarkan bilangan masalah yang berleretan yang timbul kesan daripada polisi pekerjaannya. Walau bagaimanapun, penulis tidak dapat memberi suatu bentuk gambaran sebenar seksaan yang akan dialami oleh seseorang, akibat daripada polisi pekerjaannya dalam kehidupan di dunia dahulu. Namun, apa yang dapat digambarkan melalui penerangan sedemikian, sedikit sebanyak akan membawa kepada suatu kefahaman bahawa pengadilan Tuhan di akhirat nanti adalah merupakan perkara yang pasti dilakukan ke atas kepimpinan dan hartawan daripada golongan yang ingkar.




Wednesday, October 16, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 31 -- SALAIKAN IA KE NERAKA JAHIM


ثم الجهيم صلوه


Kemudian akan neraka Jahim itu, salaikanlah olehmu akannya.

"Kemudian bakarlah Dia di Dalam neraka Jahiim; -

i.    Akibat Merampas Harta Si Miskin Secara Sistematik

Ia dahulu tidak pernah mengambil harta orang miskin secara terus menggunakan tangannya, tetapi dengan mewujudkan suatu sistem yang memaksa harta orang miskin diserahkan kepadanya.

ii.   Ia Dijadikan Satay Panggang

Kini ia akan menjalani seksaan tanpa perlu disentuhkan api kepadanya melainkan dengan cara memanggangnya. Atas masalah yang berantai-rantai yang diwujudkan akibat polisi pekerjaannya, menyebabkan ia dirantai sambil disalai ke neraka Jahim.



Sunday, October 13, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 30 -- TANGKAP IA DAN IKAT


حذوه فغلوه

Ambillah oleh kamu akannya lalu belenggulah oleh kamu akannya.


(lalu diperintahkan malaikat penjaga neraka): "Tangkaplah orang Yang berdosa itu serta belenggulah Dia,
 

i.   Contoh-contoh Dakwaan Pihak 
     Yang Manjadi Mangsa

Pendakwaan demi pendakwaan mengakibatkan mereka semua tidak dapat membela diri. Mengapakah sipencuri itu mencuri? Adalah disebabkan ia mahu menyelesaikan masalah hidupnya untuk mendapatkan keperluan makanan yang didapatinya pada harga tinggi, sedangkan beban yang ditanggungnya melebihi pendapatan. Atau ia mahu menyelesaikan masalah hutangnya yang hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi untuk dapat dinyatakan sebagai hak miliknya darihal rumah kediaman atau kenderaan keperluannya. Ia telah melaksanakan tanggungjawab menyelesaikan hutang bulanan pembelian melalui sistem riba tetapi disebabkan permasalahan yang menyusutkan pendapatan serta nilai wangnya, ia terpaksa melakukan jenayah semata-mata menjaga kepentingan berkenaan.

ii.   Rantaian Pendakwaan Yang 

      Bertalu-talu

Lalu pendakwaan dilakukan ke atas firma-firma kewangan yang mengamalkan sistem riba, tentang polisi perniagaan mereka yang menindas. Firma-firma kewangan yang dipersalahkan seterusnya melakukan pendakwaan kepada pemegang lindung nilai kewangan negara yang menghalalkan tindakannya melaksanakan pengamalan ekonomi secara menindas. Lalu pemegang lindung nilai kewangan negara, segera menyalahkan kepimpinan negara lantaran memperkenal sistem kewangan yang mengakibatkan inflasi tak terkawal. Pemimpin negara pula, yang sentiasa berusaha menjaga kedudukannya, menyalahkan pihak institusi agama lantaran tidak menyalurkan peruntukan zakat kepada si miskin.

iii.   Penjawat-Penjawat Agama Yang 

       Merestuinya

Pihak institusi agama pula menyalahkan penjawat-penjawat, lantaran mengharuskan mereka menyalahgunakan peruntukan zakat untuk tujuan yang lain seperti pembangunan masjid meskipun ianya kedengaran baik, pembelian hartanah milik syarikat tertentu, melabur kepada kilang pembuatan dan sebagainya. Penjawat-penjawat pula akhirnya menyalahkan pencuri berkenaan kerana masih kekal memilih kepimpinan yang korup itu melalui umpanan cogan kata patriotik dan sebagainya. Lingkaran seperti ini mengenai semua pihak yang terbabit dan mereka semuanya ditangkap untuk dihumban, bermula daripada 'cerdik pandai' mereka terlebih dahulu.




Thursday, October 10, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 29 -- KEKUASAAN YANG TELAH BINASA


هلك عنى سلطنيه

Telah binasa ia dariku kekuasaanku.

kuat kuasaku (dan hujjah-hujjahku membela diri), telah binasa dan hilang lenyap dariku".

i.   Kekuasaan Untuk Memperkukuh Kedudukan

Sesungguhnya kekuasaan adalah amanah. Namun yang dilakukan oleh pemegang-pemegang kuasa adalah membenarkan apajua jenis aktiviti yang dapat memperkukuh kedudukannya. Sudah tentu ia tidak akan memperduli batasan-batasan yang telah Tuhan tetapkan. Dengan penguasaan media massa sebagai saluran untuk memperbetul tanggapan masyarakat, mereka 'menyerang' individu-individu yang cuba mengajak manusia beriman kepada Tuhan. Lalu didirikan institusi yang ditampal dengan nama-nama serba Islamik guna untuk mengambil dana dan ‘pelaburan’ daripada umat ini.

ii.  Peruntukan Zakat Dijadikan Pelaburan

Unit perniagaan yang menghampiri nama Badan Pelaburan Zakat atau yang seumpama dengannya telahpun ditubuhkan. Tujuannya adalah supaya zakat kutipan dapat diurusniagakan. Perkara ini sebenarnya menafikan hak golongan fakir miskin. Mereka yang miskin terpaksa bekerja dengan majikan-majikan yang memberi sumbangan kerosakan kepada alam sekitarnya.

iii.  Salah Guna Kuasa

Institusi agama yang diamanahkan sebagai badan untuk melakukan amar makruf dan nahi mungkar tidak diberi kuasa penuh untuk melakukan dakwah, lantaran usaha ini memerlukan belanja untuk dikeluarkan. Bahkan, mereka hanya diberi kuasa penuh untuk menangkap pelaku-pelaku maksiat atas nama mencegah kemungkaran atas habuan denda yang akan mereka perolehi. Golongan miskin sedemikian akan memohon perkara-perkara sedemikian diadili atas kesempitan hidup mereka di dunia dahulu.

iv.  Pendakwaan Yang Berkait-kait

Siapakah yang akan dipertanggungjawabkan tentang per masalahan alam sekitar, yang mereka menjadi penyebab kepada kerosakan yang berlaku? Pekerja akan mendakwa majikan dan majikan akan mendakwa pihak-pihak berwajib dalam menyediakan batas-batas kerja sama ada darihal peralatan atau bahan-bahan yang digunakan. Pihak Berkuasa Tempatan pula akan mendakwa pihak lain, yang demikian berantai-rantailah pendakwaan sehingga semua yang terlibat perlu menerima habuan pembalasan masing-masing. Bahkan sesiapa sahaja yang mengusahakan keburukan lalu dilingkungi dengan keburukan seluruhnya, maka tempatnya di neraka, kekal di dalamnya buat selama-lamanya (2:81).




Monday, October 7, 2013

SURAH AL HAQQAH AYAT 28 -- HARTA YANG SUDAH TIADA GUNA


ما اغنى عنى مالية

Tidak telah (menjadi) kaya daripadaku akan hartaku.

"Harta kekayaanku tidak dapat menolongku sedikitpun;

i.  Harta Yang Dapat Dilihat Tetapi Tiada Manfaat
 

Perkataan اغنى bermakna telah kaya ia, menunjukkan bahawa setiap jiwa dapat melihat harta daripada hasil usahanya tetapi ia tidak dapat mengambil manfaat daripadanya. Sesungguhnya setiap manusia pasti membawa setiap apa jua yang diperolehi daripada bahagian dunia dahulu yang terjelma daripada catatannya (69:18). Untuk diberi pengadilan dan akan menyerahkannya sebagai gantian atas keburukan yang ia lakukan. Pencuri lembu akan memikul lembu untuk diserahkan kembali kepada 'pemilik' asalnya. Bagaimana pula nasib yang menimpa pengamal polisi ekonomi yang berasaskan riba itu? Mereka mengumpul kekayaan semahu-mahunya dan mereka tentunya akan membawa catatan kekayaan berkenaan untuk diagih-agihkan nanti sebagai imbangan kepada yang menjadi mangsa atas polisi mereka di dunia dahulu.

ii.  Bicara Tentang Mangsa Ekonomi Riba
 

Melalui aktiviti riba, umat manusia yang terpaksa berusaha melaluinya, telah mengabaikan tanggungjawab menyerahkan lebihan harta, sehingga tidak dapat disadaqahkan 'lebihan harta' itu, kepada golongan fakir miskin. Semua lebihan itu digunakan semata-mata untuk melangsaikan hutang ribanya. Keadaan yang merata melanda umat sedemikian, mengakibatkan inflasi secara mendadak dan melahirkan lebih ramai fakir miskin serta meningkatkan kadar jenayah yang melibatkan harta benda. Mangsa atau penjenayah, akan menuntut keadilan kewangan daripada pengamal polisi riba, yang harus mereka perolehi daripada sumbangan sadaqah atau zakat yang sepatutnya mampu diberi oleh umat, tetapi terhalang akibat aktiviti riba. Oleh itu, apalah ertinya kekayaan yang dikumpulkan selama hidupnya di mukabumi ini. Aktiviti riba merupakan manifestasi keingkaran yang mengakibatkan bermulanya punca banyak masalah dalam kehidupan manusia. 

Dengan riba, berlaku peningkatan kadar jenayah, peningkatan kes-kes penyakit mental akibat stress, inflasi barangan serta hartanah melambung tinggi. Sekalipun pada pandangan mata, rakyat kelihatan berharta. Seolah-olah mereka itu kaya raya, hakikat sebenar mereka itu adalah miskin dan papa kedana dilingkungi hutang. Aktiviti riba juga mengakibatkan petani-petani sentiasa berada di ladang-ladang mereka, usahawan-usahawan sentiasa berada di pejabat-pejabat mereka dengan meninggalkan kepentingan bermujahadah di jalan Tuhan.




Friday, October 4, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 27 -- ALANGKAH BAIKNYA SEMUA SELESAI BEGITU SAHAJA


يليتها كانت القاضية

Aduhai kiranya ia (catatan itu) telah adalah ia, diputuskan (begitu sahaja).

"Alangkah baiknya kalau kematianku di dunia dahulu, menjadi kematian pemutus (yang menamatkan kesudahanku, tidak dibangkitkan lagi); -

i.    Bagaimana Dengan Proses Pengadilan?

Mereka mengharapkan bahawa perkara sedemikian telah selesai semuanya, selesai dengan selesainya kehidupan yang mereka lalui. Sekiranya demikian, di manakah keadilan akan dapat dilaksanakan? Manusia, dengan bebas sebebasnya, melakukan apa sahaja dan mengharapkan segalanya akan selesai begitu sahaja, lalu bagaimana kedudukan individu yang teraniaya sehingga tidak berkesempatan untuk melaksanakan amal kebaikan (74:38)? Tentunya, ia akan menyatakan alasan supaya ia diganjari atas sesuatu yang tiada kesempatan ia lakukan, sekalipun belum terbukti ia akan termasuk golongan yang melakukan perbaikan. Bagaimana pula individu yang singkat usianya disebabkan oleh pengambilan makanan yang memudharatkan secara jahil, yang disediakan oleh pihak lain?

ii.    Siasatan Forensik Atas Segala Sesuatu

Tentunya, ia juga akan diselidiki secara terperinci jalan-jalan ia menempuh kematian sebagaimana kes-kes bedah siasat ter hadap mayat yang mati dibunuh. Pada masa mereka melakukan pencemaran sebatian nitrat, mereka juga menggunakan asid nitrik yang najis itu untuk menghasilkan bahan-bahan pewarna makanan lalu mereka sajikan kepada orang lain, demi mendapatkan keuntungan segera. Adakah perkara sedemikian akan dibiarkan Tuhan begitu sahaja? Bagaimanakah pula kes-kes kematian akibat keruntuhan atas kecuaian pemaju-pemaju yang melaksanakan projek-projek pembinaan yang sengaja didirikan melalui cara-cara yang tak wajar, di atas tempat tinggi, serta cuai dalam pengurusannya, sehingga membawa akibat keruntuhan?

Bukan sahaja pemaju itu harus dipertanggung jawabkan, bahkan juga mereka yang meluluskan projek sedemikian daripada pihak berkuasa tempatan dan penggubal undang-undang. Sekiranya dalam kehidupan di dunia ini, kes-kes pendakwaan turut dilakukan terhadap salah laku kecuaian sehingga mengakibatkan kerugian pada satu pihak, sama ada kerugian harta benda, nyawa dan maruah, bagaimanakah pula dapat dianggapkan di akhirat nanti tidak akan ada sebarang pendakwaan? Manusia mengetahui perkara sedemikian, hanya mereka tidak mahu mengambil perduli. Mereka membeli azab di akhirat dengan habuan yang diterima di dunia ini. 



Tuesday, October 1, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 26 -- MENGHARAP UNTUK TIDAK MENGETAHUI AMALAN

  
ولم ادر ما حسابيه

Dan telah tidak, (kiranya) aku mengetahui akan apa-apa perkiraanku ini.

Dan Aku tidak dapat mengetahui hitungan amalku.


Perkataan لم bermakna telah tidak. “Telah tidak” di sini bukanlah bermakna mereka masih belum mengetahui kiraan amal yang akan mereka hadapi, sebagaimana yang didapati dalam banyak terjemahan. “Telah tidak” di sini perlu dihubungkan dengan ayat sebelumnya, iaitu mereka mengharap-harapkan, kiranya mereka telah tidak mengetahui perkiraan amalan mereka. Iaitu sebenarnya mereka mengetahui hanya mereka tidak ingin mengetahui. 

i.    Bentuk Kefahaman Yang Berubah 
      Berbanding Terjemahan

Kaedah kefahaman seperti ini tentunya bertentangan dengan kefahaman dalam banyak terjemahan, sehingga dapat dikatakan, pengetahuan Bahasa Arab semata-mata tidak dapat digunakan dalam memahami pengertian ayat tertentu. Demikian itu adalah kerana penulis mengambil kaedah ijmak, iaitu menghimpunkan ayat agar mesej yang ada hubungan dengan ayat sebelumnya tidak akan terputus begitu sahaja. Penerangan seterusnya dibuat sedemikian rupa, supaya suatu ayat dapat dihubungkan dengan pengajaran utama himpunan ayat ini, dalam hal ini adalah berkenaan dengan Al-Haqqah. 

Memahami Bahasa Arab bukanlah semestinya
seseorang itu telah memahami Al-Qur'an

ii.   Melanggar Peraturan Untuk 
      Mendapatkan Habuan

Mereka bukan tidak mengetahui perkiraan terhadap projek-projek pembangunan mereka, bahkan yang mereka hanya mahu mengetahui adalah habuan terdekat yang akan diperolehi dalam kehidupan ini. Mereka mengabaikan kesan jangka panjang yang akan berlaku. Mereka mengabaikan akan terdapat sebilangan nyawa akan terkorban, lalu dipersiapkan insuran untuk menampung sebarang kejadian akibat kecuaian. Mereka tidak memperduli nasib akan datang akibat daripada penggondolan kawasan bukit serta usaha-usaha yang merosakkan kawasan tadahan. Mereka tidak memperduli akibat banjir kilat dan juga kejadian kemarau yang mengeringkan air dalam masa yang singkat. Mereka juga tidak memperduli kesan pembangunan akibat daripada pengambilan galian mineral yang diambil secara tidak terkawal. Mereka tidak perduli, akan terdapat pencemaran tenaga haba yang banyak ke persekitaran dan kesannya terhadap cuaca. Itu belum dikira pencemaran bahan kimia, pencemaran air dan sebagainya. 

Demi untuk mendapatkan keuntungan lebih, mereka tidak perduli kepada siapa upah kerja akan dibayar, asalkan jumlah yang perlu dibayar adalah sedikit, sehingga sedikit demi sedikit sejumlah besar wang negara telah dibawa keluar. Mereka tidak memperduli kesan defisit dalam perbelanjaan negara. Mereka juga tidak mengindahkan kesan ketidak seimbangan ekonomi dalam kalangan rakyat yang menjurus kepada permasalahan sosial, jenayah, politik dan sebagainya. Mereka memegang prinsip 'lantaklah, apa nak jadi jadilah' seolah-olah mereka mewarisi kekuasaan Tuhan darihal 'kun fayakun'. Seolah-olah segala-galanya selesai begitu sahaja. Mereka sebenarnya mengambil sikap tidak memperduli kejadian sedemikian.

iii.    Akhirnya, Bencana Yang Dapat 
        Disaksikan


Akhirnya, mereka menyaksikan kejadian demi kejadian yang membawa kebinasaan, bahkan mereka akan dapat menyaksikan kejadian kemusnahan yang akan berlaku secara terus menerus, berdasarkan perkiraan mereka. Mereka telah memberi sumbangan besar terhadap kejadian Al-Qari'ah, sebelum berlaku kejadian Al-Haqqah. Dengan apakah mereka memusnah kan alam sekitar kediaman mereka? Iaitu dengan penggunaan baja-baja nitrat daripada aktiviti pertanian tidak terkawal dan juga kebocoran pembetungan yang tiada undang-undang tentang hal itu, apatah lagi untuk tujuan penguatkuasaan.

iii.    Pelbagai Jenis Kerosakan

Kemudian berlaku keruntuhan demi keruntuhan serta kerebahan demi kerebahan yang membinasakan. Sebahagian mereka terkorban sepertimana kaum Tsamud terkorban. Dengan apakah mereka merosakkan udarakasa mereka? Iaitu dengan baja sintetik ammonia dan juga wap nitrat, sehingga mengakibat kesejukan mengejut kepada lapisan udarakasa. Tiada undang-undang, yang ada hanyalah kempen supaya rakyat menjadi terlalu rajin berada di ladang-ladang mereka, demi untuk menjelaskan pinjaman pertanian yang dikenakan riba padanya. Sebenarnya, tiada halangan untuk mereka rajin, tetapi alangkah baiknya sekiranya mereka diberi ilmu sehingga mereka melaksanakan aktiviti mereka, secara berhati-hati. Kemudian berlaku ribut yang mengangkat bumbung-bumbung rumah serta kejadian puting berliung yang merosak kediaman akibat kecuaian mereka selama ini dan kejadian pokok-pokok tumbang yang merosak harta benda dan tanaman. Adakah mereka ingin ditimpa malapetaka, sebagaimana berlakunya kerosakan bendang-bendang pertanian pada zaman Fir'aun? Sehingga kakak-katak yang kesejukan, mencari perlindungan dalam rumah-rumah kediaman manusia. Dengan apakah mereka merosakkan lapisan langit yang selama ini menjadi bumbung perlindungan kepada mereka? Iaitu dengan gas kloroflorokarbon yang banyak digunakan dalam kelengkapan peti ais. 

Melalui pembebasan wap metana, akibat daripada pembuangan sampah dan bahan-bahan pelarut cat, untuk tujuan pewarnaan harta-harta mereka sama ada bangunan atau kenderaan mereka, semuanya itu menyediakan keadaan penggalak kepada parahnya suasana Al-Qari'ah. Kejadian itu mengakibatkan kulit-kulit manusia mengelupas dan ramai daripada mereka menghidap kanser. Mereka akan menyaksikan kejadian manusia melarikan diri dari rumah-rumah kediaman mereka sendiri dengan berbaris panjang (70:43) atau sehingga bertebaran di ruangan langit seperti rama-rama atau kalkatu bertebaran berpindah ke tempat lain, yang dijangka selamat (101:04). Penerangan terperinci akan diterangkan dalam surah Al-Maarij.





 

Popular