SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Wednesday, August 29, 2012

SURAH AL MULK AYAT 27 - BENCANA YANG DEKAT YANG DAPAT DILIHAT (DI DUNIA INI LAGI), ITULAH HARI YANG DIJANJIKAN


فلما  راو ه  زلفة  سيئت  وجوه  الذين  كفروا
و قيل  هذا  الذى  كنتم  به  تدعون

Maka tatkala telah melihat mereka akannya secara dekat, telah buruk ia akan wajah orang-orang yang telah ingkar mereka (selama ini) dan dikatakan, inilah yang telah adalah kamu dengannya, kamu selalu seru (minta disegerakan).

kemudian apabila (datang kiamat dan) mereka melihat (azab) Yang dijanjikan itu secara dekat, muramlah muka orang-orang Yang kafir itu, serta dikatakan (kepada mereka): Inilah Dia Yang dahulu kamu Kerap kali minta disegerakan kedatangannya!

i.   Mereka Enggan Mengkaji Peristiwa Silam


Golongan yang ingkar tidak mahu mengambil pelajaran daripada peristiwa sejarah silam, sekalipun mereka mengetahui tentang kejadian silam itu. Mereka menafikan kejadian yang akan menimpa mereka merupakan ulangan perkara yang pernah berlaku pada peristiwa silam. Sebagai contoh, lihatlah bagaimana mereka mengkaji tempat-tempat bersejarah Fir’aun. Yang menjadi minat mereka untuk mengkaji adalah peninggalan silam serta Fir’aun itu sendiri. Mereka tidak ingin mengkaji, bagaimanakah Fir’aun dimusnahkan dan juga apakah pekerjaan Fir’aun yang mengakibatkan kerajaannya binasa? Seterusnya golongan yang ingkar ini membentuk pemerintahan mencontohi Fir’aun yang membawa perpecahan dalam kalangan manusia serta membawa akibat buruk alam persekitaran mereka.

ii.   Mereka Mengulangi Perlakuan Umat Silam

Sejak dari zaman pertengahan yang lalu, selepas proses perindustrian berlaku di dunia ini, manusia mengejar sesuatu yang diistilahkan sebagai kebahagiaan hidup melalui  kuasa pemilikan serta kemewahan. Sistem-sistem pemerintahan demokrasi dan ekonomi kapitalis telah diperkenalkan dan manusia dijanjikan dengan kemewahan supaya mereka bekerja bersungguh-sungguh untuk memperkayakan pihak kapitalis. Sehingga akhirnya manusia mencemari alam persekitaran mereka dengan pencemaran yang hebat. Undang-undang yang diwujudkan, sekalipun berjaya mengawal suasana alam supaya sentiasa cerah, namun atas kejahilan manusia menolak petunjuk Tuhan,  akhirnya alam ini telah teruk tercemar. Bencana terjadi  akibat perlepasan bahan-bahan kimia tertentu yang membawa mudharat secara perlahan-lahan. Bahkan, Tuhan tidak mengajari manusia menolak penggunaan teknologi, kemusnahan yang dijanjikan kepada golongan yang ingkar adalah disebabkan oleh tindakan mereka menjalani pekerjaan mereka secara tidak berhati-hati dan menggunakan bahan-bahan berbahaya secara bebas tanpa had.  Adakah mereka tidak mengetahui bahan-bahan berbahaya tertentu? Bahkan mereka mengetahuinya namun di atas desakan kerakusan serta tamak haloba, panduan Tuhan diketepikan begitu sahaja sehingga menyebabkan bumi ini semakin dicemari.

iii.  Mereka Akan Ditimpa Perkara-perkara 
      Yang Menimpa Umat Silam

Sebenarnya perkara yang dijanjikan Tuhan adalah disebabkan oleh tindakan tangan mereka sendiri. Namun mereka tidak mempercayai suatu kejadian buruk akan berlaku dalam waktu yang terdekat. Peristiwa-peristiwa yang sering terjadi seperti keruntuhan tanah tinggi dan kejadian hujan lebat yang bersangatan serta taufan yang memusnahkan dianggapkan sebagai faktor alam atau kuasa alam segala jadi untuk mengimbangi kesan perubahan cuaca. Seolah-olah kejadian berkenaan menyerupai ulangan air pasang yang pasti akan surut suatu masa nanti (70:02).  Mereka tidak mahu menerima hakikat bahawa waktu yang dijanjikan sudah terlalu hampir. Semakin banyak kejadian tanah rebah, gunung runtuh telah berlaku dan gunung dapat  runtuh hanya akibat suatu gegaran kecil gempa. Perkara sedemikian jarang terjadi suatu masa dahulu melainkan jika gegaran yang sangat kuat telah berlaku. Terlalu banyak kejadian taufan yang mengakibatkan aliran lumpur yang memusnahkan kediaman dan mengorbankan banyak nyawa. Tiba-tiba manusia jadi panik, mengapa alam menjadi sedemikian lalu kempen demi kempen dijalankan supaya manusia menanam lebih banyak pokok, mengurangkan penggunaan bahan bakar, berkongsi kenderaan, mengelakkan pembuangan bahan cemar dan sebagainya. Adakah usaha ini akan berjaya? Berapa ramaikah yang akan menyahut kempen sedemikian? Apa benarkah kejadian yang berlaku disebabkan oleh bahan kimia tertentu yang mereka kenal pasti? Mereka masih berbalah, apakah benar karbon dioksida mengakibatkan peningkatan suhu bumi?

Sunday, August 26, 2012

SURAH AL MULK AYAT 26 - ILMU TENTANG PERKARA YANG DIJANJIKAN ADA DI SISI TUHAN



قل انما العلم عندالله وانما انا نذير مبين


Katakanlah olehmu, sesungguhnya tidak lain hanya, ilmu itu di sisi Allah dan sesungguhnya tidak lain hanya aku pemberi amaran yang terang. 


Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang masa kedatangannya) hanya ada pada sisi Allah, dan Sesungguhnya Aku hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran Yang terang nyata".

i.    Mereka Mendesak RasululLah S.A.W. Dan 
      Golongan Beriman. 

Mereka menghendaki supaya RasululLah S.A.W. serta orang-orang yang beriman dapat mengkhabarkan kepada mereka masa akan terjadi janji peristiwa yang sedemikian. Mereka benar-benar mendesak RasululLah S.A.W. dan golongan yang beriman seolah-olah RasululLah S.A.W. mengetahui perihal yang sedemikian. Mengapakah mereka beria-ia benar untuk mengetahui tentang masa akan terjadinya kehancuran? Adakah di sisi mereka kekuatan untuk membina penempatan-penempatan yang jauh dari mukabumi ini sehingga mereka dapat melarikan diri semasa kejadian berkenaan berlaku? Ataukah bagi mereka suatu penempatan yang kukuh di bawah permukaan bumi, yang kebal terhadap gegaran atau apa-apa perubahan yang berlaku di permukaan bumi ini?

ii.   Bencana yang Menyebabkan Mereka 
      Saling Memandang. 

Apabila berlaku bencana yang dijanjikan kepada mereka (73:14 dan 70:8/9), mereka saling memandang sesama mereka, agar mereka terpilih untuk dicalonkan dalam golongan yang diselamatkan. Mereka tidak lagi memperduli hubungan kekeluargaan sesama mereka dan tidak kepada sahabat handai dan tidak juga kepada rakan taulan. Masing-masing mereka hanya mementingkan diri sendiri yang selama ini begitulah sikap mereka yang sentiasa mengutamakan diri sendiri tanpa memperduli nasib manusia sejagat. Mereka tidak memperduli amaran-amaran melalui risalah kerasulan, tidak juga mereka memperduli amaran yang disampaikan orang-orang yang paling berakal dalam kalangan mereka sendiri. Iaitu tentang bencana yang akan berlaku kesan daripada usaha mereka merosakkan alam persekitaran mereka sendiri.

iii.   Sesungguhnya Ilmu Itu Hanya 
       Di sisi Allah

Secara umumnya ayat ini menjelaskan bahawa ilmu itu adalah pengetahuan tentang As-Saah. Dalam memahami ayat sedemikian, pendirian umum para ulama adalah menidakkan terus ilmu yang sedemikian itu ada pada sebahagian manusia sekalipun ada ayat yang menjelaskan bahawa pengetahuan tentang As-Saah ada pada Nabi Isa A.S. Terdapat ayat lain iaitu dalam surah Al-Jin (72:27) yang menyatakan tentang pengetahuan sedemikian diberi kepada utusanNya yang terpilih serta yang diredhai. Seterusnya mereka berhujah sekiranya Nabi Muhammad S.A.W. mengetahui tentunya baginda tidak akan merahsiakannya. Sebenarnya baginda mengetahuinya pada tahap-tahap tertentu dan baginda merahsiakannya kecuali kepada sahabat-sahabat tertentu seperti Abu Hurairah R.A. dan Saidina Ali R.A. yang akan menjaga rahsia berkenaan dan memberitahunya kepada mereka dengan pemberitahuan terpilih. Adakah RasululLah S.A.W. tidak memberitahu semua perkara kepada semua sahabat baginda? Sedangkan dalam hal-hal yang berkaitan dengan pengamalan syariat Islam sebelum ini, umat sedia terbahagi kepada empat mazhab kefahaman yang utama. Setiap mazhab mengamalkan syariat Islam dengan cara yang sedikit berbeza disebabkan sumber-sumber penerimaan As-Sunnah yang berbeza dan juga kefahaman yang berbeza. RasululLah S.A.W. telah memberitahu semua perkara yang diterima, hanya ada di antara perkara-perkara tertentu tidak sampai kepada sahabat-sahabat baginda yang lain. Yang demikian mengakibatkan jalan memahami satu-satu perintah Tuhan menjadi berbeza antara umat. Perbezaan ini tidak harus menyebabkan mereka bertelingkah dan ikhtilaf dalam kalangan umat adalah suatu rahmat. Sekiranya seseorang ingin mengetahui perkara ghaib berkenaan, hendaklah ia mendapatkannya dari sisi Tuhan yang demikian itu kerana Isa Al-Masih mendapatkannya dari sisi Tuhan. Perkataan انما haruslah difahami sebagai pembatas iaitu ilmu As-Saah merupakan ilmu yang ada di sisi Tuhan dan untuk mendapatkannya perlulah seseorang itu mendapatkannya dari sisi Tuhan dan tiada larangan.






Thursday, August 23, 2012

SURAH AL MULK AYAT 25 - MANUSIA MENCABAR BILAKAH KEDATANGAN BENCANA?


ويقولون متى هذا الوعد ان كنتم صدقين

Dan mereka sentiasa bertanya bilakah janji itu sekiranya telah adalah kamu, golongan yang benar?


dan mereka (yang ingkar) berkata: "Bilakah datangnya (hari kiamat) Yang dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang Yang benar?"


Sekiranya persoalan daripada ayat ini, merujuk pernyataan yang telah berlalu (fi'lul madhi), yang bermaksud iaitu "telah bertanya mereka"; tentunya soalan sedemikian hanya layak diajukan oleh orang-orang yang terdahulu daripada golongan ingkar pada zaman RasululLah S.A.W. dan para sahabat R.A.H.M atau rasul-rasul terdahulu. Ayat ini bukan bermaksud mereka telah bertanya bilakah akan terjadinya hari kehancuran sebagaimana yang dijanjikan Tuhan? Ayat ini yang mengkhabarkan pernyataan "mereka sentiasa bertanya"; bukan sahaja akan diajukan oleh sebilangan manusia yang tidak pernah menerima Al-Quran, bahkan juga diajukan oleh segolongan berkepentingan dalam masyarakat Islam masakini yang kononnya ada menerima Al-Quran. Sebenarnya mereka bertanyakan soalan mencabar iaitu bilakah perkara yang dijanjikan Al-Quran akan berlaku? Sebenarnya mereka menanyakan perkara yang sedang berlaku tetapi mereka tidak menyedari. 


i.    Bumi Rebah dan Gunung Runtuh Sebelum 
      As-Saah.  

Mereka sengaja menanyakan suatu persoalan sia-sia apabila sampai masa yang akan berlaku dalam masa terdekat ini. Al-Quran menjanjikan akan berlaku kejadian bumi rebah dan gunung runtuh sebelum berlaku As-Saah (73:14) dan kejadian itu sedang berlaku sekarang ini. Mereka masih mencabar bilakah akan berlaku keruntuhan semua itu? Walhal telah terdapat kejadian gunung runtuh ditimpa hujan di Filipina yang mengorbankan ramai penduduk kampung. Mereka masih bertanya bilakah akan terjadi semua itu? Walhal telah berlaku keruntuhan beberapa buah gunung di negara-negara Barat akibat pencairan perafros yang didakwa disebabkan oleh perubahan cuaca. Mereka masih bertanya bilakah akan berlaku keruntuhan itu sedangkan telah terjadi keruntuhan gunung di Pulau Jawa (pagi 2/9/2009) akibat gegaran gempa padahal gegaran sedemikian selama ini tidak pernah didengari mengakibatkan keruntuhan gunung?


ii.    Kejadian Yang Sia-sia Dinantikan.  

Mereka masih mempertikaikan kebenaran Al-Quran dan bertanya bilakah akan berlaku keruntuhan sebagaimana  yang dijanjikan Al-Quran? Walhal mereka menyaksikan sendiri kejadian keruntuhan tanah lereng lebuhraya berhampiran Gua Tempurung, keruntuhan Bukit Antarabangsa dan juga keruntuhan Highland Tower tidak lama dahulu. Barangkali mereka ingin melihat kejadian keruntuhan secara besar-besaran sebagaimana yang dinyatakan dalam surah Al-Haqqah dan surah Al-Qari'ah lalu mereka akan mendapati bagaimanakah sia-sianya persoalan sedemikian diajukan dan alangkah sia-sianya kejadian sedemikian dinantikan? Lantaran tidak terdapat usaha baik pulih pada ketika usaha itu dapat memberi kesan pemulihan. Sebenarnya usaha pemulihan yang memberi kesan adalah sekarang ini, umat harus kembali membaca Al-Quran dengan sebenar-benar pembacaan (2:121) bukan sekadar memberi tumpuan kepada pembacaan tajwid meskipun merupakan suatu kewajipan, bukan sekadar membaca terjemahan, sekalipun usaha itu amat dialu-alukan.





Monday, August 20, 2012

SURAH AL MULK AYAT 24 -- MANUSIA DIBIAKKAN DAN DIKUMPULKAN DI BUMI


Memulai Langkah Pemuliharaan

Wajarkah dalam keadaan umat yang sedemikian adanya pada waktu ini, para ulama memberi kesedaran kepada manusia umumnya, akan kepentingan merampas kembali amanah pemerintahan? Sedangkan mereka sendiri tidak akan sanggup melaksanakan amanah, tanpa terlebih dahulu membuat persiapan rapi terhadap umat sebagaimana risalah kerasulan yang diterap oleh RasululLah S.A.W. kepada para sahabat baginda. RasululLah S.A.W. terlebih dahulu menyampaikan kepentingan syahadah kepada yang sudi menerimanya dan kemudian menunjukkan kepada sahabat baginda kepentingan amalan tertentu berdasarkan ajaran-ajaran Tuhan yang baginda perolehi melalui Al-Quran. Pada peringkat awalnya baginda sendiri melarang perkataan baginda dituliskan dan yang perlu ditulis hanyalah Al-Quran. Supaya umat tidak keliru antara perintah Tuhan dan perintah Rasul. Kewajiban pertama adalah penyampaian Al-Quran semata-mata, beriman kepada Tuhan semata-mata dan baginda sendiri memberi contohnya.


67:24 – Manusia Dibiakkan dan Dikumpulkan Di Bumi Ini

قل هوالذى ذراكم فى الارض واليه تحشرون


Katakanlah olehmu, Dia yang telah memperkembang biak Ia akan kamu di bumi dan kepadanya kamu (semua) dihimpunkan. 

Katakanlah lagi: "Dia lah Yang mengembangkan kamu di bumi, dan kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan".


i.  Keperluan Manusia Untuk Hidup


Kerana urusan kehidupan manusia meliputi keperluan makanan, pakaian dan tempat kediaman, mereka melalui kehidupan secara berkeluarga sehingga mereka dapat berkembang biak. Sudah tentu urusan kehidupan manusia disibukkan dengan usaha mendapatkan suatu penghidupan untuk memenuhi semua keperluannya. Tiga keperluan asas yang manusia perlu dapatkan iaitu makanan, pakaian dan kediaman dan terdapat keperluan lain yang disediakan kepada mereka oleh Tuhan iaitu keperluan pernafasan dan pengekalan keadaan persekitaran yang seimbang yang mereka sebenarnya tidak perlu menyediakannya dan hanya perlu menjagainya. Terdapat keperluan untuk mereka berkembang biak yang dengannya mereka melalui kehidupan yang tenteram dan dapat membuat persediaan menghadapi kehidupan yang mendatang. Yang demikian itu mereka menempuh asas kehidupan bertamadun.


ii.    Keperluan Menuruti Panduan Tuhan Untuk Hidup


Oleh kerana manusia menempuh kehidupan, tidak hanya secara kumpulan mereka sahaja, bahkan mereka perlu melalui kehidupan dengan makhluk-makhluk lain yang terdiri daripada haiwan, tumbuh-tumbuhan serta kehadiran makhluk-makhluk ghaib yang lain yang tidak dapat mereka melihatnya dengan mudah. Dalam menghadapi kehidupan ini Tuhan tidak membiarkan manusia terkial-kial cuba menyelesaikan masalah mereka hanya semata-mata dengan keupayaan akal dan usaha mereka sahaja bahkan Tuhan telah memberi panduan kepada mereka melalui utusan Rasul-rasulNya diikuti dengan panduan suci daripada kitab-kitab yang beserta mereka. Namun atas kesombongan dan keingkaran sebahagian manusia, mereka cuba menguasai pentadbiran urusan dunia ini berdasarkan semata-mata kepada akal dan hawa nafsu sehingga mengakibatkan keperluan makanan manusia terjejas, begitu juga dengan keperluan pakaian mereka dan juga keperluan tempat kediaman mereka. Itu belum lagi dinyatakan dengan keadaan udara pernafasan mereka serta keseimbangan alam persekitaran mereka. Tentunya yang menyedari tentang semua permasalahan ini adalah mereka yang bersyukur, yang tahu menggunakan perasaan, pengelihatan dan pendengaran.


iii.    Segala Pekerjaan Ada Batasan


Terhadap semua keperluan yang berkenaan, manusia melakukan perjalanan di atas mukabumi sehingga mereka perlu mendapatkan kemudahan peralatan untuk tujuan perjalanan tersebut. Di sana dipersiapkan peraturan-peraturan tertentu supaya mereka dapat melaluinya dengan selamat dan tenteram. Sekiranya atas tujuan sedemikian, manusia memerlukan peraturan tertentu, bagaimanakah pula keperluan memelihara kebersihan diri dan keperluan terhadap kebersihan serta keseimbangan alam sekitarnya? Tentunya Tuhan telah sediakan panduan yang sebaik-baiknya. Manusia mencipta teknologi pengangkutan, kemudian mereka berasa hebat atas keupayaan teknologi pengangkutan yang mereka hasilkan. Begitu juga dengan segala teknologi yang lain. Disebabkan keingkaran, mereka mula memperkenalkan penggunaan teknologi sedemikian tanpa mengambil kira batas-batas tertentu dalam kepenggunaannya. Mereka perlu ingat bahawa setiap perkara pasti terdapat kesinambungannya, setiap tindakan pasti akan ada tindakbalas. Demikian itu peraturan Tuhan yang menciptakan alam ini dengan peraturan sebab dan akibat. Secara ringkasnya, penggunaan teknologi tanpa panduan Tuhan, pasti membawa akibat kerosakan dan penggunaannya dengan panduan Tuhan akan menjurus kepada kebaikan dengan izinNya. Sekurang-kurangnya mereka harus menempuhi suatu kaedah supaya penggunaan teknologi menjurus kepada kebaikan dalam mereka menempuh kehidupan berkeluarga sebagai unit asas kepada pembinaan masyarakat dan negara yang bertamadun. Bukan dengan permasalahan sosial masakini yang berlaku merata-rata?

iv.    Manusia Telah Melampaui Batasan Pekerjaan

Cukup untuk diperkatakan pada waktu ini, manusia menggunakan bahan-bahan tertentu untuk tujuan penyucian yang sebenarnya membawa mudharat kepada kehidupan mereka dan alam sekitar mereka sendiri. Mereka melaksanakan kempen hijau dan penanaman semula yang akan membawa mudharat terhadap kehidupan mereka dan bukannya membawa kebaikan kepada alam sekitar. Beberapa surah selepas ini membicarakan secara teliti bagaimanakah perlakuan yang manusia perlu hadapi agar mereka dapat melalui sesuatu yang dapat memulihkan keadaannya, kehidupan kekeluarganya serta memulihkan semula keadaan alam sekitar yang telah dirosakkan akibat daripada kerja tangan golongan yang ingkar? Mereka perlu ingat bahawa mereka hidup di dunia ini hanya sekadar untuk menimba pengalaman hidup yang ada catatan amal. Pengalaman sedemikian akan mereka gunakan apabila menempuh kehidupan semula di akhirat nanti. Lalu bagaimanakah golongan yang hanya tahu membawa kerosakan dapat dikumpulkan bersama dengan golongan yang tahu melakukan pemulihan?

Wednesday, August 15, 2012

SURAH AL MULK AYAT 23 -- GUNAKAN PENDENGARAN DAN HATI UNTUK BERSYUKUR


قل هو الذى انشاءكم و جعل لكم السمع
و الابصار و الافئدة قليلاما تشكرون

Katakanlah olehmu, dia yang telah memelihara (membelai) Ia akan kamu dan telah mengadakan Ia bagimu pendengaran dan pengelihatan dan perasaan (hati). Sedikit sekali (daripada) kamu (yang) bersyukur.

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Allah Yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur".

Adakah Tuhan yang sedemikian sifatNya, mengajari manusia melalui banyak peristiwa silam, menggalakkan manusia menziarahi tempat-tempat peristiwa silam, memberitahu fenomena langit yang dapat memberi kesan kebinasaan terhadap manusia, serta fenomena pergerakan udara sehingga dapat membantu manusia dalam banyak perkara, sehingga memberi panduan mudah kepada manusia mengkajinya, tidak memberi sebarang erti buat manusia yang diberi pengelihatan, pendengaran dan perasaan? Hanya manusia yang bersyukur sahaja dapat melihat, mendengar dan mengambil pengertian terhadap panduan Tuhan sedemikian. Hanya yang bersyukur sahaja dapat mengambil pelajaran dan memulai usaha memperbaiki amalan manusia supaya menjaga pemberian Tuhan kepada manusia darihal keseimbangan alam, pengajaran daripada sejarah-sejarah silam dan sebagainya.

i.     Hanya Yang Bersyukur Sanggup Mulai 
       Baca Al-Quran

Hanya yang bersyukur sahaja mahu mengambil langkah mula membaca Al-Quran dengan sebenar-benar pembacaan (2:121) dan bukannya terikut-ikut disiplin akademi semasa yang sengaja menjadikan Al-Quran itu suatu kitab yang terlalu suci, sehingga sukar dipelajari dan disampaikan kepada umat manusia. Mengingkari pengajaran sedemikian akan mengakibatkan seseorang sentiasa berada dalam keadaan merugi.


ii.    Hanya Yang Bersyukur Sanggup Bertukar 
       Ke Cara Beragama Yang Baru.

Perkataan ﻗﻠﻴﻼﻣﺎ sekiranya diterjemah secara terus daripada bahasa Arab bererti “sedikit sekali apa yang”. Namun terjemahan sedemikian akan menyebabkan pengertian suatu perkataan tertentu didapati berlaga dengan kefahaman ayat tentang sesuatu. Perkara ini telah dibincangkan dalam surah-surah awal sebelum ini sehingga penulis dapat simpulkan bahawa penguasaan bahasa Arab semata-mata tidak mampu untuk memahami ayat-ayat tertentu dalam Al-Quran. ﻗﻠﻴﻼﻣﺎ harus diterjemahkan sebagai “sedikit sekali daripada”. Iaitu sangat sedikit daripada manusia yang mahu bersyukur.

iii.    Nyatanya Amat Sedikit Yang Bersyukur


Perkataan bersyukur, Tuhan nyatakan selepas daripada pendengaran, pengelihatan dan perasaan yang Ia sediakan kepada manusia. Oleh yang demikian bersyukur, ada kena mengena dengan mempergunakan pendengaran, pengelihatan dan perasaan dengan sebaik-baiknya untuk memahami ayat-ayat Tuhan. Oleh kerana mereka yang bersyukur merupakan jumlah yang sangat sedikit daripada umat manusia, peranan mereka amat penting dalam mengendalikan urusan alam ini sebagaimana yang diperintah Tuhan. Kepada mereka jualah diharapkan untuk menjadi pimpinan umat, menyedarkan mereka betapa pentingnya umat kembali.

Memulai Langkah Pemuliharaan

Wajarkah dalam keadaan umat yang sedemikian adanya pada waktu ini, para ulama memberi kesedaran kepada manusia umumnya, akan kepentingan merampas kembali amanah pemerintahan? Sedangkan mereka sendiri tidak akan sanggup melaksanakan amanah, tanpa terlebih dahulu membuat persiapan rapi terhadap umat sebagaimana risalah kerasulan yang diterap oleh RasululLah S.A.W. kepada para sahabat baginda. RasululLah S.A.W. terlebih dahulu menyampaikan kepentingan syahadah kepada yang sudi menerimanya dan kemudian menunjukkan kepada sahabat baginda kepentingan amalan tertentu berdasarkan ajaran-ajaran Tuhan yang baginda perolehi melalui Al-Quran. Pada peringkat awalnya baginda sendiri melarang perkataan baginda dituliskan dan yang perlu ditulis hanyalah Al-Quran. Supaya umat tidak keliru antara perintah Tuhan dan perintah Rasul. Kewajiban pertama adalah penyampaian Al-Quran semata-mata, beriman kepada Tuhan semata-mata dan baginda sendiri memberi contohnya.




Sunday, August 12, 2012

SURAH AL MULK AYAT 22 -- PERBEZAAN BERJALAN MERANGKAK DAN BERJALAN TEGAK



ا فمن يمشى مكبا على وجهه اهدى
ا من يمشى سويا على صراط مستقيم


Adakah maka sesiapa yang ia berjalan secara menyungkur (merangkak) atas mukanya (seperti haiwan) lebih berpetunjuk ataukah sesiapa yang ia berjalan (dengan) betul atas jalan yang lurus?

maka Adakah orang Yang berjalan (melalui jalan Yang tidak betul, Yang menyebabkan Dia selalu jatuh) tersungkur di atas mukanya: boleh mendapat hidayah atau orang Yang berjalan tegak betul, melalui jalan Yang lurus rata?


Itulah perbezaan antara golongan yang ingkar, mendapatkan suatu kehidupan dengan cara terkial-kial berbanding dengan golongan yang beriman, yang mendapatkan kehidupan cara betul dengan berpetunjuk daripada petunjuk Tuhan.

i.     Golongan Ingkar Bekerja Secara Gelojoh, Golongan 
       Beriman Bekerja Secara Berhati-hati

Mempelajari petunjuk Tuhan, memudahkan kerja golongan beriman supaya mereka lebih berhati-hati dengan kehidupan mereka. Mereka tidak perlu menghabiskan masa mereka di ladang-ladang untuk mendapatkan hasil yang dapat ditukarkan dengan wang ringgit semata-mata untuk membayar hutang riba mereka. Mereka tidak perlu tergesa-gesa dalam mengurus kehidupan mereka sehingga mereka menjadi hamba kepada suasana atau sesiapa sahaja. Mereka melakukan pekerjaan lantaran perkara demikian adalah tuntutan dalam agama, supaya setiap individu bekerja. Mereka merujuk kepada panduan Tuhan, dalam menyelusuri pekerjaan mereka. Oleh itu mereka bukanlah penyumbang kepada kerosakan alam ini. Mereka melakukan kerja-kerja pemulihan dalam segenap bidang kehidupan.

Dalam keadaan golongan yang ingkar berebut-rebut menggunakan baja nitrat sintetik dalam pekerjaan ladang, mereka mengambilnya dengan cara yang sangat berhati-hati supaya tidak merosakkan struktur bumi serta tanah yang digunakan untuk projek pertanian. Dalam keadaan golongan yang ingkar menggunakan ammonia yang beracun untuk tujuan pembajaan secara terdedah dan mencemari alam sekitar, mereka mengambilnya secara tertutup supaya keseluruhan ammonia dapat digunakan. Dalam pada golongan yang ingkar memperkenalkan klorin untuk tujuan rawatan air, mereka menggunakan logam berat seperti perak (76:15) atau titanium untuk pemendakan keladak dalam air. Sebenarnya klorin yang terbebas daripada air yang dididih atau melalui peruapan akan bertindak dengan wap metana atau wap hidrokarbon yang lain, lambat laun sampai ke lapisan stratosfera. Klorometana atau klorokarbon yang bergabung dengan gas flourin akhirnya dapat membentuk gas kloroflorokarbon yang dapat memusnahkan lapisan ozon.

Dalam keadaan golongan ingkar mengamalkan aktiviti ekonomi secara riba yang berleluasa, golongan yang beriman menghindar diri daripada sistem riba. Dalam surah-surah selanjutnya ada menerangkan secara terperinci kesan pengamalan ekonomi riba yang amat memudharatkan kehidupan masyarakat serta menyebabkan inflasi tak terkawal. Kehidupan masyarakat yang dicengkam dengan aktiviti riba adalah kacau bilau manakala mereka yang menghindari diri daripada aktiviti riba adalah harmoni. Golongan yang ingkar amat berbangga dengan projek-projek yang memusnahkan kawasan habitat fauna dan pertumbuhan flora untuk mengaut sumber hasil hutan manakala golongan yang beriman tahu akan dosa yang akan mereka tanggung akibat memetik daun tumbuhan tanpa sebab.

ii.     Golongan Ingkar Secara Cuba Dan Jaya, Golongan 
        Beriman Merujuk Panduan Tersedia

Setiap kali bencana berlaku akibat perlakuan golongan yang ingkar, yang tidak memilih sesiapa jua menjadi mangsa, mereka akan meneliti serta mengkaji sebab-sebab kejadian itu. Lalu mereka mewujudkan peraturan-peraturan tertentu untuk menghindari kejadian berkenaan daripada berulang. Hampir-hampir mereka berputus asa lantaran terkial-kial mendapatkan kaedah terbaik, namun bencana demi bencana tetap juga berlaku. Perlukah mereka merangkak dengan muka mereka dekat dengan lantai untuk mengelakkan kaki mereka terpijak sesuatu yang memudharatkan, sedang bumi yang Tuhan ciptakan adalah sesuai untuk manusia berjalan betul? Golongan yang beriman pernah diberi peranan memakmurkan mukabumi ini selama hampir 1000 tahun dan mereka memberi sumbangan-sumbangan besar dalam penjagaan alam sekitar. Golongan ingkar mula menguasai dunia ini sekitar 200 tahun lalu, lihatlah kerosakan yang mereka telah lakukan. Segala-galanya perlu diperbetul kembali, namun bilakah kedurjanaan mereka akan berakhir?






Wednesday, August 8, 2012

SURAH AL MULK AYAT 21 -- TUHAN MENGAWAL REZEKI MANUSIA MELALUI CUACA DAN UDARAKASA



ا من هذا الذى يرزقكم ان امسك
رزقه بل لجوا فى عتو و نفور

Adakah siapa lagi (daripada) ini yang Ia memberi rezeki kepadamu, bahawa telah mengawal Ia akan rezekiNya? Bahkan telah terus laju mereka dalam kesombongan bersangatan dan menjauhi diri. 

atau siapa Dia Yang dapat memberi rezeki kepada kamu jika Allah menahan rezekiNya? (tidak ada sesiapapun), bahkan mereka (yang musyrik itu) kekal terus Dalam keadaan sombong angkuh serta melarikan diri (dari kebenaran).

i.     Kesan Suhu Yang Stabil

Ayat ini dihubungkan dengan ayat sebelum ini dan ayat-ayat sebelumnya, menjurus kepada kefahaman bahawa Tuhan Al-Rahman, Dialah yang memberi rezeki serta mengawal rezeki pada kadar tertentu. Segala-galanya tunduk kepadaNya dengan kiraan tertentu dan kadar tertentu. Sebelum adanya manusia yang mendiami bumi ini, telah terdapat penghuni-penghuni daripada haiwan-haiwan dan juga tumbuh-tumbuhan. Semuanya saling berinteraksi pada kadar tertentu sehingga terbentuk kestabilan hidupan.

ii.    Pembentukan Cuaca Yang Terkawal

Kemudian manusia yang jahil diciptakan Tuhan untuk memakmurkan bumi dan atas sikap tergesa-gesa manusia (70:19), menyebabkan mereka memerlukan panduan daripada Tuhan Al-Rahman (55:1~7) untuk memakmurkannya. Kemudian jadinya mereka menempuh kehidupan dan melanggar pertimbangan dalam mengurus alam kehidupan mereka (55:8). Tuhan Al-Rahman yang menyediakan rezeki untuk hidupan. Melalui air hujan yang diturunkan, Tuhan mengeluarkan rezeki dari bumi. Lalu bagaimanakah hujan, yang merupakan suatu fenomena alam, menurut peraturan Tuhan, sebelum ini dapat turun dengan kadar tertentu sesuai dengan keadaan setempat, dapat kekal sedemikian adanya, kiranya manusia sendiri melalui tindakan gelojoh mereka, mengakibatkan keseimbangan alam terganggu? Manusia melakukan pekerjaan tanpa panduan daripada Tuhan, sehingga mengakibatkan terhasilnya suatu keadaan yang dinamai sebagai perubahan cuaca.

iii.    Usaha Bersungguh-sungguh Manusia 
        Melanggar  Peraturan Tuhan Sehingga 
        Mengakibatkan Perubahan Cuaca  Dan 
        Bencana Alam

Mereka mahukan hasil pertanian dan penternakan memberi pulangan yang cepat, dengan usaha yang sedikit dan hasil yang banyak, dengan kerja-kerja yang dibantu peralatan yang menyenangkan. Pembakaran hidrokarbon berlaku sangat berleluasa bahkan perlepasan gas metana yang memerangkap haba di atmosfera tidak juga dikawal. Akibatnya suhu bumi meningkat, ais-ais di kutub semakin mencair, kelembapan udara di permukaan bumi meningkat dengan ketara dan kuantiti hujan semakin banyak. Dengan tenaga haba yang tinggi di persekitaran dan kuantiti air yang banyak di udarakasa, terlalu banyak kejadian hujan dan taufan yang membinasakan ladang-ladang pertanian telah terjadi. Manusia masih mengingkari Tuhan Al-Rahman daripada berhati-hati dalam menempuh kehidupan dan beriman kepadaNya dengan cara meneliti ayat-ayatNya. Mereka berterus-terusan melaksanakan pertanian intensif, menggunakan baja terlarang, semata-mata untuk mendapatkan pulangan yang sangat banyak. Akibatnya, akan sampai masanya, bumi menjadi terlalu panas, kuantiti air di udarakasa menjadi berkurangan disebabkan tiada lagi pencairan ais, hujan yang turun adalah hujan yang panas serta membinasakan atau berlaku kemarau yang amat berpanjangan mencapai tempoh tahun.

Bukankah Tuhan Al-Rahman yang paling mengerti dengan kadar rezeki yang harus Dia sediakan kepada semua hidupan di bumi ini? Sedangkan yang dikehendaki oleh golongan yang ingkar adalah monopoli. Sebahagian mereka menghendaki bahawa mereka menjadi pengeluar terbanyak hasil pertanian supaya mereka dapat memonopoli harga pasaran dan mereka sanggup memusnahkan hasil ladang dan ternakan mereka semata-mata untuk mengawal harga pasaran. Mereka menjauhi pengajaran-pengajaran Tuhan yang mengajar manusia supaya banyak membantu umat mendapatkan keredhaan Tuhan. Dengan kemewahan yang sedikit, yang mereka perolehi dalam kehidupan dunia ini, mereka berlaku sombong dengan kesombongan yang bersangatan seolah-olah mereka ingin memberitahu, lantaran mereka golongan yang kaya, jadi mereka adalah lebih ‘benar’ jalannya daripada golongan yang berhati-hati dalam pekerjaan.




Sunday, August 5, 2012

SURAH AL MULK AYAT 20 -- UDARA DAN CUACA MENJADI TENTERA AL-RAHMAN


ا من هذا الذى هو جندلكم ينصر كم
من دون الرحمن ان الكفر
ون الا فى غرور

Adakah siapa lagi (daripada) ini yang ia adalah tentera bagi kamu, ia menolong kamu daripada selain Al-Rahman? Sungguh (tidaklah) golongan yang ingkar melainkan dalam (keadaan) terpedaya.

bahkan siapa Dia Yang menjadi tentera bagi kamu, Yang akan menolong kamu selain dari Allah Yang Maha Pemurah? (sebenarnya) orang-orang Yang kafir tidak lain hanyalah berada Dalam keadaan terpedaya.

 i.     Bantuan Kepada Mujahideen Afghanistan

Kisah perjuangan Mujahidin yang berjuang di Afghanistan memerangi tentera Soviet Russia, Soviet Russia yang dilengkapi dengan pesawat canggih sering mengebom kedudukan Mujahidin dari udara. Namun bantuan Al-Rahman telah terlebih dahulu datang melalui sekumpulan burung putih atau awan yang melindungi, yang mengkhabarkan tentang kedatangan pesawat pejuang, sehingga membolehkan pasukan Mujahidin membuat persiapan awal. Serangan pasukan udara Soviet hanya dapat mendatangkan bencana minimum di pihak Mujahidin.

ii.     Letusan Udara Yang Memusnahkan Fir'aun

Tuhan Al-Rahman mendatangkan bantuan tentera melalui perkara-perkara yang dapat dipelajari oleh manusia. Kejadian laut terbelah semasa Fir’aun mengejar Bani Israel adalah suatu mukjizat Tuhan, tidak difahami pada zaman itu tetapi dapat dijangkakan kejadian berkenaan berdasarkan pengamatan saintifik pada zaman ini. Kefahaman saintifik sedemikian tidaklah dapat dikatakan sebagai satu kaedah supaya ‘mukjizat’ sedemikian dapat diulangi, tetapi untuk tujuan pengajaran penting umat masakini supaya berhati-hati dalam pekerjaan mereka. Sila rujuk ke surah Al-Muzammil untuk mengetahui tentang pengamatan saintifik mukjizat Tuhan pada zaman Nabi Musa A.S.

Pada zaman ini teknologi lebih dipelopori oleh golongan yang ingkar. Umat ini telah meninggalkan suatu kepentingan penyediaan persiapan peperangan daripada kekuatan besi dan mereka menjadi lemah atas kesalahan saling bertelingkah dan berperang sesama mereka. Namun golongan yang ingkar masih terkebelakang darihal penjagaan alam sekitar sehingga mengakibatkan negara mereka paling teruk dilanda bencana saban tahun. Sekalipun mereka merupakan umat paling kayaraya di dunia ini, seringkali mereka mengalami kerugian kehilangan kekayaan dan ditimpa pelbagai penyakit yang memudharatkan. Oleh itu masih terdapat perkara-perkara yang mereka boleh pelajari daripada umat Islam pada waktu ini, sekalipun umat ini tidak menyedari bahawa mereka ada melakukan sesuatu yang dapat memulihkan alam sekitar mereka. Di kebanyakan negara-negara umat Islam, mereka masih banyak menggunakan baja asli dalam aktiviti pertanian mereka. Yang perlu mereka lakukan adalah kembali semula kepada kitab suci dan bermuhasabah mengikhlas diri kepada Tuhan akan agama mereka.

iii.     Kerosakan Alam Sekitar Di Negara Barat

Golongan yang ingkar menolak keimanan. Mereka cuba memberi jawapan terhadap semua bencana yang mengenai mereka sebagai kuasa alam, seolah-olah Tuhan tidak memainkan peranan langsung dalam menimpakan bencana pada tempat-tempat tertentu di kediaman mereka. Tidakkah mereka mengkaji bagaimana umat-umat terdahulu dimusnahkan Tuhan melalui perantaraan cuaca yang memudharatkan? Mereka harus mengkaji peristiwa Fir’aun, kaum Iram dan sebahagian umat terkemudian seperti kejadian ribut Greg yang menimpa kaum pendatang di Sabah, taufan Billis yang menimpa penduduk Myanmar dan sebagainya. Bukankah yang demikian itu merupakan sebahagian daripada bencana yang Tuhan turunkan lantaran dosa-dosa yang mereka lakukan? Padahal penduduk di negeri-negeri berkenaan bukanlah umat yang melakukan kerosakan terhadap alam sekitar secara ketara, seperti yang dilakukan oleh masyarakat di negara Barat.

Tuhan sengaja membiarkan golongan ingkar sehingga sampai masa mereka terperangkap hasil daripada pekerjaan mereka sendiri. Mereka mengusahakan semahu-maunya segala sumber yang mereka perolehi dan melaksanakan kerja secara gelojoh tidak berhati-hati. Bukankah telah banyak kerugian yang mereka alami setiap tahun akibat daripada bencana sedang mereka masih bermain-main dengan bencana Tuhan?



Thursday, August 2, 2012

SURAH AL MULK AYAT 19 -- PERATURAN TUHAN TERHADAP SAYAP BURUNG



ا و لم يروا الى الطير فوقهم صافت
و يقبضن ما يمسكهن الا الرحمن

Adakah dan telah tidak mereka melihat kepada burung di atas mereka, yang mengapung dan ia mengepit keduanya? Tiada yang ia mengawal akan keduanya melainkan Al-Rahman. 

Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung Yang terbang di atas mereka, (siapakah Yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? tidak ada Yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah.

Terjemahan penulis sedemikian tentunya akan menjurus kepada penerangan sifat aerofil terhadap sesuatu yang berlaku kepada sayap burung semasa penerbangannya. Cuba bandingkan dengan terjemahan yang biasa ditemui iaitu "Tidakkah mereka memerhatikan burung di atas mereka terbang mengembangkan sayapnya dan mengepitkannya? Tiada sesiapapun yang menahan nya selain daripada Tuhan yang Pemurah." Terjemahan sedemikian seperti membayangkan Tuhan meletakkan ‘tangan’Nya di bawah burung untuk menahan burung itu daripada jatuh!

Terdapat hikmah yang Tuhan sebut bahawa sifatNya yang Maha Melihat. Pengajarannya, manusia perlu memerhatikan ciptaan Tuhan sedemikian rupa kerana terdapat manfaat yang akan diperolehi daripada pemerhatian berkenaan. Selain daripada tujuan mendapatkan manfaat dengan meniru bentuk sayap burung untuk membina teknologi penerbangan, manusia harus memerhatikan pergerakan udarakasa yang memainkan peranan penting yang dapat mengubah tekanan udarakasa setempat.

Mengkaji Contoh Peraturan Tuhan Pada Makhluk Ciptaannya

i.       Peraturan Bentuk Larus

    Bentuk Larus - Burung diciptakan Tuhan memiliki bentuk larus, bentuk ini akan membolehkan haiwan ini dapat meredah udara dengan kesan geseran udara yang rendah. Bentuk seperti ini didapati pada ikan dan manusia meniru dalam menghasilkan peralatan yang merempuh udara seperti pesawat udara, peluru berpandu dan peralatan merempuh air seperti kapal selam dan senjata torpedo. Untuk pesawat udara yang bergerak pada kelajuan yang sangat tinggi seperti pesawat Sukkoi yang direkacipta oleh pihak Russia, muncung yang sangat keras seperti titanium diperlukan. Kelajuan bersangatan pesawat, akan merempuh udara seperti pisau yang memotong pepejal. Dengan titanium, aliran udara dapat ditepis menjauhi jasad pesawat membentuk larus dan mengurangkan kesan geseran udara terhadapnya.

ii.       Peraturan Bentuk Aerofilik

    Bentuk Aerofil - Semua sayap burung, sayap pesawat terbang memiliki bentuk aerofil iaitu cembung ke atas dan menirus di bahagian belakang. Tujuannya adalah supaya aliran udara dapat bergerak lebih jauh pada kedudukan atas berbanding kedudukan bawah. Dengan demikian tekanan udara adalah lebih rendah pada bahagian atas dan pada kelajuan tertentu, sayap akan berjaya diangkat ke atas. Bentuk larus bersama bentuk aerofil memungkinkan burung dan pesawat udara selain dapat diangkat ke atas, juga dapat meluncur ke hadapan pada kelajuan tertentu. Apabila sayap kekal diapungkan tanpa dikibarkan ataupun enjin pesawat dimatikan, burung dan pesawat masih berupaya untuk meluncur laju bergerak pada jarak tertentu sebelum mencecah bumi.

iii.      Peraturan Tekanan ↔ Kelajuan Udara

    Lebih Laju Pergerakan Lebih Rendah Tekanan – Bukan sahaja terhadap pergerakan udara, sifat ini ditunjukkan oleh pergerakan air. Kajian kesan tekanan dan aliran bendalir merupakan subjek penting dalam pembelajaran mekanik bendalir yang diajar di universiti. Kajian sedemikian menjurus kepada kefahaman perkisaran angin di permukaan bumi sehingga mengakibatkan kajian cuaca dapat dilakukan. Taufan dapat dijangkakan dengan perubahan tekanan tertentu udarakasa bumi pada tempat-tempat berlainan.

Bencana dan Manfaat daripada Peraturan Tuhan

iv.        Fenomena Riak, Gelora Dan Taufan

Tekanan setempat bendalir dapat disebabkan oleh perbezaan kelajuan bendalir berkenaan di tempat-tempat tertentu. Perbezaan yang ketara pada kelajuan bendalir tertentu boleh mengakibatkan terhasilnya riak atau gelora. Pada saiz yang besar dinyatakan sebagai taufan. Kajian riak dan gelora sangat penting untuk mengkaji kesan bentuk tiang jambatan ke atas tanah atau pasir di dasar sungai. Pengabaian kesan gelora aliran air boleh mengakibatkan jambatan runtuh dengan tiba-tiba. Sempena keadaan sedemikian, tapak jambatan Pulau Pinang telah mengambil bentuk larus bagi mengurangkan kesan gelora yang dapat merosakkan struktur tanah. Gelora juga mengakibatkan terhasilnya kekeruhan. Sungai yang mengalami kekeruhan tentunya memberi gambaran terdapat aktiviti gelora pada aliran sungai di bahagian hulu mungkin disebabkan kesan aktiviti pembalakan haram atau penggalian bijih secara haram. 

Bentuk larus tapak jambatan memberi kesan
besar kepada struktur pembinaan
 

v.         Perbezaan Tekanan Dan Perubahan Monsun

Pergerakan yang menghasilkan kelajuan tertentu pada bahan bendalir boleh disebabkan oleh perbezaan tekanan pada dua tempat yang berbeza. Perbezaan tekanan ini terhasil disebabkan perbezaan suhu yang wujud antara dua tempat berbeza. Di negara Malaysia, perbezaan suhu antara hemisfera Utara dan hemisfera Selatan, menghasilkan dua monsun iaitu monsun timur laut pada hujung dan awal tahun dan monsun barat daya pada pertengahan tahun.

Kejatuhan suhu secara tiba-tiba dapat berlaku pada tempat-tempat tertentu sehingga mengakibatkan fenomena letusan udara (air burst) yang amat merbahaya kepada pemanduan pesawat di kawasan tertentu. Sekiranya melibatkan tempat yang luas di atas permukaan bumi, dapat memberi amaran akan berlaku kejadian ribut sepertimana ribut Greg suatu masa dahulu yang sengaja diabaikan amarannya oleh pihak pemerintah sehingga mengakibatkan korban nyawa yang tinggi di pantai barat Sabah.

vi.       Apakah Yang Berlaku Semasa Perubahan Cuaca?

Kejatuhan suhu secara tiba-tiba sehingga mencapai perbezaan 13º celcius merupakan petanda akan berlaku kejadian taufan besar-besaran. Kejatuhan dapat disebabkan oleh tindakbalas komposisi kimia udarakasa yang akan dibincangkan dalam surah-surah terkemudian daripada surah ini atau disebabkan oleh kesan radiasi hebat dari matahari. Demikianlah sifat Tuhan Al-Rahman yang mengajar manusia berdasarkan Al-Quran dan sentiasa mengajar manusia perkara-perkara baru yang manusia tidak mengetahuinya sebelum itu. Perbezaan tekanan setempat antara permukaan bumi yang berlainan, adalah agenda Tuhan sehingga dapat memindahkan wap-wap air dari laut ke daratan. Ia juga berupaya memindahkan debu-debu halus dari satu permukaan bumi ke bahagian yang lainnya sehingga mendatangkan mudharat kepada hidupan atau mendatangkan manfaat tertentu.

Tuhan Maha Berkuasa, melalui peraturan tabii ciptaanNya sehingga manusia tidak dapat menyedari bahawa segala kejadian yang berlaku sebenarnya adalah agenda Tuhan. Namun sekiranya Tuhan Yang Maha Merekacipta (Al-Rahman) itu berupaya mencipta sayap burung dengan ukuran tertentu supaya dapat berada di angkasa, yang demikian Tuhan Al-Rahman mampu mengawal kejadian-kejadian tertentu di bumi ini sehingga umat manusia mendapat rahmat atau ditimpa azab, menurut kehendak Tuhan.

Tuhan Al-Rahman mengajari manusia akan peraturanNya (55:04). Manusia mempelajarinya lalu mereka merekacipta sesuatu untuk kemudahan mereka. Mereka mencipta pesawat terbang untuk mengembara dengan lebih cepat. Mereka mencipta peralatan yang dapat mengukur tekanan udarakasa untuk mengkaji perubahan cuaca. Peralatan satelit dengan kemudahan pengesanan suhu dan tekanan udarakasa dapat meramal perubahan cuaca yang berlaku di bumi pada kedudukan yang besar. Mereka juga mencipta peralatan yang dapat mencerap pergerakan debu yang dipindahkan dari satu benua ke benua yang lain. Semua idea ini diperolehi daripada kerja-kerja kejuruteraan teliti yang Tuhan laksanakan terhadap sayap burung, sehingga manusia membuka ruang pengkajian terhadap mekanik bendalir. Tuhan Al-Rahman amat menggalakkan manusia melakukan pengamatan terhadap segala rekaciptaan Tuhan. Semuanya harus dipelajari berdasarkan sifat Tuhan Al-Rahman Maha Melihat Segala Sesuatu.

انه بكل شئ بصير

Sesungguhnya Ia terhadap segala sesuatu Maha Melihat. 

Sesungguhnya ia Maha melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Popular