الذى
خلق الموت و الحيوة
ليبلو كم ايكم احسن عملا وهو العزيز الغفور
ليبلو كم ايكم احسن عملا وهو العزيز الغفور
Yang telah merekabentuk mati dan hidup supaya
ia menguji kamu, mana-manakah kamu (yang) terlebih molek amalan? Sedang Ia
Maha Perkasa Maha Pengampun.
Dia lah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan
hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara
kamu Yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha
Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat);
i. Analogi Mati dan Hidup
Dalam ayat ini dinyatakan terlebih dahulu
bahawa Tuhan yang mencipta mati. Sekiranya tidak dimulai dengan mati, sesuatu
itu tidak dapat dibezakan antara mati dan hidup. Perbezaan mati dan hidup
barangkali merupakan sesuatu takrifan yang relatif merujuk kepada pengamatan
seseorang. Perkara yang semudah robot ciptaan manusia seperti asimo, barangkali
dapat dinyatakan hidup oleh seseorang kanak-kanak. Robot yang berupaya menjawab
soalan, mengulangi nama si penanya, melakukan aktiviti menari dan berjalan
serta memanjat tangga, kelihatan seperti suatu rekaan hidup padanya. Yang
membezakannya dengan benda-benda yang mati dan 'hidup'nya robot asimo
barangkali dirujuk kepada keupayaan bergerak dengan sendirinya. Benda mati
tidak dapat bergerak dengan sendirinya sedangkan robot asimo dapat bergerak
dengan 'sendiri'nya.
Asimo dikatakan hidup kerana dapat
bergerak dengan 'sendiri'nya.
Seseorang dewasa tentunya tidak dapat menerima
kenyataan bahawa robot asimo adalah sesuatu yang 'hidup'. Seseorang itu akan
memberi takrifan yang lain tentang hidup iaitu sesuatu yang hidup haruslah
berupaya untuk berkembang biak, tidak seperti robot asimo yang tidak memiliki
anggota seksual dan organ peranakan atau sebagainya. Robot asimo mungkin suatu
ciptaan yang berupaya 'makan' tenaga elektrik melalui pengaturcaraan program
arahan tertentu yang tersedia padanya. Oleh itu seseorang dewasa hanya akan
menganggap robot asimo sebagai suatu benda mati yang menakjubkan.
Begitu juga seorang ahli biologi yang berusaha
mentakrif erti hidup dan mati terhadap sesuatu organisma. Manusia secara
umumnya akan menganggap subjek seni seperti virus adalah sesuatu yang hidup,
subjek ini dapat membiak, menyerap sejumlah nutrien dan tenaga sebagai
pemakanannya yang semata-mata bertujuan untuk membiak. Apabila bilangannya
menjadi sangat banyak, subjek ini pula berupaya untuk berpindah ke
perumah-perumah yang lain melalui jangkitan tertentu dan berterusan membiak.
Oleh yang demikian, virus dinyatakan sebagai sesuatu yang hidup.
Takrifan sedemikian tentunya akan disangkal
oleh ahli bioteknologi yang menyatakan virus bukanlah suatu organisma yang
terdiri daripada sel. Virus didapati tidak beraktiviti apabila berada di luar
perumah dan dikatakan sebagai subjek mati lantaran tidak dapat bergerak dengan
sendirinya. Lalu bagaimanakah subjek seni ini dapat dikatakan sebagai hidup? Subjek
seni ini tidak mengandungi sel yang berupaya mengawal kadar metabolisma
sekalipun berupaya untuk menduplikasi dirinya. Sel-sel melakukan pembelahan sel
untuk perkembangannya, sedangkan virus tidak bersifat sedemikian. Seterusnya
sel-sel melakukan kerja-kerja tertentu secara sendirinya seperti menyerap bahan
makanan dan oksigen, melakukan pembakaran untuk mendapatkan tenaga dan
menggunakan tenaga berkenaan untuk perkembangan terkawal. Virus tidak dapat
mengawal dirinya lalu bagaimanakah dapat dinyatakan sebagai hidup?
Virus hanya 'tahu' membiak dan mendatangkan
masalah kepada hidupan bersel.
Lalu takrifan hidup akan berbeza antara ahli
bioteknologi dengan manusia secara umumnya. Hidup sebagai sesuatu yang berupaya
untuk beraktiviti, berkembang biak serta mengawal perkembangan koloninya.
Perkara sedemikian berlaku terhadap hidupan seni seperti bakteria yang dapat
berkembang biak secara terkawal. Virus terus berkembang biak secara tidak
terkawal sehingga mencapai keadaan tepu dan akhirnya lenyap. Virus cacar adalah
satu-satunya virus yang mengakibatkan penyakit yang dikenalpasti telah lenyap
dengan terhasilnya vaksin yang dapat menumpaskannya. Sekiranya virus ditakrif
sebagai sesuatu yang hidup, membiak sekalipun pada keadaan tidak terkawal maka
virus ciptaan manusia yang tersebar melalui media komputer, layak dinyatakan
sebagai sesuatu yang hidup. Virus ini terdiri daripada kod-kod binari yang
dapat melaksanakan aktiviti berkembang biak apabila berada dalam perumah iaitu
komputer. Virus ini berjangkit dan membawa mudharat kepada pengguna-pengguna
komputer sehingga mengakibatkan mereka kerugian.
ii. Mati Adalah Yang Mematikan Dan
Hidup Adalah Yang Menghidupkan
Bermula takrifan hidupan adalah daripada sel
(organisma). Demikian itu masih lagi takrifan saintis secara umum. Apabila
sampai ke tahap ilmu perubatan secara lebih teliti, takrifan tentang hidup dan
mati sekali lagi berubah. Seorang yang berada dalam keadaan pengsan atau koma
sedangkan organ otaknya masih menunjukkan aktiviti, dinyatakan sebagai masih
lagi hidup secara klinikal manakala seorang yang koma dalam keadaan tiada lagi
aktiviti otak yang dapat dikesani dikatakan sebagai telah mati secara klinikal.
Namun terdapat kes, seseorang yang telah mati
secara klinikal dengan tiada aktiviti otak serta tiada sebarang denyutan
jantung, kemudiannya didapati masih hidup dan dapat 'hidup semula' setelah
melalui proses 'kematian'nya itu. Yang demikian itu, takrifan hidup dan mati
terhadap sesuatu subjek atau individu masih dinyatakan sebagai sesuatu yang
samar. Namun seorang manusia yang hidup didapati dapat menyaksikan kejadian-kejadian
mati dan hidup. Tuhan sendiri mengagendakan kematian dan kehidupan dengan
tujuan tertentu iaitu untuk menguji siapakah dalam kalangan hamba-hambaNya yang
terlebih molek amalannya? Tentunya ada tujuan tertentu yang Tuhan lakukan
sedemikian yang hanya Dia sahaja yang mengetahui. Takrifan hidup dan mati pada
ukuran tubuh fizikal didapati tidak selari dengan takrifan kerohanian. Terdapat
ayat dalam surah Al-Baqarah yang memberitahu bahawa Tuhan melarang umat ini
memperkatakan terhadap jiwa seseorang yang terbunuh pada jalan Tuhan sebagai
mati, bahkan ia hidup di sisi Tuhan dan mendapat rezeki (2:154). Orang-orang
yang beriman tidak harus menyebut 'mati syahid' terhadap individu yang terbunuh
pada jalan Tuhan. Begitu juga dengan arahan untuk umat ini berperang pada jalan
Tuhan dengan menyerbu musuh, sebenarnya adalah sesuatu yang membawa kepada
kehidupan dan bukannya kematian. Hidup perlu ditakrif semula sebagai sesuatu
yang dapat membawa kehidupan dan mati bagi sesuatu yang berjasad yang bernyawa
adalah lantaran ke'hidupan'nya hanya membawa kepada kematian.
Oleh itu adalah wajar untuk menyatakan bahawa
bakteria yang dapat memberi sesuatu kebaikan yang membawa kepada kehidupan
perumah seperti laktobasillus adalah bakteria yang benar-benar hidup sedangkan
virus yang tindakannya membawa kematian perumah maka virus itu sendiri adalah
sesuatu yang mati. Lalu di antara yang hidup, yang manakah akan benar-benar
membawa kebaikan? Demikian itulah ujian yang Tuhan mahu lakukan ke atas kita
semua, sedang Dia Maha Menguasai Maha Pengampun. Demikian itulah kekuasaan
Tuhan, memberi kehidupan kepada hidupan yang ada serta mendatangkan sesuatu
yang lebih baik.
iii. Contoh Kerajaan Yang Mati dan Umat Yang Hidup
Praktikal seperti ini sebenarnya harus
dicontohi oleh golongan pemerintah. Sejarah telah membuktikan bahawa negara
yang paling besar di dunia ini serta gagah darihal persenjataan iaitu Soviet
Union, akhirnya runtuh disebabkan oleh sifat-sifat pemerintahan yang tidak
membawa kehidupan kepada manusia bahkan kematian yang dahsyat. Pemerintah
Soviet Union di bawah pimpinan Leonid Breznev telah mengakibatkan lebih sejuta
umat Islam di Afghanistan terbunuh dan lebih dua juta umat manusia di Vietnam
dan Kemboja maut. Pemerintahan sedemikian tidak diakui sebagai baik lantaran
jumlah yang terbunuh sangat ramai.
Umat Islam Afghanistan
tidak ditewaskan dengan jutaan rakyatnya yang terkorban lalu mereka berjihad
bermati-matian siang dan malam sehingga mengakibatkan kerajaan Soviet Union bangkrap, sekalipun tenteranya tidak
ditewaskan. Akhirnya pemerintahan komunis Soviet runtuh digantikan dengan
sistem pemerintahan alademokrasi seperti Amerika Syarikat. Kita sering dapati
suatu pemerintahan itu sering digantikan dengan pemerintahan lain yang lebih
baik disebabkan kegagalan pemerintahan terdahulu membawa sesuatu yang bersifat
menghidupkan serta memberi keadaan yang lebih baik kepada rakyat serta
kehidupan manusia seluruhnya.
Akhir bagi peperangan adalah
kemenangan untuk yang hidup.
No comments:
Post a Comment