SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Tuesday, March 28, 2017

SURAH AL-JIN AYAT 25 -- KIRANYA SAYA MENGETAHUI, SAYA PASTI AKAN BERITAHU BILAKAH KEJADIAN ITU ..


قل ان ادرى اقريب ما توعدون
ام يجعل له ربى امدا

Katakanlah olehmu: Kiranya aku mengetahui adakah dekat apa yang kamu dijanjikan ataukah Ia jadikan baginya oleh Tuhanku suatu tempoh!? (Pasti aku akan beritahu)

(kalau ditanya Bilakah azab itu? maka) katakanlah: "Aku tidak mengetahui sama ada (azab) Yang dijanjikan kepada kamu itu sudah dekat, atau Tuhanku menentukan bagi kedatangannya satu tempoh Yang lanjut.

Sekiranya RasululLah S.A.W. mengetahui secara pasti maka bukan tugas baginda menyembunyikan pengetahuan itu daripada umat. Dalam suatu syarahan yang panjang, RasululLah S.A.W. ada mengkhabarkan kepada sahabat-sahabat R.A.H.M. perkara-perkara yang akan berlaku dari masa kerasulan sehinggalah berlaku hari As-Saah. Lalu sebahagian sahabat menyalinnya sehingga diingati oleh yang mengingati dan dilupai oleh yang lain. 

Sungguh begitu Tuhan tidak meninggalkan sesuatu daripada kitab Al-Quran. Diketahui oleh yang mengetahui tentang perkara-perkara ghaib dan mereka menjaganya serta tidak diketahui oleh yang lain. Dalam hal yang demikian RasululLah S.A.W. seringkali ditanyai manusia tentang masa berlakunya kejadian seolah-olah baginda dapat mengetahui masanya dengan tepat. Dalam Al-Quran terdapat pemberitahuan tentang kemenangan bangsa Rum yang akan mengalahkan bangsa Parsi (30:3). Tentang hari Keputusan yang waktunya ditentukan (78:17). Banyak daripada peristiwa yang akan berlaku sesudah RasululLah S.A.W., yang diriwayatkan oleh Sahabat Abu Hurairah R.A. lalu beliau menulisnya dan mengasingkan ke dalam dua uncang kulit yang berlainan. Satu untuk diketahui oleh sahabat-sahabat yang lain dan satu lagi untuk dirahsiakannya sehingga masa-masa tertentu, yang sekiranya ia mendedahkannya, lehernya mungkin akan dipenggal atau lidahnya dipotong. 

Sebagaimana Sahabat Syaidina Ali R.A., yang memiliki ilmu yang dikhabarkan oleh RasululLah S.A.W. tentang perkhabaran yang akan berlaku sehingga beliau mengetahui masa dan tempat akan berlaku pembunuhan terhadap diri beliau dan beliau telah menghadapi peristiwa itu. 

Peristiwa As-Saah yang pengetahuannya ada di sisi Nabi 'Isa A.S. Baginda akan muncul sebelum berlakunya hari Keputusan mempunyai tugas-tugas penting untuk membunuh dajjal, menghancurkan salib, membatalkan sistem riba dan pajakan dan membunuh babi. Harta akan melimpah ruah sehingga suatu masa manusia tidak menghendakinya lagi.


Peristiwa Yang Akan Berlaku Sedikit Lagi, Kita Harus 
Tergesa-gesa Saat Ini Dengan Membuat Persiapan.


Tuesday, March 21, 2017

SURAH AL-JIN AYAT 24 -- AKHIRNYA SIAPA YANG LEMAH, SIAPA PULA YANG SEDIKIT BILANGAN


حتى اذا راوا ما يوعدون فسيعلون
 من اضعف ناصرا و اقل عددا

Sehingga apabila telah melihat mereka apa yang mereka dijanjikan, maka kelak mereka mengetahui siapakah yang lagi lemah pertolongan dan lagi sedikit bilangan.

(golongan Yang kufur ingkar itu tetap memandang Engkau lemah dan kurang penyokong Wahai Muhammad), sehingga apabila mereka melihat (azab) Yang dijanjikan kepada mereka, maka (pada saat itu) mereka akan mengetahui siapakah orangnya Yang lemah penolong-penolongnya, dan sedikit jumlah bilangannya.

i.     Sistem Hidup Yang Akhirnya 
       Melemahkan Mereka

Apakah yang dijanjikan Tuhan kepada golongan ingkar? Iaitu dengan terlaksananya pemberitaan Al-Quran, tentang azab yang merata-rata dan hari yang berat kepada mereka. 

Kita dapati pada waktu ini, apabila sistem ekonomi yang diasaskan oleh golongan ingkar telah dijadikan amalan - lalu... lihatlah bagaimana kesudahannya apabila keburukan sistem itu kembali kepada golongan ingkar itu sendiri? Orang ramai yang dapat merasakan tekanan hidup, akhirnya mengadakan perhimpunan beramai-ramai, melakukan pemprotesan sehingga menggugat pemerintahan. 

Perkara yang telah, sedang dan 
akan terjadi di mana-mana.

Pemerintah digulingkan, bekas pemimpin dijatuhi hukuman tetapi lingkaran keperitan hidup semakin meningkat. Lalu berlakulah pelbagai masalah yang disebutkan tadi, sepertimana telah berlaku lingkaran azab di negara-negara yang pemerintahan sebelumnya, telah memilih sistem keingkaran sehingga akhirnya rakyat mereka mengalami penderitaan dalam tempoh yang panjang. Mereka tidak memperolehi bekalan air segar sehingga menimbulkan banyak penyakit sama ada disedari atau tidak disedari.

ii.   Kehidupan Bermasyarakat Mereka 
      Semakin Parah

Semakin jauh meninggalkan petunjuk Tuhan maka semakin parah kehidupan bermasyarakat. Akhirnya setiap individu memilih hidup nafsi-nafsi sehingga sekiranya jiran terdekat menempuh kematian, jiran-jiran lainnya tidak mengetahui. Mereka menanggung masalah sesama mereka dalam kalangan keluarga terdekat atau kawan-kawan rapat sahaja, iaitu jumlah sedikit yang dapat membantu. Tiada sebarang badan seperti baitulmal yang dapat dipercayai dapat membantu bahkan projek PPRT yang seharusnya mencapai matlamat membantu yang memerlukan, hanya menjadi habuan penjenayah yang kaya raya. Dalam surah Nun, telah diterangkan perincian nasib yang ditempuh individu kepimpinan di akhirat kelak serta kesan amalan-amalan mereka yang telah mereka lakukan semasa mereka berada di tampuk pemerintahan di dunia dahulu. Huru-hara yang berlaku akibat perlakuan kepimpinan yang porak, akhirnya mendedahkan negara kepada penguasaan asing, yang hanya ingin mengambil hasil mahsul yang terdapat dalam negara berkenaan. 

Berulangnya penjajahan demi penjajahan adalah diakibatkan oleh kecuaian umat ini, kepimpinan mereka serta pengabaian amanah oleh 'ulama-ulama' mereka. Mereka sungguh selesa dengan harta yang dapat mereka kaut, status dan kedudukan perjawatan yang mereka sandang. 

iii.   Hilang Kekuasaan dan Sedikit Bilangan

Ayat seperti ini juga berkait dengan ayat daripada 69:29 dan 69:35 dalam menyampaikan perkhabaran tentang perkara malang yang menimpa kepimpinan yang curang. Kepimpinan sedemikian gemar untuk menyalahi ajaran Tuhan dan rasulNya. Mereka melihat amanah pemerintahan sebagai habuan untuk meraih kekayaan sebanyak mungkin. Mereka menggunakan kuasa untuk terus mencengkam rakyat sehingga diharap tiada siapa dapat menegur atau berani menentang. Lalu, berlakulah kerosakan terhadap alam sekitar dan juga kehidupan sosial manusia itu sendiri. Pembangunan tidak seimbang berbanding keberadaan ekonomi menjadi sebab kepada tekanan inflasi daripada dua arah yang membebankan rakyat. Pertama - adalah kesan daripada pengamalan riba yang meningkatkan nilai hartanah sehingga meleret kepada keperluan asas manusia dan kedua - adalah akibat defisit kewangan negara yang cukup besar kesan daripada mengalirnya nilai wang keluar negara. 

Pembangunan yang hanya mendirikan bangunan-bangunan terbiar  telah menjadi kebanggaan pemimpin lantaran cukai yang diperolehi daripada aktiviti perbankan serta institusi-institusi kewangan yang sentiasa menyediakan dana untuk pembinaan baru.

Wang yang dikutip daripada hasil cukai, gagal diagihkan semula secara berkesan, bahkan untuk dihantar keluar negara melalui bayaran upah pekerja asing. Kita telah melihat kesan berpanjangan sedemikian di negara-negara Timur Tengah, sehingga kepimpinan mereka tumbang satu persatu bermula dari Tunisia, diikuti Mesir dan Libya. Kita juga dapat melihat bagaimana sebahagian daripada pembesar negara telah dikenakan tindakan undang-undang dan dimalukan oleh rakyat mereka sendiri.




Tuesday, March 14, 2017

SURAH AL-JIN AYAT 23 -- KERJA RASUL HANYA MENYAMPAIKAN RISALAH


الا بلغا من الله و رسلته و من يعص الله
و رسوله فان له نار جهنم خلدين فيها ابدا

Melainkan suatu penyampaian daripada Allah dan risalahNya dan barangsiapa yang ia menyalahi akan Allah dan akan utusanNya maka sesungguhnya baginya neraka jahanam, berkekalan mereka di dalamnya berabad-abad lamanya. 

(Aku diberi kuasa) hanya menyampaikan (wahyu) dari Allah dan perintah-perintahNya (yang ditugaskan kepadaKu menyampaikannya) dan sesiapa Yang menderhaka kepada Allah dan ingkarkan bawaan RasulNya, maka Sesungguhnya disediakan baginya neraka Jahannam; kekalah mereka di dalamnya selama-lamanya.

Lantaran tugas kerasulan hanya menyampaikan risalah yang datang daripada Tuhan. Adapun Jibril A.S. yang membawa risalah adalah malaikat yang kuat, bijak lagi dapat dipercayai. Ia hanya menyerahkan risalah dan bukannya berkata-kata bagi pihak Tuhan. Dalam ayat 72:22 memberitahu bahawa RasululLah S.A.W. tidak menerima perkataan melalui perantaraan yang berkata-kata bagi pihak Tuhan. Disambung seterusnya pada ayat 72:23 iaitu melainkan untuk menyambung tugas menyampaikan risalah yang diterima melalui malaikat Jibril A.S. daripada Tuhan. Ayat selanjutnya memberi ancaman bahawa barangsiapa yang menderhakai Allah dan menderhakai rasulNya sama ada malaikat Jibril A.S., sebagaimana yang diderhakai oleh Yahudi atau Muhammad S.A.W. sebagaimana yang dilakukan oleh pemuka-pemuka Quraisy Makkah, maka tempat mereka di neraka Jahanam, mereka tinggal di dalamnya berabad-abad lamanya. 

i.    Kaedah Hukum Kearaban Untuk 
      Memahami Ayat

Susunan ayat-ayat sedemikian dengan mengambil hukum kearaban, menghimpun ayat daripada 72:20/21/22/23 maka ayat terkemudian didapati menjelaskan ayat-ayat terdahulu, maka benarlah ayat Allah 11:01. Ayat ini benar-benar menjelaskan bahawa tugas kerasulan hanyalah menyampaikan risalah Tuhan dan bukan mendapatkan perkataan daripada pihak yang berkata-kata bagi pihak Tuhan atau nabi mengada-adakan suatu perkataan, lalu mewatakkan Tuhan dan malaikat Jibril A.S. sebagai pengutus wahyu. Terdapat ajaran kerohanian yang bukan-bukan, yang menyatakan bahawa seolah-olah Muhammad RasululLah S.A.W. itu seperti dirasuk suatu entiti yang dinamainya sebagai Tuhan untuk mengadakan suatu perkhabaran yang beragendakan malaikat Jibril sebagai penghantar wahyu. Sekiranya demikian, tanyalah kepada mereka yang pulih daripada histeria atau kerasukan syaitan, siapakah sebenarnya yang mengeluarkan kata-kata kerasukan semasa ianya dalam keadaan tidak menyedarinya. Adakah Muhammad RasululLah S.A.W. seperti itu sehingga tidak menyedari perkataan yang diungkapkan melalui lisannya? Sekiranya demikian, tidak perlulah golongan musyrikin Quraisy merencana tipudaya sehingga memeranginya dan menentangnya habis-habisan, cukup dengan mendapatkan tabib yang pakar.

Tugas kerasulan sebenarnya bukanlah semata-mata tugas RasululLah S.A.W. Tugas kerasulan telah dilaksanakan oleh khalifah-khalifah sesudah itu selepas daripada kewafatan RasululLah S.A.W. Khalifah-khalifah telah melaksanakan tugas kerasulan. Mereka menyambung tugas kerasulan dengan menyambung kerja-kerja menyampaikan ayat-ayat Tuhan. Mengapa terlalu sedikit hadith-hadith RasululLah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Abu Bakar R.A? Bukankah beliau merupakan Ahlul Bait yang paling rapat dengan RasululLah S.A.W, sejak daripada mula kerasulan dan bersama-sama baginda semasa berlindung dalam gua Hira’. Abu Bakar R.A. tidak menyampaikan hadith Nabi S.A.W. melainkan pada jumlah yang amat sedikit. Beliau menyampaikan ayat-ayat Tuhan dan perkara itu telah beliau lakukan. Apabila berlaku tuntutan pewarisan harta RasululLah S.A.W. selepas kewafatan baginda oleh sebahagian isteri baginda, Khalifah Abu Bakar R.A. dengan tegas menyatakan bahawa RasululLah S.A.W. tidak mewariskan dinar dan dirham kepada sesiapapun. Baginda hanya mewariskan ilmu daripada Al-Qur’an. Hadith berkenaan ini dan sedikit hadith lain telah beliau sampaikan. Harta-harta peninggalan RasululLah S.A.W. diserahkan kepada baitulmal untuk urusan keperluan umat dan infaq pada jalan Tuhan.

ii.   Menyalahi (menderhakai) Allah dan 
      RasulNya, Menempah Neraka Jahanam

Perkataan  يعص الله و رسوله  adalah lebih jitu difahami sebagai menyalahi akan Allah dan akan rasulNya. Terjemahan biasa adalah menderhakai Allah dan rasulNya. Perkataan ini tidak wajar diambil sekerat tetapi harus dirujuk dengan perkataan sebelumnya iaitu  بلغا من الله و رسلته iaitu telah menyampai ia daripada Allah dan risalah-risalahNya. Demikian itu perintah Tuhan agar ayat-ayat sentiasa dihubungkan membentuk himpunan yang lengkap (28:51). Muhammad RasululLah S.A.W. telah menyampaikan risalah-risalah Allah. Muhammad RasululLah S.A.W. tidak menyampaikan risalah-risalah Jibril A.S. Khalifah Abu Bakar R.A. juga telah menyampaikan risalah-risalah Allah. Khalifah Abu Bakar R.A. tidak menyampaikan risalah-risalah Muhammad RasululLah S.A.W. maupun risalah-risalah Jibril A.S. melainkan yang ada rujukan daripada ayat-ayat Tuhan. Begitu juga yang disampaikan oleh Khalifah Umar R.A., Khalifah Usman R.A. dan juga Khalifah Ali R.A. Pertembungan kefahaman sedemikian telah terjadi antara Khalifah Ali R.A. dengan Sahabat Abu Zarr R.A. yang mengetuai pemberontakan penduduk Iraq. Sahabat Abu Zarr R.A. telah menyedari kesilapan beliau lalu bertaubat serta mengingatkan kembali penduduk Iraq bahawa beliau telah tersilap kefahaman dalam memahami ayat-ayat Tuhan, sehingga mengambil pendirian menentang Khalifah Ali R.A. Demikian itulah sikap sahabat yang tidak mengambil pemimpin mereka selaku sekutu Tuhan melainkan untuk mentaati perintah Tuhan. Malangnya beliau telah dibunuh oleh penduduk Iraq lalu tercetuslah pertempuran antara tentera yang setia kepada kekhalifahan yang sah dengan kumpulan pemberontak yang melampau dengan berakhir kemenangan kepada pihak yang lebih condong kepada kebenaran. Khalifah Ali R.A. di pihak yang benar. Abu Zarr R.A. juga di pihak yang benar. Kemenangan diperolehi oleh pihak yang lebih benar antara kedua-dua pihak yang benar.

iii.    Bagaimana Pendirian Kita?

Menyampaikan perkara yang lain daripada risalah-risalah Tuhan adalah perbuatan yang salah, sekalipun perkara yang disampaikan itu berbau agama. Menyampaikan pelajaran Al-Hadith atau As-Sunnah harus merujuk kepada ayat-ayat Tuhan untuk mensahihkannya terutama dalam perkara-perkara yang menyentuh hukum-hakam. Mengambil petunjuk lain sehingga tidak kembali kepada Allah dan risalah-risalahNya adalah menempah tiket ke neraka jahanam kekal di dalamnya berabad-abad lamanya.

Bagaimanakah sikap kita sekarang ini? Menyalahi Allah dan rasulNya sepertimana yang dilakukan oleh Yahudi dan kaum Musyrikin Quraisy, dengan berkesudahan kekal di neraka Jahanam? Ataukah menyalahi penyampai agama yang semata-mata daripada Allah daripada risalah-risalahNya seperti yang dilakukan oleh pemberontak Iraq, membunuh sahabat RasululLah seperti Abu Zarr R.A. dan Saidina Ali R.A? Mereka itu juga termasuk kategori yang sama seperti kaum-kaum yang ingkar yang disebutkan. Bukankah terdapat ayat bahawa yang paling celaka daripada kalangan umat terdahulu adalah mereka yang membunuh unta dan menderhakai Nabi Salleh A.S. dan terdapat atsar Saidina Ali R.A. bahawa mereka yang celaka daripada umat ini adalah yang membunuh beliau dalam kalangan penduduk Iraq? Bencana datang dari Iraq sejak dari kerajaan Babilon hingga ke akhir zaman. 



Wednesday, March 8, 2017

SURAH AL-JIN AYAT 22 -- BAHKAN SEMUANYA DIDATANGKAN TERUS DARI TUHAN


قل انى لن يجير نى من الله احد
و لن اجد من دونه ملتحدا

Katakanlah olehmu: Sesungguhnya aku, sekali-kali tidak, ia mewakili akan daku daripada Allah, oleh sesuatu (yang lain), dan sekali-kali tidak, aku dapati daripada selainNya tempat perlindungan.

Katakanlah lagi; "Sesungguhnya aku, tidak sekali-kali akan dapat diberi perlindungan oleh sesiapapun dari (azab) Allah (jika Aku menderhaka kepadaNya), dan Aku tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadanya,


i.   Jibril Seperti Posmen, Tidak Pernah 
     Mengubah Kandungan Surat

Pekerjaan menyampaikan dakwah yang dilakukan oleh RasululLah S.A.W. adalah merupakan ketaatan kepada perintah Allah dan bukan perintah sesiapa pun selain daripada Allah. RasululLah S.A.W. tidak mengada-adakan bacaannya sendiri seumpama itu (25:04/05) sehingga boleh dipertikaikan oleh manusia atau jin. Sekiranya ia sendiri memilih untuk mengada-adakan sesuatu perkara maka ia sendiri akan diadili oleh Tuhan (69:46) yang ia tidak dapat mencari tempat perlindungan kepada yang lain selain kepadaNya. Perkataan “Katakanlah olehmu: Sesungguhnya aku, sekali-kali tidak, ia mewakili akan daku daripada Allah, oleh sesuatu …” sekiranya diterjemahkan secara yang baik dalam bahasa Malaysia adalah “Katakanlah olehmu sesungguhnya aku, tidaklah sekali-kali diwakili oleh sesuatupun, daripada Allah” iaitu tiada arahan orang tengah yang memerintah RasululLah S.A.W. untuk melakukan sesuatu daripada Tuhan. Jibril A.S. sebagai pembawa wahyu bukanlah pihak yang mengeluarkan arahan bagi pihak Tuhan. Jibril hanyalah pembawa yang diarahkan Tuhan. Pengajarannya, kita tidak harus bertanya-tanya pendapat ulama tentang sesuatu peraturan dalam agama sehingga seolah-olah agama adalah hasil karangan ulama berkenaan. Ulama boleh sahaja mengeluarkan ijtihad, namun ijtihad itu adalah dianggap hasil bersungguh-sungguh beliau dalam memahami perintah Tuhan supaya dituruti umat.

Apabila kefahaman Al-Qur'an yang lain disekat, dan hanya kefahaman ulama-ulama sedia ada sahaja yang diterima, maka akan sampai masanya terjemahan Al-Qur'an berdasarkan pandangan ulama-ulama berkenaan akan dianggap sebagai perkataan seumpama perkataan Tuhan. Kemudian golongan pengkritik itu mula mencanang bahawa Al-Qur'an (dan bukannya terjemahan ulama-ulama berkenaan) dianggap sebagai komik hiburan semata-mata.

Kerana kecacatan dalam penterjemahan Al-Quran dan
pendirian umat yang tidak dibenarkan mengkritik terjemahan 
Al-Quran oleh para penterjemah, akhirnya fahaman mereka 
terhadap Al-Qur'an menjadi bahan senda gurau.

ii.   Bentuk Kefahaman “Tiada Sesiapa Dapat 
      Membela Muhammad S.A.W. Daripada 
      Hukuman Allah”

Cuba bandingkan dengan terjemahan yang biasa didapati seperti berikut, “Katakan: Tiada seorang pun yang sanggup memberi perlindungan kepadaku terhadap (hukuman) Allah” tentulah berbeza dengan cara kefahaman yang diterangkan tadi. Kaedah kefahaman yang berbeza ini adalah diperolehi dengan jalan terjemahan secara harfiyah daripada bahasa Arab. Begitulah yang diperintahkan untuk mendapatkan kefahaman secara bacaan kearaban supaya tiada terdapat kebengkokan dalam mendapatkan pengertian (39:28). Hukum kearaban perlu diguna pakai dalam memahami konteks ayat sebagaimana diperintahkan (13:37) dan bukan semestinya hukum tajwid untuk berebut-rebut mendapatkan pahala atas pembacaan yang betul. Sekiranya kaedah kearaban ini dipatuhi maka terlaksanalah penyampaian kitab yang ayat-ayatnya dihukumkan iaitu dikemaskinikan secara susunan rapi sebagaimana disebutkan pada 11:01 dan diikuti kemudiannya dengan penjelasan-penjelasan yang ada hubungkait dengan ayat-ayat sebelumnya. Contoh ayat yang datang kemudian yang memberi penjelasan adalah:-





Thursday, March 2, 2017

SURAH AL-JIN AYAT 21 -- BUKAN KERJA NABI UMAT MENDERITA ATAU BERPETUNJUK



 قل انى لا املك لكم  ضرا و لا رشدا


Katakanlah olehmu, sesungguhnya aku, tidak aku memiliki bagi kamu kemudharatan dan tidak pula pertunjuk.

Katakanlah lagi; " Sesungguhnya Aku tidak berkuasa mendatangkan sebarang mudarat dan tidak juga berkuasa mendatangkan sebarang kebaikan bagi kamu.

i.    Penderitaan Umat Masakini 
      Bukan Salah RasululLah S.A.W.

Sesungguhnya kemudharatan yang menimpa umat-umat sesudah kerasulan, bukanlah kerja RasululLah S.A.W., sedangkan RasululLah S.A.W. secara sendirinya tidak berupaya untuk mendatangkan sebarang kemudharatan atau petunjuk. Kita dapat menyaksikan di negara-negara Barat bagaimana mereka yang memilih menolak petunjuk Tuhan, kehidupan mereka telah dilingkungi dengan masalah sosial yang serius, jenayah dan pelbagai bentuk penindasan sehingga mereka berjaya mengeksport corak kehidupan mereka ke negara-negara lain. Itu belum dikira dengan bencana alam akibat kerja tangan mereka. Rakyat negara mereka mengalami tekanan kehidupan yang mendesak sehingga ramai yang mengambil dadah. Negara kita tidak terkecuali daripada menghadapi keadaan ini sehingga pembunuhan berlaku hampir setiap hari. Belum dikira dengan kepelbagaian bentuk jenayah lain seperti rompakan, mencabul kehormatan, pecah amanah. Huru-hara politik yang semakin menjadi-jadi apabila kehidupan rakyat semakin dicengkam.


Ya, akhirnya mereka mencapai kegembiraan tak 
terhingga dengan pengambilan dadah yang hebat.

ii.   Bagaimanakah Mungkin?

Bagaimanakah mungkin RasululLah S.A.W., mampu memberi petunjuk atau mahu memaksa petunjuk Al-Quran sampai kepada kita semua, sedangkan baginda adalah seorang yang ummi yang tidak membaca sebarang kitab sebelumnya? Bagaimanakah baginda mampu menerangkan suatu teknologi sedangkan baginda hidup di padang pasir yang tidak terdedah kepada reka-rekaan manusia di belahan bumi yang lain? Bagaimana pula baginda mampu membawa perubahan kepada umat ketika itu, sedangkan baginda bukanlah dikenali sebagai raja atau bangsawan atau orang kaya yang berpengaruh, bahkan usaha dakwah baginda ditentang habis-habisan oleh sebahagian ahli keluarga baginda dan masyarakat Makkah itu sendiri? Bahkan kitab yang diserahkan kepada baginda adalah urusan yang Maha Mengetahui tentang perihal kehidupan di bumi ini. Maka Tuhan jua yang mengurus segalanya sehingga segala sesuatu itu telah berlaku bukan dengan ‘sepatutnya’ sepertimana yang diarahkan melalui kitab Al-Quran, tetapi menurut kehendakNya yang Maha Mengatur seluruh alam. Kekhalifahan juga telah berlaku tidak menurut yang diarahkanNya sepertimana yang disyorkan melalui Al-Quran.




Thursday, February 23, 2017

SURAH AL-JIN AYAT 20 -- MENYERU TUHAN TANPA MEMPERSEKUTUKANNYA



قل انما ادعوا ربى و لا اشرك به احدا

Katakanlah olehmu, sesungguhnya tiada lain hanya aku menyeru akan Tuhanku dan tidak aku mempersekutu denganNya akan sesuatu.

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Aku hanyalah beribadat kepada Tuhanku semata-mata, dan Aku tidak mempersekutukanNya Dengan sesiapapun".

i.   Perkara Yang Masih Berlaku 
     Ke Atas Umat Islam

Itulah yang sebenarnya yang disuruh Tuhan melalui lidah RasululLah S.A.W. untuk disampaikannya. RasululLah S.A.W. disuruh hanya menyeru kepada Tuhan dengan tidak mempersekutukan akanNya. Seterusnya RasululLah S.A.W. mengajak umat manusia dan jin melakukan perkara yang sama. Dalam sejarah umat selepas RasululLah S.A.W., kerja-kerja mempersekutukan Tuhan masih merupakan kerja-kerja yang diwarisi sekalipun setelah penyebaran agama Islam. Apabila Tuhan mendatangkan ayat yang memerintahkan taat kepada Tuhan dan RasulNya, ketaatan perlu dipanjangkan sesudah RasululLah S.A.W. melalui khalifah-khalifah kemudian daripada itu. 

Namun wujud golongan yang menggunakan hujah Al-Quran secara jahil, bahawa kewajiban mengeluarkan zakat tidak lagi harus dipatuhi sesudah kewafatan Nabi Muhammad S.A.W., lantaran perintah Tuhan untuk mengambil sadaqah daripada umat dikatakan hanyalah terletak di bahu baginda sahaja. Lalu terpecah umat dalam usaha mentaati perintah Tuhan, antara zakat yang diwajibkan dengan perintah lain yang 'menghalang' kutipan zakat yang juga diambil hujahnya daripada Al-Quran. Umat terpecah kepada dua, pertama merupakan mereka yang berusaha mentaati perintah Tuhan melalui kekhalifahan dan kedua mereka yang berusaha mengingkari perintah Tuhan melalui kefahaman lain melalui putar belit ayat. 

Berlaku kesyirikan kepada Tuhan apabila kepatuhan membentuk keharmonian beragama menjadi terpecah, sehingga timbul peperangan yang berkesudahan kemenangan kepada kekhalifahan. Itulah peperangan kedua selepas peperangan menghapuskan nabi-nabi palsu. Peperangan ini muncul pada zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar R.A.

ii.    Kesyirikan Yang Berlaku Kerana 
       Mengutamakan Kehidupan Dunia

Pada zaman Khalifah Usman R.A., muncul pemberontakan baru apabila penduduk Iraq memilih kemewahan dunia, sehingga sanggup mengenepikan urusan pengembalian tanah sebagaimana yang diperintahkan oleh khalifah. Kumpulan pemberontak berkenaan telah mengepung dan membunuh beliau, yang ketika itu beliau sedang membaca Al-Quran. Umat terus berpecah sehingga kesyirikan bermaharajalela. 

Setelah perlantikan Syaidina Ali R.A., muncul pula puak ghullah yang menyatakan ketaatan melampau-lampau kepada Syaidina Ali R.A., tidak mengiktiraf kekhalifahan sebelumnya yang juga terdiri daripada menantu dan bapa mertua RasululLah, R.A.H.M. Dalam kalangan mereka, ada yang sanggup mendakwa terdapat Quran lain selain daripada Al-Quran sedia ada, bahkan ada yang menganggap Syaidina Ali R.A. adalah merupakan bahagian daripada ketuhanan. Golongan ini didapati kekal sehingga ke hari ini sepertimana golongan Nasrani kekal menyembah Nabi Isa A.S. sehingga ke hari ini.

Semua urusan kembali kepada Tuhan. Menghadapi kesyirikan umat adalah tugas berat yang dibebankan ke atas bahu kekhalifahan, supaya hanya Tuhan disembah dan perintahnya ditaati dan kekhalifahan dipatuhi dalam perkara-perkara ketaatan. 

Sehinggalah sampai masa keruntuhan naungan Tuhan di muka bumi ini pada tahun 1923 Masehi, apabila sistem kekhalifahan diruntuhkan oleh Mustafa Kamal At-Tarturk. Naungan Tuhan telah terlucut daripada umat ini sehingga umat ini mengalami penderitaan berpanjangan. Bahkan ajaran aties tersebar merata mengajari umat meninggalkan Tuhan. Penjajahan yang dilakukan oleh bangsa Barat mengakibatkan terhasilnya penjajahan minda dan umat gagal melepasi belenggu ini walaupun selepas zaman pasca kemerdekaan. Sumbangan Barat dalam kehidupan umat ini, didapati lebih membawa bencana dan sehingga kini umat ini tidak menemui jalan kembali. Sebenarnya kepada kitab Allah, Al-Quran dan mengikuti panduan As-Sunnah dalam memahaminya yang sehingga kini mereka sendiri melarikan diri daripadanya. Namun ketentuan Tuhan mengatasi segala-galanya dan hanya Tuhan mengetahui tujuan kerasulan RasululLah S.A.W. dan nasib umat ini dengan sebenarnya.





Friday, February 17, 2017

SURAH AL-JIN AYAT 19 -- SERUAN HANYA KEPADA ALLAH - SERUAN YANG MENDAPAT PERHATIAN


وانه لما عبدالله يدعوه
كادوا يكونون عليه لبادا

Dan bahawasanya tatkala hamba Allah ia menyeru akanNya, telah hampir-hampir mereka, mereka jadi ke atasnya yang berasak-asak.

Dan Bahawa sesungguhnya, ketika hamba Allah (Nabi Muhammad) berdiri mengerjakan Ibadat kepadaNya, mereka hampir-hampir menindih satu sama lain mengerumuninya.

Nabi-nabi beribadah terus kepada Tuhan, begitu juga para malaikat yang tidak jemu-jemu serta merasa malas. Bangsa jin kebanyakan daripada mereka beribadah kepada Tuhan. Tuhan tiada beristeri atau anak, Dia tiada wakil di alam ini, oleh itu perwakilan hendaklah ditujukan terus kepadaNya (73:09). Mengambil selain Allah sebagai wakil atau perantaraan dalam doa atau peribadatan adalah suatu perbuatan yang menjurus kepada kerja-kerja mempersekutu Tuhan. Sepertimana orang-orang yang terdahulu yang menghampiri tokoh-tokoh yang didekatkan sehingga tokoh berkenaan sampai kepada ajal mereka, lalu syaitan memujuk mereka untuk membina patung atau imej menyerupai tokoh itu lalu segala doa dipohon dengan perantaraannya. 

Sekiranya jalan menuju kesyirikan dipotong awal-awal lagi maka generasi selanjutnya adalah merupakan generasi yang beribadat kepada Tuhan tanpa sebarang perantaraan dan syaitan akan sampai kepada kekecewaan dalam usaha menyesatkan manusia dalam perkara-perkara ibadat. Berdoa dan beribadat terus kepada Tuhan adalah sunnah RasululLah S.A.W. Ini adalah sunnah yang wajib dituruti. Dalam beribadat kepada Tuhan, dengan sebutan-sebutan yang memiliki nilai bahasa yang tinggi sepertimana yang dibaca daripada ayat-ayat Al-Quran, bangsa jin adalah lebih dapat menilai, sehingga mereka sungguh menyenangi pembacaan itu. Namun bukanlah membaca dengan berlagu-lagu sehingga menyanyi dengan naik turunnya. Bacaan sedemikian yang tidak menyampaikan kepada kefahaman kandungan adalah seumpama amalan ahli kitab terdahulu. Bacaan Al-Quran perlu dibaca dengan sebenar pembacaan dereten demi deretan sehingga membentuk suatu himpunan ayat. Contoh himpunan ayat daripada surah ini, adalah dinyatakan dari permulaan surah sehingga ke ayat ini dan himpunan selanjutnya adalah dari ayat selanjutnya sehingga ke akhir ayat.

Dengan mengambil ayat-ayat Al-Quran membentuk suatu himpunan ayat, kefahaman daripada suatu rangkuman ayat menjadi lebih jitu dan pelajaran sedemikian adalah lebih mudah diingati. Tujuannya adalah supaya hati dapat ditetapkan dalam mengingati ayat dan pelajaran yang diambil adalah jelas (25:32). Demikianlah disiplin yang Tuhan tunjukkan kepada RasululLah S.A.W. Mengapakah bangsa jin sanggup berasak-asak kepada RasululLah S.A.W. tatkala baginda sedang bersolat? Demikian itu mereka adalah makhluk yang suka mengamati sesuatu ayat yang mengandungi keindahan bahasa yang tinggi. Demikian itu jin adalah makhluk Tuhan yang suka menjaga tutur kata sesama mereka yang sikap sedemikian kurang terdapat pada manusia melainkan pada bangsa yang sedang mengikuti suatu tamadun. 

Pengajaran Ayat 

Walaupun jin termasuk antara perkara yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia, namun jin bukanlah merupakan perkara ghaib yang wajib diimani. Kehidupan jin juga seumpama kehidupan manusia dan dalam kalangan jin terdapat bentuk pengamalan yang pelbagai (72:11). Jin adalah lebih mudah tertarik kepada bacaan Al-Quran yang memiliki keindahan, walhal sebahagian manusia mengganggap bacaan sedemikian adalah bacaan manusia yang diada-adakan oleh Muhammad (25:04-05) (S.A.W.) sehinggalah mereka menerima penerangannya. Secara umumnya masyarakat jin beragama sebagaimana agama manusia dan kehidupan manusia adalah lebih mempengaruhi mereka dan bukan sebaliknya (72:03). Keupayaan mereka dalam mencuri dengar berita dari langit sebelum ini telah terhalang dengan perutusan RasululLah S.A.W. ke dunia ini dan sesiapa jua yang cuba mencuri dengar daripada kalangan syaitan, panah api yang mengintai telah disediakan (72:9). Prasyarat jin untuk diterima amalan mereka adalah lebih ketat berbanding manusia, oleh yang demikian mereka adalah lebih condong kepada pengamalan syariat yang diperintahkan. Golongan pertengahan mereka, walaupun tidak begitu kuat kepatuhan mereka dalam penyerahan diri kepada Tuhan, diancam untuk menjadi bahan bakar  neraka jahanam (72:15). Keadaan mereka yang dapat menyaksikan kebesaran Tuhan darihal perkara ghaib yang tidak dapat dicapai oleh manusia seharusnya menjadi kayu ukur kepada mereka dalam mentaati perintah Tuhan. Menyeru selain Allah termasuklah makhluk jin atau wali-wali haruslah dihindari.




Saturday, February 11, 2017

SURAH AL-JIN AYAT 18 -- MASJID HANYA UNTUK ALLAH


ﻭ ﺍﻥ ﺍﻟﻤﺴﺠﺪ ﻟﻠﻪ ﻓﻼ ﺗﺪﻋﻮﺍ ﻣﻊ الله ﺍﺣﺪﺍ 

Dan bahawasanya masjid itu kepunyaan Allah, maka janganlah kamu menyeru beserta Allah akan sesuatu. 

Dan Bahawa Sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (Ibadat kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah.

i.    Seruan Hanya Kepada Allah 

Menyeru kepada selain Allah adalah merupakan amalan mempersekutu. Terdapat amalan-amalan tertentu dalam amalan bertareqat yang menyeru rijalul ghaib tertentu lalu dinamainya sebagai amalan tawassul sedangkan seruan hanyalah layaknya kepada Allah sahaja. Lalu diizinkan tindakan ‘tawassul’ (17:57) itu dengan contoh daripada sahabat RasululLah S.A.W. iaitu khalifah Umar R.A. sedangkan yang diseru oleh khalifah Umar R.A. hanyalah kepada Allah dan bukan kepada nama-nama yang lain. Amalan seru seperti ini dalam ibadah adalah suatu perbuatan mempersekutu Tuhan dalam peribadatan (10:18). Adalah tidak wajar menyeru nama-nama yang diiktiraf sebagai wali-wali atau rijalul ghaib dengan alasan bahawa mereka itu adalah pembantu-pembantu di sisi Tuhan. Adakah seseorang itu ingin mengkhabarkan sesuatu kepada Tuhan yang Dia tidak mengetahui terhadap apajua yang terjadi di langit dan di bumi. Lalu mengapakah doa perlu dipohon dengan perantaraan makhluk? Apakah sebenarnya manfaat yang akan diperolehi sekiranya perantaraan itu disebutkan dalam doa dan apakah pula mudharat sekiranya tidak disebutkan sedemikian? Perkara sedemikian tidak wajar disebut sebagai mengambil keberkatan di atas sifat tawaduk seseorang. Bukankah Tuhan hanya membenarkan bahawa Dia sahaja diseru dan disembah dan bukannya dengan perantaraan sesuatupun? Adakah perlu seseorang itu menghina diri sendiri dengan mengatakan bahawa ia tidak layak berdoa kepada Tuhan.

 ii.   Masjid Hanya Untuk Allah 

Adakah setiap yang berkubah dapat dikatakan sebagai masjid? Tentunya tidak, kerana bangunan Kremlin di Russia juga dihiasi dengan kubah. Adakah setiap yang bermimbar adalah masjid? Tentulah tidak, kerana bangunan Gudwara Sahib juga memiliki kubah dan bahagian mimbar. Hanya yang layak memakmurkan masjid taqwa, hanyalah golongan yang beriman. Sekiranya bangunan-bangunan seperti masjid digunakan untuk mengintai atau melakukan perisikan sehingga mengakibatkan perpecahan golongan yang beriman, bangunan itu tetap masih dinamai sebagai masjid tetapi bukanlah masjid taqwa dan umat ini tidak seharusnya mendirikan apa-apajua aktiviti di dalamnya. Selain masjid taqwa, masjid–masjid yang lain dikatakan didirikan di atas tepi jurang yang runtuh sama ada runtuh daripada petunjuk Tuhan atau mengalami keruntuhan tebing sedikit demi sedikit. Umat ini tidak seharusnya memakmurkan masjid seumpama ini kerana dikhuaturi akan tenggelam bersama runtuhnya masjid berkenaan (2:114). 

Suatu persoalan timbul iaitu bagaimana cara mahu menentukan status sesebuah masjid? Jawapan yang mudah iaitu mana-mana masjid yang pembinaannya untuk pengabdian diri kepada Tuhan beserta tujuan-tujuan sampingan yang lain, yang demikian cara pendirian masjid berkenaan mengandungi unsur penyekutuan kepada Tuhan. Penulis enggan mengupas lebih lanjut kerana perkara sedemikian menimbulkan isu sensitif kepada masyarakat. Untuk memudahkan pendirian umat ini adalah memadai mereka memerhatikan pendirian bangunan sesuatu masjid didirikan atas asas tapak ketaqwaan kepada Tuhan iaitu asas suatu bangunan telah didahului didirikan untuk tujuan pengabdian kepada Tuhan semata-mata. Berdasarkan sejarah telah dinyatakan bahawa istana Farsi yang diubah kepada masjid, telah dikuasai melalui jalan jihad untuk pembukaannya, sudah memadai dijadikan ukuran asas taqwa atas pembinaan bangunan masjid berkenaan. Oleh itu tidak timbul persoalan lanjut satu-satu masjid layak didirikan solah di dalamnya atau perlu dijauhi.



Sunday, February 5, 2017

KAD TERAKHIR PERCATURAN TATASUSUN DUNIA BARU


Penguasaan terakhir atau penguasaan ketiga golongan Luciferian adalah penguasaan sumber air dan pertanian. Keadaan ini juga diwujudkan akibat daripada hancurnya sistem kekhalifahan terakhir sebelum ini. Tiada lagi bekalan air percuma kepada rakyat dan padang ragut percuma untuk ternakan-ternakan mereka. Langkah mula kepada aktiviti ini adalah pengenalan kepada cukai karbon. Cukai yang mula-mula diamalkan oleh pentadbiran Australia dan diikuti oleh New Zealand adalah merupakan bebanan yang ditanggung oleh firma perkilangan terhadap penggunaan bahan bakar yang melibatkan perlepasan karbon dioksida ke persekitaran. Tindakan ini tentunya akan dituruti oleh kebanyakan negara-negara 'maju' sehingga akhirnya akan dijadikan standard atau piawaian yang akan dikenakan kepada negara-negara seluruh dunia. 

Cukai karbon yang kononnya karbon dioksida menjadi penyebab kepada huru-hara cuaca dunia adalah merupakan kesempatan untuk mengaut keuntungan berdasarkan suatu kenyataan ilmiah yang dipalsukan. Penulis menentang segala bentuk kenyataan yang menyatakan bahawa karbon dioksida adalah satu-satunya penyebab utama kepada kepanasan global. Kenyataan sedemikian sengaja diputar-belitkan agar negara-negara menuruti syor yang dikemukakan oleh Bank Dunia, supaya mereka semua mula mengambil tahu tentang permasalahan sejagat. 

Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush sebelum ini pernah menyatakan bahawa karbon dioksida bukanlah punca kepada peningkatan suhu sejagat. Mengapakah beban permasalahan turut dikenakan kepada negara-negara membangun dan miskin? Sedangkan selama ini kerosakan persekitaran terjadi disebabkan oleh usaha negara-negara 'maju' melaksanakan pekerjaan secara gelojoh yang dirangsang oleh sistem ekonomi kapitalis berasaskan riba. Cukai karbon sebenarnya menjurus kepada pengiktirafan bahawa permasalahan sejagat seperti perubahan cuaca, telah mula berlaku di bumi ini. Selepas itu mereka akan memperkenalkan cukai-cukai baru seperti cukai penggunaan baja dan cukai pengambilan air. 

Baja akan dikenal pasti sebagai penyebab kedua kepada terjadinya kerosakan alam persekitaran dan begitu juga penggunaan klorin sebagai bahan basmi kuman dalam air yang dibekalkan. Melalui pengenalan kepada cukai, aktiviti ini seperti membuka pintu kepada penguaskuasaan undang-undang baru terhadap aktiviti perbekalan air dan juga pertanian. Akan ada negara yang hanya pihak tertentu sahaja dibenarkan untuk melaksanakan aktiviti pengurusan ladang sementara mana-mana individu lain yang menguruskannya, tidak dibenarkan menjual hasil ladang mereka ke pasaran terbuka.  Kononnya adalah untuk tujuan pengawalan kadar peptisid yang digunakan serta penggunaan baja terkawal. Perkara ini tentunya akan menjalar kepada negara-negara lain. Kempen teknologi hijau yang mengutamakan bahan bakar bio (biofuel) adalah merupakan langkah membawa kebuluran kepada sebahagian penduduk dunia. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa penggunaan biofuel sebenarnya meningkatkan perlepasan karbon dioksida dan haba lebih banyak ke persekitaran berbanding penggunaan bahan bakar petroleum. 

Masalah perubahan cuaca dijadikan alasan untuk menambah lagi bebanan kepada sebahagian besar penduduk dunia. Beginilah kaedah mereka cuba menguasai akta kawalan pertanian atas alasan yang tidak munasabah. Sikap mereka sebenarnya ingin menindas manusia pada keseluruhannya. Masalah dunia tidak boleh diselesaikan dengan catuan makanan tetapi kembali kepada pengamalan ajaran agama yang sebenarnya. Pengawalan penggunaan baja dan pemuliharan tumbuhan-tumbuhan harus dilakukan semula. Sehingga suatu ketika, mereka akan mengenakan tindakan terhadap mana-mana negara yang tidak mematuhi akta kawalan pertanian menurut cita rasa mereka. Mereka boleh sahaja menyediakan suatu keadaan melalui kawalan teknologi sehingga hujan tidak turun di negara terbabit malahan sanggup melakukan kerosakan terhadap tanaman yang diusahakan oleh rakyat negara berkenaan. 

Peristiwa inikah yang dijadikan alasan sebagai 
ancaman 'makhluk asing'? Program "persenjataan 
angkasa" sebenarnya bertujuan untuk mengawal
semua aktiviti manusia.

Mereka memiliki kesempatan ini pada masa hadapan apabila kedua-dua kutub mencair sepenuhnya. Suhu bumi akan meningkat sehingga mengakibatkan kemarau atau kejadian hujan yang membinasakan. Semua itu adalah disebabkan oleh kerja-kerja manusia sendiri lantaran mematuhi peraturan keingkaran, akibat daripada suatu keadaan sehingga mereka tidak bersedia memerhati ayat-ayat Tuhan. Mereka sibuk dengan cengkaman riba sehingga melupai kepentingan pembelaan terhadap golongan dhaif. Akhirnya bencana menimpa diri mereka sendiri dalam kehidupan mereka di dunia ini.

Agenda Dajjal sudah sangat hampir. Negara kita
terlibat secara langsung dengan program mereka.
Jadi apakah persediaan kita?




Monday, January 30, 2017

SURAH AL-JIN AYAT 17 -- SEBAGAI FITNAH KEPADA MANUSIA DAN JIN


لنفتنهم فيه و من يعرض
عن ذكر ربه يسلكه عذابا صعدا

Supaya Kami memfitnah mereka padanya dan barangsiapa yang ia berpaling daripada peringatan Tuhannya, dililit akannya oleh suatu azab yang mendaki. 

(Pemberian Yang demikian) untuk Kami menguji (dan menzahirkan bawaan dan keadaan) mereka Dalam menikmati apa Yang Kami berikan itu (adakah mereka bersyukur dan tetap betul menurut Islam); dan (ingatlah), sesiapa Yang berpaling dari mengingati Tuhannya, (dengan berlaku ingkar - derhaka, maka) Tuhan akan memasukkannya ke Dalam azab Yang memuncak beratnya.

i.     Ujian Tuhan Untuk Manusia Dan Jin 

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Tuhan jualah yang merekacipta segala-galanya. Dia yang mengadakan Iblis untuk mengganggu gugat jin dan manusia supaya Dia dapat menguji jin dan manusia sama ada masih mahu mengingati Tuhan pada saat-saat terfitnah atau berpaling daripada peringatan Tuhan sebaik sahaja fitnah datang dalam hidupnya. Tentunya Iblis atau syaitan yang menggugat itu datangnya adalah dalam kalangan jin atau manusia itu sendiri yang akan mendatangkan masalah dalam hidupnya.

Akhirnya Ia akan mengetahui, mana-mana hambaNya yang mengetahui serta meyakini bahawa ia adalah ciptaan Tuhan yang Tuhan berkuasa atas segala-galanya pada dirinya, ataupun terhadap makhluk yang tidak meyakini bahawa ia adalah ciptaan Tuhan sehingga disangka Tuhan, tiada agenda dalam hidupnya.

ii.    Tuhan Tidak Pernah Memaksa

Sungguh Tuhan tidak memaksa seseorang untuk meyakini Tuhan sehingga ia dapati dalam kehidupan ini, ia sendiri akan dilingkungi dengan masalah yang terjadi. Bagi kebanyakan golongan yang ingkar, mereka tahu serta mahu bahawa Tuhan hanya menciptakan mereka sekali sahaja sehingga Tuhan tidak mencampuri urusan kehidupan mereka. Mereka ingin memilih kehidupan yang mereka sendiri tadbir. Seolah-olah mereka jualah yang pakar dalam urusan kemanusiaan, ekonomi, sosial, masalah dunia, kehidupan dan sebagainya. Apabila peringatan tentang ayat-ayatNya disebut, dengan segera mereka berpaling seolah-olah mereka tidak mendengar akannya. 

Lalu Tuhan membiarkan mereka dalam tempoh yang sangat lama sehingga mereka dapati bencana berlaku akibat hasil amalan mereka. Ilmu mereka tidak meliputi dengan lain perkataan mereka tahu tentang sesuatu bahaya namun mereka tidak menyedari. Mereka ingin mencuba dahulu berdasarkan tahap ilmu mereka dan mereka akan mengkaji sesuatu kejadian buruk dan berusaha untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama. Sekiranya demikian, ini bermakna mereka lebih rela melihat kerosakan dan kemusnahan berlaku sehingga akhirnya mereka tidak berkesempatan memperbaiki keadaan.

iii.    Contoh Pengabaian Ammoniakal Nitrogen

Sebagai contoh, dalam usaha mendapatkan air segar yang merupakan suatu mandatori terhadap keperluan tubuh, manusia sendiri mengetahui bahan-bahan cemar seperti nitrat dan ammonia tidak dapat disingkirkan dengan mudah begitu sahaja. Namun akibat kealpaan manusia dalam projek-projek pertanian mereka, menyebabkan sebahagian bahan cemar ini dibazirkan dalam tanah dan tidak dapat dimanfaatkan untuk keperluan tumbuh-tumbuhan. Bahan nitrat yang terkandung dalam air minuman dapat mengakibatkan penyakit bayi biru pada bayi-bayi yang baru dilahirkan. Walaupun kesan bahan nitrat tidak begitu ketara ke atas manusia setakat ini, kesannya terhadap tanah adalah serius. Nitrat sangat-sangat menghakis sehingga banyak berlaku pembentukan kelodak yang membawa sebahagian besar pepejal tanah bersama air yang mengalir. Lama kelamaan akan berlaku kejadian tanah rebah yang merosakkan kawasan pertanian serta kediaman manusia sendiri. Pada tanah-tanah tinggi, akan berlaku gelinciran disebabkan oleh kesan berpanjangan wap ammonia serta mengakibatkan tanah runtuh. Sekali lagi manusia mengabaikan kesan jangka panjang keruntuhan tanah yang semakin menjadi-jadi. 

Atas kepandaian manusia mengurus tadbir alam tanpa asas ketaqwaan kepada Tuhan, air segar kini perlu didapatkan pada harga yang tinggi. Dalam sistem ekonomi yang ada kini, akhirnya sistem yang dipilih manusia mengakibatkan kesan terhadap kestabilan sosial, sehingga berlaku peningkatan kadar jenayah sama ada jenayah indeks atau jenayah perdagangan. Ke manakah halatuju akhir manusia sekiranya bukan Tuhan sebagai matlamat? Azab yang berganda-ganda, pergerakan tanah di bawah kaki, jenayah yang meningkat, tekanan inflasi yang tinggi serta huruhara politik adalah merupakan suatu lilitan azab yang tidak akan berkurangan. Mereka tiada tempat untuk lari melainkan kepada Tuhan.

Apabila azab semakin ketara, kehidupan semakin mendesak dan manusia dapat dilihat mabuk dalam kehidupan azab, maka tempat aduan terakhir manusia adalah Tuhan. Sebenarnya manusia harus mengambil Tuhan untuk aduan awal dan akhir dan bukan bermain-main dengan bencana kemudian baru mendapatkan Tuhan, apabila mereka telah benar-benar tenggelam punca. Lihat sahaja apabila berlaku bencana yang besar atau berlaku kematian mendadak yang mengorbankan ahli keluarga atau sebahagian daripada mereka mengalami kejatuhan teruk dalam perniagaan mereka, dengan segera mereka akan menghadiri masjid untuk bermunajat kepada Tuhan. 

Bagaimanakah mungkin masjid-masjid yang didirikan bukan bertujuan semata-mata untuk Tuhan dapat dimakmurkan untuk tujuan beribadah kepada Tuhan dalam keadaan Tuhan dipersekutukan? Menyembah Tuhan tetapi bersungguh-sungguh mengambil sistem lain dalam kehidupan serta meredhai sistem berkenaan (30:33).





Tuesday, January 24, 2017

PERCATURAN BANGSA JIN TERHADAP MANUSIA


Daripada awal kalinya, kita telah membincangkan bagaimana sistem keingkaran telah dibentuk. Iblis selaku ketua segala kekufuran meletakkan dirinya pada kedudukan piramid tertinggi. Melalui penguasaan kerohanian, Iblis dibantu oleh teman-temannya yang diberi jawatan tinggi selaku perencana kerosakan dalam masyarakat jin dan manusia. Mereka telah melakukan perkara ini sejak awal kalinya mereka disingkirkan dari syurga atas sebab kesombongan mereka enggan sujud kepada Adam A.S., suatu lembaga yang Tuhan ciptakan daripada tanah. Selaku guru segala kesesatan, Iblis telah membawa ajaran atas tiga prinsip dan prinsip ini tidak pernah berubah sejak dari dahulu lagi. Prinsip-prinsip itu adalah

          i.      Suk – Keburukan
          ii.     Fahsaa' – Aktiviti seks terlarang
          iii.    Memperkata tentang ketuhanan
                  tanpa ilmu.

Dan sejak dahulu lagi kita telah dapat menyaksikan bahawa segala bentuk kekuasaan pemerintahan yang mengamalkan prinsip-prinsip sedemikian akhirnya akan musnah sama ada akibat tewas dalam peperangan atau perpecahan rakyat yang wujud daripada pemberontakan terhadap kepimpinan yang menyeleweng. Melalui pentadbiran manusia, pengaruh Iblis terpapar pada bangunan-bangunan peribadatan berbentuk piramid seperti bangunan piramid Maya di Mexico, piramid Kufu dan Giza di Mesir, kuil-kuil Hindu dan sebagainya. 

Penguasaan pertama Iblis adalah melalui pembentukan masyarakat berkasta. Keadaan ini diwujudkan akibat daripada hancurnya sistem kekhalifahan terakhir sebelum ini, menguruskan hak-hak kepentingan rakyat. Kini tiada lagi bekalan air percuma, bekalan garam percuma dan kemudahan padang ragut percuma. Sekiranya dahulu, kasta diwujudkan atas prinsip kerohanian, bahkan kini sistem kasta diwujudkan melalui sistem ekonomi kapitalis berasaskan riba. Masyarakat sekurang-kurang dibahagikan kepada tiga golongan. Golongan atasan yang terdiri daripada kepimpinan, mereka ini sebenarnya tidak perlu sepenuhnya membayar sebarang cukai. Mereka ini terdiri daripada pembuat polisi, pencatur ekonomi serta pemodal-pemodal besar. Mereka hanya memikirkan keuntungan dan berusaha untuk mendapatkan keuntungan atas aktiviti manusia. 

Golongan pertengahan adalah yang melakukan semua pekerjaan dan membayar cukai. Mereka diberi tempat semata-mata untuk berkhidmat atas nama negara dan sebagainya dan mereka jualah yang menanggung beban sekiranya berlaku ketidak tentuan dalam negara. 

Golongan rendah adalah merupakan masyarakat gelandangan yang tidak memiliki pekerjaan tetap. Kehadiran mereka sengaja diwujudkan untuk menakut-nakutkan golongan pertengahan agar mereka tidak dapat menggunakan pemikiran kritis mereka untuk memikirkan polisi yang dilaksanakan oleh golongan atasan.

Demi mengukuh cengkaman kuasa, golongan atasan akan membesar-besar perbezaan dalam kalangan masyarakat sehingga setiap ahli masyarakat hanya perlu memikirkan bahawa keberadaan mereka hanya akan terpelihara melalui pengawasan pihak atasan, melalui jabatan polis yang diwujudkan, melalui badan kehakiman serta undang-undang yang dibentuk. Corak pemikiran rakyat sentiasa ditekan supaya mereka tidak dapat memikirkan perkara-perkara kritikal yang sedia mengakibatkan banyak terjadi perkara-perkara kerosakan yang menyusahkan rakyat.

Supaya rakyat tidak segera bangun, kerohanian mereka turut dikuasai sehingga pejabat-pejabat agama hanya dipergunakan sebagai badan yang mengaut keuntungan melalui kutipan zakat, persediaan peruntukan haji dan sebagainya. Pembelaan terhadap rakyat menjadi sangat terhad sehingga ramai dalam kalangan mereka mengalami kekecewaan tetapi tidak dapat berbuat apa-apa. Mereka ditekan dengan sistem ekonomi kapitalis sehingga mereka bekerja seperti hamba tanpa tuan yang dapat mereka ketahui dan seperti banduan dalam penjara tanpa jeriji besi yang dapat dilihat. Hamba kepada hutang serta banduan kepada sistem ekonomi kapitalis. 


Kita ditipu hari-hari melalui perhambaan hutang

Negara-negara kapitalis seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Australia, Malaysia, Singapura dan sebahagian negara Arab, telah mengikuti sistem ekonomi kapitalis berasaskan pasaran bebas dan rakyat negara mereka telah dirasuk dengan sistem sedemikian sehingga mereka amat sukar melihat permasalahan sebenar yang menimpa umat manusia. Harta mereka diambil atas nama agama tanpa sebarang cukai yang perlu dibayar. Tanah air mereka mengalami kerosakan atas nama pembangunan. Maruah mereka tercemar atas nama kemodenan. Demikian ini adalah perancangan utama Iblis, atas kegagalannya berulang-ulang kali berusaha menguasai bumi ini bagi menunjukkan kepada Tuhan seolah-olah Tuhan melakukan kesilapan dalam memilih manusia selaku pentadbir mukabumi ini. Seterusnya, apakah rancangan Iblis atas kerosakan yang telah umat manusia lakukan akibat mengikuti percaturan ekonomi kapitalis? Sebenarnya ia berusaha mengambil kesempatan atas kekalutan di bumi ini kononnya sebagai penyelamat manusia.

Suatu Pendedahan : Iblis sedang merancang
untuk 'menyelamatkan' manusia melalui 
penipuan terancang.

Penguasaan kedua Iblis adalah melalui pengawalan sistem kewangan. Keadaan ini juga diwujudkan akibat daripada hancurnya sistem kekhalifahan terakhir sebelum ini. Di mana-mana jua sekarang ini sistem perbankan telah diwujudkan menggantikan sistem baitulmal. Baitulmal pula diwujudkan sebagai pusat pengumpulan harta manusia yang kemudiannya disalahgunakan untuk tujuan-tujuan yang bukan syar'ie. Harta zakat digunakan untuk pembelian hartanah, kononnya untuk menggandakan keuntungan supaya menambah-nambahkan jumlah harta asal. Tindakan sedemikian sebenarnya menafikan hak golongan yang memerlukan sehingga mengakibatkan ramai daripada umat Islam mulai murtad. Mereka mewujudkan suasana seolah-olah yang buruk adalah sistem Islam dan yang baik adalah sistem kuffar. Dengan menukar wang daripada wang benar berupa emas dan perak yang telah lama digunakan oleh pemerintahan Islam suatu masa dahulu, kini wang palsu berupa kertas telah digunakan. Wang palsu ini dicagarkan kepada emas dan perkara ini dilakukan oleh negara-negara dengan menyerahkan emas milik negara kepada Yahudi Zionis untuk disimpan di Bank Simpanan Persekutuan di Manhattan, Amerika Syarikat. 

Mereka kemudian merancang untuk merompak emas berkenaan dengan cara yang licik melalui manipulasi pasaran bebas. Tabung 'hedge' disediakan supaya orang ramai terpedaya agar mereka aktif bermain harga di pasaran bebas. Akibat tindakan ini adalah inflasi serta surplus sehingga nilai komoditi bergerak terlalu tinggi dan turun terlalu rendah, sangat berbeza berbanding nilai pasaran benar. Kemuncak penguasaan terhadap kuasa beli orang ramai adalah penyediaan wang maya tidak kelihatan. Hanya rakyat yang berkemampuan yang menjadi hamba abdi mereka sahaja diberi peluang untuk melakukan transaksi perniagaan dengan harga pasaran yang tidak akan mampu diberi oleh peniaga-peniaga persendirian. Golongan Iblis ini sebenarnya cuba menjadikan dunia ini sebuah penjara yang sangat besar untuk mereka cuba kuasai setiap pergerakan individu. Tanpa wang elektronik, setiap rakyat tidak dapat berbelanja dan makanan manusia di rak-rak terbuka pasaraya menjadi hak mutlak golongan kapitalis. Keadaan ini telah berlaku terhadap rakyat Amerika Syarikat, apabila kebanyakan mereka amat kurang berbelanja menggunakan wang fizikal dan mereka menggunakan kad-kad elektronik sama ada kad kredit atau kad debit.

Permasalahan timbul apabila rakyat Amerika Syarikat menyedari keburukan sistem ini. Segala penentangan mengakibatkan mereka kehilangan hak berpendapatan dan berbelanja. Mereka beramai-ramai menentang manipulasi Wall Street melalui pergerakan seperti 'Occupy Wall Street' dan 'Occupy Oakland'. Mereka menentang campurtangan politik melibatkan rasuah kerana kaedah demikian hanya membawa kerugian rakyat Amerika Syarikat sendiri. Namun usaha mereka sebenarnya sia-sia kerana mereka telah dikuasai sepenuhnya oleh golongan Iblis. Seperti itu juga nasib kita nanti, apabila kita mula menyedari keburukan sistem sedemikian, baru kita sedari segala-galanya telah terlewat. 

Hanya satu cara mereka dapat mengatasi masalah ini iaitu dengan mewujudkan semula SISTEM sadaqah untuk membantu pihak-pihak yang memerlukan bantuan dalam kalangan mereka. Mereka tidak perlu menjadi hamba kepada suasana, hamba kepada hutang dan mereka tidak perlu berada dalam penjara yang dikelilingi jeriji besi tidak kelihatan. Mereka perlu bebas secara fizikal dan mental. Atas usaha sedemikian, sebahagian mereka berusaha, menyedarkan rakyat Amerika Syarikat tentang bahaya ini tetapi siapalah mereka...




Wednesday, January 18, 2017

SURAH AL-JIN AYAT 16 -- MEREKA BANYAK MEMILIH JALAN TAREQAT


و ان لواستقاموا على الطريقة
لاسقينهم ماء غدقا

Dan bahawa sanya sekiranya telah beristiqamah mereka atas jalan tareqat itu, pasti telah memberi minum Kami akan mereka dengan air yang segar. 

(Nabi Muhammad diwahyukan menerangkan lagi): "Dan Bahawa sesungguhnya! kalaulah mereka (manusia dan jin) itu berjalan betul di atas jalan (Islam), sudah tentu Kami (akan memberikan mereka sebab-sebab kemewahan, terutama) menurunkan hujan lebat kepada mereka.

i.    Kepelbagaian Erti Istiqamah 

Perkataan istiqamah sering diertikan dengan tetap perjalanan, konsisten atau berkekalan dengan suatu pengamalan. Perkataan yang lebih hampir adalah berpendirian teguh sepertimana yang diperintahkan. Sebagai contoh adalah dimaklumi dalam suatu peperangan, dilarang tentera-tentera merosakkan hasil pertanian dan membunuh ternakan. Namun dalam usaha pengepungan RasululLah S.A.W. ke atas Yahudi bani Quraizah, RasululLah S.A.W. telah mengarahkan untuk memusnahkan tanaman kurma milik Yahudi berkenaan. Bukankah usaha ini sebenarnya bertentangan dengan ajaran yang dibawa oleh baginda?

Pada masa itu, maslahat besar adalah, dengan memusnahkan hasil ladang Yahudi, dapat memberi suatu mesej bahawa mereka akan dimusnahkan bersama seluruh harta mereka dan umat Islam tidak berminat untuk merampas harta mereka sebagai pertaruhan. Akhirnya mereka dibunuh semuanya kecuali kaum wanita dan kanak-kanak. Oleh itu, antara perintah tetap dan permaslahatan besar yang bertentangan, yang mana satukah perlu dituruti? Istiqamah dalam hal ini perlu ditakrif semula kefahamannya sebagai berpendirian teguh sepertimana yang diperintahkan dengan mengutamakan yang perlu.

ii.    Pendekatan Jalan Tareqat

Jalan tareqat adalah suatu jalan peribadatan khusus dalam mentaati perintah Tuhan. Masyarakat jin dimaklumi dengan ketaatan berlebihan mereka mengabdikan diri kepada Tuhan. Mereka lebih menyenangi untuk melakukan ibadah berzikir bersama-sama. Dengan itu mereka memilih masjid-masjid untuk berzikir kepada Tuhan sepertimana yang diperintahkan (24:36), sehingga mereka membentuk pembacaan-pembacaan khusus yang mereka perolehi daripada amalan RasululLah S.A.W, yang diwarisi zaman berzaman. Amalan seperti ini membentuk peribadatan yang dikenali sebagai amalan tareqat. Dalam kalangan umat ini, amalan lazim seperti ini telah tersebar meliputi tareqat Saziliyah, Nasabandiah, Muhammadiah, Satariyah dan sebagainya. Namun banyak terdapat pertentangan terutama antara golongan ulama dengan golongan pengamal-pengamal zikir tareqat, sedangkan matlamat mereka hanyalah Allah S.W.T.  Menyebut nama Allah banyak-banyaknya pada waktu pagi dan petang. 

Perkataan غدقا diterjemah dengan berbagai-bagai terjemahan termasuklah lebat, banyak, cukup dan segar. Namun penulis lebih condong dengan terjemahan sebagai segar. Apalah gunanya menempuh jalan yang benar sekiranya ganjaran yang diperolehi hanyalah air yang lebat atau yang banyak atau yang cukup itu, yang dapat diperolehi di mana-mana. Pada zaman yang memerlukan bayaran tinggi, untuk mendapatkan air yang segar, kos yang lebih tinggi perlu dikeluarkan. Manusia sendiri memerlukan penapis tertentu untuk memperolehi air yang segar dan sehingga kini, belum ada sebarang penapis yang dapat menyingkirkan bahan nitrat - yang merupakan bahan cemar buangan daripada baja atau najis haiwan dan manusia, selain kaedah R.O. Air perbekalan yang tidak dapat dikatakan sebagai air yang segar. Pada zaman ini, mendapatkan air minuman yang dipekkan dalam bungkusan yang dijual merata-rata, kebanyakannya telah ditambah dengan bahan tambah untuk tujuan pewarnaan atau perisa yang dapat menimbulkan kesan sumbatan. Begitu juga dengan air yang diminum oleh masyarakat jin, yang sebahagiannya telah melalui pemprosesan tertentu berdasarkan teknologi mereka. Air segar sekiranya diamalkan, berdasarkan pendapat pakar homeopati, dapat mencuci tubuh untuk terhindar daripada pelbagai jenis penyakit. 

Suatu persoalan mungkin timbul bahawa makhluk jin dicipta Tuhan daripada api, lalu apakah kesan pengambilan air oleh mereka sebagai minuman? Adakah air tidak memadam mereka? Sedangkan manusia masih dapat melakukan kerja pengimpalan dalam air. Persoalan sedemikian hanya Tuhan yang mengetahui.

iii.    Kepentingan Meminum Air Segar

Air penting untuk keperluan haiwan dan tumbuhan termasuk manusia. Air yang segar bukanlah merupakan air yang dirawat, walaupun kini terdapat kepelbagaian teknologi untuk mendapatkan air bersih. Yang terkini adalah pemprosesan semula air laut dengan kos paling rendah sekitar RM1.30 untuk setiap 1000 liter air (taksiran 2010). Air segar seharusnya diperolehi daripada air mata air, air hujan, air hulu sungai dan sebagainya. Pencemaran pada masa ini telah mencapai keadaan serius disebabkan aktiviti pembalakan serta pencerobohan kawasan tadahan, sehingga mengakibatkan usaha-usaha mendapatkan air segar menjadi terhad. Pencemaran asap kenderaan dan kilang-kilang mengakibatkan air hujan tidak dapat diminum secara terus dan memerlukan rawatan tertentu untuk digunakan. Sumber air terakhir air segar adalah dari dalam bumi melalui mata air (67:30) yang sedia mengalirkan air atau melalui usaha manusia menebuk bumi dengan menggunakan sesalur tertentu. Usaha besar-besaran seperti ini telah dilaksanakan di negara Libya yang mendapatkan air dari takungan aquefir dari lapisan bawah bumi. Perbezaan ketara antara pengambilan air segar dan air yang dirawat, air segar menyediakan suatu mekanisma pembersihan dalam tubuh lebih berkesan berbanding air yang dirawat. Air segar mungkin sahaja mengandungi bahan-bahan mineral tertentu namun keseimbangan mineral dalam air segar adalah bersesuaian untuk tubuh dan tidak memudharatkan. Air mineral yang diproses manusia mungkin sahaja mengandungi kandungan ion-ion mineral alkali bumi yang berlebihan, sehingga dapat mengakibatkan pembentukan batu karang dalam ginjal. Oleh itu, kita haruslah berhati-hati terhadap pengambilan air mineral yang dipekkan, yang dijual secara merata-rata pada masa ini. Mengambil air dari sumber mata air secara terus adalah lebih baik berbanding pengambilan air mineral yang dibotolkan.

iv.   Aktiviti-aktiviti Manusia Sehingga 
       Pemperolehan Air Segar Menjadi Terhad

Dalam surah Al-Mulk sebelum ini, ada disebut sebahagian aktiviti manusia yang mengakibatkan keperluan mendapatkan air bersih menjadi semakin terhad. Antaranya adalah penebangan terbuka sehingga kerja-kerja penakungan air tidak berlaku dengan berkesan. Keaktifan manusia melakukan kerja-kerja pembangunan secara bersungguh-sungguh akhirnya mengakibatkan bumi, mengalami suatu keadaan yang dinamai sebagi perubahan cuaca. Manusia terlalu aktif melepaskan haba ke atmosfera, lebihan-lebihan wap baja dan juga bahan-bahan cemar lain pula mengakibatkan kejadian hujan terlalu lebat dan banjir kilat. Akibatnya air bersih tidak dapat dimanfaatkan dan keadaan kemarau dapat mengeringkan sumber-sumber air berkenaan. Keaktifan manusia melakukan pembangunan adalah dirangsang aktiviti kitaran gila pengamalan sistem riba dan pajakan secara berleluasa. Inflasi berpanjangan mengakibatkan manusia menjadi terlampau rajin bekerja dari pagi hingga ke petang mendapatkan gaji bagi membayar hutang.

Perbekalan air yang dahulunya diperolehi secara percuma sejak zaman penjajahan, kini memerlukan bayaran tinggi untuk memperolehinya. Sehingga suatu masa nanti, bangunan-bangunan yang mereka dirikan akan tenggelam bersama lumpur daripada runtuhan lereng-lereng gunung atau tercabut akibat tiupan angin kencang ribut atau taufan atau mereput akibat hujan asid yang memudharatkan ataupun terion membentuk debu yang terapung akibat daripada pancaran lampau lembayung. Pembuangan sampah yang berleluasa sehingga mengakibatkan pencemaran sungai dan pembebasan wap metana menjadi perangkap haba yang sangat berkesan, sehingga dapat mengganggu pembentukan awan. Awan yang terbentuk pula, perlu berada pada kedudukan lebih rendah untuk menurunkan hujan dan mengakibatkan kejadian petir yang menyambar serta hujan hangat yang merosakkan tumbuhan-tumbuhan halus seperti alga, lumut dan rumpair. Semua ini menunjukkan kerosakan bumi yang amat serius akan terjadi sehingga mengakibatkan, manusia dan haiwan pada keseluruhannya mengalami kekurangan harta atau makanan (67:18). 

Sebenarnya terdapat kesempatan yang akan dimainkan oleh bangsa Jin, yang akan mempengaruhi golongan ingkar dalam kalangan manusia, untuk melakukan sesuatu akibat pencemaran alam yang berlaku kini, supaya mereka dapat menggunakan alasan itu untuk menguasai bumi ini.




Popular