SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Saturday, January 2, 2016

SURAH NUH AYAT 24 -- MENYESATKAN ORANG RAMAI


و قد اضلوا كثيرا و لا تزد
الظلمين الا ضللا

Dan demi sesungguhnya, telah menyesati mereka akan kebanyakan dan janganlah Engkau menambah akan golongan yang kejam itu melainkan kesesatan.

"Dan Sesungguhnya ketua-ketua itu telah menyesatkan kebanyakan (dari umat manusia); dan (dengan Yang demikian) janganlah Engkau (Wahai Tuhanku) menambahi orang-orang Yang zalim itu melainkan kesesatan jua".

i.      Kerja Saling Mempengaruhi

Kerja saling mempengaruhi memang telah menjadi suatu lumrah dalam kehidupan manusia. Demikianlah mereka meletakkan piawai dalam kehidupan mereka, agar mereka dituruti. Sekiranya pada zaman itu, ukuran adalah berdasarkan kedudukan kepimpinan thoghu yang ditaati dan sunnah umat terdahulu seperti inilah yang masih lagi merupakan suatu ikutan oleh umat manusia pada zaman ini. Sehingga kini, budaya kezaliman sama ada dalam bentuk penyembahan berhala atau penyembahan sistem telah menjadi suatu ikutan yang sentiasa membawa akibat yang buruk. Apakah kesudahan mereka dengan kezaliman mereka itu? Kesesatan! 

Mereka menempah kesesatan dalam beragama, dengan mengada-adakan suatu anutan agama yang memporak perandakan masyarakat. Wujudnya kasta bentuk baru yang berbeza yang membezakan lapisan masyarakat, akhirnya dapat mengakibatkan perpaduan manusia tergugat. Apajua bentuk kesyirikan adalah suatu kezaliman. Sekiranya dahulu ketaatan diserahkan kepada pendeta-pendeta, dalam kalangan umat ini pula penjawat-penjawat agama dan tuan-tuan guru telah dijadikan sebagai suatu sembahan manusia. Mereka mentaati secara membabi buta tanpa sebarang alasan yang wajar. Kini pandangan ‘ulama’ telah dijadikan sumber hukum. Fatwa mereka diterima bulat-bulat.

ii.     Kemudharatan Yang Tiada Kesudahan

Apabila wujud permasalahan dalam masyarakat, mereka lebih merelakan diri menerima hukum berdasarkan pendapat ahli agama yang berstatus 'ulama' tanpa berusaha mendapatkan penjelasan melalui kupasan kitab suci. Lalu bagaimanakah nasib yang menimpa umat? Kini telah berlaku penularan penyakit-penyakit sosial lantaran mencontohi budaya Barat, penyakit-penyakit fizikal akibat memakan benda-benda najis yang diperkenalkan oleh masyarakat Barat. Mereka sebenarnya dahagakan petunjuk Tuhan lantaran petunjuk Tuhan adalah lebih tepat namun manakah dia ulama-ulama yang berani menyampaikan ajaran benar? Mereka menjadi takut kepada tindakan pihak berkuasa yang akan bertindak mengadakan fitnah dalam kehidupan mereka? 

Dalam sistem ekonomi, umat menjadi sesat lantaran mengamalkan sistem riba secara intensif. Buktinya, apabila berlaku kegawatan ekonomi, kita dapat mendengar pelbagai kejadian jenayah pembunuhan dan bunuh diri. Kita juga akan mendengar ramai daripada peniaga dan rakyat jatuh bangkrap, disebabkan oleh belenggu hutang dan kestabilan politik juga akan tergugat. Itulah akibat daripada kesesatan ekonomi yang diamalkan. Namun tiada terdapat walau seorangpun ulama yang berani menegah perlakuan ekonomi sedemikian. Akhirnya, apabila kiblat ekonomi mereka iaitu ekonomi negara Barat menuju kepada kehancuran, maka runtuhlah aktiviti perniagaan mereka satu demi satu bermula daripada sistem permainan matawang sehingga kepada pasaran hartanah serta pengangkutan.

Kalangan kepimpinan, ketaatan rakyat mula berbelah bahagi. Adakah dengan kerjasama antara rakyat dan kepimpinan selama ini, sehingga mewujudkan suatu sistem yang menyesakkan hidup rakyat, dapat diubah dengan tiba-tiba apabila berlaku perubahan kepimpinan?

iii.    Sistem Kezaliman Yang Membawa 
        Kesesatan

Mengambil peraturan selain peraturan Tuhan adalah suatu kezaliman, kesyirikan. Menerima sistem kapitalis sehingga menidakkan sistem Islam adalah suatu kezaliman, kesesatan. Mengamalkannya secara berterusan adalah suatu kefasikan. Kembali kepada sistem Islam bukanlah dengan cara menubuhkan Baitul Mal Berhad. Jabatan tidak seharusnya menggantikan majlis dalam urusan kutipan atau pengagihan zakat sehingga terdapat mereka yang berkepentingan dengan jabatan, dengan sewenang-wenangnya menggelapkan wang ke akaun sendiri.

Sekiranya beginilah cara Islam yang diperkenalkan, maka tidak hairan suatu masa nanti umat akan meninggalkan agama ini secara beramai-ramai. Gejala seperti ini telah semakin menyerlah sekarang ini. Rata-rata kalangan kepimpinan mula memberi perhatian terhadap kontrak sosial bagi menutup masalah kejadian murtad yang semakin menjadi-jadi. Sebahagian yang lain masih mengambil kesempatan menuduh pihak-pihak tertentu sehingga membawa perpecahan kalangan umat.

Dalam surah Al-Qalam, telah dijelaskan sejelas-jelasnya golongan yang sesat dalam kalangan umat. Mereka menjadi sesat atas kerja-kerja kezaliman yang mereka lakukan. Antaranya adalah menghindar diri daripada mengeluarkan zakat, menghalang peruntukan zakat daripada sampai kepada pihak-pihak yang layak yang tentunya banyak dilakukan oleh pegawai-pegawai yang dilantik. Mengalih peruntukan zakat atas tujuan yang lain daripada yang diperintahkan sekalipun dengan hujah-hujah syar'ie seperti melabur untuk kilang pembuatan, program pinjaman perniagaan, pembelian bangunan atau apajua untuk tujuan perniagaan bagi menambah peruntukan sedia ada. Wang zakat tidak harus disimpan lama.

iv.    Kesesatan Yang Melanda Umat 
        Masakini

Apabila disebut istilah sesat, umat menyangka apajua ajaran yang dilabel oleh pejabat agama sebagai sesat maka ajaran demikian itu adalah ajaran sesat. Istilah sesat telah dijadikan istilah yang sinonim dengan syirik dan kafir. Apajua yang syirik adalah sesat, apajua yang sesat adalah kafir dan apajua yang kafir adalah syirik dan begitulah sebaliknya. Mereka memerangi ajaran 'sesat' habis-habisan namun mereka hanya berani bertindak terhadap golongan 'sesat' daripada kaum mereka sendiri sahaja. Apabila berlaku kejadian murtad besar-besaran daripada umat sebangsa mereka yang asalnya beragama Islam kepada agama lain seperti Kristian dan Hindu, mereka segera menahan tangan mereka daripada bertindak ke atas pengurusan kuil Hindu atau gereja Kristian dengan alasan, kumpulan agama ini tidak tergolong dalam kumpulan ajaran 'sesat' yang mereka istilahkan.

v.    Kecelaruan Yang Membawa Kepada 
       Riddah

Kejadian riddah atau murtad adalah merupakan suatu contoh kemuncak pengabaian yang lengkap oleh penjawat-penjawat yang berada di institusi agama terhadap umat Islam pada keseluruhannya. Perkara ini telah mula berlaku sejak tarikh kemerdekaan negara iaitu telah melebihi 50 tahun. Pengabaian ini didorong oleh kegagalan mereka menegur pemerintah terhadap polisi pemerintahan yang akhirnya mengakibatkan umat berada dalam keadaan kesempitan hidup. Akhirnya mereka yang diberi amanat, terpaksa menerima percaturan pemerintahan sehingga mereka terpaksa mengejar status dan kekayaan. Peruntukan zakat telah dipesongkan untuk tujuan yang lain atau dipendam dalam akaun-akaun simpanan bagi memperolehi laba riba.

Apabila umat mula mempertikai agama,
seluruh sistem berada di ambang bahaya.

No comments:

Post a Comment

Popular