SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Tuesday, December 15, 2015

SURAH NUH AYAT 21 -- MEREKA MENURUTI SUATU YANG MERUGIKAN


قال نوح رب انهم عصونى و اتبعوا
من لم يزده ماله و ولده الا خسارا

Telah berkata Nuh, “Tuhanku, sesungguhnya mereka, telah menderhakai mereka akan daku dan telah menuruti mereka, pihak yang telah tidak ia menambah akannya, oleh harta-hartanya dan oleh anak-anaknya, melainkan suatu kerugian”.

Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! sesungguhnya, mereka telah menderhaka kepadaku, dan mereka telah menurut orang Yang harta bendanya dan anak-pinaknya tidak menambahinya melainkan kerugian (di akhirat kelak).

i.    Mereka Tak Bersedia 
      Dengan Pemberian Tuhan

Dalam ayat 71:12—20, Tuhan telah memberi janji kepada umat Nabi Nuh melalui lidah Nabi Nuh A.S. bahawa Tuhan akan memperbilang kepada mereka sejumlah harta dan anak-anak serta taman-taman yang diairi dengan air sungai, asalkan mereka beriman kepada Tuhan dan mengharapkan kemuliaan daripada Tuhan. Mengakui hakikat bahawa diri-diri mereka Tuhan yang cipta dan alam yang mereka diami ini Tuhan jualah yang sediakan. 

Namun apakah tindakbalas mereka dalam menghadapi Nabi Nuh A.S? Mereka melakukan penderhakaan daripada mentaati perintah Tuhan, dengan mengingkari ajaran-ajaranNya yang disampaikan melalui Nabi Nuh A.S. Akhirnya mereka dapati bahawa harta yang mereka kumpulkan tidak membawa apa-apa erti. Hakikat kehidupan yang seperti ini menjadi buruan umat manusia sejak dahulu.

ii.  Harta yang Merugikan

Harta yang merupakan amanah Tuhan, tidak dapat dimanfaatkan dengan sewajarnya. Apakah sebenarnya harta yang mereka kumpulkan? Umumnya harta yang dikenal pasti adalah rumah-rumah kediaman dengan kelengkapannya, kenderaan, pakaian-pakaian dan makanan. Manusia bermegah dengan semua itu. Pada zaman ini, kerugian berlaku apabila mereka memperbanyak bilangan rumah, yang akhirnya rumah-rumah itu tidak didiami atau tidak dapat diuruskan. Berapa banyakkah bangunan terbiar tidak dimanfaatkan atau tidak sepenuhnya dimanfaatkan? Lalu bagaimanakah dapat mereka berbangga dengan pembangunan-pembangunan seperti itu? 

Manusia kini dapat menyaksikan, bagaimana tapak-tapak bangunan silam terbiar tidak dapat dimanfaatkan waktu ini. Piramid yang merupakan kemegahan Fir'aun, hanya tinggal sejarah untuk tujuan pengkajian arkeologi serta pelancongan, namun tidak dapat dimanfaatkan untuk tujuan kediaman. Begitu juga bangunan kolosium tinggalan Rom serta A. Farmosa sebagai tinggalan sejarah di Melaka. Hanya memiliki nilai pelancongan untuk keturunan bangsa yang dijajah tanpa, dapat dimanfaat oleh penjajah.


Secanggih manapun suatu piramid dibina,
akhirnya ia menjadi bangunan yang tidak 
digunakan melainkan sekadar hiasan.

Tidak seperti masjid-masjid yang dibina oleh RasululLah S.A.W. dan sahabat-sahabat baginda yang terdapat di serata dunia, sehingga kini, kebanyakannya masih menjadi rumah ibadah yang sentiasa dikunjungi. Begitu juga bangunan yang menjadi peninggalan umat seperti masjid-masjid di Acheh, sekalipun bangunan sekelilingnya musnah akibat tsunami namun masjid itu masih teguh malah masih menerima kunjungan umat untuk melakukan ibadah sehingga kini. 

iii.   Pemilikan Yang Hanya 
       Sulapan Mata

Pemilikan harta kadangkala merupakan suatu sulapan kepada orang ramai, yang menjadikan perolehan dunia untuk mempengaruhi orang lain. Lihatlah sekeliling kita, bagaimana usaha-usaha pemilikan oleh sebahagian pengejar-pengejar kepentingan dunia, memperuntukkan sejumlah wang edaran dalam negara untuk memiliki harta-harta daripada jenama luar negara. Tujuan sebenar mereka hanyalah kerana kemegahan. Walhal tindakan seumpama itu, langsung tidak membantu kepada kekukuhan wang negara sehingga mengakibatkan defisit dalam negara yang melampau. 

Apakah ertinya nilai wang yang semakin mengecil secara berterusan, akibat tindakan rakus sebahagian warga negara? Pertumbuhan ekonomi dalaman yang semakin mengecut serta kesusutan keupayaan kuasa beli rakyat, tentunya lambat laun, akan meningkatkan kadar jenayah serta bilangan miskin tegar. Mengapa umat masih memilih untuk berada dalam sistem ekonomi kapitalis yang mempraktikkan sistem interes @ riba, diperkenalkan oleh golongan yang ingkar? Dengan konsep pemilikan tak terbatas yang diperkenalkan melalui sistem kapitalis, telah mengakibatkan sebahagian usahawan-usahawan sekeliling kita, hidup dalam kemelaratan. Akibatnya, secara umumnya, kehidupan rakyat turut terjejas apabila sebilangan wang yang dibelanjakan awal tahun, tidak dapat membeli barangan yang sama pada kuantiti yang sama pada hujung tahun. Bukan disebabkan oleh pertumbuhan ekonomi yang menjanjikan bilangan wang yang semakin banyak, yang dapat beredar dalam pasaran, tetapi disebabkan oleh defisit dan inflasi tidak terkawal. Walaupun sistem barangan terkawal telah diperkenalkan oleh pihak berkuasa, namun atas sebab sistem kapitalis yang diamalkan - peratus keuntungan atas nilai simpanan atau pelaburan, hampir-hampir tiada ertinya. 

Apabila sampai suatu masa, gelembung ekonomi pecah, maka pada masa itu, pemerintah terpaksa menyuntik dana yang banyak terhadap syarikat serta rakyat, sehingga mengakibatkan perbelanjaan negara untuk tujuan-tujuan strategik akan terjejas.

Sekiranya tidakpun, kita akan dapat menyaksikan, banyak daripada syarikat dan equiti milik tempatan, berpindah tangan kepada pihak asing sehingga mengakibatkan maruah negara dan rakyat tergadai, sebagaimana yang berlaku ke atas kepentingan perbankan dan pasaran perumahan negara asing. Apakah ertinya semua ini, sekiranya umat yang harus menjadi warganegara yang berdaya saing sesama mereka, terpaksa memperhamba diri sendiri kepada kepentingan asing. Ya, mereka tentunya akan kelihatan kaya tetapi apalah ertinya perkara yang sedemikian, yang lambat laun menyediakan jalan kepada kemiskinan negara dan rakyat kemudian hari. 

Agama memerintah penganutnya supaya bekerja. Tentulah tujuannya adalah supaya penganutnya berharta lantaran dengan harta dapat membantu seseorang untuk menyempurnakan ibadah yang perlu dilakukan. Apalah ertinya harta yang banyak, tetapi equiti yang semakin menyusut atau menjadi negatif. Harta-harta yang diperolehi dengan jalan hutang yang melibatkan riba, akhirnya akan menyebabkan modal menyusut dan paling menyedihkan, akhirnya mengakibatkan 'kehilangan' harta berkenaan. Siberhutang pula, bukan sahaja menjadi muflis, malah masih berkeadaan terhutang yang teruk. Oleh itu, apakah ertinya nikmat kemerdekaan yang diperjuangkan sejak dahulu, sekiranya sistem ekonomi penjajah masih diamalkan, yang tentunya bertujuan menindas rakyat secara tidak disedari?

iv.   Menambah Kerugian Kepada 
       Harta Dan Anak-anak


Ayat ini memberitahu bahawa Nabi Nuh A.S. mengadu kepada Tuhan, bahawa umatnya telah terdorong untuk mematuhi perintah pihak tertentu yang sebenarnya membawa akibat kepada mereka - sehingga mereka mengalami kerugian harta dan anak-anak. Sebenarnya, perkara yang berlaku kepada masyarakat pada zaman Nabi Nuh A.S. ketika itu, juga berlaku kepada masyarakat masakini, sehingga kehidupan masakini telah menjuruskan seseorang kepada kerugian yang serupa. Tentang harta, umat masakini telah memenuhi agenda kehidupan mereka, sehingga siang dan malam mereka, hanyalah merupakan agenda mendapatkan harta. Mereka lupa untuk memberi asuhan yang sewajarnya, sehingga anak-anak tidak dapat diberi ilmu yang bermanfaat kepada diri sendiri dan masyarakat untuk kemudian hari nantinya. 

Sekiranya pada masa ini, kehidupan umat dibelenggu dengan sistem hidup kapitalis berasaskan ekonomi riba dan pajakan, maka keadaan yang serupa juga berlaku suatu masa dahulu, sehingga umat lebih terpedaya untuk mengejar ke'maju'an dunia berbanding menghayati hakikat kehidupan yang sebenar. 

Apakah nilai yang ada pada wang sekiranya nilai wang itu disusut nilai setiap tahun? Sekiranya 1 gram emas dapat digunakan untuk membeli sebuah basikal yang berkualiti pada suatu masa sekitar 50 tahun dahulu, kini, 1 gram emas masih boleh digunakan untuk membeli basikal yang serupa. Contohnya, dari sudut nilaian wang, harga basikal telah berubah daripada sekitar RM20.00 kepada RM200.00 dan kita terpaksa menanggung inflasi yang tinggi setiap kali menyimpan atau menggunakan wang sebagai alat peredaran. Pihak yang membawa kerugian atas peredaran wang kertas yang digunakan oleh umat adalah pihak bank, yang didorong penggunaannya oleh pengawal lindung nilai iaitu bank pusat bagi sesebuah negara. Ini bermakna, tiada perubahan kuantiti emas yang dicagarkan oleh bank pusat dan yang meningkat hanyalah nilai digit wang yang digunakan. Dengan lain perkataan, nilai wang sentiasa mengecil sepanjang tahun dan penyimpan-penyimpan wang di bank adalah pihak yang sentiasa mengalami kerugian. Pemilikan maya akhirkan melenyapkan harta mereka. Penulis akan membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut kemudian nanti.

iv.  Rutin Pendidikan Anak-anak 
      Yang Memudharatkan

Sebelum datangnya penjajahan, umat ini telah berada pada suatu tahap pendidikan sehingga sekitar 500 tahun dahulu, secara ringkasnya, planet paling jauh yang bergelang yang dapat dikenal pasti, telah dinamai sebagai Zuhal. Bayangkan! Itu 500 tahun dahulu sebelum penjajah sendiri dapat mencipta teleskop yang dapat meneropong angkasa. Lalu datanglah penjajah, sehingga umat ini sendiri tidak mengakui bahawa mereka telah menemui Zuhal terlebih dahulu sebelum penjajah menemui Saturn. Lalu mereka kemudian mengakui penjajah adalah segala-galanya walhal penjajah bukanlah pelopor ilmu hanya mereka memperkembangkannya.

Siapakah yang menemui Zuhal 
sebelum 'Saturn' ditemui?

Selepas zaman penjajahan, umat ini mewarisi sistem pendidikan daripada penjajah yang memisahkan antara ilmu pengetahuan dan agama sehingga untuk menerima pengiktirafan pelopor ilmuwan (Ph.D), mereka perlu mendapatkan daripada pihak penjajah. Lalu dengan bangganya para sarjana ‘ilmu-ilmu asal Islam’ yang diperkembangkan oleh penjajah, lebih diiktiraf sebagai kepakaran penjajah dalam menerokai bidang ilmu pengetahuan tertentu. Sistem pendidikan ala-penjajah yang telah dipraktikkan kini, mengakibatkan pelajar-pelajar tidak lagi mengetahui daripada siapakah sifir logaritma, trigonometri, kaedah algebra dan algoritma telah diperkenalkan? Namun itu merupakan sumbangan umat Islam terdahulu yang tidak harus dimegahkan lagi, tetapi giliran umat ini, sekarang ini, perlu memperbaharui semula asas-asas ilmu yang baru supaya perkembangan ilmu dalam kalangan umat tidak membeku.

Sistem pendidikan sekarang ini mengutamakan keutamaan minda pelajar terdidik dengan ilmu acuan penjajah dan melupai praktis kepada penemuan ilmu-ilmu baru. Mereka yang menjadi pelajar tidak mampu untuk mempraktiskan ilmu mereka dalam pekerjaan secara sendirian, sekalipun untuk tujuan mendapatkan rezeki menyara diri sendiri. Jadilah mereka pemakan-pemakan gaji untuk suatu tempoh masa yang panjang, sehingga mereka benar-benar mempelajari sesuatu dalam pengamalan pekerjaan mereka secara sendirian. Cukup untuk penulis perkatakan, sekiranya pemilik gedung-gedung perindustrian menarik balik pelaburan mereka dari negara ini, akan mengakibatkan ratusan ribu pekerja lepasan sekolah atau universiti menganggur kehilangan pekerjaan mereka dan mereka tidak akan ada hala tuju selepas itu. 

Apakah yang dikehendaki oleh penjajah melalui sistem pendidikan yang diperkenalkan? Mereka hanya mahukan pengiktirafan umat ini, bahawa mereka jualah segala-galanya. Jadilah umat ini hanya mengamalkan agama pada ibadat ta'abudi seperti mendirikan solat, mengeluarkan zakat, puasa, haji sehingga menggelapkan mata dan minda mereka, bahawa kitab ini adalah kitab awal dan akhir dalam mempersembahkan segala-gala ilmu yang telah dan belum mereka pelajari. 

Sistem pendidikan penjajah dengan sendirinya menunjukkan keburukannya apabila anak-anak dipisahkan daripada ibubapa mereka pada awal usia, untuk mendiami asrama-asrama yang disediakan. Mereka dibebani dengan maklumat-maklumat ilmu yang kebanyakannya tidak bermanfaat untuk diri mereka sendiri serta umat secara keseluruhannya. Kemudian, kita dapati ahli-ahli profesional hasil didikan penjajah, merompak harta negara dan orang ramai melalui kepakarannya jauh lebih banyak berbanding perompak-perompak yang menggunakan senjata api. Masalah sosial sering berlaku tanpa adanya didikan dan kasih sayang daripada ibubapa sejak awal-awal lagi.

v.   Benih Kepada Permasalahan Sosial

Sistem keingkaran berasaskan ekonomi riba dan pajakan telah mengakibatkan ibubapa terpaksa bekerja untuk mendapatkan suatu kehidupan. Mereka bekerja demi membayar hutang riba terhadap pemilikan harta mereka. Hingga ke suatu peringkat, mereka terpaksa melalaikan tanggungjawab mengambil berat terhadap penjagaan anak-anak mereka. Masa mereka bersama anak-anak menjadi sangat terhad sehinggalah anak-anak menjadi dewasa. Sejak dari kecil lagi, anak-anak telah diperkenalkan dengan makanan susu segera sehingga mereka memperolehi kurang manfaat daripada susu ibu. Akibatnya, rasa diambil berat oleh ahli keluarga turut terjejas, apabila mereka semakin meningkat dewasa. Dengan program-program hiburan yang sentiasa dihidangkan setiap hari, mereka akhirnya lebih menyenangi untuk bergaul dengan rakan-rakan berbanding dengan ahli keluarga sendiri. Leretan yang sudah terlalu lama sejak daripada zaman merdeka lagi, mengakibatkan kini terhasil remaja-remaja liar yang sering melibatkan diri dalam permasalahan sosial. Mereka membentuk kumpulan yang suka merempit, menyamun serta terlibat dengan gejala sosial seperti perzinaan dan penagihan dadah. Golongan pertengahan dalam kalangan mereka pula suka memilih untuk menghantar orang-orang tua mereka ke rumah orang-orang tua. Manakala golongan profesional memilih untuk mengupah pembantu rumah bagi mengambil berat ahli keluarga yang ditinggalkan di rumah, yang terdiri daripada ibubapa atau anak-anak.

Kita akan menghadapi hari tua nanti. Tentunya
kita tidak suka ditinggalkan lama.



No comments:

Post a Comment

Popular