SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Monday, August 27, 2018

MEWUJUDKAN RAKYAT YANG DIPERBODOHKAN DAN KEPIMPINAN MENINDAS



Dahulu kita ada pekebun-pekebun kecil dan peniaga-peniaga kecil. Kemudian kita ada peladang-peladang dan pengusaha-pengusaha mini market. Kemudian itu, usaha perladangan menjadi semakin besar dan petani-petani kecil semakin terbiar. Dengan tertubuhnya korperasi, pengusaha-pengusaha mini market pula menjadi semakin terpinggir. Kehadiran pusat perniagaan seperti ‘wall mart’ dan gedung-gedung besar yang sebelum itu sanggup membayar rasuah jutaan ringgit kepada pegawai-pegawai majlis bandaran dan daerah, akhirnya mengakibatkan perniagaan melalui korperasi semakin lama semakin susut. Mereka ini kononnya membantu pengusaha dengan mewujudkan usahawan melalui projek-projek francaisee, tetapi akhirnya meletakkan syarat yang bukan-bukan supaya usahawan itu terpaksa tunduk untuk terus berada di bawah penguasaan mereka. Persaingan dalam mendapatkan pelanggan akhirnya mengakibatkan nasib pekebun, petani kecil dan usahawan korperasi menjadi semakin terpinggir. Suatu hari nanti, kita akan mendengar, ada usahawan pisang menanam pelbagai jenis pisang sebagai usaha terbarunya dan kemudiannya mendapati pisangnya tidak dapat dijual kerana orang ramai semakin tidak memiliki kekuasaan terhadap wang ringgit mereka. 

Dulu kita ada ahli masyarakat yang perihatin. Tajuk-tajuk kritikal seperti pembunuhan menjadi bahan perbualan serius di tempat-tempat pertemuan seperti di warung-warung dan di restoran. Kini ahli masyarakat tak ambil kisah tentang ahli masyarakat lainnya; tentang kejadian kemalangan yang disiarkan melalui media massa dan tentang kejadian jenayah yang berlaku hampir setiap hari. Seolah-olah mereka telahpun redha, kalau-kalau mereka menjadi mangsa seterusnya.  Dahulu hospital-hospital bukan dipenuhi oleh pesakit-pesakit tetapi oleh ahli keluarga pesakit yang sering menziarahi pesakit berkenaan setiap hari. Kini pelawat-pelawat yang menziarahi pesakit semakin berkurangan, kerana kesibukan dalam menjalani urusan seharian dan ditambah lagi kesukaran mendapatkan tempat letak kenderaan dalam kawasan hospital. Yang paling ramai datang ke hospital pada masa ini adalah pesakit-pesakit dan yang paling sibuk adalah doktor-doktor yang berusaha memenuhi jadual tugas mereka untuk membantu setiap pesakit. “Something is wrong here ….”.

Punca-punca Rakyat Diperbodohkan (Docility)


'People Is Dumb As* ..... !!!!!'

Pertama, kita dihidangkan dengan najis dalam pemakanan kita. Kehadiran supermarket dan pusat-pusat perniagaan lainnya yang menyediakan makanan segera, adalah menjadi punca kepada hampir semua kedurjanaan ini. Negara kita bukannya tiada pusat-pusat penyelidikan makanan tetapi penyelidik-penyelidik yang sanggup menerima bayaran tinggi sebagai rasuah, telah mengizinkan najis dijadikan bahan tambah dalam pemakanan. Akibatnya, ramai rakyat negara ini akhirnya jatuh sakit. Dan yang paling malang sekali, semakin lama semakin ramai rakyat negara ini diberi capaian mudah untuk memperolehi semua itu. Mereka boleh berbelanja sesuka hati dengan wang yang tidak mereka miliki dan membeli barangan yang bukan benar-benar mereka perlukan. 

Kedua, dengan polisi bank pusat yang amat-amat menggalakkan transaksi secara digital, perkara ini akan menjadi suatu pukulan maut terhadap umat Islam di negara ini. Dengan kawalan sepenuhnya terhadap transaksi kewangan, pengguna yang majoritinya rakyat negara ini, pastinya akan didedahkan dengan kemudahan ‘extended credit’ dalam urusan harian mereka. Kiranya dalam keadaan sekarang ini, dalam keadaan wang digital belum lagi diperkenalkan secara meluas, ramai golongan profesional telah terperangkap dalam kancah hutang – bagaimana pula nantinya apabila kemudahan berhutang dapat dicapai secara mudah oleh majoriti rakyat? Pada masa itu, kita akan mudah dapati sekeluarga yang gemuk-gemuk sedangkan mereka hidup dalam kemiskinan, ahli masyarakat yang tidak peduli dengan nasib yang menimpa jirannya, jenayah yang tidak diendahkan dan peristiwa bencana alam yang sekadar dijadikan sembang kedai kopi. Buktinya, siapa dia dalam kalangan ahli masyarakat masa kini yang mahu membincangkan secara serius tentang kejadian kejatuhan asteroid yang semakin menjadi-jadi. Mereka pastinya tidak mengetahui punca kejadian itu dan tidak juga mengetahui dalang di sebalik kejadian berkenaan. 

Ketiga, bangga untuk kelihatan bergaya sekalipun papa. Penulis telah beberapa kali dapati, mereka yang memilih hidup ala kadar, mengamalkan cara hidup penuh hati-hati dan memilih untuk tidak memaparkan kemampuannya, seringkali dipandang hina bahkan dianggap kurang waras pada mata ahli masyarakat lainnya. Sikap ahli masyarakat sebegini sebenarnya telah menambah jumlah hutang negara ke peringkat mustahil untuk seluruh rakyat negara ini melangsaikannya. Oleh kerana keupayaan membayar hutang berkait rapat dengan bond-bond yang dijual oleh bank pusat, berkurangnya keupayaan untuk membayar balik pinjaman, pastinya akan mengakibatkan nilai wang negara menjadi semakin mengecil dan perkara ini akhirnya akan menyusahkan semua pihak. Namun kebodohan seperti ini telah menjadi kebanggaan pihak kepimpinan dan perkara ini sebenarnya akan menjurus seluruh rakyat ke lembah kemusnahan ekonomi. Pemimpin berbangga memiliki rakyat yang dapat diperbodohkan dan rakyat pula berbangga memiliki pemimpin yang kejam tidak berhati perut.



Tuesday, August 21, 2018

SURAH AS-SABAK AYAT 16 -- KEINGKARAN UMAT YANG MENEMPAH BENCANA



ﻓﺄﻋﺮﺿﻮﺍ

Lalu telah berpaling mereka ...


Maka mereka berpaling ingkar …

Keingkaran Umat Yang Membawa Bencana

Apakah yang mendorong umat berpaling daripada petunjuk Tuhan? Mereka yang inginkan cara hawa nafsu mereka dituruti dan menjauhi pengajaran Tuhan, sebenarnya telah memilih untuk menolak petunjuk Tuhan. Kesudahan bagi tindakan berpaling daripada pengajaran Tuhan adalah bencana. Sebagai contoh, jalanraya atau lebuhraya yang seharusnya menyediakan jalan terdekat untuk tujuan mengangkut hasil-hasil ladang, telah tidak dimanfaatkan secara wajar. Bahan-bahan asas untuk tujuan perladangan dan hasil ladang tempatan terpaksa melalui laluan jauh sehingga kos pengangkutan untuk tujuan berkenaan telah meningkat. Akibatnya, terjadi inflasi terhadap harga makanan dan perkara ini sedikit sebanyak telah menyusahkan kehidupan rakyat. Petani seperti pesawah dipaksa untuk membekalkan hasil tuaian mereka pada harga murah sementara orang tengah atau pengilang, menggunakan alasan peningkatan kos untuk menaikkan harga jualan mereka kepada pembeli akhir. Harga makanan tak pernah turun secara ketara sekalipun setelah cukai GST dimansuhkan.

Apabila kos usaha perladangan dan pengangkutan meningkat dengan peningkatan harga bahan bakar, akhirnya hanya mereka yang bermodal besar sahaja, yang mampu mengusahakan ladang yang luas secara intensif.  Bermodalkan kecairan yang besar dan peralatan yang mencukupi, mereka akhirnya mengambil kesempatan itu, untuk memonopoli kerja-kerja perladangan. Perkara yang terjadi di California Amerika Syarikat telah membuktikan perkara ini. Hanya mereka yang datang dari syarikat korporat besar sahaja yang mampu mengusahakan usaha pertanian pada skala besar sehingga golongan petani kecil dan korporat kecil, akhirnya terpaksa meninggalkan kebun-kebun mereka.

Perkara ini juga telah lama terjadi di negara ini atas kecuaian pemerintah sendiri. Petani atau pesawah telah dipaksa menjual hasil tuaian mereka pada harga lebih rendah dengan berbagai-bagai alasan, sementara orang tengah yang memiliki modal besar serta mesinari mencukupi dapat meraih keuntungan lebih baik daripada itu. Sekalipun harga makanan asasi dikawal oleh pihak pemerintah, dengan jumlah subsidi yang semakin terhad, orang tengah terpaksa menekan pesawah dengan pulangan rendah atas setiap usaha pesawah, supaya aktiviti mereka dapat terus berjalan. Pesawah tidak memiliki pilihan, sama ada akhirnya terpaksa menghentikan kerja mereka ataupun menggunakan sejumlah baja yang lebih banyak untuk meraih hasil lebih. Perkara ini akhirnya menjurus kepada kerosakan alam sekitar sehingga mengakibatkan perubahan cuaca ekstrem dan membiakkan lebih banyak haiwan-haiwan perosak seperti serangga charlie, siput gondang dan sebagainya.


Sekalipun kecil, serangga banyak didapati di 
kawasan bendang seperti ini, amat menyakitkan.

Institusi Keusahawanan Yang Menjahanamkan

Sejak merdeka sehingga kini, kita dapati umat Melayu merupakan golongan paling bermasalah dalam usaha mereka melakukan aktiviti pertanian mereka sendiri. Sekalipun setelah wujud institusi yang disediakan oleh kerajaan, mereka masih terkapai-kapai dalam usaha untuk menjadi petani moden yang berjaya. Pegawai-pegawai yang dilantik, seringkali membebankan petani-petani, dengan pinjaman dari institusi kewangan tertentu sebelum suatu usaha pertanian itu dijalankan. Mereka lebih menyenangi untuk menerima hadiah-hadiah tertentu dari taukeh-taukeh pembekal baja yang dipaksa digunakan oleh petani, berbanding usaha bersungguh-sungguh untuk membantu para petani. Petani yang telah menerima kelulusan pinjaman kewangan melalui sokongan pegawai berkenaan, terpaksa menerima sahaja keadaan itu. Kemudian pegawai berkenaan meletak syarat, hanya jenis tanaman tertentu sahaja yang harus diusahakan oleh petani dan bukannya pilihan petani itu sendiri. 

Dengan kos usaha pertanian yang tinggi, petani-petani berkenaan tidak akan berjaya melepasi tahap ekonomi mereka yang rendah dan akan sentiasa ‘dipaksa’ menjadi sekadar petani tahap rendah selamanya. Setelah berlalu tempoh masa yang panjang, kini kita dapati usaha pertanian lebih dimonopoli oleh kaum lain dan mereka lebih maju dalam usaha pertanian mereka, sehingga melibatkan pengurusan eksport ke luar negara.  Begitu juga dalam hal aktiviti perikanan. Pegawai perikanan yang dilantik lebih senang untuk menerima rasuah daripada nelayan luar yang sanggup meragut hasil perikanan habis-habisan dari perairan negara. Pegawai-pegawai berkenaan tidak perduli langsung terhadap pembenihan ikan jangka panjang dan juga tidak ambil perduli terhadap kerosakan ekosistem perairan negara.




Tuesday, August 14, 2018

NEGERI YANG BAIK TUHAN MAHA MENGAMPUNI



ﺑﻠﺪﺓ ﻃﻴﺒﺔ ﻭ ﺭﺏ ﻏﻔﻮﺭ

Negeri Yang Baik dan Tuhan Maha Mengampuni

(negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun! 

Negeri Yang Baik

Yang dikatakan negeri yang baik adalah negeri yang menepati ciri-ciri yang dinyatakan pada ayat sebelum ini. Iaitu negeri yang terdapat kerja-kerja perladangan sama ada daripada aktiviti penternakan atau penanaman yang dapat dilihat berada di sebelah kiri dan kanan laluan. Yang dengannya hasil produktiviti sedemikian dapat dipindahkan secara mudah melalui laluan yang disediakan. Laluan itu boleh jadi laluan lebuhraya seperti lebuhraya utara selatan – PLUS ataupun laluan air seperti terusan Wan Mat Saman di Kedah. Ciri-ciri sedemikian sebenarnya telah sedia terdapat di negeri ini dan negeri ini telah tersedia untuk memenuhi ciri-ciri sebagai negeri yang baik. Hanya fungsi sepenuhnya belum lagi dapat dilaksanakan.

Tuhan Maha Mengampuni

Sekiranya peluang untuk mewujudkan sebuah negeri yang memiliki ciri-ciri negeri yang baik tidak dipenuhi ;- bayangkan betapa sukarnya untuk kita dapatkan perlindungan daripada Tuhan Maha Mengampuni. Bayangkan berapa banyakkah kesalahan yang telah dilakukan oleh rakyat dan pemerintah negeri ini sehingga negeri ini terhalang untuk menjadi negeri yang baik?

i)       Laluan jalanraya atau lebuhraya yang seharusnya digunakan untuk mengangkut hasil-hasil ladang, telah diletakkan di bawah suatu sistem kawalan sehingga hasil-hasil ladang tidak dapat melaluinya dengan mudah. Akibatnya, capaian terhadap hasil-hasil ladang perlu didapatkan pada harga yang agak tinggi. Kerenah birokrasi turut menjadi penyumbang terhadap peningkatan harga makanan.


ii)     Sistem jalanraya atau lebuhraya yang seharusnya dapat dilalui tanpa sebarang halangan di tengah-tengah perjalanan sebenarnya telah terganggu dengan kewujudan pasar-pasar tol untuk tujuan pengutipan cukai. Begitu juga sekatan jalanraya yang diwujudkan untuk menyaman pemandu yang tidak memiliki lesen dan sebagainya. (Bayaran tol dan saman sebenarnya dapat dilakukan tanpa perlu menghentikan aliran trafik yang berada di tengah-tengah perjalanan).

iii)    Hasil ladang yang seharusnya dapat dipindahkan melalui jalan dekat, telah tersekat dengan wujudnya pagar-pagar yang didirikan di setiap penjuru laluan lebuhraya. Tidak ada kaedah untuk hasil ladang dapat dibekalkan sehingga mencukupi permintaan pengguna-pengguna lebuhraya, kerana sistem yang diwujudkan adalah bertujuan supaya pihak-pihak tertentu dapat memonopoli penjualan hasil-hasil ladang di setiap hentian lebuhraya.

iv)   Rezeki yang seharusnya merupakan kurniaan dari Tuhan telah bertukar menjadi kurniaan dari syaitan. Makanan dan minuman yang dibekalkan turut diawet dengan bahan kimia pengawet dan diwarnakan dengan warna tambahan tertentu. Tujuannya adalah supaya makanan dan minuman yang disediakan dapat bertahan dengan lebih lama dan dihantar ke tempat-tempat yang lebih jauh. Perwarnaan makanan dan minuman akan membuatkan ianya kelihatan lebih menarik, untuk menarik perhatian mangsa. Pengambilan makanan seperti ini tentunya menimbulkan bahaya tertentu kepada si pengambilnya. Sikap tamak dan gelojoh kepada pengusaha makanan seperti ini akan dijelaskan lebih mendalam pada beberapa ayat selepas ini.

v)     Umat ini kini telah menolak untuk bersyukur kepada Tuhan kerana tarikan keuntungan dunia yang dijanjikan oleh syaitan. Mereka memilih sistem riba dalam aktiviti ekonomi sehingga mengakibatkan kecelaruan dalam hidup. Jalanraya dan lebuhraya sentiasa sesak dari waktu pagi sehingga malam kerana dipenuhi dengan aktiviti manusia tanpa henti. Semua ini terjadi kerana rangsangan aktiviti ekonomi berasaskan sistem kapitalis dan riba. Manusia perlu melipat gandakan usaha mereka demi mengurangkan bebanan hutang mereka.

vi)    Sempena dengan semua perkara di atas, kalau dapat kita perhatikan lebih mendalam lagi, kita akan dapati semakin ramai rakyat negeri ini terpaksa memilih makanan segera, kerana mereka semakin kesuntukan masa untuk menyediakan makanan mereka sendiri. Kita akan dapati sebahagian mereka memiliki tubuh yang semakin berisi dengan makanan yang kebanyakannya merupakan makanan berpenyakit sementara sebahagian lainnya terpaksa bertungkus lumus kerana tak cukup makan. Ketidak seimbangan ekonomi dalam kalangan rakyat terjadi atas beberapa sebab tertentu yang sebenarnya dapat dielakkan. Pelbagai bentuk permasalahan sosial dan jenayah telah berlaku dan hampir setiap hari kita dapat mendengar beberapa perkara pelik telah terjadi. 


Memakan haiwan yang disuntik dengan dadah
perangsang, mengakibatkan pelbagai jenis
simptom penyakit.



Wednesday, August 8, 2018

BERSYUKUR DENGAN KURNIAAN TUHAN


ﻛﻠﻮﺍ ﻣﻦ ﺭﺯﻕ ﺭﺑﻜﻢ ﻭ ﺍﺷﻜﺮﻭﺍ ﻟﻪ

Makanlah oleh kamu daripada rezeki Tuhan kamu dan bersyukurlah oleh kamu bagiNya.

(Lalu dikatakan kepada mereka): “Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya;

Yang menjadi masalah, mereka telah jadikan hasil pertanian mereka bukan lagi sesuatu yang mudah dicapai oleh ahli masyarakat. Mengapakah ini terjadi? Pengeluaran makanan untuk rakyat sendiri dihadkan dan kebanyakan lainnya, untuk dihantar keluar jauh dari negeri ini. Perkara ini terjadi dengan wujudnya jaringan sistem jalanraya yang canggih sehingga ke sempadan negara jiran. Tidak salah untuk kita eksport lebihan makanan ke negeri jiran, akan tetapi dengan bekalan dalam negeri yang terhad, usaha mengeksport makanan sedia ada ke negeri jiran, tentunya akan mengakibatkan inflasi terhadap barangan makanan tersebut. Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan pusat sendiri, selaku penaung kepada negeri-negeri sedia ada, terpaksa menyediakan subsidi yang besar demi memenuhi keperluan rakyat terutamanya makanan asasi.

Bagaimana suatu hari nanti, kiranya kerajaan pusat, tidak lagi mampu membayar subsidi untuk keperluan makanan rakyat. Harga makanan tentunya akan melambung tinggi sehingga mengakibatkan berlaku pelbagai bentuk permasalahan sosial seperti berlaku tunjuk perasaan rakyat yang mendesak pemimpin meletak jawatan. Perintah bersyukur kepada Tuhan, haruslah meliputi perintah untuk menyediakan keadaan keperluan asas rakyat negeri ini, yang harus diperolehi dengan mudah dan pada harga yang berpatutan sepanjang masa. Dengan lain perkataan, setiap negeri di negara ini harus mampu menyediakan keperluan makanan kepada penduduk di negeri mereka sendiri. 

Penulis mengambil contoh negeri California di Amerika Syarikat. Negeri ini terkenal dengan penghasilan makanan serta buah-buahan terbesar di negara itu. Perkara ini telah dijadikan kesempatan oleh pentadbiran negeri itu supaya negeri California menjadi penyumbang utama kepada bekalan makanan hampir seluruh rakyat Amerika Syarikat. Akibatnya, harga makanan di negeri California sendiri melambung tinggi. Dengan subsidi makanan pada jumlah yang sangat besar yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan pusat, rakyat Amerika Syarikat di negeri-negeri lain kebanyakannya telah tidak mengetahui cara-cara mengusahakan makanannya sendiri. Program “food stamp” yang disediakan oleh kerajaan pusat kini telah meliputi lebih 45 juta rakyatnya iaitu sekitar 15% daripada keseluruhan rakyat Amerika Syarikat. 

Hutang Amerika Syarikat kini, bukan lagi 
USD 21 trilion tetapi USD 70 trilion.

Kini apabila hutang negara Amerika Syarikat semakin meningkat, keupayaan berbelanja kerajaan Amerika Syarikat semakin merosot dan kerajaan negeri California mula mengalami masalah kecairan tunai dalam usaha mereka meneruskan aktiviti pertanian mereka. Terkini, gabenor negeri California sendiri telah didesak supaya California keluar dari Persekutuan Amerika Syarikat dan membentuk sebuah wilayah terasing. Akhirnya, pentadbiran Amerika Syarikat menjadi kelam kabut dan mereka tiada pilihan lain, terpaksa menambah hutang negara dan memperkenalkan tarif import terhadap produk berasaskan besi yang diperolehi pada jumlah yang besar dari Negara China. 

Desakan "Yes California" semakin memuncak
 untuk California keluar dari US.

Wednesday, August 1, 2018

KEWUJUDAN SISTEM PENGANGKUTAN MERENTASI LADANG

ﺟﻨﺘﺎﻥ ﻋﻦ ﻳﻤﻴﻦ ﻭﺷﻤﺎﻝ

Dua buah ladang (yang besar) dari (sebelah) kanan dan kiri.

Dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan di sebelah kiri (kampung mereka).

Perkara yang ingin dijelaskan penulis daripada keratan ayat ini adalah :- Apakah yang terdapat di tengah-tengah antara dua buah kebun yang besar itu? Iaitu suatu sistem pengangkutan yang terdiri daripada jalanraya atau lebih dikenali sebagai lebuhraya pada waktu ini. Negeri Sabak dibangunkan dengan dua kebun yang terbentang luas di sebelah kanan dan di sebelah kiri jalanraya laluan utama mereka. Jika dibandingkan dengan negeri ini, dapatlah diperkatakan bahawa kebun-kebun itu terletak di sebelah kanan dan kiri sepanjang laluan lebuhraya utara selatan. Lebuhraya yang luas merentasi kebun-kebun itu, memainkan peranan utama sebagai jalan pengangkutan untuk memindahkan hasil-hasil kebun berkenaan, dari suatu kawasan ke kawasan-kawasan lainnya. Beginilah gambaran kaedah yang disyorkan dalam Al-Qur’an bahawa fungsi jalanraya yang paling utama adalah bertujuan untuk pengangkutan hasil-hasil kebun dan bukannya tempat perlumbaan antara satu kenderaan dengan kenderaan lain.

Namun dengan sikap “biar pape asal bergaye” yang diamalkan oleh penduduk dan kepimpinan negeri ini, fungsi lebuhraya yang merentasi dua kebun besar, yang terletak di kanan dan kiri laluan, telah tidak lagi digunakan untuk tujuan utama iaitu mengangkut hasil-hasil kebun. Buktinya, amat kurang sekali untuk kita dapat perhatikan kenderaan lori dengan muatan hasil sawit melalui laluan lebuhraya. Yang sering dapat diperhatikan adalah kenderaan dengan muatan buah-buahan yang telah diawet dengan bahan kimia tertentu, yang diimport khas dari negara jiran, supaya pemerintah negeri ini dapat membiarkan rakyat negeri ini ditimpa pelbagai bentuk penyakit. Sekalipun kenyataan ini amat pedih untuk didengari, namun perkara ini telah berlalu dalam tempoh begitu lama sehingga setiap hospital dan pusat kesihatan yang dibangunkan oleh kerajaan kini, sentiasa dikunjungi oleh ramai pesakit saban hari.

Kita dihidangkan dengan bahaya pemakanan
sebegini dan selama ini tiada sebarang 
tindakan berkesan telah dilakukan. 

Lebuhraya tidak seharusnya dihadkan penggunaannya dengan meletakkan pagar pada setiap penjurunya sehingga hasil ladang tidak dapat memasuki ke laluan itu dengan mudah. Sekalipun pagar diperlukan, perkara ini haruslah bertujuan semata-mata menjurus kepada penyediaan keadaan pemanduan aman daripada bahaya haiwan yang melintas dan sebagainya. Apabila laluan seperti lebuhraya dipagar sepenuhnya, hasil ladang perlu melalui jalan yang jauh sehingga mengakibatkan kos pengangkutan meningkat. Dengan keadaan lebuhraya masakini yang di’miliki’ oleh pihak tertentu, hasil pertanian seperti makanan dan buah-buahan yang melalui lebuhraya, perlu dibayar pada harga yang sangat tinggi. Kadangkala harganya mencecah tiga kali ganda berbanding harga makanan atau buah-buahan yang dijual di tempat asalnya. Sebenarnya perkara ini mendatangkan sikap buruk yang besar kepada pengusaha-pengusaha yang berada di lebuhraya pada kemudian harinya.
Perbelanjaan makanan yang tinggi akibat 
kos pengangkutan dan sebagainya telah
mengakibatkan capaian kepada makanan
oleh rakyat, memerlukan bayaran yang tinggi.

Popular