SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Wednesday, August 26, 2015

SURAH NUH AYAT 4 -- TUHAN MAHA PENGAMPUN


  ﻳﻐﻔﺮﻟﻜﻢ ﻣﻦ ﺫﻧﻮﺑﻜﻢ ﻭ ﻳﺆﺧﺮﻛﻢ ﺍﻟﻰ ﺍﺟﻞ ﻣﺴﻤﻰ 

Ia mengampuni bagi kamu daripada dosa-dosamu dan Ia mengakhiri akan kamu kepada masa yang ditentukan. 

Supaya Allah mengampunkan bagi kamu sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan memberi kamu hidup (dengan tidak terkena azab) hingga ke suatu masa Yang tertentu;

 i.   Keampunan Tuhan Dan Kesinambungan Hidup 

Itulah pengajaran yang cukup baik bagi manusia sejagat bahawa rahmat Tuhan amat luas. Dia bersifat mengampuni, adakah manusia tiada yang mengharapkan keampunan daripada Tuhan? Mengakhirkan mereka ke masa tertentu membolehkan mereka mempelajari serta memberi tunjuk ajar kepada generasi selanjutnya supaya menempuh hidup dengan berhati-hati. Perkataan ﻣﻦ juga memberi makna ‘sebahagian daripada’. Kesan kesalahan yang dilakukan mereka akan diimbangi dengan kebaikan yang mereka lakukan dan seterusnya mencetuskan suatu kehidupan yang harmoni. 

ii.   Hikmah Kemusnahan Umat Nabi Nuh 

Umat Nabi Nuh telah dimusnahkan sebahagiannya. Tidak harus ada persoalan sama ada untuk bertujuan membela mereka atau mempertikai kerjaan Tuhan. Perkara yang perlu diambil pelajaran oleh umat masakini ialah pengajaran ayat yang harus diambil daripada pemberitahuan kisah itu. Tuhan sebenarnya boleh untuk menghilangkan kisah sedemikian daripada ditonjolkan dalam Al-Quran dan manusia waktu ini tiada peluang langsung untuk menanyai atau membuat sebarang ulasan. Manusia dalam melakukan kebaikan, sering mencampurkan dengan keburukan yang dapat mengakibatkan kemusnahan mereka juga akhirnya. Oleh itu, panduan Tuhan perlu sentiasa dituruti supaya pemulihan kehidupan sentiasa dapat dilaksanakan. Mengakhirkan ke suatu waktu tertentu kepada mereka, dapat memberi mereka peluang untuk membaik-pulih keadaan. Bayangkan sekiranya pembaca dapat kembali ke waktu itu, suatu zaman yang mana manusia perlu menyulam sendiri pakaian mereka, perlu men-dapatkan sendiri bekalan air, perlu berusaha mendapatkan sumber bahan bakar secara sendirian dan segala-galanya perlu dilakukan secara sendirian atau dalam kelompok yang kecil dan masing-masing sibuk dengan pekerjaan masing-masing. Usia yang panjang hanya dihabiskan untuk mempersiapkan sesuatu untuk penghidupan.

iii.   Kehidupan Yang Getir, Tiada Masa Untuk Berfikir 

Siapakah pula yang perlu diberi tanggungjawab untuk mengabdikan diri kepada Tuhan supaya penghidupan benar-benar membawa erti penghidupan? Tentunya setiap individu akan memilih untuk mementingkan keperluan dirinya atau ahli keluarganya atau kelompoknya sehingga tidak memperduli nasib yang akan menimpa persekitaran mereka. Siapa yang akan dipertanggung-jawabkan untuk menjaga keamanan setempat? Siapa yang akan mengadili penjenayah atau mendapatkan suatu siri penghayatan supaya perbuatan jenayah dapat dihindari? Pusing ke mana sekalipun, masalah akan menimpa keseluruhan masyarakat mereka pada akhirnya. Demikian itulah perlunya ajaran rasul supaya suatu tamadun dapat tercipta dan manusia dapat mengambil manfaat sesama mereka dan bukan saling menindasi. Kemudian pembaca perlu kembali ke zaman ini, melihat ke kiri dan kanan, manusia tidak terlalu ramai disebabkan ketiadaan progeni, yang gagal terhasil akibat daripada kemusnahan generasi awal. Manusia masih ada udara segar untuk bernafas. Terdapat suatu sistem kenegaraan yang ada ketua negara guna untuk mengambil berat tentang masalah negara dan masyarakat. Bukankah kaedah ini meniru kekhalifahan sebelum ini? Bahkan di negara-negara lain, terdapat kementerian yang mengambil berat tentang masalah manusia dan persekitaran mereka. Kemudian terdapat pusat-pusat pendidikan supaya manusia saling mempelajari serta memanfaatkan ilmu supaya kehidupan yang baik dapat dilalui. Terdapat sistem kewangan yang mengawal kestabilan ekonomi setempat. Bukankah kaedah ini meniru contoh pengwujudan markaz RasululLah S.A.W. di masjid Nabi dan baitulmal yang diwujudkan besertanya. 

iv.   Kembali Merujuk Kepada Tuhan 

Manusia memerlukan Tuhan untuk mendapatkan tatacara panduan kehidupan. Walaupun keadaan sekarang tidaklah sesempurna sebagaimana dijangkakan, manusia perlu kembali kepada Tuhan supaya kehidupan yang lebih baik dapat dilalui daripada keadaan sedia ada. Sebagai contoh, masalah perubahan cuaca adalah masalah sejagat yang memerlukan tindakan drastik manusia supaya kehidupan dapat diteruskan hingga masa tertentu menurut ajal masing-masing. Bukannya mengalami kematian mengejut dalam skala besar, akibat daripada bencana banjir besar yang berlaku secara mendadak atau taufan yang mengeluarkan udara dari paru-paru sehingga mengakibatkan mati secara mengejut. 





Thursday, August 20, 2015

SURAH NUH AYAT 3 -- SEMBAHLAH ALLAH, BERHATI-HATI SERTA TAAT


ان اعبدوا الله واتقوه واطيعون

Bahawa abdikanlah diri kamu akan Allah dan berhati-hatilah kamu akanNya dan patuhilah olehmu akan daku ini.

"Iaitu Sembahlah kamu akan Allah dan bertaqwalah kepadaNya, serta Taatlah kamu kepadaku;

i.    Adakah Wujud Toleransi Antara Agama?

Begitulah niat suci seorang rasul mengajak kaumnya supaya beriman kepada Tuhan dengan cara sebaik-baiknya. Menghamba-abdikan diri hanya kepada Tuhan dan berhati-hati akanNya dengan cara mematuhi ajaran kenabian. Mengapakah ajaran Tuhan yang dibawa oleh rasul-rasul sebelum ini sehingga rasul terakhir iaitu Muhammad RasululLah S.A.W. tidak dianggap menjurus kepada toleransi agama, bahkan membawa pertentangan terhadap perbezaan yang sungguh ketara? Bukankah Muhammad RasululLah S.A.W. seringkali dipuji sebagai pelopor yang membawa kesederhanaan dalam beragama? Baginda dianggap sebagai pengasas kepada Islam yang moderat atau liberal iaitu pembawa ajaran Islam yang diredhai oleh sebahagian kepimpinan umat Islam masakini! Atas nama moderat, pertengahan atau wasathiyah, ajaran agama ini cuba diketengahkan sebagai ajaran agama yang mengiktiraf ajaran agama-agama lain sehingga disebut sebagai toleransi beragama.

ii.   Ajaran Yang Dibawa Rasul Sentiasa Ditentang

Namun apajua ajaran rasul, mahu sahaja umat terdahulu menyediakan alasan untuk tidak mematuhinya. Semua ini disebabkan, ajaran kerasulan adalah sesuatu yang asalnya sangat bertentangan dengan kebiasaan manusia setempat pada masa ajaran itu mula tersebar. Ajaran yang menentang penyembahan kepada selain Allah serta meletakkan agama-agama lain pada kedudukan yang rendah, menyebabkan agama ini sangat-sangat ditentang oleh umat. Demikian itu adalah cara manusia menghadapi sesuatu yang bersifat ajaran ketuhanan sama ada mereka akan menerima secara nyata atau menentang secara nyata. Penentangan manusia adalah kerana manusia lebih senang untuk memilih jalan menuruti hawa nafsu mereka. Mereka mahukan suatu perkara itu dengan cara mudah, cepat dan memberi pulangan yang banyak. Mahukan perkataan mereka lebih didengari manusia berbanding perkataan Tuhan melalui rasulNya. Atas kepentingan diri, perniagaan, parti atau kepimpinan, mereka memilih jalan sebagai “biarlah apapun yang akan berlaku, aku tetap berpengaruh atau berkuasa”.

iii.   Mengapa Risalah Tuhan Memerlukan Alasan?

Mengapakah risalah kerasulan mengandungi pengajaran ketuhanan, mengajak manusia untuk menyembah Tuhan sehingga berhati-hati kepada Tuhan? Mengapa tidak, ajaran itu terus menjurus kepada kesedaran bahawa sesuatu bencana harus dapat ditangguhkan atau dielakkan? Contohnya -- mengapa tidak, Nabi Nuh A.S. mengkhabarkan terus kepada umat baginda bahawa selepas beberapa ratus tahun kemudian nanti, bencana akan berlaku di negeri itu, sehingga manusia secara beransur-ansur dapat meninggalkan negeri itu ke kawasan-kawasan yang sangat jauh, agar tidak ditimpa bencana? Dalam keadaan sekarang ini dengan penduduk dunia melebihi 7 billion jiwa setelah manusia menempuhi pelbagai bentuk bencana, mampukah dunia ini terus menampung suatu penghidupan sekiranya tidak terdapat bencana?

iv.   Penduduk Dunia Yang Semakin Padat

Penduduk dunia ini mungkin telah mencapai trillion, sehingga dunia ini dipenuhi manusia bagaikan ulat-ulat banyaknya. Sekiranya, dengan manusia yang sangat degil yang dapat melahirkan zuriat-zuriat yang sangat degil, tidak berhati-hati dengan nasib penghidupan, bagaimanakah nasib  penghidupan di dunia ini dengan pencemaran yang paling teruk dan kerosakan-kerosakan besar? Mungkin pada masa itu, baru ada suara-suara yang mencadangkan, agar bilangan manusia yang ada pada hari itu harus dikurangi dengan pesatnya! Ataukah mungkin, Tuhan memberitahu secara terus kepada manusia dalam perkiraanNya sejumlah manusia perlu dimusnahkan supaya kehidupan di bumi ini tidak terbeban lantaran kerja tangan manusia yang ramai itu? Sekiranya demikian, apakah nilai-nilai kebaikan yang boleh diperolehi daripadaNya supaya manusia mematuhi? Lihatlah kini dengan jumlah manusia yang tidak sampaipun trillion, di bawah pentadbiran golongan ingkar yang memainkan peranan utama dalam mengurus kehidupan, kemanusiaan mula tidak membawa apa-apa erti. Kehidupan sosial manusia tergugat lantaran golongan ingkar memperkenalkan sistem ekonomi kapitalis berasaskan riba dan manusia menderita akibat pemakanan yang memudharatkan tubuh mereka. Konflik sesama manusia wujud akibat daripada tekanan inflasi berterusan sehingga ramai kalangan manusia yang merempat tidak memiliki rumah.




Friday, August 14, 2015

SURAH NUH AYAT 2 -- PEMBAWA ANCAMAN YANG JELAS


قال يقوم انى لكم نذير مبين

Telah berkata ia, wahai kaumku, sesungguhnya aku, bagi kamu, suatu pengancam yang jelas.

Dia pun (menyeru mereka dengan) berkata: "Wahai kaumku! Sesungguhnya Aku ini diutus kepada kamu, sebagai pemberi ingatan dan amaran Yang nyata;

Adakah menjadi suatu kerjaan Tuhan untuk mengutus seseorang utusan yang dinamainya sebagai rasul, supaya mendapatkan alasan untuk Ia menyiksa manusia? Maha Suci Tuhan daripada bersifat sedemikian. Tiada faedahnya Ia merencana untuk mencipta manusia kemudian memusnahnya.

Kita juga sering mendengar sekarang ini di negara-negara yang seruan Islam tidak jelas sampai kepada mereka, menerima bencana yang masih berlaku hingga kini contohnya gempa di negara Jepun yang mengorbankan banyak jiwa, taufan di Cuba dan kepulauan Haiti, tsunami di kepulauan Polynesia dan sebagainya.

i.    Wajarkah Manusia Diseksa Tanpa Amaran?

Sekiranya Tuhan sengaja mahu menyiksa, seharusnya Dia mengutus seorang rasul pada zaman ini yang berkata-kata dengan lisan mereka, supaya mereka ingkari dan seterusnya, Tuhan ada alasan untuk mendatangkan siksa (26:208). Bahkan kita juga biasa mendengar bencana berlaku di persempadanan Afghanistan akibat gempa bumi dan di Acheh akibat tsunami dan di Pulau Jawa akibat letupan gunung berapi, namun hampir semua mereka telah bersyahadah untuk menerima ajaran RasululLah S.A.W. bahkan pengamalan agama bagi penduduk Afghanistan adalah lebih ketara. Persoalannya, mengapakah masih ada bencana? Masihkah dikatakan Tuhan tersalah pilih dalam mendatangkan siksa? Ataukah sebarang bencana yang berlaku tiada kena mengena dengan agenda ketuhanan! Semuanya kebetulan? Surah ini ada mengisahkan bencana terhadap umat Nabi Nuh ditelan banjir besar, bahkan dalam ayat lain dapat memberi gambaran berlaku banjir itu selepas beberapa ratus tahun Nabi Nuh A.S. bersama mereka.

ii.   Hikmah Bentuk Bencana Silam

Namun bencana yang berlaku terhadap umat manusia sekarang ini, berlaku setiap tahun bahkan ada yang saban tahun. Apalah guna diperbahaskan semua itu hanya semata-mata bencana yang berlaku terhadap umat Nabi Nuh selepas beberapa ratus tahun baru sekali, berbanding dengan bencana yang berlaku sekarang ini setahun beberapa kali? Atau Tuhan memberi mesej kepada manusia bahawa bencana yang pernah berlaku adalah berbentuk banjir besar atau tsunami atau lain-lainnya dan dalam bentuk itulah bencana akan berulangan. Bahkan Dia juga mahu memberitahu pendakwah, walau apapun usaha dakwah kamu, akan sampai suatu keadaan manusia tetap tidak mengindahkannya. Walau apapun amaran tentang perubahan cuaca sekalipun jelas dengan hujah-hujah para ilmuwan dalam kalangan mereka sendiri, namun manusia tetap tak mahu mengambil tahu apatah lagi berusaha menghindarinya.






Friday, August 7, 2015

SURAH NUH AYAT 1 -- NABI NUH A.S DIUTUS UNTUK MEMBAWA ANCAMAN


ان ارسلنا نوحا الى قومه ان انذر
قومك من قبل ان يأتيهم عذاب اليم

Sungguh telah mengutus Kami akan Nuh kepada kaumnya bahawa kamu ancam kaummu dari sebelum bahawa ia datang kepada mereka bencana yang pedih.

Sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, (dengan berfirman kepadanya): "Berikanlah peringatan dan amaran kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab Yang tidak terperi sakitnya".


i.    Nabi Nuh ‘Alaihi Salam


Nabi Nuh A.S. diutus Tuhan sesudah Nabi Adam A.S., bapa manusia dan Nabi Idris A.S. Nabi Nuh A.S. diutus sesudah diutus dua rasul utama tersebut. Demikian itu tempoh yang lama, suatu tempoh yang cukup untuk pengamalan syariat Tuhan telah diubahsuai akibat daripada kerja-kerja syaitan. Tempoh perutusan baginda menghampiri 1000 tahun kepada kaum yang sebahagiannya menyembah selain Allah Taala yang dinamai dengan nama-nama pelbagai. 


Sesungguhnya petunjuk Tuhan akan sampai apabila sebuah masyarakat itu menjalani urusan kehidupan yang harubiru dan keadaan harubiru akan berterusan sekiranya mereka menolak petunjuk Tuhan (50:05). Melalui penyembahan berhala, pendeta-pendeta agama sama ada sami-sami, paderi-paderi dan sebagainya akan menetapkan suatu peraturan yang bukan-bukan berdasarkan hasutan syaitan yang mereka terima termasuklah pengorbanan untuk tujuan pemujaan dan pembinaan kepercayaan yang jauh menyimpang. Bahkan mereka saling menindas di atas jalan kebatilan. Dengan demikian suatu kehidupan bertamadun tidak akan dapat dibentuk.


ii.  Peringatan Tentang Bencana Yang Pasti


Pendekatan dakwah Nabi Nuh A.S. dalam ayat ini adalah secara mendatangkan ancaman. Iaitu ketika akan berlaku suatu ketetapan yang dapat membuatkan umat baginda menanggung suatu azab yang pedih. Mengapakah pendekatan ancaman telah diarahkan supaya dilakukan oleh Nabi Nuh A.S. dan bukan lagi peringatan? Apakah lagi cara untuk memberitahu seseorang supaya mengosongkan rumahnya sekiranya bencana banjir besar akan berlaku? Iaitu dengan pengancam itu sendiri membina perahu atau kapal yang sekadar cukup untuk ahli-ahlinya supaya disaksikan sendiri oleh mereka yang telah diberi ancaman. Supaya mereka melihat bencana yang tidak berfaedah kepada mereka, akan memusnahkan mereka.





Saturday, August 1, 2015

SURAH NUH


بسم الله الرحمن الرحيم

Sedikit Sebanyak Tentang Nabi Nuh A.S.

Kisah Nabi Nuh A.S. sebenarnya berkait rapat dengan permulaan tamadun baru setelah kemusnahan tamadun terdahulu yang telah mengalami kerosakan. Kemusnahan tamadun terdahulu adalah disebabkan oleh kejadian banjir besar. Nabi Nuh A.S. hidup dalam dua era iaitu era sebelum banjir sehingga usianya sekitar 600 tahun dan era selepas banjir sehingga usianya 950 tahun. Demikian itu menurut Kitab Perjanjian Lama fasal Kejadian. Allah Maha Mengetahui. Terdapat beberapa pendapat yang menyatakan bahawa kejadian banjir yang berlaku pada zaman Nabi Nuh A.S. hanyalah merupakan banjir yang berlaku setempat yang disebabkan oleh kejadian tsunami, demikian ini adalah menurut tulisan Maurice Bucaille. Pendapat yang lain menyatakan bahawa kejadian berkenaan berlaku di seluruh dunia. Penulis sendiri berpendapat bahawa kejadian banjir pada zaman Nabi Nuh A.S. adalah merupakan kejadian banjir yang berlaku di seluruh dunia. Hujah penulis adalah:-

Hujah Penulis Tentang Kejadian Banjir Besar

i.  Terdapat beberapa kajian geologi yang menjurus kepada kenyataan bahawa bumi ini pernah mengalami banjir besar suatu masa dahulu. Hadirnya sesiput yang hanya diketahui berasal dari laut juga terdapat di tasik-tasik tinggi seperti tasik Titicaca di Peru pada paras 4000 meter dari aras laut.

ii. Wujudnya garisan-garisan melintang pada batuan yang berada pada gunung, dapat memberi kesimpulan kepada ahli geologi, bahawa paras air pernah berada pada kedudukan tertentu batuan berkenaan.

iii.   Terdapat kisah-kisah banjir zaman Nabi Nuh A.S. yang turut dijadikan ceritera-ceritera dalam pelbagai kebudayaan kaum asli di Polynesia, Asia Tenggara, Afrika, Amerika Latin dan tempat-tempat yang lain. Ini menunjukkan kisah itu bukan tertentu dalam ajaran Yahudi, Kristian dan Islam sahaja. Nabi Nuh A.S. disebut sebagai Nuuh, Nuwah dan sebagainya.

iv. Wujudnya bangunan-bangunan bersejarah silam seperti bangunan di puncak gunung di Peru yang terselamat daripada bencana alam yang membinasakan. Kajian menunjukkan bangunan itu telah berdiri di sana sekitar 5000 hingga 4000 tahun sebelum Masihi sekitar waktu Nabi Nuh A.S. atau masa sebelum baginda. Kesan-kesan persekitaran bangunan berkenaan menunjukkan terdapat kejadian banjir besar telah berlaku.

v.   Terdapat perintah untuk Nabi Nuh A.S. supaya baginda turut memuatkan haiwan-haiwan secara berpasangan ke dalam kapal. Haiwan-haiwan berkenaan seharusnya adalah haiwan yang dikehendaki untuk berkembang biak kemudian nantinya. Ini menggambarkan bahawa kejadian banjir berkenaan adalah banjir yang besar sehingga dapat mengakibatkan kepupusan sekiranya haiwan-haiwan itu ditinggalkan.

Bagaimanapun, semua hujah ini adalah pendapat penulis semata-mata yang tentunya terdedah kepada kritikan tertentu. Namun yang menjadi mesej penulis di sini adalah bahawa sebenarnya telah terdapat teknologi yang dibangunkan oleh umat terdahulu sebelum datangnya teknologi zaman moden. Umat terdahulu telah berupaya memotong batu serta membangunkan bangunan-bangunan besar yang terdiri daripada batu-batu yang tidak dapat dipindahkan menggunakan teknologi masakini secara mudah. Selanjutnya penulis ingin berhujah, bahawa pendukung teori evolusi yang menyatakan bahawa manusia zaman dahulu hanya tahu memakai pakaian seperti cawat yang terdiri daripada kulit haiwan adalah merupakan tanggapan ilmiah yang dipalsukan.





Popular