SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Sunday, June 28, 2015

SURAH ALI-IMRAN AYAT 20 -- KIRANYA KENYATAAN INI DIBANTAH


Maka sekiranya telah menghujahi mereka akanmu maka katakanlah olehmu, telah patuh aku akan (seluruh) wajahku ini bagi Allah dan sesiapajua yang telah menuruti ia akan daku ini. Dan perkatakanlah olehmu bagi orang-orang yang telah diberi mereka akan Al-Kitab dan golongan umiyyin (ahli kitab yang tidak berilmu dengan Al-Kitab) adakah telah patuh kamu? Maka sekiranya telah patuh mereka, sesungguhnya telah berpetunjuk mereka dan kiranya telah berpaling mereka maka sesungguhnya tidak lain hanya atasmu penyampaian. Sedang Allah yang memandang terhadap hamba-hambaNya.

oleh sebab itu jika mereka berhujah (menyangkal dan) membantahmu (Wahai Muhammad), maka katakanlah: "Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang-orang Yang mengikutku". dan Bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) Yang diberi kitab, dan orang-orang Yang "Ummi" (orang-orang musyrik Arab): "Sudahkah kamu mematuhi dan menurut (ugama Islam Yang Aku bawa itu)?" kemudian jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka telah memperoleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (tidak mahu menerima Islam), maka Sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan (dakwah Islam itu). dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat (tingkah laku) sekalian hambaNya. 

Sekiranya diamati-amati terjemahan secara harfiah terhadap ayat ini, penulis berasa kekeliruan terhadap kebanyakan terjemahan yang penulis dapati yang menterjemah perkataan ءأسلمتم  sebagai "adakah kamu telah masuk Islam". Oleh kerana ayat ini telah juga ditujukan kepada umat Islam sendiri, maka perkataan ءأسلمتم adalah wajar juga diterjemahkan sebagai "adakah telah benar-benar patuh kamu?". 

i.    Himpunan Ayat Yang Tidak Boleh 
      Diputuskan Begitu Sahaja.


Menurut ayat 03:19, orang-orang yang telah diberi Al-Kitab yang tidak mendirikan Al-Kitab, pada zaman ini, bukan lagi tertentu kepada kaum Yahudi atau Nasrani, bahkan juga mereka yang mendakwa telah menerima Islam tetapi tidak memahami kandungan Al-Kitab (umiyyin). Seterusnya, mengajak mereka yang kononnya telah menganut agama Islam, kepada Islam, tentunya menimbulkan rasa pelik kepada mereka. Ayat 03:20 dikuatkan lagi dengan sebutan umiyyin iaitu ahli Al-Kitab yang tidak memahami kandungan Al-Kitab. Mereka itu sama ada Yahudi atau Nasrani atau orang Islam sendiri. Bahawa perintah ءأسلمتم adalah menjurus kepada perintah umum iaitu "adakah telah benar-benar patuh kamu?". Patuh di sini adalah lebih khusus kepada mematuhi kandungan kitab masing-masing. Iaitu mereka harus kembali kepada kotak pertama dalam ajaran agama mereka. Orang Yahudi harus kembali mematuhi kitab Taurat, orang Nasrani harus kembali kepada Injil sementara orang Islam harus kembali kepada Al-Quran. Dengan lain perkataan, mereka harus meninggalkan kata-kata pujangga brothers, rabai-rabai, ulama-ulama serta kiyai-kiyai mereka dan mereka harus kembali kepada kitab mereka secara terus. Meninggalkan persangkaan mereka selama ini.

ii.   Islam dan Hidayah Tuhan


Berada dalam 'agama Islam' secara umumnya, bukanlah lesen untuk menyatakan bahawa seseorang itu telah memperolehi hidayah Tuhan. Telah menjadi lumrah sebutan oleh umat ini bahawa sesiapa yang kembali mengamalkan amalan agama pada sudut ibadah ta'abudi, maka ianya dikatakan telah memperolehi hidayah Tuhan. Akhir ayat ini iaitu والله بصيربالعباد  adalah sebagai rujukan atau indikator untuk memahami ayat ini dengan lebih teliti. Ayat yang sama seperti ini telah disertakan pada bahagian terakhir 03:15 yang menjurus kepada kesediaan untuk berhati-hati bagi seseorang yang ingin mengamalkan ajaran agama. Oleh itu, yang dikatakan memperoleh hidayah daripada Tuhan adalah sebenarnya berpetunjuk dengan kitab Tuhan (03:20) iaitu mematuhi petunjuk Tuhan dengan pengambilan secara berhati-hati. Secara khususnya berdasarkan pengajaran himpunan ayat daripada 03:18 adalah mengambil kesaksian "La ilaha illa Allah" dengan jalan ilmu, dengan merujuk kepada sifat Tuhan Maha Perkasa Maha Menghakimi. Pembaca harus merujuk kepada penerangan surah At-Tin untuk mendapatkan penjelasan yang lebih menarik. 

iii.  Sifat Allah Maha Melihat 
      Hamba-hambaNya


Dengan ayat sedemikian, kerja Muhammad RasululLah S.A.W. hanyalah penyampaikan petunjuk Tuhan kepada umat manusia. Siapa yang mengambil petunjuk maka sesungguhnya ia telah berpetunjuk. Sesiapa yang mengingkari, hendaklah ia ditinggalkan kerana urusan Tuhan adalah untuk melihat kerja-kerja daripada mereka yang mematuhi petunjuk Tuhan secara berhati-hati. Petunjuk Tuhan hendaklah dituruti secara berhati-hati, bukan secara sembrono dan bukan menelan bulat-bulat perkhabaran brothers, rabai-rabai serta kiyai-kiyai mereka masa kini, sama ada melalui khutbah-khutbah atau ceramah-ceramah mereka.










Tuesday, June 23, 2015

SURAH ALI-IMRAN AYAT 19 -- AL ISLAM YANG BAGAIMANA?

Sesungguhnya agama di sisi Allah (adalah) Al-Islam (Islam seperti itu). Dan tidak telah berselisih ia akan orang-orang yang telah diberi mereka Al-Kitab melainkan daripada sesudah apa yang telah datang ia kepada mereka oleh pengetahuan (sebab) kedengkian antara mereka. Dan sesiapapun yang ia ingkar terhadap ayat-ayat Allah maka sesungguhnya Allah amat pantas kiraan.

Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) Yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan Yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki Yang ada Dalam kalangan mereka. dan (ingatlah), sesiapa Yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka Sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisabNya.

Islam yang seperti mana lagi yang mereka mahu? Adakah Islam yang ada pemimpin tetapi tiada rakyat atau ada imam tetapi tiada umat? Hanya sebagai Ad-Din tetapi tiada syariat. Penerangan seperti ini tentunya akan membawa perselisihan dalam kalangan penganut-penganut agama sekalipun daripada mereka ada mendakwa bahawa mereka beragama Islam. Hal ini terjadi atas sebab kedengkian daripada diri mereka sendiri atas sebab-sebab kepentingan yang mereka pertahankan selama ini. Kepentingan itu termasuklah kepimpinan yang membawa disiplin tertentu dalam kaedah dakwah, pengaruh perniagaan, politik dan sebagainya.

i.    Iktilaf Ahli Kitab

Pada masa hidup RasululLah S.A.W. belum terdapat perselisihan atau iktilaf dalam kalangan umat Islam. Sebarang perselisihan akan segera diredakan oleh baginda RasululLah S.A.W. Oleh itu, secara khususnya, yang dikatakan ahli kitab pada zaman itu adalah dalam kalangan penganut Yahudi dan Nasrani yang masing-masing mendakwa bahawa mereka mengikuti ajaran daripada kitab Taurat dan Injil. Namun selepas daripada RasululLah S.A.W. sebarang bentuk perselisihan umat Islam, menjadikan mereka sebenarnya adalah ahli kitab. Yahudi dengan kitab mereka iaitu Taurat, Nasrani dengan kitab mereka iaitu Injil dan umat Islam dengan kitab mereka iaitu Al-Quran.

ii.    Dengki Setelah Berilmu

Punca kedengkian itu adalah setelah mereka berilmu dengan sebahagian ilmu Al-Kitab. Perkara ini diperjelaskan lagi dalam surah Al-Bayyinah bahawa umat ahli kitab, tidak akan berpecah belah melainkan setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan (98:04). Pertelingkahan sedemikian telah membuka pintu bahaya kepada mereka apabila mereka terdedah kepada cara beragama yang menimbulkan kesyirikan. Yang manakah mereka dahulukan antara 'ulama mereka' atau kitab Tuhan? 

iii.    Kerana Mengingkari Ayat-ayat Tuhan

Sedangkan bukanlah perkara besar sangat bagi mereka untuk mereka turuti melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada Allah dan bukannya mengabdikan diri kepada yang lain sama ada yang lain itu adalah 'ulama-ulama' mereka atau kepimpinan mereka, memandangkan mereka adalah orang yang telahpun beragama. Mereka harus bersungguh-sungguh kepada Tuhan dengan cara mengikhlaskan diri dalam agama, agama yang terhindar daripada kesyirikan, melaksanakan apa yang diperintah Tuhan. Namun selalunya dalam hal ini, mereka seringkali mengingkari ayat-ayat Tuhan sama ada ayat itu daripada Taurat atau Injil atau Al-Quran.

iv.    Pentingnya Merujuk Kepada Kitab Tuhan

Sekiranya Tuhan sendiri telah mencabar ahli kitab terdahulu daripada golongan Yahudi dan Nasara, bahawa mereka itu bukanlah atas sesuatu iaitu segala pendirian mereka dalam beragama tiada nilai di sisi Tuhan, sehinggalah mereka mendirikan apajua yang terdapat pada kitab yang ada pada sisi mereka, cabaran sedemikian sebenarnya juga ditujukan kepada umat ini. Bahawa pendirian umat Islam tiada nilainya di sisi Tuhan sehinggalah mereka kembali mendirikan Al-Quran. Sebenarnya Al-Quran adalah teks dan bukan sekadar kitab rujukan. Sekiranya Al-Quran itu adalah kitab rujukan sebagaimana ayat-ayat tertentu Al-Hadith, maka jadilah sekarang ini, kita mudah mendapati kitab-kitab agama yang di dalamnya ditulis dengan pandangan-pandangan 'ulama' lalu ia mengambil ayat-ayat tertentu untuk menyokong pandangannya. Penulis tidaklah bermaksud untuk menyatakan tentang hukum pengamalan sedemikian sama ada perkara ini dibolehkan atau tidak. Penulis hanya ingin menekankan bahawa peranan Al-Quran sebagai teks telah gagal didirikan oleh umat ini.





Thursday, June 18, 2015

SURAH ALI-IMRAN AYAT 18 -- BERMULA KESAKSIAN

Telah menyaksi Ia oleh Allah, bahawasanya tiada sembahan selain Dia dan oleh para malaikat dan oleh golongan berilmu yang berdiri tegak dengan Al-Qisthi, tiada sembahan selain Dia, Maha Perkasa Maha Menghakimi. 

Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya Dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) Dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang Yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga Yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

i.     Kesaksian Itu Dengan Ilmu

Ketahuilah bahawa kesaksian "La ilaha illa Allah" bermula dengan ilmu. Inilah perkara yang diterangkan oleh Imam As-Shafiee RahimulLah. Ramai dalam kalangan 'ulama' yang dilantik dan dibayar gaji, adalah pihak yang diiktiraf sebagai mereka yang berilmu dan ilmu-ilmu mereka dipelajari. Namun adakah mereka adalah 'ulama'' yang berdiri tegak dengan keadilan? Secara umumnya, adakah mereka pihak yang berlaku adil apabila berlaku pertelingkahan antara rakyat dengan pemerintah. Adakah juga mereka berlaku adil dalam menjelaskan hukum-hakam yang mereka pelajari terutamanya yang melibatkan halal dan haram sesuatu perkara? Atau mereka menerima bayaran terhadap fatwa mereka? Adakah mereka mengambil hujah daripada القسط ataupun mereka mengambil قسط  menurut rujukan mereka sendiri. Perkataan "La ilaha illa Allah" adalah menjurus kepada keimanan. Perkataan ini memerlukan kesaksian. Keimanan Muhammad RasululLah S.A.W, malaikat Jibril adalah penyaksinya, keimanan para sahabat R.A.H.M maka Muhammad RasululLah S.A.W. menjadi saksinya dan begitulah seterusnya kepada tabi'in dan tabi'-tabi'in namun keimanan kita kini, siapakah yang mengambil kesaksiannya?

ii.    Kesaksian : Sesuatu Yang Perlu 
       Diambil

Sekiranya kita mahu menerima kesaksian bahawa "La ilaha illa Allah", apakah yang harus kita lakukan dan seterusnya siapakah yang dapat memberi tunjuk ajar untuk melakukan peribadatan yang akhirnya menjurus bahawa perlakuan sedemikian dicontohi daripada RasululLah S.A.W? Tidak ada seorangpun yang mendakwa dirinya sebagai sahabat R.A., yang hidup pada masa Muhammad RasululLah S.A.W. ataupun tabi'in, yang hidup selepas itu, mewarisi rukun Islam yang pertama serta rukun-rukun Islam yang lain hanya dengan cara meniru-niru belaka. Iaitu meniru sebutan syahadat serta perlakuan solat dan sebagainya dan kemudiannya menunjukkan perkara sedemikian kepada generasi seterusnya semata-mata untuk ditiru perlakuannya. 

Sekiranya seseorang itu tidak dapat mengambil kesaksian daripada Muhammad RasululLah S.A.W. atau daripada sahabat-sahabat R.A.H.M. ataupun tabi'-tabi'in selepas itu, maka menjadi tanggungjawabnya untuk mendapatkan persaksian daripada mana-mana ahlul bait yang telah diamanahkan oleh RasululLah S.A.W. untuk mengambil persaksian daripada manusia. Namun kini siapakah dia yang dapat diterima sebagai ahlul bait? Sedangkan ahlul bait sendiri sentiasa berusaha menyembunyikan identiti mereka agar mereka tidak ditimpa fitnah, menjadi buruan pihak berkuasa selama ini.

iii.     Allah Maha Menghakimi

Kesaksian adalah suatu tanggungjawab. Kesaksian tidak boleh diambil oleh pihak yang tidak bersedia dan tidak mahu mengambil tanggungjawab. Menjadi satu tanggungjawab yang besar yang harus dipikul oleh pihak penyaksi adalah darihal menyampaikan ayat-ayat Al-Quran menurut kaedah yang Jibril sampaikan kepada Muhammad RasululLah S.A.W. serta menuruti contoh yang dilakukan oleh RasululLah S.A.W. sendiri. Mengambil kesaksian syahadah bukan sekadar mengangkat satu jari untuk menerima sebutan "La ilaha illa Allah", "Muhammad RasululLah" dan kemudian meninggalkan mereka yang telah diambil kesaksian untuk kembali ke tempat kediaman asal kehidupan mereka dan menjalani kehidupan mereka seperti biasa. Mengambil syahadah adalah seumpama menyediakan jalan berhijrah serta menyediakan kemudahan-kemudahan perlu kepada mereka, untuk bersama-sama dengan imam (pihak yang menyampaikan ayat-ayat Al-Quran) untuk menjalani suatu kehidupan menurut panduan Tuhan. Dengan demikian, mengambil kesaksian syahadah daripada seseorang, bukan suatu kerja yang mudah. Secara ringkasnya, program mengambil kesaksian syahadah adalah merupakan program pengisian ilmu dan perlaksanaan amalan yang perlu terhadap individu muslim. Oleh itu, imam yang layak mengambil kesaksian daripada seseorang adalah imam yang sanggup melaksanakan pengorbanan sama ada pengorbanan masa, harta juga pengorbanan diri dan usaha seperti ini hanya dapat dilakukan dengan sempurna oleh ahlul bait yang keberadaan mereka di atas kehidupan dunia ini sentiasa melalui proses pembersihan oleh Tuhan. Kedudukan mereka adalah yang sentiasa dapat berada pada kedudukan قائما بالقسط iaitu yang dapat mengambil panduan Al-Quran darihal sifat Allah Maha Menghakimi. (At-Tin 7/8)




Saturday, June 13, 2015

SURAH ALI-IMRAN AYAT 17 -- HADIAH UNTUK MEREKA YANG BERSABAR ...

Orang-orang yang sabar dan orang-orang yang benar dan orang-orang yang patuh dan orang-orang yang berinfak dan orang-orang yang beristigfar pada (waktu) sahur.

(dan juga) orang-orang Yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang Yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang Yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang Yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang Yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.

i.    Hanya Untuk Mereka Yang Layak

Bagaimana usaha-usaha kehidupan sedemikian dapat dilaksanakan ....., melainkan untuk mereka yang sanggup menempuh jalan kesabaran. Mereka yang mengingini segala-segalanya perlu dilakukan dengan cepat, mudah, pulangan yang banyak dengan bermodalkan modal yang sedikit semata-mata, adalah tidak layak untuk mendapatkan suatu kehidupan ala-syurga yang penulis telah berikan bayangannya. Penulis sememangnya mengakui bahawa ganjaran syurga bukanlah sesuatu yang dapat dibayangkan oleh mana-mana manusia dalam kehidupan dunia ini. Namun syarat-syarat kesabaran, menuruti corak kehidupan dengan cara yang benar serta patuh terhadap arahan-arahan tertentu dan sanggup menjaga hubungan baik dengan ahli-ahli masyarakat yang lain serta banyak berinfak pada jalan Tuhan, corak kehidupan sedemikian tiada pada golongan ingkar. Golongan ingkar suka memilih cara hidup yang nyatanya berakhir dengan kerosakan.

ii.    Cabaran Kehidupan Sedemikian Kepada 
       Golongan Yang Ingkar.

Golongan beriman harus bekerja, golongan yang ingkar juga bekerja. Golongan beriman bekerja menurut peraturan dalam agama, sementara golongan ingkar menuruti sistem kehidupan kapitalis berasaskan riba. Golongan beriman bekerja melalui batasan-batasan waktu sementara golongan ingkar menghendaki sekiranya mereka dapat, melalui modal yang mereka miliki, manusia akan bekerja secara terus-menerus silih berganti selama 24 jam sehari dan 7 hari seminggu – 24/7. Golongan beriman bersyukur dengan pemperolehan yang mereka perolehi sementara golongan ingkar tidak puas dengan perolehan mereka, lantaran terpaksa menghadapi sistem kehidupan berasaskan riba. Dalam pada itu golongan beriman tidak terkejar-kejar dengan kemewahan secara melampau dan sanggup pula mereka infakkan lebihan harta kepada pihak lain kalangan mereka yang menempuh kesukaran hidup. Golongan ingkar, telah bercita-cita mereka kiranya mereka dapat menyamun harta manusia supaya mereka dapat melepasi bebanan hidup mereka dengan segera. Mereka terkejar-kejar semata-mata untuk melepasi hutang setiap mereka.

Golongan beriman membataskan keperluan pekerjaan mereka dengan bekalan-bekalan yang banyak diperolehi melalui kitar semula sementara golongan ingkar suka mendapatkan melalui bahan-bahan sintetik yang baru. Golongan beriman bersabar dengan tempoh pemperolehan terhadap hasil yang bakal mereka perolehi sementara golongan ingkar sangat suka untuk memperolehinya secara segera. Tanam hari ini sedapat-dapatnya dapat berbuah esok harinya. Golongan beriman amat berhati-hati dengan sebarang kesan pekerjaan mereka untuk esok harinya dan untuk kehidupan generasi akan datang sedangkan golongan ingkar tidak peduli akan nasib mereka kemudian hari nanti. Golongan beriman suka mengakui kesilapan dan kesalahan mereka lalu mereka dengan segera memperbaiki serta melakukan kerja-kerja pemulihan sementara golongan ingkar suka bertelagah sesama mereka sekiranya mereka menempuh kesalahan yang mengakibatkan bencana. Golongan beriman suka untuk melalui kaedah aroma terapi daripada bau-bauan segar daripada tanam-tanaman dan tumbuh-tumbuhan yang banyak tumbuh secara melata terutamanya pada waktu awal pagi sedangkan golongan ingkar suka sangat menghidup udara beracun secara berlebihan dan memusnahkan tumbuh-tumbuhan hutan secara berleluasa sehingga mereka tidak memperolehi manfaatnya.

iii.  Kaedah Usaha Yang Perlu Dipatuhi

Tentunya berbeza antara golongan beriman yang sedia melakukan pekerjaan dengan panduan tersedia, berbanding golongan ingkar yang tidak memiliki kaedah tertentu terhadap pengawalan usaha mereka. Sekiranya berlaku bencana akibat daripada usaha golongan beriman, mereka dengan segera akan melakukan ulang semak terhadap amalan mereka, mereka mencari punca kesilapan atau kesalahan mereka dan kemudian mereka akan berusaha untuk tidak mengulangi kesalahan dan bersedia untuk melakukan pembaikpulihan. Sebarang bentuk bencana diterima sebagai suatu ketentuan Tuhan dan mereka lebih mengharap keredhaan Tuhan dalam kehidupan yang mereka tempuhi. Tiada istilah kekecewaan dalam hidup kerana mereka memaklumi bahawa mereka sebenarnya tidak memiliki apa-apapun dalam kehidupan mereka di dunia ini. Bahkan mereka tidak memiliki diri-diri mereka sendiri.









Tuesday, June 2, 2015

SURAH ALI IMRAN AYAT 16 -- KEHIDUPAN YANG MENJAUHI DOSA

Orang-orang yang mereka sentiasa berkata "Tuhan Kami, sesungguhnya telah beriman kami maka Engkau ampunilah bagi kami akan dosa-dosa kami dan peliharalah akan kami (daripada) azab neraka.

(Iaitu) orang-orang Yang berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa Kami dan peliharalah Kami dari azab neraka";

i.    Corak Kehidupan Taman Yang 
      Harus Dipilih :–  Mengharap Untuk 
      Menjauhi Dosa-dosa 

Untuk tujuan ini, mahu tidak mahu, umat ini harus mempelajari apakah yang diertikan sebagai dosa? Bergelumang dengan sistem ekonomi riba adalah suatu dosa yang sangat besar. Dosa ini menjadi punca kepada menjalarnya dan bertambahnya segala bentuk dosa-dosa lain. Yang dikatakan sebagai dosa adalah sesuatu yang akhirnya membawa kekesalan dalam hati seseorang. Mengamalkan polisi kehidupan riba, mungkin pada peringkat permulaannya, tidak dirasai dengan rasa bersalah. Namun permasalahan yang akan timbul, akhirnya akan membuatkan seseorang menderita dengan rasa bersalah. Semua ini akan dibincangkan dengan secara lebih teliti pada dua juz terakhir daripada Al-Quran. Meninggalkan sistem ekonomi riba akan dikatakan sebagai meninggalkan kemajuan, namun penyaksian masakini pengamalan riba sedemikian lebih menjurus kepada kemiskinan yang parah.

ii.    Memenuhi Naluri Kehidupan Manusia Itu Sendiri 

Pembaca atau sesiapa jua mungkin memiliki pengalaman mengalami kesukaran untuk memujuk warga tua untuk meninggalkan kampung halaman mereka dan hidup bersama anak-anak ke kawasan perbandaran. Sebenarnya mereka tidak boleh dipersalahkan atas pilihan mereka kerana jiwa halus mereka adalah lebih menyayangi kehidupan dengan sausana harmoni di kampung berbanding keadaan hirup pikuk di kawasan perbandaran. Itulah perkara sebenarnya yang harus berlaku ke atas setiap manusia iaitu jiwa manusia lebih memerlukan ketenangan berbanding keresahan dalam menempuh kehidupan. Penulis tidak bermaksud bahawa seseorang itu harus sentiasa meninggalkan sebarang bentuk hidup keresahan dan mengejar semata-mata hidup ketenangan. Yang penulis maksudkan adalah bahawa seseorang itu hendaklah sentiasa menghargai hidup ketenangan dan berusaha mendapatkan ketenangan sekalipun lingkungan hidup seseorang sentiasa dikelilingi oleh keresahan. Sebenarnya hidup dalam keresahan bersangatan atau 'stress peringkat kronik', sangat berkait rapat dengan kepelbagaian bentuk penyakit. 

Stress berpanjang dapat mendatangkan bencana 
kepada tubuh seseorang

Seseorang yang sangat stress seringkali dikaitkan dengan penyakit barah barah usus dan juga kemurungan. Kes-kes seperti ini menjadi perkara yang lumrah didengari waktu ini. Perkara seperti inilah yang cuba ditutup oleh pihak berkuasa daripada diketahui oleh rakyat serta umat. Mereka menghendaki rakyat bekerja dengan sangat rajin dan pelajar-pelajar belajar bersungguh-sungguh demi menghadapi masa depan yang kononnya lebih mencabar.  Polisi seperti inilah yang mengakibatkan rakyat atau umat hidup dalam keadaan kesempitan dan keresahan hidup yang berpanjangan. Mereka menjadi tidak peka terhadap kerosakan alam serta kecelaruan yang dialami oleh umat manusia masakini.

iii.    Memelihara Keadaan Persekitaran Yang Stabil 

Sebenarnya setiap manusia memiliki hak untuk mendapatkan keperluan hidup dan memerlukan sedikit keadaan yang lebih selesa. Begitu juga dengan kehidupan fauna dan alam flora. Kita tidak berhak mengenakan paksaan ke atas semua itu. Meneroka kawasan hutan untuk tujuan pembinaan perbandaran yang pesat adalah merupakan pencerobohan alam sekitar. Nasib haiwan-haiwan liar tidak terbela apabila terbukti haiwan-haiwan liar menerjah masuk ke kawasan penempatan semata-mata untuk mendapatkan makanan. Bukti kedua ialah kejadian banjir kilat yang sering berlaku akibat kecuaian pihak-pihak tertentu dalam mengurus tadbir pengurusan saliran. Pelajar-pelajar ilmu perladangan sendiri mempelajari bahawa pertumbuhan tumbuh-tumbuhan sebenarnya lebih memerlukan mineral untuk tujuan pertumbuhan yang baik dan bukannya keperluan baja yang banyak. Bekalan mineral dapat diperolehi daripada sumber air yang segar dan kandungan mineral dalam air yang segar amat membantu pertumbuhan tumbuhan yang baik (penerangan 71:12). Penggunaan baja yang banyak bukan sahaja dapat merosakkan tanah yang digunakan untuk tujuan pertanian bahkan dapat mengakibatkan bertambahnya haiwan-haiwan perosak yang dapat merosakkan kembali tanaman yang ditanam. Haiwan-haiwan perosak seperti serangga didapati amat menggemari kandungan ammonium dalam baja yang digunakan. Permasalahan ini menjawab persoalan, mengapakah kawasan perumahan yang tidak memiliki sistem pembetungan yang baik, didapati membantu pembiakan larva-larva nyamuk pada jumlah yang sangat banyak. Penyakit seperti demam denggi amat mudah menular di kawasan perumahan di kawasan bandar berbanding kawasan penempatan kampung.





Popular