SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Friday, May 31, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 43 -- TUNDUK MENEKUR PANDANGAN MEREKA


خاشعة ابصارهم ترهقهم ذلة
و قد كانوا يدعون الى السجود و هم سلمون


Tunduk (menekur) pandangan mereka, teraniaya mereka oleh kehinaan, demi sesungguhnya telah adalah mereka, mereka diseru kepada sujud sedang mereka (dalam keadaan) sejahtera.

sambil pandangan mereka tunduk malu, serta mereka diliputi kehinaan; dan Sesungguhnya mereka (di dunia) dahulu telahpun diseru supaya sujud (tetapi mereka enggan) sedang mereka Dalam keadaan sihat.


Pucat lesinya wajah mereka menampakkan wajah yang pucat seolah-olah tiada darah mengalir di kepala mereka disebabkan kegagalan mereka sujud. Dahulu dalam kehidupan mereka, mereka diberi peluang untuk banyak bersujud sambil tetap tekun melakukannya, agar darah dapat mengalir masuk ke keseluruhan saraf otak mereka, tetapi mereka melakukannya sambil lewa, sebagai suatu pilihan keingkaran. Lalu bagaimanakah rasa beragama dapat mereka perolehi lantaran keingkaran mereka itu, sehingga mereka rasa benci kepada hujah-hujah keimanan dan suka kepada hujjah-hujjah keingkaran? Hanya dengan bersujud seseorang mampu bersungguh-sungguh dalam ketaatan.

PERINTAH TUHAN KEPADA GOLONGAN BERPETUNJUK
DALAM MENGHADAPI GOLONGAN SESAT

Adakah kita menyangka selama ini bahawa golongan sesat adalah golongan yang berfahaman yang bukan-bukan? Setiap kali kita diajukan dengan istilah sesat yang dinyatakan oleh pihak-pihak tertentu, kita sentiasa membayangkan bahawa mereka ini selalunya terjebak dengan amalan-amalan mistik seperti menyeru roh mereka yang telah mati, atau melakukan aktiviti pemujaan atau sebagainya. Adakah benar yang dinyatakan sesat adalah seumpama itu? Sekiranya demikian, apakah yang membezakan antara istilah sesat dan istilah syirik?


Oleh itu, adakah keadaan kita sekarang ini, keadaan beragama kita, keadaan peribadatan kita, telah dapat melepaskan kita daripada kesesatan? Kiranya kita hanya beramal untuk kepentingan diri sendiri, ahli keluarga sendiri ataupun kelompok kita sendiri, dapatkah kita melepaskan diri daripada suasana kesesatan seperti perlakuan jenayah yang semakin menjadi-jadi, kesan daripada keadaan inflasi serta defisit negara yang teruk. Dapatkah kita melakukan sesuatu agar diri-diri kita, ahli keluarga kita serta kelompok kita, terhindar daripada bahaya kesesatan sedemikian.

Apakah langkah wajar yang perlu dilakukan? Melakukan perombakan agama secara serta merta!!! Mengajak manusia memenuhi jalan-jalan raya melakukan tunjuk perasaan!!! Atau …tinggalkan urusan orang ramai dan mendapatkan kehidupan di tepian bukit yang agak jauh ke pedalaman, memelihara kambing dan menanam tanaman yang menghasilkan akar-akar kayu seperti ubi kayu untuk dimakan? Lalu bagaimanakah keadaan umat pada keseluruhannya?

Sambil itu kita pelajari dahulu kitab Tuhan!




Monday, May 27, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 42 -- HARI YANG MEREKA SUDAH TIDAK MAMPU BERSUJUD


يوم يكشف عن ساق ويدعون
الى السجود فلا يستطيعون

Hari yang ia didedahkan darihal hambatan dan mereka diseru kepada sujud lalu tidak akan mereka berkesanggupan.  

(ingatkanlah orang-orang Yang tidak beriman) akan masa didedahkan kedahsyatan huru-hara (hari kiamat), dan mereka diseru supaya sujud maka mereka tidak dapat melakukannya, -

i.       Diperintah Sujud Tapi Mereka Tak Sanggup Buat

Dalam banyak terjemahan adalah merujuk hari berlaku bencana, suasana azab hari kehancuran. Dalam surah Al-Qiyamah (75:29) ﺳﺎﻕ merujuk kepada suasana pada peringkat pengadilan. Yang diperintahkan kepada seseorang hanyalah untuk sujud iaitu mematuhi arahan Tuhan. Mereka gagal untuk mematuhi arahan Tuhan di dunia dahulu, lalu di akhirat nanti, bagaimanakah mereka dapat melakukan sedemikian?

ii.      Sebagai Suatu Manifestasi Penyerahan Kepada Tuhan

Antara perkara yang diperintahkan kepada manusia semasa berada di mahkamah Tuhan nanti, adalah perintah bersujud, sebagai suatu manifestasi ketaatan seorang hamba semasa hayatnya di dunia ini. Sujud adalah simbol kepatuhan kepada semua arahan Tuhan sebagai suatu bentuk penyerahan diri. Sujud adalah sebahagian daripada amalan solah. Solah yang benar bagi seseorang hamba adalah yang mengimani ayat-ayat Al-Quran daripada surah yang sedemikian iaitu melaksanakan amanah menyampaikan peruntukan sadaqah atau zakat. Menggelapkan peruntukan sedemikian bukanlah merupakan suatu manifestasi bagi orang yang bersolah dan bukan juga layak bagi seseorang yang bersujud kepada Tuhan. Oleh itu perintah sujud harus difahami meliputi solah yang ada hubungan dengan sadaqah. Tiada solah bagi mereka yang tidak bersadaqah dan tiada sujud bagi yang tidak termasuk dalam golongan bersolah. Lalu lihatlah gambaran lesinya wajah seseorang yang gagal melaksanakan arahan Tuhan di hadapan Tuhan nanti. Mereka gagal sujud sekalipun mereka cuba bersujud lantaran kerasnya jiwa mereka untuk bersujud.

iii.      Gambaran Pusat Lesi Orang Yang Tidak Bersujud

Betapa pucatnya wajah mereka semasa mereka gagal mematuhi arahan Tuhan pada ketika itu. Seperti resahnya seseorang yang tertuduh terhadap keputusan hakim yang akan menjatuhkan suatu keputusan terhadap seseorang yang merasakan dirinya bersalah.





Friday, May 24, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 41 -- UMAT MEMPUNYAI SEKUTU DALAM BERAGAMA


ام لهم شركاء  فليأتوا بشركائهم ان كانوا صدقين

Adakah bagi mereka sekutu-sekutu, maka hendaklah mereka datangkan dengan sekutu-sekutu mereka, sekiranya telah adalah mereka, pihak yang benar?

atau Adakah mereka mempunyai sekutu-sekutu (yang sefaham Dengan mereka? kalau ada) maka hendaklah mereka membawanya, jika betul mereka orang-orang Yang benar.

i.      Mereka Menyembah Pemimpin-pemimpin, 'Ulama-
       ulama', Ustaz-ustaz, Lebai-lebai Serta Kiyai-kiyai

Terdapat pengajaran As-Sunnah, apabila RasullulLah S.A.W. mengarahkan Ady bin Hatim melemparkan arka salib yang digantungkan di tengkuknya, seraya baginda membacakan ayat daripada Al-Quran, bahawa penganut Nasrani mengambil paderi-paderi dan rahib-rahib mereka sebagai pendidik-pendidik selain daripada Tuhan. Pernyataan sedemikian disangkal oleh Ady bin Hatim dengan menyatakan penganut Nasrani tidak mengambil paderi-paderi dan rahib-rahib mereka sebagai Tuhan. RasullulLah S.A.W. kemudiannya menjelaskan bahkan apabila paderi-paderi dan rahib-rahib mengeluarkan fatwa hukum-hakam agama, lalu mereka menurutinya tanpa sebarang penjelasan daripada ayat-ayat Tuhan. Demikian itulah penyembahan.

ii.     'Penjawat Agama' Masakini Lebih Memahami Wang
       Ringgit Berbanding Agama

Seperti itulah umat ini apabila menerima fatwa ‘penjawat agama’ dalam menjatuhkan hukum sesat terhadap satu-satu individu atau golongan tanpa bertunjangkan nas-nas Al-Quran. Yang dapat dijadikan sesuatu yang putus, tidak dapat dipertikaikan lagi. Begitu juga dalam hal halal atau haram sesuatu pemakanan. Bahkan Jabatan Agama sanggup mengeluarkan fatwa halal terhadap penggunaan ammonia tanpa kawalan dalam makanan serta bahan-bahan pewarna makanan. Pewarna makanan diperoleh melalui sintesis bahan nitrat, iaitu antara bahan kimia yang banyak terdapat dalam bangkai, nanah, buangan manusia dan juga haiwan. Semua itu telah difatwakan sebagai najis dalam kitab-kitab silam. Ulama-ulama silam lebih memahami ayat-ayat Al-Quran, berbanding 'penjawat agama' masakini yang lebih memahami wang ringgit. Ayat-ayat daripada surah ini menjelaskan sejelas-jelasnya kepada siapakah individu sesat itu wajar dilabelkan? Bahkan kesyirikan dapat berlaku apabila umat ini menyembah 'penjawat agama’ sedemikian dalam menetapkan suatu hukum agama.




Monday, May 20, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 40 -- SIAPAKAH YANG HARUS DIDAKWA?


سلهم ايهم بذلك زعيم

Tanyalah kepada mereka, siapa-siapakah (antara) mereka terhadap yang demikian, suatu pendakwaan?

Bertanyalah kepada mereka: Siapakah orangnya di antara mereka Yang menjamin benarnya hukum: Bahawa mereka akan mendapat di akhirat apa Yang didapati oleh orang Islam?

i.      Umat Mendakwa Golongan Agama

Siapakah di antara mereka yang dapat membuat pendakwaan di hadapan Tuhan nantinya? Tentunya umat akan mendakwa golongan yang bertanggungjawab dalam hal agama sebagai sekutu mereka, bagi pihak Tuhan, yang memperkenalkan suatu 'syariat' agama yang mereka anuti.  

ii.    Umat Berlaku Syirik Mengambil Golongan Beragama
      Sebagai Sekutu Tuhan

Apabila umat hanya tahu menurut sahaja apa jua yang diputuskan oleh 'penjawat agama' tanpa hujah yang harus mereka ketahui, sebenarnya umat telah mengambil 'penjawat agama' sedemikian sebagai tandingan Tuhan, dalam hal yang berkaitan dengan 'syariat'. 'Penjawat agama' sedemikian sanggup menguasai kerohanian umat ini, dengan hukum-hakam yang tidak pernah mereka terangkan kepada umat ini daripada Tuhan dan RasulNya, melalui hujah yang jitu, iaitu sama ada mereka ada mengambil syariat sedemikian daripada Tuhan dan RasulNya, atau mengambil dari sumber yang lain.





Friday, May 17, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 39 -- ADAKAH KAMU ADA HUJAH?


ام لكم ايمان علينا بالغة
الى يوم القيمة ان لكم لما تحكمون

Adakah bagi kamu sumpah atas Kami yang sampai kepada hari pembangunan, bahawa bagi kamu (lebih berhak) terhadap apa yang kamu putuskan?

atau Adakah kamu mendapat akuan-akuan Yang ditegaskan Dengan sumpah dari kami, Yang tetap hingga hari kiamat, menentukan Bahawa kamu dapat mencapai apa Yang kamu putuskan?

i.       Adakah Mereka Memiliki Akta Yang Jelas Yang
         Sampai Kepada Tuhan Bahawa Mereka Lebih Berhak

Perkataan ﺍﻳﻤﺎﻥ juga diterjemahkan sebagai perjanjian. Aplikasi perkataan sedemikian adalah kepada mereka yang mengambil suatu peraturan iaitu mengambil peraturan golongan yang berdosa ke atas umat yang patuh dan begitu juga sebaliknya. Wajarkah mereka mengurus tadbir hak yang diambil daripada golongan yang patuh, untuk tujuan yang bukan diperintahkan? Mengambil peruntukan sadaqah atau zakat lalu disalurkan untuk pembangunan masjid serta prasarana-prasarana yang lain. Mengambil denda daripada umat Islam seperti denda maksiat dan judi untuk di'sadaqah'kan kepada pentadbir-pentadbir agama.

ii.     Mereka Mengubah Peraturan

Adakah ini merupakan perjanjian yang mereka ambil daripada Tuhan? Ayat manakah yang menjelaskan sedemikian? Mereka membuka pintu ke arah maksiat seluas-luasnya dengan lesen-lesen premis perjudian, hiburan-hiburan yang menggalakkan pergaulan bebas serta kempen-kempen media massa yang menggalakkan perlakuan lucah. Mereka mempersembahkan tayangan-tayangan penyembahan berhala, unsur-unsur jenayah dan sebagainya. Kesan berpanjangan tayangan seperti ini akhirnya diterima oleh masyarakat dan masyarakat mencontohinya. Kemudian tindakan diambil ke atas mereka yang melanggar peraturan 'agama' dengan denda yang membebankan. Mereka yang sebenarnya yang menggalakkan perlakuan sedemikian lalu mereka mendenda untuk mengutip hasil. Harta umat Islam diambil daripada peruntukan zakat, peninggalan warisan dan sebagainya. Kemudian harta ini diniagakan, sehingga tidak diserahkan kepada golongan yang berhak pada masa-masanya.

iii.    Akhirnya Umat Ramai Yang Kecewa

Umat menjadi terlalu kecewa lantaran 'syariat' Tuhan yang sedemikian akhirnya sebahagian mereka sanggup murtad untuk menempah azab Tuhan di akhirat. Pada mereka yang bertanggungjawab adalah ahli-ahli 'agama' yang memperkenalkan 'agama' sedemikian rupa.





Tuesday, May 14, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 38 -- TIADA KITAB YANG MENGAJAR RAKUS SEBAGAI BAIK



ان لكم فيه لما تخيرون

Sungguh bagi kamu, padanya mana-mana kamu pilih!

Bahawa di Dalam Kitab itu membolehkan kamu mendapat apa sahaja Yang kamu pilih?

Kitab manakah yang menghalalkan tindakan rakus sebagai baik? Tiada ajaran daripada mana-mana kitab sekalipun untuk membina masjid yang dihiasi dengan kecantikan bangunan. Di negara ini, pembangunan dijadikan kemegahan sehingga tender untuk membuat masjid sedemikian diurus tadbir oleh golongan yang ingkar seolah-olah mereka adalah yang paling layak memakmurkan masjid, tempat sujud kepada Tuhan. Lalu jadilah bangunan-bangunan sedemikian berdiri daripada pepasir yang dibangunkan tetapi runtuh daripada petunjuk Tuhan. Hati manusia tidak tergerak untuk memenuhi serta memakmurkan masjid sedemikian.




Monday, May 13, 2013

PENGAJARAN BAGI ERTI SEBUAH KEHIDUPAN



Daripada Surah Al-Baqarah : 153 ~ 163  

Untuk memulai langkah yang membawa kepada suatu kehidupan, langkah-langkah yang perlu diambil adalah berusaha mendapatkan pertolongan Tuhan melalui jalan bersabar dan memenuhi tanggungjawab kesinambungan solat. Dengan mempelajari serta memerhatikan perkara-perkara serta peristiwa yang berlaku di bumi ini, kita semua akan dapat memahami bahawa usaha manusia sedia ada, pada keseluruhannya, sekiranya dibiarkan berterusan, akan menjurus manusia kepada sebuah kematian.

Oleh kerana bukan perkara yang mudah untuk mengubah tingkahlaku manusia, kita harus membuat persiapan bagi menghadapi sebarang bentuk bencana yang bakal terjadi. Peristiwa-peristiwa sedemikian dapat diketahui melalui pengkajian teliti ayat-ayat Tuhan. Semua bentuk bencana itu sendiri adalah merupakan ujian Tuhan ke atas manusia secara keseluruhannya disebabkan oleh usaha manusia sendiri yang menjemput bencana berkenaan, sama ada secara disedari atau tidak mereka sedari. Konsep kesabaran manusia semasa menghadapi bencana adalah merupakan suatu kesinambungan selawat Tuhan kepada manusia.

Seterusnya manusia harus menghayati kembali konsep peribadatan contohnya seperti ibadah haji yang merupakan suatu ibadah yang menjurus kepada pengorbanan habis-habisan oleh setiap individu dalam usaha melaksanakan tanggungjawab menyampaikan ayat-ayat Tuhan kepada manusia seluruhnya. Ayat-ayat Tuhan tidak harus disembunyikan daripada pengetahuan manusia agar mereka dapat sampai kepada satu seruan mengesakan Tuhan Yang Maha Esa untuk kebaikan manusia itu sendiri.



Saturday, May 11, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 37 -- APAKAH KITAB RUJUKAN KAMU?


ﺍﻢ ﻟﻜﻢ ﻛﺘﺐ ﻓﻴﻪ ﺗﺪﺭﺳﻮﻥ

Adakah bagimu suatu kitab padanya kamu bertadarus?

Adakah kamu mempunyai sesebuah Kitab (dari Allah) Yang kamu baca dan pelajari?

i.      Pembangunan Berterusan Tanpa Had

Kitab manakah yang menjurus manusia kepada sesuatu tanpa batasan? Kitab saintifik manakah yang mengizinkan pembangunan berterus-terusan tanpa had? Secara fakta, setiap pembangunan memberi kesan kepada alam sekitar. Sekiranya tidak, tidak perlu diwujudkan kajian kesan persekitaran - EIA - Environment Impact Assesment yang menjadi suatu kewajiban laporan oleh pemaju-pemaju.


ii.      Pengabaian Golongan Dhaif

Kitab kajian sosial manakah yang mencadangkan golongan dhaif diabaikan menempuh nasib kehidupan mereka sendiri? Akibat sistem ekonomi riba yang dipelopori oleh golongan berdosa itu, adalah kegagalan umat bersadaqah membela golongan yang dhaif serta peningkatan kadar jenayah. Sistem ekonomi riba mengakibatkan pembangunan tanpa had sehingga membawa kesan kerosakan alam. 


iii.     Negara Sosialis Sendiri Menolak Ekonomi Kapitalis

Negara sosialis sendiri tidak membenarkan sistem penindasan sedemikian lalu sistem ekonomi sedemikian di-pelopori oleh negara-negara kapitalis. Golongan yang patuh melaksanakan projek-projek pembangunan seadanya, sesuai dengan suasana alam sekitar serta keperluan semasa dan bukannya kehendak manusia semasa. Mereka menghadkan pemilikan sekadar perlu. Lebihan daripada perolehan disadaqahkan kepada yang memerlukan. Golongan dhaif terbela dan mereka tidak perlu melakukan kerosakan untuk hidup. Kadar jenayah berada pada tahap minimum dan manusia bebas bergerak ke tempat tujuannya tanpa terlalu merasa bimbang menjadi mangsa peras ugut, ragut, rompak, samun dan sebagainya.





Monday, May 6, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 36 -- APAKAH UKURAN HUKUM YANG KAMU BUAT?


ما لكم  كيف  تحكمون

Mengapakah bagimu, bagaimanakah kamu menghukum?

apa sudah jadi kepada akal kamu? Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya itu)?

i.      Sistem Ekonomi Riba Menjadikan Mereka Memilih
      Hidup Sendiri-sendiri

Dengan sistem ekonomi kapitalis yang berasaskan riba, telah terbukti lebih membawa keburukannya terhadap alam sekitar sehingga keupayaan pembangunan, telah dilaksanakan melebihi keberadaan ekonomi itu sendiri. Umat secara keseluruhannya memilih hidup nafsi-nafsi apabila keperluan membayar hutang melebihi keperluan bersadaqah dan berjihad di jalan Tuhan. Mereka memilih 'survival' kehidupan mereka dan melupai tentang hakikat penciptaan mereka yang merupakan agenda Tuhan.

ii.      Sebenarnya Tiada Jaminan Pemilikan Dalam Sistem
       Kapitalis

Adakah pemilikan maya yang dijanjikan oleh sistem kapitalis menjamin hak-hak seseorang dalam pemilikan harta benda? Adakah hasil pertanian dari ladang-ladang mereka mampu membuatkan setiap rakyat dapat tidur dengan perut yang berisi makanan?

iii.    Kerosakan Alam dan Sosial Akibat Kapitalis

Dapatkah sistem seperti ini merangsang penurunan kadar jenayah yang meningkat setiap tahun? Mereka yang memilih pemilikan tanpa batasan, hutang tanpa batasan dan pembangunan tanpa batasan adalah sebenarnya mengadun resipi kepada kerosakan. Dapatkah mereka melakukan sesuatu untuk membayar balik kos kerosakan yang mereka usahakan? Sehingga keadaan bumi pulih walaupun tidak sepenuhnya dapat mencapai separuh daripada keadaan sediakala.




Friday, May 3, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 35 -- MUSLIMIN TIDAK SAMA DENGAN MUJRIMIN


ا فنجعل المسلمين كالمجرمين

Apakah maka Kami jadikan orang-orang yang patuh itu, seperti orang-orang yang bersalah?

Patutkah Kami (berlaku tidak adil, dengan) menjadikan orang-orang Islam (yang taat), sama seperti orang-orang Yang berdosa (yang kufur ingkar)?

i.      Sadaqah Bukan Charity

Atas pertimbangan apakah mereka menyamakan antara sadaqah itu dengan 'charity'? Atas pertimbangan sedemikian, mereka menyamakan zakat dengan cukai! Mereka menyamakan perniagaan dengan riba. Lalu mereka menyamakan kerja-kerja golongan yang patuh dengan kerja-kerja golongan yang berdosa. Apakah ukuran mereka? Barangkali mereka meletakkan ukuran, bahawa pemilikan membuktikan kebenaran. Yang berjaya adalah mereka yang berada dan yang gagal adalah mereka yang miskin. Ajaran manakah yang mengajar mereka berpendirian sedemikian?

ii.   Jatuh Bangunnya Ekonomi Sesebuah Negara

Sejarah membuktikan bahawa jatuhnya ideologi serta kerajaan komunis Uni-Soviet adalah disebabkan runtuhnya sistem ekonomi komunisnya akibat perbelanjaan besar mereka berusaha menakluki Afghanistan. Sejarah juga membuktikan apabila ekonomi Jerman runtuh, mereka cuba menyelamatkannya melalui perluasan ideologi Nazi dengan menyerang seluruh Eropah dan Russia, akhirnya mereka dikalahkan apabila ekonomi mereka menuju ke keadaan yang amat parah tanpa sumber bekalan bahan mentah.  Jepun dengan perluasan wilayahnya semakin terjejas akibat keruntuhan ekonomi di negara-negara jajahan mereka akibat meluasnya penggunaan wang pisang. Indonesia kehilangan timur Timor, lantaran serangan ekonomi ke atas sistem kewangannya. Lama sebelum ini, kekuasaan kerajaan Islam runtuh, akibat keruntuhan ekonomi yang disebabkan oleh salahlaku pemimpin-pemimpin yang membazirkan peruntukan negara untuk perbelanjaan yang bukan-bukan. Akhirnya Britain, kehilangan hampir keseluruhan jajahannya apabila terlalu banyak perbelanjaan dikeluarkan lantaran terlibat dalam Perang Dunia II.

iii.     Ekonomi Umat Adalah Suatu 'Survival'

Oleh itu ekonomi adalah 'survival' bagi sesebuah kerajaan. Amerika Syarikat yang pernah menguasai sekitar dua per tiga penguasaan ekonomi dunia adalah gergasi ekonomi yang terlalu besar, terlalu besar untuk menjadi kuasa utama ekonomi dunia dan terlalu besar untuk mengalami keruntuhan ekonomi. Namun dengan sistem riba yang mereka agung-agungkan banyak syarikat gergasi mereka menjadi muflis dan kerajaan Amerika Syarikat itu sendiri terpaksa mengeluarkan sejumlah dana mencapai trillion dollar sebagai pakej rangsangan ekonomi. Tanpa pakej rangsangan sedemikian tentunya ramai jutawan mereka akan jadi papa kedana apatah lagi yang seawalnya berkeadaan susah. Dengan kedudukan ekonomi yang merudum, segala usaha ekonomi seperti pertanian, penternakan dan perusahaan akan terjejas teruk. Betapa pentingnya peranan ekonomi sesebuah masyarakat sehingga disebutkan pada awal-awal surah Al-Baqarah bahawa golongan  ﻤﺘﻘﻴﻦ adalah golongan yang BERHATI-HATI DALAM SOAL EKONOMI.





Popular