SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Monday, January 28, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 9 -- BERCITA-CITA BESAR MENDAPATKAN SOKONGAN GOLONGAN BERIMAN


ودوا لوتدهن فيدهنون

Telah bercita-cita (besar) mereka, kiranya kamu berlaku lunak lalu mereka berlaku lunak.

mereka suka kalaulah Engkau bertolak ansur (menurut kemahuan mereka), supaya mereka juga bertolak ansur berlemah-lembut (pada zahirnya terhadapmu). 

KESESATAN KEDUA :  YANG MENDUGA HATI GOLONGAN 
                               BERIMAN, MAHUKAN SUATU 
                               PULANGAN

i.         Untuk Kepentingan Perjawatan Atau Pengiktirafan,
           Politik dan Sebagainya

Lalu siapakah dia golongan yang mendustakan dan pada masa yang sama mahu orang-orang bersikap lunak? Iaitu mereka yang dapat melihat di sana ada kepentingan sekiranya mereka dapat menundukkan golongan yang beriman untuk menyertai mereka. Penyertaan boleh jadi darihal yang ada hubungkaitnya dengan perniagaan ataupun kepentingan untuk mendapatkan sokongan politik, jawatan atau kepentingan-kepentingan yang lain. Bahawa mereka itu bercita-cita besar, menunjukkan mereka sanggup melakukan apa sahaja supaya golongan yang beriman memihak kepada mereka dan mereka sebenarnya tidak inginpun untuk beriman.

ii.       RasululLah S.A.W Yang Tidak Dapat Dibeli

Sejarah menunjukkan kejayaan RasululLah S.A.W., yang berusaha mempraktikkan ajaran Al-Quran, adalah merupakan ajaran yang sangat-sangat dibenci oleh golongan yang ingkar. RasululLah S.A.W. dan sahabat-sahabat baginda tidak dapat 'dibeli' dengan harta serta pangkat demi untuk meninggalkan ajaran Tuhan. Masakan golongan ingkar bersedia membentang permaidani indah supaya golongan yang beriman merasa terhutang budi kepada mereka. 
 
iii.      Amerika Syarikat Membeli Rakyat Afghanistan

Sebagai contoh, apabila musuh umat Islam iaitu Amerika Syarikat merasai bahawa mereka perlu melakukan sesuatu untuk mencengkam umat Islam, mereka merencana tipudaya supaya dapat menyerang Afghanistan, satu-satu negara umat Islam yang tidak pernah dijajahi sepenuhnya oleh mana-mana kuasa luar. Penyerangan mengakibatkan korban jiwa yang besar terhadap umat Islam. Sehingga ke suatu peringkat apabila belanja peperangan mereka terlalu besar, sebenarnya mereka sudah tidak sanggup untuk terus berada di negara berkenaan.

Lalu mereka menawarkan pengampunan kepada pejuang-pejuang Islam supaya dapat menyertai mereka dalam pilihanraya yang mereka adakan. Gunanya adalah supaya Amerika Syarikat serta kepentingannya tidak akan diserang selepas ini. Adakah mereka, yang sejak awal-awal lagi mengambil sikap menolak petunjuk Tuhan secara terang-terangan dan melakukan pembunuhan beramai-ramai umat Islam apabila memperolehi peluang? Bahkan musuh umat Islam ini harus dihadapi secara sungguh-sungguh melalui pelbagai bentuk pengorbanan.

Sebenarnya sikap lunak mereka yang inginkan umat Islam lunak adalah petanda awal bahawa mereka tidak sanggup untuk terus menindas umat ini dan mula melembutkan pendirian kepada perdamaian sebelum nyata kemenangan golongan yang beriman. Sudah cukup pengajaran diperolehi atas keburukan pemerintah-pemerintah umat ini yang amat tidak bertanggungjawab mengabaikan umat ini secara keseluruhan sehingga dalam kalangan umat ini telah terdapat golongan yang malu mengaku muslim.


 

Friday, January 25, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 8 -- JANGAN MENTAATI GOLONGAN PENDUSTA


فلا تطع المكذبين

Maka janganlah kamu mentaati golongan yang mendustakan.

oleh itu (berpegang teguhlah pada ajaran Islam Yang sedang Engkau amalkan, dan) janganlah Engkau menurut kemahuan orang-orang Yang mendustakan (ugama Allah).

KESESATAN PERTAMA :  GOLONGAN PENDUSTA

Perkataan ﻜﺬﺑ bermakna telah mendustai ia. Iaitu suatu perbuatan sengaja. ﻤﻜﺬﺑﻴﻦ adalah merujuk kepada orang-orang yang (sengaja) mendustakan. Iaitu sengaja mengatakan sesuatu yang benar sebagai dusta, atau ia mengambil sikap mendustai terlebih dahulu sebelum meneliti sesuatu keterangan (68:15). Istilah ﻼﺗﻂﻊ adalah arahan Tuhan yang wajib dipatuhi. Jangan mentaati merujuk kepada perintah jangan mengikuti atau mematuhi terhadap arahan atau syor yang dikemukakan. Yang dilarang dipatuhi adalah golongan yang mendustakan. ﺍﻟﻤﻜﺬﺑﻴﻦ terdapat penerangan dalam ayat-ayat yang lain dapat diambil untuk dijadikan pengajaran. 

Siapakah ﺍﻟﻤﻜﺬﺑﻴﻦ?


 

Monday, January 21, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 7 -- TUHAN LEBIH MENGETAHUI GOLONGAN BERPETUNJUK DAN GOLONGAN SESAT


ان ربك هو اعلم بمن ضل عن سبيله
و هو اعلم بالمهتدين


Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lebih mengetahui, terhadap sesiapa jua yang telah tersesat ia dari jalanNya dan Dia lebih mengetahui terhadap orang-orang yang berpetunjuk.

Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat petunjuk.

i.    Golongan Sesat Adalah Yang Terkial-kial

Orang yang telah tersesat adalah orang yang terkial-kial dan orang yang berpetunjuk adalah orang yang memperolehi nikmat Tuhan. Dalam kehidupan ini kita telah biasa dengan istilah ajaran sesat. Istilah sesat – ﺿﻞ - adalah merupakan tuduhan ampuh yang digunakan pihak-pihak tertentu untuk menunjukkan bahawa pihak yang dituduh telah kafir atau syirik. Seolah-olah pihak yang menuduh itu tidak kafir dan tidak syirik. Tuduhan seperti ini sebenarnya telah muak didengari oleh banyak pihak. Pihak yang menuduh sendiri tidak pernah memberi contoh yang sebaik-baiknya sehingga umat ini dapat pembelaan. Mereka lebih selesa melaksanakan aktiviti pencegahan berbanding pemulihan kerana pencegahan memberi pulangan hasil atau sekurang-kurangnya meningkatkan pandangan masyarakat bahawa mereka berada di pihak yang 'tidak sesat'.

Tidakkah mereka mengetahui bahawa Muhammad RasululLah S.A.W, sekiranya tidak berpetunjuk dengan petunjuk Tuhan adalah Muhammad yang ‘sesat’  93:07 (ﺿﺎﻻ), suatu istilah yang datang daripada kata dasar kata kerja yang sama ﺿﻞ ? Dan baginda sebenarnya ‘pernah’ melalui tempoh itu. Oleh itu istilah sesat perlu ditakrif secara berhati-hati agar tidak menjurus kepada tuduhan sebagai pembawa ajaran 'sesat', syirik, tahyul atau perkara-perkara Harut dan Marut (karut mengarut) dan sebagainya. Kedua-dua  ayat 93:07 dan 68:07 menyatakan dua istilah yang berlawanan. Iaitu lawan bagi ﺿﺎﻻ (yang tersesat) adalah ﻫﺪﻯ (berpetunjuk) dan lawan bagi ﻤﻦﺿﻞ (orang yang tersesat) adalah ﻤﻬﺘﺪﻳﻦ (orang-orang yang berpetunjuk).

ii.    Golongan Berpetunjuk Adalah Yang Berpanduan

Oleh itu perkataan ﺿﺎﻻ tidak memerlukan istilah lain contohnya 'yang tersalah jalan' atau 'yang tercari-cari' sebagai ganti perkataan yang kononnya lebih sopan untuk ditujukan kepada Muhammad RasullulLah S.A.W., sekiranya tidak berpetunjuk dengan petunjuk Al-Quran. Hanya oleh kerana istilah 'sesat' telah menjadi mainan mulut, golongan-golongan tertentu untuk menyatakan 'kebenaran' pihak diri mereka! Wajarkah kita menyamakan 'sesat' itu adalah sesuatu ajaran yang menyamai ajaran menyembah berhala, membawa perkara-perkara tahyul, jampi serapah atau menyamakannya dengan ajaran 'kerajaan langit' atau amalan tawassul atau sebagainya? 'Sesat' haruslah difahami sebagai tidak berpetunjuk dengan petunjuk yang benar dan sebaliknya 'berpetunjuk' adalah mengambil panduan benar untuk sesuatu tujuan. 



 

Thursday, January 17, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 6 -- SIAPAKAH YANG TERKIAL-KIAL?


بايكم المفتون

Dengan mana-manakah (antara) kamu yang terkial-kial.

siapakah orangnya Yang gila di antara kamu semua.

i.      Golongan Ingkar Yang Menguasai Keadaan

Peraturan yang mudah. Mereka yang berpandukan dengan panduan Tuhan serta berhati-hati menjalani kehidupan dan mereka yang menjalani kehidupan tanpa panduan tertentu dan bertindak semahu-mahu mereka, siapakah antara mereka yang terkial-kial? Umat ini telah melalui masa pelemahan disebabkan mereka dalam keadaan jahil daripada petunjuk Tuhan. Kesempatan ini telah digunakan sepenuhnya oleh golongan yang ingkar untuk memanipulasi keadaan sehingga umat ini seolah-olah telah kehilangan segala-galanya darihal penguasaan mereka dahulu dari sudut ilmu. Kebebasan mereka untuk mendapatkan pendapatan sara diri telah dikuasai secara sistematik oleh pihak lain, bermula daripada sistem kewangan, perniagaan hinggalah sistem pertanian.

ii.     Umat Islam Yang Kehilangan Arah dan Pedoman

Kebebasan mereka untuk mempelajari ilmu-ilmu agama daripada peringkat sekolah rendah hingga ke universiti, silibus pendidikan, juga dikuasai oleh golongan yang ingkar. Sehingga sekiranya umat ini perlu mempelajari Islam dari madrasah utama seperti universiti Al-Azhar, Mesir, mereka perlu menurut acuan silibus yang dipengaruhi oleh kuasa-kuasa lain seperti Yahudi dan Amerika Syarikat. Seolah-olahnya umat Islam kini adalah umat yang terkial-kial dalam berpenghidupan.




Sunday, January 13, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 5 -- KAMU MELIHAT MEREKA JUGA MELIHAT


فستبصر و يبصرون

Maka kelak kamu (akan) melihat dan mereka (juga akan) melihat.

maka (tidak lama lagi) Engkau akan melihat, dan mereka juga akan melihat, -

i.    Golongan Ingkar Merancang Penuh Untuk Aniaya

Ayat seperti ini seolah-olah menganjurkan golongan yang beriman mengambil sikap tunggu dan lihat. Walhal golongan ingkar, mengambil sikap melihat sebenarnya melakukan apa jua yang terdaya untuk menghalang-halangi kerja yang dilakukan oleh golongan yang beriman. Orang-orang yang ingkar merancang dengan penuh ketelitian untuk menganiayai, memerangi serta merugikan golongan yang beriman dan perkara sedemikian berlaku sepanjang zaman (71:22). Sedangkan orang-orang yang beriman sentiasa mematuhi dan menunggu-nunggu arahan Tuhan dari sejak dahulu lagi sehingga mereka diperangi oleh golongan yang ingkar. RasululLah S.A.W. telah berlalu dan begitu juga khalifah-khalifah selepas baginda. Kini tiada lagi khalifah dan kesultanan yang sedia ada tidak berupaya menjagai umat ini sehingga sebahagian besar mereka diperangi oleh golongan yang ingkar. Sekalipun agama Islam telah tersebar, namun mereka kini seolah-olah semakin lemah ikatan perpaduan mereka, menunggu-menunggu bencana sebelum bertindak sesuatu memperbetul keadaan.

ii.    Sebelum Umat Islam Dapat Dileburkan, Golongan
       Ingkar Lebur Terlebih Dahulu

Belumpun umat ini hancur lebur, kini kita dapati hasil usaha golongan yang ingkar telah kembali kepada mereka. Sistem ekonomi mereka huru-hara atas sebab pengamalan riba. Kehidupan sosial mereka tergugat sehingga meretakkan hubungan kekeluargaan. Maruah mereka rosak seolah-olah mereka anjing yang berkeliaran. Mereka ke hulu dan ke hilir menampakkan kehidupan mereka seolah-olah mereka itu manusia bebas tanpa sebarang panduan hidup. Mereka memulakan peperangan membunuh jutaan umat Islam, tetapi mereka juga menderita kerugian akibat belanja peperangan yang sangat besar dan mereka tidak pernah menang. Mereka terus masih berusaha dengan sepenuh harga kerana mereka menyedari peranan keingkaran sebenarnya amat-amat mempengaruhi tingkah-laku manusia dalam memilih keimanan dan keingkaran.

iii.     Manusia, Yang Memerlukan Petunjuk Tuhan

Agama Islam tidak pernah dipaksakan kepada manusia sejak dari zaman RasululLah S.A.W. dan umat Islam sendiri tidak pernah dipaksakan mengekalkan pendirian mereka dalam agama ini. Mereka sebenarnya berhak memilih agama apajua yang mereka suka dan Tuhan membebaskan pilihan manusia atas perkara itu. Namun kesaksian manusia atas perkara-perkara yang berlaku akhirnya membuatkan mereka sendiri mengakui untuk menuruti suatu petunjuk dan memilih agama yang benar pada ukuran mereka.

iv.     Komunis Yang Mengongkong

Sebagai contoh, apabila kekhalifahan Islam terakhir digulingkan, manusia tercari-cari sistem hidup sehingga dua tunjang sistem kehidupan utama telah muncul iaitu sistem demokrasi dan sistem komunis. Dengan kejatuhan sistem komunis yang mengongkong akhirnya manusia memilih sistem demokrasi.

v.      Demokrasi dan Kapitalisme Yang Merosakkan

Namun sistem demokrasi mendedahkan manusia kepada keporakan apabila salah laku orang-orang tertentu, tidak dapat diadili dan menggugat sistem kehidupan manusia sendiri. Dengan memegang prinsip hak asasi diri, manusia masih lagi terkial-kial dalam mendapatkan kehidupan yang bermakna. Golongan yang dhaif amat mudah dipengaruhi untuk mengikuti mana-mana ajaran dan kefahaman dan mereka akan memilih ajaran yang lebih bersifat membela. Kekekalan suatu sistem kehidupan tergantung atas nilai-nilai kebaikan namun setakat ini belum pernah ada suatu sistem yang meliputi seluruh manusia yang diakui dapat membela nasib kehidupan manusia itu sendiri dan juga alam ini. Dengan sistem demokrasi dan ekonomi kapitalis, manusia dapat menyaksikan kerosakan demi kerosakan yang menggugat keselamatan kehidupan manusia. Adakah nasib akhir manusia seperti haiwan-haiwan yang memegang peraturan-peraturan tertentu semata-mata demi kendiri kehidupan mereka, sebelum mereka menyedari perlunya kembali kepada ajaran Tuhan?




Thursday, January 10, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 4 -- MUHAMMAD (S.A.W) YANG BERAKHLAK MULIA


و انك لعلى خلق العظيم

Dan sesungguhnya engkau, benar-benar atas akhlak yang mulia.

dan Bahawa Sesungguhnya Engkau mempunyai akhlak Yang amat mulia.

i.      Telah Dikenali Dengan 
        Gelaran Al-Amin

Muhammad RasululLah S.A.W. telahpun digelar Al-Amin iaitu seseorang yang dipercayai lama sebelum masa kerasulan baginda sehingga semasa pembaikpulihan Ka'abah. Baginda telah diberi amanah untuk meletakkan Hajarul Aswad kembali ke tempat asalnya daripada banyak antara pemuka-pemuka Quraisy. Tugas sedemikian adalah merupakan penghormatan besar masyarakat Arab Mekah pada ketika itu. Baginda merupakan seorang yang mengambil berat tentang nasib masyarakat, membantu golongan susah yang terdiri daripada ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim serta miskin serta ringan tangan dalam memberi bantuan. Keunggulan akhlak baginda telah diiktiraf sebelum baginda dilantik sebagai rasul lagi.

ii.     Dituduh Gila Kerana Kerja-kerja Baginda 
        Menggugat Kedudukan Pemuka-pemuka 
        Makkah


Kemudian baginda dituduh sebagai gila lantaran melaksanakan tugas dakwah yang diperintahkan Tuhan. Tuduhan sedemikian adalah bersebab. Dengan dakwah Muhammad RasululLah S.A.W, mereka mengetahui bahawa keberadaan mereka dalam kalangan masyarakat Makkah pada ketika itu akan tergugat. Bahkan mereka dapat merasakan kepentingan perniagaan mereka juga tergugat disebabkan kerja-kerja dakwah. Dengan kekuatan pengaruh serta harta yang mereka miliki, mereka akan menentang dakwah RasululLah S.A.W. seberapa terdaya untuk menewaskan baginda.





Monday, January 7, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 3 -- GANJARAN YANG TIDAK PUTUS-PUTUS


وان لك لاجرا غير ممنون

Dan sesungguhnya bagi engkau benar-benar ganjaran yang bukan putus.

dan Sesungguhnya Engkau tetap beroleh pahala Yang amat besar, Yang tidak putus-putus, (sebagai balasan bagi menjalankan ajaran Islam);

i.    Muhammad (S.A.W)  Dituduh Gila,  
     Dapat Bina Negara

Yang demikian segala perbuatan RasululLah S.A.W. adalah ibadah, oleh itu adalah wajar segala amalan RasululLah S.A.W. dijadikan contoh dan iktibar untuk diamati dan dicontohi. Walaupun terdapat pengecualian-pengecualian tertentu, secara umumnya amalan-amalan baginda, dinamai sebagai sunnah yang harus dicontohi oleh umat ini. Dengan nikmat perutusan yang baginda perolehi daripada Tuhan semesta alam, Tuhan Maha Mengetahui kepada individu yang diutuskan, baginda sendiri menerima ganjaran yang tidak putus-putus. Adakah wajar dengan nikmat sedemikian RasululLah S.A.W. dikatakan sebagai gila? Wajarkah kerja-kerja menerima ayat Tuhan sebagai kerja gila? RasululLah S.A.W. menghimpunkan golongan yang beriman lalu baginda menduplikasi amali baginda kepada sahabat-sahabat baginda. Sehingga sebahagian besar sahabat-sahabat baginda itu turut menghafaz ayat-ayat Tuhan yang dibawa dalam solah mereka. Adakah amalan sedemikian adalah amalan gila? Kemudian baginda menyampaikan pengajaran ayat-ayat Tuhan yang baginda perolehi supaya turut sama dipraktikkan. oleh sahabat-sahabat baginda. Adakah sahabat-sahabat sedemikian adalah sahabat gila? Umat yang berhimpun bersama pada zaman baginda membentuk suatu masyarakat yang saling membantu serta saling memperkukuh bersama-sama menghayati ajaran Tuhan, adakah masyarakat sedemikian adalah masyarakat yang gila? Sehingga mereka membentuk suatu kehidupan bernegara yang mementingkan ikatan perpaduan sesama warganegara sekalipun berlainan agama, dengan kehidupan yang dijamin, terdapat sistem pengadilan dan sistem ekonomi serta sistem pertahanan yang kukuh dan sebagainya. Apakah benar itu kerja gila?

ii.   Kegilaan Umat Masakini 
      Yang Dianggap Normal

Sekiranya agama Muhammad S.A.W. mengajar kita semua bagaimana caranya supaya seseorang sentiasa menang perjudian, sehingga mengakibatkan individu terkejut menjadi kaya segera, itu barangkali kerja gila. Ataupun menggalakkan umatnya melakukan pergaulan bebas supaya anak-anak luar nikah lebih banyak dilahirkan dan akhirnya ahli masyarakat tidak mengetahui nasab keturunan mereka (68:13), sehingga bapa saudara tidak mengenali anak saudara, saudara sekandung ibu atau bapa saling tidak mengenali sesama mereka, sehingga banyak penyakit-penyakit kelamin tersebar, itu baru barangkali kerja gila! Lihatlah kini apabila pengajaran yang tidak pernah dipaksakan kepada manusia, dijadikan sesuatu yang dibenci, Tuhan dimusuhi, kitab-kitab suci dikeji, di manakah lagi nilai kemanusiaan yang kononnya memiliki kecanggihan akal?



Popular