SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Saturday, June 30, 2012

SURAH AL MULK AYAT 10 - MENGGUNAKAN PENDENGARAN DAN AKAL


وقالوا لو كنا نسمع او نعقل
ما كنا فى اصحب السعير

Dan telah berkata mereka, kiranya telah adalah kami, kami mendengar atau kami memikirkan, tidak telah adalah kami, pada golongan (yang menghuni) (neraka yang) menyala.

dan mereka berkata: "Kalaulah Kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang Yang mencari kebenaran), tentulah Kami tidak termasuk Dalam kalangan ahli neraka".

i.    Akal Yang Membenarkan Wujud Akhirat

Mereka akan dapat menggunakan akal fikiran secara benar nantinya sebagai tanda penyesalan. Tidakkah mereka pernah memikirkan, sekiranya azab yang dijanjikan itu tiada atau balasan kebaikan yang dijanjikan itu tiada, maka tiadalah keperluan kebangkitan akhirat? Maha Suci Tuhan daripada melakukan sesuatu itu tanpa tujuan. Sekiranya kebangkitan akhirat itu hanya sebagai kehidupan yang seperti kehidupan di dunia ini iaitu ada kematian di hujungnya, maka apakah ertinya nilai kehidupan sebelumnya? Dalam menghadapi kehidupan di dunia ini pun, tiada siapa dapat mendakwa bahawa kehidupan ini merupakan suatu kehidupan semula, hampir tiada siapapun dapat mendakwa atau mengingati bahawa ia pernah dihidupkan sebagai sesuatu makhluk lain sebelum ini. Sekiranya kehidupan sebelum ini ada, apalah ertinya nilai kehidupan sedemikian yang langsung tidak dapat diingati? Tanpa mengambil rekod kehidupan silam, kiranya ada sekalipun, jadilah kehidupan di dunia ini sendiri merupakan pengalaman baru**. Jadilah kehidupan ini tempat menempuh pengalaman hidup yang dapat di‘catat’ sebagai ingatan. Yang akan dibawa oleh setiap jiwa dan tidak akan diwarisi kepada jiwa yang lain. 

Kiranya kitaran 'inkarnasi' itu benar, kebanyakan kita 
tidak lagi mengingati kehidupan silam. Jadi hidup ini 
adalah suatu pengalaman baru yang tidak akan diwarisi.
 
ii.     Konsep Kehidupan Selepas Mati

Dalam hal catatan kehidupan, manusia sendiri dapat memaklumi bahawa perkara sedemikian adalah wujud. Catatan wujud dalam bentuk bekas-bekas peninggalan pada media tertentu. Catatan wujud pada kertas yang ditandai dengan dakwat. Catatan juga dapat dibuat melalui kod-kod binari dalam teknologi komputer dan dipindahkan kepada komputer yang lain. Sekiranya seorang ahli biologi dapat mempercayai bahawa catatan dapat disimpan dalam rekod tertentu, juga melalui susunan kod-kod genetik tertentu dalam DNA yang akan dipindahkan dalam kehidupan sel anak yang baru, lalu bagaimana mereka dapat menidakkan bahawa analogi catatan yang seumpama akan disimpan dalam roh urusan Tuhan, yang Tuhan sediakan dalam setiap jiwa**. Sekiranya seseorang anak, mewarisi sifat genetik daripada generasi sebelumnya, ia didapati tidak mewarisi pengalaman hidup generasi yang lalu itu. Ia akan menempuh kehidupannya dan membawa pengalamannya** masing-masing. 

iii.    Mereka Tidak Tahu Mereka 
        Sedang Mati Hanya Sedar Setelah 
        Kebangkitan

Kemudian jiwa itu menempuh pengalaman kematiannya. Sepanjang kematiannya itu tidak akan ada sebarang catatan pengalaman. Jiwa yang menempuh kematian itu sendiri tidak menyedari bahawa ia sedang melalui tempoh mati (sekiranya ia sedar, ia tidak dapat dikatakan mati). Ia sendiri tidak berupaya untuk menyoal dan tidak juga berupaya untuk menerima jawapan. Sekiranya tempoh kematian itu adalah selama-lamanya maka benarlah sesuatu yang dikatakan kehidupan semula itu sebenarnya tiada, namun, mampukah jiwa yang mati itu menyaksikan sedemikian? Iaitu menyaksikan bahawa ia sedang melalui kematian yang selama-lamanya, dengan lain perkataan bahawa kehidupan semula itu tiada. Sebaik sahaja ia sedar, mati selama-lamanya yang di‘rasai’ sebagai ‘dirinya telah tiada semasa kematiannya itu, tidak lagi dapat diistilahkan.

Perkara yang semudah ini tentang konsep kehidupan selepas mati, mereka enggan memikirkan. Jadilah mereka golongan yang terpedaya dengan kehidupan maya di dunia ini yang tidak menjanjikan apa-apa melainkan kematian di hujung hayat mereka. Pelaburan yang mereka lakukan bersungguh-sungguh darihal tanaman, perusahaan, kewangan dan sebagainya akhirnya menjadi seperti fatamorgana. Semuanya membawa kerosakan dalam kehidupan mereka sendiri dan generasi selanjutnya yang merupakan anak-anak mereka sendiri. Mereka mengajari anak-anak keturunan mereka perkara yang sama iaitu bagaimanakah permulaan alam ini dicipta, daripada apakah alam ini dicipta, siapakah kita, bagaimanakah kesudahannya, apakah hasil kesudahannya, semuanya itu adalah suatu bentuk persoalan yang tidak releven untuk ditanyai dalam kehidupan ini. Mereka mendakwa bahawa mereka manusia yang paling mahir tentang kehidupan, dapat menjawab segala-galanya tentang erti dunia fizikal dan mereka meletakkan perkara metafizikal dan paranormal seperti suatu subjek yang lucu untuk diperbincangkan.

Memperbincangkannya meletakkan seseorang pada tahap psikotik. Seolah-olah memperbincangkan suatu tajuk kesesatan, pada kesesatan yang besar. Setelah jiwa 'mati' mereka tidak dapat menyaksikan bahawa kematian itu selama-lamanya, serta merta mereka menyedari yang mereka telah dihidupkan kembali (sedar = hidup). Tempoh kematian yang terlalu lama seolah selama-lamanya itu pada istilah kematian mereka, mereka tidak dapat menyaksikannya. Tiada erti tempoh kematian itu sekalipun telah berlalu tempoh yang terlalu lama! Yang bererti adalah bahawa jiwa mereka telah merasai menempuh kematian yang amat sekejap sahaja.

Kebangkitan akhirat yang dipercayainya dahulu tidak menjanjikan apa-apa itu, telah tersedia di hadapan mereka. Apakah yang dapat mereka lakukan kini? Hanya bersedia menanti suatu ketentuan yang mereka telah jangkakan bentuk ketentuan itu. Kerana mereka menyimpan maklumat tentang pengalaman hidup yang lalu dan mereka telah melakukan pekerjaan, amalan mereka perlu diteliti. Supaya mereka mengerti untuk apakah tujuan alam itu disediakan? Untuk apakah mereka diciptakan? Dan mereka melihat sendiri kesan amalan-amalan mereka terhadap alam kehidupan mereka dan kehidupan mereka masa lalu dan kini.




Wednesday, June 27, 2012

SURAH AL MULK AYAT 9 - JAWAPAN AHLI NERAKA JAHANAM


قالوا بلى قد جاءنا نذير فكذبنا
وقلنا ما نزل الله من شئ ان انتم الا فى ضلل كبير

Telah berkata mereka, bahkan sesungguhnya telah datang ia akan kami amaran, lalu telah mendustai kami dan telah berkata kami “tidak telah menurunkan Ia oleh Allah daripada sesuatu, sungguh (tidaklah) kamu melainkan dalam kesesatan yang besar”.

mereka menjawab: "Ada! sebenarnya telah datang kepada Kami seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, lalu Kami dustakan serta Kami katakan (kepadanya): Allah tidak menurunkan sesuatupun, kamu (Wahai orang Yang mendakwa menjadi Rasul) hanyalah berada Dalam kesesatan Yang besar!

i.    Menuduh Pengikut Ajaran Tuhan : Sesat

Mengapa ancaman seksa yang sedemikian dijadikan ugutan kepada golongan yang ingkar? Apakah peranan mereka sehingga mereka diancam untuk didatangkan seksa? Sebenarnya, mereka adalah makhluk yang Tuhan ciptakan di dunia ini, sama seperti makhluk-makhluk yang lain. Mereka makan, minum, berkeluarga dan berkediaman di mukabumi ini. Tidak seperti makhluk-makhluk lain, mereka diberi akal fikiran, supaya mereka pergunakannya. Namun mereka mempergunakannya untuk melakukan kerosakan demi kerosakan, sehingga bumi ini menjadi kawasan bahaya untuk didiami. Mereka mempengaruhi manusia lain untuk melakukan perkara serupa iaitu kerosakan.

Mereka sombong dengan anugerah akal fikiran yang diserahkan kepada mereka, sehingga menuruti suatu kefahaman bahawa Tuhan tidak diperlukan dalam agenda kehidupan. Mereka menafikan segala bentuk ancaman yang akan Tuhan datangkan kemudian nanti. Bagi mereka ancaman sedemikian sesuatu yang diada-adakan dengan tujuan menakut-nakutkan semata-mata. Bahkan mereka mengeluarkan kenyataan yang besar iaitu tiada sesiapapun yang berhak menerima sebarang petunjuk ataupun ancaman daripada Tuhan. Sesiapapun jua yang mendakwa sedemikian, adalah berada dalam 'kesesatan' yang besar.

ii.   Sebab-sebab Seksaan – Gagal 
      Menggunakan Pendengaran Dan Akal

Mereka menyamakan semua agama dalam rumpun kepercayaan yang serupa. Maka akhirnya kita dapati kehidupan manusia semakin porak peranda. Masalah jenayah meningkat. Bilangan manusia yang menjadi penagih ubat-ubat anti kemurungan dan ketenangan jiwa semakin bertambah, demi menghilangkan kegelisahan dalam hidup dan memperolehi keseronokan. Mengapakah mereka tidak menggunakan akal fikiran dengan sebenarnya? Mengapakah mereka memilih untuk tidak beragama atau beragama dengan agama yang mencelarukan? Sekiranya benar-benar mereka memikirkan, mereka haruslah berasa takjub dengan kesempurnaan ciptaan Tuhan terhadap diri mereka. Lalu bagaimanakah mereka boleh mendakwa bahawa penciptaan diri mereka berlaku dengan sendirinya? Atau mereka menyatakan bahawa Tuhan hanya tahu mencipta dan kemudian membiarkan ciptaan itu menempuh laluan masing-masing. Sekiranya demikian mereka haruslah bersungguh-sungguh memikirkan darihal penciptaan. Mereka sendiri tidak pernah mengetahui daripada bahan apakah dan bagaimanakah penciptaan awal itu bermula lalu bagaimana pula mereka dapat memikirkan ke manakah mereka akan dibawa selepas daripada kehidupan mereka ini? Kesesatan apakah yang mereka anuti?

Dadah flakka - Inikah yang dikatakan keseronokan?


Friday, June 22, 2012

SURAH AL MULK AYAT 8 - JAHANAM : SUATU TEMPAT SEKSAAN


تكاد تميز من الغيظ كلما القى فيها
فوج سالهم خزنتها الم ياًتكم نذير

Ia hampir-hampir terpecah/meledak/meletup daripada (sebab) kemarahan, setiap kali, dicampakkan ke dalamnya satu golongan, telah bertanya ia akan mereka oleh penjaganya, adakah telah tidak ia datang akan kamu amaran? 

hampir-hampir ia pecah berkecai-kecai kerana kuat marahnya. tiap-tiap kali dicampakkan ke dalamnya sekumpulan besar (dari orang kafir), Bertanyalah penjaga-penjaga neraka itu kepada mereka "Tidakkah kamu pernah didatangi seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran (di dunia dahulu)?"

i.   Tempat Tertutup dan Kedap

Sesuatu yang sedang menggelegak adalah apabila dipanaskan dengan punca haba yang amat panas. Apabila suatu bahan panas, ditindakbalaskan dengan sesuatu sehingga mengakibatkannya hampir pecah atau meledak atau meletup adalah disebabkan tekanan hasil tindakbalas yang berlaku secara serta merta. Kemampatan tekanan yang dihalang oleh dinding yang terbina daripada bekas yang kuat dapat menghalangnya daripada meletup.

ii.   Panas dan Bertekanan Tinggi

Keadaan yang sedemikian dapat diperhatikan pada periuk tekanan yang ditutup rapat semasa sedang mendidihkan sesuatu. Tekanan kemuncak dilepaskan melalui suatu mekanisma iaitu lubang yang terbuka disebabkan oleh tekanan berlebihan. Daripada penerangan ayat ini dapat difahami bahawa neraka Jahanam adalah suatu tempat azab yang tertutup rapat dan bertekanan sangat tinggi.

Periuk tekanan menyediakan kepanasan berlebihan

iii.   Penjaga Yang Bertanya

Setiap kali sekumpulan golongan yang ingkar diarak masuk ke neraka Jahanam, pasti penjaga daripada kalangan malaikat akan bertanya mereka “adakah telah tidak ia datang kepada kamu peringatan?” Suatu persoalan dapat ditimbulkan iaitu bagaimanakah nasib seseorang yang dilahirkan daripada keluarga yang ingkar lalu ia tidak pernah terdedah dengan sesuatu yang berbentuk wahyu Tuhan dan tidak pernah ada sepanjang hayat hidupnya seseorang yang menyampaikan ayat-ayat Tuhan? Adakah ia akan dikecualikan, diadili atau turut serta diazab?

Persoalan seperti ini sebenarnya amat sulit untuk dijawab. Dalam surah Al-Baqarah (2:06) menjelaskan bahawa golongan yang ingkar itu sama sahaja bagi mereka sama ada diberi peringatan atau tidak diberi peringatan tetap mereka tidak akan beriman. Oleh itu ukuran sama ada beriman atau ingkar, hal yang demikian telah tersedia dalam jiwa manusia. Kehidupan dunia ini tidak lain dan tidak bukan adalah ujian Tuhan kepada seseorang untuk mensahihkan perkara yang telah diketahui Tuhan darihal keimanan atau kekufuran seseorang.




Wednesday, June 20, 2012

SURAH AL MULK AYAT 7 - JAHANAM : RELAU YANG MENGGELEGAK


اذا القوا فيها سمعوا لها شهيقا وهى تفور

Tatkala telah dicampak mereka padanya, telah (pasti) mendengar mereka baginya (suatu) jeritan sedang ia (suatu yang) menggelegak.

apabila mereka dicampakkan ke dalamnya, mereka mendengar suara jeritannya meraung-raung, sedang ia menggelegak.

Kerana gambaran sedemikian merupakan suatu gambaran yang dapat diterima akal manusia yang berada di dunia ini. Al-Quran selalu memberi gambaran suatu yang dapat diterima akal atau menjadi suatu kebiasaan manusia menerimanya. Namun gambaran sebenar di akhirat nanti adalah sesuatu yang tidak dapat dibayangkan oleh mana-mana manusia di dunia ini. Masakan seseorang itu dapat menerima, sesuatu pengalaman jiwa yang tidak lagi terdiri daripada tubuh, semasa diseksa, akan mengeluarkan suatu suara atau bunyian yang dapat diterima oleh deria pendengaran manusia secara nyata! Namun sebagai golongan beriman, harus menerima bahawa sememangnya terdapat sesuatu yang dinamakan seksa kubur, dalam suatu bentuk yang tidak tercapai oleh akal fikiran manusia masakini. 

Penerangan-penerangan ini hanya berusaha membawa suatu huraian munasabah seberapa hampir yang boleh, tentang suatu perkara ghaib namun perkara sebenar hanya Tuhan sahaja yang mengetahui. Yang menjadi persoalan ialah, mengapakah peristiwa sedemikian harus dikhabarkan kepada manusia yang berada di alam nyata ini? Dan pada masa yang sama mengapakah agama ini dan juga tentang Al-Quran yang sedemikian adanya telah dijadikan suatu ajaran yang amat dibenci daripada didengari oleh manusia? Seolah-olah mereka tidak akan menghadapi apapun yang telah dikhabarkan darihal bencana yang akan menimpa mereka di akhirat nanti dan berita-berita bencana terhadap kejadian yang akan berlaku kemudian hari. Padahal pada masa yang sama mereka sibuk dan terkial-kial dalam membuktikan sesuatu tentang kehidupan dan sebahagian pengalaman kematian individu-individu tertentu.

Penganut pelbagai agama juga mempunyai pengalaman 
tersendiri tentang kematian dan sebagainya.




Sunday, June 17, 2012

SURAH AL MULK AYAT 6 - MENGINGKARI KERAJAAN TUHAN MENEMPAH JAHANAM


وللذين كفروا بربهم عذاب
جهنم وبئس المصير

Dan bagi orang-orang yang mengingkari terhadap Tuhan mereka, seksa Jahanam dan (demikian itu adalah) seburuk-buruk tempat kembali.

dan bagi orang-orang Yang kufur ingkar terhadap Tuhan mereka, disediakan azab neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.

Sebenarnya apakah yang dikehendaki Tuhan dalam kehidupan manusia ini? Adakah Tuhan menghendaki untuk membiarkan sahaja umat manusia menempuh kehidupan tanpa kawalan sehingga mereka boleh melakukan apa sahaja dan merosakkan alam kediaman mereka sendiri sesuka hati? Untuk mereka yang gemarkan kerosakan sebegitu, neraka Jahanam itulah seburuk-buruk tempat bagi mereka yang mengingkari bahawa kerajaan Tuhan adalah kerajaan yang memberkati. Sesungguhnya Al-Quran adalah sebuah kitab yang diturunkan sejak sekian lama lebih 1400 tahun yang lalu. Sebenarnya manusia lebih terpegun dengan catatan daripada Nostradamus yang baru berusia sekitar 500 tahun yang lalu dan begitu juga mereka sanggup mengkaji catatan-catatan Injil lama yang ditemui sekitar Tasik Galilei yang lebih dahulu daripada Al-Quran dan juga catatan-catatan kaum Maya, kaum Inca dan kerajaan Aztec silam. 

Maya - Tamadun silam yang diagung-agungkan.

Namun apabila berhadapan dengan Al-Quran yang merupakan kitab lama yang masih terpelihara, mereka menerimanya dengan rasa meluat. Sedangkan Al-Quran adalah kitab yang membenarkan kitab-kitab terdahulu yang ada di sisi mereka. Menjelaskan tentang permasalahan mereka serta dapat menyelesaikan segala permasalahan manusia.

Berkenaan dengan seksa Jahanam, pernah suatu ketika dahulu suatu bunyian berupa jeritan disiarkan melalui radio penyiaran BBC, memberitahu suatu penemuan bunyi dari bawah bumi menyerupai bunyi yang keras seperti sekumpulan orang yang sedang diseksa bahkan di latar belakang bunyi itu terdapat puluhan atau ribuan jeritan yang serupa bersama bunyi mesin pengorek. Adakah bunyian sedemikian merupakan bunyi yang benar? Kerana pengadilan Tuhan hanya berlaku di akhirat nanti terhadap jiwa-jiwa yang telah menempuh kematian, penulis hanya dapat memberi pandangan, sekiranya suara jeritan itu benar, barangkali itu merupakan bunyian yang akan disaksikan nanti di akhirat.

Bunyi jeritan yang pernah viral suatu
masa dahulu, namun penemuan ini telah
di-'debunk'. 

Friday, June 8, 2012

SURAH AL-MULK AYAT 5 - LANGIT RENDAH YANG DIHIASI DENGAN METEOR


ولقد زينا السماء الدنيا بمصابيح وجعلنها
 رجوما للشيطين واعتدنا لهم عذاب السعير

Dan demi sesungguhnya, telah menghiasi Kami akan langit dunia dengan pelita-pelita dan telah menjadikan Kami akannya pelempar-pelempar terhadap syaitan-syaitan dan telah menyediakan Kami bagi mereka seksa yang menyala.

dan Demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit Yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) Dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap syaitan-syaitan dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka Yang menjulang-julang.

i.   Tentang Mesosfera

Kekuasaan Tuhan sebenarnya meliputi yang nyata (alam manusia) dan juga yang ghaib (alam jin). Langit dunia adalah merupakan langit yang rendah dan yang dikatakan langit yang rendah adalah bahagian-bahagian yang berketumpatan gas dengan ketumpatan yang tinggi iaitu di bawah lapisan mesosfera iaitu stratosfera, lapisan ozon serta lapisan atmosfera itu sendiri. Hanya pada langit bahagian ini batu meteor dapat bergeser dengan udarakasa serta terbakar menjadi pelita yang terang.


Pada masa-masa tertentu aluran meteor dapat dilihat sebagai suatu yang indah menghiasi langit malam. Jarak dari permukaan bumi adalah sekitar 70 kilometer. Dalam beberapa terjemahan dinyatakan sebagai bintang, namun sebenarnya bintang yang paling hampir adalah matahari dan yang lainnya berada pada kedudukan sangat jauh dari bumi ini. Sebenarnya terdapat perkataan khusus yang ayat-ayat Al-Quran nyatakan sebagai merujuk kepada objek-objek yang berlainan. Perkataan-perkataan tersebut adalah

ii.    Nama-nama Objek Angkasa

      1. Al-Khunnas - Komet (81:15)

      2. An-Nujm - Bintang / Komet (16:12/16 & 86:3)

      3. Kaukab - Planet (12:4 & 24:35)

      4. Mishbah - Pelita /  Meteor (67:5)

      5. Syihab - Panah-panah Api atau Peluru

An-Nujm boleh diterjemahkan sebagai bintang dan dapat juga difahami sebagai komet. Ahlul Nujum adalah seseorang yang dinyatakan pakar tentang pergerakan bintang serta komet yang dikaitkan dengan perkara-perkara mistik serta perkhabaran sesuatu yang akan datang. Kedua-dua bentuk terjemahan haruslah disesuaikan dengan hubungan ayat. Yang dikatakan sebagai pelita ﻤﺼﺎﺑﻴﺢ pula adalah juga suluh api yang terang ﺷﻬﺎﺑﺎ sebagaimana dinyatakan dalam surah Al-Jin.

Ayat ini menjurus kepada ciri-ciri lengkap bumi yang Tuhan sediakan dengan perlindungan-perlindungan tertentu dan adapun perlindungan daripada gangguan ghaib yang disebabkan oleh usaha syaitan mencuri dengar perkhabaran langit adalah dengan menyediakan pelita yang menyala yang akan menyiksa mereka dengan nyalaan (72:8/9). Sistem perlindungan yang terdapat pada langit bumi telah dijelaskan sebelum ini dan juga dalam surah Al-Buruj. Demikian itu seksa yang membakar yang mereka perolehi dalam dunia ini lagi atas keingkaran mereka.

iii.    Meteoroid Sebagai Perejam Syaitan
Adapun persoalan yang menjurus kepada kegunaan meteoroid yang sentiasa terapung-apung di angkasalepas yang akan jatuh apabila mencapai kerendahan tertentu di atas permukaan bumi, membentuk meteor, tentunya merupakan sesuatu persoalan dan perancangan ghaib Tuhan yang Maha Mengetahui. Tuhan yang Maha Mengetahui menjelaskan segala-galanya darihal kegunaan sesuatu yang tampak indah pada pandangan mata manusia adalah azab yang disediakan kepada syaitan daripada bangsa jin terhadap keingkaran mereka. Begitulah perkara ghaib yang tidak tercapai oleh pancaindera manusia sama ada melalui peralatan tertentu yang dapat direkodkan dan disaksikan oleh keseluruhan manusia. Sekiranya Tuhan yang membentuk kerajaan langit dan bumi ini, memberitahu manusia perkara yang tidak manusia ketahui darihal pencegahan terhadap sesuatu yang dapat memudharatkan kehidupan manusia, hal sedemikian harus dipelajari manusia agar melakukan yang terbaik dalam membentuk kepimpinan mereka.




Popular