SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Saturday, July 29, 2017

SURAH AL-MUZAMMIL AYAT 12 -- LINGKARAN KEHIDUPAN YANG MEMERITKAN


ان لدينا انكالا و جحيما


Sesungguhnya di sisi Kami jualah, lilitan kukuh dan neraka Jahim (76:04). 

kerana Sesungguhnya di sisi Kami disediakan (untuk mereka) belenggu-belenggu dan neraka Yang menjulang-julang,

i.    Lilitan Dalam Kehidupan

Lilitan kukuh menyebabkan seseorang sentiasa dibelenggu oleh kitaran kehidupannya sendiri. Mereka memilih jalan menyusahkan diri mereka sendiri dengan sistem interes atau riba, untuk mendapatkan kemudahan segera. Sebenarnya mereka sendiri memilih keperitan hidup yang berpanjangan. Tidakkah mereka menyedari bahawa perintah Tuhan yang menghalang mereka daripada mengamalkan sistem riba secara berganda-ganda? Yang paling malang sekali apabila pengambilan melalui sistem riba itu, adalah untuk bertujuan bermegah-megah seperti sentiasa menukar ganti kenderaan. Mereka juga sering melakukan pembiayaan semula untuk memperolehi kecairan tunai yang sedikit, berbanding tanggungan hutang berpanjangan. Kepada mereka jualah lilitan kehidupan yang berpanjangan (85:19).

Apabila ahli masyarakat berterusan amal riba,
akan sampai masanya mereka tak upaya
berbelanja kerana kekurangan wang akibat
sentiasa bayar hutang.

Mereka memilih untuk melaksanakan suatu undang-undang melalui sistem jalan pemikiran manusia. Akibatnya, mereka melaksanakannya supaya undang-undang itu dipatuhi oleh orang ramai, namun mereka sendiri akhirnya membolosi undang-undang yang mereka sendiri rekacipta. Sudah tentu mereka mengaplikasi undang-undang tersebut bukan dengan rasa tanggungjawab atau rasa berdosa, lantaran akibat buruk yang perlu mereka yakini untuk ditanyai di hadapan Tuhan nantinya. Akhirnya sampai suatu masa, undang-undang digunakan untuk membela penjenayah, mengaut hasil daripada perlanggaran undang-undang daripada orang ramai dan menjatuhi hukuman kepada mereka yang tidak bersalah secara menganiaya.

Apabila sistem undang-undang rekaan itu tidak lagi boleh diharap, maka orang ramai akan meletakkan undang-undang di tangan mereka sendiri. Mereka tidak lagi menghormati institusi polis, kehakiman, parlimen dan sebagainya. Kesukaran hidup kembali kepada orang ramai dan pemerintah yang mereka sendiri lantik, sehingga berlakulah pelbagai masalah melibatkan ekonomi, perkauman, perundangan dan sebagainya. Kepimpinan negara tidak lagi dapat mengatasi masalah rakyat secara berkesan.


Apabila undang-undang tidak lagi dihormati,
inilah yang terjadi.

ii.    Lilitan Kehidupan Yang Akan Kembali

Kepada mereka jualah, kembali masalah ciptaan mereka (85:19). Ke manakah golongan bangsawan itu membolot wang negara? Mereka membawanya keluar negara untuk disadaqahkan kepada bank-bank luar seperti Bank Swiss, yang menanti peluang kepimpinan 'penjenayah' itu dibuktikan bersalah oleh mana-mana mahkamah, lalu membekukan aset tersebut. Wang yang dibekukan itu sebenarnya mereka rampas untuk kepentingan negara mereka. Akibatnya, nilai wang negara ini menjadi semakin mengecil. 

Berbanding dengan nilai satu gram emas yang tidak pernah berubah, ringgit mengalami penyusutan lebih teruk lagi daripada RM 25 setiap 1 gram kepada RM 85 setiap 1 gram dan jatuh lagi kepada RM 145 setiap 1 gram emas. Beginilah pemegang-pemegang amanah negara mengurus negara dan sumber ekonominya dengan cara yang sangat cekap! Mereka sebenarnya akan mengulangi pengalaman kerugian rakyat Indonesia yang mengalami kejatuhan wang daripada Rp100 setiap USD1 kepada Rp5000 setiap USD1, sementara itu nilai emas semakin meningkat berbanding dollar US daripada USD10 setiap gram kepada USD50 untuk setiap gram. 

iii.    Penipu Rakyat Yang Tertipu 

Kegilaan pengurus-pengurus dana negara membolot kekayaan sewenang-wenangnya, selayaknya dapat digelarkan sebagai golongan yang terpedaya dengan habuan dunia dengan menambah-nambah kekayaan serta menyangka mereka akan kekal berkeadaan sedemikian. Nanti akan diperlihatkan kepada mereka neraka Jahim sebaik sahaja mereka melalui kematian mereka (102:1-8). Mereka ingin untuk menipu rakyat di negara yang laungan azan masih berkumandang. 

iv.     Pembolotan Yang Menyusahkan Rakyat

Apakah ertinya pembolotan itu, sekiranya nilai ringgit jatuh lagi kepada RM200 untuk setiap gram emas? Mereka yang bermegah dengan pemilikan dan kenderaan yang mereka sukai sebelum ini melalui kaedah riba serta memperleceh orang lain - yang mereka pandang rendah dari sudut pemilikan, sebenarnya berada dalam keadaan situasi tertipu. Mereka telah tertipu dengan sistem yang diwujudkan oleh golongan ingkar. Mereka ini bukan sepatutnya menjadi sasaran dakwah. Mereka lebih merelakan diri menghabiskan masa dengan kehidupan mereka untuk menyelesaikan hutang riba dan melupai kepentingan mengambil berat tentang permasalahan masyarakat dan negara serta keadaan kelam kabut mukabumi ini. Pada mereka, sekiranya berlaku kemusnahan, yang musnah adalah masyarakat dan negara serta bumi yang mereka berada padanya dan bukan diri-diri mereka sendiri. 


Sistem ekonomi berasaskan riba akhirnya 
mengakibatkan kesan jangka panjang 
yang memusnahkan ekonomi itu sendiri.

Kegemaran memperbanyak harta serta bilangan anak-anak mengakibatkan mereka akan diperlihatkan neraka Jahim dengan penglihatan yang meyakinkan (102:6/7). Di akhirat nanti mereka akan ditempatkan di tempat yang begitu istimewa. Derita mendiami neraka, diberi kepada mereka minuman mendidih, nanah serta air kumbahan dan juga makanan yang menyumbat tekak.

Sebahagian penderitaan ini telah disebutkan dalam surah Nun sebelum ini dan juga surah-surah selepas ini. Membayangkannya sahaja, sudah dapat dirasai deritanya.


Sunday, July 23, 2017

SURAH AL-MUZAMMIL AYAT 11 -- TINGGALKAN GOLONGAN PENDUSTA UNTUK BERSAMA TUHAN MENANGGUNG BEBAN


و ذرنى و المكذبين
اولى النعمة و مهلهم قليلا

Dan bebanilah olehmu akan Daku dan golongan yang mendustakan, pemilik kenikmatan itu dan beri tangguhlah olehmu akan mereka, sedikit.

dan biarkanlah Aku sahaja membalas orang-orang Yang mendustakan (bawaanmu) itu, orang-orang Yang berada Dalam kemewahan, dan berilah tempoh kepada mereka sedikit masa;

Hanya kerana pemilikan yang hakikat sebenarnya manusia tidak memiliki apajua daripada sebarang pemilikan di dunia ini, lalu mereka mendustai. Untuk apa didekati mereka ini untuk seruan dakwah kerana hasilnya sama sahaja. Seringkali golongan seperti ini memberi tentangan hebat terhadap seruan dakwah. Demikian itu keadaan yang ditanggung oleh RasululLah S.A.W. Ada kalanya dakwah perlu ditujukan hanya kepada golongan yang miskin lantaran mereka lebih mudah menerima hakikat diri mereka tidak memiliki diri mereka sendiri berbanding golongan kaya. 


Apasaja yang kita 'punyai', 
semuanya Allah yang punya.

Apakah yang dilakukan oleh golongan kaya dan ‘harta’nya itu? Mereka menghabiskannya untuk kerosakan. Mereka merosakkan alam dengan membakar lebih banyak hidrokarbon ke atmosfera. Mereka jualah golongan yang membuang banyak sampah, hasil daripada aktiviti perniagaan atau perkilangan sehingga menyingkirkan banyak gas metana yang memerangkap banyak haba. Mereka sanggup membayar melalui aktiviti rasuah untuk menghalalkan tindakan memusnahkan hutan-hutan dan kawasan-kawasan tadahan yang memerlukan pemuliharaan. Lantaran jurang ekonomi, mereka berusaha mendapatkan khidmat manusia dengan cara menindas. Mereka jualah penyumbang kepada masalah sosial yang sanggup berbelanja untuk aktiviti maksiat. 

Siapakah yang lebih banyak menghidupkan pusat-pusat hiburan kalau bukan mereka? Bahkan golongan seperti inilah orang-orang yang beriman diperintahkan untuk tidak mentaati mereka dalam apajua urusan (76:24) dan mereka juga bukan sasaran dakwah yang diutamakan.

i.    Bebani Aku dan Golongan Pendusta Itu

Golongan pendusta adalah golongan sesat (68:08). Oleh itu kerja menyeru mereka untuk beriman, bukan kerja mudah. Kerja menyampaikan risalah Tuhan seringkali diikuti dengan rasa sedih, marah dan sakit hati akibat tindakan golongan yang mendustai risalah kerasulan. Tuhan telah mengarahkan golongan yang beriman supaya tidak terbawa-bawa dengan rasa sedemikian dan menyerahkan bebanan itu terus kepada Tuhan dan juga kepada pihak yang mendustakan risalah ini. 

ii.   Siapakah golongan yang mendustakan?

Kita telah membincangkan hal yang sedemikian dalam surah Nun (Al-Qalam) sebelum ini. Golongan yang mendustakan adalah mereka yang sesat. Sesungguhnya, mereka jualah golongan sombong tak kesampaian. Tak seberapapun pemilikan mereka berbanding pemilikan institusi kewangan yang menganiaya mereka dan apajua yang dijanjikan Tuhan di akhirat nanti. Sejarah telah membuktikan, apabila berlaku ketepuan perdagangan antarabangsa akibat pengamalan sistem riba, penjudi-penjudi pasaran hadapan menjadi penentu kepada pasaran komoditi dunia. Melalui mereka, permintaan terhadap keperluan komoditi semakin meningkat dan akhirnya harga komoditi tidak terkawal. Dengan kos pengeluaran yang meningkat untuk mendapatkan bahan-bahan mentah seperti bahan bakar petroleum, getah dan bijih galian, akhirnya suatu tekanan inflasi besar akan terjadi sehingga mengakibatkan negara-negara yang memiliki kekuatan ketenteraan, hilang sabar. 

Peningkatan terus harga bahan-bahan mentah telah menjadi petanda awal sebelum berlakunya Perang Dunia I dan II. Keadaan yang serupa kini berlaku semula beberapa tahun dahulu, dicetuskan oleh kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, sehingga Amerika Syarikat terpaksa menyerang negara kecil yang memiliki sumber bahan mentah seperti Iraq dan memecah-belahkan Sudan bagi menguasai sumber bahan bakar negara itu. 

iii.   Beban Yang Bertambah-tambah

Namun tekanan inflasi yang berterusan terus menjangkiti negara-negara Arab lain sehingga menyebabkan tersungkurnya rejim-rejim pemerintahan mereka, yang sebelum itu mengambil kesempatan besar meraih kemewahan akibat peningkatan harga komoditi. Penjudi-penjudi pasaran hadapan masih berterusan mengambil kesempatan di atas keadaan ekonomi dunia yang terus meruap. Harga getah yang dahulunya hanya RM1.50 sekilogram pernah mencapai RM15.00 sekilogram. Begitu juga harga minyak mentah petroleum pada USD 28 setong pernah mencecah USD 140 setong. Kenaikan ini akan mengakibatkan negara-negara yang memiliki kekuatan persenjataan akan merancang untuk memulai peperangan yang dipaksakan ke negara-negara lain demi menguasai sumber bekalan. 

Dalam pada itu, keadaan pemilik kemewahan di mana-mana juapun tidak dapat memanipulasi harta dengan berkesan disebabkan oleh peningkatan kos mengurus pekerjaan mereka. Rakyat yang rata-ratanya hidup dalam kesempitan memulai pemberontakan melawan pemerintah kerana mereka menyangka pemerintah telah menganiayai mereka. Di mana jua sekarang ini, melalui gerakan pembangkang atau pemberontakan, satu demi satu peneraju kerajaan sedia ada telah tumbang. Tunisia, Mesir, Libya, kini dikuti dengan Yaman, Bahrain dan juga Syria. Pemerintahan kuku besi telah ditumbangkan di Indonesia dan Filipina. Kita hanya mengharapkan keamanan di negara ini.

Inflasi sering kali dikaitkan dengan rusuhan rakyat.

Pemberontakan rakyat adalah kesan domino rancangan 
peringkat tinggi untuk menguasai pemerintahan di bumi.
KESABARAN kita dalam apajua hal, amat-amat 
diperlukan sekarang ini.

Monday, July 17, 2017

SURAH AL-MUZAMMIL AYAT 10 -- LAKUKAN KERJA YANG DIPERINTAHKAN DAN BERSABAR


و اصبر على ما يقولون
و اهجرهم هجرا جميلا

Dan bersabarlah olehmu atas apa yang mereka perkatakan dan tinggalilah  olehmu akan mereka dengan suatu peninggalan yang cantik.

dan Bersabarlah terhadap apa Yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka Dengan cara Yang baik.

i.    Bersabar Terhadap Kepimpinan
      Yang Buruk

Pertimbangan manusia secara umumnya menganggapkan bahawa pemilikan bermakna kebenaran. Kekayaan adalah ukuran. Sehingga apabila kepimpinan negara sebelum ini sanggup berhutang besar dari sumber-sumber luar dan dalam dan mengakibatkan projek-projek pembangunan kemewahan dapat dilaksanakan, rakyat secara umumnya mengambil pendirian menyokongnya. 

Namun, apabila kepimpinan tersebut, tidak lagi sanggup menanggung tekanan inflasi berterusan terhadap ekonomi negara (akibat hutang dan kemurungan ekonomi), ia akhirnya mengambil jalan meletak jawatan atau disingkirkan. Maka, penggantinya terpaksa menanggung beban kesan inflasi yang besar berkenaan terhadap rakyat. 

Lalu rakyat hidup susah. Pengangguran dan kejadian jenayah meningkat dengan mendadak. Masalah sosial semakin menjadi-jadi akibat kesilapan kepimpinan terdahulu yang kurang bertanggungjawab. Semua itu terjadi kerana ia hanya meletakkan agenda kemewahan dalam hidup dan bukannya tanggungjawab sebagai khalifah Tuhan. 


Kadar jenayah yang meningkat sebenarnya
berkaitan dengan masalah ekonomi.

Lalu akhirnya dipersalahkan kepimpinan baru yang berhempas pulas mengurangkan kesan inflasi akibat kerja-kerja kepimpinan terdahulu. Dahulu, mereka yang menyokongnya sanggup memperleceh pendakwah, yang terdiri daripada golongan beriman, yang memilih hidup berjimat cermat dan mengambil berat terhadap ahli keluarganya serta ahli-ahlinya dan menghindari sistem larangan Tuhan seperti riba secara berhati-hati. Kini, mereka pula yang menderita dengan ekonomi yang lembab, pulangan yang tidak memadai dan penderitaan menanggung interes atau riba yang berganda-ganda. 

Mereka ini harus dihindari daripada gerakan dakwah lantaran mereka, yang akan merayau-rayau sehingga mengakibatkan kesukaran gerakan dakwah. Siapakah yang bertanggungjawab sehingga berlaku defisit besar dalam imbangan ekonomi negara kalau bukan mereka? Maka wajarlah mereka yang menanggung akibat daripada kesan jangka panjang inflasi. Tinggalkan mereka dengan secantik-cantik peninggalan. Akibat buruk untuk mereka yang menentang ayat-ayat Tuhan dan terumbang-ambing dalam kehidupan.

 ii.    Permasalahan Yang Muncul Kini

Kemurungan ekonomi dan defisit yang besar, sedia menambahkan perbelanjaan rakyat dalam bentuk cukai, saman atas kesalahan sama ada yang disengajakan atau yang tidak disengajakan. Peningkatan harga keperluan asas seperti makanan dan kenaikan harga bahan bakar pastinya meningkatkan beban rakyat. Rakyat hidup tertekan sehingga kejadian pembunuhan atau bunuh diri berlaku hampir setiap hari. Kes-kes jenayah meningkat dengan ketara, permasalahan sosial semakin menggila dan hubungan sesama manusia lebih buruk daripada sesama haiwan. Peningkatan nilai hartanah sebenarnya tidak menjanjikan apa-apa kepada institusi kewangan, hanya sekadar menunjukkan situasi inflasi yang membelon besar. Untuk melambatkan berlakunya kejadian letusan ekonomi, pemilik-pemilik kemewahan seperti institusi-institusi kewangan, terpaksa mendesak pemerintah dan pelindung nilai untuk menggadai maruah negara dengan membuka pasaran hartanah kepada pihak asing. Mereka ini sentiasa menanti-nanti peluang mengambil alih kepentingan kemewahan negara seberapa banyak yang boleh.

Apabila ekonomi merudum, bantuan seperti
BR1M tidak lagi banyak membantu.

Tindakan sedemikian yang meningkatkan nilai pasaran hartanah, tidak boleh dinyatakan sebagai akibat daripada ransangan pemulihan ekonomi. Institusi kewangan hanya mahukan wang mereka kembali yang telah dilaburkan untuk tujuan pembangunan hartanah. Mereka tidak perduli terhadap peratus pemilikan asing yang semakin meningkat. Mereka tidak perduli terhadap aktiviti sedemikian, yang sebenarnya tidak membantu peredaran wang dalam pasaran. Kenaikan harga tidak didorong oleh pertumbuhan ekonomi tetapi sebenarnya oleh pertumbuhan hutang dalam negara. Lebih banyak bangunan-bangunan baru didirikan dan lebih banyak bangunan lama akan terbiar. Semakin banyak pasaraya-pasaraya milik asing didirikan, akibatnya semakin banyak asset negara menjadi hak milik asing dan nilai wang yang dibawa keluar dari negara ini, akhirnya meninggalkan wang negara yang semakin kecil nilainya.

Antara perkara yang diperintah Tuhan dalam ayat berikut adalah untuk membiarkan sahaja perlakuan mereka dan pendakwah tidak harus mendahului Tuhan dengan beria-ia menjadikan mereka sebagai sasaran dakwah atau cuba melaksanakan kempen memberitahu rakyat terhadap salah guna kuasa oleh kepimpinan. Sasaran dakwah adalah kepada golongan dha’if yang menempuh kesukaran hidup. Kerana kesukaran jualah, mereka telah digelapkan daripada usaha mengingati Tuhan selama ini. Sebahagian mereka terpaksa memilih corak hidup melalui percaturan ekonomi yang telah dikepung ke atas mereka. Mereka terpaksa berhutang semata-mata untuk memenuhi keperluan hidup seperti untuk makan, mendapatkan rumah kediaman dan kenderaan keperluan untuk bekerja.






Tuesday, July 11, 2017

SURAH AL-MUZAMMIL AYAT 9 -- TUHAN YANG MENGUASAI TIMUR DAN BARAT


رب المشرق و المغرب
لا اله الا هو فاتخذه وكيلا

Tuhan, Tuan, Pemelihara timur dan barat, tiada sembahan melainkan Dia, maka ambillah oleh kamu akanNya sebagai wakil.

Dia lah Tuhan Yang Menguasai timur dan barat; tiada Tuhan melainkan dia; maka Jadikanlah Dia penjaga Yang menyempurnakan urusanmu.

i.     Penyerahan Hanya Kepada 
       Tuhan Semata-mata

Mengapakah terjadinya demikian? Tentera Taliban Afghanistan tidak menerima sebarang biaya daripada mana-mana pentadbiran negara, tidak seperti Mujahideen dahulu yang menerima bantuan daripada kerajaan Arab Saudi dan Pakistan, bahkan menerima sumbangan senjata daripada Amerika Syarikat. Dengan menerima pakai gelaran Mujahideen Sokongan Amerika sedemikian, ada logiknya Soviet Russia akhirnya dapat ditewaskan. Sehingga kini, tiada mana-mana negara berani membantu Taliban Afghanistan secara terang-terangan. Yang ada hanyalah bantuan kecil-kecilan daripada individu atau kumpulan Islam negara-negara lain, lantaran khuatir dituduh sebagai penyokong pengganas. Akibatnya, keadaan tentera Taliban Afghanistan amat mendesak sekali. Mereka tidak lagi dapat mengawal Afghanistan sebagai pengeksport candu terbesar dunia yang dinamai ‘black opium’. Kehadiran tentera Amerika Syarikat sendiri tidak dapat menghalang penanaman dan penyeludupan candu terbesar dunia itu hingga ke tepi-tepi jalan di bandaraya New York. 


Perkara yang pihak Barat kehendaki untuk
berlaku di Afghanistan.

Pejuang Islam sehingga kini masih memberi tentangan kepada tentera Amerika Syarikat dengan kematian purata tentera asing itu seorang sehari. Itu sudah cukup untuk meningkatkan belanja ketenteraan musuh mereka. Hanya dengan ibadah malam serta keyakinan kepada Tuhan, menyebabkan tentera Taliban Afghanistan sehingga kini masih dapat bertahan. Tentera Taliban Afghanistan harus dikenali sebagai Taliban Yang Mengganasi Amerika Syarikat. Mereka tidak berpecah-belah sepertimana Mujahideen dahulu. Kesilapan mereka kalau ada barangkali, terlalu mengutamakan perbelanjaan ketenteraan sehingga mengabaikan perut simiskin. Demikian itu adalah dimaklumi disebabkan sumber mereka adalah sangat terhad. Dengan hanya mengambil Tuhan sebagai wakil atau penolong, sesungguhnya Tuhan jualah yang memiliki Timur dan Barat. Dia jualah yang memiliki kekuasaan ke atas pihak Barat bahkan pihak Timur, sehingga suatu masa Dia berkuasa menemukan mereka dalam peperangan yang amat hebat amat panjang tempohnya. Dia sedang mengusahakan ke arah itu, tidak disedari oleh pihak Timur tetapi disedari oleh pihak Barat.

ii.    Musuh Yang Sedang Memerangi 
       Masa Depan

Sesungguhnya Barat mengetahui Timur akan menyerang Barat. Hanya tidak mengetahui mengapa pada situasi kini, Timur perlu menyerang Barat? Hanya Timur belum menyedari mengapa mereka terpaksa menyerang Barat? Ini menyebabkan Barat terpaksa terlebih dahulu menyerang Timur untuk kali kedua selepas zaman pra-kemerdekaan, sehingga mereka amat berlaku zalim dan akhirnya umat Islam berada di bawah satu khalifah pemerintahan yang akan mengarah mereka untuk menyerang Barat di atas kezaliman Barat. Jalan ke arah itu semakin dapat disaksikan kini. Dengan beralihnya pemerintahan negara-negara Timur Tengah, kemakmuran rakyat akan meningkat sedikit demi sedikit. Sehingga suatu masa nanti bantuan sama ada dalam bentuk persenjataan atau harta, akan sampai ke tangan umat Islam yang selama ini ditindas. Sedikit demi sedikit, mereka akan dapat menambah kerugian pihak Barat, yang selama ini telah menderita dengan belanja peperangan yang banyak. 


Tipudaya dan perancangan yang dilakukan
untuk menindas umat Islam, amatlah dahsyat.

iii.    Bantuan Tuhan Yang Tidak Terduga

Bantuan daripada Tuhan selalunya meliputi perkara-perkara yang tidak diduga. Kesilapan percaturan pihak Barat sehingga melemahkan kedudukan ekonomi mereka memaksa mereka membuka peluang pasaran di negara-negara membangun dalam bentuk pelaburan baru untuk meraih hasil. Mereka tiada pilihan melainkan membuka pintu ekonomi kepada negara-negara umat Islam sehingga sebahagian umat ini dapat membantu pejuang-pejuang jihad dengan senjata yang canggih serta jitu. Dalam keadaan menempuh kesukaran, pejuang-pejuang jihad sentiasa dapat memeranjatkan pihak musuh sehingga keberadaan musuh mereka di negara umat Islam itu, telah dipertikaikan oleh sebilangan besar rakyat mereka sendiri.

Siapa sangka Russia, musuh umat Islam suatu masa
dahulu, kini menyebelahi Taliban Afghanistan. 

iv.    Akhirnya Mereka Terpaksa 
        Memilih Jalan Berlembut

Menyedari hakikat bahawa mereka tidak akan dapat memenangi pertempuran itu, mereka memilih untuk menjalankan kempen pemurtadan ke atas umat Islam di negara umat Islam, melalui kaedah umpanan harta, perangkap cinta serta tekanan inflasi yang menyesakkan hidup rakyat. Mereka memerlukan perbelanjaan yang besar untuk memastikan usaha sedemikian ini berjaya kerana sebenarnya mereka sudah tidak lagi sanggup untuk mengeluarkan lebih banyak perbelanjaan untuk tujuan peperangan yang sangat lama. Oleh yang demikian, apakah peranan kita kini? Haruskah kita membiarkan sahaja tindakan musuh-musuh kita ini? Hanya satu cara sahaja untuk menghadapi keadaan ini iaitu dengan cara kembali semula kepada pengajaran Al-Quran, kembali mempelajari satu demi satu ayat-ayat Al-Quran, kembali beriman kepada Tuhan dengan mengenepikan segala bentuk kesyirikan, kembali mengambil berat sesama umat sebagaimana yang pernah dilakukan dahulu oleh para sahabat RasululLah R.A.H.M. dan tabi'in serta tabi'-tabi'in selepas itu. Inilah kehidupan sunnah RasululLah S.A.W. dan sunnah para sahabat.




Tuesday, July 4, 2017

SURAH AL-MUZAMMIL AYAT 8 -- PERBANYAKKAN ZIKIR MENGINGATI NAMA TUHAN


و اذكر اسم ربك و تبتل اليه تبتيلا

Dan ingat-ingatlah olehmu akan nama Tuhanmu dan kamu bersikap tekun kepadaNya setekun-tekunnya. 

dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadanya Dengan sebulat-bulat tumpuan.

Demikian itu adalah matlamat golongan yang beriman, Allah dan sentiasa menuju Allah. Jalan mendekatkan diri kepada Tuhan adalah dengan cara yang Dia sendiri syorkan iaitu mendalami pengajaran dan berusaha untuk mematuhi setiap perintahNya. Kita bahkan biasa mendapati di negara-negara umat Islam di mana pengajian Islam telah dimulai daripada kanak-kanak lagi sehingga mencapai baligh. Kemudian setiap individu itu diarahkan untuk melaksanakan perkara-perkara yang diwajibkan sehingga dapat meningkat ke tahap pengajian yang lebih tinggi. Pengajian tinggi seperti pengajian pondok Az-Zaitun di Indonesia adalah merupakan contoh pengajian agama yang dikemaskini sehingga terbentuknya madrasah Islam yang terkenal di Nusantara. Agama tidak begitu mengajari umatnya untuk membina perkara-perkara keduniaan namun apabila dilihat keadaan pusat pengajian sedemikian, dapat kita simpulkan bahawa sistem pendidikan yang mereka bentuk, walaupun bermula dengan dana kutipan yang mereka sendiri lakukan akhirnya dapat membentuk sebuah pengajian ulung menandingi universiti-universiti yang dibina dengan dana kerajaan sepenuhnya. Dunia mereka sudah menampakkan sedikit kejayaan. Perkara keduniaan telah memburu mereka bukan sebaliknya.


Dari sebuah pondok kini menjadi
sebuah maahad yang besar.

i.     Bangun Malam Untuk Menelaah Al-Quran 
       dan Dan Menyebut Nama Tuhan

Pengajar-pengajar mereka mendidik pelajar-pelajar mereka untuk melakukan amalan menghidupkan malam sehinggalah mereka dapat menghasilkan jiwa-jiwa yang cekal dan berusaha memperbaiki keadaan kehidupan mereka. Mereka sebenarnya contoh kepada pendidik-pendidik masyarakat. Pengajian-pengajian Islam yang ditubuhkan di Pakistan, menyediakan ruang pendidikan kepada anak-anak yatim dan miskin pelarian Afghanistan akibat pencerobohan Uni-Soviet. Di atas penderitaan mereka, mereka masih dapat menubuhkan sebuah madrasah yang memberi didikan kepada anak-anak mereka sehinggalah kepada kepentingan jihad. Setelah kebangkrapan komunis Russia yang berjuang selama 10 tahun yang akhirnya terpaksa berundur dari Afghanistan, Amerika Syarikat telah melihat bahawa mereka ini adalah ancaman kepada dunia Barat dan berusaha merencana tipudaya sehingga membawa kepada penyerangan Afghanistan sekali lagi. 

Tenaga-tenaga muda Taliban Afghanistan kini menghadapi tentera Amerika Syarikat. Kecekalan mereka sanggup bertahan dalam menghadapi tentera Bersekutu Barat adalah hasil daripada ibadah malam yang mereka laksanakan. Peperangan taktikal telah berlalu dalam tempoh yang lama dan sehingga kini Amerika Syarikat telah mengeluarkan terlalu banyak biaya untuk peperangan. Sehingga ke suatu masa, perbelanjaan ketenteraan Amerika Syarikat melebihi USD 1,000,000, 000,000 dan wang mereka menjadi semakin mengecil berbanding wang negara-negara lain. Jumlah itu sekiranya ditukarkan kepada setiap seratus ringgit, disusun sehingga mencapai ketebalan ½ kaki dan secara melintang, dapat disusun sejauh lebuhraya dari Johor Baharu hingga ke Padang Besar. 

Tentunya Amerika Syarikat akan sampai suatu tahap yang mana mereka tidak sanggup untuk bertahan dan tidak sanggup untuk berundur lantaran malu dikatakan tewas. Namun sekiranya Amerika Syarikat tewas sepertimana Soviet Russia, dunia seterusnya berada di ambang bahaya akibat perluasan wilayah Islam yang akan menguasai dunia seluruhnya, lantaran terbukti mereka jualah tentera yang paling gagah di dunia ini dapat menewaskan semua kuasa besar dunia.


Tentera Taliban Afghanistan yang gagal
ditewaskan tentunya menjanjikan bahaya 
yang bersangatan kepada seluruh dunia.

ii.     Pertolongan Diperolehi Dengan Banyak 
        Mengharap Kepada Tuhan

Ketekunan pejuang-pejuang pada jalan Tuhan mengingati Tuhan sepanjang masa semampu mereka dan kekuatan yang mereka perolehi kesan daripada qiamul layl, berjaya melemahkan kekuatan perbelanjaan ketenteraan musuh serta latihan-latihan fizikal yang musuh mereka telah lalui. Trauma serta ketakutan musuh mereka, adalah dengan terserlahnya bilangan kejadian bunuh diri dalam kalangan musuh serta penggunaan dadah yang berat untuk menghilangkan kegelisahan dan rasa takut yang berpanjangan. Serangan-serangan singkat dan mengejut membuatkan musuh mereka sering membilang detik-detik kematian. Mereka sebenarnya lebih takutkan ledakan pertama berbanding pertempuran terbuka. Lebih banyak ledakan pertama sudah memadai untuk mereka menjadi gila. Akhirnya mereka kembali ke negara mereka dalam keadaan banyak menghabiskan belanja rawatan trauma yang mereka alami. Mereka sebenarnya tidak pernah menang sejak di Vietnam, Afghanistan, Iraq dan kini di Palestin. Perbelanjaan melebihi USD1 trillion dollar dalam tempoh 10 tahun peperangan (sehingga 2011) adalah merupakan perbelanjaan yang cukup besar berbanding semua peperangan sebelum ini. Sekalipun jumlah korban tentera tidak begitu ramai, perbelanjaan strategik seperti kemusnahan peralatan peperangan serta perbelanjaan sara hidup sekitar 140000 bilangan tentera setiap hari, telah menyebabkan wang dollar Amerika Syarikat semakin mengecil dan membawa keperitan kepada kehidupan rakyat. 


Mereka terlalu banyak berbelanja untuk 
tujuan peperangan

Rakyat mereka kemudiannya berarak di bandaraya New York membantah percaturan Wall Street dalam peperangan.

Rakyat Amerika yang semakin kesusahan.


Tuesday, June 27, 2017

SURAH AL-MUZAMMIL AYAT 7 -- SIANG YANG PANJANG


ان لك فى النهار سبحا طويلا

Sesungguhnya bagimu pada siang hari itu kelapangan yang panjang.

(Kami galakkan Engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana Sesungguhnya Engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan Yang panjang kira bicaranya;

i.    Lakukan Perkara Lain Waktu Siang

Sesungguhnya Tuhan ciptakan siang untuk melakukan perkara-perkara lain. Manusia dapat memenuhinya dengan melaksana-kan pekerjaan mencari suatu penghidupan (78:11). Sekiranya pembangunan malam menjadi suatu yang meletihkan pada permulaannya, seseorang dapat menggantikan kerehatannya pada waktu siang. Demikian itu pada zaman itu yang kehidupan manusia tidak dihimpitkan dengan keperluan mencari kehidupan. Pada zaman ini, bukan sahaja makanan dan minuman perlu diambil dengan bayaran tertentu bahkan masuk ke tandas juga memerlukan bayaran tertentu yang perlu dibayar kepada IWK dan Jabatan Bekalan Air. Tidak dapat dinafikan, siang hari telah disibukkan dengan usaha mencari penghidupan bahkan sehingga malam hari. Tuhan Maha Mengetahui keadaan waktu ini (73:20) dan juga keadaan umat ini, namun bacalah apa yang mudah daripada Al-Quran apabila menjelang malam. Terjemahan lain bagi سبحا طويلا adalah pekerjaan yang banyak. 

Demikian pada waktu ini apabila sistem yang mengambil alih pentadbiran dunia sekarang ini amat-amat mendesak manusia untuk bekerja dari siang hingga malam. Oleh kerana terdapat dua entuk terjemahan berbeza, keadaan itu tidak seharusnya dijadikan titik mula perbezaan antara kita. Berusaha mendapatkan pekerjaan yang dapat memberi kerehatan pada siang hari adalah amat digalakkan, agar kesempatan kerehatan itu dapat digunakan untuk persediaan bangun pada waktu malam. Terlalu banyak agenda untuk difikirkan berbanding usaha seseorang menghabiskan masanya semata-mata untuk bekerja.

ii.    سبحا طويلا   Dua Bentuk Terjemahan
       Yang Berbeza

Terdapat dua bentuk terjemahan terhadap سبحا طويلا pertamanya dikatakan sebagai kelapangan yang panjang dan keduanya adalah pekerjaan yang banyak. Kedua-dua bentuk terjemahan ini kelihatan berlawanan. Sebenarnya ulama-ulama silam pernah mengeluarkan fatwa bahawa kerja-kerja penafsiran Al-Quran adalah sesuatu yang diharuskan dan yang di‘haram’kan adalah kerja-kerja penterjemahan. Kemudian lahirlah kitab-kitab tafsir seperti Tafsir Ibnu Kathir, Tafsir Ibnu Abbas, Tafsir Jalalain, Tafsir Al-Bayan, Tafsir Al-Maraghi dan sebagainya yang semuanya menjurus kepada tafsiran-tafsiran tertentu sebahagian sahaja perkataan-perkataan tertentu dalam Al-Quran. Bermula penterjemahan Al-Quran dilakukan oleh penterjemah Kristian berbangsa Inggeris. Penterjemahannya sangat tidak menarik dan sukar dihubungkan dengan perkataan-perkataan asal ayat-ayat Al-Quran. Dalam menghadapi dilemma baru supaya ayat-ayat Al-Quran dapat diterjemahkan dengan lebih jitu, fatwa baru telah dikeluarkan oleh ulama-ulama terkemudian supaya kerja-kerja penterjemahan Al-Quran diharuskan manakala kerja-kerja penafsiran Al-Quran pula yang di‘haram’kan!

Al-Qur'an bukanlah kitab semata-mata
untuk bangsa Arab. Ramai bangsa Arab,
sekalipun mahir berbahasa Arab, tidak 
memahami Al-Qur'an. Jadi adakah tafsiran 
atau terjemahan daripada mereka adalah
sesuatu yang wajib diterima bulat-bulat?

iii.    Kepelbagaian Tafsir Dan Terjemahan

Kemudian muncullah kitab-kitab terjemahan dalam pelbagai bahasa seperti Tafsir Rahmat oleh H. Oemar Bakry yang sebenarnya merupakan kitab terjemahan, Mushaf Tajwid, Tafsir Al-Quran oleh Departemen Agama Republik Indonesia juga merupakan kitab terjemahan, Terjemahan Al-Quran oleh Drs. Mahmud Yunus dan Syamil Al-Quran juga oleh Departemen Agama Republik Indonesia. Perubahan sedemikian mengakibatkan tidak ada lagi kitab-kitab tafsir baru diterima pakai secara meluas melainkan melalui tulisan pejuang-pejuang Islam seperti Fi Zilalil Quran oleh Sayyid Qutb dan Tafsir Al-Banna oleh Hassan Al-Banna, pelopor gerakan Al-Ikhwan, Mesir. Ulama-ulama seperti ini lebih memahami keberadaan mereka dalam menerima ayat-ayat Tuhan secara terus sebagaimana yang mereka dapati tertulis dalam lembaran-lembaran antara dua kulit, sedangkan ramai daripada pengikut-pengikut mereka telah mengambil ulama-ulama sedemikian sebagai rujukan terus tentang suatu penerangan dalam agama. Ulama-ulama sedemikian boleh jadi benar atau tersilap dalam memberi tafsiran dan untuk mereka adalah amalan mereka lantaran mereka memilih untuk berijtihad secara bersungguh-sungguh. 

Penerimaan sama ada terhadap bentuk penafsiran atau terjemahan sebenarnya memerlukan hujah, suatu corak kefahaman berdasarkan disiplin tertentu. Walau apajua tafsiran atau terjemahan, menerima bulat-bulat hanya bersandarkan daya fikir mana-mana ulama, tidak seharusnya dilakukan kerana seseorang dikhuatiri mendahului perkataan ulama berbanding perkataan Tuhan. Penulis mengambil pendirian untuk tidak menafikan apajua penterjemahan atau penafsiran oleh penafsir-penafsir tertentu. Keadaan umat ini telah sedia terpecah. Mereka menjadi lemah atas sebab bencana saling memusuhi antara mereka. Apakah lagi bahan-bahan baru yang dapat digunakan untuk menjadikan mereka terus berselisih? Tentunya banyak sekali sekiranya kita memikirkan untuk menjadi pengadu dombanya.


Al-Qur'an dijadikan punca perbalahan dan
ulama-ulama mereka sangat menyukainya.
Beginilah yang terjadi apabila kefahaman
tentang Al-Qur'an dikatakan hak mutlak
ulama-ulama tertentu, seolah-olah kefahaman
ulama-ulama mereka sahaja yang benar.

Hanya Tuhan yang mengetahui tafsiran dan juga terjemahan yang sebenarnya. Hasil penulisan ini hanyalah merupakan komentar terhadap beberapa penterjemahan dan penafsiran yang diperolehi dan penulis suka untuk menengahkan suatu pendapat berdasarkan rujukan yang difikirkan sebagai ilmiah yang pernah penulis pelajari sendiri.




Wednesday, June 21, 2017

SURAH AL-MUZAMMIL AYAT 6 -- TUMPUAN MALAM ADALAH LEBIH KUAT



ان ناشئة اليل هى اشد وطأ و اقوم قيلا

Sungguh ‘pembangunan’ malam adalah ia lebih dahsyat persediaan dan lebih lurus perkataan.

sebenarnya sembahyang dan Ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul
bacaannya. 

Atas permasalahan sedemikian, mereka perlu untuk menghidupkan malam sehingga malam dapat diisi dengan pengkajian serta pengamatan terhadap Al-Quran. Melakukan pembacaan secara bacaan tartil sebagaimana yang dituntut. Ibadah malam harus dilakukan bersama-sama sehingga rutin sedemikian dapat dijadikan budaya dalam masyarakat. Keadaan waktu malam yang sunyi membolehkan ketenangan jiwa membawa kepada peringkat gelombang theta pada minda manusia. Keadaan ini adalah keadaan imaginatif dan kreativiti. Sekiranya pembacaan Al-Quran selari dengan keadaan minda pada waktu ini, suatu kefahaman yang lebih jitu dapat diperolehi. Zaman keagungan kerajaan Islam suatu masa dahulu, cendiakawan Islam menghabiskan masa malam untuk menelaah Al-Quran dan berfikir kaitannya dengan alam ciptaan Tuhan.

Bunyi-bunyian dari persekitaran yang tenang,
sebenarnya dapat membantu seseorang
mencapai tahap gelombang theta.

i.    Berfikir Rahsia Penciptaan Alam

Terlalu banyak persoalan timbul sehingga mereka sentiasa berfikir akan rahsia penciptaan alam. Sehingga kini masih terlalu banyak rahsia alam yang belum dapat dikupas. Pembacaan malam adalah lebih lurus perkataannya. Memahami diikuti menterjemah dan mendapatkan penafsiran menurut jalan ilmuwan terdahulu, memerlukan kesegaran bahasa dan ilmu dan keadaan yang paling sesuai diperolehi adalah pada waktu malam. Al-Quran bukanlah dendangan yang perlu dibaca mendayu-dayu dengan harkat panjang lebarnya serta naik turunnya, tetapi merupakan sebuah kitab petunjuk untuk semua manusia. Penyampaian Al-Quran adalah berdasarkan satu ayat tetapi memberi seribu satu pengertian. Oleh itu perkataan Al-Quran adalah merupakan perkataan yang sampai, sama ada seorang itu pakar dalam satu-satu bidang ataupun kepada masyarakat umum. Daripada Al-Quran, umat Islam mencipta tamadun, mereka tidak lemah mempelajari dan tidak takut menyampaikan menurut jalan kefahaman mereka masing-masing. Namun apabila umat telah mengambil petunjuk yang lain selain daripada petunjuk Al-Quran, dengan mencampur baurkan sumber-sumber daripada agama-agama yang lain, mereka mengalami pelemahan sebagaimana yang telah ditakdirkan Tuhan. Lalu ulama-ulama mereka meletakkan syarat supaya tiada siapa dibenar berkata-kata tentang agama melainkan apa yang telah didapati daripada ulama-ulama silam dan pintu ijtihad ditutup rapat. Akhirnya sekarang ini, hukum agama dipelajari daripada mereka yang jahil berakademikan agama.

ii.   Al-Quran Yang Kini Diagih-agihkan

Lalu jadilah Al-Quran sebuah kitab yang sedia terbahagi (15:91), hanya kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan pembacaan bertajwid semata tanpa memahami isi kandungannya, tentang hukuman atas kesalahan semata, tentang perbincangan air satu kolah dan dua kolah untuk murid-murid tua serta kisah-kisah silam yang dijadikan ceritera untuk rujukan kanak-kanak serta yang berkaitan dengannya. Pembacaan Al-Quran hanya sekadar untuk dipertandingkan dalam majlis tilawah yang dihiasi dengan hiasan-hiasan. Pembukuan Al-Quran hanya untuk kelihatan menarik dengan kulit-kulit bersulamkan warna keemasan. Pengamalan Al-Quran ditumpukan kepada perkara-perkara mistik, seolah-olah Al-Quran diturunkan adalah semata-mata untuk tujuan perawatan kesan daripada pengamalan sihir dan sebagainya. Umat perlu bersatu kembali untuk mengamalkan Al-Quran sekalipun ditentang oleh golongan 'ulama' atau umara’.

iii.  Kembali Kepada Satu Iaitu Al-Quran

Tuhan tidak memberi yang lain daripada yang telah diberi kepada RasululLah S.A.W. iaitu Al-Quran. RasululLah S.A.W. memahaminya serta mengamalkannya sehingga dapat dicontohi melalui kitab-kitab rujukan As-Sunnah. Semua itu adalah daripada Al-Quran dalam bentuk tersurat atau tersirat. Membeza-bezakan antara Al-Quran dan As-Sunnah sama ertinya dengan kerja membeza-beza antara Allah dan Rasul. Demikian itu adalah kerja golongan ingkar kepada Tuhan dengan sebenar-benar ingkar. RasululLah S.A.W. tidak pernah mengambil alih kerja Tuhan dalam mengarahkan manusia untuk mensucikan As-Sunnah namun As-Sunnah haruslah difahami sebagai panduan yang dicontohi daripada RasululLah S.A.W. sebagai manifestasi pengamalan baginda terhadap Al-Quran. Kalau perlu tidak perlu disebut As-Sunnah, sebut saja panduan RasululLah S.A.W. dalam mentaati perintah Allah yang terkandung dalam Al-Quran atau sebut sahaja Atsar RasululLah. Tujuan penulis menekankan perkara sedemikian adalah supaya kita bersama-sama meninggalkan ideologi manusia dalam beragama dan lebih mengelojohi petunjuk Tuhan untuk dipatuhi. Tiada mukjizat setanding Al-Quran pernah ditemui. 

iv.  Faktor Yang Menggagalkan Persediaan 
      Bangun Malam

Di mana-mana jua apabila kita berjalan pada waktu malam pada zaman ini, kita akan mendapati malam banyak dihidupkan dengan aktiviti hiburan serta usaha mencari rezeki yang berkesinambungan sepanjang masa. Keadaan sedemikian terjadi disebabkan untuk memenuhi tuntutan hidup atau untuk mengisi kekosongan jiwa. Situasi ini sebenarnya adalah agenda kapitalis sehingga setiap individu gagal mendapatkan ruang masa bagi meneliti serta memikirkan tentang hakikat kehidupan. Usaha mendapatkan harta adalah bagi memenuhi keperluan membayar hutang yang diperolehi melalui kaedah riba. Sekiranya seseorang itu meneliti peruntukan masa yang dilalui sebenarnya suatu usaha memanfaatkan masa boleh dilakukan dan setiap individu sebenarnya tiada alasan untuk mengatakan bahawa ia tidak memiliki kecukupan masa bagi memerhati satu atau dua ayat Al-Quran setiap hari. Kebiasaan perlakuan ini sebenarnya harus dilakukan sebagai suatu bentuk penghayatan agar seseorang tidak akan terpisah daripada Al-Quran. Perintah ini sebenarnya dapat dipelajari daripada penghujung ayat daripada surah ini. Pada zaman ini hiburan berada di mana-mana. Hampir setiap rumah dilengkapi dengan peralatan komunikasi sehingga ahli-ahli rumah telah dilalaikan dengan rancangan-rancangan hiburan yang tidak pernah berpenghujung. Namun masih adakah individu yang dapat melarikan diri daripada keadaan sedemikian? Hanya mereka yang dapat membebaskan pemikiran mereka, tidak akan terikat dengan peraturan kapitalis sedemikian.

Bebaskan minda anda dan ikutlah suara hati anda,
kerana kehidupan sebenar anda akan bermula
selepas ini.


Thursday, June 15, 2017

SURAH AL-MUZAMMIL AYAT 5 -- QIYAMUL LAYL UNTUK MENERIMA PERKATAAN YANG BERAT


انا سنلقى عليك قولا ثقيلا

Sungguh Kami, nanti Kami campakkan ke atasmu akan suatu perkataan yang berat.

(Sayugialah Engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing Dengan Ibadat Yang berat kepada hawa nafsu, kerana) Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran Yang mengandungi perintah-perintah) Yang berat (kepada orang-orang Yang tidak bersedia menyempurnakannya).

i.    Berat Pada Sudut Kesan

Bukan berat pada timbangan tetapi berat pada kesannya. Kesannya adalah kepada mereka yang mengetahui serta mempraktiskannya. Apabila Tuhan mengatakan bahawa ayat-ayat Al-Quran mengandungi berat, sesuatu harus dilakukan untuk membuktikannya. Sebagai contoh, Jabatan Kaji Bumi harus mengambil ayat Al-Quran tentang batas-batas usaha manusia supaya pembangunan harus dilakukan pada tempat-tempat tertentu sahaja di atas mukabumi ini. Ahli sains atau pakar sains harus mengambil ayat-ayat Al-Quran yang membincangkan tentang fenomena pembelauan, pembiasan dan pantulan cahaya. Kejuruteraan komunikasi harus mengambil pelajaran daripada Al-Quran, bagaimana kesan pinggiran dapat ditakrifkan melalui penjelmaan Fourier dan siri Fourier sehingga sudut-sudut belauan tertentu dan frekuensi tertentu dapat ditakrif daripada suatu komponen cahaya berisyarat. 


Kesan pinggiran cahaya disebut dalam Al-Qur'an

Jabatan Kaji Cuaca dan Jabatan Pertanian harus belajar daripada Al-Quran bagaimana kesan kerja-kerja Ammon, pembesar Fir’aun akhirnya memusnahkan bendang-bendang pertanian yang terkesan daripada kesan cuaca yang memudharatkan.


Apabila udarakasa dicemari dengan lebihan
wap-wap baja, cuaca akan rosak.

Ahli mekanikal harus belajar daripada Al-Quran, bagaimana kesan aerofoil berlaku pada sayap burung dan kesan mekanik bendalir yang mengurangkan geseran udara kepada burung ketika terbang di udara. Bahkan mereka harus mengkaji kesan kebalikan daripada itu iaitu bagaimana perbezaan tekanan antara kawasan dapat dijadikan ukuran untuk tujuan peramalan pergerakan angin dan pada skala besar melibatkan cuaca. Jabatan Hutan harus mengambil pelajaran daripada kesan berkenaan sebagai kawalan terhadap sebarang pencemaran hutan melalui penebangan haram atau perlombongan haram. 


Kajian kesan tekanan dan pergerakan udara
yang dipelajari dari Al-Qur'an bukanlah
hanya tertentu untuk tujuan penerbangan 
bahkan lebih daripada itu.

Bahkan sekolah penerbangan harus mengkaji ayat-ayat Al-Quran yang menjurus kepada kesan resonan magnetik terhadap manusia dan pertentangan medan magnetik untuk tujuan membina pesawat yang dapat membentuk pelampung medan serta dapat terapung tanpa kipas. Ahli bioteknologi harus memanfaatkan ayat-ayat Al-Quran bagaimana kesan gegaran terhadap biji benih dapat membantu perkembangan sel. Bahkan mereka harus mengkaji bagaimana khasiat buah-buahan dapat diperolehi tanpa perlu menanam pokok buah-buahan berkenaan pada jumlah yang banyak. 

Betapa Al-Qur'an telah menyebut bahawa gegaran
diperlukan dalam perkembangan sel benih.

Ahli astronomi harus menumpukan kerja mencerap komet-komet tertentu yang akan menghentam bumi supaya amaran dapat diberi kepada manusia seterusnya mereka akan menggandakan amal perbaikan sebelum berlakunya hari Keputusan! Ahli kimia harus mempelajari daripada Al-Quran bahawa terdapat bahan tambah makanan yang sifat-sifatnya disebutkan dalam Al-Quran membawa mudharat terhadap kesihatan manusia. Ahli geologi harus mengambil manfaat daripada ayat-ayat Al-Quran bagaimana pembentukan lapisan-lapisan batuan yang dapat dibezakan melalui kepelbagaian warna, dapat dijadikan panduan dalam kerja-kerja penurapan tanah membentuk lapisan-lapisan tanah yang kukuh.

ii.     Peranan Ulama-ulama Yang Benar 
        Memperbetul Keadaan

Hanya yang takut akan Tuhan dalam kalangan hamba-hambaNya adalah ulama. Mereka tidak akan merencana suatu pembangunan untuk membangunkan kediaman-kediaman manusia sehingga mendatangkan bahaya untuk manusia itu sendiri serta hidupan-hidupan lain. Ahli fizik harus mengkaji fenomena bulan bertegak lurus dengan matahari sewaktu kejadian gerhana matahari di atas kepala sehingga terciptanya kenderaan yang dapat terapung di udara akibat pembentukan pelampung medan di bawahnya. Jurutera mekanikal harus mengkaji Al-Quran bagaimana lampau penyejukan dan percikan api di tengah-tengah mampatan enjin dapat meningkatkan prestasi keluk pembakaran terbaik dalam enjin. 


Percikan api palam pencucuh adalah yang
terbaik di tengah-tengah mampatan bahan bakar.

Pemaju-pemaju perumahan serta Pihak Berkuasa Tempatan harus mempelajari daripada Al-Quran tentang bahan-bahan kimia tertentu yang kini dibuang merata-rata oleh manusia supaya projek-projek perumahan tidak mendatangkan akibat buruk kepada isi rumah kemudian harinya. Jabatan Kerja Raya harus mengkaji Al-Quran supaya hasil bumi setempat dapat diagihkan secara merata dalam kalangan rakyat melalui jalan-jalan yang mudah sehingga kedudukan ekonomi rakyat akan terbela dan bukan mencontohi projek pembinaan lebuhraya kerajaan Sabak sehingga mengakibatkan kemusnahan alam sekitar.

Jabatan Farmasutikal harus mengkaji Al-Quran tentang proses-proses perlu yang harus dilakukan kepada bahan makanan sehingga memudahkan usus menyerap khasiat makanan dengan lebih berkesan sehingga mereka tidak perlu menghasilkan terlalu banyak drug yang kini menjadi menyebab utama kecelaruan hidup manusia. Pakar ekonomi harus mengkaji Al-Quran, bahawa kesan pengamalan ekonomi riba kapitalis telah mengakibatkan rakyat hidup menderita, permasalahan sosial yang serius berlaku, kadar kejadian jenayah meningkat dengan ketara dan pencemaran alam semakin menjadi-jadi. Kita tidak seharusnya mencontohi ilmuwan Barat yang berusaha menghasilkan tali yang kukuh untuk direntang ke angkasa lepas dari bumi ini supaya mereka boleh memanjatnya ke stesen-stesen angkasa apabila sampai masa berlaku kekalutan di mukabumi ini. Kita tidak harus juga mencontohi mereka dalam usaha melepaskan terlalu banyak bahan cemar sehingga mengakibatkan kerosakan atau kebocoran kepada lapisan langit. Semua bahaya ini ada disebut dalam Al-Quran.


 Pemulihan ozon pada peringkat sekarang ini
adalah bersifat sementara. Bumi harus terus 
berada dalam keadaan panas sekiranya kita
ingin selamat daripada sinar bahaya uv.

iii.      Perkara Yang Tidak Harus 
          Mereka Lakukan

Seterusnya apasaja penemuan-penemuan terbaru sebenarnya telah disentuh terlebih dahulu dalam Al-Quran supaya manusia memikirkannya terutama mengambil masa malam ketika waktu tenang dengan mengkaji dan meneliti ayat-ayat. Terdapat banyak pelajaran dalam Al-Quran yang diabaikan oleh umat ini. Al-Quran bukanlah sekadar kitab agama yang hanya harus dipelajari oleh ahli-ahli agama dan kemudian menuruti sunnah Fir’aun, mengeluarkan permit sehingga memilih orang-orang tertentu sahaja, yang boleh bercakap atau dibenarkan beriman (7:123). Mengapa Jabatan Agama sendiri tidak menyediakan garis panduan kepada penjawat dalam jabatan-jabatan lain, supaya panduan Al-Quran disyorkan untuk dipatuhi dengan menyediakan garis panduan berdasarkan ayat Al-Quran? Semuanya dilepas pandang atau tidak berminat untuk mempelajari ilmu Al-Quran yang ada hubung kaitnya dengan kehidupan dunia.

iv.      Kesempatan Agama Hanya Untuk 
         Tujuan Ekonomi

Bukankah manusia adalah khalifah yang diberi tugas mentadbir bumi ini berasaskan ilmuNya? Yang menjadi masalah ialah ahli-ahli agama hanya tahu hal-hal agama untuk akhirat! sehingga menguatkuasakan undang-undang yang mendatangkan hasil ekonomi seperti sijil halal, sijil nikah, sijil pencegah maksiat dengan mengeluarkan sapina  saman dan sebagainya. Meletakkan hukum ‘halal’ terhadap sesuatu secara sembrono dan meletakkan hukum ‘haram’ secara sembrono sehingga umat dihinggapi dengan pelbagai penyakit dan membangkitkan perseteruan yang serius dalam kalangan umat. Gejala permasalahan jiwa berlaku merata-rata akibat pemakanan yang memudharatkan tubuh. 

Atas kegagalan mereka menjagai umat ini, bayi-bayi baru yang dilahirkan banyak yang dicampak merata-rata. Bagaimanakah permasalahan sedemikian dapat diselesaikan sekiranya mereka sendiri tidak bersedia menerima kalam yang berat dari sisi Tuhan?




Friday, June 9, 2017

SURAH AL-MUZAMMIL AYAT 4 -- MENELAAH AL-QURAN SECARA DERETAN DEMI DERETAN


او زد عليه و رتل القرأن ترتيلا

Atau tambahkan ke atasnya dan deretkan olehmu akan Al-Quran deretan-deretan (25:32).

ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran Dengan "Tartil".

Maka tujuan diperintahkan bangun pada waktu malam adalah membaca atau mengkaji Al-Quran dengan sebenar-benar pembacaan. Itulah cara bacaan yang sebenarnya, bukannya melompat daripada satu ayat kepada ayat-ayat yang lain sehingga hilang tujuan himpunan ayat (75:17).

i.     Membaca Al-Quran Secara Deretan 
       Demi Deretan (Beransur-ansur)

Demikian itu adalah kaedah sebenar bacaan Al-Quran. Dalam ayat 25:32, lawan bagi ترتيلا adalah جملة وحدة . Terdapat terjemahan lain yang menyatakan pembacaan tartil adalah pembacaan penuh tajwid namun penulis tidaklah berhak memberi ulasan terhadap bentuk terjemahan seperti itu. Membaca dengan tajwid adalah suatu kewajiban yang besar, sedangkan membaca dengan ‘tartil’ iaitu menurut disiplin secara beransur-ansur adalah merupakan kewajiban yang jauh lebih besar. Pembacaan dengan kaedah ‘tartil’ dapat menyediakan keadaan untuk pembaca dapat memahami ungkapan-ungkapan ayat dengan lebih teliti, membentuk himpunan ayat yang terangkum. Pembacaan secara tartil bagi pembaca yang mahir pula, dapat mencapai kepada pengetahuan nahu serta sorof tanpa memerlukan tanda-tanda seperti kasrah, fathah, dhammah, tanwin serta shaddah.

Terdapat beberapa kaedah kefahaman ayat yang mendorong kepada pertikaian kalangan mufassirin sehingga terbentuknya perbezaan pegangan dalam beragama. Akibatnya, di atas kepentingan individu, kumpulan perguruan atau keutamaan menurut silibus-silibus tertentu, umat menjadi berbeza pendapat kerananya. Untuk mengelak perpecahan dalam kalangan umat menjadi lebih parah, pintu ijtihad akhirnya telah ditutup dengan ketatnya. Perkara sedemikian, mengakibatkan perkembangan ilmu menjadi tersekat dan umat pernah dilarang daripada membincangkan perkara-perkara yang tidak akan selesai diperbincangkan dalam apajua bidang. Hal seperti ini pernah berlaku di Cordova, Sepanyol pada zaman kerajaan Andalusia. Akhirnya, dengan rujukan falsafah seperti Tahafut At Tahafut, sarjana Barat berpakat untuk membebaskan minda mereka daripada sebarang dogma seperti dogma dalam beragama dan membina tamadun yang telah diasaskan oleh umat Islam. Seterusnya mereka dapat mengatasi penemuan-penemuan umat Islam itu sendiri.

Apabila pemerintah Bani Umayyah mula melarang
Al-Qur'an daripada diperbincang dan diperbahaskan,
dan menerima pendirian ulama bulat-bulat,
pemerintahan mereka akhirnya runtuh. 

Mereka akhirnya dapat membina senjata yang dapat mengalahkan umat Islam dengan mudah sekali. Dalam keadaan umat Islam terkial-kial dengan kenderaan enjin stim, mereka telah berupaya membina pesawat terbang. Untuk menghapuskan kesan penemuan umat Islam -supaya segala asas ilmu hanya diiktiraf sebagai sumbangan mereka, mereka telah memisahkan nama-nama atau istilah-istilah Islam daripada perbendaharaan ilmu. Nama-nama pelopor seperti Ibnu Sina ditukarkan kepada Avecinna, Ibnu Rusd ditukarkan kepada Averuss dan kitab-kitab karangan mereka telah dialih bahasa ke bahasa Latin yang tamadunnya telah mereka musnahkan. Yang tinggal sebagai istilah ilmu Islam adalah seperti alkohol dan almunium sebagai bahan memabukkan dalam minuman dan logam yang boleh membawa kesan racun, itupun diubah kepada nama aluminium. 

Kerana kesalahan umat mengambil Al-Qur'an 
secara terbahagi-bahagi, akhirnya kerajaan 
umat berpecah belah.

Kiranya terjemahan-terjemahan Bible dalam agama Kristian, terdapat versi-versi terjemahan yang berubah seperti ‘King James Version I’ diikuti ‘King James Version II’ dan seterusnya, mengapa tidak terdapat versi-versi terjemahan yang berubah-ubah untuk kitab Al-Quran. Bukan untuk mengubah isi kandungan Al-Quran, tetapi untuk mengemaskini terjemahan supaya ilmu-ilmu terkini dapat diungkapkan daripada Al-Quran. Lantaran Al-Quran mengandungi ilmu orang-orang terdahulu dan ilmu orang-orang terkemudian maka usaha-usaha perlu dilakukan supaya prasyarat memahami Al-Quran tidak dijadikan alasan untuk menyekat perkembangan ilmu sepanjang zaman. 

Pintu ijtihad perlu dilonggarkan semula tetapi melalui disiplin yang teliti. Pendirian yang harus diambil adalah dengan mencadangkan, tiada seorang ilmuwan harus menyalah pendapat atau kefahaman pihak lain sekalipun jalan kefahaman pihak lain dianggap lemah. Kerana keadaan umat Islam memang sudah berpecah belah, sebagaimana dikehendaki Tuhan (2:253). Oleh itu tiada faedah untuk berbalah lagi melainkan untuk mendapatkan pelajaran yang baik daripada Al Quran.

ii.   Bukan Secara Lompatan Demi 
      Lompatan

Pembacaan Al-Quran tidak harus melalui kaedah lompatan demi lompatan. Satu-satu ayat dalam Al-Quran tidak harus sewenang-wenangnya dihubungkan dengan ayat lain, pada tempat yang lain, di luar daripada himpunan ayat. Perkara sedemikian akan menghasilkan kefahaman lain melainkan kiranya hanya dirujuk sebagai sebagai rujukan, sebelum kembali kepada ayat selanjutnya dalam himpunan yang sama. Bahkan tidak wajar kita mengambil sekerat sahaja ayat tanpa melengkapinya sepertimana yang biasa didengari dalam sebahagian teknik perawatan. 

Penulis tidak berhajat untuk memberi kupasan terhadap sebahagian teknik perawatan yang mengambil sekerat ayat Al-Quran lalu disambungkan dengan sekerat ayat pada kedudukan yang lain. Sebenarnya terdapat pengajaran-pengajaran tertentu yang berkaitan antara satu ayat dengan ayat-ayat sebelumnya dan ayat-ayat sesudahnya. Oleh itu melompat-lompat dari satu-satu ayat kepada ayat lain, boleh membawa kepada fahaman yang mencelarukan membentuk pengajaran-pengajaran yang sungguh luar biasa dan mencurigakan. Dalam memberi penerangan menurut pengalaman dan kefahaman penulis sendiri, daripada surah ini, penulis telah menghubungkan ayat-ayat sebelum dan sesudah sehingga pada sebahagian ayat-ayat tertentu yang dihubungkan, didapati memberi suatu kefahaman yang dapat menyelesaikan masalah perubahan cuaca. Bukankah perkara demikian merupakan isu hangat sejagat yang banyak diperbincangkan masakini?

Apabila langit dirujuk sebagai angkasa lepas,
tentunya hujan tidak turun dari angkasa lepas.
Beginilah yang terjadi apabila 'ulama' ini tidak 
merujuk Al-Qur'an menurut kaedah yang betul.

Bahkan penulis dapat melihat permasalahan sosial serta kecelaruan identiti yang menjalar terutama dalam kalangan remaja dan orang-orang muda dapat dikawal dengan baik. Kita sebenarnya telah sampai suatu zaman, yang kita dapat perhatikan bahawa kejadian bencana yang berturutan akhirnya akan menjurus kepada bencana yang besar sekiranya pengajaran Al-Quran diingkari.




Saturday, June 3, 2017

SURAH AL-MUZAMMIL AYAT 3 -- SEPARUH MALAM ATAU KURANG SEDIKIT DARIPADANYA


نصفه او انقص منه قليلا

Separuhnya atau kurangilah olehmu daripadanya sedikit.

Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu,

Yang dikatakan malam adalah dari sekitar masuk waktu solat Isya’ iaitu 8:30 malam sehingga fajar subuh sekitar 5:30 pagi iaitu sekitar tempoh 9 jam dan yang dikatakan separuh malam adalah sekitar 4 setengah jam daripada mana-mana waktu itu. Sesunggguhnya waktu yang benar-benar diperlukan oleh seseorang adalah sekitar 4 jam untuk tidur pada waktu malam. Tempoh yang kurang daripada itu akan mengakibatkan kesihatan seseorang boleh terganggu melainkan untuk mereka yang telah terbiasa melakukannya. 

Dalam menggalakkan manusia untuk bangun malam melakukan ibadah, Tuhan menyediakan ruang masa untuk manusia tidur sebagai istirehat (78:09). Qiamul layl sebenarnya suatu latihan amalan yang dapat memberi reaksi kepada tubuh untuk dapat merasakan lebih sihat serta memiliki daya berfikir yang tinggi. Dengan qiamul layl, urusan siang hari keesokannya dapat dihadapi dengan lebih tenang serta memberi motivasi bekerja yang lebih kental dengan usaha yang lebih gigih.

Wajarkah Pelajar Di'bebani' Aktiviti Berjaga Malam?

Pernah berlaku suatu ketika dahulu terdapat bantahan daripada kepimpinan negara yang dikatakan pintar dalam mentadbir negara sehingga membawa kemakmuran ekonomi selama beberapa tahun. Ia membantah pengamalan 'qiamul layl' daripada diamalkan oleh pelajar-pelajar, katanya supaya proses pembelajaran oleh pelajar untuk esok harinya, dikatakan tidak akan terganggu. 

Istiqamah yang diarahkan dalam pengamalan agama adalah sedikit yang berterusan dan sesuatu itu harus dilakukan tanpa menjejaskan perkara lain. Sebenarnya terdapat beberapa kaedah untuk mendapatkan kecerdasan minda terutamanya kepada pelajar-pelajar. Pertama adalah dengan bekalan drug dan perkara ini seringkali diamalkan oleh pelajar-pelajar menjelang waktu peperiksaan. Bantuan segera seperti ini sememangnya berkesan, namun kaedah sedemikian akan mendatangkan mudharat besar kemudian hari nantinya. Kaedah kedua adalah pengambilan minuman beralkohol pada kuantiti tertentu. Alkohol dapat merangsang otak dengan cara membekalkan tenaga secukupnya agar otak dapat berfikir dan menerima maklumat dengan lebih berkesan. Namun kaedah ini, walaupun tidak menampakkan mudharat ketara jangka panjang, kesan terhadap cara berfikir adalah ketara. 


Pengambilan alkohol jangka panjang 
dikaitkan dengan kemurungan.

Seseorang itu akan memilih untuk membuat keputusan bagi mencapai suatu matlamat tanpa menghiraukan kesan buruk kepada pihak lain. Ramai daripada pengamal minuman beralkohol pada kuantiti kecil, yang dilakukan secara berterusan, tidak dapat meninggalkan ketagihan terhadap pengambilannya. Mereka sanggup bersarapan pagi setiap hari dengan bekalan minuman beralkohol. Perkara ini menimbulkan kesan buruk dipandang serong oleh ahli masyarakat dan kepintaran yang diperolehi sebenarnya tidak akan membawa kebaikan kepadanya dan kepada pihak lain pada tempoh yang panjang. Hingga ke suatu peringkat, mereka yang terlibat dengan pengamalan sedemikian, akan mempertikai hukum hakam agama yang melibatkan minuman atau penggunaan alkohol. Perkara sedemikian tentunya akan mengakibatkan kesan yang besar kepada masyarakat.

Kaedah ketiga adalah dengan berjaga malam yang dilakukan setiap malam. Al-Quran tidak pernah menganjurkan ibadah berjaga malam dilakukan secara ekstrem. Bagi seseorang yang baru mulai pengamalan berjaga malam, cukup dengan ia mulai beberapa jam iaitu dua atau tiga jam terlebih dahulu. Sekiranya seseorang itu telah cukup bersedia tanpa menjejaskan persediaan siang hari esoknya (59:18), tempoh pengamalan sedemikian harus ditambahkan sedikit demi sedikit. Sehingga seseorang telah terbiasa berjaga malam dan sedikit tidur waktu tengahari, ia akan merasakan bahawa ia sentiasa berada dalam keadaan segar menghadapi hari-hari baru.

Bersedia pada waktu malam dapat memberi
persiapan kepada kita melaksanakan pekerjaan 
esok hari dengan keyakinan lebih tinggi.


Sunday, May 28, 2017

SURAH AL-MUZAMMIL AYAT 2 -- MELAKSANAKAN PROJEK QIYAMUL LAYL


قم اليل الا قليلا

Bangunlah di malam hari kecuali sedikit (daripadanya).

bangunlah sembahyang tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat),

Untuk orang yang telah terbiasa dengan berjaga malam lantaran pekerjaan yang harus dilaksanakan, pembacaan Al-Quran haruslah dilakukan pada waktu-waktu sebaik sahaja terjaga daripada tidur ketika minda berada dalam keadaan segar. Waktu malam adalah waktu paling sesuai untuk memberi tumpuan terhadap pekerjaan yang memerlukan tumpuan fikiran. Kurangnya gangguan dan bunyi-bunyian yang dapat mengganggu ketenangan.

Kiranya kita tidak mampu memikirkan
keadaan dunia yang sungguh kritikal, cukuplah 
untuk kita memikirkan keadaan diri-diri kita di sini.

i.    Mengkaji Rahsia Al-Quran

Terdapat rahsia besar dalam Al-Quran yang perlu digali. Aktiviti berjaga malam dapat meningkatkan penumpuan kefahaman sehingga suatu kesimpulan atau rumusan akhirnya dapat diungkapkan. Waktu yang sebaik-baiknya adalah setelah separuh malam sekitar jam 1:00 pagi. Pada waktu itu aktiviti manusia setempat berada pada tahap minimum. Bangsa-bangsa bertamadun telah memperolehi pengetahuan bahawa berjaga malam mempunyai manfaat besar dalam pembinaan umat, siasah dan negara. Di universiti-universiti Barat, mereka telah meletakkan disiplin pelajar supaya berjaga malam untuk menyiapkan tugasan dan penulisan laporan yang banyak supaya buah fikiran mereka dapat dipelajari dan dimanfaatkan oleh pihak lain sehingga sesuatu hasil yang besar diperolehi. Dengan itu mereka memulai idea dan rekaan baru yang memberi banyak manfaat kepada manusia. Berjaga malam dapat menajamkan fikiran dan menyihatkan tubuh. Perbandingan pelajar-pelajar yang rajin berjaga malam berbanding dengan pelajar-pelajar lain didapati pelajar-pelajar itu lebih cekal dan tabah menghadapi cabaran hidup dan sanggup berusaha sehingga berjaya.

ii.   Berjaga Malam Mencekalkan Semangat

Mereka mempunyai semangat yang kuat dan tidak mudah mengalah. Namun seseorang mestilah mempunyai tujuan yang jelas untuk berjaga malam. Lantaran fitrah tubuh adalah untuk mendapatkan kerehatan pada waktu malam dan tidur sebagai hak tubuh untuk berehat tidak boleh dinafikan. Terdapat pendapat yang melampau bahawa untuk mendapatkan suatu tahap kerohanian, seseorang hendaklah berusaha tidak tidur pada hari siang dan berjaga pada waktu malam serta menahan diri daripada sebarang makanan dan minuman. Perkara seperti ini banyak diamalkan oleh pengamal-pengamal kerohanian dalam banyak aliran agama tidak terkecuali dalam agama Islam. Penulis tidak berhajat untuk mengupasnya namun kaedah yang terbaik adalah menurut sunnah yang diamalkan oleh RasululLah S.A.W. bermula daripada masa mula perlantikan sebagai rasul sehinggalah kepada menempuh pengembaraan peristiwa Isra’ dan Mikraj. Imam Ghazali RahimulLah sendiri telah melalui pengalaman kerohanian dan penerangan panjang lebar dapat diperolehi melalui pembacaan kitab Hazinatul Asrar dan kitab-kitab kerohanian yang lain. Rahsia-rahsia ketuhanan dapat diperolehi melalui amalan berjaga malam dan ibadah-ibadah sunat yang dituntut seperti berpuasa dan sebagainya. Islam meletakkan disiplin sedemikian kepada umatnya pada bulan Ramadhan dan kemuncak pengalaman kerohanian haruslah dilakukan pada malam Al-Qadar yang perlu didapatkan pada setiap penghujung bulan Ramadhan. Kecekalan melakukan ibadah menghidupkan malam memberi kesan kepada sipengamalnya dengan kelapangan minda, kesihatan tubuh serta kecergasan berfikir. Pemakanan kita seharian tidak dapat dielakkan juga terdiri daripada bahan toksik yang dapat mengganggu keseimbangan tubuh dan menimbulkan kesan penyakit. Keaktifan bangun malam menyebabkan banyak lebihan daripada pemakanan yang dihadamkan dapat disintesiskan hampir sepenuhnya dan banyak daripada hasil buangan seperti toksik dan hasil-hasil regulasi tubuh, disingkirkan dengan lebih berkesan. Kadar penyerapan usus terhadap juzuk-juzuk pemakanan dapat berlaku dengan lebih baik dan seterusnya seseorang dapat mencapai keadaan tidak memerlukan terlalu banyak makanan untuk kelangsungan hidupnya. Selain daripada manfaat kesihatan, berjaga malam adalah suatu langkah proaktif yang dapat menjadikan seseorang berada pada keadaan berjaga-jaga terhadap banyak daripada perkara yang berlaku menjelang waktu malam. Pendek kata kecekalan seseorang dalam mempraktis amalan berjaga malam dapat menyediakan motivasi tinggi kepada individu itu melakukan pekerjaan lain dengan lebih berkesan.




Monday, May 22, 2017

SURAH AL-MUZAMMIL AYAT 1 -- SERUAN KEPADA KESEDARAN


يايها المزمل

Wahai yang diselubungi!

Wahai orang Yang berselimut!.

Demikian adalah perintah Tuhan kepada Nabi Muhammad S.A.W. secara khusus dan kepada seluruh umat Islam yang ingin beriman. Tujuan seruan ini adalah untuk mendapatkan selamasa sesuai untuk tujuan pengkajian dan pengamatan terhadap ayat-ayat suci Al-Quran. Orang yang berselubung adalah orang yang tersembunyi di bahagian dalam lapisan kain iaitu merujuk orang yang tidur dan waktu berselubung selalunya adalah waktu kesejukan malam. Oleh itu suasana pembacaan Al-Quran yang paling sesuai adalah waktu malam ketika manusia lain sedang tidur. Terjemahan lain dinyatakan sebagai yang melekatkan pakaian! 

Ayat-ayat ini termasuk antara surah-surah awal kerasulan RasululLah S.A.W. Pada masa itu belum diperintahkan solah fardhu, melainkan selepas peristiwa Isra' dan Mikraj. Sahabat-sahabat RasululLah S.A.W. yang awal, berhimpun di rumah Arqam bin Abi Arqam R.A. untuk mendengar ayat-ayat Al-Quran daripada RasululLah S.A.W. dan melaksanakan amalan 'qiamul lail' sebagaimana yang diperintahkan. Amalan ini diteruskan selepas itu oleh RasululLah S.A.W. sendiri dan sahabat-sahabat baginda dan tabi'in dan tabi'-tabi'in selepas itu.

i.    Kepelbagaian Terjemahan

Dalam sebahagian terjemahan, Al-Muzzammil dan Al-Mudaththir adalah merujuk kepada subjek yang sama iaitu RasululLah S.A.W. Terdapat terjemahan yang menyatakan Al-Mudaththir merujuk kepada rahsia tersembunyi. Penulis lebih cenderung untuk menterjemah Al-Muzammil sebagai sesuatu yang diselubungi, sesuatu yang terlindung di balik selubung atau gebar atau suatu yang tersorok atau tersembunyi dalam kegelapan. Perintah bangun pada ayat selanjutnya adalah merujuk keadaan gelap waktu malam, oleh itu perkataan Al-Muzammil akan menjadi suatu subjek yang terlindung oleh sesuatu dan berada dalam kegelapan (malam).

ii.   Seruan Yang Mengandungi Agenda Besar

Seruan ini adalah kepada individu RasululLah S.A.W., itu pada suatu masa dahulu, yang memberitahu bahawa perutusan besar junjungan RasululLah S.A.W., memiliki agenda besar kepada kaum Makkah ketika itu sepertimana perutusan Nabi Musa A.S. kepada Fir’aun serta rakyatnya. Oleh itu pada situasi kini, perutusan dengan kalimat yang sama ditujukan kepada pembaca yang perlu membawa suatu agenda besar terhadap negara kediaman pembaca secara khusus dan juga terhadap semua manusia yang hidup di mukabumi ini secara umumnya. Yang diperintah Tuhan adalah untuk setiap individu bangun pada waktu malam dengan tujuan tertentu bagi menelaah kitab Tuhan serta kitab-kitab yang lain. Untuk dibuat kajian secara mendalam sehingga manfa’at dapat diperolehi dalam menempuh kehidupan bernegara dan bertamadun. Iaitu dalam suasana masyarakat yang telah ada negara, pemerintahan serta pembangunan-pembangunan yang besar, yang belum pernah dilakukan sebelum ini. Perkara yang perlu dilakukan ini tentunya berkait rapat dengan kehidupan ini yang berlalu tanpa tamadun bagi membentuk suatu tamadun yang besar. Namun dapatkah pembaca-pembaca budiman melakukan sesuatu bermula daripada langkah kecil sekiranya pembaca sendiri tidak bersedia dengan ilmu-ilmu yang perlu, serta kekuatan dan kecekalan yang harus dimiliki untuk tujuan berkenaan? Bermodalkan amalan ibadah pembangunan malam, suatu kecekalan jiwa serta perancangan rapi bermula daripada peringkat kecil-kecilan akan dapat dimulai.

Solat malam bisa merawat hati.

Popular